KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Februari 14, 2011

Usaha terancang sekat demokrasi berfikir di Malaysia: Tutup langit terbuka, kunci internet!




Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah kementerian yang cukup menakutkan. Di bawahnya ada agensi seperti polis dan penjara. Tentunya, ia cukup berkuasa untuk menangkap dan memenjarakan. Cuma KDN di Malaysia tidak mampu untuk memenjarakan minda rakyat. 

Jadi, pengumuman Ketua Setiausahanya, Mahmood Adam bahawa pihaknya meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan, mengejutkan banyak pihak. Ada yang sudah mula terfikir, apakah KDN mahu memenjarakan minda rakyat? Dalam zaman yang disebut langit terbuka, malangnya di Malaysia, mereka cuba menutup langit terbuka dengan buih sabun.

KDN sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian dan fokusnya kepada masalah pendatang asing. Ini masalah isu terbesar negara ini sekarang. Sebenarnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) sudah cukup ketat. Kenapa mahu diketatkan lagi? Kerajaan amnya dan KDN khasnya tidak perlu risau dengan penyebaran maklumat. Maklumat tidak semestinya betul. Jadi, mereka yang menerima maklumat, tentunya boleh memikirkan dengan tapisan ilmu. 

Itulah sebabnya, seorang ahli panel bergelar professor tidak lama dahulu menyanggah pertanyaan seorang peserta seminar yang mendakwa dia mempunyai banyak maklumat dan tahu banyak perkara mengenai perkembangan dunia politik di Malaysia.

Kata professor itu, maklumat bukan ilmu. Ilmu boleh menapis maklumat tetapi maklumat tidak boleh menapis ilmu. Jadi, jika kita menerima maklumat, kena siasat dulu. Yang mana boleh disebarkan, yang mana boleh dibisikkan kepada kawan-kawan rapat, yang mana boleh diceritakan kepada kenalan dan yang mana perlu dibuang. 

Jadi, minda kelas pertama yang dilaungkan kerajaan untuk rakyat negara ini perlu dibekalkan dengan maklumat tetapi, maklumat itu perlu ditapis oleh ilmu. Ini kena jelas dan ini yang rakyat kena lakukan. Tidak penting sebenarnya AMCP untuk dikaji semula bertujuan mahu mengetatkan skru yang dikatakan masih longgar kerana minda rakyat usah dipenjarakan atau disekat dari menerima maklumat.

Perkara pokok yang KDN perlu fikirkan ialah bagaimana mahu berpesan dan mengingatkan rakyat supaya mencari ilmu supaya ilmu yang mereka ada akan menjadi penapis kepada maklumat yang mereka terima. Ini kepentingan yang harus ditekankan.

KDN sebuah kementerian yang besar. Dari membuang masa untuk memikirkan soal AMCP, adalah lebih baik jika KDN memikirkan bagaimanakah mereka harus menyelesaikan masalah pendatang asing.

Pertama, hal pendatang haram. Kedua, pendatang halal yang sudah menjadi haram. Ketiga, pendatang halal yang sudah menjadi penjenayah. Keempat ura-ura KDN mahu membenarkan lagi pendatang asing masuk ke negara ini, kononnya atas alasan keperluan mendesak beberapa sektor pekerjaan.

KSU KDN sebenarnya satu kedudukan yang cukup kanan di kalangan PTD di negara ini. Dengan beberapa pendakwaan dibuat atas pegawai-pegawai kanan Imigresen, KDN sepatutnya mempunyai pasukan khas untuk memantau Imigresen dan bukan memantau mesin cetak.

Sesiapa pun tidak bersetuju dengan penyebaran fitnah sebenarnya. Jika mereka yang terlibat dalam industri percetakan mahu menyebarkan fitnah, kita ada Akta Hasutan misalannya tetapi, KDN masih tidak puashati nampaknya. Mahu melihat semula definisi penerbitan. Tentulah kenyataan dari KSU ini merisaukan pengamal-pengamal media. Yang paling risau, pengamal media yang tidak sehaluan dengan Umno dan BN.

Sebenarnya, kalau KDN mempunyai pemikiran yang stabil, mereka yang berada di situ membantu peniaga-peniaga yang berminat untuk terjun ke dunia penerbitan. Industri ini sebenarnya berfaedah kepada pembinaan minda dan pembangunan bangsa.

Malangnya, mereka yang berjawatan di situ, lebih mahu melihat pengamal media ini sebagai 'musuh' daripada rakan kongsi. Mereka mahu menyusahkan dan tidak membantu untuk memudahkan. Apakah ini sikap dan amalan pegawai KDN? 

Sebagai seorang pernah 'dibicarakan' oleh pegawai-pegawai KDN, dapat dirasakan bahawa mereka yang bertugas di situ tidak mesra pelanggan. Mereka tidak mempunyai fikiran bahawa pengamal media ini adalah pelanggan mereka yang membantu membina sebuah negara bangsa.

Mereka beranggapan, pengamal media sebagai 'budak jahat' yang perlu dipantau dan diberikan kaunseling. Padahal, mereka sendiri, jika diberi peluang menjalankan perniagaan ini, entah berapa kali ofis mereka terpaksa tutup kerana pegawai kerajaan melihat sesuatu perkara dari satu sudut sahaja.

Amatlah malang bagi rakyat Malaysia, jika situasi ini tidak diberi perhatian. Suatu ketika nanti, rakyat akan menjadikan "bisik-bisik" sahaja sebagai bahan penyebar maklumat kerana sudah tidak mampu mahu melawan gergasi KDN.

Mereka yang duduk di KDN kena keluar dari zaman batu kerana dunia dalam abad ini adalah dunia yang serba serbi terbuka dan bebas. Cukuplah dengan Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang sudah wujud. Kenapa mahu ditambah lagi?

Maka, adalah lebih baik jika pegawai-pegawai KDN yang selama ini mahu memberi perhatian kepada AMCP dipinjamkan kepada pegawai yang boleh membantu menyelamatkan Malaysia dari kebanjiran pendatang haram!

Ini lebih serius dan usah ditangguhkan walaupun kebanjiran pendatang asing ini boleh menyebabkan mereka yang lapar, mendapat rasuah yang menjadikan perut mereka semakin buncit. AMCP ini sebenarnya bakal mencacatkan demokrasi berfikir di Malaysia. Sebagai sebuah negara demokrasi, kenapa dalam soal berfikir, ada sekatan untuk menerima maklumat dari saluran kedua, selain dari saluran yang disediakan kerajaan.

Masalah di Malaysia ini ialah ada media cetak yang dilihat pro kerajaan, keterlaluan. Dengan bahasa lebih mudah, mereka lebih Umno dari Umno itu sendiri. Atau, lebih sudu dari kuah. Usahlah diteruskan hasrat mahu meminda AMCP itu, walaupun hasrat menyekat media maya dikatakan lebih dari media cetak. Zaman ini adalah zaman di mana dunia sudah tidak bersempadan. 

Lebuhraya maklumat memberikan macam-macam sumber maklumat yang tentunya boleh ditapis mereka dengan ilmu yang mereka ada.  Yang penting, usah ada usaha untuk menyekat penyelewengan sang penguasa hingga semua maklumat dianggap mengacam penguasaan mereka terhadap pemikiran rakyat. Rakyat sudah semakin cerdik sekarang. Rakyat sudah semakin berilmu sekarang. Yang penting, rakyat sudah tidak suka dikongkong!

Sumber >> Safar Jumaat

Tiada ulasan: