KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Februari 21, 2011

Orang tengah punca kos melambung - Brig. Jen (B) Abdul Ghani



Apakah benar kos peralatan pertahanan negara melambung tinggi sehingga mencecah  RM 6 bilion untuk enam kapal peronda pesisir pantai OPVs? Wartawan Harakah, NYZA AYOB cuba mengcungkil isu ini dari kaca mata Brig. Jen (B) Abdul Ghani Mahludin yang berpengalaman luas dalam bidang ketenteraan selama 31 tahun. Pada awal 1980-an beliau memegang jawatan Pengarah Perancang Pertahanan di Bahagian Staf Perkhidmatan Bersama, Kementerian Pertahanan sebelum bersara pada 1984.- Bahagian 1

Berdasarkan pengalaman saudara terlibat dalam bidang ketenteraan dan pertahanan negara, boleh jelaskan sedikit apa prosedur bagi sesuatu pembelian peralatan keselamatan negara?

BRIG. JEN (B) ABDUL GHANI: Saya terlibat dengan perancangan pertahanan negara berakhir pada 1982. Waktu itu perancangan yang saya buat bersama kumpulan saya selesai untuk kegunaan sehingga tahun 2000. Dalam pasukan tersebut kita tentukan untuk beli alat tempoh kegunaannya untuk 20 tahun. Ia termasuk untuk kegunaan tentera laut, tentera darat dan tentera udara. Prosedurnya kita lakukan tender dengan syarikat-syarikat daripada negara yang membuat peralatan tersebut. Dan mereka bida seterusnya kita beli dengan harga terbaik. Ia sama seperti  tender yang lain.  Bagaimana pun, saya tidak terlibat dengan urusan pembelian senjata atau peralatan ketenteraan. 

Jadi, apa peranan saudara?

Saya terlibat dalam merancang apa bentuk senjata yang kita perlukan. Musuh kita sekian rupa, ancaman kita sekian rupa, jadi bagaimana hendak mempertahankan negara? Contohnya pada waktu dahulu musuh kita yang terjauh ialah Vietnam. Jadi kita perlu beli kapal terbang, sampai ke sana jatuhkan bom dan patah balik. Jika tidak sempat balik dan tidak cukup minyak, kita kena beli kapal terbang untuk review mid air. Itu perancangan saya. Yang membeli peralatan tersebut angkatan tertentu. Mereka yang beli kapal terbang tentera udara atau kapal laut tentera laut. Saya cuma menetapkan apakah jenis senjata yang diperlukan untuk mengadap musuh sebelum musuh sampai ke negara kita.

Sejauh mana peralatan yang dibeli itu boleh membantu pertahanan negara?

Pada masa itu perancangan yang kita buat boleh bertahan untuk masa-masa tertentu sebelum kita minta bantuan daripada negara lain. Masa itu kita bersahabat dengan pertahanan lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan Britain. Kita ada menandatangani pertahanan skim lima negara. Malaysia salah satu daripada ahlinya. Maksudnya sekurang-kurangnya kita mesti pertahankan negara kita sebelum negara-negara lain dapat bantu kita.

Sepanjang maklumat yang diperolehi, adakah terdapat masalah  ketirisan dalam pembelian peralatan pertahanan negara memandangkan kita dapati harga yang dibeli semuanya tinggi?

Sewaktu saya berkhidmat dahulu, kami berbincang iaitu terdapat dua cara membeli senjata ini iaitu secara terus menerus. Bermakna kita membeli senjata negara ke negara (government to government).
Lazimnya pembelian senjata pertahanan negara tidak boleh dibeli terus daripada syarikat yang mengeluarkan. Ia hendaklah diluluskan oleh kerajaan tersebut barulah boleh dijual. 
Katakanlah kita hendak membeli sesuatu peralatan dari Amerika, kerajaan kita mesti mendapat persetujuan dahulu daripada negara itu. Apabila kerajaan Amerika dah luluskan barulah boleh jual dan barulah kita boleh beli. 

Bagaimana dengan kaedah 'orang tengah'?

Sejak zaman saya berkhidmat  lagi didapati Malaysia suka menggunakan kaedah 'orang tengah'. Biasanya orang tengahlah yang buat duit. Ini saya berani cakap. Semasa saya merancang pertahanan negara dahulu pun, sudah nampak perkara ini berlaku. Contohnya bagi harga peralatan tersebut kita kena bayar RM 1 juta tapi kita bayar RM2 juta. RM1 juta untuk orang tengah. Syarikat tersebut terima tidak sampai pun RM2 juta. Itu contohnya. Kemungkinan besar harga terlampau tinggi kerana adanya 'orang tengah' - bersambung.

Tiada ulasan: