Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong solidariti kebangkitan rakyat Mesir menentang regim aurokratik Hosni Mubarak terhadap ketidakadilan, kezaliman dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pemerintah sejak beberapa dekad yang lalu.
Demikian ditegaskan ketuanya, Ustaz Nasarudin Hasan dalam memorandum yang dihantar kepada Pejabat Kedutaan Mesir di Malaysia, dekat sini, baru-baru ini. Beliau juga mengucapkan tahniah khususnya kepada golongan muda yang berani dan aktif menyertai agenda revolusi bagi menuntut keadilan dan pembaharuan di Mesir.
Beliau menyeru sebarang usaha ke arah pembubaran Parlimen Mesir dan penganjuran pilihan raya umum dijalankan secara telus dan bersih. Katanya, pihak penganjur pilihan raya juga mestilah bebas daripada sebarang campur tangan parti politik di samping menjamin kebebasan media untuk melaporkan perkembangan dan hasrat rakyat kepada pengundi dan masyarakat luar.
Pemuda PAS tegasnya, mengutuk sebarang bentuk keganasan dan kekasaran yang dilakukan terhadap peserta demonstrasi serta menuntut desakan rakyat dilayan secara profesional dan adil termasuk membebaskan.
"Ini termasuklah membebaskan kesemua tahanan peserta demonstrasi dan pengamal media kerana ia bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia. Ujar Ustaz Nasruddin lagi, Pemuda PAS berdiri teguh bersama rakyat Mesir yang memperjuangkan Islam, mempertahankan kedaulatan negara, memperbaiki kestabilan politik dan ekonomi serta mengembalikan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya lagi, sebarang langkah Amerika Syarikat dan Israel dalam pembentukan polisi Mesir hendaklah ditolak. Beliau juga berharap jika berlaku pertukaran kerajaan, pemerintah baru Mesir dapat membantu negara umat Islam di Palestin secara konsisten dan menjadi asas kepada kesatuan negara-negara Arab di Timur Tengah.
Pergolakan politik di Mesir berlaku ekoran daripada kejatuhan rejim pemerintahan Zein Al-Abidin di Tunisia. Kebangkitan rakyat di Timur Tengah telah menjalar ke beberapa negara jiran yang lain antaranya Yaman, Oman, Algeria Jordan dan Mesir.
Adalah dijangkakan teori domino ini akan terus berantai sehingga memberi kesan revolusi keadilan sedunia. Di Mesir sehingga kini dilaporkan lebih 100 orang telah terbunuh dalam kebangkitan rakyat yang berlaku sejak beberapa hari lalu.
Rentetan dari perkembangan kebangkitan kuasa rakyat di Asia Barat secara umumnya dan di Mesir khususnya di waktu ini, PAS mendesak semua kerajaan yang memerintah di Asia Barat agar segera menghentikan segala bentuk tindakan ganas kepada rakyat mereka sendiri yang terlibat dengan perhimpunan tunjuk perasaan, tegas Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Katanya, di Mesir, umum mengetahui demokrasi telah dicabul teruk dan pentadbiran Presiden Hosni Mubarak mesti bertanggungjawab terhadap pencabulan itu dan bersedia berhadapan dengan desakan rakyat supaya beliau meletakkan jawatan.
Bagi pihak PAS, tegasnya, solidariti bersama dengan rakyat Mesir yang bangkit menuntut keadilan setelah sekian lama berada dalam penindasan dan PAS mendoakan kejayaan intifadha rakyat Mesir yang belum pernah disaksikan dalam sejarah Mesir moden ini.
Ustaz Abdul Hadi mendesak supaya dibebaskan segera kesemua tahanan politik yang telah dipenjarakan sejak sekian lama di Mesir yang dihukum menerusi perbicaraan yang
tidak adil.
"Dunia khususnya OIC dan PBB didesak supaya memberikan tekanan kepada Presiden Hosni Mubarak dan kerajaannya yang telah melanggar hak asasi manusia apabila telah menyebabkan kecederaan kepada lebih seribu rakyat Mesir yang berhimpun dan juga lapan daripadanya yang terkorban," ujarnya kepada Harakah. Bekas MB Terengganu itu berkata, penyelesaian terhadap kemelut ini boleh berlaku dengan dibukakan pintu demokrasi yang tulen dan diadakan pilihan raya yang telus di Mesir.
Beliau berkata, kerajaan BN di Malaysia perlu diperingatkan supaya mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir pada hari ini. Katanya, apabila pemerintah mencabul amalan demokrasi, menyeleweng kewangan negara dan bersifat zalim terhadap rakyat, maka kebangkitan rakyat tidak dapat dibendung
lagi.
"Pemerintahan BN perlu segera membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia dengan membebaskan SPR dan media daripada cengkaman parti pemerintah seterusnya bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat di padang yang sama rata," tegasnya lagi. Ustaz Abdul Hadi berkata, tidak siapa mahu situasi tegang sedemikian berlaku di negara ini, tetapi dunia membuktikan ketegangan di antara rakyat dan pemerintah itu berpunca daripada sikap pemerintah itu sendiri.
Pertubuhan Ikhwanul-Muslimin (Ikhwan) Mesir yang berpengaruh itu dipelawa untuk menyertai kerajaan baru Mesir selepas tergulingnya rejim diktator Hosni Mubarak. Ini dibayangkan oleh Ketua Pembangkang Mesir, Muhamad El-Baradei dalam temuramahnya dengan wartawan CNN, Fareed Zakaria beberapa hari lalu, di tengah-tengah pemberontakan rakyat Mesir yang menuntut rejim Hosni Mubarak meletakkan jawatan.
"Mereka (Ikhwanul Muslimin) adalah orang baik," katanya, "mereka terpelajar, patriotik, berakhlak baik dan mereka adalah rakyat Mesir yang setia." El-Baradei yang kini dalam tahanan rumah ditanya pandangannya adakah Ikhwanul Muslimin itu sama seperti kumpulan militant Al-Qaeeda, kumpulan militant yang lain seperti di Iran dan di tempat lain. Beliau menjawab, "sama sekali tidak, mereka rakyat Mesir yang patriotik, terpelajar."
Tokoh yang mendapat Hadiah Nobel Keamanan kerana peranannya sebagai Pengarah Agensi Kuasa Nuklear Bangsa-Bangsa Bersatu itu menyatakan kesediaannya untuk memimpin kerajaan baru Mesir jika rakyat mahukan khidmatnya walapun beliau kini ada tugas lain.
"Bagi saya sudah tentu Ikhwan akan dipelawa menyertai kerajaan baru Mesir kerana jamaah Islam itu sangat berpengaruh, orang baik dan terpelajar," katanya lagi. Sekiranya kerajaan baru Mesir pimpinan El-Baradei itu menyertakan sekali jamaah Ikhwan, maka ini berbeza sekali dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan baru di Tunisia selepas Presiden Zein-Al-Abidin bin Ali digulingkan oleh satu pemberontakan di Tunisia baru-baru ini.
Kerajaan baru itu sama sekali mengenepikan Ikhwanul-Muslimin Tunisia yang juga berperngaruh. El-Baradei mendesak Amerika supaya 'meninggalkan' Hosni Mubarak dan jangan melibatkan diri dengan krisis di Mesir sekarang. Ulama tersohor, Dr. Yusuf Al-Qaradawi turut menggesa supaya Hosni Mubarak dan kabenitnya meletakkan jawatan.
Sementara itu, pihak Ikhwan belum lagi mengeluarkan kenyataan mengenai cadangan El-Baradei itu, yang mungkin dianggap terlalu awal. Tetapi dipercayai Ikhwan sangat berhati-hati dalam membuat keputusan seperti ini berdasarkan pengalaman pahitnyan di masa lalu, di zaman rejim Gamal Abd Naseer dan Anwar Sadat yang pada awalnya menghulurkan kerjasama, tetapi akhirnya rejim tersebut membunuh dan menahan serta menyeksa beribu-ibu ahli Ikhwan hingga kini, di zaman Hosni Mubarak.
Muhamad El-Baradei mengkritik dasar Amerika di Asia Barat, termasuk dasar Barack Obama di Mesir, yang menurutnya sama sekali bettentangan dengan aspirasi rakyat Mesir menyebabkan dasar Amerika itu gagal sama sekali.
Sementara itu, sebuah kenyataan terkini dari pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir, Dr. Mohamed Badie menyeru umat Islam di Mesir supaya bersatu, optimis kepada perjuangan ini. Beliau menyeru umat Islam supaya bersedia menghadapi tindakan golongan penindas dan bersedia berjuang, berkorban untuk menjamin masa depan lebih baik.
Jika raskyat takut dan bimbang, kata Dr. Mohamed Badie, akan hanya menyebabkan berterusannya rasuah, kezaliman dan kemusnahan. Pemimpin Ikhwanul Muslimin itu menekankan bahawa inilah perjuangan dan pengorbanan yang perlu dibayar di mana kebebasan bersuara tidak akan diperoleh kecuali rakyat belajar untuk berjuang, menuntut hak asasi mereka.
Sheikh Badie menyeru semua umat Islam dan bangsa Arab menyuarakan bantahan mereka terhadap merebaknya gejala rasuah, tekanan terhadap kebebasan bersuara yang selama ini dianggap oleh rejim lama Mubarak sebagai tidak penting.
Kebebasan bersuara ini, menurutnya, perlu dilindungi dan pihak berkuasa tidak mempunyai hak untuk menafikannya. Baginya, rasuah yang kini terus berleluasa dilakukan oleh rejim dektator di mana rakyat mesti menentangnya.
Menurut pemimpin Ikwanul Muslimin itu, dunia Arab telah berada di bawah pemerintahan dektator yang bertujuan hanya untuk mengawal sepenuhnyan segala aspek, khususnya kekayaan negara di mana menyebabkan rakyat miskin, pengangguran, rasuah, penyelewengan, pembaziran dan kepura-puraan.
Pemimpin pemerintah Arab pula, kata beliau lagi, memerintah secara kuku besi dan mengawal kebangkitan rakyat untuk kesejahteraan rakyat. Pemimpin Ikhwan itu system pemerintaha dektator dunia Arab menyebabkan golongan yang kaya bertambah kaya, yang miskin terus miskin, tidak ada usaha melakukan perubahan.
Sementara itu, di tengah-tengah suasana pemberontakan di Mesir ini, ada suara kebimbangan amat sangat dari rejim Israel di Tel Aviv. Dalam satu temu ramahnya dengan CNN, bekas duta Isreal di Mesir, Eli Shaked memberitahu bahawa jika Hosni Mubarak digulingkan, dikhatirinya kumpulan Islam akan berkuasa dan akan bersikap keras terhadap Israel dan dunia Barat.
Sementara itu, dijangkakan lebih sejuta orang akan menyertai lagi tunjuk perasaan di Tahrir Square (Medan Kebebasan) di Kaherah dan beberapa tempat lain di mesir dalam beberapa jam lagi untuk menuntut rejim Hosni Mubarak meletak jawatan segera.
Kumpulan yang menggelar diri mereka 'Gerakan 6 April' merancang mengadakan demonstrasi lebih sejuta rakyat di tengah-tengah kebencian rakyat terhadap rejim Hosni Mubarak. Para penunjuk perasaan yang masih bertahan di medan tersebut tidak pedulikan perintah berkurung yang dikeluarkan oleh tentera. "Kami akan kekal di sini dan akan memperkukuh gerakan kami serta kami tidak akan berganjak dari sini," kata penunjuk perasaan yang dirakam oleh TV Aljazeera.
Chanel tersebut kemudiannya telah ditutup oleh rejim Mubarak. Enam wartawan dan jurugambarnya ditahan. Di antara yang menyertai tunjuk perasaam itu ialah para hakim dan majistret, para doktor dan jurutera, pegawai kerajaan dan swasta serta penulis. Diberitakan, lebih seratus orang telah terbunuh dan cedera. Semua komunilkasi dengan Mesir telah terputus. Penunjuk perasaan menolak jaminan Hosni Mubarak untuk melaksanaskan pembaharuan ekonomi dan politik. Jaminan itu, menurut mereka, terlalu kecil dan sudah terlambat.
Tentera Mesir membuat sekatan jalan raya menuju masuk bandar itu dan bandar lain menjelang protes besar-besaran bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan. Lebuhraya yang menghubungkan bandar Iskandariah dan Kaherah disekat oleh pusat pemeriksaan tentera kira-kira satu kilometer dari pinggir ibu negara berkenaan.
Trak dan kereta yang membawa barangan dan menuju Kaherah kelihatan diarahkan supaya meletak kenderaan mereka di tepi jalan pada ketika tentera melarang kenderaan meneruskan perjalanan. Di laluan lain pula, kereta dan bas mini diperiksa sebelum dibenarkan memasuki Iskandariah, bandar kedua terbesar Mesir. Sementara itu, jalan raya keluar dari bandar Mansura, bandar Suez dan Fayum, selatan Kaherah turut disekat pihak tentera, lapor AFP.
Kebangkitan rakyat adalah menzahirkan jeritan batin akibat "dijajah" di negara sendiri yang sudah melepasi faktor ketakutan kepada kerajaan yang memerintah dengan penggunaan jentera propaganda dan jentera keselamatan berbekalkan gas pemedih mata, meriam air berkimia, peluru getah atau pukulan belantan yang hanya berfungsi untuk menyelamatkan atau mempertahankan kepentingan golongan pemerintah, bukannya rakyat.
Politik ketakutan bertukar menjadi politik harapan untuk demokrasi sebenar dan bukan demokrasi palsu yang menyekat serta memenjara aspirasi dan hak rakyat untuk hidup didalam kemerdekaan. Oleh itu, mengapa rakyat Tunisia dan Mesir yang Tenang dahulu bangkit?
Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku seandainya kepimpinan Negara tidak korup, tidak zalim serta tidak "membunuh" jiwa dan raga satu atau beratus atau beribu insan biasa di jalanan , di penjara atau di kawasan terpencil?
Mungkinkah kebangkitan ini tidak berlaku sekiranya kekayaan Negara diagih secara adil dan bukan dicuri untuk keluarga dan kroni melalui projek mewah, pembelian harta kerajaan berharga tinggi, monopoli perniagaan, komisyen besar tanpa melibatkan keringat sebaliknya menerusi penswastaan harta rakyat yang merugikan? Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku seandainya wanita pertama menjadi "ibu" kepada semua dan bukan menganak-tirikan serta melarikan jongkongan emas milik rakyat?
Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku sekiranya khazanah Negara mereka digunakan untuk meringankan beban hidup akibat kos yang meningkat dengan tidak memotong subsidi rakyat sedangkan subsidi peniagaan kroni diteruskan?
Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku seandainya golongan elit hidup mewah diluar kemampuan dengan rumah ibarat istana, kenderaan ibarat pendati emas dan perbelanjaan melampau ibarat menghidupkan syurga di dunia yang disaksikan rakyat yang semakin hari dimiskinkan?
Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku sekiranya hak bersuara termasuk kebebasan media sebagai pengimbang kuasa dan saluran suara demokrasi rakyat tidak disekat? Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku seandainya pemimpin Negara bersedia mendengar keluhan rakyat dan berdebat secara terbuka untuk mencari cara terbaik membangunkan ekonomi Negara untuk kesejahteraan rakyat?
Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku seandainya pengisytiharan darurat seperti yang wujud di Mesir selama 30 tahun telah dimansuhkan? Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku sekiranya proses pilihanraya tidak dimanipulasikan secara terang-terangan untuk demokrasi palsu melalui penipuan dan sogokan? Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku seandainya Negara kuasa besar ikhlas menggunakan piawaian demokrasi sebenar untuk menilai Negara-negara ini tanpa memberikan subsidi ketenteraan yang sebenarnya digunakan untuk "memerangi" rakyat dan bukan untuk kegunaan pertahanan ancaman luar?
Mungkinkah kebangkitan ini tidak akan berlaku sekiranya Demokrasi mereka dipulihkan? Rakyat Tunisia dan Mesir sudah tidak takut lagi. Memang benar kata-kata Thomas Jefferson; bila rakyat takut kepada kerajaan, itu adalah penindasan tetapi sebaliknya apabila kerajaan takut (hormat) rakyat, itu adalah kemerdekaan! Marilah kita memikirkan apa yang dapat dipelajari daripada peristiwa yang sedang berlaku di Tunisia dan Mesir sebagai pembuka mata dan pembuka hati agar kebangkitan rakyat ini menjadi teladan dan sempadan untuk kita segerakan pemulihan demokrasi Negara dengan tenang dan penuh bijaksana.
Semoga Tunisia dan Mesir kembali tenang dengan kuasa rakyat dan demokrasi sebenar.
Sumber >> Nurul Izzah Anwar adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden PKR
"Anda tidak patut bunuh warga Turki dengan bebasnya tanpa hukuman" - demikian mesej kepada Israel dalam filem mengenai serangan komando Israel terhadap kapal misi bantuan ke Gaza, tahun lalu yang mula ditayangkan di pawagam negara itu hari ini. Film bertajuk "Valley of the Wolves: Palestine" yang turut ditayangkan di seluruh Eropah serta lebih 20 negara di Asia Barat - dijangka akan menjadi filem 'blockbuster' di kalangan penonton di Turki dan penduduk Arab.
"Pergi dan tayangkan kepada dunia apakah yang sebenar mengenai negara Israel," kata seorang pegawai Israel, Moshe Ben-Eliezer - yang dilakonkan sebagai watak jahat dalam filem itu apabila dia mengarahkan serangan ke atas kapal Mavi Marmara.Dalam insiden serangan 31 Mei tahun lalu ke atas kapal Turki itu, sembilan sukarelawan Turki terbunuh sehingga membawa kepada pergeseran hubungan Turki-Israel sehingga hari ini.
Lapor AFP, dalam filem itu, aksi pembunuhan di atas kapal Mavi Marmara disiarkan diikuti agen rahsia Turki, Polat Alemdar muncul untuk membawa tugas membunuh Moshe. Kemudian, Polat yang menjadi hero Turki itu memasuki Israel dan menamatkan misi tembak menembak selama 110 minit yang dilakukan Israel terhadap penduduk tidak berdosa Palestin, termasuk kematian seorang budak lumpuh yang terkena cebisan bangunan selepas rumahnya dimusnahkan.
Seorang wanita cantik Yahudi keturunan Amerika juga terbabit dalam misi Polat itu yang digambarkan menyokong Palestin. Filem itu menerbitkan kritikan sebelum ia disiarkan lagi dan penerbitnya dituduh cuba memuncakkan lagi ketegangan antara dua negara serta mencetuskan keganasan.
Di Jerman, filem itu dijadual ditayangkan Khamis depan sempena Hari Peringatan Holocaust, awalnya dilarang dan diharamkan untuk penonton bawah 18 tahun. Pelakon Necati Sasmaz, yang membawa watak Polat Alemdar bagaimanapun berkata: "Kami tidak mempunyai masalah dengan setiap warga negara. Tiada unsur antiSematik di sini (dalam filem itu)."
Dilihat sebagai meredakan desakan rakyat, Presiden Mesir, Hosni Mubarak mengumumkan pelantikan ketua perisikan Mesir, Omar Suleimen sebagai Timbalan Presiden iaitu jawatan pertama diwujudkan setelah 30 tahun pemerintahan Mubarak. Ada laporan mengatakan jumlah korban akibat tunjuk perasaan itu sudah melepasi angka 100 orang yang terbunuh.
"Omar Suleiman telah dilantik sebagai Timbalan Presiden Hosni Mubarak," lapor agensi berita MENA. Susulan selepas itu, negara itu menyiarkan Omar selaku seorang jeneral tentera memberi tabik hormat kepada Mubarak setelah mengangkat sumpah jawatan itu.
Mubarak kian didesak agar berundur menerusi demonstrasi besar-besaran rakyat sejak Lima hari lalu sehinggalah bertukar menjadi ganas semalam. Mubarak menolak untuk mewujudkan jawatan Timbalan Presiden sejak beliau berkuasa pada 1981, lapor AFP.
Kebanyakan negara kini mengeluarkan larangan melawat ke Mesir dengan sesetengahnya memindahkan keluar warga negara masing-masing berikutan protes antikerajaan bertambah buruk sejak enam hari lalu. Amerika Syarikat dan Iran berkata, mereka kini berusaha membawa keluar warga negaranya manakala Turki, India, Greece dan Arab Saudi merancang untuk menerbangkan pesawat khas ke Mesir untuk tujuan sama, lapor AFP.
Britain, Perancis, China, Australia dan negara Scandanavia atau utara Eropah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya agar tidak berkunjung ke Mesir tetapi belum bercadang untuk membawa keluar rakyatnya. Dalam nasihat Jabatan Negara, Washington berkata rakyatnya dinasihatkan agar mengelak daripada berkunjung ke Mesir berikutan ketegangan politik dan keselamatan yang tidak terjamin.
Kedutaan Amerika di Kaherah berkata, mereka sudah mengedarkan maklumat bahawa pihaknya sedia menyediakan pengangkutan kepada warga negaranya yang ingin keluar dari Mesir untuk ke negara lebih selamat di Eropah.
Iraq berkata, pihaknya akan menyediakan pesawat khas untuk membawa keluar rakyatnya dari Mesir manakala Turki akan menghantar lima pesawat untuk membawa pulang 750 rakyatnya dari Mesir. Arab Saudi berkata, kerajaan sudah menyediakan 33 penerbangan antara Sabtu dan Isnin untuk membawa pulang rakyatnya di Mesir.
Prihatin terhadap keselamatan pelajar Malaysia di Mesir, Kerajaan Negeri Selangor bersama-sama dengan Wisma Putra akan menguruskan kepulangan para pelajar Malaysia di Mesir ekoran keadaan negara itu yang tidak stabil sekarang.
Exco Pendidikan Tinggi Selangor, Dr Halimah Ali berkata, beliau telah bertemu dengan pegawai Wisma Putra pagi ini bagi membincangkan soal itu dan mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan pelajar negeri itu di sana. Beliau dijangka akan mengadakan mesyuarat segera dengan Exco Agama Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali dan Pengarah Jais hari ini juga bagi merangka pelan tindakan untuk membawa mereka keluar segera.
"Diharap semua para ibu bapa bertenang dan banyakkan berdoa agar Allah mempermudahkan segala urusan. Kerajaan Negeri melalui Lembaga Zakat Selangor akan menghantar peruntukan kewangan yang difikirkan mencukupi bagi menampung segala keperluan urusan harian para pelajar terutama dalam menghadapi saat-saat genting ini," kata Dr Halimah.
Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menubuhkan Bilik Operasi yang yang beroperasi 24 jam untuk membolehkan ibubapa dan sanak saudara terutamanya mengetahui kedudukan mutakhir pelajar kita di Mesir.
Mereka yang ingin menghubungi Bilik Operasi ini bolehlah menghubungi talian seperti berikut bermula 8.30pagi esok 03-55143520/3534/3538/3539/3576. Pertubuhan sukarela Briged Amal Selangor bersama Yayasan Amal Selangor telah diarah untuk menyediakan tenaga pembantu bagi membantu Bilik Gerakan yang beroperasi 24 jam itu.
Sebelum ini, PAS dan PKR telah mendesak kerajaan supaya membawa keluar semua pelajar Malaysia di sana kerana keadaan sudah tidak terkawal lagi. Ini ekoran dari tindakan beberapa pihak yang mengambil kesempatan untuk diri sendiri dengan cara merompak dan mengganggu pelajar Malaysia di sana selepas polis tidak lagi dapat berfungsi dengan baik.
Firma penyelidik bebas, Ilham Centre dalam kajiannya menyifatkan kemenangan Barisan Nasional di DUN Tenang, bukanlah kayu pengukur kepada pola sokongan masyarakat Melayu terhadap kerajaan Umno-Barisan Nasional.
Pengarah Eksekutifnya, Muhamad Hisomudin Bakar ketika dihubungi Tv Selangor berkata, masyarakat Melayu di Tenang agak terpinggir dengan isu-isu semasa seraya mengakibatkan undian mereka tertumpu kepada faktor parti semata.
"Kita melihat pengundi Melayu di Tenang bagi kerajaan, ia bukanlah satu kayu pengukur untuk corak pengundian pola Melayu ke seluruh negara sebab pengundi Melayu di Tenang ini ia agak ekslusif kerana mereka tidak makan isu. Faktor yang kuat ialah kerana kawasan tradisi masyarakat Melayu dan Felda, mereka memilih atas dasar parti amat tinggi. Dalam kajian kita, kita mendedahkan ia meliputi 62.5 peratus," jelas Hisomudin.
Kerusi Dewan Undangan Negeri Tenang semalam kekal milik BN selepas calonnya Azahar Ibrahim berjaya meraih 6,699 undi berbanding calon PAS, Normala Sudirman yang mendapat 2,992 undi. Proses pengundian semalam berjalan dalam keadaan hujan lebat tanpa henti dan banjir di beberapa kawasan pusat pembuangan undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dicadangkan untuk memanjangkan tempoh membuang undi, bagaimanapun enggan bertoleransi sehingga mengakibatkan jumlah keluar mengundi hanyalah 67 peratus walaupun suruhanjaya itu menyasarkan 80 peratus pengundi keluar untuk membuang undi masing-masing.
Malah menurut Hisomudin, kesilapan pengumuman peratusan keluar mengundi malam tadi turut membayangkan sikap tidak profesional suruhanjaya itu.
"Kami melihat sebenarnya bila keputusan undi yang dikeluarkan berbentuk 'flip flop', seolah-olah sikap SPR ini tidak profesional dalam membuat bacaan terhadap data-data yang dikeluarkan kepada pihak media."
Untuk rekod, seramai 73 peratus keluar mengundi pada pilihan raya umum 2008. Namun paling mendukacitakan, apabila SPR sebagai badan yang dipertanggungjawabkan mengeluarkan fakta mengelirukan apabila sebelum itu mengumumkan 71.8 peratus atau lebih 10,592 pengundi keluar mengundi.
Bagaimanapun menjelang jam 10 malam tadi, SPR mengumumkan pembetulan peratusan iaitu 66.7 peratus atau 9,736 keluar mengundi. Namun menurut Hisomudin, jika keadaan baik, PAS mungkin berjaya menambah undi di antara 700 hingga 800 undi.
Walaupun majoriti BN meningkat kata Hisomudin, namun BN ujarnya gagal mempertahankan undi bukan Melayu yang dilihat condong ke arah pembangkang.
"Kami melihat MCA menerima tamparan hebat sebab sepanjang pemerhatian kami di kawasan masyarakat Tionghua, bendera BN tidak kelihatan. Masyarakat Cina terkesan dengan kenaikan harga barang yang tidak terkawal di bawah pentadbiran BN sekarang. Pengundi Cina ini mereka lebih kritis berbanding Melayu," ulas Hisomudin lagi.
Tambah beliau, imej bekas menteri kesihatan itu yang terpalit dengan skandal seks turut mempengaruhi sokongan masyarakat Cina di Tenang terhadap beliau walaupun kerusi parlimen Labis, diwariskan kepada anaknya. Bahkan pengundi Cina juga katanya, tidak lagi terpengaruh dengan momokan MCA bahawa PAS adalah sebuah parti yang bersifat extrem.
"Saya boleh sifatkan juga berlakunya peralihan luar biasa dengan kejayaan PAS meyakinkan pengundi bukan Melayu terhadap perjuangan mereka. Dahulunya PAS dianggap sebagai ekstrem, radikal, negara Islam dan sebagainya yang dilabelkan kepada PAS,nampaknya berjaya dijelaskan kepada masyarakat Tionghua dan meningkatkan pola sokongan kepada parti berkenaan.
Sementara itu, mengulas pola pengundian masyarakat Melayu di Tenang, Hisomudin tidak menolak kemungkinan kenaikan harga getah menyebabkan pengundi mudah merasa selesa walaupun harga bahan keperluan asas meningkat naik.
"Mungkin kita boleh anggap kenaikan harga getah itu memberikan sedikit keselesaan kepada pengundi Melayu yang beranggapan begitu," kata Hisomudin.
Menurutnya lagi, jentera BN juga kelihatan begitu bersungguh-sungguh untuk memenangi undi masyarakat Melayu yang terang-terangan memihak kepada mereka sehingga mengabaikan pengundi bangsa lain terutama sekali pengundi Cina yang memihak kepada parti lawan.
"Daripada segi kerahan untuk membawa keluar pengundi,kita melihat dalam keadaan banjir, jentera BN memang tenyata fokus untuk mengeluarkan pengundi Melayu berbanding dengan undi Cina," tambahnya lagi.
Justeru katanya, tidak ada penanda aras paling jelas kepada BN untuk mengukur sokongan dan keyakinan rakyat berbangsa Melayu kepada mereka. Manakala Pakatan Rakyat pula katanya, walaupun kalah di Tenang namun ia menyaksikan sokongan bukan Melayu terus memihak kepada gagasan itu dan usaha perlu dilipatgandakan untuk meyakinkan pengundi Melayu serta bergerak dalam kesepaduan yang utuh.
"Pakatan Rakyat juga perlu bermuhasabah dan menilai semula kerana sebenarnya pola sokongan Pakatan Rakyat meningkat di kalangan pengundi bukan Melayu dan perlu menembusi keyakinan orang Melayu untuk memilih Pakatan Rakyat pada pilihan raya akan datang," kata Hisomudin.
"Sedikit kelemahan kepada Pakatan Rakyat ialah ia tidak wujud dalam satu wajah gabungan yang padu berdepan dengan jentera kerajaan," tambahnya lagi.
Presiden Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh berkata pihak yang mendakwa berlakunya diskriminasi berhubung bantuan semasa untuk keluar mengundi perlu membuat laporan dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) digesa memberi perhatian kepada isu ini.
Sebelum ini wujudnya dakwaan terdapat diskriminasi berikutan bantuan yang dihantar pasukan Polis, Tentera dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) hanya menumpukan kawasan kampung dan FELDA. Mereka mendakwa lebih banyak kemudahan pengangkutan dikerah ke kawasan Felda - yang merupakan penyokong kuat BN.
Sekurang-kurangnya dua pusat pengundian - SMK Kamarul Ariffin dan dewan serbaguna Kampung Paya Merah di bandar Labis terputus hubungan kerana teruk dilanda banjir. Kedua-duanya masing-masing merupakan pusat pengundian bagi Bandar labis Tengah dan Bandar Labis Timur yang didominasikan pengundi Cina dan dimenangi PAS dalam dalam pilihan raya umum. Daripada 12 daerah mengundi, PAS hanya memenangi di tiga daerah majoriti pengundi Cina pada 2008.
"Saya tak boleh nak pastikanlah adakah berlakunya diskriminasi begitu, mungkin kalau ada , maka pihak parti perlu membuat dakwaan atau laporan dan perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak SPR," katanya. Dalam perkembangan lain Syed Noh berkata terdapat undang-undang yang membolehkan SPR melanjutkan proses pengundian akibat bencana alam yang menimpa kawasan DUN Tenang bagi memberi ruang kepada pengundi.
Beliau turut tidak menolak, proses pengundian terjejas akibat bencana alam yang berlaku sehingga menyebabkan peratusan yang keluar mengundi menurun, dan sepatutnya pihak SPR, polis dan bomba membuat persiapan lebih awal dalam menghadapi situasai seperti ini.
"Mungkin juga SPR boleh menimbangkan untuk menambahkan masa mengundi, kerana situasi yang sama berlaku pada tahun 2004 semasa pilihanraya di Selangor, di mana tempoh mengundi tu bukan sehingga jam 5 petang tetapi ditambah setengah jam atau 1 jam untuk beri peluang kepada pengundi untuk mengundi, " katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan 71.8 peratus atau lebih 10,592 pengundi keluar mengundi sebelum membetulkannya kira-kira jam 10 malam tadi. Peratusan keluar mengundi rasmi pilihanraya kali ini mengikut SPR ialah 66.7 peratus atau kira-kira 9,736 pengundi mencatatkan penurunan berbanding tahun 2008 iaitu sebanyak 73 peratus jumlah keluar mengundi.
Kejatuhan Ben Ali, yang bakal diikuti Mubarak, bukan sahaja menggerunkan regim lain di dunia Arab -- tidak kira sama ada yang mengamalkan sistem monarki atau republik, bermusuh atau bersahabat dengan Israel -- malah memberi isyarat jelas bahawa proses transformasi ini akan menjalar ke peringkat global, terutama di negara-negara Islam, tulis Ahmad Lutfi Othman mengulas kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir muktahir ini dalam blognya Detikdaily.
Bagaimanapun, bagi saya, pemimpin yang mahu menawarkan perubahan, yang berdepan penguasa zalim dan menindas, semuanya harus dekat dengan nurani rakyat, merasai denyut degup jantung mereka, bukan turut dilihat bermewah-mewah dan berseronok dengan kehidupan elitis. Memang suasana di setiap negara berbeda-beda dan tidak memerlukan keadaan menjadi seteruk rantau Arab untuk berlakunya pertukaran regim, 'kan?
Kejayaan mengkagumkan revolusi di Tunisia dalam masa 24 jam dan kini dilihat menjalar ke Mesir juga mengingatkan tentang pengaruh dunia maya atau kuasa siber, yang juga digeruni di Malaysia.
Di Mesir, akses internet disekat dan panggilan telefon disekat. Operasi stesen TV Al-Jazeera turut diarah tutup. Jaringan laman sosial seperti Facebook dan Twitter yang cukup berkesan membangkitkan amarah rakyat tertindas di negara tersebut dihalang.
Jika Mubarak berjaya digulingkan dan pemerintahan yang "benar-benar baru" muncul di Kaherah, pengaruhnya ke atas masyarakat Islam di Malaysia tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi jika pemimpin yang dikaitkan dengan Ikhwan Muslimin bakal memainkan peranan penting dalam kerajaan Mesir nanti.
Saya suka apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menyerang Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (lihat posting Dr Mahathir 31/1/11 "Nik Aziz dan Kwan Yew"). Ia memberi peluang untuk Tok Guru mengukuhkan lagi hujjahnya - jika dia di pihak yang benar.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin pernah memberitahu saya bahawa dia pernah membaca buku yang menyatakan Imam 'Ali 'a.s. suka apabila ajaran Islam diserang. Serangan itu membuka peluang kepadanya untuk menerangkan kebenaran Islam melalui asas dan hujjah serangan itu.
Jika Tok Guru yakin dia berada di pihak yang benar, saya pasti dia tak akan melenting dengan serangan Dr Mahathir itu. Dia tak akan kata celaka atau khianat atau apa saja. Malah, dia akan menyambut serangan itu dengan gembira. Gembira kerana serangan itu memberikan peluru yang lebih banyak kepadanya.
Apa sahaja pandangan, ulasan, teori atau gagasan, umpamanya gagasan kerajaan perpaduan, tidak akan melenting dan histeria dengan serangan jika ia mempunyai foundation kebenaran yang kukuh. Serangan memberikan ia lebih banyak ruang dan peluang untuk merebut lebih banyak pengaruh dan mengetuk pintu hati lebih ramai khalayak untuk menyokongnya - jika ia mempunyai hujjah dan asas kebenaran yang kukuh.
Saya juga berharap, jika berlaku debat Tok Guru dan Dr Mahathir, ia tidak disambut dengan sentimen 'asabiyyah yang diperangi Islam. Harap-harap para penyokong Dr Mahathir tidak melutu Tok Guru kerana 'asabiyyah mereka kepada Dr Mahathir. Dan, para penyokong Tok Guru juga tidak memaki bekas Perdana Menteri kerana 'asabiyyah mereka kepada Menteri Besar Kelantan itu.
Biarlah mereka berdebat kerana hendak mencari kebenaran demi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Hujjah lawan hujjah. Saya menaruh harapan sedemikian kerana 'asabiyyah kepada pemimpin semakin ganas menjadi order of the day - sama ganas dan liar tak kira dalam Umno atau PAS.
Apakah mesej yang nak disampaikan Allah SWT dalam banjir mengejut di Labis? Bermula pagi 30 Januari, hari pengundian bagi Dun Tenang, hujan turun dengan lebatnya. Sebelum itu sudah ada beberapa tempat ditenggelami air.
Mungkinkah ada kaitan dengan serangan dan penghinaan para pemimpin BN terhadap Islam di sana semasa kempen PRK? Menghina dan mengherdik, memperlekehkan salam, hudud dan lain-lain. Apakah ini bayaran "tunai" kepada BN bagi membuktikan keprihatinan mereka terhadap "rakyat didahulukan" atau malepetaka terhadap "penipuan" dan "berat sebelah" kempen pilihan raya mereka di Tenang?
Semua tahu, seluruh jentera kerajaan dikerah berjuang untuk BN. Sejumlah duit rakyat digunakan untuk BN. Saluran tv dan radio juga jadi jentera penerangan BN. Pendek kata, tiada jentera Bn yang tulen melainkan peralat jentera kerajaan atas nama "1Malaysia".
Lapor Kelab Greenboc, Segamat lumpuh sejak malam kelmarin apabila terputus perhubungan darat dengan dunia luar, berikutan semua laluan keluar masuk ke daerah itu ditenggelami air sehingga 1.5 meter. Jalan keluar masuk ke daerah ini membabitkan Jalan Batu 8 Jementah-Lubuk Batu, Jalan Gemas-Segamat dan Jalan Bandar Segamat-Labis ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan.
Berikutan perkembangan itu, semua pengguna jalan raya dinasihat tidak menggunakan laluan berkenaan berikutan kedua-dua hala jalan ditenggelami air dan berbahaya untuk dilalui. Jurucakap polis berkata, semua hubungan ke Segamat kini lumpuh berikutan jalan dinaiki air mencecah paras dada orang dewasa, malah di sesetengah kawasan termasuk laluan di Tenang Station dikategorikan bahaya kerana arus deras.
Pasukan penyelamat kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan Sungai Segamat terus merekodkan kenaikan parasnya berikutan hujan berterusan sejak seminggu lalu.
Dalam pada itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menghentikan sementara operasi pejabatnya di Segamat. Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata ahli dan majikan yang ingin mendapatkan perkhidmatan KWSP boleh menghubungi cawangan KWSP terdekat iaitu di Muar atau Melaka.
Ahli juga boleh menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-89226000 atau menghantar pertanyaan di laman web www.enquiry.kwsp.gov.my atau mendapatkan maklumat KWSP di laman web myEPFwww.kwsp.gov.my.
Sementara itu, banjir besar yang melumpuhkan pekan Labis dan beberapa kawasan sekitarnya sehingga menjejaskan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang kelmarin, mulai surut. Bagaimanapun, kebanyakan kedai dan premis perniagaan masih ditutup.
Tinjauan mendapati kedai makan dan serbaneka di pekan ini diserbu penduduk mendapatkan bekalan makanan sehingga stok makanan mulai berkurangan. Tinjauan mendapati beberapa jalan sekitar Pekan Labis dipenuhi sampah sarap yang dihanyutkan banjir malam kelmarin, manakala beberapa jalan raya turut rosak.
Penduduk Kampung Paya Merah, Paya Merah Lama dan Lembah Bakti di Labis juga masih ditempatkan di pusat penempatan banjir berikutan rumah mereka ditenggelami air sehingga paras bumbung.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempunyai analisis 'ganjil' berhubung keputusan pilihan raya kecil Dun Tenang, lapor Malaysiakini. "Pemenang dan si kalah bukanlah calon tetapi orang lain," kata Setiausaha Agung DAP itu.
Di pihak BN, pemenang sebenar adalah Menteri Besar Johor, Abdul Ghani Othman yang berjaya menunjukkan kebolehan dan kemampuannya, kata Lim dalam sidang media di Komtar hari ini.
"Manakala pihak yang kalah bukan calon PAS tetapi... kamu tahulah," tambahnya. Apabila ditanya tentang pihak yang dimaksudkannya itu, beliau masih enggan menyatakannya. "Dalam hati, kamu tahulah siapa dia," katanya Lim lagi, dipercayai merujuk kepada kemampuan MCA di kawasan Cina di Labis.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, walaupun keputusan Tenang tidak menyebelahi mereka, pilihan raya kecil itu menjadi "kunci semangat juang" untuk melakukan perubahan menyeluruh terhadap sistem demokrasi yang berat sebelah. Sehubungan itu, Abdul Hadi berkata, pihaknya akan merangka strategi berkesan bagi meningkatkan keupayaan gerak sambil mendesak ke arah pilihan raya yang bebas dan telus.
"Untuk kesekian kalinya kita berhadapan dengan Umno-BN yang menggerakkan jentera kerajaan dengan bajet yang tidak terbatas, media berat sebelah yang masuk di tiap-tiap buah rumah, dan peraturan pilihan raya yang tidak berasaskan suasana pertandingan di lapangan yang sama rata.
"Oleh yang demikian, usaha menggerakkan massa menerusi saluran parti politik dan NGO akan terus dilaksanakan agar demokrasi yang tulen dapat ditegakkan," katanya. Dalam pilihan raya kecil Tenang, calon PAS Normala Sudirman tewas kepada calon BN Mohd Azahar Ibrahim dengan majoriti 3,707 undi. Normala memperolehi 2,992 undi manakala Azahar memperolehi 6,699 undi.
Dalam satu kenyataan semalam, Abdul Hadi menegaskan bahawa demokrasi tulen tidak kepada perubahan cetakan kertas dan kotak undi semata-mata. Sebaliknya, tambah anggota parlimen Marang itu, ia antaranya bertitik tolak dari peraturan pilihan raya yang adil, media yang bebas, persekitaran kempen tanpa sogokan dan ugutan serta projek pembangunan melimpah ruah semasa tempoh berkempen.
Walaupun pedih dengan kekalahan calon PAS, Normala Sudirman dalam Pilihan Raya Kecil Dun Tenang, pemimpin popular DAP Lim Kit Siang berkata, terdapat persoalan yang sukar harus dijawab oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
"Adakah Chua mempunyai keberanian politik untuk memberitahu Umno bahawa pertambahan sokongan masyarakat Cina (kepada Pakatan Rakyat) bukan kerana hudud atau negara Islam tetapi dasar Pakatan Rakyat untuk perubahan, keadilan, demokrasi dan kemajuan?
"Atau beliau akan terus menyalahtafsir dan menyimpangkan kehendak politik dan harapan pengundi Tenang dengan terus menipu dengan dakwaan palsu bahawa peningkatan 65 peratus pengundi Cina kepada calon Pakatan sebagai menyokong hudud dan negara Islam? soal Lim.
Dalam satu kenyataan hari ini, anggota parlimen Ipoh Timur itu menambah, ketika MCA bermegah dengan kemenangan di tiga daripada empat kawasan majoriti Cina, Dr Chua gagal menyedari bahawa hanya 35 peratus memilih BN walaupun tempat itu dianggap taman permainannya sendiri.
Chua merupakan bekas ahli parlimen Labis - tempat letaknya Tenang - sebelum memberikan kerusi itu kepada anaknya Chua Tee Yong.
Harga petrol RON97 akan dinaikkan 10 sen berkuatkuasa tengah malam tadi menurut satu sumber industri. Dengan kenaikan itu, harga petrol RON97 akan meningkat menjadi RM2.50 seliter (RM2.40 sebelumnya), lapor Malaysiakini. Ini merupakan kenaikan harga yang keempat berturut-turut bagi petrol RON97. Kenaikan harga ini juga dilakukan sehari selepas pilihan raya kecil DUN Tenang yang berlangsung 30 Januari lalu.
Tahniah kepada pengundi BN Dun Tenang yang berjaya mengangkat keangkuhan Umno-BN untuk terus menaikkan harga minyak. Diharapkan kemenangan calonnya tidak menjadi "malapetaka" kepada pengundi di Tenang sepanjang kareiernya di kawasan itu, setelah terdapat bukti jelas minatnya terhadap "tanah" sewaktu menjadi ADO.
Semenjak tahun lalu, harga RON97 mula dinaikkan kepada RM2.15 pada 2 November, RM2.30 pada 1 Disember dan terus meningkat kepada RM2.50 pada 4 Januari tahun ini. Harga bagi petrol RON97 yang banyak digunakan oleh kenderaan berkuasa tinggi, tidak ditetapkan kerajaan kerana ia diapung mengikut pasaran minyak dunia semasa.
Apungan itu diperkenalkan tahun lalu dan satu gred baru petrol RON95 turut diperkenalkan. Harga bagi RON95 kini ditetapkan pada kadar RM1.80 seliter. Pengurangan subsidi bagi bahan keperluan seperti petrol telahpun mula diperkenalkan melalui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) sejak awal tahun lalu. Badan berkenaan ditubuhkan bagi mengurangkan beban subsidi negara.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kepercayaan agama Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat - yang disebutnya sebagai 'Islam Nik Aziz' - lebih teruk daripada 'Islam nasionalis'. "Sesungguhnya Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis," kata Dr Mahathir seperti yag dilaporkan oleh Malaysiakini.
Beliau rela mempertahankan (menteri mentor Singapura) Lee Kuan Yew dengan menganggap cadangan Lee Kuan Yew supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk dari Islam nasionalis Melayu."
Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, bayangkan sahaja pendekatan Islam bawah pemerintahan Nik Aziz ketika beliau duduk sebaris dengan pemimpin lain dalam Pakatan Rakyat seperti Lim Guan Eng (setiausaha agung), Karpal Singh (pengerusi) dan Lim Kit Siang (penasihat).
"Jika pendapat rakan bukan Islam Nik Aziz menuntut supaya amalan ajaran Islam dilonggarkan, Nik Aziz mungkin bersetuju kerana Islam nasionalis lebih teruk daripada Lee Kuan Yew," sindir Dr Mahathir.
Pada 27 Januari lalu, Utusan Malaysia juga melaporkan Nik Aziz mengeluarkan kenyataan itu dengan membandingkan dengan sikap segelintir orang Melayu di negara ini yang membuang sama sekali Islam dan mengambil pendekatan nasionalisme.
Menulis di blognya, Dr Mahathir berkata, hasil perjuangan nasionalisme Melayulah banyak nilai Islam diterapkan dalam pemerintahan jika dibanding dengan pengamalan di zaman British yang mana ramai pembesar Melayu minum arak, pekerja Melayu minum todi dan ramai yang tidak sembahyang.
"Teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam?" soal Dr Mahathir lagi. Beliau juga sebaliknya membidas menteri besar Kelantan itu dan PAS yang hasil terbesarnya didakwa memecahbelahkan orang Islam di negara ini, termasuk melalui penubuhan parti Islam itu sendiri.
Sokongan kepada parti Melayu Semangat 46 suatu masa dulu, juga menyebabkan orang Melayu berpecah menjadi tiga. "Tidak cukup dengan ini Nik Aziz sanggup bekerja keras dengan DAP untuk menubuh Pakatan. Bahawa dahulu PAS mendakwa kerjasama Umno dengan orang bukan Islam menjadikan mereka kafir dilupakan sahaja kerana ingin menjadikan Pakatan musuh Umno yang kuat.
"Dengan cara ini Nik Aziz menentukan kali ini perpecahan orang Melayu Islam kepada tiga pasukan yang lemah menjadi kekal," coret Dr Mahathir sambil menambah ajaran bahawa orang Islam itu bersaudara tidak dihiraukan oleh Nik Aziz.