KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Februari 03, 2011

KAMI sokong protes Facebook lawan pindaan Akta Mesin Cetak & Penerbitan 1984 ke atas media online


Setiausaha Agung KAMI, Tarmizi Mohd Jam menyokong protes Facebook lawan pemaksaan Akta Mesin Cetak & Penerbitan ke atas media online



Laman sosial Facebook popular yang menentang pembinaan Menara Warisan setinggi 100 tingkat yang menelan belanja 5 bilion ringgit, kini mengalihkan fokus kempennya kepada membantah cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan atau PPPA.

Laman tersebut dilayari hampir 290 ribu orang sejak dilancarkan pada 16 Oktober tahun lalu, selepas kerajaan mengumumkan rancangan untuk membina menara pencakar langit itu di Kuala Lumpur. Kini, laman tersebut melancarkan protes terbaru, membantah pindaan akta mesin cetak, untuk tempoh dua minggu mulai semalam, 1 Februari.

"Demonstrasi Mega Online 11" itu dijadualkan akan berlangsung sehingga 14 Februari, yang mengkehendaki pengguna Facebook menggunakan poster yang direkabentuk oleh pengendali laman tersebut sebagai profil foto mereka.

Setiausaha Agung Kumpulan Aktivis Media Independent atau KAMI, Tarmizi Mohd Jam menyokong penuh kempen tersebut kerana pemaksaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 ke atas media online bukan sahaja tidak sihat malah Malaysia akan dilihat "munafik" dalam pelaksanaan dasar Koridor Raya Multimedia atau MSC yang diuar-urakan di hujung pemerintahan Tun Mahathir Mohamad.

Katanya, pemaksaan akta ini bertujuan untuk mengekang kebebasan bermaklumat dan menimbus suara rakyat yang tulen dari ke udara melalui media online atau media baru.

Tarmizi kesal, langkah "akal singkat" KDN dan pemimpin pembentuk dasar dari kumpulan Umno-BN yang bertindak secara dangkal, dhaif dan merugikan Malaysia itu, tidak ubah seperti marahkan nyamuk kelambu dibakar.

KAMI menyeru mana-mana individu, kumpulan NGO dan parti-parti politik bangkit menentang dengan apa cara sekalipun bagi menyedarkan rakyat tentang "bahaya" pemaksaan PPPA ke atas media online. 

"Kalau nak hadapi pembangkang, bukan ini caranya. Jangan ingat kejayaan PPPA kontrol media cetak selama ini, untukkan Umno-BN. Jika media online juga dipaksa PPPA, jelas kepada dunia sikap munafik Malaysia terhadap dunia siber dan peralatan teknologinya," tegas Tarmizi kepada Sanggahtoksago.Com sebentar tadi.

Minggu lalu, Kementerian Dalam Negeri atau KDN mengumumkan pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 supaya menjadi lebih komprehensif dan tidak terhad kepada bahan cetak semata-mata.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam berkata pihaknya telah meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan dalam akta itu sama ada ia boleh meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan internet, Facebook dan perisian.

Sebelum ini pengarah komunikasi parti keadilan rakyat, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan Kerajaan Persekutuan harus berpegang pada jaminan 'bill of guarantees' Koridor Raya Multimedia atau MSC yang diperkenalkan mantan perdana menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohammad pada 1 Ogos 1996, yang menjanjikan kebebasan internet tanpa sempadan.

Beliau menambah cadangan kementerian dalam negeri atau KDN mahu meminda akta penerbitan dan percetakan 1984 atau PPPA hanya membuktikan kerajaan persekutuan tidak komited terhadap perubahan dan hak asasi manusia.

Jika pindaan itu dilaksanakan, ia secara jelas menunjukkan kerajaan persekutuan, sedikit demi sedikit mahu menafikan hak dan kebebasan rakyat malaysia dalam berkongsi maklumat dan menzahirkan pandangan mereka terhadap sesuatu isu.   

Ini dapat dibuktikan dengan tekanan yang diberikan keatas pelayar internet seperti penangkapan blogger, serbuan polis ke atas  portal berita Malaysiakini pada 2003 dan penutupan sebuah lagi portal berita, Malaysia Today pada 2008.

Ia dilihat sebagai langkah terbaru kerajaan menyekat media alternatif seperti Tv Selangor, Malaysiakini dan banyak lagi portal di negara ini untuk menyebarluaskan maklumat yang bertentangan dengan kepentingan politik mereka. 

Sementara itu Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan melahirkan kebimbangannya dengan tindakan Perdana Menteri, Najib Razak yang melancarkan perang habis-habisan ke atas media internet yang mendukung prinsip kebebasan di negara ini. 

Beliau berkata, tindakan terbaru Kementerian Dalam Negeri atau KDN meminda Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 atau PPPA, adalah lebih dahsyat berbanding apa yang  berlaku di era pemerintahan mantan perdana menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Steven Gan berkata, sekatan ke atas media yang melampau itu merupakan satu petanda bahawa Pilihan Raya Umum ke 13 semakin hampir sehingga mengakibatkan kerajaan terdesak untuk mengawal informasi yang tersebar melalui ruang maya.

Tiada ulasan: