KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Februari 01, 2011

Selangor Bantu Pelajar Di Mesir: Nasihat Dr Halimah ibubapa jangan bimbang,


Prihatin terhadap keselamatan pelajar Malaysia di Mesir, Kerajaan Negeri Selangor bersama-sama dengan Wisma Putra akan menguruskan kepulangan para pelajar Malaysia di Mesir ekoran keadaan negara itu yang tidak stabil sekarang.

Exco Pendidikan Tinggi Selangor, Dr Halimah Ali berkata, beliau telah bertemu dengan pegawai Wisma Putra pagi ini bagi membincangkan soal itu dan mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan pelajar negeri itu di sana. Beliau dijangka akan mengadakan mesyuarat segera dengan Exco Agama Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali dan Pengarah Jais hari ini juga bagi merangka pelan tindakan untuk membawa mereka keluar segera.

"Diharap semua para ibu bapa bertenang dan banyakkan berdoa agar Allah mempermudahkan segala urusan. Kerajaan Negeri melalui Lembaga Zakat Selangor akan menghantar peruntukan kewangan yang difikirkan mencukupi bagi menampung segala keperluan urusan harian para pelajar terutama dalam menghadapi saat-saat genting ini," kata Dr Halimah.

Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menubuhkan Bilik Operasi yang yang beroperasi 24 jam untuk membolehkan ibubapa dan sanak saudara terutamanya mengetahui kedudukan mutakhir pelajar kita di Mesir.

Mereka yang ingin menghubungi Bilik Operasi ini bolehlah menghubungi talian seperti berikut bermula 8.30pagi esok 03-55143520/3534/3538/3539/3576. Pertubuhan sukarela Briged Amal Selangor bersama Yayasan Amal Selangor telah diarah untuk menyediakan tenaga pembantu bagi membantu Bilik Gerakan yang beroperasi 24 jam itu.

Sebelum ini, PAS dan PKR telah mendesak kerajaan supaya membawa keluar semua pelajar Malaysia di sana kerana keadaan sudah tidak terkawal lagi. Ini ekoran dari tindakan beberapa pihak yang mengambil kesempatan untuk diri sendiri dengan cara merompak dan mengganggu pelajar Malaysia di sana selepas polis tidak lagi dapat berfungsi dengan baik.

Tiada ulasan: