KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Jun 01, 2009

Subky Latif tidak setuju semua jawatan PAS ditandingi. Empat syor halang cabar Presiden dan Timbalannya!

MUQADDIMAH: Berikut adalah Kertas Kerja antara pengasas Kepimpinan Ulama yang juga bekas Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat ketika konsep ini dicetuskan, HAJI AHMAD SUBKLY ABDUL LATIFF bertajuk "Pengkesahan 25 Tahun Kepimpinan Ulamak" yang dibentangkan pada Sambutan Ijtima Jubli Perak 25 Tahun Kepimpinan Ulamak PAS di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar pada 23 Mei 2009:

KEPIMPINAN ulamak dalam PAS tidak bermula sekadar 25 tahun dulu saja. Ia sudah bermula sejak PAS ditubuhkan pada 24 November 1951 di Butterworth, Seberang Perai. Ada pun usul yang diputuskan oleh Muktamar PAS pada 23 Oktober, 1982 supaya ‘PAS mempelopori konsep kepiminan ulamak’ adalah pencetusan semangat kepimpinan ulamak itu.

Sejak dari peringkat penajaannya, PAS adalah ditaja sebuah pertubuhan alim ulamak yang namanya dicadangkan ialah Persatuan Ulamak Se-Malaya. Tujuannya adalah bagi menyatukan para alim ulamak dan menjadi suara dan wadah kepada perjuangan ulamak.

Tetapi dalam satu perjumpaan penajaannya, Engku Ismail Abdul Rahman, Yang Dipertua Jabatan Agama Johor ketika memberi ucap tama menegaskan:

“Pada faham saya bagi memperbaiki hal ehwal orang Islam, sampailah masanya kita menubuhkan Parti Muslimin Malaya yang bertanggungjawab atas hal ehwal orang-orang Muslimin. Sekiranya parti ini telah ditubuhkan tak dapat tiada ahli-ahlinya mengandungi alim ulamakk. Maka dengan demikian lebih luas daripada Persekutuan Ulamakk yang dicadangkan itu.” (Utusan Melayu, 20 Ogos, 1951).

Dan pada perjumpaan menubuhkan PAS di Seberang Perai itu, orang-orang Islam yang berjiwa politik Islam menamakan pertubuhan yang baru lahir itu sebagai Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) supaya keahliannya dapat disertai oleh setiap umat yang berjiwa perjuangan Islam yang ketika itu berazam untuk menuntut kemerdekaan.

Sejak ulamak menubuhkan PAS yang disokong oleh umat Islam, ia telah menerima konsep kepimpinan ulamak dan memilih ulamak sebagai tonggak kepimpinannya. Ada pun rahsia kekuatan PAS itu mengikut Almarhum Ustaz Fadzil Mohd. Noor dalam ucapan dasarnya di Muktamar PAS ke 47, tahun 2001:

“Di manakah rahsia ketahanannya (PAS) hingga dihormati oleh banyak pihak dalam dan luar, kawan dan juga lawan? Rahsianya ialah perjuangan Islamnya berlandaskan al-Quran, as-Sunnah, Ijmak (Ulamak) dan Qiyas, mendukung kepimpinan ulamakk dari dulu dan sekarang, didukung oleh ahli-ahli dan penyokong yang kasih, setia dan berdiri teguh bersama ulamak.”

Krisis Keyakinan

PAS menghadapi krisis keyakinan paling getir sepanjang tahun 1970an disebabkan oleh banyak faktor:

1. Ekoran penahanan Yang Dipertua Agung, Dr. Burhanuddin Al-Hilmi di bawah ISA menjelang pertengahan tahun 1960an, dibebaskan dalam keadaan uzur yang sukar bergiat hujung tahun 60an dan kematian kemalangan jalan raya Timbalan Yang Dipertua Agung, Prof. Zulkifili Mohamad tahun 1964, mendedahkan PAS terlucut dari kemimpinan ulamak;

2. Penyertaan PAS dalam kerajaan campuran Perikatan/PAS tahun 1973 dan menyertai Barisan Nasional tahun 1974, meletakkan PAS dalam perpecahan;

3. Ditendang dari BN dengan cara tidak sopan;

4. Kelantan dimagerankan dengan kerajaan negeri diletakkan di bawah tadbir pegawai tadbir kerajaan Pusat;

5. PAS kalah dalam pilihan raya umum di Kelantan tahun 1978;

6. Gaya pimpinan parti yang mengikut persepsi umum terlepas dari atmosfera Islam;

Peranan ulamak yang minima dan terpinggir;

7. Moral dan daya juang ahli yang rendah;

8. Wujud krisis keyakinan di kalangan aktivis lalu menubuh atau menyertai jamaah Islam yang lain.

Membaiki Dari Dalam

Suasasa yang wujud menyulitkan ia keluar dari krisis keyakinan itu; anggota hilang daya pengorbanan; antaranya merasa selesa dengan ‘nikmat’ yang sedikit dan sementara semasa di bawah Barisan Nasional, sukar menyesuaikan diri semula dengan suasana perjuangan yang memerlukan pengorbanan serba serbi seperti dalam PAS dulu; ada yang rasa selesa meneruskan kegiatan dakwah di luar jamaah PAS; ada yang menubuhkan jamaah sendiri kerana tidak puas hati dengan PAS; sukar mengembalikan perpaduan dan persaudaraan seperti sebelumnya;

Mereka yang terdidik dengan disiplin gerakan Islam, tidak selesa dengan krisis dalam PAS tetapi kekal dalam PAS, kerana keluar jamaah atau membentuk jamaah lain bukan dari kaedah gerakan Islam. Justeru yakin bahawa krisis itu adalah berpunca dari kelemahan pimpinan, bahawa langkah yang tepat ialah menggantikan pimpinan itu dengan pimpinan lain yang lebih baik.

Antara kelemahan yang disebut-sebut ialah perjuangan PAS lari dari garis perjuangan Islam, malah ada persepsi yang melihatnya kalau pun tidak sama dengan golongan nasionalis adalah mirip golongan nasionalis.

Pendapat setengah kalangan PAS, pimpinan PAS dikelilingi orang-orang yang mahukan Islam tetapi tidak terdidik secara formal melalui pendidikan Islam, malah tiada biasa dengan tarbiyah haraki. Ia menyebabkan pimpinan berpendidikan formal Islam renggang dan kurang peranan.

Era tahun 70an adalah era kesedaran dan kebangkitan belia Islam di serata dunia termasuk di Britain dan Eropah. Pengaruhnya ikut berkembang di Malaysia. Para pelajar dan belia mula berminat dan tertarik dengan apa yang disebut perjuangan Islam yang syumul. Mereka muncul sebagai pengkritik masyakat Islam yang berkesan dan berpengaruh. Mereka meminati PAS tetapi menunggu supaya PAS lebih dinamik sebelum berjuang bersama dalam PAS. Alasan setengah golongan belia Islam tidak segera terjun ke dalam PAS ialah pimpinan PAS dikatakan tidak mencerminkan golongan pimpinan Islam yang dikehendaki.

Pandangan di kalangan akar umbi PAS bahawa kelemahan yang melanda PAS itu adalah gara-gara terlucutnya pimpinan ulamak dari kalangan pembuat dasar PAS dan pandangan ini dikongsi oleh masyarakat di luar PAS. Ia menjauhkan barakah dari gerakan itu dan terdedah dengan fitnah. Pimpinan PAS pula beranggapan bahawa pimpinan ulamak itu sudah memadai dengan pembentukan dan pimpinan Dewan Ulamak.

Dewan Pemuda

Dewan Pemuda PAS muncul sebagai pengkritik utama kepada pimpinan PAS yang tidak berupaya mewujudkan wihdaul fikri di kalangan jamaah.

Antara aktivis Pemuda PAS dalam ceramah-ceramahnya menekankan bagi mengadakan perubahan dalam pimpinan PAS dengan mengutarakan pentingnya kepimpinan ulamak dikembalikan dalam PAS. Bahkan kelemahan dunia Islam seluruhnya adalah disebabkan masyarakat Islam mengenepikan kepimpinan ulamak. Pandangan itu mendapat perhatian umum.

Usaha melakukan perubahan pimpinan itu bukan suatu yang mudah. Pimpinan PAS yang ada mempertahankan kedudukan dan dasarnya. Tidak dapat dipastikan cara mana dan berapa lama usaha mengubah kepimpinan dapat dijayakan.

Dalam Muktamar PAS tahun 1982, Dewan Pemuda PAS dibenarkan buat pertama kali mengadakan Muktamarnya lebih awal, dua minggu sebelum Muktamar PAS pusat. Ia kembali mengadakan muktamar di negeri lahir PAS, di Seberang Perai iaitu di Bukit Mertajam. Muktamar itu meluluskan sebulat suara usul Exco Dewan Pemuda PAS Pusat yang berbunyi PAS hendak mempelopori konsep kepimpinan ulamak.

Ia mendapat reaksi yang baik. Dipercayai usul itu mendapat barakah. Berkat usul untuk mendaulatkan ulamak itu, selepas berhenti rehat setelah menyampaikan ucapan perasmian Muktamar PAS Pusat di hari pertama Muktamar itu, Setiausha Agung membacakan kepada muktamar surat daripada Yang Dipertua Agung PAS mengembalikan semula kepada Muktamar mandat pimpinan yang diberi kepadanya. Muktamar sebulat suara menerima penyerahan mandat itu tanpa bahas.

Ini bererti perubahan pimpinan berlaku dengan mudah tanpa dirancang dan ia dipangku oleh Timbalan Yang Dipertua Agung yang pro perubahan. Esoknya usul Muktamar Dewan Pemuda PAS yang diluluskan di Bukit Mertajam dibentangkan dalam Mutamar PAS iaitu mengusulkan supaya PAS mempelopori konsep kepimpinan ulamak. Ia diterima sebulat suara. Dan bermulalah semula kepimpinan ulamak dalam PAS.

Yang memudahkan lagi peralihan kuasa dan pelaksanaan konsep kepimpinan ulamak itu berikutnya 13 anggota Jawatankuasa PAS mengambil langkah keluar parti dan ia membuka laluan kepada pimpinan pro perubahan menyatukan perpaduan parti melalui konsep kepimpinan ulamak.

Mengapa Kepimpinan Ulamak?

1. Allah cipta manusia untuk menjadi khalifah – pemimpin – mentadbir bumi;

2. Pemimpin di kalangan manusia ialah mukmin yang paling takwa yang berilmu iaitu para Nabi dan Rasul;

3. Sesudah ketiadaan Nabi dan Rasul, ulamak menjadi waris para Nabi;

4. Maka secara otomatis pimpinan umat Islam dan gerakannya ialah golongan ulamak yang meneruskan perjuangan para anbia;

5. Perjuangan warisan anbia dijamin barakah;

6. Jika boleh semua organisasi dan gerakan dipimpin oleh ulamak; jika persatuan bola dipimpin oleh ulamak ia nescaya mengelak semua pantang larang adab dalam Islam.

Konsep

Usul Dewan Pemuda sekadar mencetuskan tuntutan mempelopori konsep kepimpinan ulamak dan kembali kepada kepimpinan ulamak, tidak memperincikan isi konsepnya;

Ia mahu ulamak dan institusi ulamak (Dewan Ulamak) didaulatkan dan diletakkan di tempat yang tinggi dalam parti dan ia mesti disokong bagi menentukan arah tuju parti;

Golongan non ulamak dalam parti memainkan peranan penting berdiri di belakang ulamak bagi memartabat dan mendaulatkannya;

Non ulamak, kerana terlepas peluang menjadi ulamak, bagi menjamin ia tidak terlepas pula syafaat ulamak dan barakahnya, maka ia mesti bekerja bersama ulamak bagi membantu ulamak;

Dewan Pemuda menyerahkan kepada parti mengisi isi konsep itu;

Tindakan

Parti mengambil tindakan mengekalkan fungsi Dewan Ulamak sebagai sayap PAS yang penting;

Parti membentuk Majlis Syura Ulamak yang dianggotai 100 ulamak dan menginstitusikannya sebagai organ tertinggi bertanggungjawab kepada Muktamar. Semua keputusan besar melibatkan badan di luar PAS dibuat atas nama Majlis Syura Ulamak. Ia boleh membatalkan keputusan Presiden dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Sejarah

Ketika pencetusan semula kepimpinan ulamak hujung tahun 70an dan awal 80an tidak diperinci bentuk dan isi konsep kepimpinan itu kerana suasana kebangkitan itu didorong oleh tuntutan dan kebangkitan aqidah. Semangat menjadi faktor kedua.

Ketika ia berlaku wujud satu gandingan kepimpinan ulamak yang kuat yang terdiri dari Tuan Haji Yusof Rawa, Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Ustaz Fadzil Mohd. Noor dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Isu kepimpinan dan gantian tidak berbangkit justeru gandingan mantap itu berterusan sekitar 30 tahun;

Dalam tempoh itu wujud pasukan kepimpinan ulamak dan ahli seluruhnya bersatu di belakang kepiminan ulamak.

Dalam suasana itu tidak timbul jawatan-jawatan tertentu dalam parti mesti disadang oleh ulamak. Sejak tahun 1983 barisan pimpinan dari Yang Dipertua Agung hingga semua Naik Yang Dipertua Agung terdiri dari tokoh ulamak, hatta beberapa ahli Jawatankuasa Pusat yang terpilih adalah ulamak.

Justeru itu perlembagaan parti tidak merasa perlu memperuntukan jawatan tertentu layak disandang oleh golongan tertentu.

Syor

Oleh kerana terdapat perbezaan pandangan antara setengah ulamak dan setengah tenaga profesional tentang jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan sekurang-kurangnya seorang Naib Presiden mesti terdiri dari ulamak dan satu pihak lagi mahu jawatan itu terbuka kepada semua, maka ada syor supaya perkara itu diperincikan dalam perlembagaan.

Perkembangan ini mencabar wibawa dan keberkesanan pimpinan ulamak itu.

Bagi mengelakkan ia terus tercabar, maka pindaan perlembagaan boleh dielakkan dulu dengan mengambil tindakan berikut:

Pertama: parti secara konvensyen membuat keputusan memberi kuasa kepada Majlis Syura Ulamak kuasa merundingkan beberapa jawatan penting yang sepatutnya diperuntukkan kepada ulamak dinamakan oleh Majlis Syura Ulamak untuk dicalonkan oleh perwakilan;

Kedua: sekiranya berlaku kekosongan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, Majlis Syura Ulamak boleh menamakan seorang ulamak dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk memangku jawatan Presiden dan Timbalan Presiden;

Ketiga: Presiden dan Timbalan Presiden apabila tamat tempoh jawatan jangan menganggap dirinya dicalonkan semula, bagi memberi kebebasan kepada Majlis Syura Ulamak untuk menilai prestasi kepimpinannya sama ada mencalonkannya semula atau menamakan calon lain. Ia bagi menjamin PAS sentiasa dipimpin oleh orang yang terbaik;

Keempat: golongan non ulamak hendaklah kembali kepada semangat Dewan Pemuda 1982 berdiri teguh di belakang kepimpinan ulamak bagi mendaulatkan ulamak dan bagi menjadikan kepimpinan ulamak berwibawa dan berkesan.

HAJI AHMAD SUBKY ABDUL LATIF
Pinggir Padang Balang, Kuala Lumpur;
16 Jamadilawal, 1430/11 Mei, 2009.

Tiada ulasan: