KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Februari 16, 2009

Dr Zamry Kader terpaksa berpaut dengan Pusat, istana dan Mufti untuk terus berkuasa!

Populariti Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin tidak boleh dinafikan apatah lagi ketika BN Perak bergelut dengan masalah dalaman yang bakal membaham Dr. Zamry Abdul Kader.

RAKAN saya penulis politik prolifik, Idris Samad menulis begini bagi menggambarkan kemelut baru politik di Perak yang melanda Zamry Abdul Kader. Semua orang tidak tahu, ada riak dari dalam BN Perak kini.

Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bergaya memasuki pejabat Menteri Besar Perak untuk mengumumkan portfolio Exco, banyak mata yang tertumpu berapa lama beliau boleh kekal di situ kerana masalah dalaman Umno sentiasa menghantuinya.

Tidak ada dalam sejarah perjuangan Dr. Zambry menjadi orang Najib (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) sebaliknya beliau lebih dikenali sebagai 'orang Muhyiddin' (Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin) tetapi hubungan rapatnya dengan bekas MB Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo sedikit sebanyak mengganggu kemesraannya dengan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Dr. Zamry tentunya sedar, barisan Exco yang dilantiknya adalah 'kehendak dan susunan Najib'. Tidak hairanlah, antara nama yang disenaraikan termasuk Datuk Saarani Mohamad yang turut disebut-sebut sebagai bakal MB Perak, selain Dr. Zambry kerana Saarani dikatakan 'orang Nazri' (Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz) yang tentunya menjadi 'budak Najib'.

Sebelum bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke 11 (2004), Dr. Zambry pernah bertugas di Selangor di bawah Dr. Mohamad Khir. Beliau di tempatkan di In-Mind, satu badan yang ditugaskan khas untuk menjadi jentera 'think-tank' MB Selangor itu. Sebaik sahaja mengosongkan kerusi CEO di In-Mind, Dr. Mohamad Khir Toyo seperti hilang pedoman kerana banyak kerja-kerja 'propaganda' selama ini dijalankan oleh Dr. Zambry di In-Mind.

Bagi penyokong Najib, mereka tentunya tidak mahu Dr. Zambry menjadi MB Perak. Itulah sebabnya, selain dari nama Dr. Zambry dan Saarani, nama Datuk Ramly Zahari yang merupakan Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar juga turut disenaraikan. Ramly tidak dilihat mewakili sesiapa walaupun hubungannya dengan bekas MB Perak, Datuk Seri Mohamad Tajol Rosli dikatakan cukup intim.

Sebenarnya Dr. Zambry tidak mampu untuk terus selesa di kerusi itu, kerana tindakan undang-undang yang bakal diambil pihak Pakatan Rakyat juga menghantuinya. Itulah sebabnya, Dr. Zambry terpaksa berpaut dengan istana, Kerajaan Persekutuan (Pak Lah dan Najib) dan Mufti Perak.

Perlantikan Datuk Hamdi Abu Bakar yang merupakan bekas Ketua Umno Bahagian Beruas sebagai Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak juga tidak akan membantu memperkuatkan sokongan rakyat kepada Umno. Perlantikan itu hanya satu usaha mengikat Hamdi yang menang dengan majoriti 14 undi dalam Pilihan Raya Umum Ke 12 yang lalu daripada melompat parti seperti ura-ura sebelum ini.

Banyak pihak mempersoalkan mengapa 'orang kalah' di bahagian masih diberikan peranan sedangkan ada ketua bahagian yang menang tidak dipedulikan. Antaranya, Datuk Khusairi Talib, Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim.

Begitu juga dengan perlantikan Kapt (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias sebagai Penasihat Hal Ehwal Agama Islam dilihat sebagai 'tugas bertindan' dengan Mufti Perak yang sudah diberikan keistimewaan setaraf Exco sejak mula-mula Tajol Rosli menjadi Menteri Besar dahulu.

Ada yang berkata, Dr. Zambry melantik Mohd Najmuddin yang juga bekas Setiausaha Politik Tajol Rosli sebagai 'membalas budi' Tajol Rosli yang pernah melantiknya menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak, ketika Pemuda Umno negeri bergolak suatu ketika dahulu.

Dengan semua pergolakan dan kekecohan serta syak wasangka antara orang Perdana Menteri, orang Muhyiddin dan 'budak-budak Najib', Umno Perak tidak akan dapat diselamatkan lagi. Malahan, kekalahan Hamdi di Beruas, Datuk Ahmad Fakeh Adam di Sungai Siput dan ketengangan antara Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dengan Datuk Hamzah Zainuddin di Larut akan menyebabkan Umno semakin cepat mengecut dari segi sokongan.

Meninggalkan nama Datuk Zaim Abu Hassan yang juga Ketua Umno Bahagian Parit dari senarai Exco lebih kepada menjaga hati ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang baru-baru ini melompat ke KeADILan kerana rasa tidak puashati dengan kepimpinan Umno bahagian dan negeri tetapi selepas 10 hari, berpatah balik kerana 'pujukan dan tekanan'.

Media massa arus perdana sedaya upaya memberi gambaran bahawa Zambry seperti tidak menghadapi apa-apa masalah sebaik sahaja mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar tetapi, tekanan dan isu yang membelitnya kini menyebabkan beliau tidak mungkin dapat bertahan.

Ketika MCA, Gerakan, MIC dan PPP ditolak hampir seratus peratus dalam Pilihan Raya Umum Ke 12 di Perak, usaha Zambry melantik Dr. Mah Hang Soon (ADUN Chenderiang) yang merupakan satu-satunya ADUN BN dari MCA yang menang pilihan raya umum lalu tidak akan mampu mengubat luka yang parah.

Begitu juga, perlantikan Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn sebagai
Penasihat Menteri Besar dalam Hal Ehwal Kaum Cina tidak mampu menyatukan semula perpecahan yang melanda BN di negeri itu.

Malahan, MIC yang menuntut kerusi Speaker juga merupakan bibit-bibit perpecahan yang
berpanjangan kerana jika permintaan itu tidak ditunaikan, MIC yang mahu membuktikan mereka lebih berpengaruh dari PPP sudah pasti akan merajuk dan menjauhkan diri dari BN.

Dr. Zambry akan kecundang kerana beliau dilantik ketika perpecahan sedang melanda politik Perak. Tidak mungkin Dr. Zambry yang merupakan sahabat baik Khairy Jamaluddin dapat membuat pendirian jelas, siapakah yang beliau sokong untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda, kerana Dr. Mohamad Khir Toyo adalah bekas bossnya yang pernah memberinya peluang pekerjaan ketika beliau belum menjadi wakil rakyat.

Di celah-celah Khairy Jamaluddin dan Khir Toyo, Dr. Zambry mungkin terpaksa menyokong Datuk Mukhriz Mahathir kerana itu yang lebih baik daripada memilih seorang dari dua 'sahabatnya' yang tidak mampu didamaikan lagi.

Tiada ulasan: