KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 08, 2009

Mengapa tahan tanpa bicara? Apa motif Umno bermatian pertahan ISA?




AKTA Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah ketinggalan zaman masih lagi diguna pakai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Tujuan mereka hanyalah untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia agar tidak bangkit menentang kerajaan atau menyuarakan pendapat yang bertentangan dengan kehendak kerajaan.
Sesiapa saja yang menentang atau memberikan pandangan keras terhadap dasar-dasar kerajaan, tidak kira ahli politik, aktivis, wartawan atau rakyat biasa akan dikenakan tahanan tanpa bicara dan tidak mustahil akan dikenakan penderaan mental dan fizikal.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu antara mereka yang pernah ditahan dibawah ISA ketika Operasi Lalang pada tahun 1987. Beliau ditahan selama dua tahun di Kem Tahanan Kamunting. IRWAN MUHAMMAD ZAIN berkongsi pandangan dengan tokoh pidato PAS itu mengenai akta rimba yang masih menjadi senjata BN ini. Ikuti interbiu eksklusif bersama pemimpin rakyat ini.


Saudara mempunyai pengalaman ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika Operasi Lalang dalam tahun 1987. Dari pengalaman saudara apakah akta ini masih lagi sesuai atau sudah ketinggalan zaman?

MOHAMAD SABU: ISA sebenarnya sudah tidak lagi sesuai digunakan sekarang. Sudah banyak kali perkara ini disuarakan tapi kerajaan BN masih tetap mahu menggunakan akta ini untuk menahan tanpa bicara terutama mereka yang terlibat dengan politik.
Kerajaan sebenarnya sudah menyalahgunakan akta ini dengan menahan mana-mana individu tanpa bicara dengan tujuan untuk menakut-nakutkan rakyat agar tidak menentang kerajaan atau tidak menyuarakan pandangan yang berbeza serta tidak mengkritik mana-mana dasar kerajaan.
Cara ini salah dan rakyat juga perlu sedar bahawa kerajaan sudah menggunakan akta ini bukan untuk menjaga keselamatan sebaliknya menjaga kedudukan mereka. Rakyat tidak perlu takut untuk menyuarakan pandangan mereka. Dan kerajaan pula seharusnya tidak sepatutnya menggunakan akta ini untuk menakutkan rakyat.

Boleh saudara jelaskan apakah keburukan ISA ini?

Buruknya ISA ini kerana mereka menahan mana-mana individu tanpa bicara. Sepatutnya setiap orang yang ditahan atas apa-apa tuduhan sekali pun perlu dikemukakan apa jenis kesalahan yang dilakukan dan perlu dibicarakan di mahkamah terlebih dahulu sebelum dijatuhkan hukuman.
Tetapi akta ISA ini, sesiapa saja tak kira ahli politik atau aktivis yang dianggap boleh mengancam kerajaan akan ditangkap dan terus ditahan dibawah ISA tanpa bicara. Ini merupakan satu bentuk kezaliman yang tidak seharusnya diamalkan oleh sebuah negara demokrasi apatah lagi sebuah negara yang berslogankan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Mereka yang ditahan itu kebanyakkannya rakyat Malaysia, jadi mereka juga perlu didahulukan dan perlu melalui prosedur adakan perbicaraan sebelum dijatuhkan hukuman.

Apakah terdapat tahanan-tahanan ISA didera atau disiksa?

Memang ada tahanan yang didera atau disiksa mengikut kategori masing-masing. Ada tahanan yang dimaki-hamun, ada tahanan yang dipukul, ada tahanan yang disuruh telanjang dan ada yang didera mental mereka. Tengok apa kategori mereka ini.
Kalau tokoh-tokoh hebat seperti Dr Syed Husin Ali, dia antara tokoh hebat tentunya penderaan yang beliau hadapi lebih hebat. Ada juga tahanan yang dipukul kerana dianggap sebagai musuh utama kerajaan sedangkan mereka ini berjuang untuk kepentingan rakyat.

Apakah saudara juga didera ketika ditahan ISA?

Saya dimaki hamun tidak sampai dipukul tetapi maki hamun itu juga cukup memedihkan dan kalau ada yang tidak kuat mungkin boleh kalah dengan maki hamun ini. Dia tengking dan maki dengan kata-kata yang cukup kesat seolah-olah kita ini tidak ada maruah langsung.

Waktu bila mereka lakukan semua ini, ketika soal siasat atau ketika di kem tahanan Kamunting?

Waktu soal siasat. Bila dah dibawa ke kem Kamunting sudah tidak ada kes penderaan tetapi ada juga yang sudah masuk sampai ke Kamunting, dibawa keluar dan didera. Tapi ini jarang sangat berlaku. Selalunya bila dah sampai ke kem kamunting, sudah tidak ada lagi penderaan dalam apa juga bentuk.
Cuma ketika tempoh 60 hari disoal siasat sebelum dihantar ke Kamunting itu akan dilakukan penderaan untuk melihat dan menguji sejauh mana kekuatan kita, apakah kita tetap dengan pendirian atau akan mengalah dan beralih arah. Kalau dalam tempoh itu kita tetap bertahan, kita akan dihantar ke Kamunting selama dua tahun.
Selepas dua tahun belum tentu bebas sebabnya menteri Keselamatan Dalam Negeri mungkin akan lanjutkan tahanan kita untuk tempoh setahun atau dua tahun lagi. Itu sebab ada antara tahanan ISA sekarang sudah masuk tahun ketujuh dan kelapan tapi masih belum dibebaskan sedangkan tidak dinyatakan dengan jelas apa kesalahan yang dilakukan. Yang diberitahu hanya mereka ini terlibat dengan pihak-pihak yang dituduh melakukan keganasan. Selalunya dikaitkan dengan Jemaah Islamiyah (JI). Tapi bila diminta supaya dibicarakan, mereka tidak lakukan kerana tidak ada bukti untuk menahan mereka ini. Jadi kerajaan guna ISA untuk tahan mereka ini.

Penderaan ini dilakukan kepada semua tahanan atau dipilih hanya tahanan bukan Melayu sahaja?

Semua akan kena tak kira agama dan bangsa. Ada yang kata kalau bangsa lain lagi teruk tapi sebenarnya semua sama. Tak kira Melayu, Cina atau India akan didera ikut kategori sama ada maki, pukul atau suruh telanjang.

Saudara dilihat konsisten berjuang agar akta ini dihapuskan. Apa sebab sebenarnya, apakah kerana saudara pernah ditahan atau kerana akta ini sudah tidak lagi sesuai?

Saya desak supaya dihapuskan kerana ia sudah ketinggalan zaman bukan kerana saya pernah ditahan. Jika saya tidak ditahan sekali pun, apa saja akta yang zalim akan saya berjuang supaya dihapuskan.
Tidak perlu lagi guna akta ini dan jangan kerana untuk kepentingan kerajaan maka akta ini terus digunakan. Tidak perlu asingkan antara mereka yang bersenjata atau tidak. Dan tidak perlu gunakan ISA untuk menyekat kemaraan ahli-ahli politik dari jalur yang berbeza dengan kerajaan.

Apa desakan saudara terhadap kerajaan berkenaan ISA ini?

ISA sudah tidak popular dan ini terbukti bila Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri mencadangkan agar akta ini dihapuskan, jadi saya konsisten bersama pejuang-pejuang anti ISA mendesak kerajaan agar menghapuskan akta zalim ini.
Kerajaan BN yang berslogankan '1Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' tidak perlu lagi menggunakan akta zalim ini.
Jika benra mereka mengutamakan rakyat, maka mereka perlu dengar suara rakyat yang tidak mahukan kezaliman. Rakyat menenantang kezaliman dan salah satu bentuk kezaliman itu adalah akta ISA yang masih diguna pakai oleh kerajaan BN dibawah pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak.

Seruan saudara terhadap rakyat terhadap Perhimpunan MANSUH anjuran GMI 1 Ogos nanti?

Saya harap semua rakyat yang bencikan kezaliman agar dapat turut sama dengan aktivis-aktivis dan pemimpin-pemimpin yang menentang akta ISA beramai-ramai menyatakan bantahan mereka. Kita bukan mahu mengadakan keganasan sebaliknya kita mahu mengadakan demonstrasi secara aman dan berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan Deklarasi Rakyat kepada yang Dipertuan Agong.

Tiada ulasan: