KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 08, 2009

Mengapa polis terlalu bimbang referendum rakyat terlepas ke istana


TINDAKAN pasukan polis ke atas Himpunan Mansuh ISA (Mansuh) di Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu wajar dipandang sebagai sebahagian kandungan 1Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Jika di zaman mentornya, Tun Dr Mahathir Mohamad, hanya anggota polis dari Batalion Ke-4 Pasukan Polis Hutan, Sungai Petani dikerah ke Kampung Memali, Baling, tetapi Najib menunjukkan rupa paras lebih rakus dalam konteks mempergunakan pasukan keselamatan apabila 1Malaysia pasukan polis dikerah untuk hadapi Mansuh.
Dari larangan pegawai tertinggi polis, Menteri Dalam Negeri hinggalah PM sendiri yang disiarkan berterusan di media cetak dan elektronik termasuk pelbagai halangan melalui sekatan jalan raya, perkhidmatan pengangkutan dihadkan selain tangkapan awal pada malam dan pagi 1 Ogos itu, sememangnya himpunan Mansuh seolah-olah berjaya dikekang.
Malah, kesan kawalan ketat di lokasi-lokasi ditetapkan menyebabkan bakal peserta Mansuh berselerakan di seluruh ibukota. Mereka berada dipinggiran lokasi atau dalam premis-premis tertentu.
Dari laporan diterima juga, sudah ratusan ditahan setelah didapati membawa identiti sebagai bakal peserta Mansuh. Bas-bas yang membawa rombongan pula diiringi ke balai polis tertentu.
Di Sogo dan Kompleks Pertama kelihatan seorang pegawai tinggi polis berbadan gempal berbangsa Cina sibuk mengarahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) menangkap individu-individu tertentu.
'Special Branch' (SB) turut memainkan peranan mereka menyebabkan beberapa 'figure' ditangkap dan dibawa ke atas trak polis. Manakala ketika jam menunjukkan waktu pukul 1.30 petang, lebih 100 anggota PGA menyuraikan orang ramai di sekitar premis berkenaan.
Suasana 'sunyi' juga dilaporkan berlaku di Masjid Negara dan Masjid Jamek yang dipagari anggota polis hinggalah dibuka semula untuk solat Zohor, bahkan keadaan sesak yang biasa dilihat di Sogo dan Kompleks Pertama itu juga seakan-akan lengang.
Walaupun perarakan Mansuh dijadualkan bermula jam 2.00 petang, namun sehingga jam 1.55 petang tidak kelihatan tanda-tanda perarakan akan bermula seakan berjayanya tindakan polis.

Bagai semut keluar dari lubang

Tiba-tiba tepat jam 2.00 petang, bagaikan semut keluar dari lubang-lubangnya, para peserta Mansuh muncul dari pelbagai pintu berarak di jalan dengan laungan 'Daulat Tuanku!'. Kebanyakan mereka berlari-lari anak menyertai kelompok dipimpin Badrul Hisham Shaharin (Cikgu Bad) menjadikan jumlah kelompok itu lebih 5,000 orang dan bergerak menghindari sekatan polis. Turut serta berlari-lari menyelinap ke dalam kelompok tersebut ialah para SB.
Rupanya kelompok pimpinan Cikgu Bad merupakan kelompok awal, beberapa minit kemudian Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dilihat bersama beberapa pimpinan tertinggi PAS yang lain mengetuai kelompok lebih 10,000 orang juga keluar secara tiba-tiba dari kompleks beli-belah Sogo.
Manakala Dr Mohd Hatta Ramli dilaporkan mengetuai lebih 5,000 peserta dari sekitar Masjid Negara. Juga dimaklumkan, masih ramai terpecah dalam kelompok-kelompok kecil di stesyen-stesyen Transit Aliran Ringan (LRT), Pasar Seni dan gedung-gedung perniagaan di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Polis bertindak ganas

Biarpun terpisah, barangkali kejayaan membentuk kelompok-kelompok besar menyebabkan pihak polis dari pelbagai unit antaranya PGA, Unit Anjing Pengesan (D-9), Unit Simpanan Persekutuan (FRU), SB dan lain-lain mengambil pendekatan 'menyerang' para peserta Mansuh dengan tembakan gas pemedih mata, pancutan air bertekanan tinggi dari meriam air (water cannon), pukulan belantan, tangkapan selain adegan kejar mengejar. Malah Ustaz Hadi turut jatuh menghadapi ‘serangan’ pancutan water cannon.
Cara polis memperlakukan mereka yang ditangkap wajar dipersoalkan. Bayangkan seorang peserta dipegang hampir 10 anggota PGA dan SB. Ada yang lebih dari jumlah itu malah diperlakukan dengan lebih kasar.
Walaupun peserta tidak melawan dan 'dilumpuhkan' pergerakannya, masih ada anggota polis yang mungkin 'nakal' menyiku-nyiku kepala tangkapannya. Peserta yang menunjukkan isyarat 'bendera putih' juga ada menjadi mangsa keghairahan khususnya anggota PGA. Peliknya, apakah seorang atau dua anggota polis terlatih tidak mampu menangani individu yang tidak bersenjata?
Water cannon juga bertindak memancut air hingga ke dalam premis-premis perniagaan termasuk restoran menyebabkan tidak kurang ada orang awam yang berang. Maka terlihatlah beberapa individu bebal dipercayai SB membaling botol minuman ke arah kenderaan 'kebal' itu, mengumpan provokasi.
Manakala kedapatan SB-SB yang lain berlakon melaung-laungkan cabaran kepada trak water cannon dan anggota FRU dibelakangnya. Lakonan berakhir apabila pihak beberapa PGA menangkap SB terlibat.
Di hadapan Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, walaupun program Mansuh seusai tamatnya diisytiharkan bersurai, dua water cannon dan satu ketumbukan FRU berserta kira-kira 100 anggota PGA dan SB 'menyerang' peserta yang sudahpun bergerak untuk bersurai.
Kali ini lebih ganas hingga dilihat antara sesama anggota polis terpaksa menenangkan rakan-rakan mereka yang emosi. Anggota PGA yang masih muda pula kelihatan ghairah mengejar peserta muslimat hingga sejauh lebih satu kilometer dari Pejabat Agung. Apakah semua tindakan seperti ini masih dalam ruanglingkup 'Standard Operation Practise' (SOP)?

Jenayah tidak terbendung

Ternyata polis di era Najib akan diperalatkan untuk kepentingan politik BN dan disibukkan untuk menghadapi pengaruh Pakatan Rakyat. Sedangkan masih banyak jenayah yang gagal diselesaikan pihak polis.
Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein beberapa minggu sebelum ini pernah 'merungut' mengenai jurang besar nisbah antara anggota polis dan penduduk awam. Najib juga kemudiannya bertekad menangani jenayah jalanan yang turut disahut penuh azam pihak polis untuk menjayakannya.
Kehadiran ramai anggota polis di ibu negara pada hari tersebut juga tidak membantu ke arah penguatkuasaan undang-undang. Misalnya antara yang kelihatan ialah sekumpulan anggota polis beruniform tidak mengendahkan perlakuan pelanggaran undang-undang jalan raya dihadapan mereka dan boleh memberi mudarat kepada pihak lain.
Malah ada sumber memaklumkan, anggota dari beberapa agensi berkaitan pemulihan jenayah seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Penjara Malaysia turut dikerah untuk ke Kuala Lumpur dipercayai bagi tujuan berkaitan himpunan pada hari tersebut.

Lumpuh ibu negara kerana 5,000 orang?

Najib dalam ulasannya kepada media mengenai himpunan itu berkata terserah kepada pihak polis untuk tindakan susulan terhadap pimpinan pembangkang yang terlibat dalam himpunan tersebut. Tentunya bagi pihak polis, 'terserah' diungkap Najib itu perlu dilahirkan dengan tindakan yang memuaskan hati bos mereka itu.
Pemimpin BN lainnya pula memberikan merit gagal terhadap himpunan tersebut selain didakwa hanya disertai 5,000 orang. Anehnya, 5,000 yang didakwa mereka itu juga dikaitkan dengan kelumpuhan ibu negara itu selain membawa kerugian mencecah RM200 juta. Besar benar penangan 5,000 orang itu.
Malah Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menyindir Najib kerana jika sekiranya hanya 5,000 orang berhimpun masakan beliau menawarkan sebuah tempat besar iaitu stadium. Sebenarnya memadai dengan sebuah dewan. Tawaran Najib itu juga ditempelak Mahfuz kerana permohonan sedemikian pernah diajukan tetapi tidak juga dibenarkan mereka. Malah sekiranya Mansuh gagal, kenapa para pemimpin BN begitu galak mengulasnya?

Siapa sebenarnya dalang?

Para pemimpin Pakatan Rakyat kata Hishamuddin akan disiasat sejauh mana 'mendalangi' himpunan tersebut. Tidak pastilah sejauh mana kamus dewan yang Hishamuddin miliki mentafsirkan maksud 'dalang'.
Bagaimana pula dengan banyak kebobrokan yang berlaku dalam negara dipimpin 50 tahun BN ini? Siapakah dalang semua itu? Yang pasti, setelah gagal menangani Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Hishamuddin tidak akan mengerti maksud 'dalang'.
Hanya rakyat dan pemimpin berjiwa rakyat sahaja mengenal 'dalang'. 'Dalang' bukan sahaja dibenci, tetapi juga cuba dijatuhkan oleh rakyat secara demokrasi kerana membiarkan negara diurustadbir secara 'dalang', bukan sepertimana 'dalang' yang memperalatkan kekuatan dan kekuasaan secara 'dalang' demokrasi.

Tiada ulasan: