KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 08, 2009

Wakil rakyat ditaja kongsi gelap, PAS cabar Khir buktikan!


KUALA LUMPUR: PAS mempersoalkan sikap polis yang terlalu dhaif menangani isu-isu yang melibatkan wakil rakyat ditaja oleh kumpulan kongsi gelap tertentu di negara ini, seperti pendedahan penuh maklumat seorang penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim dan mantan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Khir Toyo yang dilaporkan media tempatan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mahu polis dan pihak berkuasa menyiasat dan bertindak segera, jika benar terdapat kemungkinan tersebut. Bagaimanapun beliau kesal, polis seolah-olah tiada maklumat berkenaan perkara yang didedahkan oleh Khir Toyo dan Kamal Affandi itu.

"Kenapa penganalisa jenayah Kamal Affandi Hashim boleh mendapat maklumat seperti itu? Kenapa pihak polis boleh mendiamkan diri sehingga perkara terperinci seperti ini lebih diketahui oleh Khir dan penganalisa jenayah yang tidak mempunyai kuasa seperti pihak polis?

"Apakah pihak polis tidak buat kerja? Tuduhan yang dibuat pula membabitkan wakil rakyat. Ini satu tuduhan yang berat. Khir dan Kamal Affandi mesti berani mendedahkan identiti wakil rakyat terbabit supaya dapat dibawa kemuka pengadilan. Kita tidak mahu wakil rakyat di negara ini menjadi wakil kongsi gelap," tegas Ustaz Idris kepada Harakah.

Ustaz Idris bimbang, jika perkara ini tidak dibendung, satu hari nanti negara akan diperintah oleh mafia dan tindakan perlu diambil segera bagi membersihkan imej dan reputasi wakil rakyat lain yang tidak terbabit dengan kumpulan kongsi gelap.

"Tuduhan itu serius sebab wakil rakyat ialah mereka yang membuat undang-undang di Dewan Undangan Negeri atau pun Parlimen. Jadi imej mereka perlu segera dibersihkan. Saya cabar Khir dedahkan bukti tentang apa yang dia dakwa," ujar beliau.

Rabu lalu, Khir mendakwa kebanyakan kegiatan mencuri pasir, perjudian, spa dan pelacuran di Selangor didalangi "gerakan bawah tanah" atau kongsi gelap.

Malah dakwa Khir semasa beliau menjadi MB Selangor dahulu, hanya 700 premis hiburan beroperasi tetapi di bawah kerajaan Pakatan Rakyat hari ini terdapat 4000 pusat hiburan haram.

Sebelum itu, seorang penganalisis jenayah, Kamal Affandi mendedahkan pada sebuah akhbar harian tempatan, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir wakil rakyat ditaja oleh kumpulan-kumpulan kongsi gelap tertentu untuk menghalalkan kegiatan haram di kawasan mereka.

Hasil analisis dan pemerhatian pihaknya mendapati, banyak kegiatan haram antaranya pusat judi, hiburan, spa dan pelacuran tumbuh di kawasan terlibat selepas wakil rakyat berkenaan memenangi pilihan raya.

Menurut Kamal Affandi, tindakan wakil rakyat itu yang menghalalkan kegiatan haram di kawasannya dianggap sebagai membalas jasa golongan berkenaan.

Sehubungan itu, Ustaz Idris mahu pihak kerajaan tidak menyambung kontrak Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara kerana gagal membenteras masalah jenayah yang makin berleluasa di negara ini.

"Kalau benarlah laporan yang dibuat oleh Kamal Affandi dan dakwaan Khir Toyo maka layaklah Tan Sri Musa tidak disambung perkhidmatan kerana gagal membenteraskan jenayah," tegas beliau.

Tiada ulasan: