Jumlah Paparan Halaman

Khamis, Februari 17, 2011

Abdullah CD dan penghuni Kg Perdamaian ucap berbanyak terima kasih kepada Deligasi Bung Ishak Surin yang datang ziarah


Tarmizi mengadakan sesi wawancara bersama Yaakob Ibrahim atau Pak Akob, 54, bekas anggota Rejimen ke-10  Tentera Rakyat Malaya (TRM)


Kunjungan singkat bekas pemimpin kiri, Cikgu Ishak Surin dan para anggota rombongannya, Editor Harakah, Tarmizi Mohd Jam; bekas YDP PAS Tampin, Ali Maidin dan YDP PAS Bukit Bintang, Radhi Hashim ke Kg  Perdamaian Shakirin, Narathiwat, Thailand telah menguatkan semangat mereka dalam meneruskan kehidupan di perkampungan tersebut setelah PKM dibubarkan kira-kira 20 tahun lalu.

Demikian kata Yaakob Ibrahim atau Pak Akob (gambar kiri) dalam blognya "Kini dan Silam" semalam sebagai respons kunjungan Deligasi Bung Ishak Surin ke sana pada 12 dan 13 Februari lalu.

Dalam kunjungan singkat itu, mereka telah memberikan sumbangan kepada Masjid Darul Aman dan Muzium Kampung Perdamaian Sukhirin.

"Teristimewa sekali mereka telah menghadiahkan 50 buah  Al-Quran," kata Pak Akob lagi. Semua derma itu telah disumbangkan terus kepada Bapa Abdullah C.D. atau Cik Dat, bekas Pengerusi PKM, 88 tahun. 

Menurut Pak Akob yang bertindak sebagai PA Cik Dat, jawatankuasa Masjid Darul Aman akan membahagikan sebahagian daripada Al-Quran itu kepada guru-guru yang mengajar Al-Quran dan kepada anak-anak  yang menuntut di sekolah agama.

"Bagi pihak Bapa Abdullah C.D. dan seluruh warga Kampung Perdamaian Sukhirin, kami merakamkan berbanyak-banyak terima kasih atas sumbangan tersebut," ujar beliau yang juga bekas anggota Rejimen ke-10 Tentera Rakyat Malaya (TRM).

Katanya, dalam perbualan dengan Abdullah C.D, banyak kenangan lama terutama gelora perjuangan kiri bersama Ahmad Boestamam dicungkil keluar. Beliau menceritakan bahawa sebelum menyertai perjuangan bersenjata, suatu persetujuan telah dibuat antara beliau, dengan Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestamam. 

Mengikut Bapa Abdullah C.D., beliau dan Ahmad Boeatamam akan masuk hutan melakukan perang gerila manakala Dr. Burhanuddin akan bergerak bawah tanah di Singapura. Tetapi malangnya, tak lama selepas itu Boestamam ditangkap dan dipenjarakan oleh bangsat penjajah.

0 ulasan: