MOQADIMAH: BENARLAH kata perumpamaan, pipi tak mancung, hidung tersorong-sorong. Inilah yang berlaku terhadap Umno sekarang. Pantang ada kenyataan yang positif daripada pemimpin PAS, lalu dianggap mampu mempertaut semula hubungan Umno dan PAS. Itulah yang berlaku terhadap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini. Kenyataannya mahu mengeratkan hubungan di antara kerajaan negeri dan pusat telah disalah tafsir. Isu jalinan kerajaan negeri dan pusat, dianggap pula hubungan Umno dan PAS. Ini mencerminkan pemimpin Umno sudah benar-benar kemaruk. Selain itu, Mursyidul Am PAS juga bercakap mengenai bantahan besar-besaran terhadap ISA 1 Ogos ini. Ikuti temubual SALMAH MAT HUSAIN bersama Menteri Besar Kelantan ketika ditemui di pejabatnya Isnin lalu.
Tiba-tiba sahaja timbul semula isu kerjasama Umno dan PAS?
Surat khabar arus perdana menyebut mengenai saya, tetapi saya tidak tahu menahu pun tentang perkara itu. Orang yang bernama Nik Aziz, orang yang disebut Mursyidul Am, orang yang disebut Menteri Besar ialah saya, tidak orang lain.
Sepatutnya perkara yang melibatkan saya kena tanya saya dulu. Orang lain tidak ada hak untuk menjadi jurubahasa kepada saya.
Benarkah Tok Guru sebut lupakan sengketa lama antara Umno dan PAS?
Mengenai perkataan lupakan saja sengketa lama saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian seperti disiarkan sebuah akhbar harian baru-baru ini.
Tuan-tuan boleh check balik semula record atau pun rakaman video tentang pertemuan antara saya dengan Dato’ Mustapa Mohamed di Hotel Rennaissanse Kuala Lumpur semasa program Pesta Kelantan yang dianjurkan sebuah syarikat baru-baru ini.
Saya pun tak faham kenapa perkara ini boleh berlaku, macam cerita Majnun seorang pengembala kambing yang berhajat untuk mengahwini anak raja.
Macam-macam kerenah yang dibuat oleh Majnun sehingga pada suatu hari dia duduk seorang diri di bawah pokok sementara menunggu kambing sedang makan rumput. Majnun bercakap seorang diri. Apabila kawan dia bertanya kamu bercakap dengan siapa lalu Majnun menjawab, saya sedang bercakap dengan Laila, seorang anak raja.
Macam mana seorang pengembala kambing berhasrat untuk mengahwini anak raja. Mahu tidak mahu dia menulis nama Laila atas pasir. Dia tulis nama Laila, lalu dia sendiri membacanya. Kawan dia bertanya lagi, kamu bercakap dengan siapa? Dia jawab lagi... dengan Laila. Mana Laila tanya kawan dia. Lalu dijawab... ini Laila sambil menunjukkan nama Laila yang dia tulis di atas pasir.
Majnun walaupun tak dapat kahwin dengan anak raja, tetap sekurang-kurangnya dia boleh menulis nama Laila dan bercakap dengan Laila melalui nama yang dia tulis sendiri. Umno kini pun macam itulah.
Maksud Tok Guru...
Dah sampai peringkat dia nak sambung balik soal Kerajaan Perpaduan yang ditimbulkan mereka sebelum ini. Mereka cuba memperlihatkan PAS yang mahu perkara itu. Tetapi hakikatnya mereka yang beria-ia.
Mereka nak bentuk perpaduan Melayu. Akhirnya masyarakat menganggap Kerajaan Perpaduan dianjurkan PAS. Umno sekarang sudah semakin tersepit dan sudah lama berhadapan dengan pelbagai masalah. Ada darah tinggi, lemah jantung, ada jenis paru-paru berair, banyak sangat penyakit yang menimpa Umno yang mereka cipta sendiri.
Adakah Umno di bawah kepimpinan Najib betul-betul tersepit?
Dia banyak masalah. Akibat perkara itu telah menyebabkan Umno kini sebenarnya sudah duduk dalam lubang dan akibat masalah yang dicipta sendiri. Parti itu semakin ke bawah mengikut dalamnya lubang berkenaan. Kerana itu Umno kini meminta pertolongan daripada PAS.
Tapi kalau Umno benar-benar nak perpaduan, perpaduan yang macam Tok Guru boleh tawarkan?
Sekiranya Umno inginkan perpaduan, mesti perpaduan dalam semua perkara. Umno, PAS, KeADILan dan DAP. Semuanya bersama dalam perpaduan itu kerana sama-sama memerintah negara. Malaysia ni bukan hak Umno atau Barisan Nasional (BN) tetapi hak semua.
Hak rakyat. Negara kita ini mempunyai demokrasi, jadi kenapa ingin diasingkan bangsa-bangsa atas bumi Malaysia. Perkara ini kita telah buat keputusan pada Muktamar PAS di Ipoh setahun lepas atau di Shah Alam, baru-baru ini.
Tapi isu itu tidak berbangkit?
Umno tak payah fikirlah untuk saya lupakan sengketa lama. Mana boleh orang PAS lupa perangai Umno yang mengkhianati PAS. Pada peringkat awalnya bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak Hussain yang meminta PAS menyertai Umno dan BN walaupun terpaksa berhadapan perpecahan dalam parti.
Saya sendiri pun ketika itu suka PAS masuk BN, tetapi setelah menyertai BN, PAS ditendang begitu sahaja setelah orang lain menjadi Perdana Menteri. Saya berdosa pada Allah SWT dan masyarakat sekiranya saya lupa terhadap apa yang telah Umno lakukan terhadap PAS sebelum ini.
Kenapa isu kerajaan perpaduan sering kali ditimbulkan?
Tanya Umnolah. Kena tanya Umno kenapa persoalan ini ditimbulkan semula sebab PAS tidak pernah menimbulkan soal itu. Kenapa dia timbulkan semula.
Maknanya tiada langsung isu perpaduan atau Kerajaan Perpaduan Tok Guru perkatakan sewaktu bertemu dengan Dato’ Mustapa baru-baru ini?
Tidak ada. Cuba check balik ucapan ketika itu.
Apa sebenarnya yang Tok Guru sebut?
Saya cakap dengan dia (Dato' Mustapha Mohamad), di mana saya berharap adakan kerjasama antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan. Kelantan sebagai sebuah negeri yang terletak di bawah Kerajaan Pusat sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.
Berdasarkan semangat federalisme, Kelantan berhak bekerjasama dengan Pusat dan Kerajaan Pusat juga wajib membantu Kelantan. Kelantan ni adalah sebagai satu juzuk daripada Malaysia.
Tetapi apa yang menghairankan, kerjasama dua parti hanya disebut Dato’ Pa. Kalau tak tiga kali pun sekurang-kurangnya dua kali dia sebut... "walaupun kita berlainan parti tetapi kita kena bekerjasama untuk rakyat Kelantan".
Saya tak cakap apa pun, tetapi naluri saya pun terasa pelik. Eh kenapa asyik dok sebut benda-benda begini. Kita nak berbincang tentang ‘Fiesta Kelantan’ sedangkan beliau asyik sebut soal Kerajaan Perpaduan.
Hasrat Tok Guru sebenarnya mahu Kerajaan Pusat menyelesaikan isu royalti minyak, begitu?
Ya. Jika diikutkan Perlembagaan, Kerajaan Pusat wajib menunaikan tanggungjawabnya terhadap negeri-negeri yang didapati ada sumber gas dan minyak di perairan mereka. Itu hak Perlembagaan dan bukannya pandai-pandai saya.
Masalah royalti jangan sekali-kali Kerajaan Pusat dakwa Kelantan tidak mempunyai hak. Sekiranya Kelantan tidak ada hak, sudah tentu Thailand akan mendakwa itu hak mereka, apa lagi Kelantan pula bersempadan dengan Thailand.
Apabila Kelantan yang telah bersempadan dengan Thailand, Kerajaan Pusat masih mendakwa bukan hak negeri ini, maka sudah tentu Thailand akan mengakui itu hak mereka. Jadi siapa yang rugi? Itu semua kerja bodoh.
Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah ada menyebut Kerajaan Pusat perlu membayar royalti minyak kepada Kelantan?
Ya itu betul. Saya junjung kasih banyak kepada YM Tengku Razaleigh berhubung perkara itu. Walaupun seorang pejuang Umno, namun berhubung royalti beliau berkata benar dan memihak pada Kelantan, Alhamdulillah.
Saya ulangi, jangan sekali-kali Kerajaan Pusat menyebut Kelantan tidak ada hak royalti minyak, kerana ia akan memberi peluang kepada Thailand akan mendakwa itu hak mereka sepenuhnya.
Bila kata Kelantan tidak ada hak, maknanya Malaysia juga tidak ada hak, sebab Kelantan ini di bawah Malaysia. Ini semua kerja-kerja bodoh yang dicetuskan dari pemikiran sempit pemimpin politik Umno. Mereka mengorek lubang sendiri yang bakal menenggelamkan mereka juga.
Kenapa kerajaan BN cuba menafikan hak Kelantan?
Ini kerja jahat. Seperti firman Allah yang bermaksud, "Orang yang menentang mu wahai Muhammad, sebenarnya dia yakin dengan apa perjuangan yang kamu bawa, tetapi mereka menentangnya juga kerana jahat dan degil."
Bagaimana pandangan Tok Guru berhubung Perhimpunan MANSUH bantah ISA 1 Ogos ini?
Saya amat bersetuju dengan perhimpunan yang akan diadakan itu. Tetapi sayangnya kerana masalah kesihatan, saya tidak dapat hadir pada hari itu. Saya dapat datang ke pejabat hari-hari pun dah cukup baik.
Untuk itu saya kirim salam kepada semua rakyat di negara ini supaya hadir beramai-ramai pada perhimpunan itu nanti. Ia merupakan kewajipan kita sebagai seorang manusia untuk memperbetulkan kesilapan Umno yang telah menzalimkan rakyat.
Mereka tangkap manusia dengan tidak di bawa ke mahkamah. Rakyat Malaysia ni betullah dia tu rakyat, tetapi mereka hamba Allah. Jangan fikir kita ini menteri, kita berkuasa hingga ke akhirat. Silap-silap golongan pemimpin zalim yang akan dipijak muka mereka di akhirat nanti. Kiamat boleh merendahkan orang yang tinggi sewaktu di muka dunia.
Kemungkinan besar perhimpunan itu nanti akan dihalang oleh kerajaan BN melalui pasukan keselamatannya...
Itu terserah pada kerajaan sendiri. Tetapi rakyat akan menilai tindakan mereka jahat atau sebaliknya. Negara ini bukan hak mutlak Umno, tetapi hak rakyat. Bila rakyat pilih nak demontrasi, untuk apa disekat? Kenapa kita mengganggu demokrasi yang kita sendiri laungkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan