KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Februari 26, 2009

Tiada peruntukan gugurkan Speaker Dun Perak, BN mula panik dan mengelabah!

MUQADIMAH: Kemelut politik di Perak amat berbeza dengan suasana yang berlaku sama ada di Sabah ataupun di Kelantan tidak lama dahulu. Di Perak ianya boleh dianggap pertama kali berlaku dalam negara ini. Bagaimanapun kemelut itu mungkin dapat dirungkaikan dengan hadirnya satu pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang. Malah pengosongan kerusi Bukit Gantang itu dikatakan menjadi ruang pernafasan bagi rakyat Perak untuk menyatakan isi hati mereka sebenarnya. Apa kata Ahli Parlimen Kota Bharu Dato' Wan Rahim Wan Abdullah yang juga bekas Speaker DUN Kelantan selama tiga penggal.

Tempoh mengadakan Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau terlalu panjang. Mengapa SPR mengambil tempoh sehingga 58 hari dari tarikh kematian penyandang atau peletakan jawatan wakil rakyat untuk mengadakan pilihan raya semula?


DATO' WAN ABDUL RAHIM: Saya tidak mahu mempertikaikan keputusan SPR tetapi menampakan susunan yang dibuat ini ianya berbeza dengan amalan yang dibuat SPR sebelum ini. Biasanya SPR mempercepatkan proses pilihan raya, iaitu tempoh yang diberikan undang-undang selama 60 hari dan biasanya diselesaikan dalam tempoh sebulan. Maknanya tidak sampai sehingga 58 hari.
Jadi ini satu keputusan SPR yang agak baru. Boleh jadi sesuai dengan pengerusinya yang baru. Walau bagaimanapun ia masih dalam bidang kuasa SPR. Tetapi apa yang jelas susunan untuk melambatkan tempoh pilihan raya kecil ini memberi keselesaan kepada Umno di dalam membuat persiapan pilihan raya, yang sedia maklum akan mengadakan Perhimpunan Agung Umno akhir Mac ini. Ini tidak dapat dinafikan, sama ada kebetulan atau dirancang kita tidak ada maklumat secara khusus.

Tidakkah dalam tempoh yang panjang itu akan memberi impak kepada BN dan bagaimana PAS akan memanfaatkan jangka masa itu?

Dari sudut pengalaman kita, masa yang terlalu lama kadang-kadang akan membuatkan jentera kita tidak begitu mengoptimumkan pergerakan jentera. Kita sebagai satu parti yang sumber kewangan tidak banyak, akan terasa kepenatan dalam pengendalian jentera terlalu lama. Keadaan ini kita alami sejak pilihan raya umum masa zaman dahulu.
Dari sudut lain kita juga boleh manfaatkan masa ini bagi membuat penyusunan lebih rapi, dan pihak parti dapat menggerakkan dan menyelaraskan kerja dengan ketiga-tiga parti iaitu PAS, KeADILan dan DAP dengan lebih selesa dan kita akan cuba manfaat masa yang ada. Tahun 60an tempoh kempen memang panjang kemudian dipendekkan menjadi dua minggu dan akhir-akhir ini di pendekkan lagi menjadi lapan hari.

Pada pendapat Dato' apakah PRK Bukit Gantang mampu memberikan lonjakan baru kepada Perak untuk memberi mesej jelas kepada BN. Tetapi bagaimana jika hari mengundi telah dipilih pada hari bekerja, 7 April. Adakah ini akan menganggu peratusan orang keluar mengundi?

PRK di Perak seolah-olah di takdirkan Allah, dan ini memberi peluang kepada rakyat Perak mendapat satu lorong keluar daripada kemelut sedang berlaku. Ianya sebagai lorong pernafasan melalui proses Raja Berperlembagaan. Rakyat diberi proses khusus untuk menyatakan sikap dan pendirian masing-masing.
Rakyat mengharapkan keputusan PRK ini memberi satu mesej yang jelas kepada semua pihak tidak kira parti politik yang bertanding supaya terima hasrat dan keperluan hati budi rakyat. Saya melihat peluang PRK ini adalah peluang rakyat Perak menyatakan secara jelas mesej kepada semua pihak mengenai sikap mereka memerlukan suasana yang sebenarnya.
Walaupun kita kehilangan satu kerusi YB Roslan Shahrom, kami memang terasa kehilangan walaupun diganti dengan Abdul Wahid Endut. Terasa sangat ketika sesi perasmian yang berlangsung pada Isnin lalu. Tetapi inilah peluang seolah-olah Allah tahu apa kehendak rakyat. Kita sudah ada pengalaman di Permatang Pauh, memang tidak dinafikan Pengerusi SPR tidak realistik.
SPR meramalkan 90 peratus keluar mengundi adalah tidak praktikal. Oleh kerana semasa PRK hanya 73 peratus sahaja keluar mengundi. Kalau betul-betul SPR hendak naikkan peratus kepada 90 peratus keluar mengundi sepatutnya SPR buat pilihan raya pada hari cuti sama ada Ahad atau Sabtu. Nampak sangat SPR gelabah kali ini.
Dalam masa yang sama mereka mahu peratus keluar mengundi tinggi tetapi tidak menetapkan hari keluar mengundi pada hari minggu. Dia mahukan hasrat dicapai tetapi tindakan dia bercanggah. Ini saya tidak faham dengan tindakan SPR. SPR akan tahu peratus keluar mengundi akan terjejas.
Misalnya di Permatang Pauh dibantu dengan kerajaan negeri yang mengisytiharkan cuti pada hari itu. Saya juga berharap kerajaan Perak dan Kedah akan mengisytihar hari membuang undi 7 April nanti sebagai hari cuti. Dan saya secara peribadi mohon kedua-dua negeri jadikan hari itu hari cuti. Ini sahaja yang boleh membantu untuk mempertingkatkan peratus keluar mengundi.

Sehingga kini apakah PAS berpuas hati dengan peranan SPR dalam menangani isu pilihan raya termasuk penolakan badan itu terhadap pengosongan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri Behrang, Cangkat Jering dan Jelapang, yang 'melompat' di Perak.

Ini dua perkara yang berbeza, satu perkara tindakan SPR mempertikaikan surat yang dikemukakan oleh Speaker Dun Perak V. Sivakumar merupakan satu tindakan di luar daripada bidang tugas SPR. Kalau saya jadi Speaker Perak saya akan bawa perkara ini ke mahkamah sebab SPR bertindak di luar bidang tugasnya.
Dalam perlembagaan dinyatakan bahawa ada tiga bidang tugas SPR iaitu mempersempadankan kawasan pilihan raya, mendaftar pemilih dan mengendalikan pilihan raya sama ada PRK atau umum.Tidak ada tugas SPR seperti yang dinyatakan untuk mempertikaikan keputusan Speaker. Sebab Speaker mempunyai autoriti tertinggi untuk memastikan sama ada kerusi kosong atau tidak.
Hanya Speaker sahaja. Misalnya kes di Kelantan tahun 1992 dahulu surat yang sama yang ditunjukkan oleh speaker kepada SPR akhirnya ia terima. Jadi, oleh kerana speaker Kelantan pada tahun itu menyatakan kedua-duanya kosong memandangkan pindaan perlembagaan Kelantan yang menyatakan wakil lompat parti dan kekosongan kerusi maka SPR akan mengendalikan pilihan raya seperti mana tugas yang diberikan oleh perlembagaan.
Oleh kerana kes itu dibawa ke mahkamah dan mengisytiharkan kekosongan itu tidak sah kedua-dua Adun Sungai Pinang dan Limbongan itu masih lagi kekal walaupun ianya menyertai parti lain. Mahkamah sebenarnya pihak yang berautoriti. Apabila perkara ini berlaku mahkamah membuat satu tindakan yang mengatasi keputusan DUN dan speaker atau SPR.
Walaupun ada pihak yang menang dan masuk dewan peringkat awal tetapi ia tidak diiktiraf daripada mahkamah. Apabila mahkamah membuat keputusan semua pihak menerima. apabila SPR buat keputusan seolah-olah ia mengambil kuasa mahkamah. Tetapi saya secara pribadi, oleh kerana pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz masih baru sangat mungkin dia tersilap. Dan kesilapan beliau adalah kesilapan yang besar yang tidak pernah berlaku dalam beberapa pengerusi SPR sebelum ini.
Dari merdeka sehingga ke hari ini. Keputusan ini yang cukup berani, membuat keputusan solah-olah dia tu mahkamah. Saya secara peribadi ia memberikan ruang kepada SPR oleh kerana kita sebagai 'player' atas padang pilihan raya maka kita menyertainya walaupun terkilan dan tidak puas hati. Tetapi masih lagi menghormati keputusan SPR untuk menetapkan kedua-dua pilihan raya.

Apakah Pengerusi SPR yang baru bersikap profesional dalam menangani isu PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau serta keengganan SPR mengiktiraf surat pengosongan kerusi Dun oleh Speaker Perak.

Saya melihat dua isu yang berbeza. PRK yang berlaku iaitu satu kematian dan satu lagi sebab perletakkan jawatan. Satu tindakan SPR yang tidak mengiktiraf surat speaker berhubung perletakan jawatan tiga adun bebas itu. Tindakan SPR ini tidak boleh diterima. Kita kena minta mahkamah membuat keputusan bahawa SPR bertindak di luar bidangnya.
PRK kecil ini ceritanya berbeza, sebagai pemain kita akan mengambil bahagian sama dalam kedua-dua pilihan raya kecil ini. Saya cukup yakin dengan latar belakang serta pengalaman Tan Sri Abdul Aziz yang berdisiplin. Kecuali tindakan surat adun itu. Saya akan terus beri keyakinan beliau mampu mengendalikan pilihan raya berdasarkan PRK di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Sehingga kini, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin telah mencabar kesahihan perlantikan Menteri Besar baru Dato' Zambry Abdul Kadir. Sejauh mana tindakan ini berkesan untuk selesaikan kemelut di Perak.

Dalam ucapan Duli Yang Maha Mulia Yang diPertuan Agong menekankan bahawa semua pihak harus menghormati Perlembagaan Persekutuan yang paling utama. Jadi semua ini diterima baik oleh semua pihak. Jadi masalahnya siapa yang sebenarnya yang boleh menentukan kehendak pentafsir perlembagaan dan undang-undang. Nizar bawa kes ini ke mahkamah.
Dia sudah guna peluang yang baik dan memanfaatkan sususan yang ada semua pihak memuji tindakannya. Hanya mahkamah yang mempunyai kuasa yang cukup menyelesaikan kemelut di Perak. Mahkamah hanya boleh mentafsir. Tidak mustahak sama ada kita kalah atau menang tetapi keputusan itu akan diterima semua pihak.
Yang membawa kes pun kena terima yang didakwa pun kena terima. Dalam kehidupan demokrasi di Malaysia semua boleh terima keputusan mahkamah. Saya kagum dengan kegigihan sikap Nizar, insyallah perkara ini akan diselesaikan.

Speaker Dun Perak V.Sivakumar masih sah dan tidak boleh dipecat. Apa akan berlaku sekiranya dewan bersidang terhadap tiga adun yang melompat dari segi tempat duduk, pembangkang dan kerajaan dalam Dun begitu juga kedudukan Speaker.

V. Sivakumar sebagai speaker DUN perak mencipta sejarah malahbeliau mengalami satu suasana istimewa dalam sejarah politik demokrasi nagara kita. Keadaan ini tidak pernah berlaku lagi. Perkara ini pernah berlaku di negara komanwel seperti di England di mana speaker mempunyai kedudukan yang istimewa dalam dewan dan di pandangan semua ahli.
Di England pernah speaker yang bertanding bagaimanapun parti yang berlawan tidak meletakkan calon bagi menghormati kedudukan dia sebagai speaker. Di England parti konservatif yang memerintah pernah tetapi speaker daripada parti buruh. Dari sudut roh pengendalian Dun speaker tidak semestinya dari parti yang memerintah.
Dalam negara kita hasil daripada persidangan speaker memutuskan kedudukan spaeker sama ada di Dewan Rakyat atau DUN bahawa speaker boleh dilantik di kalangan bukan wakil rakyat. Usaha meletakkan speaker satu institusi dan lembaga yang perlu dihormati.
Misalnya, Speaker Dewan Rakyat yang meletak jawatan sebagai Ketua Bahagian Umno adalah satu tindakan yang cukup baik. Ini mencerminkankewibawaanya yang tidak terlibat secara langsung dalam parti. Jadi Sivakumar akan mempunyai peluang mengendalikan sidang dalam hubunga kait kerajaan BN yang baru, dan saya bersimpati dengan beliau sebagai orang baru yang berdepan dengan suasana yang begitu mencabar dalam DUN Perak.
Beliau yang dilantik sebagai speaker akan kekal sebagai speaker.Oleh kerana peruntukan seluruh negeri menjelaskan speakar boleh bertukar kerana perletakan jawatan atau kematian atau selepas PRU maknanya kedudukan spaeker lebih kukuh daripada Menteri Besar dan Exco. Yang lain apabila bubar dewan semua gugur kecuali MB dan speaker akan menjadi sementara.
Tetapi kalau speaker dia akan terus kekal menjadi speaker selama masa sehingga parti yang menang dipanggil semula dan melantik speaker yang baru. Siva tetap jadi speaker walaupun parti mana yang memerintah. Tidak ada dalam sejarah speaker diusulkan tidak percaya, memang tidak ada. Dan tidak pernah ada speaker yang dipecat daripada ahli dewan.
Saya mengharapkan semoga Sivakumar akan dapat mengendalikan dirinya dengan baik berdepan dengan suasana politik yang ada. Mohon fahaman semua pihak biarlah dia jadi speaker dan bertindak sebagai speaker dengan tidak terlibat dalam kepartian.

Sekiranya ada usaha untuk gugurkan Speker Pakatan Rakyat, bagaimana ia boleh dilakukan dalam kedudukan 28 kerusi BN dan 28 kerusi Pakatan Rakyat.

Tidak pernah ada satu peristiwa di mana speaker di gugurkan oleh ahli dewan. Kalau ahli DUN Perak nak buat sejarah dia nak gugurkan speaker, dia patut bawa usul untuk gugurkan speaker. Pentafsiran benda macam ini, mahkamah boleh selesaikan. Kalau BN hendak cipta sejarah silalah, memang tidak ada peruntukan menggugurkan speaker dan tidak pernah dibuat. Jadi sebab dalam amalan demorakrasi komenwel memang speaker dihormati.Speaker DUN Perak dapat menjalankan tugas sebaiknya.

Andainya BN gagal untuk menggugurkan Speaker V. Sivakumar apa akan terjadi kepada sidang DUN?

Sivakumar tidak boleh memihak kepada parti yang disokong walaupun dia DAP, kalau menampakkan dia memihak kepada DAP memang dia gagal mengendalikan tugasnya dengan baik.Dia speaker, memang ada cabaran yang cukup besar, saya memang cuba berdasarkan pengalaman saya selama 3 penggal. Memang cabaran untuk kita tidak memihak dan memperlihatkan ke arah kepartian.Siva mampu untuk cipta sejarah. Dia kena melihat semua parti yang di depannya adalah ahli dewan tanpa ada fahaman parti.

Baru-baru ini V. Sivakumar akan menghadapkan Menteri Besar BN Dato' Zambry dan empat Adun BN serta empat penasihat yang baru dilantik ke Jawatan Kuasa Hak dan Kebebasan DUN. Bolehkah perkara ini dilakukan oleh Sivakumar.

Suasana di Perak pertama kali berlaku di Malaysia. Tetapi berlainan pula berlaku di Sabah maka ketua menteri pada waktu itu menasihat kepada Tuan Yang diPertua membubarkan dewan dan memang dewan bubar, selesai masalah.Saya cukup kecewa dengan pandangan yang diberikan oleh Timbalan Speaker pada hari perasmian parlimen, Timbalan Speaker memberi pandangannya berhubung suasana di Perak. Cukup tidak sopan.
Seorang timbalan memberi pandangan mengenai speaker DUN dalam keadaan speaker Dewan Rakyat tidak memberi apa-apa kenyataan berhubung situasi negeri itu. Sepatutnya timbalan perlu sedar kedudukannya tidak boleh mengatasi speaker. Untuk makluman speaker di seluruh Malaysia ada persidangan setahun sekali, kita saling bertukar pandangan dan hormat satu sama lain.
Tidak ada hak timbalan speaker mengeluarkan pandangan terhadap speaker di DUN Perak.Jadi nak nasihat kepada speaker Perak kena berunding dengan Penasihat Undang-undang. Justeru, speaker negeri Perak perlu berhenti daripada menjadi ahli parti, tidak boleh jadi pimpinan parti, tidak boleh menggunakan jawatan speaker untuk mengendalikan urusan parti. Itu urusan Menteri Besar. Speaker perlu mendapat penghormatan semua pihak. Speaker perlu runding dengan penasihat undang-undang negeri yang berwibawa.

Tiada ulasan: