KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 08, 2009

PAS ucap takziah kepada keluarga Adun Permatang Pasir













KUALA LUMPUR: PAS Pusat merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dan penduduk Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir di atas pemergian ADUNnya, Ustaz Dato' Hamdan Abdul Rahman disahkan meninggal dunia kerana sakit jantung di Institut Jantung Negara, 31 Julai lalu.

Demikian satu kenyataaan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, Dato' Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada media.

Katanya, pemergian allahyarham bukan sahaja dirasai oleh seluruh keluarganya dan penduduk Dun Permatang Pasir, tetapi juga merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh pendukung gerakan Islam, khasnya PAS.

Allahyarham Ustaz Dato' Hamdan adalah seorang pejuang gigih yang telah lama berkhidmat kepada gerakan Islam dalam pelbagai peringkat kepemimpinan.

Selain pernah memimpin PAS Pulau Pinang selama 11 tahun, beliau turut aktif dalam beberapa gerakan dakwah termasuk ABIM pada 1970-an. Beliau juga merupakan aktivis sosial yang cemerlang sehingga diberi kepercayaan berada dalam kepimpinan PEMADAM Pulau Pinang pada satu ketika dahulu.

Allahyarham yang baru sahaja menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato’ pada 11 Julai lalu dari Kerajaan pulau Pinang merupakan ADUN Permatang pasir tiga penggal iaitu sejak tahun 1999 hingga sekarang. Beliau juga sebelumnya adalah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang hingga tahun 2003.

Sebelum menjadi ahli politik sepenuh masa, allahyarham pernah berkhidmat sebagai Guru Bahasa di Maktab Sultan Abdul Hamid, Kedah dari tahun 1965–1966, kemudian berkhidmat sebagai Pegawai Pentadbir dalam Kerajaan Negeri Kedah mulai tahun 1966 sehingga 1977 dan jawatan terakhir beliau dalam kerajaan adalah Pegawai Pentadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Di Raja Malaysia dari tahun 1977 sehingga 1983.

"Berkat komitmen berterusan ini, allahyarham telah dipilih oleh rakyat Permatang Pasir untuk menjadi wakil rakyat sejak dari tahun 1999 lagi," ujar beliau.

Ustaz Hadi menyifatkan allahyarham sebagai seorang pemimpin yang tawaduk kerana tidak suka menonjolkan diri walaupun mempunyai latar belakang pendidikan yang baik. Selain mempunyai kelulusan pendidikan Inggeris di peringkat Senior Cambridge, beliau juga adalah lulusan Rubu' Thanawi dalam bidang agama serta beberapa kali mengikuti kursus dalam pengurusan kastam.

Katanya, sumbangan beliau juga sangat besar kepada negara kerana beliau pernah berkhidmat dalam Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, sebelum aktif dalam politik. .

"Bagi pihak seluruh pimpinan dan ahli-ahli PAS, saya merakamkan jutaaan takziah dan berharap seluruh keluarga, sahabat handai dan penduduk Permatang Pasir dapat bersabar dengan ketentuan Ilahi ini. Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Allah SWT, Insya Allah," ujar Ustaz Hadi.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mengharapkan kegigihan dan kerja kuat allahyarham untuk Islam, rakyat dan PAS menjadi contoh ikutan ahli-ahli PAS yang lain di negara ini.

"Marilah kita sama-sama berdoa moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, dan menempatkannya dikalangan orang-orang yang soleh berkat amal jariahnya sepanjang kehidupan beliau. InsyaAllah PAS bersedia untuk mengekalkan warisan legasi kepimpinan beliau di DUN Permatang Pasir dalam tempoh terdekat," ujar beliau.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan enam orang anak sebagai penyambung warisan perjuangan beliau.

Tiada ulasan: