KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata parti itu tidak berdepan dengan isu calon untuk dikemukakan bagi Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil kawasan itu (N41), 14 Julai depan.
Katanya, PAS Kelantan mempunyai senarai calon yang ramai dan berkelayakan serta berwibawa untuk dipilih mewakili parti bagi mengekalkan kemenangan yang dicapai oleh PAS pada pilihan raya umum lalu melalui wakilnya, allahyarham Ismail Yaakob.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, calon-calon berkenaan terdiri dari pelbagai latar belakang dan umur. Dan kemungkinan besar, tegasnya terdiri dari anak tempatan.
"Insya'allah orang tempatan," jawabnya ringkas, sambil tersenyum kepada para wartawan di Taman Melewar, baru-baru ini. Turut serta bersamanya, Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din dan Ahli Majlis Syura Ulama, Ustaz Hassan Shukri.
"PAS tidak mempunyai masalah untuk mencari calon kerana parti tersebut memiliki bilangan pemimpin yang ramai dan berkualiti untuk memikul amanah sebagai calon. Kita ada calon yang ramai," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Kelantan pada 6 Julai ini manakala pengundian dijalankan pada 14 Julai sekiranya ada pertandingan.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, proses penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi akan diadakan di Dewan Petra, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai.
Kata beliau, sebanyak sembilan buah sekolah akan dijadikan pusat mengundi yang melibatkan 27 saluran. Pengundian di kawasan Dun itu membabitkan seramai 12,293 pemilih berdaftar iaitu 12,268 pemilih biasa manakala 25 lagi adalah pemilih pos. Pilihan raya kecil ini akan mengguna pakai daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2009 yang telah dikemaskinikan sehingga 22 Mei lalu.
Menurut Abdul Aziz, majoriti pengundi adalah penduduk tempatan, hanya 10 peratus sahaja yang tinggal di luar daripada kawasan itu. Pada jangkaannya, mereka tidak mempunyai masalah untuk keluar mengundi dan SPR menyasarkan jumlah keluar mengundi boleh mencecah hingga 85 peratus, iaitu peningkatan satu peratus berbanding Pilihan Raya Umum 2008.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat ahli suruhanjaya berkenaan bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil itu di Ibu Pejabat SPR 28 Mei lalu.
Kerusi Dun Manek Urai diisytiharkan kosong berkuatkuasa 23 Mei lalu ekoran penyandangnya, Ismail Yaacob meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 22 Mei lalu kerana sakit jantung.
Allahyarham yang mewakili PAS mula memenangi Dun Manek Urai pada pilihan raya umum 1986 dan pada pilihan raya umum tahun lalu, Ismail mengalahkan calon BN, Mohamed Zulkifli Omar dengan majoriti 1,352 undi. BN sebelum ini pernah memenangi kerusi itu menerusi Mohamed Zulkifli pada pilihan raya umum 2004 dengan majoriti tipis 53 undi.
Daripada segi komposisi pengundi, sebanyak 99.2 peratus pengundi di Dun Manek Urai adalah orang Melayu manakala Cina (0.46 peratus) dan India (0.23 peratus).
Sebagai persediaan, SPR telah melantik Ketua Jajahan Kuala Krai, Adnan Hussin sebagai Pegawai Pengurus pilihan raya kecil itu manakala Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan dan Pelupusan Tanah), Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof dan Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan Fizikal), Mohd. Zulkarnain Baharuddin sebagai Penolong Pegawai Pengurus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan