KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Februari 28, 2009

Gelagat SPRM seperti perkakas Umno, bukan kerana sakit hati tengok Khir kenakan Khalid Ibrahim


TINDAKAN Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Seri Ahmad Said Hamdan mendedahkan kandungan kertas siasatan melibat pertuduhan terhadap Menteri Besar Selangor yang sepatutnya menjadi rahsia memberi gambaran seolah-olah suruhanjaya tersebut kini menjadi salah satu sayap Umno, tulis Irwan Muhamad Zain.

Kertas siasatan itu sepatutnya tidak didedahkan secara umum sehinggalah Tan Sri Khalid Ibrahim dipertuduhkan secara rasmi di mahkamah oleh pihak Jabatan Peguam Negara Malaysia sekiranya Peguam Negara memutuskan terdapat kes terhadap Menteri Besar Selangor itu.

Sehubungan itu, tindakan Ahmad Said itu adalah jelas menyalahi tatacara urusan dokumen sulit yang sepatutnya tidak boleh didedahkan sebagaimana yang telah dilakukan oleh beliau pada 20hb Februari 2009 berkenaan hasil siasatan tuduhan kesalahan rasuah salah guna kuasa oleh Menteri Besar Selangor mengenai sumbangan 46 ekor lembu dan kos selenggaraan kereta Lexus kegunaan rasmi Khalid Ibrahim.

Kenyataan yang dibuat oleh Ahmad said itu juga memberi gambaran seolah-olah beliau mempunyai niat jahat bagi menjatuhkan reputasi Khalid Ibrahim dan cuba melakarkan seolah-olah Menteri Besar Selangor itu merupakan seseorang yang telah melakukan rasuah.

Selain itu, kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM tersebut juga bertujuan untuk mempengaruhi pihak Jabatan Peguam Negara dan pihak mahkamah untuk mendakwa dan menghukum Menteri Besar Selangor sebagai seseorang yang telah melakukan rasuah dan kenyataan tersebut seolah-olah telah memberikan arahan kepada pihak Jabatan Peguam Negara dan pihak mahkamah untuk menghukum Khalid Ibrahim di atas tuduhan kesalan rasuah yang telah disiasat oleh pihak SPRM.

Selain kes melibatkan Menteri Besar Selangor, Ahmad Said baru-baru ini membuat kenyataan SPRM akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa Speaker Dun Perak V. Sivakumar kerana menggantung Dato' Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) berkuatkuasa serta merta.

V Sivakumar menyifatkan SPRM menghina institusi Dun apabila menyiasat tindakan yang dibuatnya secara sah.

"Saya amat kecewa dengan tindakan SPRM ini. Saya rasa tindakan mereka ini adalah satu penghinaan kepada institusi Dun dan sememangnya saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku." Bernama memetik beliau berkata kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan kepada pegawai SPRM di Kediaman Rasmi Menteri Besar baru-baru ini.

Beliau juga menyifatkan tindakan SPRM itu menjejaskan prinsip demokrasi dalam negara ini dan mengancam doktrin pengasingan kuasa antara tiga badan kerajaan, iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Sivakumar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh berkata sebagai Speaker, beliau cuma menjalankan tugas mengikut peraturan sedia ada, dan menurutnya "tetapi nampaknya saya pula yang disoal siasat".

Bagaimanapun menurutnya beliau yakin telah memberi kerjasama penuh dengan memberi keterangan kepada dua pegawai SPRM dari Ibupejabat di Putrajaya selama kirakira dua jam, bermula dari pukul 6 petang.

Peliknya bila sesuatu kes rasuah melibatkan pemimpin Umno atau Barisan Nasional (BN) dilaporkan oleh pembangkang, SPRM sejak ia masih lagi dinamakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak akan bersungguh-sungguh untuk mendedahkan kepada umum.

Malah kertas siasatan juga tidak pernah sekalipun didedahkan untuk hebahan media apatah lagi untuk diketahui umum apa hasil siasatan yang telah dibuat oleh badan tersebut.

Lebih pelik lagi SPRM membuat keputusan untuk menutup 45 kes rasuah yang melibatkan Umno dan menyatakan bahawa kes tersebut perlu dirujuk kepada Lembaga Displin Umno. Antara kes rasuah dalam Umno adalah kes melibatkan penyalagunaan wang kerajaan oleh Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi seperti mana laporan yang dibuat oleh bekas Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Dato' Zahar Hashim.

Salah guna wang kerajaan seperti mana yang dilakukan oleh Abdullah itu merupakan satu jenayah besar dan sepatutnya kes ini mendapat perhatian SPRM kerana Perdana Menteri itu menggunakan wang kerajaan untuk kepetingan politik beliau bukan untuk kepentingan rakyat.

Malangnya kerana Abdullah merupakan Perdana Menteri dan Presiden Umno maka kes terhadap beliau ditutup begitu saja. Yang menjadi mangsa adalah pelapornya, Kapten Zahar bila beliau digantung selama tiga tahun oleh lembaga displin Umno yang akhirnya beliau mengambil keputusan keluar dari parti itu dan menyertai PAS.

Apakah istimewanya Umno sehingga kes rasuah dalam parti tersebut menjadi begitu eksklusif sehingga SPRM tidak boleh berbuat apa-apa? Adakah rasuah dalam Umno tidak dianggap rasuah oleh SPRM?

Rasuah dalam Umno tetap merupakan satu kesalahan besar dan seharusnya SPRM tidak menutup sebelah mata dan menyerahkan kepada lembaga displin parti trsebut untuk menentukannya.

Apa yang dilakukan oleh Ahmad Said dan SPRM jelas mengambarkan bahawa suruhanjaya tersebut kini merupakan sayap baru Umno dan sebarang kes rasuah yang melibatkan pemimpin Umno akan senyap begitu saja.

Rasuah bagi SPRM satu kesalahan jika ianya melibatkan pemimpin pembangkang atau mana-mana pegawai kerajaan yang harus dijadikan kambing hitam untuk melindungi pemimpin Umno.

Pemimpin Umno jika sudah cukup bukti sekalipun sepertimana yang didedahkan oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengenai cubaan merasuah Adun Pakatan Rakyat di Kedah yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mahdzir Khalid tidak akan diambil sebarang tindakan.

Lebih malang lagi seperti yang didedahkan oleh Anwar dalam Dewan Rakyat baru-baru ini, pegawai BPR (sebelum ditukar nama kepada SPRM) yang menjalankan siasatan kes tersebut telah ditukar dan hasil siasatannya digelapkan.

Sungguh malang bagi Malaysia kerana mempunyai sebuah suruhanjaya yang diamanahkan untuk mencegah rasuah tetapi bertindak sebagai badan yang melindungi perbuatan rasuah melibatkan pemimpin-pemimpin Umno. Dengan tindakan SPRM ini tidak mustahil indeks rasuah di Malaysia akan terus meningkat dan meletakkan negara ini pada kedudukan yang lebih buruk lagi.

Tiada ulasan: