KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 08, 2009

T-shirt Dr Hatta disentap polis, berjaya bolos dari kepungan polis



SIAPA tidak kenal Dr Hatta Ramli? Orang yang mesti ada dalam setiap himpunan aman yang dianjurkan baik himpunan Bersih mahupun himpunan Mansuhkan PPSMI. Malah beliau juga mengetuai himpunan Protes, beberapa ketika dahulu.

Setiap himpunan yang dilalui beliau mesti ada insiden yang dihadapinya terutama ketika berdepan dengan kerakusan anggota polis yang kononya bertugas mengawal keselamatan dalam perhimpunan.

Kali ini ketika dalam himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos baru-baru ini, Hatta hampir ditangkap pihak polis sehingga menimbulkan pergelutan apabila beliau bertindak mempertahankan dirinya daripada dicekup.

Ekoran itu, berlaku tarik-menarik antara Hatta dengan lima orang polis. Mujurlah ada beberapa kawan termasuklah Dr Dzulkifli Ahmad, AJK PAS Pusat yang bersama beliau menghalang tindakan rakus polis itu.

Insiden tarik-menarik itu menyebabkan baju merah yang dipakai Hatta koyak-rabak sehinggakan mendedahkan sebahagian dadanya.

"Waktu itu tepat jam dua petang saya berdiri di atas bangku dan baru bertakbir bagi memberi pengumuman kepada jamaah masjid supaya terus bergerak ke Sogo, kemudian saya terus direntap oleh polis dari belakang.

"Berlaku tarik-menarik, dengan polis yang waktu itu memegang baju saya, sehingga koyak-rabak baju saya," katanya yang turut mengalami luka di lipatan lengan dan kecederaan di lutut yang masih bisa hingga hari ini.

Ketika berbaju koyak itu, beliau dengan segera menggapai mikrofon dan terus memberi pengumuman kepada peserta himpunan.

"Oleh kerana, saya terlepas daripada genggaman polis tadi saya terus memegang mikrofon dan terus berucap dan meminta ahli jemaah masjid terus berarak segera," katanya yang berjaya melepaskan diri dari ditangkap polis.

Melihat baju Hatta yang koyak-rabak itu, salah seorang peserta himpunan terus menanggalkan baju dan memberikan kepada beliau. Beliau terus memakai baju hitam itu dan meneruskan perarakan ke Sogo.

"Saya kena pertahankan diri saya dari ditangkap polis, sebab saya adalah komander perhimpunan di Masjid Negara. Setiap pemimpin kena ada bersama-sama rakyat," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Bagaimanapun, beliau sudah menduga ada beberapa orang polis di kiri kanannya bersedia untuk menangkapnya bila-bila masa sahaja.

Selepas insiden itu, Hatta bersama-sama peserta himpunan meneruskan perarakan sehingga di Padang Kelab Selangor dan akhirnya terpaksa patah balik ekoran berpuluh-puluh peluru gas pemedih mata meluru ke arah mereka menyebabkan mereka berpecah.

Penangkapan demi penangkapan yang dilakukan oleh polis pada hari itu, bagi Hatta ianya satu tindakan supaya keadaan perhimpunan itu menjadi tidak terkawal. Hatta pernah terkoyak seluar ketika perhimpunan Bersih, tetapi inilah kali pertama bajunya koyak-rabak dalam perhimpunan yang dihadirinya.

Bagaimanapun, penangkapan 500 lebih peserta himpunan ianya langsung tidak menjejaskan himpunan aman itu yang dihadiri hampir 50 ribu orang.

Insiden yang berlaku ke atas Hatta itu mendapat liputan beberapa akhbar termasuklah akhbar berbahasa Cina yang turut menyiarkan gambar beliau yang menjadi mangsa kerakusan polis.

Rakan Hatta yang ditahan polis termasuklah Sivarasa Rasiah dan Dr Mujahid Yusuf. Kedua-duanya Ahli Parlimen Subang dan Parit Buntar.

Tiada ulasan: