KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 08, 2009

Himpunan Mansuh ISA: Polis bertindak keterlaluan, tak ikut SOP - Salahuddin Ayob



MUQADDIMMAH: Dengan mudah PDRM menyalahkan penyokong GMI enggan bersurai dan mengadakan perhimpunan haram. Namun, Akta Polis yang membelenggu serta sikap kerajaan yang anti perhimpunan aman, menyebabkan rakyat bangkit menyuarakan rasa tidak puashati mereka. Tetapi, penyokong anti-ISA, 1 Ogos lalu diligan bagaikan penjenayah dengan tembakan bertubi-tubi gas pemedih mata dan semburan aiar tajam water cannon. Adakah ini SOP polis seperti dakwaan Tan Sri Musa Hassan? Mengapa perlu beriya-iya sangat untuk halang Deklarasi Rakyat tiba ke pangkuan Yang Dipertua Agung? Ikuti interbiu eksklusif TARMIZI MOHD JAM bersama ketua komander Himpunan Mansuh Isa PAS yang juga Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di rumahnya, di Taman Melewar.

Boleh anggarkan jumlah penyokong Himpunan Mansuh ISA, 1 Ogos lalu? Macam mana kerjasama parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan NGO?

SALAHUDDIN AYUB: Saya menganggarkan tidak kurang dari 50,000 orang telah bagi sokongan untuk memansuhkan ISA ini. Saya yakin kalau tidak ada halangan serius polis yang mengambil tindakan seawal jam tiga pagi pada hari itu, himpunan lebih berjaya.
Tidak ada masalah untuk menghimpunkan lebih dari 100,000 peserta demonstrasi sebagaimana yang kita telah rancangkan. Dan saya sebagai komander mengucapkan terima kasih terutama kepada rakyat Malaysia yang begitu prihatin terutama terhadap isu ISA ini tanpa mengira bangsa dan agama yang telah menunjukkan komitmen mereka.
Saya juga mengucapkan syabas kepada GMI sendiri yang menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia yang ingin melihat pemansuhan kepada ISA ini. Dokongan yang diberikan oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, PAS, DAP dan KeADILan ini telah membuktikan dokongan yang kuat.
Itu telah dapat dijelmakan dengan kehadiran mereka 1 Ogos lepas dan sama-sama merasakan tembakan gas dan sama-sama merasakan betapa peritnya kita dalam perhimpunan tersebut. Dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh ahli PAS serta pendukung parti lain amnya.
Saya melihat kesetiaan mereka kepada parti begitu membanggakan. Setiap negeri, kawasan dan cawangan telah menghantar wakil mereka ke ibu kota untuk menjayakan himpunan ini. Terima kasih kepada semua NGO yang telah memainkan peranan yang besar dalam menjayakan himpunan. Jadi, saya rasa tanpa komitmen semua pihak ini, kita tidak mungkin dapat menyaksikan himpunan seperti ini dapat dijayakan.

Kekangan pihak polis menyebabkan Deklarasi Rakyat tidak dapat disampaikan kepada Istana Negara. Perhimpunan aman dibenarkan oleh Perlembagaan tetapi Akta Polis yang lebih kecil daripada Perlembagaan telah menafikan perkara ini. Bagaimana sebenarnya boleh kita katakan tentang "perhimpunan aman" seperti yang termaktub dalam perlembagaan?

Akta Polis yang diwujudkan sebenarnya, mengikut pandangan pakar-pakar perundangan merupakan ultra-vires. Ini merupakan satu akta yang diwujudkan bercanggah dengan roh Perlembagaan itu sendiri.
Artikel 10 yang memberikan jaminan tentang hak kebebasan, hak bersuara dan hak berhimpun itu adalah jelas. Apa yang disyaratkan oleh Perlembagaan, mesti dalam keadaan aman. Perhimpuanan aman itu yang dipentingkan dan dipegang oleh Perlembagaan.
Pengalaman PAS dan Pakatan Rakyat dalam menganjurkan perhimpunan, saya ambil perhimpunan terdekat iaitu perhimpunan Bersih dan Mansuhkan PPSMI termasuk ISA. Kita telah buktikan kejayaan himpunan itu aman.
Kita telah berjaya mengotakan janji untuk wujudkan keamanan itu. Ini menyakitkan hati banyak pihak kerana himpunan aman ini tercetus penuh santai bersama keluarga dan anak-anak.

Adakah jaminan aman ini menyebabkan rakyat berduyun-duyun menyokong?

Ya. Mereka datang kerana jaminan keamanan itu. Saya sebut sebagai komander tentang tanggungjawab sebagaimana Himpunan Bersih yang dipimpin oleh Hj Mohamad Sabu juga dibuktikan dalam demonstrasi yang aman. Tetapi apa yang menyedihkan kita adalah tindakan pihak Polis Diraja Malaysia yang semacam diarahkan oleh pimpinan-pimpinan Barisan Nasional.
Mereka begitu angkuh mahu terus mengekalkan akta zalim ini yang sekali lagi mereka gunakan polis untuk kepentingan politik mereka. Saya rasa tanpa kehadiran pihak polis yang terpaksa menggunakan gas dan kekerasan, perhimpunan itu dapat berlangsung dengan aman dan kita dapat berarak ke Istana Negara dengan aman.
Tetapi apa yang kita saksikan, polis mengepung polis semua jalan ke luar di lokasi-lokasi yang kita telah tetapkan seperti di Sogo dan Masjid Jamek. Mereka kepung dan menembak dengan gas. Itu yang berlaku.
Di sini saya tekankan aspek aman itu akan terus kita kekalkan dan kita jadikan sebagai keutamaan kita. Dan sekiranya polis tidak bertindak walaupun Ketua Polis Negara mengatakan mengenai Standart Operation Procedure (SOP) itu sebenarnya ditentukan atas arahan BN dan bukan SOP dalam konteks yang kita bincangkan tadi iaitu menterjemahkan Artikel 10 mengenai hak berhimpun dan bersuara.

Tapi gambaran yang cuba polis buktikan ialah bagaimana himpunan tersebut diandaikan boleh mencetuskan huru hara. Apa pandangan saudara tentang tindakan polis dalam mengekang himpunan ini?

Jika kita melihat SOP dalam pasukan polis di negara-negara yang maju dan negara yang memang menjadikan demokrasi sebagai prinsip yang mereka perjuangkan, pernah berlaku himpunan yang lebih besar daripada itu di Eropah dan di Britain, ratusan ribu malahan jutaan rakyat menyertai himpunan.
Tetapi ia berlaku dengan aman. Aman dalam konteks polis benar-benar mengawal keamanan. Polis hanya menjalankan tanggung jawab memastikan tidak ada peserta-peserta melakukan provokasi. Polis memastikan tidak ada kerosakan harta benda awam. Polis hanya berkawal dan menentukan tidak ada pergaduhan yang berlaku yang dicetuskan oleh peserta.

Adakah SOP di sini sama?

Itu SOP tugas polis di negara maju yang mempraktik ketulenan demokrasi. Tetapi di negara kita, polis yang memulakan segala-galanya. Mengadakan terlalu banyak sekatan jalan raya di ibukota, ini tidak munasabah. Hampir semua jalan masuk ke ibukota diadakan sekatan jalan raya.
Dan apabila mereka memulakan tangkapan awal serta menembak gas pemedih mata tanpa ada satu prosedur yang jelas, adakah ini ikut SOP? Jika PDRM kita menjalankan tugas seumpama SOP di negara maju dan negara demokrasi lain, saya rasa kejadian 1 Ogos itu tidak akan berlaku.
Demonstrasi sewaktu bantahan karikatur hina Rasulullah SAW di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan kemudian ke Kedutaan Amerika berjalan aman. Polis benarkan dan mereka mengawal. Lebih 100 ribu turun. Ia dilakukan tanpa provokasi polis. Ini membuktikan perhimpunan boleh dilakukan secara aman. Jadi dalam Himpunan Mansuh ISA ini, polis buat provokasi...

Itu bukti terbaik yang cukup 'emperical'. Tambah FRU, polis trafik mengawal lalu lintas dan kita berarak dengan aman. Dan tidak ada satu pun kedai ditutup sepanjang perhimpunan tersebut. Polis boleh menggunakan media massa menyatakan kerjasama mereka dalam perhimpunan aman itu.
Satu lagi perhimpunan besar yang saya saksikan walaupun polis hadir tetapi mereka memberikan masa yang cukup. Demonstrasi yang dipimpin oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor di Dataran Merdeka. Isu penyembelihan rakyat Bosnia Herzogovina pada 1992.
Waktu itu hampir 60,000 rakyat bersembahyang di Dataran Merdeka serta berdoa. Polis tidak melepaskan gas pemedih mata dan ia berlaku dengan aman. Ini bukti jika polis bertindak dengan SOP yang standart, maka ia tidak akan menimbulkan masalah.
Saya juga ingin menambah dalam beberapa perhimpunan besar, kita telah berjaya menampilkan pasukan Unit Amal yang memainkan peranan yang cukup penting dan penuh disiplin serta mendapat pujian daripada pelbagai pihak.
Kita telah menyaksikan bagaimana Unit Amal ini cukup berjaya mengawal keselamatan pihak kita daripada mencetuskans ebarang provokasi. Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap anggota Unit Amal.

Media massa yang dikuasai BN gambarkan himpunan kali ini telah cetuskan huru hara. Gambaran buruk ini menunjukkan penganjur tidak bertanggung jawab serta menyebabkan kesesakan lalu lintas, peniaga terpaksa tutup kedai serta banyak lagi komen yang menunjukkan GMI bersalah. Bolehkah kita katakan perkara ini satu pembuktian palsu polis terhadap sesuatu perhimpunan aman?

Saya memang bersetuju dengan pandangan itu. Dan saya berlaku adil. Untuk meletakkan sepenuhnya kesalahan itu kepada pihak polis, kita tidak sampai ke tahap itu. Polis akan bertindak mengikut arahan politik BN.
Isu sebenarnya ialah apabila media arus perdana menyiarkan gambar seperti ini atau mereka mempamerkan satu persembahan mereka yang menggambarkan betapa buruk gambaran demonstrasi tersebut. Ia berasaskan rasa terdesak dengan desakan untuk menghapuskan ISA.
Tekanan-tekanan yang mereka terpaksa hadapi daripada rakan-rakan BN sendiri. MCA dan Gerakan turut menghantar memorandum kepada Yang DiPertuan Agung. Jadi, di kalangan komponen BN sendiri, yang mahukan ISA dihapuskan ditambah dengan kehadiran tidak kurang 50,000 orang dalam perhimpunan itu. Najib cukup berasa tertekan dan saya yakin akhirnya mereka terpaksa menggunakan media mainstream untuk gambarkan sesuatu yang buruk tentang apa yang berlaku 1 Ogos itu.

Sekiranya sekatan jalan raya dibuat di tempat-tempat yang sama pada hari tiada demontrasipun, saja-saja buat, Kuala Lumpur pasti akan lumpuh. Sebab terlalu banyak sekatan dan lencong yang boleh mengundang kesesakan lalu lintas yang melampau.

Sekiranya berlaku sekatan dan lencongan bukan disebabkan adanya demonstrasi, seperti kejadian tanah runtuh atau banjir kilat serta pembinaan jalan di dua nadi di Kuala Lumpur iaitu di Lebuhraya Mahameru dan Jalan Kuching, kesasakn pasti terjadi. Di dua tempat ini jika berlaku musibah bukan angkara demonstrasi sekalipun, Kuala Lumpur akan sesak dan lumpuh.
Ini bermakna polis sebenarnya cuba mempengaruhi umum kononnya Kuala Lumpur lumpuh akibat demontrasi hanya dengan membanyakkan sekatan dan lencongan jalan raya. Sedangkan jika tidak ada demonstrasi pun, waktu hujan lebat akan berlaku kesesakan jalan raya. Jadi, ini satu alasan yang tidak munasabah diberikan pihak polis.

Adakah sekiranya jika polis mengawal keselamatan mengikut prosiding asal SOP lebih kurang satu atau dua jam, himpunan aman ini boleh disurai dan Deklarasi Rakyat dapat diserahkan kepada Yang DiPertuan Agung?

Saya percaya sesungguhnya jika polis memberikan kerjasama serta memberikan kami masa daripada pukul dua petang sehingga 3. 30 petang atau beri kami satu jam sahaja berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara untuk menyampaikan memorandum, saya rasa kita dapat menyelesaikan dengan baik serta menyuraikan perhimpunan tersebut dengan aman.

Cukup sedih, terdapat penyokong anti ISA yang dikepung dari pelbagai sudut serta ditembak dengan gas pemedih mata dan water cannon. Apakah ini ikut SOP?

Objektif mereka ialah memastikan arahan politik menggagalkan himpunan ini. Tujuan polis ialah jangan ada sebarang himpunan. Polis bertindak lebih drastik daripada dua perhimpunan sebelum ini dengan mengepung lokasi yang telah kita isytiharkan itu.
Ia adalah untuk memastikan orang-orang yang disyaki tidak berhimpun di ketiga-tiga lokasi. Itu arahan yang mereka terima untuk menggagalkan perhimpunan ini. Iaitu jangan ada sebarang perhimpunan sebagaimana yang dirancang untuk memenuhi kehendak pimpinan BN.
Sebab itu mereka bersungguh-sungguh melakukan kepungan, tangkapan serta melepaskan gas pemedih mata. Namun begitu, ingin saya tegaskan semangat juang serta rakyat Malaysia agar akta ini dimansuhkan begitu tinggi.

Tapi pesta tembak gas pemedih mata dan sembur water cannon, agak keterlaluan. Masa bersurai singkat. Kawasan dikepung. Ini rasanya bukan ikut SOP?

Ya. Di hadapan Sogo arahan diberikan hanya dua minit. Adakah munasabah SOP cukup dua minit? Polis harus menggunakan budi bicara mereka. Di hadapan Sogo sahaja hampir 20,000 peserta. Dengan tidak menggunakan pembesar suara dan masa diberi dua minit.
Adakah ini munabah? Kemudian terus menembak gas pemedih mata. Ini tidak mengikut SOP. Di tempat yang lain juga polis tidak memberikan masa yang secukupnya untuk bersurai secara aman. Itu juga tidak mengikut SOP sebagaimana yang Ketua Polis Negara sebut.
Apa yang kita minta ialah sekiranya polis memiliki integriti yang benar-benar mereka sebagai Polis DiRaja Malaysia yang akan bertindak mengikut Perlembagaan serta boleh bertindak mengikut Akta Polis dengan memberikan permit himpunan.

Tidak mungkin polis beri permit?

Itu saya tidak pertikai. Dan berikan kami permit. Apa masalahnya untuk polis tidak memberikan kami permit. Kita mempunyai penganjur yang sah, yang memperjelaskan namanya iaitu GMI. Dan polis tahu siapa Pengerusinya iaitu Syed Ibrahim Syed Noh. Dan kita menyatakan siapakah anggota parti yang mendokong GMI iaitu PAS dan KeADILan.
Dan kita juga menyatakan NGO yang bersama dengan GMI iaitu Suaram dan NGO lain. Ada 83 buah NGO. Semua itu kita isytiharkan dan tidak kurang sepuluh sidang akhbar diadakan berkenaan dengan perhimpunan ini.
Dan ini bukan demonstrasi 'underground' dan demonstrasi yang dilakukan di luar undang-undang negara. Semua itu kita isytiharkan dan dipetik oleh mana-mana syarikat media dan blogger. Apa masalahnya untuk polis memberikan kami permit?
Jika kami melanggari sebagaimana dinyatakan dalam permit, polis boleh mengambil tindakan terhadap kami. Jika kita mempunyai rekod menganjurkan perhimpunan yang mengganggu ketenteraman awam serta membahayakan negara, polis boleh bertindak mengikut undang-undang yang ada.
Jadi, kita mempersoalkan kenapa tidak boleh memberikan kami permit, iaitu memohonnya. Polis awal-awal lagi mengatakan permit tidak akan dikeluarkan dan ini perhimpunan haram. Jadi saya mempersoalkan adakah itu sikap profesionalisma yang ingin polis tunjukkan?

Kali ini tahanan paling ramai, cecah 589 orang. Apa yang polis cuba tunjukkan?

Polis sengaja menangkap sesiapa yang mereka syaki dalam jumlah yang ramai untuk tujuan menakutkan. Mungkin modus operandinya adalah sesiapa yang datang berhampiran dengan Kuala Lumpur atau berhasrat menyertai perhimpunan ini, akan rasa takut. Ini mungkin modus operandi mereka.

Media berbahasa Melayu cuba gambarkan adanya tindakan ganas dari penyokong GMI berbanding media Cina yang terbuka dan memaparkan apa yang sebenarnya terjadi di tempat kejadian...

Itulah Umno yang hanya bergantung kepada akhbar Melayu untuk mendokong mereka. Dan ini tidak mengambil sikap untuk mendidik pemikiran rakyat tentang sesuatu itu dengan lebih rasional serta untuk menyelamatkan generasi akan datang daripada akta ini yang terus mencengkam mangsanya.
Tidak seperti sikap akhbar Cina yang lebih terbuka. Dan memang objektif penerbit akhbar Cina untuk mendidik minda dan pemikiran rakyat. Mereka memberikan input serta maklumat yang betul. Sebab itu kita melihat satu pemikiran yang berbeza antara kedua-dua akhbar ini dalam menyampaikan mesej kepada rakyat.

Nampaknya motivasi pengikut-pengikut GMI terutama generasi muda sangat kuat berbanding 10 tahun yang lalu. Dan kita melihat kekuatan ini satu cabaran baru kepada kerajaan. Kebangkitanan genarasi muda?

Kita melihat dalam tiga himpunan besar yang kita buat iaitu Bersih, Mansuhkan PPSMI serta Mansuh ISA, saya berani menyatakan kira-kira 75 peratus adalah anak muda. Bermakna negara kita mempunyai masa depan yang cukup meyakinkan dan cukup cerah apabila anak-anak muda ini bersama dengan kita.
Indikator ini cukup membanggakan. Suara anak muda tidak lagi bersama dengan BN. Mereka merupakan anak muda yang dinamik, yang melihat sesuatu secara objektif dan anak muda yang mahu menentang kezaliman. Anak muda hari ini adalah mereka berjuang untuk masa depan generasi akan datang.
Ini isyarat yang ditunjukkan anak muda hari ini. Sebab itu Kementerian Pengajian Tinggi mengeluarkan ancaman terhadap IPTA dan IPTS akan mengambil tindakan terhadap pelajar-pelajar yang menyertai demonstrasi tersebut.

Apabila kekangan polis terhadap rakyat dalam perhimpunan tersebut berjaya, Umno dilihat menang. Tetapi ini menimbulkan kemarahan rakyatyang membuak-buak terhadap BN. Apakah imej Umno mampu dipulihkan dengan perkembangan terkini, 1 Ogos lalu?

Apa yang Najib buat untuk meningkatkan imejnya sebagai PM baru yang 'bersih' dan mesra rakyat gagal. Ada sahaja malapetaka yang mengintai Najib di sepanjang lorong-lorong serta simpang politiknya. Kematian Teoh Beng Hock, rasuah, kisal Altantunya. Lepas satu, satu. Ada sahaja badinya Najib ini.
Dan mereka cuba menutup suara dalaman yang kuat dalam BN yang mahu ISA ini dihapuskan. Mereka menggunakan PDRM yang kononnya ingin menggagalkan perhimpunan itu. Dan mereka merasakan mereka menang. Tetapi sebaliknya bagi saya, apa yang Najib buat itu tidak dapat menyembunyikan kebobrokan yang berlaku pada era Najib dan Umno itu sendiri.
Dan saya rasa dengan apa yang kita lakukan itu, satu isyarat yang jelas bahawa Najib dan Umno tidak berupaya lagi untuk memperbaiki imej mereka. Dan saya rasa dengan kebangkitan anak muda ini, inilah masanya kita mengambil alih peranan BN dan Umno.

Laporan sebuah akhbar harian menyebut pembabitan orang Melayu lebih ramai berbanding bangsa lain. Apa yang sebenarnya berlaku?

Ini bukan isu perkauman. Dalam perhimpunan seperti mendiang Teoh dan A. Kugan sebelum ini juga dihadiri oleh kami, saya sendiri serta pimpinan PAS. Jadi kita sedar himpunan ini bukan himpunan perkauman. Saya ingin tanya di sebelah pihak satu lagi (Pro-ISA), di mana mereka? Orang Melayu juga tidak menyokong mereka.
Trend politik Cina tidak turun ke jalan raya. Tetapi dalam masa yang sama pemimpin DAP, Lim Kit Siang juga ada. Sejak merdeka memanglah kita lihat orang Melayu keluar menyatakan bantahan. Tetapi trend orang Cina tidak begitu.
Mereka senyap tapi menggunakan 'silent vote' mereka. Tetapi dengan adanya Lim Kit Siang serta beberapa Ahli Parlimen DAP dan KeADILan, serta kehadiran ahli serta pimpinan Kelab Penyokong PAS, saya rasa tidak timbul soal perkauman.

Adakah kerana isu agama, maka mereka turun menentang?

Saya rasa ahli PAS ini terdidik. Yang penting apabila arahan diberikan pimpinan tertinggi mereka akan patuh. Last draw daripada Harakah sendiri menyatakan Mursyidul Am dan Presiden PAS mengatakan wajib menentang kezaliman. Dan itu yang saya rasa formula terbaik.

Bilakah 10 Deklarasi Rakyat itu akan diserahkan kepada Yang DiPertuan Agung?

Deklarasi tersebut mungkin akan dihantar 10 atau 11 Ogos ini. Kita tidak sampai ke Istana Negara bukan salah kita. Laluan kita untuk ke istana negara dihalang.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Olahan yang baik kerana menjawap banyak persoalan ttg demo 1 Ogos itu. Ana terpaksa cekup utk blog ana!