KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Februari 10, 2009

Harakah "Rampasan Kuasa" dirampas KDN, bendung kebangkitan rakyat Perak!

Ahmad Lutfi terpaksa memikul banyak bebanan dan kecaman sepanjang mengendalikan Harakah dikala cabaran politik Malaysia makin tegang dan matang!

Akhbar Harakah yang turut dirampas oleh KDN di banyak premis tanpa sebarang notis dan tindakan dilihat sebagai serangan KDN untuk mengekang pengaruh akhbar itu dari terpercik kepada rakyat seluruhnya...

AHAD lalu, 8 Februari saya dan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah menerima SMS tentang ada rampasan Harakah di beberapa kedai di Kuala Lumpur. Kami berada di Ipoh, Perak. Tidak lama kemudian, seorang pegawai kilang percetakan Harakah di Shah Alam juga memaklumkan melalui SMS tentang kedatangan pihak SB untuk mendapatkan Harakah terbitan hari itu, iaitu Edisi Isnin (9 Februari) bertajuk "Rampasan Kuasa".

Ahad itu, kami mundar-mandir mencari kedai suratkhabar untuk membeli Harakah tetapi tidak berjumpa. Sebelah tengahari kami bertolak ke Kuala Kangsar untuk bertemu dengan tahanan yang bakal dibebaskan akibat tunjuk perasaan di hadapan istana Bukit Chandan, 6 Februari lalu.

Hampir 50 FRU berkubu antara jalan masuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah dengan Mahkamah Majestret. Setelah saya dihalang untuk masuk ke mahkamah oleh polis bertugas, kami terus meluru ke Masjid Ubudiah dan mengelilingi Istana Bukit Chandan yang indah permai itu. Kami singgah sekejap mencari Harakah di Bandar Diraja Kuala Kangsar, tetapi hampa. Pekedai kata Harakah habis, sejak pagi lagi.

Abdul Rahim Sabri dari Malaysiakini melaporkan: Akhbar dwimingguan PAS Harakah yang memuatkan edisi-edisi terkini pergolakan politik di Perak dirampas di negeri itu, Kedah dan Selangor. Difahamkan pengedar-pengedar juga diberikan amaran agar tidak menjual tabloid rasmi parti itu. Gangguan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga didakwa berlaku di Pulau Pinang dan Johor.

Ketua Pengarang Kumpulannya Ahmad Lutfi Othman memberitahu Malaysiakini hari ini, pihaknya sedang mengumpul maklumat jumlah rampasan kementerian berkenaan. Tambahnya, pihak berkuasa juga telah memberikan "tekanan" kepada akhbar tersebut sebelum edisi semalam - yang diedarkan mulai hujung minggu lepas - dicetak.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan dengan perinci bentuk tekanan tersebut, dipercayai mengenai tajuk utama dan kandungan laporan akhbar tersebut mengenai rampasan kuasa BN terhadap kerajaan pimpinan menteri besar PAS, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mulai minggu lepas.

Edisi Jumaat lepas yang memuatkan laporan muka depan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dianggap "memihak kepada BN" susulan keputusannya tidak mengiktiraf kekosongan dua kerusi DUN Changkat Jering dan Behrang seperti didakwa oleh Speaker Dewan itu, V Sivakumar.

Ahmad Lufti berkata, Harakah sedang menghubungi pengedar-pengedarnya di negeri-negeri lain untuk memastikan sama ada mereka juga mengalami masalah seumpama itu. Katanya lagi, beliau tidak menyangka rampasan itu berlaku kerana tiada notis diberikan dan ia berlaku secara "tiba-tiba".

Pengurus pemasaran akhbar itu Shuhaimi Embong pula berkata pihaknya akan menyediakan khidmat peguam jika penjualnya memerlukan dan akan membayar ganti rugi atas rampasan tersebut. Tambahnya, beliau sedang mengumpul data lengkap dan akan menunggu jumlah rasmi daripada kementerian terbabit.

Pada Jun tahun lalu, kerajaan meluluskan permohonan tabloid rasmi PAS itu untuk diterbitkan dua kali seminggu. Sebelum ini, Harakah diterbitkan dua kali sebulan, sejak tahun 2000.

Sementara akhbar PKR Suara Keadilan juga mengalami rampasan sejak pilihanraya kecil Kuala Terengganu, pertengahan bulan lepas, di Johor dan Melaka. Menurut Ketua Penerangan PKR, Tian Chua, rampasan itu kemungkinan berhubung laporan janji-janji politik yang didakwa gagal ditunaikan oleh Timbalan Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Razak didakwa tidak memberikan RM4.18 juta kepada 26 masjid dan 42 surau di Pulau Pinang sewaktu pilihanraya kecil Permatang Pauh, Ogos lepas. Beliau dilaporkan berkata akan berbuat demikian segera bagi menjawab kempen pembangkang di Terengganu. Chua juga berkata pegawai-pegawai KDN turut menakut-nakutkan penjual agar tidak mengedar Suara Keadilan.Tambahnya, PKR akan mengumpul maklumat lengkap dan bertemu KDN untuk membincangkan perkara tersebut.

Tiada ulasan: