KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 08, 2009

Penubuhan inkues bukti Najib ketepikan rakyat, usaha tutup sesuatu?


SETELAH genap seminggu rakyat Malaysia bernama Teoh Beng Hock ditemui mati di koridor tingkatlima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam yang menempatkan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di tingkat 14, kerajaan Malaysia dibawah pentadbiran Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang berslogankan '1Malaysia: Rakyat Diduhulukan, Pencapaian Diutamakan' bersetuju untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja sepertimana yang dikehendaki oleh ramai pihak.

Namun, kerajaan yang kononnya mendahulukan rakyat ini bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja hanya untuk meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai SPRM serta menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi ketika Teoh Beng Hock disoal siasat 15 Julai lalu.

Untuk menyiasat kematian Teoh, kerajaan yang diketuai oleh suami Rosmah Mansor itu bersetuju untuk menubuhkan inkues yang akan diketuai oleh seorang majistret yang belum diumumkan namanya.

Dalam sidang media selepas mesyuarat kabinet, Rabu lalu, suami Rosmah dipetik sebagai berkata, "Kita mahu mencari kebenaran, tidak ada yang lain selain kebenaran dan dalam kes ini siasatan akan dilakukan secara telus kerana mengikut konsep 1Malaysia, setiap nyawa manusia perlu dilindungi dan hak asasi perlu dipertahankan."

Beliau seterusnya berkata, langkah itu mencerminkan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk mencari punca kejadian supaya keluarga mangsa serta orang ramai mengetahui perkara sebenar.

"Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan akan melakukan apa saja yang perlu untuk mencari kebenaran ini," katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Menjawab soalan, Najib berkata, keputusan Kabinet itu bukan kerana tekanan mana-mana pihak, sebaliknya dilakukan untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap institusi penting kerajaan.

Jika benar anak kepada Perdana Menteri kedua itu mahu mencari kebenaran, siasatan kematian dan puncanya bukan hanya diserahkan kepada inkues yang akan ditubuhkan sebaliknya, Suruhanjaya Diraja perlu diberikan tugas tersebut.

Suruhanjaya Diraja itu pula harus dianggotai oleh individu-individu yang berkaliber dan mempunyai integriti perlu dilantik untuk menganggotai suruhanjaya tersebut agar tidak dipersoalkan dan menimbulkan persepsi negatif orang ramai.

Seperti yang dijelaskan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob, perlantikan anggota yang berintegriti juga akan dapat mencapai objektif penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian penuh misteri Teoh itu.

Manakala seorang lagi Naib Presiden PAS, Dato Mahfuz Omar pula menegaskan penubuhan inkues untuk menentukan punca sebenar kematian Teoh akan menambahkan lagi keraguan rakyat terhadap kematian tersebut.

"Rakyat menuntut suruhanjaya di raja yang menyiasat punca sebenar kematian Teoh, di mana ia termasuk menyiasat cara siasatan yang digunapakai oleh SPRM semasa melakukan soal siasat terhadap Teoh dan semua perkara yang boleh menentukan punca kematian beliau," tegas beliau.

Menurut beliau, suruhanjaya di raja menyiasat punca sebenar kematian Teoh mempunyai bidang kuasa yang lebih luas berbanding inkues yang hanya diketuai oleh seorang majistret.

"Suruhanja di raja bertangungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong sahaja manakala majistret pula tertakluk kepada arahan ketuanya dan ketuanya pula tertakluk kepada arahan lebih banyak lagi ketua," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz juga menggesa rakyat supaya menuntut sidang Parlimen khas diadakan bagi menentukan keanggotaan, bidangkuasa dan prosedur suruhanjaya di raja bagi menyiasat punca sebenar kematian Teoh.

"Untuk menjamin siasatan yang tidak diragui, sidang khas Parlimen perlu diadakan segera untuk melantik anggota suruhanjaya di raja itu serta memutuskan bidang kuasa dan prosedur siasatannya," katanya.

Persoalan yang lebih penting, katanya, suruhanjaya di raja itu hendaklah dianggotai oleh tokoh-tokoh yang tidak dipertikaikan integriti mereka.

"Untuk menjamin suruhanjaya di raja itu dianggotai oleh tokoh-tokoh yang tidak dipertikaikan integriti mereka, perlantikan mereka mestilah dicadangkan oleh pihak yang lebih diyakini.

"Sebab itulah saya mencadangkan supaya sidang khas Parlimen yang melantik anggota suruhanjaya di raja itu serta memutuskan bidang kuasa dan prosedur siasatannya," tegas beliau.

Selepas itu, katanya, keputusan itu dicadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut amalan biasa, keanggotaan suruhanjaya di raja seperti itu dicadangkan oleh Perdana Menteri dan kemudiannya mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Masalahnya, bagaimana rakyat hendak meyakini kewibawaan suruhanjaya diraja itu jika keanggotaannya dicadangkan oleh (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak)?

"Amat sukar bagi rakyat meyakini kewibawaan anggota suruhanjaya diraja itu jika mereka dicadangkan oleh orang yang tidak henti-henti dipertikaikan kewibawaanya," kata beliau.

Lebih dari itu, katanya, SPRM berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Bolehkah rakyat mempercayai cadangan Perdana Menteri itu bebas dari kecenderungan melindungi badan yang dituduh menjadi talian hayat parti yang dipimpinnya?" soal Mahfuz.

Beliau yakin hanya dengan cara itu sahaja rasa tidak puas hati rakyat dapat dikurangkan.

KeADILan juga menyifatkan keputusan menubuhkan suruhanjaya diraja dan inkues – dengan dua bidang kuasa berbeza – bagi menyiasat kematian misteri Teoh sebagai "memperolok-olokkan keadilan, kebenaran dan ketelusan".

Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah menegaskan kunci persoalan bagaimana Teoh meninggal dunia mesti juga disiasat (oleh suruhanjaya diraja) dan dijawab.

"Persoalan ini tidak boleh diasingkan daripada isu umum tentang bagaimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) mengendalikan siasatan.

"Tidak perlu untuk inkues ini diteruskan. Suruhanjaya diraja patut menyiasat keadaan kematiannya. Kami juga mempunyai keraguan yang serius terhadap keberkesanan inkues tersebut," kata beliau.

Dalam kes kematian misteri Teoh ini, rakyat umumnya mahukan sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan dan diletak dibawah parlimen serta dianggotai oleh mereka yang berkaliber dan diyakini bukan diletak dibawah Perdana Menteri dan anggotanya pula yang diketahui akan bias kepada kerajaan.

Jika Suruhanjaya Diraja ini ditubuhkan hanya untuk menyiasat prosedur penyiasatan SPRM manakala punca kematian Teoh pula hanya diserahkan kepada inkues, maka slogan '1Malaysia: Rakyat Diduhulukan, Pencapaian Diutamakan' akan hanya tinggal satu susunan ayat untuk meraih sokongan menjelang pilihanraya umum akan datang.

Ditulis Oleh IRWAN MUHAMMAD ZAIN

Tiada ulasan: