KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Zolkharnain Abidin menyifatkan tiga Naib Presiden PAS yang bakal dipilih pada Muktamar Agung PAS ke-55 kali ini ibarat Daihatsu Charade hanya ada tiga palam pencucuh. Dalam posting terbaru pada blognya Bila Sauk Dibongkar beliau berpendapat Salahuddin Ayub dan Mahfuz sudah cukup dekat untuk menduduki kerusi itu.
Katanya, dalam PAS, hirarki yang boleh disamakan dengan kereta itu ialah Naib Presiden. PAS ada tiga Naib Presiden. Kini ialah Husam Musa, Mohamad Sabu dan Ahmad Awang. Husam dan Mohamad mencuba selangkah ke atas untuk bertanding Timbalan Presiden. Ahmad pula menarik diri.
Lima nama bersaing. Mereka ialah Salahuddin, Tuan Ibrahim, Mohd Amar, Mahfuz dan Mujahid. Semuanya bagus dan ada kelebihan masing-masing. Hanya tiga yang bakal menduduki kerusi terpenting selepas Timbalan Presiden itu.
Ujarnya lagi, ibarat kereta yang punya tiga palam pencucuh, prestasinya pasti merosot jika salah satu daripadanya ‘kantoi’. Kereta itu bergerak tetapi tersemput-semput. Sekali-sekala pasti terdengar letupan kecil kerana pembakaran bahan apinya tidak sempurna. Justeru, ketiga-tiga palam pencucuh itu mesti dalam keadaan baik.
"Mahfuz dan Salahuddin adalah bekas ketua pemuda. Mereka terbukti berwibawa semasa memimpin pemuda. Kalau mereka terpilih bermakna Pas sudah ada dua palam pencucuh yang bagus. Hanya satu lagi yang patut dipilih daripada yang berbaki.
"Mahfuz dan Salahudin telah teruji bersama PAS. Mereka aktif, kreatif dan kuat. Diyakini mereka berdua akan berupaya menjadi pembantu Presiden dan Timbalannya dengan sangat berkesan.
Satu lagi palam pencucuh yang sepatutnya terpilih ialah Mujahid, dakwanya. Dia juga bekas exco pemuda pusat. Kejayaannya meletakkan Kelab Penyokong Pas sebagai salah satu komponen penting Pas sepatutnya menjadi kriteria yang diambil kira oleh perwakilan.
"Mohd Amar juga bagus. Beliau sangat senang dibawa bergaul. Dia seorang yang sangat ‘friendly’. Prestasinya dalam kerajaan Kelantan juga menyerlah. Selain Mujahid, Mohd Amar juga berkemampuan untuk menjadi palam pencucuh ketiga," jelas beliau yang juga bekas Adun Santan.
Rasanya ramai orang perasan, penggal sekarang dan sebelum ini, hanya dua palam pencucuh sahaja berfungsi. Satu daripadanya kantoi. Kalau tidak silap, mereka dipertanggunggjawabkan dengan potfolio pemerkasaan parti.
Zolkharnain amat berharap selepas ini, perwakilan tidak terpilih Naib Presiden yang bakal menjadi palam pencucuh kantoi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan