Rentetan dari perkembangan kebangkitan kuasa rakyat di Asia Barat secara umumnya dan di Mesir khususnya di waktu ini, PAS mendesak semua kerajaan yang memerintah di Asia Barat agar segera menghentikan segala bentuk tindakan ganas kepada rakyat mereka sendiri yang terlibat dengan perhimpunan tunjuk perasaan, tegas Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Katanya, di Mesir, umum mengetahui demokrasi telah dicabul teruk dan pentadbiran Presiden Hosni Mubarak mesti bertanggungjawab terhadap pencabulan itu dan bersedia berhadapan dengan desakan rakyat supaya beliau meletakkan jawatan.
Bagi pihak PAS, tegasnya, solidariti bersama dengan rakyat Mesir yang bangkit menuntut keadilan setelah sekian lama berada dalam penindasan dan PAS mendoakan kejayaan intifadha rakyat Mesir yang belum pernah disaksikan dalam sejarah Mesir moden ini.
Ustaz Abdul Hadi mendesak supaya dibebaskan segera kesemua tahanan politik yang telah dipenjarakan sejak sekian lama di Mesir yang dihukum menerusi perbicaraan yang
tidak adil.
"Dunia khususnya OIC dan PBB didesak supaya memberikan tekanan kepada Presiden Hosni Mubarak dan kerajaannya yang telah melanggar hak asasi manusia apabila telah menyebabkan kecederaan kepada lebih seribu rakyat Mesir yang berhimpun dan juga lapan daripadanya yang terkorban," ujarnya kepada Harakah. Bekas MB Terengganu itu berkata, penyelesaian terhadap kemelut ini boleh berlaku dengan dibukakan pintu demokrasi yang tulen dan diadakan pilihan raya yang telus di Mesir.
Beliau berkata, kerajaan BN di Malaysia perlu diperingatkan supaya mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir pada hari ini. Katanya, apabila pemerintah mencabul amalan demokrasi, menyeleweng kewangan negara dan bersifat zalim terhadap rakyat, maka kebangkitan rakyat tidak dapat dibendung
lagi.
"Pemerintahan BN perlu segera membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia dengan membebaskan SPR dan media daripada cengkaman parti pemerintah seterusnya bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat di padang yang sama rata," tegasnya lagi. Ustaz Abdul Hadi berkata, tidak siapa mahu situasi tegang sedemikian berlaku di negara ini, tetapi dunia membuktikan ketegangan di antara rakyat dan pemerintah itu berpunca daripada sikap pemerintah itu sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan