Jumlah Paparan Halaman

Isnin, Februari 21, 2011

Skandal pembelian kapal selam Scorpene: Zahid kata tak perlu seret isu Scorpene kepada SPRM




Pendedahan kerajaan berhubung perolehan peluru berpandu 40 Exocet SM-39 laut ke udara dan 30 torpedo Black Shark yang berjumlah 219 juta euro membuatkan banyak pihak membuat gesaan agar kerajaan membuat sesuatu terhadap pembelian senjata yang dipercayai terlalu mahal untuk dua kapal selam Scorpene Malaysia.

Naib Presiden KeADILan, Tian Chua berkata Kementerian Pertahanan telah membayar 20 peratus lebih daripada harga pasaran, selepas membandingkan perolehan yang serupa oleh negara-negara lain.

"Menurut rekod perolehan Pakistan, kos SM-39 ialah 3.07 juta euro setiap satu, manakala Portugis membeli Black Sharks pada harga 2 juta setiap satu," kata Chua setelah mendapat maklumat berhubung isu berkenaan di Dewan Rakyat sebelum ini.

Berdasarkan angka-angka tersebut, maka jumlah kosnya ialah 182.8 juga euro – berbeza 20 peratus (36 juta euro) daripada apa yang telah dibayar oleh Malaysia. Menurut satu laporan yang dikeluarkan sebuah badan pemikir, Foreign Policy in Focus (FPIF) - dalam tahun 2005 bahawa banyak pembuat senjata pada umumnya digunakan rakyat Malaysia yang ada hubungan baik, sebagai pelobi mereka untuk mendapatkan kontrak.

"Komisyen dibayar kepada wakil-wakil berkenaan, di anggarkan berkisar antara 10 hingga 20 peratus," kata Tian dalam usulnya yang memetik laporan FPIF. Dalam usulnya itu, Tian menggesa Menteri Pertahanan, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan kepada Dewan Rakyat sama ada orang tengah atau ahli politik terlibat dalam pembelian terpedo dan peluru berpandu itu.

Persoalan tersebut dijawab Ahmad Zahid dengan menyatakan bahawa isu pembelian kapal selam Scorpene tidak perlu dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan.

Alasan tindakan tersebut ujarnya adalah kerana pembelian kapal selam itu dibuat mengikut prosedur yang sepatutnya, malah kos pembelian kapal selam buatan Perancis bernilai kira-kira satu bilion euro pada tahun 2002 itu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diterima isu mengenai pembelian kapal selam itu yang dilaporkan oleh sesetengah media membabitkan pembayaran komisen bernilai kira-kira 114 juta euro kepada syarikat di Malaysia;  pihak SPRM kini masih menyiasat perkara tersebut.

Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.7 bilion untuk membeli kapal selam buatan Perancis itu. Daripada jumlah keseluruhan, RM574.8 juta pergi kepada Perimekar Sdn Bhd, yang dimiliki Abdul Razak Baginda, seorang teman karib Perdana Menteri, Najib Razak.

Najib merupakan Menteri Pertahanan sewaktu urusniaga tersebut dijalankan. Kerajaan juga sebelum ini telah menafikan komisyen dibayar dalam urusan pembelian kapal selam tersebut, dengan menegaskan bahawa jumlah itu - yang merupakan 10 peratus daripada harga keseluruhan kapal selam berkenaan yang berjumlah RM4.85 bilion - adalah untuk perkhidmatan sokongan dan penyelarasan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pembayaran tersebut juga kini sedang disiasat pihak berkuasa Perancis kerana "komisyen" seumpama itu adalah salah di sisi undang-undang Perancis 

0 ulasan: