KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Februari 11, 2009

KDN sahkan buat rampasan terhadap Harakah dan Suara Keadilan seluruh negara

OPERASI rampasan Harakah dan Suara Keadilan dijalankan di seluruh negara, kata Setiausaha Bahagian Unit Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Che Din Yusoh. Beliau berkata demikian ketika mengesahkan rampasan kedua-dua akhbar tersebut. Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan jumlah terperinci rampasan.

"Saya tidak tahulah berapa (jumlahnya). Anak-anak buah saya yang buat," katanya.

Beliau yang kelihatan gembira dengan rampasan itu sambil ketawa kecil memberitahu Malaysiakini: "Akhbar parti ini untuk berita parti dia sahaja, bukan untuk mengkritik orang lain. Kadang-kadang kita tengok tidak ada bukti pun macam kes (Ketua Polis Negara) Tan Sri Musa Hassan didakwa nazak".

Beliau merujuk laporan Suara Keadilan pada September tahun lalu tetapi Musa menafikannya. Ditanya sebab organ pembangkang seperti Rocket terbitan DAP tidak menjadi sasaran operasi KDN, beliau mengakui akhbar itu edarannya sedikit.

Harakah yang memuatkan edisi-edisi terkini pergolakan politik di Perak dirampas di negeri itu, Kedah dan Selangor. Pengedar-pengedar juga diberikan amaran agar tidak menjual tabloid rasmi parti itu. Gangguan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga didakwa berlaku di Pulau Pinang dan Johor.

Edisi Jumaat lepas yang memuatkan laporan muka depan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dianggap "memihak kepada BN" susulan keputusannya tidak mengiktiraf kekosongan dua kerusi Dun Changkat Jering dan Behrang seperti didakwa oleh Speaker dewan itu, V Sivakumar.

Ketua Pengarangnya Ahmad Lufti Othman berkata, Harakah sedang menghubungi pengedar-pengedarnya di negeri-negeri lain untuk memastikan sama ada mereka juga mengalami masalah seumpama itu. Rampasan itu berlaku secara tiba-tiba dan tiada notis diberikan.

Tiada ulasan: