KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Jun 03, 2009

Setiausaha Agung PAS ingatkan ahli parti agar tidak terpedaya dengan taktik Utusan Malaysia kelompokkan pemilihan!


KUALA LUMPUR: Ahli PAS diseru agar tidak terpengaruh dengan propaganda yang kini sedang dimainkan akhbar Utusan Malaysia yang kononnya mewakili sesuatu pihak dalam PAS, lapor Wan Nordin Wan Yaakob.

Ingatan tersebut diberikan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar semasa mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan menegur Utusan Malaysia baru-baru ini.

"Jika Timbalan Presiden Umno pun dah tegur Utusan, maknanya ada sesuatu yang tidak kena kepada akhbar itu dalam laporannya, justeru saya mengingatkan ahli PAS juga jangan mudah terpedaya dengan apa yang dilaporkan akhbar itu," ujarnya ketika dihubungi.

Akhbar tersebut mesti mempunyai agenda dalam membuat sesuatu laporan yang kononnya memihak kepada sesuatu kumpulan atau individu dalam PAS, katanya.

Hal ini mesti disedari memandangkan akhbar itu sebelum ini cukup kuat menghentam PAS dan Pakatan Rakyat sewaktu kempen pilihan raya yang lalu, katanya.

Beliau melihat, 'trend' laporan yang dimuatkan Utusan hanya berlegar kepada satu kelompok dalam PAS sahaja, dan pastinya ia adalah petanda ia propaganda untuk memecahbelahkan parti.

Kamarudin yang juga ahli Parlimen Tumpat bagaimanapun tidak bimbang dengan kebijaksanaan ahli dan perwakilan dalam menilai laporan yang benar atau sebaliknya. Ini kerana katanya, sejak dahulu lagi PAS sudah diletakkan 'negatif' oleh akhbar terbabit dalam laporan-laporan mereka.

Justeru ahli PAS pastinya melihat rekod tersebut sebagai asas dalam menilai maklumat yang dimuatkan dalam Utusan Malaysia, katanya.

Harakah ucapkan takziah atas kembalinya ayahanda Dato' A Kadir Jasin ke rahmatullah malam tadi

KUALA LUMPUR: Pengarang Berita Harakah, Tarmizi Mohd Jam mengkalungkan ucap takziah kepada Dato' A Kadir Jasin dan keluarga atas panggilan ilahi ayahandanya, Haji Jasin Bin Tahir yang meninggal dunia pada jam 11.30 malam tadi. Allahyarham berusia 85 tahun.

Haji Jasin meninggalkan seorang isteri, Hajah Cik Ah Binti Said, 82, lapan orang anak, 31 orang cucu dan 18 orang cicit.

Menurut kenyataan ringkas Kadir pada blognya sebentar tadi, Allahyarham akan disemadikan di tanah perkuburan Kampung Sena, Mukim Tobiar, Pendang, Kedah tengah hari ini. Seluruh staf Bilik Berita Harakah mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. - Al-Fatihah!

Gerakan Mansuh ISA tentang guna ISA kurung penyokong Chin Peng hatta Chin Peng sendiri!

KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) berpendirian akta rimba itu tidak boleh dikenakan kepada penyokong Chin Peng, juga terhadap Chin Peng sekalipun, lapor Anis Nazri.

Mengulas lanjut cadangan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) untuk menggunakan akta itu ke atas penyokong Chin Peng, Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata cadangan tersebut tidak munasabah kerana setiap orang mempunyai hak masing-masing menyatakan pendirian.

"Jika langkah sedemikian diambil dengan begitu mudah (mengenakan ISA), tidak mustahil ia akan dikenakan pula kepada mana-mana pihak yang menyokong mana-mana fahaman atau ideologi lain sepeeti perkauman, sedangkan penahanan tanpa bicara itu tidak boleh sama sekali," tegas beliau ketika dihubungi.

Biarpun menyedari dan memahami pengorbanan dan kesengsaraan yang dihadapi anggota tentera yang trauma dengan keganasan komunis, Syed berkata langkah lebih baik adalah membawa mereka yang disyaki cuba menanamkan kembali ideologi komunis itu ke mahkamah terbuka.

Tambah beliau, undang-undang sedia ada sudah cukup untuk menangani keadaan ini dan lebih menjamin keadilan apabila semua pihak yang didakwa diberi peluang untuk membela diri.

"ISA membuktikan penahanan seseorang di bawah akta itu menafikan mereka mendapatkan keadilan seperti yang dituntut Islam. Kerajaan kata ada bukti, tetapi tidak pernah membuktikan kesalahan mereka di mahkamah. Dari situ, di mana keadilan bagi mereka yang ditahan?" soal beliau.

Justeru, Syed Ibrahim mengharapkan semua pihak supaya tidak sewenangnya menggunakan akta rimba itu untuk menangani segala konflik yang timbul di negara ini, sebaliknya menggunakan pendekatan undang-undang yang sedia ada sebaik mungkin, yang memberikan peluang untuk membela diri.

Calon AJK PAS Pusat, Mariam Rashid desak SPRM segera siasat skandal PKFZ

KUALA LUMPUR: Ketua Muslimat Subang, Mariam Abdul Rashid mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera melakukan siasaan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Menurut beliau, SPRM yang dilihat berpihak kepada Barisan Nasional (BN) mungkin tidak telus dalam siasatannya sekiranya pihak yang terbabit melibatkan pimpinan BN.

"Jika terdapat dakwaan pihak yang terlibat di kalangan Pakatan Rakyat, sduah tentu SPRM akan bertindak. Bagaimanapun jika orang yang terlibat adalah di kalangan pimpinan BN, siasatan tersebut mungkin dilambatkan. Saya juga tidak menolak sekiranya tidak ada 'orang politik' yang terlibat, barulah SPRM melaksanakan siasatan bagi menunjukkan kredibilitinya," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong gesaan yang dibuat Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang agar suruhanjaya siasatan segera ditubuhkan bagi menyiasat skandal PKFZ ini.

Pendekatan PAS merentasi sempadan kaum dan politik, kata calon Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat - Dr Asiah Ali


KUALA LUMPUR: PAS semakin dapat diterima oleh golongan bukan Islam kerana pendekatan yang dibawanya telah merentasi sempadan kaum dan fahaman politik, sejak 50 tahun ianya bertapak di negara ini, lapor Nyza Ayub.

Menurut bekas pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Asiah Ali, berdasarkan pengamatannya dalam satu program motivasi yang dikendalikannya baru-baru ini yang melibatkan golongan ibu tunggal, kehadiran bukan Islam dalam program tersebut jelas menggambarkan kaum India dan Cina dapat menerima pendekatan Islam dalam pendidikan kekeluargaan.

"Jika Islam menekankan betapa perlunya menghormati seorang ibu, bagi agama kaum ini juga turut menekan perlunya menghormati golongan ibu ini. Apabila kita menyatakan dalam agama mereka, terdapat kepercayaan kepada 'dewi' mereka, maka mereka mula memahami bahawa Islam bukan agama yang menolak secara total terhadap penganut agama lain. Secara tidak langsung, dakwah yang kita lakukan memberi gambaran kepada mereka tentang PAS.

"Jika dahulu, mereka sering dimomokkan oleh Barisan Nasional (BN) bahawa PAS ingin mengetengahkan negara Islam dengan menggambarkan konsep ini mengetepikan orang bukan Islam. Sedangkan dalam konteks negara Islam, semua kaum yang bukan beragama Islam tetap memainkan peranan dan Islamlah yang menjadi pemimpin dalam negara tersebut," katanya sewaktu dihubungi.

Tambah Asiah, kefahaman tentang konsep keadilan dalam Islam yang diketengahkan oleh PAS merupakan salah satu faktor, mengapa bukan Islam semakin mendekati PAS.

Sebagai contoh, katanya, kepimpinan Pakatan Rakyat yang diketuai oleh PAS dalam kerajaan Perak walaupun hanya 11 bulan, turut memberi kesan kepada bukan Islam untuk memberi sokongan kepada PAS.

"Mereka dapat melihat bagaimana peribadi pemimpin Islam yang ditonjolkan kepimpinan PAS di Perak. Kepimpinan tersebut memberi keadilan kepada semua rakyat. Jika mereka berhak mendapat tanah, kemudahan tersebut turut diberikan kepada mereka kerana mereka juga merupakan pembayar cukai.

"Jika dahulu, amat sukar kita melihat kaum lain membawa bendera PAS, tetapi dalam Pilihan Raya Umum ke 12 serta siri-siri pilihan raya kecil yang kita sertai, sudah ramai kaum India dan Cina dengan penuh bersemangat membawa bendera PAS sebagai sokongan kepada kita," katanya yang turut meyakini peningkatan keahlian Kelab Penyokong PAS disebabkan kepercayaan terhadap corak kepimpinan yang dibawa PAS.

YB Wan Ubaidah setuju Umno menoreh getah bersama penduduk Manek Urai

KUALA LUMPUR: PAS Kelantan mengalu-alu cadangan pimpinan Umno untuk tidur di rumah orang-orang kampung dan turut menjalani kehidupan harian dengan menoreh getah bersama penduduk di Manek Urai, lapor Roy Rasul.

Ini kata Timbalan Ketua Muslimat PAS Negeri, Wan Ubaidah Wan Umar tindakan mereka itu sekaligus dapat menyelami perasaan rakyat dan cara hidup rakyat yang susah selama ini.

Bagaimanapun ujarnya, pendekatan yang dilakukan Umno itu jangan hanya dibuat empat tahun sekali atau semasa kempen pilihan raya kecil baru hendak bagi kain pelikat dan menyuap nasi ke mulut rakyat.

Walhal katanya, apa yang dirancang oleh Umno itu, sudah lama dilakukan PAS. Beliau berkata, PAS selama-lamanya bersama rakyat bahkan berkebun, menoreh menjadi kebiasaan bagi parti itu.

"Baguslah jika Umno hendak buat macam itu kerana PAS memang selamanya bersama rakyat jadi program yang dibuat pun untuk rakyat," katanya yang juga Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan.

Di Kota Bharu, Isnin lepas, Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, dipetik sebagai berkata, bagi memenangi hati masyarakat di peti undi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai dalam pilihan raya kecil pada 14 Julai ini jentera Barisan Nasional (BN) harus turut sama turun padang dan merasai sendiri susah senang masyarakat setempat.

Katanya, mereka akan tidur di rumah orang kampung dan turut sama menjalani kehidupan harian dengan menoreh getah bersama masyarakat di sana.

Ubaidah ketika mengulas perkara itu berkata, terpulang kepada pengundi di Manek Urai untuk membuat pertimbangan mengenai cara Umno itu. Namun beliau yakin pengundi di Manek Urai tidak mudah terpengaruh kerana PAS sentiasa bersama mereka. Malah bidasnya pendekatan Umno itu menampakkan mereka selama ini tidak pernah turun bersama rakyat sebagaimana yang dilakukan oeh PAS selama ini.

"Program PAS untuk bersama rakyat tidak perlu menunggu pilihan raya. Kami buat program sepanjang masa umpamanya mengadakan proram qiamullail dan sebagainya," katanya. Oleh kerana itu katanya, PAS tidak mengalami apa-apa masalah untuk mendekati rakyat dan budaya tersebut bukan satu kejutan atu benda baru bagi PAS.

Pilihan Raya Kecil Dun Penanti tenang tanpa lembaga dan hantu BN! - Jelas NIEI


KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti disifatkan paling aman dalam tempoh 14 bulan selepas Pilihanraya Umum ke-12 tahun lalu. Institut Ketelusan Pilihanraya (NIEI) yang memantau Pilihan Raya Kecil Dun Penanti melaporkan suasana itu berbeza dengan lima pilihan raya kecil sebelum ini dimana Barisan Nasional (BN) turut bertanding.
Pengarah Esekutifnya, Amin Iskandar dalam satu kenyataan media menegaskan proses penamaan calon berjalan lancar dan aman tanpa kehadiran calon dan penyokong-penyokong BN.

"Hasil pemantauan kami ketika kempen piliha raya dan pada hari mengundi mendapati bahawa keadaan tidak seperti mana-mana pilihan raya sebelum ini dimana suasananya tegang. Ketiadaan jentera Barisan Nasional turut dirasai oleh kebanyakkan penduduk awam," tegas Amin.

Namun begitu tegas beliau, kehadiran pihak polis yang ramai pada hari mengundi masih lagi tidak berubah berbanding dengan pilihan raya kecil lalu.

Pemantauan NIEI pada semua pusat pengundian mendapati pihak polis turut mengarahkan Unit Tindakan Ringan yang lengkap dengan kelengkapan anti-rusuhan ditempatkan di setiap pintu masuk pusat pengundian.

Katanya, kehadiran unit ini di setiap pusat pengundian telah menimbulkan persoalan seperti apakah tujuannya? Turut dipantau ialah beberapa anggota polis dilihat berjalan di dalam kawasan pembuangan undi.

"Di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jit Sin, Berapit, NIEI telah dimaklumkan mengenai lapan orang pengundi yang kehilangan nama mereka dari daftar pengundi di Penanti.

"Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang berada di pusat pembuangan undi di situ, memberi maklum balas bahawa pengundi seharusnya menyemak daftar pemilih masing-masing sebelum membuang undi," jelas Amin lagi.

Ini membuktikan bahawa SPR masih belum bersedia untuk segala kemungkinan walaupun telah berjanji untuk menangani segala masalah menurut lunas undang-undang.

NIEI juga berpendapat pengurangan peratusan undian adalah berikutan ketiadaan parti BN seperti pilihanraya di Permatang Pauh (P.44), Kuala Terengganu (P.36), Bukit Gantang (P.59), Bukit Selambau (N.25) dan di Batang Ai (N.23) dimana lebih daripada 80% keluar mengundi.

Walau bagaimanapun, NIEI menyokong pengharaman pembinaan pondok-pondok panas oleh parti-parti yang bertanding di kawasan pembuangan undi. NIEI juga menggesa parti politik yang bertanding supaya tidak menghantar dan menurunkan penumpang di pusat pengundian.

NIEI juga mencadangkan agar SPR memperkenalkan penggunaan dakwat kekal (Indelible Ink) untuk semua piliha raya yang akan datang bagi mempertingkatkan mutu pilihan raya negara dan demi memastikan kredibiliti proses pembuangan undi adalah berlandaskan nilai-nilai yang selaras dengan piawaian antarabangsa.

Pada pilihan raya kecil itu, calon KeADILan, Mansor Othman memenangi pilihan raya Dun Penanti dengan memperolehi 6,052 undi. Beliau menang dengan majoriti 5,558 undi. Manakala tiga calon bebas - Aminah Abdullah mendapat 392 undi, Khan Ari (494) dan Kamarul Ramizu Idris (56). Kesemua mereka hilang wang deposit RM5,000.

Proses pengiraan undi selesai pada kira-kira jam 7.20 malam. Undi untuk Aminah kebanyakannya datang dari kawasan majoriti Melayu, termasuk Mengkuang, Kuala Mengkuang dan Guar Perahu.

Aminah juga mendapat undi pos terbanyak, iaitu 12 undi berbanding dengan Kamarul (7), Mansor (2) dan Nai (0). Nai pula banyak mendapat undi dari dua kawasan, iaitu Teluk Wang - yang merupakan kawasan masyarakat Thai - dan dari Sungai Lembu, iaitu kubu kuat Gerakan.

Di Sungai Lembu, Mansor mendapat 258 undi manakala Nai mendapat 102 undi, Aminah (2) dan Kamarul (2). Manakala di Teluk Wang pula, Nai mendapat 154 undi, Mansor (180), Aminah (21) dan Kamarul (1).

PAS Wilayah dan Pemuda PAS Pusat sokong usul Mahfuz potong gaji Najib Tun Razak RM10

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan menyokong penuh cadangan Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar supaya usul untuk memotong gaji Perdana Menteri sebanyak RM10 dikemukakan pada sidang parlimen yang bermula 15 Jun ini, lapor Anis Nazri.

Pesuruhjayanya, Mohammad Nor Mohamad berkata, usul berkenaan patut dikemukakan sebagai hukuman kepada seorang Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan yang cuba menyembunyikan fakta sebenar kepada rakyat berkenaan keadaan ekonomi negara.

"Malah, bagi saya bukan setakat RM10, tetapi dipotong sebulan gaji kerana ia merupakan perkara serius yang dilakukan pentadbir negara nombor satu terhadap rakyat, dengan menyembunyikan fakta sebenar," tegas beliau.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Mahfuz agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz mengemukakan usul untuk memotong gaji Perdana Menteri sebanyak RM10 sekalai sahaja, pada sidang parlimen akan datang.

Mohammad turut rasa kesal dengan kenyataan Najib sebelum ini, khususnya berkaitan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dikatakan menguncup sebanyak empat hingga lima peratus sepanjang tahun ini, sedangkan ia di tahap lebih teruk apabila menguncup sebanyak 6.2 peratus pada suku pertama tahun ini.

Justeru, katanya Nazri Aziz perlu mengambil langkah proaktif untuk mengemukakan usul tersebut kerana ia melibatkan kepentingan negara, yang jelas menunjukkan Perdana Menteri tidak mempunyai kredibiliti, selain cuba menyembunyikan fakta sebenar kepada rakyat.

Cadangan tersebut turut disokong Dewan Pemuda PAS Pusat, dengan harapan Nazri lebih bersikap telus dan bertanggungjawab dalam membawa usul berkenaan terhadap ketuanya itu.

Timbalan Ketua Pemuda yang baru, yang menang tanpa bertanding, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani ketika dihubungi berkata bagaimana pun Nazri harus berani berhadapan dengan risiko yang mungkin dihadapi jika berbuat demikian (mengemukakan usul).

Tambah beliau, jika Nazri berbuat demikian, masyarakat akan melihat Nazri lebih bertanggungjawab dan telus dalam menegur kesilapan yang dilakukan mana-mana pihak, termasuk dari Barisan Nasional sendiri.

Mengulas tentang kenyataan Najib, Azman berkata Najib sebagai pemimpin negara tidak seharusnya berbohong kepada rakyat kerana semua mengetahui hakikat sebenar di sebalik krisis ekonomi yang melanda dunia.

"Rakyat boleh memahami krisis tersebut, dan kerajaan tidak seharusnya berbohong kerana ia akan lebih memberi tekanan kepada rakyat. Perkara benar, harus dikatakan secara jelas, dan bukannya berdolak-dalik," tegas beliau.

PAS persalahkan Umno yang enggan bincang tentang kepentingan Islam! - Nasharuddin

KUALA LUMPUR: Pendirian PAS tidak pernah menjadikan fahaman politik sebagai penghalang untuk membangunkan umat Islam. Menurut Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Umno sendiri yang banyak membuat hal sehingga kedudukan Islam tercabar.

Contohnya kata beliau, dalam isu 'hadhanah' yakni hak penjagaan anak, Umno telah menjadi penyebab sehingga menimbul kemarahan umat Islam negara ini.

"Mereka yang mencabar Islam bukannya kita. Jadi apa masalah mereka? Kita dari dulu lagi sentiasa bersikap terbuka mengenai agama Islam," katanya semasa dihubungi.

Ahli Parlimen Bachok itu diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta semua pihak, terutama parti politik tidak menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai penghalang kepada usaha membangunkan umat Islam.

Sementara itu kata Nasharuddin, PAS tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan Umno untuk menegakkan Islam tetapi malangnya setakat ini Umno tidak memberi respons jika diajak berbincang mengenai kedudukan Islam. Tegasnya, sebagai parti pemerintah Umno sepatutnya bertanggungjawab terhadap pembangunan Islam bukannya membiarkan umat Islam berpecah.

"Sebagai parti pemerintah Umno perlu bertanggungjawab ke atas umat Islam negara ini tanpa mengira fahaman politik," tegasnya.

Bagaimana pun katanya, jika benar Umno telah sedar untuk membangunkan Islam dan perkuatkan persaudaraan Islam, ia satu perkembangan yang baru.

Ahmad Awang ibarat Muhyiddin Yassin 'meludah ke langit'

KUALA LUMPUR: Gesaaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar parti-parti politik tidak menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai penghalang kepada usaha membangunkan umat Islam disifatkan Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang ibarat 'meludah ke langit'.

Ahmad berpendapat, sebarang isu yang melibatkan pihak tertentu yang mencabar hukum hakam serta undang-undang Islam adalah berpunca daripada Barisan Nasional (BN).

"Sekarang siapa yang menghancurkan persaudaraan? Setelah 50 tahun BN memerintah, merekalah yang membuka ruang kepada penyokong BN itu sendiri mempertikaikan Islam. Tetapi BN tidak pernah mahu mengakui keselahannya. Apa yang boleh dikatakannya ialah perbezaan politik.

"Daripada dahulu lagi kita memang berbeza politik. Tetapi apa yang pasti perbezaan politik BN berdasarkan perkauman manakala politik PAS adalah Islam. Jadi apabila beliau (Muhyiddin) menyatakan Islam hari ini dipertikai pihak-pihak tertentu, ini kerana BN merupakan pasti perkauman yang tidak mengambil tahu mengenai kepentingan Islam. Apa yang penting bagi mereka ialah kepentingan kaum dalam parti mereka," katanya sewaktu dihubungi.

Ahmad juga mendakwa BN pernah menyekat beberapa agenda dakwah yang ingin dilakukan oleh PAS. Antaranya apabila kelas-kelas pengajian agama dihalang daripada dilaksanakan di masjid-masjid.

Berdasarkan pengalamannya sewaktu bertugas di Pusat Islam, projek mentakmirkan masjid di seluruh negara gagal dilaksanakan apabila mendapat halangan kepimpinan tertinggi negara hanya disebabkan guru-guru agama yang terlibat terdiri dari penyokong PAS.

"Ini merupakan contoh BN tidak membenarkan Islam ini dikembangkan khususnya di masjid-masjid. Jadi apabila ramai yang tidak memahami Islam, gejala sosial serta kerosakan akhlak semakin menjadi-jadi. Jadi, orang bukan Islam juga tidak hormat kepada orang Islam," kata Ustaz Ahmad Awang.

Ditangkap ISA, dibuang daerah di Kuala Pilah, didakwa - Mohamad Sabu tetap menongkat paruh bersama PAS - Rahim Kassim



KUALA LUMPUR: "Sudah lama saya tidak menulis di blog saya ini. Bukannya tidak mahu tetapi masa yang terlalu terhad buat saya. Tetapi hari ini, walau apa pun berlaku, saya mesti menulis tentang sahabat lama saya Muhamad bin Sabu (Mat Sabu)," ulas Rahim Kassim, bekas Setiausaha Kerja ABIM pada zaman Anwar Ibrahim Presiden.

Rahim menulis pada blognya Rahim Kasim.blogspot. Katanya, beliau dengar berita beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS dalam Muktamar PAS yang akan berlansung Jumaat ini. Beliau harap beliau akan menang. Ini bukanlah kerana beliau sahabat baiknya, tetapi pada pandangan saya beliau memang layak untuk jawatan itu.

Rahim kenal Mat Sabu sejak tahun 70an lagi. Masa itu beliau masih bujang dan berkerja di CCM Shah Alam. Bila dia kerja malam sebelah pagi dia akan ke Pejabat ABIM, Jalan Daud, Kampung Baru. Kalau dia cuti dia akan ikut kawan-kawan ABIM berceramah atau buat program di luar kota.

Dia mula jinak dan aktif dengan PAS semasa Ustaz Zabidi Ali sebagai MP Permatang Pauh lagi iaitu diakhir tahun 70an. "Selepas itu seingatan saya, Mat Sabu tidak surut sedikit pun dengan perjuangan PAS walaupun berkali-kali ditahan di Kemunting di bawah ISA dan juga dikenakan tahanan daerah di Kuala Pilah."

Selepas beliau berkahwin dengan Kak Normah, katanya, perjuangannya dalam PAS tidak juga kendur. Malahan beliau telah meletakkan jawatan di CCM kerana ditawarkan bertanding di Kepala Batas dalam pilihan raya umum 1982. Beliau tidak berdolak-dalik bila diarahkan menjadi calon, walaupun dia tahu dia akan berhadapan hilang punca pendapatan selepas pilihan raya nanti.

Ini berbeza dengan sesetengah pemimpin PAS yang ada hari ini. Mereka aktif dalam PAS setelah mereka pencen dari jawatan, setelah tidak ada kerja lain mahu dilakukan. Perjuangan mereka dalam PAS tidak lebih sebagai memenuhi masa terluang. Walaupun mereka pernah diminta bertanding atas tiket PAS tetapi mereka menolak dengan berbagai alasan.

Lebih huduh lagi ada kalangan yang lain, yang aktif dalam PAS selepas Anwar Ibrahim disingkir dari Umno. Walaupun mereka tidak menjadi ahli Umno tetapi kita tahu mereka tidak mahu aktif dalam PAS kerana tidak mahu bertembung dengan Anwar Ibrahim yang pada masa itu begitu berpengaruh dalam Umno.

Selepas kalah dalam pilihanraya 1982, dakwa Rahim lagi, Mat Sabu terus menghambakan dirinya sepenuh masa dengan perjuangan PAS. Kepetahannya berceramah dengan suara paraunya boleh menarik ribuan pendengar. Beliau menjadi antara penceramah PAS yang paling digemari. Popularitinya setanding dengan Tuan Guru Haji Hadi dan Ustaz Fadzil pada masa itu. Ini menjadikan Mat Sabu tidak lekat di rumah kerana sentiasa mendapat undangan ceramah di seluruh negara.

Disebabkan beliau jarang berada di rumah hinggakan anaknya sendiri merasakan ayahnya sebagai pendatang di rumahnya sendiri. "Pernah beliau menceritakan kepada saya, anak kecilnya Huda bertanya semasa ia mahu keluar berceramah, "ayah bila nak datang lagi?"

Hari ini bila gelombang politik bertukar rentak dan PAS telah berjaya menubuhkan kerajaan di Kelantan dan Kedah dan bersama PKR dan DAP di Selangor dan Perak. Ramai kalangan yang dulunya memandang sepi kepada PAS, kini mula memanjang-manjangkan leher supaya muka mereka terlihat.

Tetapi bagi Rahim Kassim yang kini seorang kontraktor berjaya, katanya sebagai pemerhati dari jauh tetap melihat Mat Sabu sebagai pejuang PAS yang tulin yang tidak tergugat dengan tekanan dan kepayahan perjuangan dan juga tidak terliur dengan kesenangan dan kemewahan.

"Perwakilan PAS lebih berhak menentukan siapa patut mereka angkat sebagai Timbalan Presidennya tetapi kalau saya sebagai perwakilan, saya akan mengundi Mat Sabu," tegasnya mengakhiri posting tersebut.

Mahfuz dan Salahuddin dijangka menang. Siapa seorang lagi Naib Presiden yang akan terpilih?

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin menyifatkan tiga Naib Presiden PAS yang bakal dipilih pada Muktamar Agung PAS ke-55 kali ini ibarat Daihatsu Charade hanya ada tiga palam pencucuh. Dalam posting terbaru pada blognya Bila Sauk Dibongkar beliau berpendapat Salahuddin Ayub dan Mahfuz sudah cukup dekat untuk menduduki kerusi itu.

Katanya, dalam PAS, hirarki yang boleh disamakan dengan kereta itu ialah Naib Presiden. PAS ada tiga Naib Presiden. Kini ialah Husam Musa, Mohamad Sabu dan Ahmad Awang. Husam dan Mohamad mencuba selangkah ke atas untuk bertanding Timbalan Presiden. Ahmad pula menarik diri.

Lima nama bersaing. Mereka ialah Salahuddin, Tuan Ibrahim, Mohd Amar, Mahfuz dan Mujahid. Semuanya bagus dan ada kelebihan masing-masing. Hanya tiga yang bakal menduduki kerusi terpenting selepas Timbalan Presiden itu.

Ujarnya lagi, ibarat kereta yang punya tiga palam pencucuh, prestasinya pasti merosot jika salah satu daripadanya ‘kantoi’. Kereta itu bergerak tetapi tersemput-semput. Sekali-sekala pasti terdengar letupan kecil kerana pembakaran bahan apinya tidak sempurna. Justeru, ketiga-tiga palam pencucuh itu mesti dalam keadaan baik.

"Mahfuz dan Salahuddin adalah bekas ketua pemuda. Mereka terbukti berwibawa semasa memimpin pemuda. Kalau mereka terpilih bermakna Pas sudah ada dua palam pencucuh yang bagus. Hanya satu lagi yang patut dipilih daripada yang berbaki.

"Mahfuz dan Salahudin telah teruji bersama PAS. Mereka aktif, kreatif dan kuat. Diyakini mereka berdua akan berupaya menjadi pembantu Presiden dan Timbalannya dengan sangat berkesan.

Satu lagi palam pencucuh yang sepatutnya terpilih ialah Mujahid, dakwanya. Dia juga bekas exco pemuda pusat. Kejayaannya meletakkan Kelab Penyokong Pas sebagai salah satu komponen penting Pas sepatutnya menjadi kriteria yang diambil kira oleh perwakilan.

"Mohd Amar juga bagus. Beliau sangat senang dibawa bergaul. Dia seorang yang sangat ‘friendly’. Prestasinya dalam kerajaan Kelantan juga menyerlah. Selain Mujahid, Mohd Amar juga berkemampuan untuk menjadi palam pencucuh ketiga," jelas beliau yang juga bekas Adun Santan.
Rasanya ramai orang perasan, penggal sekarang dan sebelum ini, hanya dua palam pencucuh sahaja berfungsi. Satu daripadanya kantoi. Kalau tidak silap, mereka dipertanggunggjawabkan dengan potfolio pemerkasaan parti.

Zolkharnain amat berharap selepas ini, perwakilan tidak terpilih Naib Presiden yang bakal menjadi palam pencucuh kantoi.

Selasa, Jun 02, 2009

Tulang Besi berkempen tak suka Husam, undi sahaja Mohamad Sabu tapi jangan undi...(?)


KUALA LUMPUR: "Saya tahu ramai yang sudah terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan kepada Husam Musa sejak tahun lepas. Sehingga ada blog "Anti Husam" yang diadakan khas untuk menyerang Husam Musa. Dan ada pula penulis upahan yang telah menulis buku untuk memfitnah Husam Musa dan akan dilancarkan sempena Muktamar depan ini. Ramai yang tak tahu, penulis upahan ini telah disaman oleh Husam Musa dua kali kerana beliau telah menuduh Husam tanpa bukti sebelum ini."

Demikian kata sepucuk emel dari Tulang Besi yang dihantar melalui "Penyokong Pas " kepada saya sebentar tadi. Agak menarik untuk difikirkan dan saya apungkan untuk tatapan anda semua.

Tulang Besi meminta mereka yang meragui Husam Musa, supaya mengundi Abang Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden. Janganlah mengundi calon Timbalan Presiden yang disukai dan diidami oleh Umno dan Barisan Nasional.

Katanya, cukuplah perpecahan dan persengkataan dalam PAS yang ditimbulkan oleh golongan yang berkepentingan dan bernafsu besar seperti mereka yang terlibat dalam Fraksi Umno ini. Mereka ini tidak membawa apa-apa kebaikan kepada PAS malahan mereka akan menjadikan PAS alat untuk menyelamatkan Umno sahaja.

Fraksi Umno ini adalah golongan yang tiada maruah dan mereka sanggup mengorbankan PAS semata-mata cita-cita dan kepentingan pribadi mereka sahaja.

Yang lebih menyedihkan, ulasnya, mereka sanggup menukar isu ini kepada kononnya menentang ulama. Sesiapa yang dilihat menentang usaha membawa PAS masuk Umno akan di cop menentang ulama. Begitu lah jahat dan jijik taktik yang dibawa oleh Fraksi Umno ini demi menyelamatkan Umno yang tercinta.

"Tidak disangka sebahagian dari ulama dalam PAS ini adalah dari jenis Harussani Zakaria dan mereka sanggup menjadikan PAS sebagai kuda tunggangan untuk menyelamatkan Umno," katanya keras.

Menurutnya, Husam menjadi mangsa mereka yang utama sebab tindakan Husam selama ini yang membawa PAS kepada arah yang lebih baik dan menurunkan populariti golongan totok dalam PAS. Pada PRU 2004, golongan totok ini menguasai keseluruhan imej dan tawaran PAS kepada umum. Hasilnya, PAS hilang Terengganu dan hilang semua kerusi di Perak dan Selangor.

Pada 2008, dakwa Tulang Besi, kaedah baru digunakan melalui usaha dan idea dari golongan "erdogan" atau "professional". Misalnya, digunakan slogan "PAS for All", di "engage" HINDRAFF, di tukar Negara Islam kepada Negara Berkebajikan.

Hasilnya, tambah beliau lagi, PAS mencatat kemenangan terbesar dalam sejarah PAS. Sekarang golongan totok ini mahu "membunuh" golongan professional/"erdogan" ini kerana:

a. Mereka mahu menyelamatkan Umno
b. Mereka mahu "hijack" kemenangan PAS ini dan menjadikan kemenangan ini seolah-olah hak mereka.
c. Mereka mahu memastikan PAS kembali kepada PAS sebelum 2004 sebab cara baru PAS ini bukan idea dari mereka.

"Bayangkan, orang yang bertanggungjawab ke atas kejatuhan Terengganu sekarang ini memacu usaha membawa PAS masuk BN."

Di Kelantan dakwa Tulang Besi, mereka memfitnah Husam Musa atas ke bawah sebab Husam Musa bertegas tidak mahu memberi balak kepada mereka ini. Kalau ditakdirkan Husam mengikut kehendak puak-puak ni, nescaya PAS akan kalah 2008 lepas. Maka Husam telah difitnah sehabis-habisnya untuk memastikan HUsam tidak naik dan penguasaan mereka terhadap balak di Kelantan dikekalkan.

"Di peringkat nasional, sekiranya Husam Musa dipilih, nescaya Umno akan tersunggkur PRU 13 kelak. Baru ni pun, Zahid Hamidi lari lintang pukang tak berani berdebat dengan Husam Musa setelah percubaan memfitnah Husam dengan tuduhan politik wang gagal," dakwa Tulang Besi penuh yakin.

"Oleh sebab itu, saya menyeru kepada mereka yang tidak menyukai Husam Musa, supaya mengundi Abg Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden. Kalau tidak, maka PAS hanya akan menjadi kuda tunggangan Umno sahaja dan akhirnya PAS terpaksa tunduk kepada tokeh judi dan arak, yakni yang menjadi pembiaya kepada Umno.

"Ingat, Najib Tun Razak tak sampai sebulan jadi MOF telah meluluskan 10 "Special Draw" yang baru. Tolonglah jangan jadikan PAS sebagai hamba kepada tokeh2 judi dan arak macam Umno," ujar beliau mengakhiri emel tersebut.

Jawatan Timbalan Presiden PAS makin panas, ketiga-tiga calon punyai potensi menang!


KUALA LUMPUR: Pertembungan antara Ustaz Nasharuddin Mat Isa dengan Husam Musa kelihatan begitu "panas" dirasakan menjelang pemilihan PAS pada Muktamar PAS ke-55, 5 Jun nanti. Semua mereka layak untuk dinobatkan.

Beberapa pemerhati politik rata-rata hairan apabila melihat dokongan padu akhbar primitif kuasaan Umno, Utusan Malaysia terhadap calon bertahan Timbalan Presiden PAS itu. Sejak sebulan lalu, Utusan bertindak seolah-oleh seperti akhbar pro Nasharuddin yang dikatakan duduk pada saff pro-muqabalah.

Pada masa yang sama, gelagat Husam Musa dengan kenyataan-kenyataan sinisnya terhadap Nasharuddin telah menimbulkan rasa kurang senang sesetengah perwakilan. Selain rakan akrabnya, Sayuti Omar suatu ketika dahulu yang terus membelasah Husam, portal berita Malaysiakini dilihat menjadi media rasmi berkempen Husam.

Sementara itu, Mohamad Sabu terus berceramah di merata Malaysia hingga tertinggal untuk berkempen secara serius. Media cetak mahupun media baru seperti portal berita dan blog, tidak mengangkat beliau.

Apakah sifat berdiam diri Nasharuddin yang didokong kuat Utusan Malaysia akan membawa tuah kepada beliau? Atau Husam yang terus dibelasah oleh musuh-musuhnya akan mendapat simpati perwakilan? Bagaimana dengan Mohamad Sabu yang tidak ke mana-mana dari segi pendiriannya, muqabalah tidak, pro Pakatan Rakyatpun tidak?

Bubar PAS: Apakah Haron Din lupa pernah cadangkan Anwar jadi Ketua yang bukan ulamak?


KUALA LUMPUR: Sekali lagi pemilik blog Jiwokelate melahirkan rasa kesal tentang peranan Dr. Haron Din yang disifatkannya tidak politik dan mengundang kekeliruan serta menaikkan kemarahan sesetengah ahli PAS sejak mukhakhir ini.

Katanya dalam posting terbaru hari ini, Jiwokalate mendakwa dalam Sinar Harian 30 Mei 2009 lalu, muka depan memaparkan tajuk “KESETIAAN AHLI DIRAGUI” dengan gambar Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.

"Dalam tulisan saya sebelum ini, dengan memetik berita muka depan Sinar Harian 30 Mei 2009, “Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din semalam menyuarakan kebimbangan bahawa tahap wala’ ahli kepada Presiden PAS semakin berkurangan kerana ada segelintir lebih menumpukan kepada pemimpin lain dalam memperjuangkan agendanya”.

Dr Haron Din katanya, menimbulkan isu tahap Wala’ kepada Presiden kini? Lupakah beliau dengan cadangan beliau supaya PAS dan PKR digabungkan dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengetuai parti gabungan tersebut, ulasnya lagi. Ini dilaporkan oleh Siasah keluaran 28 Oktober – 17 November 2005 seperti dilampirkan.

Dalam Siasah keluaran tersebut, Dr Haron Din berkata: “Beliau percaya PAS tidak mempunyai masalah termasuk untuk menjadikan Anwar sebagai pemimpin parti gabungan itu kerana PAS sebelum ini pun pernah menerima pemimpin yang bukan daripada pendidikan agama, seperti Dr Burhanuddin al-Helmi dan Asri Muda”.

Jiwokelate bertanya, apakah tahap wala’ Haron Din ketika itu kepada Presiden Parti sedangkan beliau sehingga kini menyandang jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS.

Tegasnya lagi, pengaruh luar mana yang telah meracuni Timbalan Mursyidul Am ketika itu. Adakah cadangannya itu di bawa ke mesyuarat atau, bagaimana, main redah sahaja? Tuduhannya sebahagian Pemimpin PAS kini diresapi dengan Pengaruh Luar (Agen Anwar dan Umno) terkena kepada dirinya sendiri, katanya.

"Atau mungkin tuduhannya itu ditujukan kepada kelompok yang ingin sangat (berkendak dalam gelap – istilah penarikbeca) dengan Umno/BN (UBN). Apakah Haron Din pelupa? Jika itulah sifatnya, maka amat wajarlah beliau mengundur diri kerana banyak kenyataannya kini menyusahkan parti.

Jiwokelate berkata, pendedahan ini dibuat kerana ’sikap melampau’ setengah pemimpin yang lupa kepada kenyataannya sebelum ini. Tuduhan atau tegur menegur atau nasihat menasihati tanpa fakta perlu dihentikan segera.

PAS mahu Dato' Yahya Mat Ghani tidak dibenarkan berucap atas jawatan Ketua Umno Batu - Ismail

KUALA LUMPUR: Penganjur Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Masjid Syaidina Ali K.W Kg Padang Balang masih belum berganjak untuk mengeluarkan slot ucapan Ketua Umno Bahagian Batu, Dato' Yahya Mat Ghani pada hari perasmian, 7 Jun depan.

Sehingga hari ini, penganjur belum membuat sebarang tindakan balas terhadap nota bantahan yang diserahkan oleh PAS Kawasan Batu pada 28 Mei lalu. Nota bantahan itu mengancam PAS melalui AJK Masjid, petugas program dan ahli-ahli dan penyokong Pakatan Rakyat tidak memberikan komitmen kepada penganjur selagi slot Ketua Umno itu masih degil diadakan.

Menurut Setiausaha PAS Kawasan, Haji Ismail Yahya, PAS tidak menolak usaha murni pihak masjid untuk mengadakan sambutan dan mengisi sambutan itu dengan bantahan terhadap Draf KL 2020.

Tegasnya, PAS tidak mahu Umno mempergunakan pentas masjid untuk mencari publisiti murahan, berucap dan bertindak seolah-olah program itu adalah restu mereka atau paling ekstrem mereka akan mendakwa atau ahli khariyah mendakwa program itu adalah program Umno.

"Sedangkan yang menghidupkan masjid itu adalah orang-orang PAS. AJK Masjid hinggalah imam dan bilal. Dan isu bantahan Draf KL 2020 juga telah digerakkan sendiri oleh PAS melalui Yang Dipertuanya yang juga Pengerusi Muafakat, Ishak Surin.

"Kita perjuangan hak rakyat dan masyarakat yang terbabit dengan pengambilan tanah ini. Tiba-tiba, Umno masuk daun. Seolah-olah mereka mahu memberitahu rakyta bahawa mereka juga menentang Draf KL 2020," tegasnya ketika dihubungi.

Walhal katanya, Umnolah dalang kepada Draf KL 2020, kini apabila rakyat bangkit menentang, mereka berpura-pura membantah sama.

PAS Kawasan Batu menegaskan, bukan niat mereka untuk mencetuskan kekeliruan tetapi secara jelasnya meminta penganjurkan meniadakan slot Ketua Umno Batu itu. Jadikanlah acara tersebut bebas dari unsur-unsur politik kepartaian.

Dato' Mustafa Ali larang Harakah kempen calon yang bertanding


KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Pemilih PAS, Datuk Mustafa Ali, melarang akhbar rasmi parti itu, Harakah untuk berkempen bagi calon-calon yang bertanding di dalam pemilihan PAS pada Jun depan.

Perkara ini ditegaskan Mustafa pada sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut Selasa lepas.

Menurut Mustafa yang juga Pengerusi Jamaah Pengarah Harakah itu, akhbar rasmi PAS itu harus berlaku adil kepada semua calon yang bertanding nanti. Pada sidang media yang sama, Mustafa Ali juga mengumumkan senarai penuh bagi calon yang bertanding bagi sesi 2009-2011.

Pemilihan akan akan di jalankan pada Muktamar PAS yang ke 55 tahun ini yang akan dijalankan di Stadium Melawati, Shah Alam bermula dari 5 hingga 7 Jun 2009.

Dewan Pemuda akan bersidang pada 3 dan 4 Jun di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar dan akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa. Manakala Dewan Ulamak akan bermesyuarat di Auditorium Muzium Shah Alam pada 4 Jun dan Dewan Muslimat akan bermesyuarat di Bangunan Majlis Bandaraya Shah Alam pada 4 Jun.

Pemilihan pimpinan PAS pada Muktamar Agung Ke-55 kali ini sudah macam Umno!


KUALA LUMPUR: Benarkah budaya berkempen atau lobi-melobi untuk rebut beberapa jawatan penting dalam PAS sudah dilihat menyerupai budaya Umno? Herman Samsudeen, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyifatkan pemilihan pimpinan tertinggi PAS pada Muktamar Agung Tahunan ke-55 kali ini, sudah macam Umno. Soal kempen, tuduh-menuduh dan beberapa agenda yang dianggap tidak sihat mula menular. Berikut Herman menukilkan pendapat beliau:

Mutakhir ini saya melihat persediaan sidang Muktamar yang bakal berlangsung pada minggu ini menjadi satu kegusaran pada ahli PAS, khususnya orang-orang lama. Tidak kurang juga pemerhati politik luar yang sudah mulai melihat perubahan mendadak PAS.

Malangnya perubahan itu lebih ke arah yang bertentangan dengan budaya PAS. Sepanjang bersama PAS, inilah kali pertama saya melihat berlakunya kempen secara terbuka untuk memenangi kerusi yang ditandingi dalam parti.

Orang-orang lama dalam PAS ada menegur. Sebelum ini, di zaman mereka menjadi pemimpin biarpun mereka menerima pencalonan yang banyak untuk bertanding satu - satu post jawatan dalam parti , mereka menerima dengan penuh cermat dan sopan, tidak kecoh-kecoh pun.

Ketika itu pertandingan sesama sendiri dalam parti lebih berkonsepkan Fastabiqul Khairaat (berlumba - lumba untuk berbuat kebaikan) bukannya berlumba menunjukan kehebatan pengaruh masing-masing. Bila tahu diri mereka dicalonkan, mereka cari sahabat lain yang turut dicalonkan dan berunding siapa yang layak. Mereka minta pandangan Majlis Syura dan akhirnya isu pemilihan kepimpinan dibuat secara beradab. Kalau lawan pun tiada sebarang pengumuman atau kempen.

Tetapi sifat itu pada hari ini saya lihat telah pudar dan luntur. Segelintir calon yang bertanding mula berkempen secara terbuka dan memanggil para wartawan dengan mengadakan sidang media khas hanya untuk menyatakan kesediaan merebut satu - satu jawatan dalam parti.

Ini kali pertama, perkara ini dilakukan hingga ada ahli yang rasa pelik sebab perkara sedemikian bukan tabiat pimpinan PAS.

Oleh itu ramai yang membuat justifikasi bahawa beberapa calon yang bertanding kali ini tidak mempunyai keyakinan dan kelayakan kerana terpaksa membuat publisiti murahan bagi memastikan mereka bakal merai undi untuk menang.

Hilang semangat untuk memikul amanah yang diberi oleh ahli dan parti tetapi lebih kepada berusaha mencari jawatan tersebut dan bersungguh - sungguh untuk menjatuhkan lawan yang kononnya ditolak oleh ahli, walhal orang itulah yang mendapat pencalonan yang paling banyak.

Tindakan ini dijustifikasikan melalui alasan bahawa ahli mahukan perubahan. Soal ahli mahukan perubahan atau tidak itu akan dilihat dari keputusan pengundian. Tetapi bila adanya kempen dan usaha yang bersungguh memperkenalkan diri sebagai calon, maka disitu seolah-olah ada satu desakkan untuk memastikan ahli mengundi mereka dan manifestonya adalah ‘perubahan’. Itulah manifestonya. Jika tak berkempen kenapa ada 'manifesto'? Kenapa perlu bagi justifikasi atau alasan untuk bertanding? Nak bertanding, bertandinglah. Jangan kecoh-kecoh.

Sungguh luar biasa perkembangan ini. Sekali lagi saya sifatkan ia sebagai pengalaman pertama dan kebanyakkan ahli serta orang lama sangat tidak senang dengan fenomena ini. Bahasa mudah yang boleh saya sebut, dah nak jadi macam Umno pemilihan PAS kali ini!

Mana tidaknya , kalau sudah berani kempen secara terbuka dan menghentam calon lain secara terbuka. Habis alat digunakan. Blog ni tak usah kira lah! TV pun mereka masuk untuk memuatkan kenyataan secara direct mempertikai calon lain. Macam berlawan dengan Umno dalam pilihanraya.

Walaupun ianya atas nama demokrasi, tapi ini sudah semakin kasar dan ganas . Sudah tidak kenal kawan dan lawan. Kelihatan nafsu Hubbur Riyaasah atau Hubbul Jaah kian merasuk, melonjak ke pundak mereka.

Bila tegur mereka kata tidak salah kempen secara terbuka atas nama demokrasi, tetapi bagi saya menghina kepimpinan sebelum ini dan menjustifikasikan tindakan mereka sebagai alasan kenapa perlu dijatuhkan, jelas menjadi satu perangai yang biadap. Malah mereka yang buat kenyataan itu juga pernah menjadi salah sorang pemimpin tertinggi juga sebelum ini.

Jika kepimpinan sebelum ini silap, mereka yang tak puas hati seharusnya tegur secara beradab pada waktu kejadian atau masalah itu berlaku, bukannya diseret dan dijadikan modal kempen pemilihan pula. Tegur sesama pimpinan dalam mesyuarat atau diluar mesyuarat. Buat apa nak kecoh pada media, walhal apa yang berlaku selama ini adalah hasil keputusan pimpinan terdahulu yang mana mereka juga sebahagian dari senarai pimpinan sebelumnya. Jika mereka kata pimpinan sebelum ini tidak layak, maka dia pun tak layak sebab dia pun pimpinan sebelum ini.

Saya pun dah tak tahu nak jawab apa bila ahli terus menerus mengasak berhubung isu ini. Tapi saya lihat terlalu banyak perlanggaran adab berjamaah. Mulanya saya pun sudah malas nak ulas perkara seperti ini . tapi makin dibiar makin melampau dan menjadi-jadi. Saya tahu apa yang saya tulis ini akan mencederakan sebilangan kecil pimpinan. Tapi bak kata pepatah, siapa makan cili dia yang rasa pedasnya. Siapa yang gatal dialah yang mengaru.

Mungkin ada yang tidak senang dengan penulisan ini, saya pun tak suka nak cerita. Tapi bila tak tulis nampak mereka makin besar kepala. Mereka boleh gunakan kuasa yang ada untuk panggil saya menjawab lepas ini, tapi ingatlah kebenaran itu tetap berada di atas.

Sebagai pimpinan Pemuda, tugas saya menjaga parti dan memimpin ahli kea rah kebaikkan. Setiap orang ada kesilapan, saya juga ada kelemahan tapi kita tegur untuk bagi peringatan. Kembali kuatkan parti bukan buat parti jadi huru hara. PAS bukan sekadar parti politik, PAS adalah gerakan Islam. Maka ada adab dan sahabat yang kita perlu jaga dan hormati.

Seterusnya, selepas selesai membuat persiapan Muktamar Pemuda Pusat malam tadi, saya ada juga berbincang dengan ahli pemuda dan sahabat di Wilayah. Beberapa panggilan juga saya terima dari sahabat dalam dan luar negara berhubung isu ini.

Mereka juga risau dengan budaya baru yang dibawa dalam PAS ini. Mereka risau jika apa yang berlaku tahun ini akan jadi trend pada pemilihan akan datang dan akhirnya selepas ini untuk jadi pemimpin PAS perlu keluarkan modal berkempen. Kena baik dengan media, kena pandai bodek ahli untuk pancing undi, kena buat kenyataan media, kena adakan press conference atau sidang media khas untuk umum kenapa nak bertanding dan macam-macam lagi idea pelik yang tiada dalam diari perjuangan PAS selama ini.

Jika perkara ini dibiarkan, akhirnya masyarakat akan melihat bahawa PAS ini sama sahaja dengan Umno. Mungkin juga Umno akan susun strategi untuk kirimkan orang mereka masuk PAS dan buat kempen yang lebih besar untuk rebut jawatan. Itu lagi bahaya, kerana mereka punyai kekuatan dana dan pengaruh media. Jadi sebelum ianya jadi lebih buruk saya mengajak para perwakilan, calon dan seluruh ahli untuk mengembalikan budaya dan tradisi pemilihan dalam PAS.
Contohilah sikap Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar saat kedua-duanya dicalonkan sebagai khalifah Islam selepas kewafatan Rasulullah. Sedikit pun mereka tidak merendahkan antara satu sama lain. Saidina Abu Bakar kata Umar lebih baik, dipuji akan kelebihannya dikhalayak ramai. Saidina Umar pula membalasnya dengan pujian dan akhirnya beliau sendiri yang menjadi orang pertama yang berbai’ah kepada Saidina Abu Bakar.

Mereka tidak gila kuasa, kerana mereka tahu masing-masing ada kelebihan dan kelemahan. Mereka bersama baiki kelemahan itu dan bersama berkongsi kelebihan itu. Itulah adab bersahabat dab berjamaah yang harus kita tuntuni.

Saya minta maaf jika artikel ini ada menyinggung sesiapa. Tetapi yakinlah bahawa ahli PAS kini sudah cukup matang untuk menilai pimpinan mana yang baik dan mana yang kurang baik. Kita serah keputusan dihati mereka kepada Allah, moga ada pentunjuk yang bermanfaat disana untuk kelangsungan Parti Islam yang kita sayangi ini.

Tok Guru Nik Aziz dakwa tiada masalah calon PAS pada PRK Dun Manek Urai 14 Julai depan

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata parti itu tidak berdepan dengan isu calon untuk dikemukakan bagi Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil kawasan itu (N41), 14 Julai depan.

Katanya, PAS Kelantan mempunyai senarai calon yang ramai dan berkelayakan serta berwibawa untuk dipilih mewakili parti bagi mengekalkan kemenangan yang dicapai oleh PAS pada pilihan raya umum lalu melalui wakilnya, allahyarham Ismail Yaakob.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, calon-calon berkenaan terdiri dari pelbagai latar belakang dan umur. Dan kemungkinan besar, tegasnya terdiri dari anak tempatan.

"Insya'allah orang tempatan," jawabnya ringkas, sambil tersenyum kepada para wartawan di Taman Melewar, baru-baru ini. Turut serta bersamanya, Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din dan Ahli Majlis Syura Ulama, Ustaz Hassan Shukri.

"PAS tidak mempunyai masalah untuk mencari calon kerana parti tersebut memiliki bilangan pemimpin yang ramai dan berkualiti untuk memikul amanah sebagai calon. Kita ada calon yang ramai," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Kelantan pada 6 Julai ini manakala pengundian dijalankan pada 14 Julai sekiranya ada pertandingan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, proses penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi akan diadakan di Dewan Petra, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.

Kata beliau, sebanyak sembilan buah sekolah akan dijadikan pusat mengundi yang melibatkan 27 saluran. Pengundian di kawasan Dun itu membabitkan seramai 12,293 pemilih berdaftar iaitu 12,268 pemilih biasa manakala 25 lagi adalah pemilih pos. Pilihan raya kecil ini akan mengguna pakai daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2009 yang telah dikemaskinikan sehingga 22 Mei lalu.

Menurut Abdul Aziz, majoriti pengundi adalah penduduk tempatan, hanya 10 peratus sahaja yang tinggal di luar daripada kawasan itu. Pada jangkaannya, mereka tidak mempunyai masalah untuk keluar mengundi dan SPR menyasarkan jumlah keluar mengundi boleh mencecah hingga 85 peratus, iaitu peningkatan satu peratus berbanding Pilihan Raya Umum 2008.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat ahli suruhanjaya berkenaan bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil itu di Ibu Pejabat SPR 28 Mei lalu.

Kerusi Dun Manek Urai diisytiharkan kosong berkuatkuasa 23 Mei lalu ekoran penyandangnya, Ismail Yaacob meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 22 Mei lalu kerana sakit jantung.

Allahyarham yang mewakili PAS mula memenangi Dun Manek Urai pada pilihan raya umum 1986 dan pada pilihan raya umum tahun lalu, Ismail mengalahkan calon BN, Mohamed Zulkifli Omar dengan majoriti 1,352 undi. BN sebelum ini pernah memenangi kerusi itu menerusi Mohamed Zulkifli pada pilihan raya umum 2004 dengan majoriti tipis 53 undi.

Daripada segi komposisi pengundi, sebanyak 99.2 peratus pengundi di Dun Manek Urai adalah orang Melayu manakala Cina (0.46 peratus) dan India (0.23 peratus).

Sebagai persediaan, SPR telah melantik Ketua Jajahan Kuala Krai, Adnan Hussin sebagai Pegawai Pengurus pilihan raya kecil itu manakala Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan dan Pelupusan Tanah), Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof dan Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan Fizikal), Mohd. Zulkarnain Baharuddin sebagai Penolong Pegawai Pengurus.

Khalid Samad persoal siapa bocor jumlah pencalonan, kempen Haron Din dalam Sinar Harian dan lobi pada Ijtima Ulama!

Benarkah Dr Haron Din berkempen sakan untuk memenangkan Ustaz Nasharuddin Mat Isa sebagai Timbalan Presiden PAS?

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam yang juga calon Ahli Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat, YB Khalid Abdul Samad sekali lagi mempersoalkan kempen-kempen yang dijalankan oleh kumpulan muqabalah khususnya Dr Haron Din. Komentarnya pada Ahad, 31 Mei yang dikutip dari blognya cukup menarik untuk ditimbang fikir selain menilai apakah yang berlaku sekarang suatu yang baik untuk parti. Berikut komentar beliau:

Menjelang Muktamar PAS yang ke-55 ini, ramai yang tertanya-tanya, atas dasar apa hendak kita memilih? Sekiranya kita terpengaruh dengan mainan media lawan, kita akan menjawab, “atas dasar ulama’ atau profesional”.

Media lawan memberi gambaran bahawa adanya persaingan dan persengketaan di antara ulama’ dan profesional dalam PAS. Ini tidak benar! PAS merupakan sebuah parti Islam dan Islam tidak menggalakkan pertembungan di antara kumpulan ilmuan sebegini rupa. Hakikatnya Islam menuntut SEMUA, ulama’, profesional dan seluruh ummatnya bersatu atas perjuangan menegakkan Islam. Yang ingin ulama’ dan profesional berlaga atau dilaga-lagakan telah membantu musuh-musuh Islam. Tidak kira, samada dia ulama’ ataupun professional, samada dia sedar atau pun tidak.

Isu sebenarnya bukan isu profesional mencabar ulama’ atau ulama’ mencabar profesional. Isu sebenarnya ialah perbezaan pendapat dan pendekatan. Itulah hakikatnya. Ada yang ingin berdamai dengan Umno kerana tidak selesa dengan kerjasama dengan DAP dan PKR. Ada pula yang ingin terus bersama PR dan berusaha supaya Umno terkubur! Kedua-dua kumpulan ini terdiri dari ulama’ dan juga profesional.

Bagi yang ingin berdamai dengan Umno, mereka merasakan bahawa PR menguntungkan orang bukan Melayu yang juga orang bukan Islam. PR dianggap merugikan orang Melayu yang juga orang Islam. Mereka melihat PR sebagai kerajaan minoriti Melayu di Selangor dan juga dulu di Perak dan beranggapan tindakan yang paling wajar ialah bagi PAS mengkaji untuk mengadakan perhubungan dan persefahaman atau kerjasama dengan Umno/BN. Ini akan mengukuhkan kedudukan Melayu yang juga Islam dan akan dengan itu terbentuk kerajaan Melayu Islam yang kukuh dan mantap. Ini boleh berlaku di Selangor, Perak, Kedah, Terengganu dan kebanyakan negeri-negeri di Malaysia. Begitu juga di peringkat Pusat. Wawasan mereka ialah penyatuan orang Melayu Islam akan membawa kepada Negara Islam.

Mereka tidak mampu mengasingkan Melayu dari Islam dalam konteks negara kita ini. Maka, inilah juga sebab berlakunya pertemuan dengan Pak Lah dan Khir Toyo pada 10 Mac tahun lepas, selang beberapa hari sesudah PRU ke-12. Inilah sebabnya isu muzakarrah dan muqabalah timbul tak habis-habis.

Maka inilah yang digambarkan oleh TGNA di Ipoh sebagai keadaan bagaikan seorang yang sebelah kakinya di sebuah perahu dan sebelah lagi di perahu yang lain!

Bagi yang ingin terus bersama PR pula, mereka menganggap masa depan Negara ini adalah bersama PR dan melalui PR risalah dan matlamat perjuangan PAS akan lebih mampu dicapai. Islam dapat dizahirkan melalui imej yang lebih bersih dan mulia, bebas dari segala keburukan yang memalit Umno/BN.

Golongan yang kedua ini dituduh ‘Erdogan’, ‘pro-Anwar’ dan sebagainya kerana tidak mahu terima pandangan golongan pro-kerjasama dengan Umno. Mereka yang ditonjolkan sebagai menganggotai kumpulan ini adalah orang-orang yang digelar profesional, seperti saya, walaupun sebenarnya ulama’ seperti TGNA, Ust. Ahmad Awang dan ramai lagi para ulama’ yang juga jelas menentang kaedah dan pendekatan seperti ini. Tuduhan-tuduhan ini sebenarnya bertujuan menutup isu sebenar, maka ditimbulkan isu ‘profesional lawan ulama’. Sedangkan pada hakikatnya bukan semua ulama’ setuju dan bukan semua profesional menolak! Contoh paling jelas ialah diantara saya dan PJ Selangor yang berbeza pendirian dalam soal ini. Walaupun kedua-dua kami digelar profesional tetapi dalam soal ini kami berbeza.

Kumpulan ini juga dituduh lebih patuh pada Anwar dari DS Presiden sendiri. Kononnya kami agen Anwar dalam PAS dan wala’ kami adalah pada Anwar. Ini juga sandiwara dan mainan mereka. Biar saya nyatakan secara jelas disini, dalam situasi sekarang, jika ditakdirkan Anwar pula yang berhajat membawa PAS berkerjasama dengan BN, Anwar akan kita tolak! Kalau PKR dibawa ke arah itu, dengan PKR-PKR sekali kita tolak!

Dalam soal ini, bukan ada ‘pihak yang baik’ dan ‘pihak yang jahat’. Ianya persoalan perbezaan pendapat dan pendekatan yang dipilih. Saya harap perkara ini jelas kepada semua. Ada yang cuba berhujjah bahawa wajib kita berkerjasama dengan Umno dan menggunakan ayat 61 Surah Al-Anfal sebagai hujjah mereka. Ini dibalas pula dengan hujjah wajib kita menepati perjanjian dengan PR dan ayat-ayat 91, 92 dan 94 Surah An-Nahl dikemukakan.

Pihak pertama menempelak balik bahawa “tiada perjanjian dengan PR”. Pihak kedua menjawab “oleh kerana dianggap ada, maka rakyat mengundi kita! Kalau rakyat tahu kita akan berpakat dengan Umno kalau menang, adakah kamu fikir rakyat akan mengundi kita?”

Dan perbahasan ini berterusan...

Akhirnya bagi saya ianya berbalik kepada persoalan kematangan berpolitik. Golongan pertama inginkan kemenangan yang mudah, secara segera dan bersifat “selamat”. Tetapi kemenangan mudah pada jangka waktu singkat boleh menafikan kemenangan mutlak pada jangka masa panjang. Atau dalam bahasa Inggeris, “winning the battles but losing the war”. Terjemahan literalnya, “menang di pertempuran-pertempuran kecil tetapi kecundang dalam pertempuran utama”.

Namun demikian, biarlah saya kembali kepada persoalan yang asal, iaitu, atas dasar apa hendak kita memilih? Jawapan ringkas saya: atas dasar siapa pro-kerjasama dengan Umno dan siapa tidak.

Kalau yang pro-kerjasama ini menang maka percayalah, isu muzakarrah dan muqabalah akan terus kedengaran. PAS tidak akan mampu memecut terus ke depan dengan lajunya di dalam PR kerana dua kaki dalam perahu yang berbeza.

Kalau yang anti-kerjasama menang, maka dua-dua kaki dalam perahu yang sama, iaitu perahu PR. Isu muqabalah dan muzakarah tidak akan kedengaran sama sekali, dan insya Allah PAS akan terus memecut ke hadapan, serta akan dilihat sentiasa di saff hadapan PR dalam segala isu.

Oleh itu, pilihlah atas dasar ini. Pro-Kerjasama atau Anti-Kerjasama, bukannya antara ulama’ atau pun profesional. Itu isu pihak lawan, bukan isu kita.

Nasruddin Tantawi sedia untuk dibimbing dan dipimpin dalam PAS

KUALA LUMPUR: Pemilihan beliau sebagai Ketua Pemuda PAS dianggap bukan suatu kebanggaan atau anugerah tetapi ia adalah tanggung jawab dan amanah yang mesti dipikul demi kemantapan parti, lapor Nyza Ayub.

Demikian antara harapan Ustaz Nasrudin Hassan yang menang tanpa bertanding bagi jawatan nombor satu dalam Dewan Pemuda PAS Pusat untuk sesi 2009-2011.

"Saya bukanlah yang terbaik tetapi setelah diamanahkan oleh Pemuda, maka saya mengambil satu tanggungjawab untuk memikulnya. Saya juga sangat mengharapkan petunjuk dan kekuatan daripada Allah untuk menerajui Pemuda agar lebih baik dari hari semalam.

"Saya juga mengharapkan dengan gandingan Ahli Jawatankuasa Pemuda yang bakal dipilih dalam muktamar nanti di samping Timbalan Ketua dan Naib Ketua yang telah menang tanpa bertanding dapat melaksanakan misi dan visi bagi menggerakkan Pemuda," ujarnya sewaktu dihubungi.

Beliau juga, katanya bersedia untuk ditegur dan diperbetulkan oleh kepimpinan PAS sekiranya berlaku kesilapan dalam menerajui Dewan Pemuda.

"Jika sekiranya saya lemah dan leka, saya juga bersedia untuk segera dibimbing dan dipimpin. Ini untuk memastikan kepimpinan Pemuda terus terpelihara. Bukan bermakna apabila saya dipilih menjadi ketua, saya boleh bertindak sewenang-wenangnya. Sebab saya hanyalah pemegang amanah," tegasnya.

Sementara itu sewaktu ditanya apakah beliau akan meneruskan kesinambungan kepimpinan Pemuda yang terdahulu, jelasnya, beliau akan menggunakan pendekatan untuk meneruskan tradisi-tradisi yang telah digagaskan oleh kepimpinan sebelum ini.

Kata Nasruddin, beliau akan terus meneroka serta melaksanakan penemuan baru yang dapat memberi manfaat kepada PAS.

Disamping itu, beliau juga akan mempastikan pengukuhan tarbiyah Pemuda akan terus dipergiatkan dengan mensasarkan tiga elemen utama. Tiga elemen tersebut katanya ialah akidah perjuangan, fikrah serta pemikiran Pemuda yang mestilah jelas serta berasaskan manhaj perjuangan Islam yang tulin serta saksiah Pemuda yang soleh yang boleh menarik lebih ramai sokongan terhadap perjuangan Islam.

"Saya percaya bahasa badan itu jauh lebih baik daripada bahasa lidah. Oleh sebab itu akhlak Pemuda hendaklah menjadi sebahagian daripada dakwah kepada masyarakat. Tanggung jawab setiap pemimpin untuk memperkasa parti dari masa ke semasa. Insya-Allah kita akan fikirkan serta lakukan sesuatu agar PAS khususnya Pemuda akan berdiri segak di tengah-tengah persada politik tanah air," tegasnya.

Dalam pada itu, Nasrudin juga berhasrat untuk memantapkan perhubungan Pemuda dengan gerakan Islam di peringkat antarabangsa kerana beliau percaya elemen-elemen global tetap mempunyai pengaruh terhadap perkembangan Islam di tanah air.

Mengapa Dewan Ulama tidak menampilkan muka baru?

KUALA LUMPUR: Banyak juga yang bertanya, kenapa Dewan Ulama PAS Pusat tidak mengemukakan pimpinan baru untuk memimpin dewan itu sesuai dengan hasrat PAS untuk memperkasakan ulama.

Ada yang bertanya, kenapa Dato' Harun Taib datang semula mengemudi dewan itu? Apakah sudah tiada ulama muda yang layak atau PAS sudah ketandusan pemimpin yang berkalibar untuk mengepalai dewan yang dianggap tunjang kepada parti itu?

Mereka bersetuju dengan saranan bekas Ketua Dewan Ulama, Dato' Daud Iraqi sebelum ini yang akan meremajakan dewan tersebut dengan mengemuka
kan pemimpin muda yang berkaliber, berwibawa dan memliki ilmu agama yang tinggi.

Bagaimanapun, rata-rata kecewa apabila kerusi nombor satu itu diserahkan kembali kepada Dato' Harun Taib, yang disifatkan mereka sebagai sudah "kaku" dan seorang yang "sukar" untuk menerima perubahan dan melakukan perubahan dalam PAS.

Ada juga yang musykil kenapa tidak diangkat Ketua Penerangan Dewan Ulama, Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh, Dr Azhar Yaakob, Ustaz Zulkarnain Hassan atau paling kurang, Dr Mahfozd Mohamad yang kini diletakkan sebagai Naib Ketua diangkat menjadi ketua yang baru.

Isnin, Jun 01, 2009

Joceline Tan tulis di The Sunday Star tentang "memomokkan Pemuda PAS yang berjubah dan berjanggut"

KUALA LUMPUR: Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan SMS mengulas tulisan kolumnis tersohor akbar The Star, Joceline Tan di The Sunday Star semalam bertajuk "PAS Youth set to go conservative". Ikuti ulasannya dibawah:

"Suatu aliran tren yang konservatif dijangka bermula dalam sayap Pemuda PAS kerana Ketua Pemudanya yang baru adalah seorang ulama yang berimej jubah dan janggut manakala Timbalannya juga seorang ulamak dan seorang penternak kambing yang agak berjaya."

Demikianlah pembukaan artikel kolumnis Joceline Tan dalam akhbar The Sunday Star semalam di bawah tajuk "PAS Youth set to go conservative".

Bagi saya yang membaca saya melihat artikel ini cuba menggambarkan yang Dewan Pemuda PAS telah kononnya jatuh ketangan mereka yang kolot yang tidak mampu meneruskan usaha engagement yang kononnya hanya dipelopori oleh kelompok-kelompok yang tertentu dalam PAS.

Jubah, serban dan janggut serta kelayakan sebagai ulamak menggambarkan kekolotan dan satu langkah kebelakang, sesuatu yang bakal merugikan dan menggagalkan PAS dalam usaha politiknya. Benarkah begitu?

Agaknya penulis lupa bahawa PAS selama ini dipimpin oleh orang yang berjubah, berserban dan berjanggut sehingga membawa PAS keperingkat pencapaian yang ia ada pada hari ini dan melahirkan ramai barisan profesional yang tunduk dan komited pada perjuangan parti. Bukankah Presiden PAS dan Mursyidul Amnya memiliki imej demikian, gagalkah PAS?

Mungkin penulis tidak kenal PAS sebenar-benarnya atau hanya mengenali orang-orang tertentu dalam PAS.

PAS adalah sebuah parti Islam yang berjuang untuk memartabatkan dasar dan prinsip Islam walau ia dipimpin oleh sesiapa sekalipun. Sesiapa jua yang berpegang kepada prinsip dan dasar perjuangan Islam wajib bangkit mempertahankannya dan bekerja sehingga ia berjaya. Politik Islam tidak bertenggek pada dasar matlamat menghalalkan cara. Jalan dan laluannya telah terang terbentang di hadapan, dan para pemimpinnya wajib mengikuti jalan dan laluan itu bukan sebaliknya.

PAS bukan lagi PAS kalau agenda Islam digadaikan semata-mata kerana mahu popular atau mahu berpaut pada kuasa. Sikap yang teguh dan tidak berubah-ubah pada pendirian inilah menyebabkan PAS kekal berada pada landasan ini sehingga hari ini.

PAS tidak akan menutup mata, sebelah atau dua belah apabila berhadapan dengan isu yang membabitkan prinsip. Kerana itu walau ia sebahagian dari kerajaan di Selangor Pemuda PAS bangkit menentang konsert maksiat, walau PAS terlibat dalam penganjurannya Pemuda PAS bangkit menentang Curberator Dung apabila berlaku aksi lucah dan melampau.

Apatah lagi dalam isu-isu yang membabitkan aqidah dan perundangan Islam.

Tidak kiralah siapa yang menerajui Pemuda PAS atau PAS Pusat sekalipun, samada mereka berjubah,berserban, berjanggut atau tidak, syaratnya mereka mesti taat dan berpegang teguh kepada prinsip dan dasar perjuangan Islam yang dibawa PAS yang diwarisi turun temurun dari Baginda Rasulullah saw.

Pemuda PAS saya yakin alan melangkah ke hadapan tanpa teragak-agak, gagah dan taat memikul dan menjunjung amanah perjuangan Islam. Kata Joceline: "The direction he (Nasruddin) takes may take the wing forward or backwards".

Di saat Islam ditinggal, dipinggir atau diubah-ubah termasuklah diliberal atau dimoderatkan menurut kesesuaian ketika itulah Pemuda dan PAS akan terlontar ke belakang dan mengundang murka Allah. Tetapi berpedomankan Kepimpinan Ulamak insyallah Pemuda dan PAS akan selamat dan terus mengorak langkah maju ke hadapan, biar syahid ataupun kemenangan!

Subky Latif tidak setuju semua jawatan PAS ditandingi. Empat syor halang cabar Presiden dan Timbalannya!

MUQADDIMAH: Berikut adalah Kertas Kerja antara pengasas Kepimpinan Ulama yang juga bekas Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat ketika konsep ini dicetuskan, HAJI AHMAD SUBKLY ABDUL LATIFF bertajuk "Pengkesahan 25 Tahun Kepimpinan Ulamak" yang dibentangkan pada Sambutan Ijtima Jubli Perak 25 Tahun Kepimpinan Ulamak PAS di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar pada 23 Mei 2009:

KEPIMPINAN ulamak dalam PAS tidak bermula sekadar 25 tahun dulu saja. Ia sudah bermula sejak PAS ditubuhkan pada 24 November 1951 di Butterworth, Seberang Perai. Ada pun usul yang diputuskan oleh Muktamar PAS pada 23 Oktober, 1982 supaya ‘PAS mempelopori konsep kepiminan ulamak’ adalah pencetusan semangat kepimpinan ulamak itu.

Sejak dari peringkat penajaannya, PAS adalah ditaja sebuah pertubuhan alim ulamak yang namanya dicadangkan ialah Persatuan Ulamak Se-Malaya. Tujuannya adalah bagi menyatukan para alim ulamak dan menjadi suara dan wadah kepada perjuangan ulamak.

Tetapi dalam satu perjumpaan penajaannya, Engku Ismail Abdul Rahman, Yang Dipertua Jabatan Agama Johor ketika memberi ucap tama menegaskan:

“Pada faham saya bagi memperbaiki hal ehwal orang Islam, sampailah masanya kita menubuhkan Parti Muslimin Malaya yang bertanggungjawab atas hal ehwal orang-orang Muslimin. Sekiranya parti ini telah ditubuhkan tak dapat tiada ahli-ahlinya mengandungi alim ulamakk. Maka dengan demikian lebih luas daripada Persekutuan Ulamakk yang dicadangkan itu.” (Utusan Melayu, 20 Ogos, 1951).

Dan pada perjumpaan menubuhkan PAS di Seberang Perai itu, orang-orang Islam yang berjiwa politik Islam menamakan pertubuhan yang baru lahir itu sebagai Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) supaya keahliannya dapat disertai oleh setiap umat yang berjiwa perjuangan Islam yang ketika itu berazam untuk menuntut kemerdekaan.

Sejak ulamak menubuhkan PAS yang disokong oleh umat Islam, ia telah menerima konsep kepimpinan ulamak dan memilih ulamak sebagai tonggak kepimpinannya. Ada pun rahsia kekuatan PAS itu mengikut Almarhum Ustaz Fadzil Mohd. Noor dalam ucapan dasarnya di Muktamar PAS ke 47, tahun 2001:

“Di manakah rahsia ketahanannya (PAS) hingga dihormati oleh banyak pihak dalam dan luar, kawan dan juga lawan? Rahsianya ialah perjuangan Islamnya berlandaskan al-Quran, as-Sunnah, Ijmak (Ulamak) dan Qiyas, mendukung kepimpinan ulamakk dari dulu dan sekarang, didukung oleh ahli-ahli dan penyokong yang kasih, setia dan berdiri teguh bersama ulamak.”

Krisis Keyakinan

PAS menghadapi krisis keyakinan paling getir sepanjang tahun 1970an disebabkan oleh banyak faktor:

1. Ekoran penahanan Yang Dipertua Agung, Dr. Burhanuddin Al-Hilmi di bawah ISA menjelang pertengahan tahun 1960an, dibebaskan dalam keadaan uzur yang sukar bergiat hujung tahun 60an dan kematian kemalangan jalan raya Timbalan Yang Dipertua Agung, Prof. Zulkifili Mohamad tahun 1964, mendedahkan PAS terlucut dari kemimpinan ulamak;

2. Penyertaan PAS dalam kerajaan campuran Perikatan/PAS tahun 1973 dan menyertai Barisan Nasional tahun 1974, meletakkan PAS dalam perpecahan;

3. Ditendang dari BN dengan cara tidak sopan;

4. Kelantan dimagerankan dengan kerajaan negeri diletakkan di bawah tadbir pegawai tadbir kerajaan Pusat;

5. PAS kalah dalam pilihan raya umum di Kelantan tahun 1978;

6. Gaya pimpinan parti yang mengikut persepsi umum terlepas dari atmosfera Islam;

Peranan ulamak yang minima dan terpinggir;

7. Moral dan daya juang ahli yang rendah;

8. Wujud krisis keyakinan di kalangan aktivis lalu menubuh atau menyertai jamaah Islam yang lain.

Membaiki Dari Dalam

Suasasa yang wujud menyulitkan ia keluar dari krisis keyakinan itu; anggota hilang daya pengorbanan; antaranya merasa selesa dengan ‘nikmat’ yang sedikit dan sementara semasa di bawah Barisan Nasional, sukar menyesuaikan diri semula dengan suasana perjuangan yang memerlukan pengorbanan serba serbi seperti dalam PAS dulu; ada yang rasa selesa meneruskan kegiatan dakwah di luar jamaah PAS; ada yang menubuhkan jamaah sendiri kerana tidak puas hati dengan PAS; sukar mengembalikan perpaduan dan persaudaraan seperti sebelumnya;

Mereka yang terdidik dengan disiplin gerakan Islam, tidak selesa dengan krisis dalam PAS tetapi kekal dalam PAS, kerana keluar jamaah atau membentuk jamaah lain bukan dari kaedah gerakan Islam. Justeru yakin bahawa krisis itu adalah berpunca dari kelemahan pimpinan, bahawa langkah yang tepat ialah menggantikan pimpinan itu dengan pimpinan lain yang lebih baik.

Antara kelemahan yang disebut-sebut ialah perjuangan PAS lari dari garis perjuangan Islam, malah ada persepsi yang melihatnya kalau pun tidak sama dengan golongan nasionalis adalah mirip golongan nasionalis.

Pendapat setengah kalangan PAS, pimpinan PAS dikelilingi orang-orang yang mahukan Islam tetapi tidak terdidik secara formal melalui pendidikan Islam, malah tiada biasa dengan tarbiyah haraki. Ia menyebabkan pimpinan berpendidikan formal Islam renggang dan kurang peranan.

Era tahun 70an adalah era kesedaran dan kebangkitan belia Islam di serata dunia termasuk di Britain dan Eropah. Pengaruhnya ikut berkembang di Malaysia. Para pelajar dan belia mula berminat dan tertarik dengan apa yang disebut perjuangan Islam yang syumul. Mereka muncul sebagai pengkritik masyakat Islam yang berkesan dan berpengaruh. Mereka meminati PAS tetapi menunggu supaya PAS lebih dinamik sebelum berjuang bersama dalam PAS. Alasan setengah golongan belia Islam tidak segera terjun ke dalam PAS ialah pimpinan PAS dikatakan tidak mencerminkan golongan pimpinan Islam yang dikehendaki.

Pandangan di kalangan akar umbi PAS bahawa kelemahan yang melanda PAS itu adalah gara-gara terlucutnya pimpinan ulamak dari kalangan pembuat dasar PAS dan pandangan ini dikongsi oleh masyarakat di luar PAS. Ia menjauhkan barakah dari gerakan itu dan terdedah dengan fitnah. Pimpinan PAS pula beranggapan bahawa pimpinan ulamak itu sudah memadai dengan pembentukan dan pimpinan Dewan Ulamak.

Dewan Pemuda

Dewan Pemuda PAS muncul sebagai pengkritik utama kepada pimpinan PAS yang tidak berupaya mewujudkan wihdaul fikri di kalangan jamaah.

Antara aktivis Pemuda PAS dalam ceramah-ceramahnya menekankan bagi mengadakan perubahan dalam pimpinan PAS dengan mengutarakan pentingnya kepimpinan ulamak dikembalikan dalam PAS. Bahkan kelemahan dunia Islam seluruhnya adalah disebabkan masyarakat Islam mengenepikan kepimpinan ulamak. Pandangan itu mendapat perhatian umum.

Usaha melakukan perubahan pimpinan itu bukan suatu yang mudah. Pimpinan PAS yang ada mempertahankan kedudukan dan dasarnya. Tidak dapat dipastikan cara mana dan berapa lama usaha mengubah kepimpinan dapat dijayakan.

Dalam Muktamar PAS tahun 1982, Dewan Pemuda PAS dibenarkan buat pertama kali mengadakan Muktamarnya lebih awal, dua minggu sebelum Muktamar PAS pusat. Ia kembali mengadakan muktamar di negeri lahir PAS, di Seberang Perai iaitu di Bukit Mertajam. Muktamar itu meluluskan sebulat suara usul Exco Dewan Pemuda PAS Pusat yang berbunyi PAS hendak mempelopori konsep kepimpinan ulamak.

Ia mendapat reaksi yang baik. Dipercayai usul itu mendapat barakah. Berkat usul untuk mendaulatkan ulamak itu, selepas berhenti rehat setelah menyampaikan ucapan perasmian Muktamar PAS Pusat di hari pertama Muktamar itu, Setiausha Agung membacakan kepada muktamar surat daripada Yang Dipertua Agung PAS mengembalikan semula kepada Muktamar mandat pimpinan yang diberi kepadanya. Muktamar sebulat suara menerima penyerahan mandat itu tanpa bahas.

Ini bererti perubahan pimpinan berlaku dengan mudah tanpa dirancang dan ia dipangku oleh Timbalan Yang Dipertua Agung yang pro perubahan. Esoknya usul Muktamar Dewan Pemuda PAS yang diluluskan di Bukit Mertajam dibentangkan dalam Mutamar PAS iaitu mengusulkan supaya PAS mempelopori konsep kepimpinan ulamak. Ia diterima sebulat suara. Dan bermulalah semula kepimpinan ulamak dalam PAS.

Yang memudahkan lagi peralihan kuasa dan pelaksanaan konsep kepimpinan ulamak itu berikutnya 13 anggota Jawatankuasa PAS mengambil langkah keluar parti dan ia membuka laluan kepada pimpinan pro perubahan menyatukan perpaduan parti melalui konsep kepimpinan ulamak.

Mengapa Kepimpinan Ulamak?

1. Allah cipta manusia untuk menjadi khalifah – pemimpin – mentadbir bumi;

2. Pemimpin di kalangan manusia ialah mukmin yang paling takwa yang berilmu iaitu para Nabi dan Rasul;

3. Sesudah ketiadaan Nabi dan Rasul, ulamak menjadi waris para Nabi;

4. Maka secara otomatis pimpinan umat Islam dan gerakannya ialah golongan ulamak yang meneruskan perjuangan para anbia;

5. Perjuangan warisan anbia dijamin barakah;

6. Jika boleh semua organisasi dan gerakan dipimpin oleh ulamak; jika persatuan bola dipimpin oleh ulamak ia nescaya mengelak semua pantang larang adab dalam Islam.

Konsep

Usul Dewan Pemuda sekadar mencetuskan tuntutan mempelopori konsep kepimpinan ulamak dan kembali kepada kepimpinan ulamak, tidak memperincikan isi konsepnya;

Ia mahu ulamak dan institusi ulamak (Dewan Ulamak) didaulatkan dan diletakkan di tempat yang tinggi dalam parti dan ia mesti disokong bagi menentukan arah tuju parti;

Golongan non ulamak dalam parti memainkan peranan penting berdiri di belakang ulamak bagi memartabat dan mendaulatkannya;

Non ulamak, kerana terlepas peluang menjadi ulamak, bagi menjamin ia tidak terlepas pula syafaat ulamak dan barakahnya, maka ia mesti bekerja bersama ulamak bagi membantu ulamak;

Dewan Pemuda menyerahkan kepada parti mengisi isi konsep itu;

Tindakan

Parti mengambil tindakan mengekalkan fungsi Dewan Ulamak sebagai sayap PAS yang penting;

Parti membentuk Majlis Syura Ulamak yang dianggotai 100 ulamak dan menginstitusikannya sebagai organ tertinggi bertanggungjawab kepada Muktamar. Semua keputusan besar melibatkan badan di luar PAS dibuat atas nama Majlis Syura Ulamak. Ia boleh membatalkan keputusan Presiden dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Sejarah

Ketika pencetusan semula kepimpinan ulamak hujung tahun 70an dan awal 80an tidak diperinci bentuk dan isi konsep kepimpinan itu kerana suasana kebangkitan itu didorong oleh tuntutan dan kebangkitan aqidah. Semangat menjadi faktor kedua.

Ketika ia berlaku wujud satu gandingan kepimpinan ulamak yang kuat yang terdiri dari Tuan Haji Yusof Rawa, Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Ustaz Fadzil Mohd. Noor dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Isu kepimpinan dan gantian tidak berbangkit justeru gandingan mantap itu berterusan sekitar 30 tahun;

Dalam tempoh itu wujud pasukan kepimpinan ulamak dan ahli seluruhnya bersatu di belakang kepiminan ulamak.

Dalam suasana itu tidak timbul jawatan-jawatan tertentu dalam parti mesti disadang oleh ulamak. Sejak tahun 1983 barisan pimpinan dari Yang Dipertua Agung hingga semua Naik Yang Dipertua Agung terdiri dari tokoh ulamak, hatta beberapa ahli Jawatankuasa Pusat yang terpilih adalah ulamak.

Justeru itu perlembagaan parti tidak merasa perlu memperuntukan jawatan tertentu layak disandang oleh golongan tertentu.

Syor

Oleh kerana terdapat perbezaan pandangan antara setengah ulamak dan setengah tenaga profesional tentang jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan sekurang-kurangnya seorang Naib Presiden mesti terdiri dari ulamak dan satu pihak lagi mahu jawatan itu terbuka kepada semua, maka ada syor supaya perkara itu diperincikan dalam perlembagaan.

Perkembangan ini mencabar wibawa dan keberkesanan pimpinan ulamak itu.

Bagi mengelakkan ia terus tercabar, maka pindaan perlembagaan boleh dielakkan dulu dengan mengambil tindakan berikut:

Pertama: parti secara konvensyen membuat keputusan memberi kuasa kepada Majlis Syura Ulamak kuasa merundingkan beberapa jawatan penting yang sepatutnya diperuntukkan kepada ulamak dinamakan oleh Majlis Syura Ulamak untuk dicalonkan oleh perwakilan;

Kedua: sekiranya berlaku kekosongan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, Majlis Syura Ulamak boleh menamakan seorang ulamak dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk memangku jawatan Presiden dan Timbalan Presiden;

Ketiga: Presiden dan Timbalan Presiden apabila tamat tempoh jawatan jangan menganggap dirinya dicalonkan semula, bagi memberi kebebasan kepada Majlis Syura Ulamak untuk menilai prestasi kepimpinannya sama ada mencalonkannya semula atau menamakan calon lain. Ia bagi menjamin PAS sentiasa dipimpin oleh orang yang terbaik;

Keempat: golongan non ulamak hendaklah kembali kepada semangat Dewan Pemuda 1982 berdiri teguh di belakang kepimpinan ulamak bagi mendaulatkan ulamak dan bagi menjadikan kepimpinan ulamak berwibawa dan berkesan.

HAJI AHMAD SUBKY ABDUL LATIF
Pinggir Padang Balang, Kuala Lumpur;
16 Jamadilawal, 1430/11 Mei, 2009.