KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 08, 2009

Najib lebih utamakan politik dari hapuskan selesema babi


SETAKAT rencana ini ditulis, sudah berlaku empat kematian akibat selesema babi atau influenza A (H1N1), tetapi tidak kedengaran kenyataan keras Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, ke arah melaksanakan ‘perintah berkurung’ dalam usaha pencegahan habis-habisan.

Jika setakat kenyataan demi kenyataan Menteri Kesihatan, Dato' Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican untuk mengumumkan penambahan jumlah mereka yang dijangkiti, ia tidak mampu untuk memberi kesedaran secukupnya kepada rakyat.

Jika perlu satu langkah paling drastik hendaklah dimulakan, supaya usaha berjaga-jaga dan langkah-langkah pencegahan optimum dapat dilaksanakan segera. Negara ini bukan tidak pernah dilanda wabak seperti ini tetapi dalam kes H1N1, kerajaan dilihat seperti hilang pertimbangan dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

Rakyat seperti tidak memperdulikan. Orang ramai seperti tidak terkesan dan lebih parah lagi, publisiti media yang diterima mereka yang bertanggungjawab terhadap isu ini seperti sia-sia.

Perdana Menteri perlu menangguhkan buat sementara semua cerita 1Malaysia, NKRA atau KPI jika wabak ini menjadi semakin serius. Malaysia tidak memerlukan kehadiran Dato' (Melaka) Sharukh Khan untuk menyumbang kepada YAKEB jika keadaan kesihatan rakyat terancam.

Apakah sebenarnya keutamaan sekarang? Adakah kita mahu terus mewar-warkan slogan demi slogan sedangkan wabak H1N1 tidak berjaya dibendung. Yang ada, sepanduk di sekitar hospital melarang kanak-kanak di bawah 12 tahun melawat pesakit di dalam wad. Pengawal keselamatan yang menjaga pintu masuk pelawat sendiri tidak ‘bertopeng muka’ bagi menunjukkan betapa seriusnya langkah-langkah pencegahan.

Berita penutupan dan perubahan cuti semester beberapa IPTA sudah membuktikan wabak ini menular dengan begitu pantas. Namun, pelajar-pelajar yang diberikan cuti ini ke mana? Adakah mereka ‘berkuratin’ di rumah masing-masing atau mereka merayau-rayau menghabiskan cuti mereka itu?

Apa yang lebih menyedihkan, ketika Malaysia dilanda wabak ini, Kementerian Belia dan Sukan ‘membenarkan’ pasukan Manchester United mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Malaysia.

Penonton yang membanjiri stadium khabarnya mencecah 80 ribu. Apakah ketika ini Kementerian Kesihatan melalui menterinya, Tiong Lai dan Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd Ismail ada memberi ‘pesanan’ kepada Kementerian Belia dan Sukan bahawa ‘wabak H1N1’ sedang melanda Malaysia?

Rakyat juga mendengar dan menyaksikan perhimpunan Jemaah Tablig di Nilai yang khabarnya berjumlah 200 ribu semuanya. Ketika itu wabak ini sedang menular. Walaupun tiada bukti bahawa mereka ini membawa (mengimpot) virus ini tetapi apakah langkah-langkah pencegahan yang dilakukan ketika itu?

Di Malaysia, ramai yang melihat politik lebih penting dari mencegah penyakit yang sedang menyerang. Di negara ini juga orang lebih suka bercakap ‘mencari pengundi muda’ lebih penting dari nasib kanak-kanak sekolah yang terpaksa ‘diberi cuti mengejut’ kerana serangan wabak ini.

Kakitangan kementerian Kesihatan sendiri tidak menunjukkan betapa wabak ini sedang serius dan mereka tidak memakain penutup mulut dan hidung seperti suatu ketika dahulu apabila jerebu menyerang Malaysia.

Mungkin, budaya orang kita, jerebu mereka nampak hingga menyebabkan mereka sanggup bertopeng tetapi H1N1 hanya mereka dengar dan menonton TV sahaja yang menyebabkan mereka anggap ia sebagai tidak serius.

Terbaru Universiti Sains Malaysia (USM) menangguhkan kuliah pengajian kejuruteraan di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal selama tujuh hari.

Begitu juga dua IKM di Kedah, iaitu IKM Alor Setar dan Sik ditutup sementara, sementapa ILP di Ledang dan UPSI di Tanjung Malim, Politeknik, IKBN, 4 sekolah, 2 kem PLKN di Negeri Sembilan diberitakan turut diberi pelepasan kerana wabak ini.

Ini mengambarkan bahawa wabak virus selsema babi ini sudah cukup serius. Namun, tidak ada satu arahan ‘serius’ dari Perdana Menteri dilihat mengenai perkara ini jika dibandingkan dengan gembar-gembur NKRA, 1Malaysia dan KPI.

Cukuplah! Jangan sampai Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga suatu masa nanti terpaksa ditutup kerana wabak ini baru suatu langkah drastik mahu diambil, kerana ketika itu mungkin ia sudah terlambat. Lebih membimbangkan, ramai yang risau jika Kementerian Kesihatan juga akhirnya nanti diserang wabak ini hingga menyebabkan kenyataan-kenyataan yang saban hari dibuat tidak lagi mampu dibuat jika langkah-langkah pencegahan hanya mahu dilaksanakan secara ‘kenyataan-kenyataan santai’ seperti mengumumkan keputusan peperiksaan sekolah rendah.

Ketika Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom mengeluarkan kenyataan bahawa semua peperiksaan diteruskan walaupun jangkitan influenza A semakin membimbangkan seolah-olah ‘ada yang bercanggah’ dengan kehendak Kementerian Kesihatan.

Jika bapa mangsa wabak ini, Ramli Abdul Aziz, 45 tidak menyangka demam anaknya Nur Syazwana yang meninggal akibat jangkitan ini ia masih boleh dimaafkan tetapi Ramli mungkin tidak mengambil berat tanda-tanda awal demam anaknya atau dia tidak faham apakah yang memerlukan dia perlu segera membawa anak ke hospital untuk mendapat rawatan.

Dari pengalaman sedih Ramli, membuktikan pihak kerajaan telah gagal memberi kefahaman kepada rakyat jelata mengenai tanda-tanda awal serangan virus H1N1 ini. Jika rakyat faham, kemungkinan kematian dapat dielakkan walaupun sudah ditakdirkan ajalnya.

Tiada ulasan: