KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 08, 2009

Rakyat tidak ragu-ragu bangkit mansuhkan ISA - GMI

MUQADIMAH: Himpunan Mansuhkan ISA 1 Ogos ini bukanlah satu provokasi bagi menimbulkan suasana yang tidak enak, tetapi ia adalah satu suara rakyat menuntut akta zalim itu dimansuhkan. Presiden Gerakan Mansuhkan ISA Syed Ibrahim Syed Noh mengajak semua rakyat negara ini sama-sama berhimpun bagi menyatakan suara bantahan mereka. "Ini adalah peluang untuk membuat perubahan," kata beliau. Ikuti temubual SALMIYAH HARON bersama beliau ketika ditemui.

Setakat ini, bagaimana dengan perancangan bagi melancarkan Perhimpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos ini?

SYED IBRAHIM SYED NOH: Kita memaklumkan kepada pihak polis dua hari sebelum perhimpunan. Kita akan bagi tahu secara rasmi apakah tujuan sebenar himpunan itu dan kita minta kerjasama padu daripada mereka. Kerana kita hendak wujudkan keyakinan dan menunjukkan rasa kesungguhan kita melalui perhimpunan aman.
Bukan perhimpunan yang mendatangkan huru hara, berbeza dengan kumpulan yang menyokong ISA, mereka sendiri yang menyebutkan apabila ada huru hara, kalau ada dua kumpulan mestilah timbul hura hara.

Mungkin dengan penglibatan pro-ISA secara tidak langsung mempengaruhi orang ramai untuk tidak hadir ke perhimpunan itu dibimbangi akan ada huru hara.

Saya hendak berpesan kepada orang ramai jangan berasa bimbang dan takut, kumpulan satu lagi ada hak dia untuk berhimpun begitu juga GMI. Perhimpunan itu sama juga dengan perhimpunan menuntut rumah setinggan.
Kita juga ada kawalan keselamatan kita, sebagaimana saya sebut banyak kali sebelum ini kita ada unit Amal yang akan mengawal keselamatan di ketiga-tiga tempat yang telah kita tetapkan iaitu di Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara. Pimpinan kita akan turun bersama dan ini direstui pimpinan dari kalangan parti-parti politik dan Ngo.
Kita perlu merasakan bahawa daripada tuntutan kita untuk melaksanakan hak kita malah lebih mulia lagi kita menuntut sesuatu yang baik dan benar. Kita hendak membanteras kezaliman ISA. Kita turun sebagai suara rakyat, kalau dulu kita lihat GMI sahaja tetapi kini rakyat bersama, ini memberi satu objektif bersama. Dengan itu, kita tidak perlu rasa bimbang atau risau.

Bagaimana kawalan keselamatan yang diaturkan demi menjaga perhimpunan itu terus aman?

Unit Amal seramai 1000 orang yang akan mengawal, mereka akan berada di tiga lokasi yang diputuskan. Mereka akan mengawal keselamatan peserta himpunan, lalulintas dalam memastikan keadaan berjalan dengan aman. Mereka juga terbatas dari segi kawalan ini, melainkan ada kerjasama daripada pihak polis.
Jadi kita mengharapkan pihak polis memberi kerjasama. Kalau semua bagi kerjasaman dan ruang perkara ini boleh selesai dalam masa yang singkat, perhimpunan boleh mula jam 2 petang dan mungkin kita boleh bergerak secara aman ke Istana Negara jam 2.30 petang jam 3 petang kita hantar deklarasi. Tidak ada masalah yang timbul. Saya harap macam itulah apabila kita melihat dalam konteks rakyat berhimpun secara aman mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Mangsa ISA kini sudah ramai membabitkan Cina, Melayu dan India. Kumpulan yang pro-Melayu mungkin merasakan tidak perlulah mereka terlibat sama dalam mansuhkan akta tersebut.

Saya tertarik dengan komen Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, sebenarnya kalau sesuatu bangsa itu mulia bukan kerana bangsanya tetapi kerana akhlaknya. Kita boleh menilai kalau akhlak Melayu sebenarnya macam mana?
Kalau Melayu akan lihat keadilan itu adalah hak semua, akhlak orang Melayu akan membela semua nasib orang yang tertindas dan dizalimi. Sebagaimana juga orang Cina dan India. Bukan kes orang Cina, Melayu dan India lebih-lebih lagi dalam konteks ISA.
Sebab ISA ini tidak mengenal kaum, agama dan budaya kerana semua ia (ISA) boleh tangkap menyebabkan ramai menjadi mangsa. Saya alu-alukan wakil pelbagai kaum turun. Wakil Hindraft yang turut memberi komitmen dan berjanji akan membawa ahli-ahli mereka pada perhimpunan itu nanti.

Kerajaan dalam usaha untuk mengkaji akta ISA, apa perlunya GMI meneruskan desakan mansuhkan akta itu?

Kalau kita lihat ungkapan untuk kaji semula ISA ini kita sudah dengar daripada perdana menteri sejak beberapa tahun lalu, termasuklah perdana menteri terkini. Sudah lama disebut-sebut untuk kaji semula akta ini, tetapi tidak ada satu plan dan rancangan yang konkrit bila nak kaji semula?
Lepas itu kerajaan tidak ada rancangan untuk bertemu dengan NGO-NGO untuk mendapatkan pandangan. Malangnya sejak Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri yang sudah lebih seratus hari ini, saya tidak dapat apa-apa panggilan daripada pihak kerajaan untuk menyampaikan pandangan. Yang membuat pertemuan adalah kami.
Saya pernah membuat pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri awal Julai lalu dan saya hanya berjumpa dengan pegawai Khas menteri terbabit. Setakat berjumpa dengan mereka kita hanya memaklum sajalah, bukan satu perbincangan yang boleh kita dengar dan respons terus daripada menteri. Bahkan kita tidak tahu apa reaksi dan hasil dialog kita ini.

Apakah ada satu kertas kerja atau kertas putih keluarkan?

Tidak ada! Ini jikalau ada kaji semulalah. Kalau setakat kaji semula Suhakam sudah mencadangkan sejak tahun 2003 lagi. Zaid Ibrahim pun meletak jawatan menteri kerana ISA. Tidak nampak lagi ke? Malah Abdullah Badawi pula mahu akta itu dimansuhkan. Sebab apa? Sebab kezaliman dalam ISA itu sudah melampaui batas agama, keadilan, dan hak asasi manusia. Kuasa yang ada dalam ISA terlalu luas, undang-undang pula salah kemudian disalahgunakan, ini sudah dua kali salah.
Dua kali zalim maknanya! Polis ada kuasa tahan 60 hari, kemudian menteri ada kuasa untuk lanjutkan tempoh tahanan dua tahun tanpa apa-apa proses perbicaraan dan pembelaan. Apakah kita hendak tunggu ada tahanan mati sewaktu ditahan macam berlaku dalam SPRM.

Jika berlaku kekecohan dan huru-hara dalam Perhimpunan MANSUH ISA pada 1 Ogos ini, sudah tentu saudara akan dikaitkan. Apakah saudara sudah bersedia jika di ISAkan?

Ooo...soalan payah tu nak jawab (ketawa). Bagi saya soal masa depan kita tidak tahu, tuhan sahaja yang tahu. Kita akan buat beberapa persediaan yang perlu. Tetapi saya yakin dan Insyallah jika kita berada di landasan yang benar kita kena sedia berkorban. Kita kena persiapkan diri, kawan-kawan juga memberi sokongan.
Saya rasa jelas saya tidak berseorangan dalam perjuangan mansuhkan ISA ini. Ini cukup jelas dan ramai yang memberi sokongan seperti Pakatan Rakyat. Jikalau apa-apapun terjadi pada saya dan sesiapa juga saya rasa, ramai yang akan bangkit mempersoalkan. Kenapa, dan apa salah dia?
Adakah dia buat satu kesalahan, kenapa tidak dibicarakan dia? Biar orang jelas siapa (profile) Tuan Syed. Bagi saya tidak ada apa-apa yang tersembunyi, motif saya jelas dan objektif saya jelas. Kalau ini dilihat satu kesalahan maka itu bukan kita yang salah tetapi orang yang menahan itu yang salah.

Tiada ulasan: