Kebanyakan negara kini mengeluarkan larangan melawat ke Mesir dengan sesetengahnya memindahkan keluar warga negara masing-masing berikutan protes antikerajaan bertambah buruk sejak enam hari lalu. Amerika Syarikat dan Iran berkata, mereka kini berusaha membawa keluar warga negaranya manakala Turki, India, Greece dan Arab Saudi merancang untuk menerbangkan pesawat khas ke Mesir untuk tujuan sama, lapor AFP.
Britain, Perancis, China, Australia dan negara Scandanavia atau utara Eropah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya agar tidak berkunjung ke Mesir tetapi belum bercadang untuk membawa keluar rakyatnya. Dalam nasihat Jabatan Negara, Washington berkata rakyatnya dinasihatkan agar mengelak daripada berkunjung ke Mesir berikutan ketegangan politik dan keselamatan yang tidak terjamin.
Kedutaan Amerika di Kaherah berkata, mereka sudah mengedarkan maklumat bahawa pihaknya sedia menyediakan pengangkutan kepada warga negaranya yang ingin keluar dari Mesir untuk ke negara lebih selamat di Eropah.
Iraq berkata, pihaknya akan menyediakan pesawat khas untuk membawa keluar rakyatnya dari Mesir manakala Turki akan menghantar lima pesawat untuk membawa pulang 750 rakyatnya dari Mesir. Arab Saudi berkata, kerajaan sudah menyediakan 33 penerbangan antara Sabtu dan Isnin untuk membawa pulang rakyatnya di Mesir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan