Khir Toyopun kalau SPRM telus dan berani, barangkali tidak akan terlepas dari sebarang skandal dan penyelewengan. Banyak laporan polis dibuat, BPR dan media memperkatakannya tetapi beliau bernasib baik, kerana beliau pemimpin Umno yang duduk di serambi kuasa!
PENDEDAHAN Harakahdaily pada 25 Feb dan disiarkan pada muka depan Harakah cetak Bil 1418 sebagai berita kedua utama cukup terkesan untuk melihat gelagat mantan MB Selangor, Khir Toyo.
Beliau yang sebelum ini menjadi juara untuk menyeret Tan Sri Khalid Ibrahim kononnya telah menyalahgunakan wang rakyat negeri itu, rupa-rupanya kalau SPRM betul-betul telus, mungkin lebih banyak penyelewengan yang menelan wang rakyat Selangor pada skala besar dapat dibongkar.
Pendedahan Ahmad Lutfi Othman tentang kegiatan rasuah dan penyalahgunaan Khir sewaktu jadi MB dulu, belum terjawab sehingga hari ini. Kalau ditanya SPRM, sudah tentulah jawapannya tiada bukti kukuh. Tetapi kalau yang "terkena" itu dari pemimpin Pakatan Rakyat, maka sudah pasti juga jawapannya, bukti kukuh sudah diperolehi.
Berbalik kisah Khir Toyo tadi. Harakah melaporkan, setelah menjadi juara dakwaan penyelewengan kuasa membabitkan pengagihan 46 lembu korban dan caj servis kenderaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; mantan Menteri Besar Selangor yang juga calon Ketua Pemuda Umno, Dato' Seri Mohd Khir Toyo kini terpaksa berhadapan skandal membabitkan penerimaan bayaran RM17 juta daripada seorang individu hasil jualan tujuh unit hartanah Al Marwa Tower di Makkah, Arab Saudi.
Pembayaran tanpa sebarang resit rasmi itu diterima hasil jualan tujuh daripada 12 unit hartanah yang dibuat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Makkah. Apa yang menghairankan, Resolusi Pengarah PNSB bertarikh 14 September 2007 hanya meluluskan pembelian lima unit kediaman berjumlah RM8,352,427.66 sedangkan rekod PNSB menunjukkan sejumlah RM25,603,545 telah dibayar ke akaun individu di Arab Saudi dari 17 September hingga 19 September 2007.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Akhbar Menteri Besar Selangor, 24 Februari lalu, kesemua transaksi dibuat atas nama Mohd Khir selaku Pengerusi PNSB atas alasan Arab Saudi hanya membenarkan hartanah di Makkah dibeli oleh individu muslim.
"Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI) berhasrat mendapatkan jawapan terhadap persoalan di atas dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas jika kes ini membabitkan unsur jenayah," kenyataan akhbar itu dipetik.
Sebelum ini dua orang Pegawai PNSB telah diminta bercuti selama sebulan bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan. Siasatan tersebut berhubung dakwaan kelemahan dan kesalahan urusan simpanan rekod perakaunan anak syarikat kerajaan negeri.
Abdul Khalid selaku Pengerusi PNSB telah mengenal pasti beberapa kelemahan dan kesalahan dalam penyimpanan rekod tersebut.
PERSOALANNYA, adakah kerana mahu menyimpan lebih banyak pekung yang dilakukan oleh Khir Toyo, maka Tan Sri Khalid mesti dilenyapkan dari Bangunan SUK itu bagi menghalang lebih banyak skandal dan penyelewengan lain terbongkar?
Namun saya yakin, Khir ada alasan yang tersendiri apabila menjawab pertanyaan media kelak dan tentunya beliau akan bersilat dan berkuntau untuk membersihkan namanya itu, terutama tidak sampai sebulan lagi, pemilihan Ketua Pemuda Umno Malaysia bermula!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan