KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 08, 2009

Polis berpesta tembakan gas pemedih mata, water cannon



LEBIH 50,000 orang membanjiri ibu negara 1 Ogos lalu untuk menyertai perhimpunan yang menuntut agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan. Perhimpunan yang dinamakan Perhimpunan Mansuh itu dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dengan kerjasama Pakatan Rakyat.

Pasukan polis selaku 'sayap kanan' Barisan Nasional (BN) seperti yang telah dijangkakan mengadakan pelbagai halangan termasuk mengadakan sekatan jalan raya menuju ke pusat bandar dan ke Istana Negara sejak malam sebelum perhimpunan bertujuan untuk menghalang rakyat menyuarakan hasrat mereka kepada Yang Dipertuan Agong.

Mereka berdepan dengan anggota polis yang melepaskan tembakan gas pemedih mata serta tembakan water cannon di lokasi perhimpunan di kompleks membeli-belah Sogo, sekitar Masjid Jamek, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Dataran Merdeka, di Masjid Negara serta di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Seawal jam 11 pagi sudah kelihatan peserta perhimpunan membantah ISA berada di lokasi-lokasi yang ditetapkan terutama di Kompleks Sogo dan juga Masjid Jamek. Setengah jam kemudian tangkapan mula dilakukan terutama di kawasan berhampiran Masjid Jamek, apabila 14 anggota Unit Amal PAS dan 17 orang awam menjadi mangsa tindakan polis.

Seorang peguam wanita yang dikenali dengan nama Puspawati Rosman dari Pusat Bantuan Guaman turut ditahan ketika sedang mengedarkan risalah undang-undang kepada orang ramai berhampiran Masjid Jamek. Beliau kemudiannya dibebaskan dalam tempoh tidak sampai sejam.

Menjelang waktu Zohor sejumlah 200 orang peserta perhimpunan membantah ISA telah ditangkap. Mereka ditahan di Masjid Jamek, Sogo dan Masjid Negara. Dalam waktu yang sama jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di hadapan Sogo menuju ke Dataran Merdeka sejauh kira-kira 1.8 km ditutup.

Kira-kira 1,000 orang berada di Masjid Negara, termasuk Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli dan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad. Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Muhammad Sabtu Osman juga kelihatan di situ.

Di Masjid Jamek, polis mengarahkan orang ramai agar bersurai selepas menunaikan solat Zohor tetapi atas dasar perjuangan menentang akta zalim ISA, rakyat yang berkumpul tetap meneruskan perarakan dengan menukar haluan yang sepatutnya ke Masjid Negara ke Sogo.

Lebih menyemarakkan semangat mereka apabila AJK PAS Pusat, Dato' Abu Bakar Chik tiba-tiba muncul dan berdiri di atas tangga bangunan Karyaneka, hadapan pintu utama Masjiek Jamek berucap dengan penuh lantang dan tidak menghiraukan larangan polis. Beliau melaungkan takbir 'Allahuakbar' bila polis mengarahkan mereka beredar.

Di Masjid Negara, polis membuat tangkapan sehingga berlaku pergelutan dan ada yang terkoyak baju. Kira-kira 2,000 orang berjalan menuju ke Dataran Merdeka. Polis membuat benteng tangan untuk menghalang kemaraan mereka.

Hampir 5,000 berkumpul di hadapan Panggung Colesium di Jalan Tuanku Abdul Rahman bersorak 'Mansuhkan ISA' dan bertakbir. Mereka datang dari arah Dataran Merdeka menuju ke Sogo. Polis menembak gas pemedih mata bagi meleraikan lebih 5,000 orang yang berhimpun di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Kira-kira 10,000 orang lagi berkumpul dekat Sogo, simpang Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Pemimpin GMI menyampaikan ucapan dan membacakan deklarasi rakyat mendesak ISA dimansuhkan. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan pemimpin KeADILan, Tian Chua kelihatan berada di sini.

Orang ramai merempuh polis untuk ke Dataran Merdeka ikut jalan belakang. Kira-kira 200 terlepas bersama Dr Hatta Ramli. Polis melepaskan berpuluh-puluh gas pemedih mata ke arah lebih 2,000 penentang ISA bersama pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli di bulatan dekat Bank Negara.

Kumpulan dari Sogo menuju sepanjang Jalan Raja Laut ke arah Dataran Merdeka selepas berhimpun dan mendengar ucapan ringkas. Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, tokoh DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berada di tangah lautan manusia di kompleks Pertama, depan Sogo.

Polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan water cannon untuk menyuraikan perhimpunan di bulatan dekat Bank Negara. Kumpulan dari arah Sogo yang bergerak di sepanjang Jalan Raja Laut ditembak gas pemedih mata. Asap kelihatan berkepul-kepul selepas ditembak untuk menyuraikan kumpulan penentang ISA.

Polis melepas tembakan water cannon ke arah peserta perhimpunan yang cuba untuk ke Dataran Merdeka. Sebelum itu, stesen LRT Bandaraya dekat Sogo telah ditutup. Turut ditutup ialah Stesen LRT Masjid Jamek dan Pasar Seni.

Lebih 10,000 orang kelihatan bergerak menuju ke arah bangunan ibu pejabat PAS di jalan Raja Laut. Anwar, Lim Kit Siang dan Ustaz Abdul Hadi Awang ikut sama. Kira-kira 15,000 berhimpun di depan Pejabat Agong PAS di Jalan Raja Laut. Mereka duduk di atas jalan, dipercayai untuk menghalang kenderaan polis ke situ. Mereka turut melaungkan 'Mansuhkan ISA'. Banyak juga kenderaan awam terperangkap di tengah kebanjiran penentang ISA.

Bermula dari simpang empat Jalan Sultan Islam, dekat bangunan Sime Darby penentang ISA sudah menawan Jalan Raja Laut hingga ke simpat empat ke PWTC, dekat Restoran KFC, menghala ke Chow Kit.

Kira-kira 15,000 penentang akta ISA yang berkumpul di atas jalan di depan ibu pejabat PAS diminta bersurai selepas mendengar ucapan pemimpin pembangkang, termasuk Anwar Ibrahim, tokoh popular Lim Kit Siang dan Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar.

Polis melepaskan dua tembakan gas pemedih mata dan pancutan water cannon dari jarak jauh, ke arah penyokong anti-ISA di hadapan Pejabat Agong PAS di Jalan Raja Laut ketika mereka sedang bersurai.

Kira-kira 20 anggota polis berada di depan ibu pejabat PAS di Jalan Laut. Bagaimanapun mereka tidak dapat bolos ke ibu pejabat PAS itu kerana petugas Unit Amal enggan membuka pintu. Kelihatan tiga trak FRU dekat situ. Khabarnya, polis masuk untuk menangkap pemimpin Pakatan Rakyat termasuklah Ustaz Hadi, Anwar, Lim Kit Siang, Syed Ibrahim, Mahfuz, Salahuddin, Mohd Sabu, Shamsul Iskandar dan beberapa pemimpin Pemuda PAS.

Pasukan polis berkenaan beredar dari situ.

Terdapat laporan mengatakan antara 10,000 hingga 15,000 penentang ISA berkumpul semula sekitar kompleks membeli-belah Sogo selepas bersurai di Pejabat Agong PAS. Mereka kemudian ditembak gas pemedih mata dan watar cannon.

Mereka mula melaungkan slogan-slogan anti-kerajaan dan membantah akta itu sejak kira-kira jam 4 petang. Perhimpunan itu berakhir pada jam 4.15 petang selepas pemimpin Pakatan Rakyat meminta mereka bersurai selepas berucap di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Polis dilaporkan ingin menyiasat 11 individu termasuk Ketua umum KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang, tokoh utama DAP Lim Kit Siang dan Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Muhamad Sabtu Osman dipetik berkata siasatan itu kerana mereka hadir dan berucap di depan Pejabat Agong PAS sebelum demonstrasi besar itu bersurai.

Angkatan Muda KeADILan mengecam tindakan polis mengganasi dan menangkap rakyat yang melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman di Kuala Lumpur hari tersebut bagi menuntut pemansuhan akta ISA.

Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tindakan tersebut di luar batasan amalan demokrasi dan hak asasi rakyat untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, beliau yang turut dikehendaki polis bagi menyiasat perhimpunan besar tersebut, menggesa supaya mereka yang ditahan dibebaskan segera.

Kecaman hebat ditujukan kepada kerajaan BN kerana menangkap beratus-ratus orang dan menggunakan gas pemedih mata dan water cannon untuk menyuraikan perhimpunan menentang ISA yang membolehkan penahanan tanpa bicara.

Lebih 60 daripada 589 orang yang ditahan dalam perhimpunan 1 Ogos lalu, yang disertai lebih 50,000 orang di pusat bandaraya Kuala Lumpur, masih ditahan, untuk dibicarakan pada 3 Ogos.

Lim Kit Siang yang turut menyertai perhimpunan anti-ISA menegaskan beliau melihat sendiri polis yang bertindak sewenang-sewenangnya melepaskan tembakan gas pemedih mata ke atas orang ramai.

Lim menuduh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan bertindak ‘membalas dendam' terhadapnya dan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain kerana mereka mengadakan perbincangan meja bulat Parlimen minggu lalu, yang mendesak supaya KPN baru dilantik bagi mewujudkan sebuah negara Malaysia yang selamat.

Beliau juga mengecam Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak atas tindakan ganas kira-kira 10,000 anggota polis ke atas peserta perhimpunan anti-ISA 1 Ogos lalu.

"Adakah ini satu petunjuk yang pentadbiran Najib akan menjadi lebih kejam daripada kerajaan semua perdana menteri sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957?" soalnya.

Najib sebelum ini menegaskan bahawa perhimpunan bantahan semalam tidak memberi sebarang makna kerana beliau telahpun berjanji untuk menyemak semula undang-undang tersebut selepas mengambil alih pentadbiran negara April lalu.

Tiada ulasan: