KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Jun 24, 2009

‘Manek Urai Kito’ temui pengundi dedahkan pelbagai maklumat

KUALA KRAI: Badan Perhubungan PAS Kelantan menerbit risalah khas yang dikenali ‘Manek Urai Kito’ bagi menyampaikan maklumat kepada pengundi di Dun Manek Urai sempena pilihan raya kecil.

Ketua Editornya, Haji Rosidi Ismail berkata, risalah terbabit akan diterbit setiap hari sehingga sehari sebelum hari pengundian.

"Terbitan pertama pada 20 Jun lalu dan akan diikuti 28 Jun, 4 Julai dan hari penamaan calon (6 Julai) sehingga 13 Julai.

"Pada tarikh-tarikh tersebut orang ramai di Manek Urai boleh mendapat risalah tersebut setiap pagi. Ia akan diedarkan di setiap peti undi dan tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai," katanya di sini.

Oleh itu beliau berharap Manek Urai Kito menjadi bahan untuk menangkis segala tohmahan pihak lawan dan menjelaskan mesej PAS dan Pakatan Rakyat kepada pengundi.

Beliau yang juga Penolong Pengarah Penerbitan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri berharap skuad pengedaran Manek Urai Kito dapat menyebar secara lebih menyeluruh di setiap kawasan peti undi.

Tiada komen. Dah habis stok, tak boleh bincang - Nuridah Salleh

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat menerima secara terbuka penolakan kerajaan perpaduan dengan Umno yang dicapai oleh Majlis Pakatan Rakyat dan pertemuan lapan pemimpin utama PAS, 22 Jun lalu.

Demikian ditegaskan oleh ketuanya, Ustaz Nuridah Mohd Salleh ketika dihubungi Harakah.

"Tiada yang boleh saya komen. Ini menunjukkan tidak ada apa lagi untuk pihaknya memberi komen. Kita no komen. Dah habis stok dan tak boleh bincang," katanya ringkas.

Katanya, Muslimat menyerah keputusan tersebut kepada pucuk pimpinan parti dan apa yang telah dicapai itu, diterima oleh Dewan Muslimat dengan hati yang terbuka.

Malah ujarnya, sebagai ahli parti mereka perlu menerima keputusan tersebut seperti mana yang dibincangkan pada Mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Isnin lalu.

Tolak kerajaan perpaduan beri pukulan TKO pada Umno

KUALA LUMPUR: PAS yakin dengan terlerainya isu pembentukan kerajaan perpaduan dengan Umno yang telah disepakati oleh tiga pimpinan utama Pakatan Rakyat, 22 Jun lalu, tidak akan diperkatakan lagi oleh media kerana pendirian tegas Pakatan telah memberikan satu pukulan 'TKO' kepada pemimpin Umno.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad merakamkan kesyukuran kerana keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang menolak pembentukan kerajaan perpaduan kerana mengambil kira suara rakyat khususnya penyokong Pakatan Rakyat.

Jelasnya tindakan tersebut juga bersesuaian ke arah untuk menjadikan kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat sebagai kerajaan menunggu dalam Pilihan Raya Umum yang ke 13, dua atau tiga tahun lagi.

Beliau juga menegaskan keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat itu juga merupakan salah satu usaha 'mematikan' pihak media yang dilihat melaga-lagakan antara pimpinan PAS.

"Kita juga telah melihat bagaimana kehebatan di kalangan pimpinan PAS yang telah berjaya merungkaikan kemelut yang timbul dalam masa yang singkat. Penyelesaian yang ditangani dengan roh ukhwah Islamiah yang tidak ada pada Umno.

"Ini merupakan kehebatan yang ada pada pimpinan PAS dalam menangani krisis yang mana pimpinan Umno perlu mempelajari apa yang ditunjukkan oleh pimpinan PAS dalam menghadapi isu yang begitu besar," katanya sewaktu dihubungi Harakah.

Beliau percaya isu tersebut menjadi hangat kerana media telah mencorakkan pemikiran dan suasana politik.

Justeru beliau menaruh keyakinan isu tersebut tidak akan ditimbulkan oleh media kerana pendirian tegas Majlis Presiden Pakatan Rakyat itu telah memberikan satu pukulan 'TKO' kepada Umno.

Idris turut menegaskan BN dan Umno bukanlah parti yang jujur dalam persahabatan.

"PAS yang terkenal sebagai parti yang tidak pernah melanggar perjanjian sewaktu berkawan dengan mana-mana parti yang mengikat perjanjian bersama. Contohnya pada 1986, PAS telah membuat satu ikatan dengan parti-parti komponen kecil pembangkang seperti Nasma, PSRM, SDP. Jadi, bukan PAS yang ingkari perjanjian dengan mereka.

"Begitu juga pada 1989 sewaktu menubuhkan Barisan Alternatif. Bukan PAS juga yang telah meninggalkan kawan. Begitu juga pada 2004, kita tetap juga dengan semangat setiakawan sehingga hari ini," tegasnya.

Justeru beliau berpandangan, semangat setiakawan yang ada pada PAS menyebabkan musuh-musuh PAS dan Pakatan Rakyat gagal meleraikan perpaduan yang dibina.

Kerajaan Perpaduan: Pengkhianatan Umno kini terbongkar! - Dato Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Isu kerajaan perpaduan yang dimanipulasikan media perdana, akhirnya pengkhianatan Umno terhadap PAS terbongkar apabila Najib Tun Razak mengakui keikhlasannya bersama parti itu tetapi pada masa yang sama menuduh seolah-olah PAS mahu menyertai mereka.

"Umno telah lakukan pengkhianatan walaupun Najib sebut keikhlasan PAS (bentuk kerajaan perpaduan) dalam masa yang sama melakukan penyelewengan laporan akhbar mendedahkan seolah-olah PAS nak joint Umno," tegas Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jelasnya, keputusan melalui mesyuarat Pakatan Rakyat mengambil kira semua faktor termasuk kesan isu itu kepada ahli dan penyokongnya. Keputusan Pakatan Rakyat itu katanya, mengundang kesan politik yang sangat besar sekali gus meredakan keadaan politik dalam pakatan terutama penyokong mereka.

Ekoran daripada isu itu, katanya Umno bertambah tertekan sehingga Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sanggup member laluan kepada PAS untuk membentuk kerajaan perpaduan tanpa syarat.

"Umno kecewa dengan keputusan ini. Saya sangat sebak dada apabila kita buat keputusan hasil tandatangan ketiga-tiga pimpinan Pakatan Rakyat. Banyak 'sms' kita terima dari rakyat Malaysia yang seronok dengan keputusan itu begitu juga kelab penyokong PAS mereka juga menerima baik," katanya.

Mengulas keterbukaan Mursyidul Am Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat memaafkan Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa sekali gus membersihkan imej Nasaruddin dan seluruh ahli parti.

Kemelut Umno Terengganu: Mampukah team Ahmad Said gugat dan gigit Geng 10?

KUALA LUMPUR: Akhirnya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan tiga nama sebagai Setiausaha, Ketua Penerangan dan Bendahari Umno Terengganu.

Seperti dijangkakan, Dato' Tengku Putera Tengku Awang yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu dan Speaker Dun Terengganu dilantik sebagai setiausaha perhubungan menggantikan Datuk Rosli Mat Hassan yang enggan dilantik semula.

Tengku Putera, adalah salah seorang ketua bahagian yang digugurkan dari bertanding dalam PRU 12 yang lalu. Dalam zaman kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tengku Putera pernah dilantik menjadi Timbalan Menteri Kewangan dan pernah menang Ahli MT Umno.

Beliau yang pernah dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, dilihat adalah bakal Menteri Besar Terengganu suatu ketika dahulu tetapi Idris dan Abdullah ‘bersetuju’ menggugurkan namanya dalam PRU 12, walaupun beliau masih ketua bahagian.

Dalam pertandingan ketua bahagian tahun lalu, Tengku Putera nyaris ditewaskan lawannya.

Ketika Geng 10 bertindak memboikot Persidangan Dun Terengganu April lalu, Tengku Putera dilihat bersama-sama kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said walaupun mengumumkan tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap 10 Adun yang ‘menyembunyikan diri’ kerana bimbang akan keselamatan nyawa masing-masing.

Perlantikan Tengku Putera sekaligus membuktikan bahawa Hishammuddin tidak berjaya dipengaruhi Geng 10 yang mahukan salah seorang dari anggotanya dilantik menjadi setiausaha perhubungan.

Sebelum ini beberapa pihak menyebut, Datuk Din Adam, penyokong kuat Datuk Seri Idris Jusoh bakal dilantik menjadi setiausaha perhubungan kerana hubungan rapatnya dengan Hishammuddin.

Sementara itu, banyak pihak di Terengganu bersetuju apabila Hishammuddin menamakan Datuk Ahmad Shabery Chik sebagai Ketua Penerangan Umno negeri walaupun sebelum ini jawatan itu pernah disandangnya ketika Idris menjadi pengerusi perhubungan.

Ahmad Shabery yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan Ahmad Said yang juga ketua Umno Kemaman dan pengguguran Datuk Zuber Embong sebenarnya bukanlah satu ‘isu’ di Terengganu kini.

Beberapa pihak yang kesal kerana kelewatan Hishammuddin mengumumkan perlantikan dan mengadakan mesyuarat badan perhubungan tidak terkejut apabila nama Datuk Rohin Said yang juga Exco Kerajaan Negeri dinamakan sebagai Bendahari menggantikan Datuk Roslan Awang Chik kerana Roslan sendiri dikatakan mahu berundur dari aktif berpolitik setelah tamat tempohnya sebagai Ahli Dewan Negara (Senator).

Cuma, timbul pertanyaan, kenapa Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga bekas Menteri Besar yang tidak dilantik semula selepas PRU 12, masih tidak dapat menghadirkan diri.

Sebagai catatan, Idris memang tidak pernah sekali pun menghadirkan diri dalam mesyuarat badan perhubungan Umno negeri selama Ahmad Said dilantik menjadi pengerusi perhubungan.

Apakah selepas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik Hishammuddin, Idris masih tidak dapat ‘menerima hakikat’ untuk menghadiri mesyuarat yang jarang-jarang sekali diadakan?

Khabarnya, Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin memang tidak mempunyai cukup keberanian untuk bertindak ke atas Idris Jusoh kerana Idris dikatakan seorang pemimpin Umno yang terlalu diperlukan dalam politik Umno Malaysia.

Dia dilantik menjadi Pengerusi Mara oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana pemikiran dan strategi Idris dikatakan bertaraf dunia dan Abdullah (kini Najib dan Muhyiddin) memang mengharapkan idea-idea Idris untuk meletakkan Mara bertaraf dunia.

Ahmad Said dikatakan tidak menghadapi masalah untuk meneruskan tugasnya dengan gandingannya seperti Tengku Putera, Rahin dan Ahmad Shabery tetapi mampukah gandingan ini mengatasi populariti Geng 10 yang mempunyai ‘jaringan kerja’ hebat di Kuala Lumpur?

Walaupun tiada sesiapa dari Geng 10 dilantik memegang jawatan penting dalam Umno negeri, namun Hishammuddin dijangkakan akan mengujudkan jawatan-jawatan tertentu bagi memberi laluan kepada anggota Geng 10 yang didakwa merupakan penyokong kuatnya ketika dia masih menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Hishammuddin adalah satu-satunya pengerusi perhubungan yang paling lewat mengadakan mesyuarat badan perhubungan hingga menimbulkan syak wasangka kononnya dia tidak dapat membuat keputusan siapakah yang harus dilantiknya menjadi ‘pegawai’ dalam Umno Terengganu.

Semua pengerusi perhubungan yang dilantik seperti Najib, Muhyiddin, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Afdal sudah pun berjaya mengadakan mesyuarat pertama di Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Kedah.

Malahan, Najib sudah dua kali mengadakan mesyuarat perhubungan Umno Selangor.
Hishammuddin juga dikatakan terlalu sibuk hingga tidak ada masa untuk ke Terengganu menyebabkan beberapa pihak risau jikalau dia akan menerima laporan yang salah dari ‘bekas penyokong-penyokongnya’ yang masih mengharapkan tempat dalam Umno Terengganu.

Sehubungan dengan itu, banyak pihak mengharapkan Tengku Putera yang baru dilantik menjadi Setiausaha perhubungan dapat menenangkan emosi bekas Setiausaha perhubungan lama, Datuk Rosol Wahid yang merupakan orang penting dalam Geng 10.

Geng 10 sendiri mempunyai tiga calon mereka untuk ditonjolkan sebagai menteri besar jika Ahmad Said mahu digantikan menyebabkan ikatan Geng 10 ini dikatakan mudah pecah jika masing-masing mempunyai pertembungan kepentingan.

Oleh Idris Samad

Langkah sumbang media BN di Manek Urai - Dato' Wan Abdul Rahim

MUQADDIMAH: Propaganda media jajahan Umno dan BN khususnya dalam isu kerajaan perpaduan telah menyebabkan ramai orang politik yang melatah dan melompat. Lenggok berita dan gaya laporan, bukan sahaja memukau pembaca malah upaya memecahbelahkan keutuhan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun isu itu tidak tembus mempengaruhi pengundi di Manek Urai yang lebih menumpukan kepada kerja-kerja mencari rezeki semata-mata.
Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Dato' Wan Rahim Wan Abdullah mengakui propaganda media tidak sampai kepada pengundi dan rakyat akar umbi di sana. Ikuti temubual SALMIYAH HARUN bersama beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Sejauhmana mainan media yang mahu memecahbelahkan ahli dan penyokong PAS dengan isu kerajaan perpaduan mempengaruhi pengundi Manek Urai?

Pengundi di Manek Urai tidak membaca suratkhbar. Propaganda media tidak berjaya mempengaruhi pengundi dan penyokong PAS di Manek Urai. Memandangkan mereka di kalangan pekebun kecil, dan kerja kampung, mereka tidak ada masa membaca suratkhbar.
Jadi kita bernasib baiklah. Propaganda media perdana tidak sampai kepada pengundi dan rakyat akar umbi. Manek Urai dikira terselamat daripada isu yang sedang heboh dimainkan oleh media arus perdana.

Terkini, kalau Dato' boleh jelaskan berdasarkan pemerhatian, macam mana gerak kerja Umno di Manek Urai?

Umno masih tercari-cari tapak di Manek Urai. Ini kerana mereka sedang menghadapi masalah pertikaian calon. Apa yang Umno cuba buat misalnya beberapa hari lalu, Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Syafie Apdal dengan Menteri Pertanian, Dato' Mustapa Mohamed turun di Sungai Sok, Chuchuh Putri, Peria dalam Manek Urai. Apa yang didapati orang yang sama yang mengikuti (membontoti) mereka.
Agak ramailah orang yang hadir tetapi saya dimaklumkan orang tempatan hanya lapan orang tetapi mereka yang ramai itu adalah di kalangan ahli rombongan mereka. Cara mereka buat itu baguslah, menampakkan suasana orang ramai semasa pimpinan turun melawat biarpun orang yang sama.

Pemuda BN ada menuduh PAS Kelantan membuat pendekatan politik samseng dalam ceramah dan mengapi-apikan sehingga menimbulkan suasana provokasi. Bagaimana dakwaan ini Dato'?

Kalau BN kata kita samseng, kita tidak boleh cakap apalah. Cumanya PAS Kelantan memang bersungguh-sungguh mempertahankan kerusi Dun Manek Urai dan akan lawan Umno sampai mati. Bukan bergaduh.
Tetapi makna kita berlawan ini, kita lawan sampai mati yang mana sampai akhir hayat kita lawan Umno. Sama ada dia mati atau kita mati. Bukan sehingga bunuh membunuh. Saya menggerakkan jentera dan berpesan kepada ahli, kita lawan sampai mati.
Kalau Umno mentafsirkan ia satu pergaduhan fizikal ianya tidak kenalah. Kita hendak menerangkan satu sikap perjuangan di kalangan pemuda PAS bahawa sampai mati kita akan tetap lawan Umno. Jadi kita harap Umno pun hendak lawan PAS sampai dia mati jugalah. Jadi kita tidak mahu Umno itu menjadi kawan kita. Kita nak lawan dia.

Sehingga kini bagaimana sikap pengundi atas pagar, apakah tanpa undi mereka akan menjejaskan majoriti yang diperolehi PAS?

Pengundi atas pagar di Manek Urai tidak ramai. Lebih kurang 20 peratus. Ini satu kawasan kubu kuat PAS. Allahyarham Pak Su Weil (Bekas Adun Manek Urai) sudah lima penggal menjadi wakil rakyat di sini.
Kini jentera parti sudah berkampung di Manek Urai. Semua PAS kawasan di Kelantan yang membantu sembilan peti undi ini sedang berkampung dan menjalankan kerja-kerja pilihan raya. Masing-masing sewa rumah di sini, baik Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama berkampung bersama jentera peti undi. Kita berkubulah bagi mempertahankan undi yang sedia ada itu. Jentera parti bagi negeri-negeri akan hadir tetapi belum sepenuhnya lagi datang.

Bagaimana pula dengan dakwaan mengatakan ada jentera pilihan raya PAS dari beberapa buah negeri dihalang turun ke Manek Urai, memadai petugas dari Kelantan sahaja?

Negeri-negeri sudah ada pengagihan jentera pilihan raya. Cuma mereka belum sampai lagi. Pada 13 Jun lalu jentera setiap negeri sudah hadir di Kelantan untuk menerima taklimat daripada jentera pilihan raya parti negeri.
Ada di kalangan mereka menetapkan tarikh masing-masing untuk turun ke Manek Urai. Sebabnya kita kena faham ini satu pilihan raya yang tempoh masanya agak panjang. Apabila Pak Su Weil meninggal pada 22 Mei 2009, mengikut peraturan pilihan raya kena diadakan dalam tempoh 60 hari. Tempoh tamat pada 22 Julai dan SPR membuat pilihan raya pada 14 Julai bermakna seminggu sahaja lagi hendak tamat tempoh.
Tidak pernah lagi SPR buat macam ini. Kita tidak menggesa jentera negeri untuk datang awal sampai akhir ianya terlalu lama. Jadi mungkin jentera negeri akan hadir kemudian sikitlah, memandangkan jentera parti Kelantan sudah berkampung.
PAS Kelantan tidak pernah halang sesiapa datang untuk membantu. Dakwaan itu tidak benar dan mungkin ia propaganda Umno untuk mengalahkan PAS dengan memecahbelahkan jentara pilihan raya kita.

Bagaimana dengan pengundi yang menetap di luar Manek Urai atau luar Kelantan, apakah PAS sudah ada strategi untuk membawa mereka balik mengundi pada 14 Julai nanti?

Itu kita sudah uruskan bagi jentera di peringkat peti undi dan peringkat Dun malah mereka ini sentiasa dihubungi sama ada melalui surat atau penggilan telefon. Kita akan mengadakan satu perjumpaan dengan pengundi luar di Kuala Lumpur dalam masa terdekat ini, bahkan tambang menambang itu akan diuruskan oleh jawatankuasa pengundi luar.
Kita mengharapkan SPR betul-betul menekankan kepada majikan termasuk kementerian Pelajaran agar mewajibkan majikan memberi cuti kepada pengundi ini. Isunya SPR sendiri yang mengundang masalah apabila badan itu sengaja membuat hari mengundi pada hari bekerja (Selasa). Jadi kita betul-betul mengharapkan SPR memberi arahan kepada majikan bagi memberikan cuti satu hari.

Pada padangan Dato' mengapa pengundi luar ini perlu balik pada hari mengundi walaupun ada yang beranggapan menang atau kalah di Manek Urai ianya tidak begitu penting?

Kita sebagai orang Kelantan misalnya di Manek Urai, rakyat kenalah buktikan bagaimana tanggungjawab kita sebagai pengundi walaupun ada sedikit kesusahan kena mengambil cuti. Saya tidak nafikan budaya orang Kelantan ada dua hari yang mustahak dalam setahun iaitu Hari Raya dan hari pilihan raya. Jadi mereka yang betul-betul anak Kelantan pastinya mereka tidak akan 'miss'.

Apakah PAS sudah bertemu dengan calon yang sesuai untuk kerusi yang ditinggalkan oleh Pak Su Weil ini?

Isyallah seminggu lagi Tuan Guru Nik Aziz akan mengisytiharkan calon bersama-sama dengan pimpinan Pakatan Rakyat di Manek Urai. Majlis ini akan diadakan berdekatan rumah Pak Su Weil.
Apakah calon yang akan dikemukakan itu mempunyai ciri-ciri yang sama dengan Pak Su Weil?

Nak cari pimpinan seperti Pak Su Weil ini sudah tentulah sukar, tidak ada. Dia (Allahyarham) ni... satu-satunya individu yang sukar diganti, dan tidak ada yang boleh menandingi Allahyarham. Satu pun tidak ada.
Hendak mencari pemimpin macam Allahyarham ini sudah tidak ada bukan sahaja di Manek Urai bahkan di dalam PAS. Allahyarham ini sungguh istimewa. Kalau ada rakyatnya mengadu misalnya "Pak Su ada harimau di belakang rumah saya". Pak Su Wel akan pergi sendiri sambil membawa senapang untuk tembak harimau.
Dia akan mengambil berat setiap masalah rakyatnya di Manek Urai. Ada perkara yang saya tidak pernah beritahu sesiapa, menurut Adun Dabong yang rapat dengan keluarga Allahyarham ini, selepas dua tiga hari Pak Su Weil meninggal apabila beliau menyemak semula geran tanah Pak Su Wel ini hanya ada dua geran sahaja sedangkan tanah Allahyarham ini banyak.
Tanah tapak rumah, tanah tapak markas PAS, tanah kebun, rupa-rupanya geran tanah ini berada di mahkamah kerana membuat jaminan untuk rakyatnya yang menghadapi masalah. Ini satu pengorbanan Allahyarham yang cukup terharu. Beliau sanggup guna geran tanah untuk selesai masalah rakyat.

Nampaknya media jajahan BN memainkan isu kononnya PAS tidak menaikkan poster Presidennya, Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Manek Urai. Sebaliknya hanya menaikkan poster MB Kelantan sahaja. Boleh jelaskan sikit?

Di Manek Urai ni terutama di Kelantan, poster Tok Guru Nik Aziz ni mempunyai 'comercial value' yang tinggi. Mereka yang biasa dengan pengendalian pilihan raya di Kelantan, mengakui inilah cara untuk menarik undi.
Saya adalah di antara yang bernasib baik terlibat dalam hal ini sejak pilihan raya tahun 1982. Pada masa itu, kita sebagai pemuda mencetak gambar Tok Guru Nik Aziz yang mengenakan serban di atas bahu. Apa yang berlaku misalnya satu imam di Masjid Mukim Manek Urai berkata "tengok (lihat) gambar Tok Guru Nik Aziz ni dapat pahala".
Kalau kita perhatikan betul-betul Tok Guru Nik Aziz ni bukan sahaja mendengar kuliah dia dapat pahala tetapi tengok muka dia pun dapat pahala. Inilah membuatkan poster Tok Guru ini mempunyai nilai komersil yang tinggi dari rakyat.
Jadi gambar Tok Guru Nik Aziz sahaja yang ada nilai untuk tarik pengundi di sini. Dalam hal ini kita hanya menilai dari sudut nilai komersil sebagai cara menarik pengundi di Manek Urai. Kita betul-betul eksploit gambar Tok Guru untuk pancing undi.
Tidak timbul kononnya poster Tok Guru Haji Hadi Awang diketepikan. Itu hanya mainan media Bn untuk runtuhkan kita.

Apa pandangan Dato', kononnya dikatakan terdapat sekatan terhadap petugas-petugas PAS dari luar Kelantan untuk bertugas di Manek Urai?

Dakwaan itu tidak benar. Oleh kerana saya sendiri selaku mewakili perwakilan negeri Kelantan di dalam mambahaskan ucapan dasar Presiden telah membuat jemputan secara terbuka kepada semua PAS negeri-negeri hadir mengikut susunan yang telah pun ditetapkan dan kami telah pun meyewa rumah-rumah untuk menempatkan petugas-petugas luar seluruh negara dan sewaan rumah dibiayai oleh PAS kawasan dari Kelantan.
Kami juga menyediakan makan minum yang juga dibiayai oleh PAS Kelantan. Saya yang buat jemputan di sini dan saya hendak mengulangi jemputan kepada semua ahli PAS agar dapat turun ke Manek Urai. Beberapa jentera negeri sudah ada misalnya dari Pulau Pinang. Bagaimanapun, rumah yang kami sewakan tidak mencukupi, akhirnya kami tambah beberapa rumah sewa lagi.

Benarkah terdapat halangan terhadap pimpinan yang pro kerajaan perpaduan berkempen di Manek Urai? Maaf Dato' kerana bertanyakan soalan ini tetapi ada kedengaran desas-desus ini...

Kita sendiri di Dun Manek Urai tidak tahu siapa yang sokong, siapa yang pro, siapa yang anti... tidak tahu! Sebab perkara ini hanya di kalangan pimpinan, jadi macam mana kita nak sedar sedangkan kita tidak tahu. Rakyat tidak tahu.
Semua di alu-alukan hadir ke Manek Urai. Cumanya di sini rakyatnya terlalu 'localize', kawasan pedalaman. Petrol station ada satu, pejabat pos tak ada langsung. Rakyat di sini agak tidak terdedah kepada suasana yang lebih mencabar.
Kita kena berhati-hati untuk tidak mengocakkan suasana itu. Maknanya kita lebih banyak gunakan tenaga tempatan dan gunakan pergerakan kempen rumah ke rumah dan juga kena kita banyak gunakan ceramah kelompok.
Jadi ceramah besar ialah yang melibatkan Menteri Besar Kelantan, sebelum pencalonan ada dua dan selepas itu pun ada dua lagi ceramah besar. Ceramah secara menyeluruh memang tidak berlaku. Saya sekali lagi menafikan bahawa ada sekatan seperti yang saudari maksudkan itu. Kita tegaskan sesiapa sahaja di kalangan pimpinan PAS atau Pakatan Rakyat boleh masuk dan berkempen di Manek Urai.

Kemelut PAS: Nasharudin akan ke Parlimen hari ini, 24 Jun

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dijangka akan kembali ke Parlimen hari ini, 24 Jun setelah hilang beberapa hari sejak bidasan Mursyidul Am PAS kepadanya didedahkan oleh media.

Menurut sumber, esok, beliau akan ke Parlimen bagi meneruskan tugasnya sebagai wakil rakyat Bachok.

Bagaimanapun, beliau yang menjadi tumpuan di sebalik isu kerajaan perpaduan yang dilontarkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, masih belum muncul di Parlimen semalam. Nasharudin tidak hadir sidang Dewan Rakyat semalam, lapor mSTAR.

Malah, beliau juga tidak kelihatan di bangunan Khamis lalu. Ahli Parlimen Bachok itu bukan sahaja dinanti-nantikan kehadiran oleh penyokong Barisan Nasional, tetapi juga Pakatan Rakyat khususnya PAS.

Nasharudin yang mempertahankan jawatannya buat penggal kedua berturut-turut awal bulan ini hanya menghadiri pertemuan pemimpin kanan PAS dengan Murysidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di ibu negara petang semalam.

Bagaimanapun beliau tidak hadir mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat PAS yang dipengerusikan oleh Hadi malam tadi. Usaha menghubungi beliau menerusi panggilan telefon dan SMS juga tidak menemui hasil.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika ditanya mengenai ketidakhadiran Nasharudin di Parlimen berkata, mungkin beliau memerlukan masa untuk berehat dan menenangkan suasana.

"Ya, beliau tidak hadir semalam dan hari ini. Jika tidak esok atau lusa, pada pandangan saya, saya berharap beliau akan kembali ke Parlimen minggu depan," katanya.

Ketika ditanya adakah Nasharudin masih tertekan dengan perkembangan isu kerajaan perpaduan, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, tidak timbul soal tekanan.

Jelas beliau, keputusan Nik Aziz untuk "turun ke bawah menarik balik segala kenyataannya" mengecam Nasharudin harus diterima dengan baik.

"Ia menunjukkan kemuliaan beliau," katanya.

Ekoran isu kerajaan perpaduan, minggu lalu Nik Aziz menggesa Nasharudin supaya keluar PAS dan menyertai Umno.

Pertemuan petang semalam berkisar kenyataan Nik Aziz itu. Ketika ditanya sama ada perkembangan semalam boleh dilihat sebagai usaha kompromi dalam PAS, Mahfuz dan seorang lagi Naib Presiden, Salahuddin Ayub menafikan tanggapan sedemikian.

"Ini bukan soal berkompromi," kata Mahfuz. Salahuddin pula berkata, pihaknya menyelesaikan masalah yang wujud dalam semangat kekeluargaan PAS.

"Tidak wujud soal siapa menang, siapa kalah tetapi menyelesaikan isu ini dalam semangat kekeluargaan," katanya.

Seramai 187 guru di Manek Urai diseru mengundi BN

KUALA LUMPUR: Seramai 187 guru dan warga pendidik yang layak mengundi pada pilihanraya kecil DUN Manek Urai bulan depan diseru mengundi calon BN bagi memastikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) berjaya dilaksanakan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata walaupun pemilihan calon merupakan hak seseorang individu, namun sokongan terhadap kerajaan akan memastikan PIPP dapat dilaksanakan demi faedah generasi masa depan.

"Kita berharap para guru dapat membantu menjayakan agenda pendidikan negara ini," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Tambahnya, kerajaan kini dalam proses untuk membina negara bangsa yang cemerlang menerusi sistem pendidikan yang maju.

"Kita juga sedang meningkatkan taraf guru dan untuk itu mereka mestilah bersama kita," Dr Mohd Puad dipetik berkata.

Ahli Umno Kuala Krai persoal mengapa Wan Zahid digugurkan?

KUALA LUMPUR: Kerisauan menghantui Umno di Manek Urai. Ini kerana Umno masih diterajui ‘orang itu, itu juga’ di Kelantan dan Manek Urai, yang terletak di bawah Parlimen Kuala Krai mempunyai sejarah tersendiri.

Ketika Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mahu PAS melupakan kisah lama, kerana apa yang berlaku antara Umno-PAS, sudah 20 tahun lebih berlaku tetapi bolehkan orang Kuala Krai, khususnya di Manek Urai, melupakan apa yang Tun Abdullah Ahmad Badawi lakukan terhadap pemimpin mereka?

Segala-galanya masih segar dalam ingatan mereka. Ketua Umno Bahagian Kuala Krai ketika itu, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah digugurkan hanya kerana Abdullah mendengar nasihat Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan ketika itu, Datuk Mustapa Mohamed supaya empat ketua bahagian di Kelantan, digantikan!

Begitu mudah rupa-rupanya Umno, menyingkirkan sesiapa sahaja yang tidak mereka minati dan melantik sesiapa yang mereka mahukan.

Apa salah Wan Zaid di Kuala Krai, tiada siapa dapat menghuraikannya tetapi yang pasti, Wan Zaid ‘dikorbankan’ dan siapa yang menggantikannya di situ? Adakah timbalannya, atau naibnya atau anak tempatan yang lebih popular dari Wan Zaid?

Jawapannya tidak. Abdullah ketika menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno, tunduk dengan kehendak Mustapa supaya menggantikan Wan Zaid dengan Datuk Ramzi Ab Rahman, Naib Ketua Umno Bahagian Pasir Mas.

Kuala Krai dengan PaSir Mas, bukan berjiran, malahan tidak mustahil kalau dikatakan orang Kuala Krai sendiri terkejut betul bila nama orang Pasir Mas diletakkan menggantikan Wan Zaid ketika itu.

Tetapi disebabkan ‘aura’ Abdullah ketika itu terlalu kuat, sebaik sahaja beliau dilantik menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sudah mencengkam Umno dan negara sejak 22 tahun, maka rakyat seperti terpukau dengan nama Abdullah.

Hari ini, apabila berlaku kekosongan wakil rakyat di Dun Manek Urai, kisah lama ini kembali terburai. Wan Zaid masih berpengaruh ketika Umno Bahagian Kuala Krai masih diketuai Ramzi yang kelihatan sudah hilang pengaruhnya kerana persaraan Abdullah.

Jika bukan kerana ‘pembatalan’ beberapa cawangan yang mencalonkan Wan Zaid di mesyuarat cawangan-cawangan tahun lalu, barangkali hari ini Wan Zaid sudah menjadi Ketua Umno Bahagian Kuala Krai semula.

Takdir Allah tiada siapa yang dapat mengatasinya. Mustapa yang kini dilantik semula menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan adalah Mustafa yang sama ‘menggugurkan’ Wan Zaid dari kerusi ketua Umno bahagian itu.

Dengan alasan mahu membuat perubahan di Kelantan, maka Mustapa menggantikan ketua Umno bahagian-bahagian termasuk Kuala Krai, Pasir Mas, Kubang Kerian dan Bachok, kini Mustapa terpaksa bersemuka semula dengan salah satu dari empat bahagian yang Mustapa ‘korbankan’.

Mungkin luka orang Pasir Mas, Bachok dan Kubang Kerian terubat apabila perlantikan baru dibuat di kalangan orang tempatan dan di kalangan pemimpin bahagian yang sama tetapi di Kuala Krai, Mustapa kena jelaskan kenapa orang Pasir Mas dibawa ke situ?

Adakah ketika itu, Mustapa tidak nampak mana-mana anak Kuala Krai yang mampu menggantikan Wan Zaid untuk menjadi Ketua Umno Bahagian Kuala Krai?

Segala-galanya secara kebetulan dan segala-galanya boleh dianggap sebagai takdir. Mustapa yang sudah kehilangan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan apabila Abdullah melantik Tan Sri Annuar Musa menggantikannya, tiba-tiba dilantik semula memegang jawatan itu.

Kalau bukan Mustapa menjadi pengerusi perhubungan, mungkin isu ‘pengguguran’ Wan Zaid sudah boleh dilupakan begitu sahaja tetapi, apabila Mustapa datang semula, sekurang-kurangnya ‘luka lama berdarah kembali’.

Boleh melupakan tetapi ‘parutnya’ tetap ada. Memetik kata-kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika mengulas saranan Muhyiddin supaya melupakan kisah lama dan buka era baru Perhubungan Umno dengan PAS, “kalau lupakan maknanya tidak ada sejarah”.

Ramzi yang tewas di Dun Dabong dalam PRU 12 yang lalu, sempat dilantik menjadi Setiausaha Politik Abdullah, di Kementerian Pertahanan, beberapa bulan sebelum Abdullah bersara.

Hari ini, Ramzi yang didakwa membatalkan beberapa cawangan (khabarnya lebih 20 cawangan) yang kononnya mencalonkan Wan Zaid sebagai ketua bahagian, kenalah menjawab semua pertanyaan yang ditimbulkan ahli-ahli Umno yang memang menunggu saat-saat seperti ini untuk bersemuka dengannya.

Mustapa pasti inginkan kemenangan di Manek Urai sebagai satu langkah mahu membuktikan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa perlantikannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan, adalah tepat.

Ramzi juga mungkin mengharapkan kemenangan Umno di Dun Manek Urai kerana dia yang dikenali sebagai ‘budak Abdullah Badawi’ masih relevan dalam situasi politik sekarang dan mahu dikekalkan sebagai Pengerusi Kesedar yang dilantik oleh bekas bossnya, Abdullah.

Muhyiddin juga mahu Umno (BN) menang di Dun Manek Urai kerana inilah pilihan raya kecil pertama dia bergelar Timbalan Perdana Menteri kerana di Bukit Gantang, Batang Ai dan Bukit Selambau, dia baru menang jawatan Timbalan Presiden Umno tetapi belum dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Dan Ahmad Maslan sebagai Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr. Awang Adek Hussein sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan dan beberapa orang lagi yang baru menjamah jawatan dan pangkat, sedaya upaya mahu membuktikan Umno masih diterima dan ini semua adalah hasil kerja kuat mereka – untuk dipersembahkan kepada Najib.

Namun, selagi Mustapa dan Ramzi tidak mampu memberi penjelasan, mengapa Wan Zaid digugurkan dan mengapa ada lebih 20 cawangan Umno yang mencalonkan Wan Zaid dibatalkan mesyuarat mereka, segala-galanya akan memusnahkan kepercayaan pengundi kepada calon Umno (BN) dalam pilihan raya kecil DUN Manek Urai, 14 Julai ini.

Oleh Idris Samad

Isnin, Jun 22, 2009

Formula Ukhwah: Tok Guru Nik Aziz tarik desakan perletakan jawatan Nasharuddin, isu panas kerajaan perpaduan tamat serta-merta!

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Nik Mat petang tadi mengumumkan menarik balik kenyataannya yang mahu Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa meninggalkan PAS dan meletakkan jawatan ahli parlimen Bachok jika menyokong cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Tok Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dibaca selepas satu perjumpaan khas hampir dua jam, mulai 5 petang tadi di Pejabat Agung PAS di ibu negara.

Kenyataan penuh Tok Guru Nik Aziz bernada begini:

"Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di Pejabat Agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan dalam b
eberapa isu politik semasa, yang dibesar-besarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan prihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno.

"Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.

"Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bangunan Parlimen jam 2.30 tadi yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.

"Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi."


Perjumpaan khas itu turut dihadiri oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ustaz Nasharuddin, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din; Naib Presiden - Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar - Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, bekas Naib Presiden, Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda, Nasruddin Hassan dan Ketua Muslimat Nuridah Mohd Salleh.

Tok Guru Nik Aziz bertemu 7 pemimpin utama PAS selesaikan kemelut petang ini!

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kepimpinan tertinggi parti itu - membabitkan lapan pihak - bertemu di sini petang ini bagi menyelesaikan "kemelut" yang tercetus ekoran lontaran idea kerajaan perpaduan dengan Umno-BN.

Pertemuan bersifat "ukhuwah" itu akan berlangsung pada pukul 5 petang di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut.

"Ia perbincangan berbentuk ukhuwah atau persaudaran libatkan Tok Guru Nik Aziz dan beberapa pemimpin tertinggi parti," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi.

Nik Aziz sebelum melahirkan pendirian tidak bersetuju dengan idea kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Minggu lalu, Nik Aziz meminta Nasharudin yang dilabelkan sebagai "terlalu liberal" ke arah Umno keluar PAS dan menyertai Umno.

Adalah difahamkan pertemuan hari ini membabitkan Nik Aziz, Hadi, Nasharudin dan salah seorang Naib Presiden, Salahuddin Ayub. Turut akan ambil bahagian ialah Ketua Dewan Pemuda dan Ketua Dewan Muslimat serta dua ahli Majlis Syura termasuk Ahmad Awang yang juga bekas Naib Presiden PAS.

Tiga keputusan dicapai termasuk tolak dan anggap kerajaan perpaduan fitnah jahat Umno


KUALA LUMPUR: Sidang Media Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Ketua Pembangkang, Tingkat 14, Blok Menara Parlimen Malaysia telah bersidang dan mengambil pendirian mengenai Kerajaan Perpaduan seperti berikut:

1. Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang akan datang.

2. Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO/Barisan Nasional yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat.

3. Pada masa yang sama Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan Barisan Nasional bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat seperti usaha pemulihan ekonomi, meningkatkan kualiti pendidikan, mengembalikan semula integriti institusi kehakiman, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, skandal RM 12.5 bilion projek PKFZ, salahguna kuasa kepimpinan polis sementara kes jenayah semakin meningkat, membanteras rasuah dan menjana urustadbir yang baik, menjalankan pilihanraya yang bebas dan adil, membubarkan DUN Perak serta menjalankan pilihanraya dengan segera bagi menyelesaikan krisis rampasan kuasa negeri Perak.

Kenyataan ditandatangan
DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM,
DATO’ SERI ABDUL HADI AWANG
DAN LIM KIT SIANG

Terima atau tolak lantikan AJK PAS Pusat, Mohd Sabu tentukan "Manghrib" hari ini!

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden PAS Mohamad Sabu masih berteka-teki sama ada ingin menerima pelantikan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat PAS atau sebaliknya. Ditemui Malaysiakini tengah hari ini, keputusan muktamad penyertaannya dalam jawatankuasa tertinggi parti itu akan diketahui "Maghrib hari ini."

"Saya belum keputusan muktamad sehingga Maghrib ini," katanya.

"Saya banyak (ambil masa) menunggu dan lihat terutama melihat perkembangan parti, pemikiran dan kecenderungan (parti) ke arah mana. Dan kalau saya kembali (dalam jawatankuasa PAS) apakah peranan saya, (semua) kena bincang dengan kawan-kawan, sebab saya ada masa lagi."

Mengesahkan membaca surat tawaran tersebut kelmarin, Mohamad berkata sekiranya beliau hadir dalam mesyuarat jawatankuasa PAS pusat malam ini, ia sebagai tanda beliau menerima tawaran tersebut.

"Kalau saya pergi malam ini saya terima. Kalau saya tak pergi, saya tak terima (jawatan tersebut)," katanya selepas sidang media mengumumkan program Himpunan Mansuhkan ISA di Kuala Lumpur, 1 Ogos ini.

Ditanya mengenai peranannya jika beliau menerima jawatan tersebut, bekas ahli parlimen Kuala Kedah itu akan terus menguatkan Pakatan Rakyat. "Tidak boleh membuka usaha untuk bernafas kepada Umno yang telah buat kerenah dalam pentadbiran di Malaysia," katanya.

Mohamad dan seorang bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa - yang tewas dalam perebutan mencabar Nasharuddin Mat Isa bagi jawatan timbalan presiden ditawarkan jawatan tersebut dua minggu lepas.

Namun kedua-duanya belum menjawab tawaran tersebut. Mohamad pada awalnya ingin mengambil masa seminggu hingga 18 Jun lepas, manakala Husam pula dilaporkan sedang menunggu penceramah popular itu membuat keputusan dahulu.

Sumber-sumber yang dekat dengan kedua-dua pemimpin itu memberitahu Malaysiakini minggu lalu bahawa Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menasihat mereka berdua agar menerima tawaran tersebut dalam satu pertemuan.

Ditanya mengenai pertemuan tersebut beberapa hari sebelum berangkat kepada Indonesia minggu lalu, Mohamad berkata pertemuan tersebut adalah "satu kunjungan hormat". Enggan enggan mengulas lanjut hasil pertemuan tersebut, beliau bagaimanapun berkata, "beliau (Nik Aziz) tidak mahu kepada kerajaan perpaduan".

Ditanya mengenai pandangan beliau berhubung ketegasan menteri besar itu dalam perkara berkenaan, Mohamad berkata: "Saya bersama dengan ketegasan Tok Guru dalam isu ini. Mungkin isu yang lain, kita berbeza (pandangan) dengan Tok Guru. Pakatan Rakyat perlu diteruskan kerana ia terlalu muda. Baru setahun, takkan kita nak bercerai dalam keadaan suasana baik dan beri manfaat kepada PAS."

Mesyuarat Khas Pakatan Rakyat putuskan tolak idea kerajaan perpaduan dengan Umno-BN

KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat sepakat menolak perbincangan kerajaan perpaduan dengan Umno atau Barisan Nasional, yang dilontarkan ideanya oleh Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang beberapa bulan lalu.

Demikian diputuskan dalam suatu Mesyuarat Khas Pakatan Rakyat petang ini, di Bangunan Parlimen.

Pemimpin tiga parti tersebut PKR, DAP dan PAS mengulangi pendirian mereka untuk meneguhkan kerjasama dalam gabungan pembangkang dengan hasrat mengambil alih kerajaan persekutuan suatu masa nanti.

Kenyataan bersama mereka ditandatangani oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh utama DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pendedahan (1) Ustaz Ahmad Awang: Apa itu Kerajaan Perpaduan seperti yang difahaminya?

Maksud firman Allah SWT: “Hai orang-orang yang beriman, ta’atilah Allah dan ta’atilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” -- (An'Nisa’:59)

Kerajaan perpaduan atau National Unity Government atau National Union Government adalah kerajaan gabungan yang luas meliputi semua parti-parti politik utama dalam parlimen bagi membentuk sebuah kerajaan. Kerajaan Perpaduan biasanya dibentuk bagi mengatasi keadaan semasa dan selepas berlaku peperangan atau selepas keadaan darurat sesebuah negara.

Kerajaan perpaduan pernah dibentuk di beberapa buah negara barat pada masa yang lalu, sebagai contohnya di Amerika, Presiden Abraham Lincoln membentuk Unity Government selepas Perang Saudara pada tahun 1865.

Di Canada pula Kerajaan Perpaduan atau Unity Government pernah dibentuk dalam masa Perang Dunia Pertama (1917) dan semasa Perang Dunia Kedua. Demikian juga Luxembourg pernah membentuk Kerajaan Perpaduan semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Di England pula pernah ditubuhkan Kerajaan Perpaduan pada tahun 1931 dan juga pada tahun 1935.
Indonesia adalah contoh terdekat dan terbaru Kerajaan Perpaduan. Kerajaan tersebut terbentuk selepas berlaku reformasi apabila tumbangnya pemerintahan Suharto yang kemudiannya digantikan oleh Presiden Habibie dalam masa peralihan kepimpinan apabila terbentuknya Kerajaan Perpaduan pada tahun 2004 sehingga hari ini.

Semua parti-parti yang memenangi pilihanraya tahun 2004 bergabung mendukung pemerintah. Ini bermakna tidak ada golongan atau parti pembangkang dalam kerajaan.

Bagaimanapun Presiden adalah dipilih terus melalui pilihanraya yang mana parti-parti utama bertanding merebut jawatan Presiden dan Timbalannya. Satu perkara yang perlu disebutkan sistem pilihanraya di Indonesia bagi memilih wakil-wakil rakyat di semua peringkat adalah mengikut kaedah proportional representative system yang berdasarkan pada peratusan undi yang didapati oleh kumpulan calon-calon dan peratusan kerusi yang mereka perolehi, bukannya berdasarkan kepada majoriti undi yang diperolehi oleh calon-calon yang bertanding di satu-satu kawasan parlimen atau negeri, seperti majority system yang diamalkan di negara kita.

Pendedahan (2) Ustaz Ahmad Awang: Bila idea Kerajaan Perpaduan dibangkitkan?

KUALA LUMPUR: Secara rasminya idea Kerajaan Perpaduan ini tidak pernah dibangkitkan dalam parti PAS apatah lagi untuk membincangkannya. Ianya tidak lebih dari lontaran idea Presiden Tuan Guru Haji Hadi Awang (TGHHA) seperti yang beliau sendiri pernah membuat kenyataan mengenainya.

Lontaran idea itu dibuat beliau semasa pimpinan Kerajaan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) yang menjanjikan untuk membasmi amalan rasuah.

Beliau menyuarakan idea dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan itu dapat dilakukan reformasi terhadap Suruhanjaya Pilihanraya dan Suruhanjaya Kehakiman yang selama ini dilihat semakin terhakis kepercayaan rakyat kepada kedua-dua suruhanjaya itu.

Di samping itu juga kebebasan media akan dapat dijamin bersikap adil kepada semua pihak. Saya difahamkan dalam sembang-sembang sambilan beliau pernah bercakap mengenai idea Kerajaan Perpaduan ini dengan Dato’ Seri Anwar dan Lim Kit Siang.

Bagaimanapun tidak ada perbincangan rasmi dengan pimpinan UMNO mengenai perkara ini dan tidak ada sebarang keputusan dibuat. Apa yang saya difahamkan lontaran idea ini pernah disampaikan kepada Pak Lah (sahaja) ketika hampir-hampir berlaku peralihan kuasa kepimpinan negara kepada Dato’ Seri Najib.

Khabarnya Pak Lah berminat dengan idea tersebut (bukan cadangan), mungkin kerana takut orang-orang beliau akan tersingkir apabila Najib menjadi Perdana Menteri, bukannya kerana idea Unity Government itu.

Namun tidak ada apa-apa perkembangan lanjut sehingga peralihan kepimpinan negara berlaku dengan perletakan jawatan Pak Lah pada 29 Mac lalu. Ini bererti Unity Government itu kini hanya menjadi idea akademik sahaja.

Ia sepatutnya tidak bangkit lagi sebagai perancangan parti atau perbincangan strategi politik PAS PADA MASA INI dan tidak sepatutnya pun menjadi isu yang menggawatkan baik di peringkat parti atau di peringkat Pakatan Rakyat.

Pendedahan (3) Ustaz Ahmad Awang: Bagaimana isu kerajaan perpaduan ditimbulkan

KUALA LUMPUR: Dalam kegawatan perbincangan mengenai isu ini, pimpinan parti rakan Pakatan Rakyat membuat kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong-penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat.

Malah dengan permainan dan pengolahan media arus perdana yang merupakan alat UMNO/BN, ulasan-ulasan kenyataan sedemikian boleh merenggangkan PAS dengan rakan Pakatan Rakyat.

Malah paling ditakuti ianya boleh membawa perpecahan. Saya sendiri banyak menerima panggilan telefon dan SMS dari rakan-rakan Pakatan Rakyat menyatakan kebimbangan mereka sekiranya benar-benar Kerajaan Perpaduan ini menjadi pemangkin ke arah kerjasama PAS dan UMNO untuk membentuk Kerajaan. Mengapa setengah pimpinan Pakatan Rakyat begitu mudah boleh terperangkap dengan permainan musuh?

Saya percaya ramai boleh memahami mengapa idea Kerajaan Perpaduan ini boleh menjadi isu yang sedemikian panas. Ia berpunca dari sidang media Dato’ Seri Presiden selepas menyampaikan ucapan dasar Presiden dalam Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 5 Jun lepas.

Dalam sidang media itu Presiden menyebut semula idea KP itu. Saya pun tidak pasti samada ianya timbul kerana soalan provokasi media kerana dalam ucapan dasar beliau lebih satu jam langsung tidak menyebut Kerajaan Perpaduan. Apa yang ditegaskan beliau ialah PAS akan terus memperkukuh Pakatan Rakyat dan bersedia menyumbang khidmat kepimpinan berlandaskan Islam Memimpin Perubahan yang menjadi tema Muktamar kali ini.

Saya sendiri terperanjat apabila mandapati semua media arus perdana hari ke dua Muktamar menyiarkan berita berkenaan Kerajaan Perpaduan. Hampir seluruh ucapan dasar Presiden tenggelam dengan isu KP ini. Pada awal pagi hari ke dua Muktamar itu, saya bertanya kepada Presiden mengenai perkara ini.

Kebetulan ketika itu beliau sedang berjalan seiring dengan Timbalan Presiden yang sedang menuju kenderaan masing-masing untuk pergi ke tempat Muktamar. Saya mencadangkan beliau menjelaskan perkara ini kepada media supaya tidak menimbulkan kekeliruan.

Akan tetapi saya mendapati berita yang keluar esok harinya seolah-olah menegaskan lagi keterbukaan pimpinan beliau untuk meneruskan idea Kerajaan Perpaduan. Barangkali yang terus menimbulkan pertanyaan-pertanyaan apabila dalam Ucapan Penggulungan Muktamar mengulangi penekanan kepimpinan atas keterbukaan PAS untuk bertemu dan berbincang dengan siapa-siapa sahaja.

Ucapan penggulungan Timbalan Mursyidul Am, Dr. Haron Din dan ucapan-ucapan penggulungan Presiden dan Timbalan Presiden dilihat seperti tidak begitu selari dengan pandangan majoriti besar perwakilan dan wakil Kelab Penyokong PAS yang dengan keras menolak sebarang pertemuan dan perbincangan dengan UMNO.

Pendedahan (4) Ustaz Ahmad Awang: Mengapa Tok Guru Nik Aziz sensitif dengan Umno?

KUALA LUMPUR: Apabila ucapan-ucapan kepimpinan PAS itu di spin oleh media, maka akhirnya yang timbul bukan idea konsep Kerajaan Perpaduan yang mencakupi semua parti-parti diwakili di parlimen pada masa ini. Ianya diputar-belitkan seolah-olah Kerajaan Perpaduan PAS/UMNO atau Kerajaan Perpaduan PAS/UMNO/BN.

Di sinilah timbulnya berbagai-bagai pandangan negatif atau tuduhan-tuduhan berat terhadap pimpinan tertinggi PAS pada masa ini. Saya percaya Mursyidul Am Tok Guru Nik Aziz (TGNA) tersentuh perasaan beliau apabila teringat apa yang berlaku dalam pertemuan sulit antara Pimpinan Tertinggi PAS dengan Pak Lah yang didedahkan sendiri oleh Presiden UMNO itu beberapa bulan sebelum Muktamar ke-54 di Perak tahun lalu.

Pertemuan itu kemudian diistilahkan sebagai muqabalah bukan muzakarah. Saya boleh mengerti TGNA begitu sensitif kerana jika dahulu boleh berlaku muqabalah secara sulit, apakah nanti tidak akan ada muqabalah seperti itu di antara pimpinan parti yang diberi mandat oleh perwakilan dalam Muktamar kali ini.

Apatah lagi apabila TGNA melihat “orang” tertentu yang terlibat dengan rundingan sulit dengan Pak Lah, dilantik memegang jawatan penting dalam pentadbiran PAS sekarang.

Saya sendiri pun tertanya-tanya samada Dato’ Seri Presiden berasa dalam keadaan serba salah bersabit perlantikan jawatan berkenaan terutama saya memahami watak TGHHA sebagai seorang yang sangat menghormati orang lain sehingga boleh menyebabkan beliau berada dalam dilema untuk membuat satu keputusan yang tegas.

Mungkin saya salah seorang anggota pimpinan PAS (mantan) yang cukup memahami sensitifnya TGNA bila mengenangkan pertemuan sulit pimpinan PAS dengan Pak Lah pada 10 Mac 2008 di sebuah rumah di Kuala Lumpur yang bertujuan membincangkan penubuhan Kerajaan PAS/UMNO/BN.

Namun ianya gagal atas sebab-sebab tertentu. Bayangkanlah apabila kerajaan PAS di Kelantan diserang begitu hebat terutama dalam kempen PRU ke-12 itu oleh pimpinan BN yang diketuai oleh Pak Lah sendiri, timbalannya Najib dan menantunya Khairy, tiba-tiba 2 hari selepas itu PAS diajak bersama untuk membentuk kerajaan walaupun bukan di Kelantan.

Takkanlah pimpinan PAS tidak terfikir macam mana UMNO boleh serta merta hendak berbaik dengan PAS setelah mereka berusaha hendak menghancur lumatkan PAS sebagai musuh utama politik mereka.

Tidak perlulah berfikir panjang, semua orang boleh tahu Pak Lah berbuat demikian kerana menyaksikan UMNO/BN menerima pukulan hebat dengan kehilangan majoriti 2/3 dan kehilangan kira-kira 50% kerusi parlimennya di Semenanjung. Itulah tabiat UMNO apabila hampir kehilangan kuasa, dibuatlah alasan PAS mesti bersama dengan UMNO demi kepentingan bangsa dan agama.

Pendedahan (5) Ustaz Ahmad Awang: Pengalaman bentuk kerajaan Pakatan di Perak

KUALA LUMPUR: Di Perak, UMNO mengajak PAS membentuk kerajaan bersama UMNO/BN. Alasannya ialah alasan yang sama dijadikan hujah apatah lagi UMNO/BN yang memenangi 28 kerusi hanya seorang sahaja ADUN bukan Melayu.

Ini bermakna jika PAS menyertai UMNO/BN, kononnya terbentuklah kerajaan yang didukung oleh 97% Melayu Islam. Dengan ini berlakulah satu sejarah dalam masa 50 tahun merdeka tertubuh Kerajaan Melayu Islam di negeri Perak. Kononnya kukuhlah kedaulatan Melayu Islam di Perak.

Namun kepada saya dan rakan pimpinan PAS Perak, alasan tersebut dapat kami ketepikan dengan hanya satu hujahan iaitu UMNO/BN selama ini tidak pernah mengangkat Islam bahkan sebaliknya menghakis Islam di Negara ini. Kami ambil kenyataan Mufti Perak sendiri, Dato’ Seri Haji Harussani yang menyatakan bahawa orang Melayu ratusan ribu menjadi murtad dan kerajaan UMNO/BN tidak berbuat apa-apa untuk menanganinya.

UMNO Perak yang didukung oleh pimpinan UMNO Pusat berusaha bersungguh-sungguh dengan segala tipu dayanya memujuk kami untuk membentuk kerajaan bersama UMNO/BN dengan menawarkan jawatan Menteri Besar dan 5 EXCO kepada 5 orang lagi ADUN PAS. Jawatan speaker juga ditawarkan kepada pimpinan PAS.

Sehingga hari upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak (Dato’ Seri Haji Nizar Jamaluddin) agen UMNO masih lagi datang menemui saya di perkarangan Istana Iskandariah. Sehari sebelumnya Dato’ Zahid Hamidi mengejar saya untuk pertemuan 4 mata dengannya tetapi beliau gagal berbuat demikian apabila saya meminta pihak polis mengawal rumah saya (rujuk posting berkenaan tahun lepas).

Bayangkanlah bagaimana perasaan saya atau sesiapa juga seperti yang saya alami tiba-tiba mendapat tahu kemudian Pimpinan Tertinggi PAS berunding dengan UMNO untuk membentuk kerajaan PAS bersama UMNO/BN. Walaupun saya hanya mengetahuinya selepas kira-kira 2 bulan kemudian, saya tetap terasa amat pelik dan tersentuh dengan tindakan pimpinan itu.

Apahal pun saya menerimanya kerana ia sudah menjadi perkara akademik dan sejarah sahaja. Namun begitu ia tidak boleh padam dari ingatan dan tetap tersimpan dalam hati kecil saya. Saya percaya perasaan seperti inilah yang tersimpan mendalam dalam hati TGNA dan boleh timbul pada bila-bila masa apabila wujud situasi seperti isu Kerajaan Perpaduan.

Apatah lagi UMNO itulah yang telah melakukan rampasan kuasa ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang diketuai oleh Dato’ Seri Najib dengan mendapat restu dari Pak Lah sendiri.

Kini kelihatan perbezaan pendapat di antara TGNA dengan pimpinan tertinggi PAS. Akibat perkara-perkara yang berlaku selepas isu Kerajaan Perpaduan ini menjadi topik politik nasional.

Kenyataan-kenyataan pimpinan bahawa PAS tidak akan berpakat membentuk kerajaan dengan UMNO/BN seperti tidak diendahkan oleh sebahagian penyokong dan pendukung parti. Keadaan seperti ini boleh meletakkan parti di peringkat amaran bahaya maka perlulah pimpinan tertinggi dari peringkat syura dan kepimpinan organisasi peringkat pusat dan negeri mengadakan perhimpunan khas bagi membincangkan cara-cara yang terbaik untuk menangani isu ini berlandaskan kaedah dan cara terbaik mengikut lunas-lunas Islam.

Prof Dr Fadzil Che Din dakwa Tok Guru Nik Aziz bukan penentu usaha pembentukan

BALING: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan penentu sebenar terhadap usaha pembentukan kerajaan perpaduan antara PAS dan Barisan Nasional (BN) kerana terdapat pemimpin ulama dalam PAS yang bersifat positif mengenainya demi kebaikan orang Melayu.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof. Dr. Mohamed Fadzil Che Din berkata, idea kerajaan perpaduan itu perlu dilihat sebagai jalan terbaik dalam meningkatkan hubungan persaudaraan di kalangan orang Islam dan Melayu khususnya.

Katanya, slogan kedua-dua parti iaitu Hidup Bersama Islam oleh PAS dan UMNO pula Hidup Melayu boleh dihubungkan menjadi Hidup Islam Bersaudara dan Hidup Melayu Bermuafakat.

"Inilah titik tolak kepada pembentukan kerajaan perpaduan melalui slogan Hidup Islam Bersaudara dan Hidup Melayu Bermuafakat yang boleh dilaksanakan," katanya di sini semalam. Beliau diminta mengulas mengenai cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang ditentang keras oleh Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.

Mohamed Fadzil berkata, usaha ke arah pembentukan kerajaan perpaduan diberatkan lagi dengan gangguan golongan profesional dalam parti itu yang tidak bersetuju cadangan berkenaan. Beliau berpendapat, barangkali sikap jual mahal dan bangga diri sehingga membawa kepada takbur itu akan menjadi penghalang.

Tok Guru Nik Aziz: Keputusan Muktamar di Ipoh jangan ketepikan, boleh bincang kena libatkan Pakatan!

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyatakan persetujuan mengenai cadangan penubuhan kerajaan perpaduan, tetapi ia perlu dibincang serta diputuskan melalui saluran parti dan juga pakatan pembangkang.

Beliau yang sebelum ini dengan keras menyanggah cadangan tersebut dalam nada lebih lembut tetapi tegas hari ini berkata, perkara yang diputuskan dalam muktamar di Ipoh tahun lalu itu tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Katanya, sebarang kata putus mengenai cadangan yang dicetuskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu dibincangkan secara bersama dengan turut melibatkan pakatan pembangkang bagi mengelak kekacauan dalam hubungan antara mereka.

"Jadi, bila ada pihak dalam PAS (timbulkan cadangan), pakatan rakyat pun nak jaga, dengan UMNO pun nak jaga, itu sudah kacau. Jadi saya nasihat jangan buat begitu.. kalau nak juga, kita mesti buat mesyuarat. Kena ikut saluran, tak boleh kita nak ketepi keputusan mesyuarat dengan 'pandai-pandai', kita tak boleh... dan tambah lagi kenapa tidak ada orang PAS jumpa dengan UMNO pujuk dia supaya tukar dasar kebangsaan jadi dasar Islam.

"Kita dalam pakatan ini telah berjaya meredakan Islamofobia. Kalau nak buat, bawa dalam PAS Pusat, di peringkat negeri-negeri dan kemudian bawa dalam pakatan. Ini tidak, pakatan pun marah kepada kita. Dia buat kenyataan bahawa Pas mesti jawab kepada DAP," tegas beliau.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian kepada pemberita sebelum mengadakan perbincangan empat mata dengan ketua pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kediaman rasminya di JKR 10 di sini hari ini.

Mengulas mengenai tentangan kerasnya selama ini berkenaan cadangan kerajaan perpaduan melalui kerjasama dengan UMNO, Nik Aziz berkata, itu bukan bermaksud beliau berdegil tetapi lebih kepada beristiqamah atau menegakkan sesuatu yang benar.

"Ada pihak yang mengatakan saya berdegil tak mahu bincang mengenai kerajaan perpaduan. Saya nak jawab bukan berdegil, tetapi beristiqamah.

"Degil ini bermaksud kita mempertahankan barang salah mati-matian, itu kita panggil degil. Tahu benda salah, pertahan juga, tetapi bila kita pertahankan barang betul itu namanya istiqamah, istiqamah ini dipuji dalam al-Quran," jelas beliau.

Sementara itu, diminta mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar beliau melupakan sengketa lama dan membuka lembaran baru dalam hubungan dua parti Melayu itu beliau menjawab:

"Suruh lupa? Senang je lupa? Adakah makna saya boleh lupa? Ingat, ini barang automatik. Kalau lupa, takdelah sejarah" ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau sanggup bermaaf-maafan dengan UMNO dan memperbaiki semula hubungan, Nik Aziz menggesa supaya UMNO terlebih dahulu meminta maaf.

"Biar dia mengaku dulu salah. Kalau orang yang salah dengan saya, saya boleh maafkan, tetapi mengaku dulu. Saya minta maaf dan saya mengaku salah, takpa. Mana UMNO mengaku salah," tambahnya. Sementara itu, ketika ditanya tujuan Anwar datang berjumpa dengannya, beliau enggan mengulas lanjut.

Tok Guru Nik Aziz terima bersyarat mengenai kerajaan perpaduan!

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini membuat kenyataan lebih ’lembut’ dan memberi persetujuan bersyarat terhadap rundingan mengenai kerajaan perpaduan Pas dan UMNO hasil cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau seorang yang degil kerana ’berkeras’ menentang kerajaan perpaduan, Menteri Besar Kelantan itu menegaskan beliau seorang yang ’istiqamah’, tegas memperjuangkan perkara yang benar.

Jelas Nik Aziz, sikapnya itu semata-mata untuk mempertahankan keputusan Muktamar Tahunan Pas di Ipoh setahun lepas iaitu Pas mesti bersama dengan Pakatan Rakyat.

“Ada yang kata saya degil kerana enggan terima kerajaan perpaduan. Saya nak jawab saya bukan berdegil tapi saya beristiqamah. Degil bermakna kita pertahan benda salah bermati-matian, dah tahu benda salah tapi pertahankan juga, itu degil namanya. Tapi bila barang (perkara) yang benar, yang betul, itu kita istiqamah.

“Jadi kalau ada pihak dalam Pas yang nak perpaduan dengan Pakatan Rakyat, dan nak juga perpaduan dengan Umno, itu sudah kacau. Jangan buat begitu,” katanya pada sidang media di kediaman Menteri Besar di JKR 10, di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata beliau boleh menerima cadangan pembentukan kerajaan perpaduan namun ia perlu dibuat mengikut salurannya.

“Kena ikut saluran, tak boleh kita nak ketepikan keputusan mesyuarat (muktamar) dan pandai-pandai buat keputusan sendiri, tak boleh. Kalau nak juga bawa cerita perpaduan ni, bawa dulu ke PAS Pusat, bahas di peringkat negeri-negeri dan lepas tu bawa ke Pakatan. Sekarang ni Pakatan pun sudah marah pada kita,” katanya.

Menurutnya, perbincangan dengan Umno juga perlu berkisar kepada isu Islam, bukan isu Melayu.

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri yang mahu PAS dan Umno membuka lembaran hubungan baru, ketika melawat Kuala Krai Jumaat lalu, Nik Aziz berkata beliau mahu Umno memohon maaf kepada PAS terlebih dahulu.

Nik Aziz juga berkata beliau masih belum mengadakan sebarang pertemuan dengan Naib Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, dan Nasharudin juga belum menghubungi beliau untuk menjernihkan suasana tidak enak yang timbul di antara mereka berdua.

Nik Aziz sebelum ini meminta Nasharudin meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen Bachok kerana kesungguhannya untuk menjayakan cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Nik Aziz berkata satu pertemuan akan diadakan melibatkan beliau, Abdul Hadi, Nasharudin dan beberapa pemimpin lain malam esok untuk meredakan ketegangan dalam parti itu.

Mampukan PAS-Umno duduk bersekali atas nama kerajaan perpaduan?


KESEDIAAN kepemimpinan Pas berbincang soal pembentukan kerajaan perpaduan akan memperkukuhkan kekuatan Melayu, Islam di negara ini. Pendirian terbaru Nik Aziz bakal percepat proses rundingan bagi perkukuh kekuatan Melayu, Islam.

Barangkali selepas penentangan terbuka terhadap pucuk pimpinan Pas yang menyaksikan kejatuhan Allahyarham Datuk Asri Muda sebagai Yang Dipertua dalam muktamarnya di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1982, digantikan dengan kepemimpinan ulama diketuai Allahyarham Datuk Yusof Rawa, parti itu tidak pernah menghadapi krisis besar sehinggalah apa yang berlaku sekarang ekoran lontaran idea penubuhan kerajaan perpaduan oleh Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang.

Ironinya, jika pemecatan Asri secara tidak terhormat lebih suku abad lalu itu berlaku ketika Pas begitu lemah dengan kekalahan teruk dalam dua pilihan raya umum selepas keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 1977, tentangan terbuka oleh sekelompok pemimpin Pas terhadap Hadi sekarang terjadi ketika kedudukan parti itu paling kuat dalam sejarahnya.

Walaupun kontroversi berhubung cadangan itu di kalangan pimpinan Pas sendiri bermula sebelum muktamar tahunan Pas di Shah Alam lagi, penentangan terbuka khususnya daripada kelompok yang menyokong pendirian Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membantah idea berkenaan, tercetus selepas respon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Selasa lalu bahawa beliau melihat Pas ikhlas untuk berbincang mengenai idea penubuhan kerajaan perpaduan itu dan Umno tidak menolak sebarang kerjasama yang boleh memberi kebaikan kepada negara.

Dalam reaksi spontan kepada kenyataan Perdana Menteri itu, Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berkata respon Najib itu dilihat serius dan beliau akan memaklumkan kepada Hadi yang berada di luar negara. Kenyataan balas Nasharuddin itulah yang menimbulkan kemarahan Nik Aziz sehingga beliau meminta Timbalan Presiden Pas itu meletak jawatan jika terus menyokong idea penubuhan kerajaan perpaduan.

"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (berbincang dengan Umno), lebih baik dia masuk Umno. Terus terang saya sebut, lebih baik masuk Umno dan letak jawatan timbalan dan di Bachok. Apa buat sampah ni, menyusahkan orang?," kata Nik Aziz Rabu lalu, yang keesokannya menjelaskan, beliau hanya meminta Nasharuddin meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen, bukan timbalan presiden.

Tidak cukup dengan kenyataan keras Nik Aziz itu, Khamis lalu, 10 daripada 24 Ahli Parlimen Pas mengeluarkan kenyataan mengisytiharkan menyokong ketegasan Mursyidul Amnya dalam menangani persoalan kerajaan perpaduan.

Mereka ialah Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Mohd Hayati Othman (Pendang), Datuk Taib Azamuddin Md Taib (Baling) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar).

Mereka menegaskan pentingnya Pas berpegang teguh pada keputusan muktamar yang sebulat suara mahu parti itu memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan BN, termasuk konsep kerajaan perpaduan.

Yang menimbulkan persoalan terutama di kalangan orang Melayu yang melihat secara positif sebarang usaha untuk merapatkan hubungan Umno-Pas walaupun sedar amat sukar bagi kedua-duanya berkongsi kerajaan ialah sikap Nik Aziz sendiri terhadap idea yang masih longgar itu.

Walaupun dalam sejarah politiknya selama lebih 40 tahun, Nik Aziz yang terkenal dengan sifat lemah lembutnya, tidak sunyi daripada mengeluarkan kenyataan kontroversi, beliau jarang dilihat begitu marah seperti minggu lalu.

Apakah beliau benar-benar marahkan idea penubuhan kerajaan perpaduan atau mewakili satu kelompok dalam Pas yang kurang selesa dengan beberapa pendekatan kepemimpinan parti itu sekarang terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu?

Bagaimanapun, semalam Nik Aziz menukar nadanya apabila menyuarakan persetujuan kepada cadangan itu dengan syarat dilaksanakan mengikut saluran yang betul dalam parti itu, termasuk membabitkan Pakatan Rakyat, sambil menafikan bahawa beliau bersikap degil dalam menolak cadangan kerajaan perpaduan selama ini, sebaliknya mendakwa langkah itu sebagai istiqamah.

Memang diketahui umum kumpulan yang menyokong Mursyidul Am Pas itu amat rapat dengan pemimpin de facto Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala kumpulan Hadi, yang masih berpegang kepada landasan perjuangan Islam Pas, dilihat agak berhati-hati bukan saja terhadap Anwar tetapi pemimpin lain dalam pakatan pembangkang.

Begitupun, mereka berpendapat jika Pas boleh bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, tidak salah bagi parti itu untuk meneroka perbincangan dengan Umno atau parti lain dalam BN. Pemilihan kepemimpinan Pas pada muktamarnya baru-baru ini jelas menunjukkan ada usaha, walaupun gagal, daripada kumpulan Nik Aziz untuk mengambil alih tempat kumpulan Hadi.

Kepada kebanyakan orang Melayu, apa yang berlaku dalam Pas sekarang amat membimbangkan. Selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang menyaksikan kedudukan Umno lemah, ramai melihat Pas sebagai parti alternatif untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam di negara ini.

Bagi mereka, sebarang perpecahan dalam Pas, seperti yang pernah berlaku kepada Umno, akan merugikan orang Melayu. Mereka mungkin tidak bersetuju Umno bergabung dengan Pas tetapi mahu melihat persefahaman yang lebih positif antara kedua-dua parti terutama berhubung isu membabitkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Mereka tidak melihat PKR boleh memainkan peranan itu kerana ideologinya bukan berlandaskan kepentingan Melayu/Islam. Malah, ada yang mencurigai apa yang berlaku dalam Pas sekarang mungkin didalangi Anwar sendiri. PKR tahu amat sukar untuk memastikan Pas menurut agendanya selagi Hadi dan kumpulannya menguasai kepemimpinan parti itu.

Lontaran idea kerajaan perpaduan oleh Hadi adalah peluang terbaik untuk menimbulkan kesangsian ahli Pas terhadap kepemimpinannya. Hadi, yang baru pulang dari luar negara semalam, dijadualkan menemui pemimpin Pakatan Rakyat petang ini, sebelum mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat Pas malam ini, bagi menjelaskan kedudukan sebenar cadangan penubuhan kerajaan perpaduan itu.

Hanya selepas itu, akan diketahui sama ada kontroversi berhubung ideanya itu hanya sekadar ribut dalam cawan atau bakal mengubah lanskap politik tanah air tiga tahun lagi, apatah lagi dengan pendirian terbaru Nik Aziz itu.

Oleh Manja Ismail

Pemimpin pro kerajaan perpaduan tidak pernah dilarang berceramah di Manek Urai

KOTA BHARU: Cadangan tidak membenarkan mana-mana pemimpin PAS yang menyokong idea kerajaan perpaduan daripada menyampaikan ceramah dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Manek Urai tidak perlu dipolemik sebagai satu isu lapor Mohd Zuharman untuk Malaysian Insider.

Timbalan Pesuruhjaya PAS II Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata PAS Kelantan belum membincangkan mengenai perkara itu dan menyifatkan ia adalah cadangan peribadi tidak mewakili semua penyokong parti.

“Oleh itu cadangan supaya mana-mana pemimpin PAS yang menyokong idea pembentukan kerajaan perpaduan dilarang daripada menyampaikan ceramah dalam kempen PRK Dun Manek Urai tidak berbangkit,” katanya.

Mohd Amar berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Timbalan Presiden Kelab Penyokong PAS Kelantan, Yap Kok Seng supaya pemimpin parti itu yang menyokong idea pembentukan kerajaan perpaduan dilarang menyampaikan ceramah politik sempena PRK Dun Manek Urai 14 Julai depan.

Yap sebelum ini dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan idea kerajaan perpaduan berikrar akan berdiri teguh di belakang kepimpinan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga tidak bersetuju dengan cadangan idea tersebut.

Sebuah laman web juga melaporkan, hanya gambar Mursyidul Am PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan dipasang bersama calon PAS dalam pilihan raya kecil ini.

Gambar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan diletakkan dalam banner PAS dalam pilihan raya kecil ini.

“Ini adalah kehendak akar umbi serta aura di Kelantan sekarang. Kita tidak mahu memberikan signal yang salah dalam pilihan raya kecil ini,” kata seorang aktivis PAS Kelantan.

Mohd Amar sewaktu dihubungi The Malaysian Insider berkata, PAS terlebih dahulu akan meneliti secara profesional sesuatu pandangan daripada anggotanya demi kepentingan anggota keseluruhan.

“Memang sudah menjadi prinsip PAS akan mendengar sesuatu saranan dan suara anggota terbanyak melalui perbincangan secara berjemaah. Jadi, persoalan itu setakat ini tidak berbangkit lagi kerana tidak dibincangkan secara rasmi,” katanya.

Ditanya mengenai usaha menyelesaikan kemelut di kalangan pucuk pimpinan parti Mohd Amar berkata pertemuan antara Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi dan Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Umno berpecah dua di Manek Urai kerana rebut calon!

KUALA LUMPUR: Peluang Umno menang di Manek Urai bukan hanya ditentukan oleh calon yang sesuai tetapi juga sama ada dua kumpulan Umno dalam bahagian tersebut, boleh bersatu.

Umno bahagian kini terbahagi kepada dua kumpulan - yang menyokong ketua bahagian sekarang, Datuk Ramzi Abdul Rahman dan yang menyokong bekas ketua bahagian Datuk Wan Zaid Abdullah.

Menurut sumber, kedua-dua mereka mempunyai pengaruh yang sama banyak dan jika satu kumpulan tidak menyokong, Umno sukar menang di Manek Urai.

Jika tidak ditangani segera, kata sumber itu, jentera kempen BN Manek Urai boleh berpecah kepada dua kumpulan. Sebanyak 28 daripada 42 cawangan Umno di Kurai Krai merupakan cawangan yang menyokong Wan Zaid sejak sekian lama.

"Hubungan mereka berdua renggang sebaik sahaja Datuk Ramzi menjadi ketua bahagian, menggantikan Datuk Wan Zaid pada 2005," kata sumber kepada Malaysiakini.

Sumber itu mendakwa Ramzi telah menyingkirkan semua orang Zaid - sama ada di peringkat bahagian mahupun di cawangan-cawangan. Menurutnya lagi, dalam mesyuarat Umno bahagian pertengahan tahun lalu, 28 cawangan mahu mencalonkan Wan Zaid bertanding jawatan ketua bahagian Kuala Krai.

Bagaimanapun, kumpulan itu gagal kerana mesyuarat mereka dikatakan tidak sah dan sekaligus gagal mencalonkan Wan Zaid untuk mencabar Ramzi. Berikutan itu, Ramzi mempertahankan jawatan ketua Umno bahagian tanpa bertanding.

"Tetapi pengaruh Datuk Wan Zaid di sini masih banyak lagi kerana disokong oleh 28 cawangan. Sebab itu masih ada orang Umno yang berharap beliau dicalonkan untuk bertanding di DUN Manek Urai," katanya.

Menurutnya lagi, jika isu antara Ramzi dan Wan Zaid tidak ditangani, maka jentera pilihanraya BN Manek Urai tidak bersatu padu. Tambahnya, sehingga hari ini ramai petugas Umno di Manek Urai belum membina bilik gerakan di peti undi dan cawangan masing-masing.

"Ramai merungut kerana peruntukan RM2,000 untuk satu peti undi terlalu kecil. Peruntukan sebanyak itu sesuai untuk memasang poster dan kain pemidang tetapi sukar untuk membina bilik gerakan kecil. Sebab itu, ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat. Sebenarnya mereka mahu peruntukan yang lebih besar sebelum menjalankan kerja-kerja kempen pilihnaraya," kata sumber itu.

DUN Manek Urai mempunyai sembilan peti undi. Suruhanjaya pilihanraya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari penanamaan calon dan 14 Julai hari mengundi.