KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Jun 02, 2009

Pemilihan pimpinan PAS pada Muktamar Agung Ke-55 kali ini sudah macam Umno!


KUALA LUMPUR: Benarkah budaya berkempen atau lobi-melobi untuk rebut beberapa jawatan penting dalam PAS sudah dilihat menyerupai budaya Umno? Herman Samsudeen, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyifatkan pemilihan pimpinan tertinggi PAS pada Muktamar Agung Tahunan ke-55 kali ini, sudah macam Umno. Soal kempen, tuduh-menuduh dan beberapa agenda yang dianggap tidak sihat mula menular. Berikut Herman menukilkan pendapat beliau:

Mutakhir ini saya melihat persediaan sidang Muktamar yang bakal berlangsung pada minggu ini menjadi satu kegusaran pada ahli PAS, khususnya orang-orang lama. Tidak kurang juga pemerhati politik luar yang sudah mulai melihat perubahan mendadak PAS.

Malangnya perubahan itu lebih ke arah yang bertentangan dengan budaya PAS. Sepanjang bersama PAS, inilah kali pertama saya melihat berlakunya kempen secara terbuka untuk memenangi kerusi yang ditandingi dalam parti.

Orang-orang lama dalam PAS ada menegur. Sebelum ini, di zaman mereka menjadi pemimpin biarpun mereka menerima pencalonan yang banyak untuk bertanding satu - satu post jawatan dalam parti , mereka menerima dengan penuh cermat dan sopan, tidak kecoh-kecoh pun.

Ketika itu pertandingan sesama sendiri dalam parti lebih berkonsepkan Fastabiqul Khairaat (berlumba - lumba untuk berbuat kebaikan) bukannya berlumba menunjukan kehebatan pengaruh masing-masing. Bila tahu diri mereka dicalonkan, mereka cari sahabat lain yang turut dicalonkan dan berunding siapa yang layak. Mereka minta pandangan Majlis Syura dan akhirnya isu pemilihan kepimpinan dibuat secara beradab. Kalau lawan pun tiada sebarang pengumuman atau kempen.

Tetapi sifat itu pada hari ini saya lihat telah pudar dan luntur. Segelintir calon yang bertanding mula berkempen secara terbuka dan memanggil para wartawan dengan mengadakan sidang media khas hanya untuk menyatakan kesediaan merebut satu - satu jawatan dalam parti.

Ini kali pertama, perkara ini dilakukan hingga ada ahli yang rasa pelik sebab perkara sedemikian bukan tabiat pimpinan PAS.

Oleh itu ramai yang membuat justifikasi bahawa beberapa calon yang bertanding kali ini tidak mempunyai keyakinan dan kelayakan kerana terpaksa membuat publisiti murahan bagi memastikan mereka bakal merai undi untuk menang.

Hilang semangat untuk memikul amanah yang diberi oleh ahli dan parti tetapi lebih kepada berusaha mencari jawatan tersebut dan bersungguh - sungguh untuk menjatuhkan lawan yang kononnya ditolak oleh ahli, walhal orang itulah yang mendapat pencalonan yang paling banyak.

Tindakan ini dijustifikasikan melalui alasan bahawa ahli mahukan perubahan. Soal ahli mahukan perubahan atau tidak itu akan dilihat dari keputusan pengundian. Tetapi bila adanya kempen dan usaha yang bersungguh memperkenalkan diri sebagai calon, maka disitu seolah-olah ada satu desakkan untuk memastikan ahli mengundi mereka dan manifestonya adalah ‘perubahan’. Itulah manifestonya. Jika tak berkempen kenapa ada 'manifesto'? Kenapa perlu bagi justifikasi atau alasan untuk bertanding? Nak bertanding, bertandinglah. Jangan kecoh-kecoh.

Sungguh luar biasa perkembangan ini. Sekali lagi saya sifatkan ia sebagai pengalaman pertama dan kebanyakkan ahli serta orang lama sangat tidak senang dengan fenomena ini. Bahasa mudah yang boleh saya sebut, dah nak jadi macam Umno pemilihan PAS kali ini!

Mana tidaknya , kalau sudah berani kempen secara terbuka dan menghentam calon lain secara terbuka. Habis alat digunakan. Blog ni tak usah kira lah! TV pun mereka masuk untuk memuatkan kenyataan secara direct mempertikai calon lain. Macam berlawan dengan Umno dalam pilihanraya.

Walaupun ianya atas nama demokrasi, tapi ini sudah semakin kasar dan ganas . Sudah tidak kenal kawan dan lawan. Kelihatan nafsu Hubbur Riyaasah atau Hubbul Jaah kian merasuk, melonjak ke pundak mereka.

Bila tegur mereka kata tidak salah kempen secara terbuka atas nama demokrasi, tetapi bagi saya menghina kepimpinan sebelum ini dan menjustifikasikan tindakan mereka sebagai alasan kenapa perlu dijatuhkan, jelas menjadi satu perangai yang biadap. Malah mereka yang buat kenyataan itu juga pernah menjadi salah sorang pemimpin tertinggi juga sebelum ini.

Jika kepimpinan sebelum ini silap, mereka yang tak puas hati seharusnya tegur secara beradab pada waktu kejadian atau masalah itu berlaku, bukannya diseret dan dijadikan modal kempen pemilihan pula. Tegur sesama pimpinan dalam mesyuarat atau diluar mesyuarat. Buat apa nak kecoh pada media, walhal apa yang berlaku selama ini adalah hasil keputusan pimpinan terdahulu yang mana mereka juga sebahagian dari senarai pimpinan sebelumnya. Jika mereka kata pimpinan sebelum ini tidak layak, maka dia pun tak layak sebab dia pun pimpinan sebelum ini.

Saya pun dah tak tahu nak jawab apa bila ahli terus menerus mengasak berhubung isu ini. Tapi saya lihat terlalu banyak perlanggaran adab berjamaah. Mulanya saya pun sudah malas nak ulas perkara seperti ini . tapi makin dibiar makin melampau dan menjadi-jadi. Saya tahu apa yang saya tulis ini akan mencederakan sebilangan kecil pimpinan. Tapi bak kata pepatah, siapa makan cili dia yang rasa pedasnya. Siapa yang gatal dialah yang mengaru.

Mungkin ada yang tidak senang dengan penulisan ini, saya pun tak suka nak cerita. Tapi bila tak tulis nampak mereka makin besar kepala. Mereka boleh gunakan kuasa yang ada untuk panggil saya menjawab lepas ini, tapi ingatlah kebenaran itu tetap berada di atas.

Sebagai pimpinan Pemuda, tugas saya menjaga parti dan memimpin ahli kea rah kebaikkan. Setiap orang ada kesilapan, saya juga ada kelemahan tapi kita tegur untuk bagi peringatan. Kembali kuatkan parti bukan buat parti jadi huru hara. PAS bukan sekadar parti politik, PAS adalah gerakan Islam. Maka ada adab dan sahabat yang kita perlu jaga dan hormati.

Seterusnya, selepas selesai membuat persiapan Muktamar Pemuda Pusat malam tadi, saya ada juga berbincang dengan ahli pemuda dan sahabat di Wilayah. Beberapa panggilan juga saya terima dari sahabat dalam dan luar negara berhubung isu ini.

Mereka juga risau dengan budaya baru yang dibawa dalam PAS ini. Mereka risau jika apa yang berlaku tahun ini akan jadi trend pada pemilihan akan datang dan akhirnya selepas ini untuk jadi pemimpin PAS perlu keluarkan modal berkempen. Kena baik dengan media, kena pandai bodek ahli untuk pancing undi, kena buat kenyataan media, kena adakan press conference atau sidang media khas untuk umum kenapa nak bertanding dan macam-macam lagi idea pelik yang tiada dalam diari perjuangan PAS selama ini.

Jika perkara ini dibiarkan, akhirnya masyarakat akan melihat bahawa PAS ini sama sahaja dengan Umno. Mungkin juga Umno akan susun strategi untuk kirimkan orang mereka masuk PAS dan buat kempen yang lebih besar untuk rebut jawatan. Itu lagi bahaya, kerana mereka punyai kekuatan dana dan pengaruh media. Jadi sebelum ianya jadi lebih buruk saya mengajak para perwakilan, calon dan seluruh ahli untuk mengembalikan budaya dan tradisi pemilihan dalam PAS.
Contohilah sikap Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar saat kedua-duanya dicalonkan sebagai khalifah Islam selepas kewafatan Rasulullah. Sedikit pun mereka tidak merendahkan antara satu sama lain. Saidina Abu Bakar kata Umar lebih baik, dipuji akan kelebihannya dikhalayak ramai. Saidina Umar pula membalasnya dengan pujian dan akhirnya beliau sendiri yang menjadi orang pertama yang berbai’ah kepada Saidina Abu Bakar.

Mereka tidak gila kuasa, kerana mereka tahu masing-masing ada kelebihan dan kelemahan. Mereka bersama baiki kelemahan itu dan bersama berkongsi kelebihan itu. Itulah adab bersahabat dab berjamaah yang harus kita tuntuni.

Saya minta maaf jika artikel ini ada menyinggung sesiapa. Tetapi yakinlah bahawa ahli PAS kini sudah cukup matang untuk menilai pimpinan mana yang baik dan mana yang kurang baik. Kita serah keputusan dihati mereka kepada Allah, moga ada pentunjuk yang bermanfaat disana untuk kelangsungan Parti Islam yang kita sayangi ini.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salaam,

Mengapa YB seringkali cuba ketengahkan isu ProKerjasama vs AntiKerjasama? Soalnya bukan itu. Adakah ini bentuk kempen yang cuba diketengahkan. Ringkasnya; saya bukan ProKerjasama tapi saya tak rela PAS dipimpin oleh orang yang berlagak serba tahu dengan displin jemaah yang rendah. Menularnya budaya kempen dalam PAS seperti berlaku di Perak semalam ( Batu Gajah) dengan memanggil semua perwakilan dalam kawasan di Perak untuk berdialog dengan Calon Timbalan Presiden merupakan satu tindakan desparado dan membelakangi semangat Jemaah. Pemimpin seumpama ini hanya akan merosak ukhwah dalam jemaah. Tidak pernah dalam sejarah PAS, bilamana seorang calon Timbalan Presiden memenggil sidang media untuk menyatakan dia ingin bertanding untuk Jawatan Timbalan Presiden. Tahun 2009 untuk Timbalan Presiden dan dua tahun berikutnya kempen untuk Presiden ? Bukan isu ProKerjasama atau Anti Kerjasama tetapi lebih kepada agenda peribadi.