Jumlah Paparan Halaman

Isnin, Februari 21, 2011

Menteri Pertahanan belum jawab: 870 % lebih mahal beli enam kapal peronda luar pesisir (OPV) RM6 bilion




Persoalan kewajaran pembelian enam kapal peronda luar pesisir (OPV) yang melibatkan kos sebanyak RM6 bilion itu perlu jawab oleh Menteri Pertahanan, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kata Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua. 

"Kenyataan saya itu bukan suatu tuduhan terhadap kementerian berkenaan berhubung pembelian itu, tetapi sekadar memintanya menjelaskan kewajaran tentang pembelian itu dengan memberi spesifikasi terperinci mengenai jenis OPV yang akan dibeli,” katanya. Menurutnya pendedahan kos pembelian OPVs yang mahal sehingga 870 peratus daripada kos yang sepatutnya masih tidak dijawab oleh Kementerian Pertahanan mahupun Kerajaan Malaysia. 

Dalam pendedahannya, beliau mempersoalkan mengapakah Kerajaan Malaysia sanggup membelanjakan sehinga RM6 bilion untuk mendapatkan enam buah kapal peronda pantai. Sedangkan, jelasnya, pembelian kapal peronda pesisir pantai  oleh Tentera Laut New Zealand hanya bernilai NZ$90 juta (RM210 juta) setiap satu, Israel pula membayar AS260 juta (RM791 juta). 

Manakala, kapal kelas Roisin buatan Ireland bernilai AS34 juta (RM103 juta); Super Vita dari Greek bernilai AS$108 juta (RM329 juta); Type 130 dari Jerman (RM572 juta) dan Saar V dari Israel (RM791 juta) setiap satu.  Malah, kapal yang paling canggih seperti Littoral (LCS) buatan Amerika Syarikat pun nilainya kurang daripada AS300 juta (RM913 juta) setiap satu.

Tony mengakui keperluan pertahanan negara tetapi perlulah dibeli dengan harga yang wajar.  "Kita juga ingin memberi tentera laut kita alat peperangan yang cukup baik dan berteknologi tinggi, bagaimanapun duit rakyat tidak boleh dibazirkan begitu sahaja," jelasnya lagi.

Katanya lagi, Kementerian Pertahanan juga tidak memberi apa-apa penjelasan kepada syarikat manakah tender pembelian kapal itu diberikan. Cuma berbeza dengan pembelian kapal selam Scorpene yang kontroversi suatu masa dahulu, OPV ini masih belum disahkan sama ada akan dibeli atau dibina secara usahasama dengan syarikat tempatan.

Tony juga mengingatkan kerajaan supaya tidak mengulangi semula kesilapan beberapa tahun dahulu berkenaan pemberian kontrak pembinaan (friget) kepada sebuah syarikat tempatan. 

"Jika melalui usahasama pun kerajaan perlu menunjukkan ketelusan kerana sebelum ini sebuah syarikat tempatan pernah diberi kontrak membina kapal friget (tempur) tetapi bermasalah untuk menyiapkannya," katanya tegas.

"Syarikat itu tidak cukup kemahiran teknologi dan mereka terpaksa merekabentuk kapal di tempat lain dan membeli enjin dari negara lain. Akhirnya projek itu sangat lambat disiapkan dan mengakibatkan kos pembinaan melambung tinggi," ujarnya lagi. 

0 ulasan: