KLIK JOM FOLO DI SINI
Isnin, Januari 31, 2011
Jasa anda semua tidak terbalas: Cikgu Mala ucap jutaan terima kasih bantu kempen PRK Dun Tenang
Terima kasih diucapkan kepada semua petugas-petugas, ADUN-ADUN, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, pembaca setia blog ini, pengikut blog ini, blogger-blogger dan media yang membuat liputan dari hari penamaan calon hingga ke hari ini iaitu hari pembuangan undi, kata calon PAS, Normala Sudirman dalam blognya CikguMala.Blogspot, sebentar tadi.
Katanya, jasa dan pengorbanan anda semua hanya Tuhan sahaja yang dapat membalasnya. Teruskan berjuang dan berkhidmat untuk Islam demi menegakkan kebenaran dan menghalang kebatilan dari berkuasa di atas muka bumi ini.
Cikgu Mala juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kemenangan Islam. Disebalik kita mencari kemenangan ada hujan rahmat yang membasahi bumi Tenang sehinggakan seluruh kawasan Tenang telah digenangi air dalam mengharungi banjir. Kehadiran hujan menguji ketabahan petugas-petugas sehinggakan basah kuyup namun tetap tidak berganjak dalam memberikan servis yang terbaik.
"Jangan kita berputus asa dalam berusaha sebelum kita mendapat kejayaan dan jika kita berjaya jangan dilupa pengorbanan mereka dibelakang yang banyak memberikan sokongan tidak kira waktu, hari dan perjalanan hidup ini. Kejayaan bukan milik individu sebaliknya milik jamaah yang mantap. Teruskan berjuang untuk Pilihan Raya Kecil di DUN Merlimau N.27 yang bakal berlangsung tidak lama lagi," tegas beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Labis.
PAS Batu ucap tahniah kepada Cikgu Mala, "Pulut Kuning" menanti 5 Januari ini
Seluruh kepimpinan PAS Kawasan Batu mengucapkan tahniah atas keberanian dan kegigihan calon PAS Dun Tenang, Cikgu Normala Sudirman yang sedia menyahut cabaran dan amanah jemaah untuk menjadi alat sebagai calon PAS menentang Umno-BN dalam PRK Dun Tenang berakhir hari ini, 30 Januari 2011.
Menurut Naib Yang DiPertuanya, Tarmizi Mohd Jam, kalah bukanlah alasan untuk undur atau bergerak ke belakang, tetapi membiasakan diri dengan cabaran dan menanamkan semangat juang yang jauh lebih kental dan tegar pada masa depan.
Katanya, Cikgu Mala sarat dengan aura kepimpinan baru, tokoh yang memiliki potensi besar dalam Muslimat PAS, pantas, pintar dan cekap dalam menentang arus manipulasi, dalam menyantuni aliran dedikasi.Apapun yang diperkatakan kepada Cikgu Mala, tegasnya, beliau seorang bekas guru yang cekal dan patut di ketengah di dalam parti.
Sehubungan itu, Tarmizi berkata, PAS Batu akan mengadakan Ceramah Khas dan Kesyukuran Pulut Kuning sempena meraikan para petugas PAS sepanjang berkempen di Dun Tenang. Program yang menjadi acara tetap setiap kali selepas PRK itu akan diadakan di Dewan Masyarakat Taman Gombak, Jalan 2, laluan ke Taman Melawar dari arah Greenwood pada Sabtu, 5 Januari depan.
Tetamu yang akan menceritakan perihal PRK Dun Tennag ialah Pengarah PRK Dun berkenaan yang juga Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Naib Pengerusi DHPP PAS Pusat, Vincent Lee. Pesuruhjaya PAS Wilayah, Mohamad Noor Mohamad yang diundang sama tidak dapat hadir kerana ada tugas di Acheh, Indonesia pada tarikh berkenaan, ujarnya.
Orang-ramai dijemput hadir bagi meraikan para petugas dan mendengar sendiri atau bersoal jawab dengan mereka yang terbabit di Dun Tenang sepanjang kempen.
PRK 30 Januari: Keputusan penuh undi pos dan 12 Unit Peti Undi lokaliti dalam Dun Tenang
Berikut adalah keputusan undi berdasarkan lokaliti atau Unit Peti Undi (UPU) dalam Dun Tenang. Terdapat 12 lokaliti dan undi pos yang diperakui selepas keputusan PRK Dun Tenang, 30 januari 2011.
01 > 142/05/01 - Kg. Redong; Saluran 2; Jumlah 756; Undi PAS 105; Undi BN 442; Undi rosak 0; Keluar Undi 547; % Keluar undi 72.35
02 > 142/05/02 - Pekan Air Panas; Saluran 2; Jumlah 745; Undi PAS 83; Undi BN 451; Undi rosak 0; Keluar undi 534; % Keluar undi 71.68
03 > 142/05/03 - Ladang Labis Utara; Saluran 1; Jumlah 385; Undi PAS 40; Undi BN 152; Undi rosak 11; Keluar undi 203; % Keluar undi 52.73
04 > 142/05/04 - Bandar Labis Timur; Saluran 4; Jumlah2,154; Undi PAS 602; Undi BN 669; Undi rosak 0; Keluar undi 1,271; % Keluar undi 59.01
05 > 142/05/05 - Bandar Labis Tengah; Saluran 4; Jumlah 2,236; Undi PAS 857; Undi BN 365; Undi rosak 0; Keluar undi 1,222; % Keluar undi 54.65
06 > 142/05/06 - Labis; Saluran 3; Jumlah 1,274; Undi PAS 336; Undi BN 400; Undi rosak 0; Kular undi 736; % keluar undi 57.77
07 > 142/05/07 - Felda Tenang; Saluran 3; Jumlah 1,469; Undi PAS 160; Undi BN 955; Undi rosak 11; Keluar undi 1,126; % Keluar undi 76.65
08 > 142/05/08 - Sawah Bahru; Saluran 1; Jumlah 343; Undi PAS 55; Undi BN 212; Undi rosak 0; Keluar undi 267; % Keluar undi 77.84
09 > 142/05/09 - Tenang Station; Saluran 4; Jumlah 1,947; Undi PAS 351; Undi BN 744; Undi rosak 0; Keluar undi 1,095; % keluar undi 56.24
10 > 142/05/10 - Ladang Bukit Dato; Saluran 2; Jumlah 779; Undi PAS 99; Undi BN 268; Undi rosak 3; Keluar undi; % Keluar undi 370 47.50
11 > 142/05/11 - Chempelak Barat; Saluran 3; Jumlah 1,215; Undi PAS 142; Undi BN 838; Undi rosak 4; Keluar undi 984; % keluar undi 80.99
12 > 142/05/12 - Chempelak; Saluran 3; Jumlah 1,432; Undi PAS 135; Undi BN 985; Undi rosak 0; Keluar undi 1,120; % keluar undi 78.21
Jumlah saluran (32); Jumlah Pengundi (14,735); Undi PAS (2,965); Undi BN (6,481); Undi rosak (29 )Keluar undi (9,475); % Keluar undi (64.30%)
13 > Undi Pos - Jumlah Pengundi (18); Undi PAS (3); Undi BN (115); Undi rosak (0); Keluar undi (118); % Keluar undi (655.56%).
Ahad, Januari 30, 2011
Mahfuz ucap tahniah: PAS tewas lagi di Dun Tenang dengan majoriti undi 3,707
Kira-kira jam 7.15 malam ini, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dalam lama Twitter mengucapkan tahniah kepada BN kerana berjaya mempertahankan kerusi tersebut. Keputusan rasmi menunjukkan BN mendapat 6,699 undi manakala PAS mendapat 2,992 undi.
Calon BN, Mohd Azahar Ibrahim menang dengan majoriti 3,707 undi - meningkat 1berbanding majoriti 2,492 undi pada 2008. Calon BN juga menang undi Pos. Daripada 119 kertas undi pos yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd Azahar memperoleh 115 manakala Normala memperoleh tiga undi. Satu undi pos ditolak.
Keputusan undi pos itu diumumkan oleh pegawai pengurus pilihan raya kecil, Md Asri Amir. di di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis petang ini.
Pemberitahuan: Demontarsi aman Pakatan Rakyat di hadapan Kedutaan Mesir, Isnin 31 Januari 11 pagi
Esok, Isnin, bersamaan 31 Januari 2011, satu demontrasi aman akan diadakan di hadapan Kedutaan Mesir sebagai tanda membantah dan solidariti bersama rakyat Mesir yang ketika ini sedang bangkit menurunkan regim Hosni Mubarak di negara tersebut.Dalam satu SMS Pengerusi Jawatankuasa Demokrasi dan Mobilisasi, Mohamad Sabu kepada saya jam 3.46 petang tadi, memberitahu demontrasi aman itu dilangsungkan jam 11 pagi di Kedutaan Mesir beralamat No. 12, Jalan Rhu off Jalan Ampang Hilir.
Ia akan diketuai sendiri Sdra. Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat termasuklah Arul, Setiausaha Agung PSM dan badan-badan bukan kerajaan. Orang ramai dijemput hadir bagi menyatakan sokongan pada kepada rakyat Mesir yang inginkan perubahan.
1,317 mangsa, lapan pusat pemindahan banjir dibuka di Labis
Seluruh jentera Jabatan Kebajikan Masyarakat di Johor telah diarahkan berada di daerah itu bagi memberi bantuan kepada mereka yang terlibat, katanya.
TPM, KPN terperangkap akibat banjir di Tenang, 300 tentera dikerah
Semenatra itu, seramai 300 tentera daripada Kem Gemas dan Kluang terpaksa dikerahkan untuk membantu mengeluar dan memindah pengundi ekoran beberapa kawasan di Tenang sudah ditengelami banjir.
71.8 peratus keluar mengundi: Proses pengundian PRK Tenang ditutup jam 5 petang
Sebanyak 71.8 peratus daripada sejumlah 14,753 pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang keluar mengundi sehingga proses pengundian ditutup pada pukul 5 petang ini. Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah peratusan itu lebih rendah daripada pilihan raya umum 2008 iaitu 73.52 peratus.
"Ini disebabkan oleh keadaan cuaca yang buruk sehingga laluan ke beberapa pusat pengundian dinaiki air serta kawasan seperti Pekan Lama Labis dilanda banjir,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Proses pengundian bagi kerusi PRK DUN Johor di kawasan Tenang itu ditutup pukul 5 petang ini, lapor Bernama.
Jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya berkata, kesemua 12 pusat pengundian yang dibuka pukul 8 pagi tadi telah ditutup dan peti-peti undi akan dibawa ke pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis di sini.
PAS tewas: Calon BN menang majoriti 3,761 undi menewaskan Normala Sudirman
Keputusan tidak rasmi PRK DUN Tenang menunjukkan calon BN Mohd Azahar Ibrahim menang dengan majoriti 3,761 undi menewaskan calon PAS, Normala Sudirman, lapor tak rasmi Kickdefela.
Kedua-dua pihak belum membuat sebarang pengumuman lagi tetapi dipercayai PAS akan membuat pengumuman tewas sebentar lagi. Cuma tidak dapat dipastikan siapa yang akan membuat kenyataan bagi pihak PAS.
Semoga politik berakhir sementara di Tenang dan usaha akan ditumpukan untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Para wartawan dan petugas media juga ramai terperangkap dalam banjir di Pekan Labis. Doa kita semoga tiada kemalangan jiwa dan insiden yang tidak diingini berlaku.
Sehingga 6.53 petang.: BN mendahului dengan 1,484 undi berbanding PAS sebanyak 533
Nasib calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil Tenang akan ditentukan oleh 14,753 pengundi di kawasan itu hari ini. Pengundi akan memilih antara calon BN Azahar Ibrahim, 30, bekas pembantu pegawai daerah dan calon PAS Normala Sudirman, 38, seorang bekas guru.
Sebanyak 12 pusat mengundi di 12 daerah mengundi telah dibuka pada jam 8.00 pagi tadi dan akan tamat kira-kira jam 5.00 petang ini. Kawasan berkeluasan 295.20km persegi itu meliputi tiga Felda, lima kampung Melayu, tiga kampung baru Cina, 25 kawasan perumahan moden, sebuah kuaters kerajaan, empat estet dan dua kawasan Orang Asli.
Pengundi Melayu mewakili 47.5 daripada jumpah penduduk diikuti oleh Cina (39 peratus), India (12 peratus) dan lain-lain (1.3 peratus).
Keputusan PRK Tenang : Sehingga 6.53 pm.
6.53pm: BN 3,737, PAS 1,692
6.51pm: Kg Redung (S2): BN 211, PAS 67
6.50pm: BN 2,038, PAS 1,207
6.36pm: Kg Sawah Bahru (S1): PAS - 55, BN - 212.
Setakat ini, BN mendahului dengan 1,484 undi berbanding PAS sebanyak 533.
6.34pm: Bandar Labis Tengah: PAS - 801, BN - 365
6.31pm: SMK Kamarul Ariffin: BN - 365, PAS - 801.
6.27pm: PAS - 1,136, BN - 634.
6.22pm: Bandar LabisTengah (S4): PAS - 209, BN - 90.
6.15pm: Bandar Baru Labis (S1): PAS - 123, BN - 64.
6.10pm: Undi pos: BN - 115, PAS - 3, rosak - 1
BN juga cemas: Bantuan angkut pengundi tidak adil, hanya tertumpu di kawasan Felda
Walaupun pasukan polis, tentera, jabatan pertahanan awam dan berbagai agensi kerajaan telah dikerah membantu membawa penduduk ke pusat pengundian, tetapi pemimpin Pakatan Rakyat mengadu ia tidak dilakukan secara adil. Seperti biasa, jentera kerajaan nyang bertopeng hati Umno itu terus mengangkut pengundi Felda, simpanan tetap BN untuk menang.
Mereka mendakwa lebih banyak kemudahan pengangkutan dikerah ke kawasan Felda - yang merupakan penyokong kuat BN. "Mengapa tidak ada bot untuk membawa majoriti pengundi di bandar Labis yang ditenggelami banjir tetapi Felda mendapat semua bot polis dan bomba?" soal Ketua Publisiti DAP, Tony Pua dalam Twitternya.
Menurutnya, kegagalan untuk menyediakan bot dan lori yang cukup, dan diagihkan secara adil di semua daerah pengundian, akan menjejaskan keputusan pilihan raya kecil ini.
Tenang kini bergelora banjir: Keputusan tidak rasmi BN dahului Cikgu Mala
Pilihanraya N05 Tenang telah tamat sebentar tadi. Keadaan hujaan masih turun dan beberapa tempat telah dinaiki air sehingga sedalam 1 meter seperti laluan dari Labis ke kg Paya Merah. Jalan menghala ke Segamat telah ditutup kerana ditenggelami air, lapor Kelab Greenboc.
Bot dan trak lima tan milik tentera dan bomba digunakan untuk membawa pengundi ke SMK Kamarul Ariffin selepas hujan di tempat itu kembali lebat. Terdapat juga kereta-kereta yang "tersangkut" di dalam banjir. Berikut laporan tidak rasmi yang sempat dikutip:
6.38 pm - Kg Redong S2 PAS 67 (96); BN 211 (175)
6.26 pm - Bdr LabisTengah S1 PAS 123 (128); BN 64 (96)
6.26 pm - Bdr LabisTengah S4 PAS 209 (244); BN 90 (161)
KEPUTUSAN RASMI UNDI POS
PAS (3); BN (115); Undi rosak (1)
Jumlah keseluruhan: 119
Terdapat 33 peti undi termasuk peti undi pos dan masih terdapat 32 peti undi belum sampai. Jumlah keluar mengundi 10,585 atau 71.75% dari 14,753 pengundi berdaftar. Keputusan tidak rasmi pertama dijangkakan akan diketahui menjelang jam 6.30 malam untuk saluran-saluran dan pusat pengundian yang mempunyai pengundi kurang dari 1,000 orang.
Kelab Greenboc akan cuba melaporkan keputusan terkini tidak rasmi tersebut dari masa ke semasa berdasarkan maklumat yang diterima dari petugas-petugas di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis untuk kesemua peti-peti undi.
Jumaat, Januari 28, 2011
Calon BN lelong tanah: PAS berbohong atau Umno putar-belit kerana kian tidak tenang lagi?
PAS dituduh berbohong tatkala kes kesalahan calon Umno Mohd Azahar Ibrahim didedahkan dalam PRK N05 Tenang. Justeru kerana calon Umno ini sangat lecek dan terlalu pandai putar-belit serta terus dalam penafian, maka saya kira wajar untuk dipost kedua-dua kenyataan akhbar PAS untuk tatapan sdra-sdra membuat keputusan. Sememangnya terdapat lambakan isu lain namun isu ini amat penting untuk pengundi membuat keputusan pada hari Ahad 30 Januari ini.
Mohd Azahar mendakwa bahawa beliau tidak bersalah kerana hanya menjalankan tugas. Yang bersalah mengikut beliau ialah Mansor Mohamad, pemilik tanah, kerana tidak membayar hutang kepada CIMB lalu dilelong tanahnya oleh beliau yang hanya menjalankan tugas selaku penjawat Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat.
Ya, begitu mudah sekali beliau ingin melepaskan dirinya setelah melakukan satu penganiayaan kepada seorang pemilik tanah dan sekarang ini seorang lagi pemilik tanah yang membeli tanah lelongan tersebut. Kini pembeli mendapati dirinya juga teraniaya akibat kecuaian, ketidakcekapan dan ketidakbertanggungjawaban bekas ADO ini. Pembeli ini pula menamakan calon Umno ini sebagai defenden pertama dalam afidavitnya.
Misteri Pejabat Wanita Nombor 1 Malaysia di aras Pejabat PM Putrajaya: Najib mesti beri penjelasan?
Laman direktori sesawang Pejabat Perdana Menteri yang memuatkan bahagian F.L.O.M. yang misteri serta mendatangkan pelbagai perdebatan telah dikeluarkan. Bahagian berkenaan telah sejak sekian lama menjadi bahan gurauan di blog dan juga forum online yang semuanya bersependapat abjad itu membawa pengertian "First lady of Malaysia" atau “Wanita pertama Malaysia”.
Menurut beberapa blogger senarai dalam direktori itu menunjukkan ia adalah sebahagaian daripada divisyen di Jabatan Perdana Menteri yang ditubuhkan khas bagi memberi perkhidmatan kepada Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Najib Abdul Razak.
Antara lain, beberapa blogger telah memuat-naikkan video perbualan telefon diposting klip video dari telefon kepada seseorang yang bernama Nurul Rosemiemmy Khasimi @ Mohamed, yang disenaraikan oleh F.L.O.M. sebagai penolong pegawai dengan tugas-tugas khas, lapor Malaysiakini.
Dalam satu video, seorang pemanggil gagal untuk bercakap dengan Nurul Rosemiemmy dengan orang di hujung talian itu mengatakan beliau telah keluar mengiringi "Datin Rosmah". Satu lagi video menunjukkan seorang pemanggil mencari seseorang yang dipercayai Nurul Rosemiemmy, dan ditanya apa itu singkatan bagi F.L.O.M. tetapi tiada jawapan yang diberikan.
Kewujudan bahagian F.L.O.M. dikesan beberapa bulan yang lalu oleh beberapa blogger tetapi ia hanya menjadi perhatian ketara berikutan lawatan 15 hari oleh Rosmah ke Muscat, Oman; Riyadh, Arab Saudi dan Dhaka, Bangladesh.
Semasa lawatan itu Rosmah berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri Oman, Sayyid Fahad Mahmood al-Said, Menteri Pendidikan Arab Saudi, Putera Mohamad Faisal Abdullah Al-Saud dan Perdana Menteri, Bangladesh Sheikh Hasina.
Selesai lawatan itu, media arus perdana melaporkan kunjungan Rosmah berjaya meningkatkan hubungan dua hala, dan pelaburan Malaysia. Dalam perkembangan berkaitan, ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata kewujudan bahagian F.L.O.M. adalah bukti bahawa Najib telah berbohong di Dewan Rakyat. Menurut Kok, dalam jawapan perdana menteri kepada ahli parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, Najib berkata Rosmah tidak diperuntukan elaun perjalanan ataupun mempunyai kakitangan sepenuh masa.
Menurutnya, mengikut undang-undang, isteri perdana menteri hanya dibenarkan menuntut perbelanjaan perjalanan sekiranya beliau menemaninya bagi lawatan rasmi. Kok berkata kewujudan F.L.O.M. Yang disenaraikan dalam lamn direktori Jabatan Perdana Menteri membuktikan Najib sebenarnya berbohong.
"Hakikat direktori di laman web itu yang tiba-tiba hilang beberapa hari lalu selepas dikritik oleh orang awam membuatkan kewujudan bahagian ini semakin mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kok berkata dengan pendedahan itu, Najib harus memberi penjelasan dan mengakui bahawa dia telah memesongkan Dewan Rakyat dan rakyat Malaysia. Dan 'Wanita Pertama' Rosmah perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa beliau berdiam diri dan membiarkan Najib untuk berbohong, menjadikan dirinya bersubahat.
Umno-BN kehabisan modal kempen: Calon PAS seru mereka tanya doktor yang beri cuti sakit kepada suamainya itu
Calon PAS bagi PRK Tenang, Normala Sudirman mahu semua pihak merujuk kepada doktor yang mengeluarkan cuti sakit kepada suaminya, sebelum membuat sebarang spekulasi. Menurutnya, jawapan dari doktor berkenaan adalah lebih wajar kerana hanya doktor tersebut sahaja mengetahui kenapa suaminya Maarof Abdul Mutalib wajar diberi cuti.
"Saya rasa lebih baik media bertemu doktor yang mengeluarkan surat, kerana doktor lebih profesional terhadap surat yang dikeluarkan kepada pesakitnya," katanya pada sidang media PAS di Tenang hari ini. Beliau membuat gesaan demikian sebagai menjawab laporan akhbar pro Umno, Utusan Malaysia hari ini yang memaparkan tajuk 'Suami Normala sakit kritikal?'.
Laporan itu mempersoalkan status kesihatan Maarof kerana mengambil cuti sakit sehingga 21 hari sepanjang bulan ini. Selain akhbar, beberapa blog turut mempersoalkan status Maarof kerana bercuti cuti sakit yang panjang. Malah sijil sakit itu juga disiarkan di sebuah blog berkenaan dan laporannya membayangkan Maarof sedang berdepan masalah kesihatan yang serius.
Laporan tersebut juga menjadikan persoalan sekitar status kesihatan suaminya itu menjadi fokus utama soalan wartawan, apatah lagi Maarof tiada bersama Normala pada kempen pagi tadi. Bagaimanapun menurut Normala, suaminya terpaksa menyelesaikan satu tugas lain dan tidak dapat menemaninya pada kempen hari ini. Tambah Normala, gambaran yang diberikan media berhubung status kesihatan suaminya juga adalah tidak tepat.
"Media lebih baik tanya doktor," ulangnya lagi setelah diaju bertubi-tubi wartawan. Setahu saya, suami saya jarang ambil cuti, seorang yang sangat berkomitmen. Sabtu Ahad pun sanggup hantar pelajar main hoki," katanya.
Calon BN suka main Golf, idolanya Tun Mahathir; Idola calon PAS Nabi Muhamad SAW dan gemar main bola jaring
Berikut hasil interbiu mStar yang telah disusun semula untuk perbandingan mudah antara dua calon PRK Dun Tenang. Siapa hebat, relevan dan berpijak di bumi nyata? Ikutilah dengan komen yang telah disiapkan "Anak Johor" dan dipetik dari laman GreenBoc:
mStar: Adakah anda mempunyai blog atau akaun laman web sosial seperti Facebook?
Tok Ai: Saya tidak mempunyai blog, tetapi saya mempunyai akaun Facebook untuk berhubung dengan rakan-rakan saya sejak enam bulan yang lalu.
Cikgu Mala: Saya ada laman blog dan akaun Facebook. Saya akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk mengemaskini medium online ini. Kedua-duanya saya gunakan untuk berkomunikasi dengan masyarakat mengenai pandangan serta masalah mereka.
Ulasan: Tok Ai hanya ada facebook, Cikgu Mala ada kedua-duanya, kemas kini pula setiap hari. Toi Ai hanya berhubung dengan kawan-kawan, tapi Cikgu Mala berkomunikasi dengan masyarakat.
Pemenang: Cikgu Mala
Mstar: Adakah anda meminati apa-apa cabang seni?
Tok Ai: Kalau menari dengan main alat muzik rasanya tak ada. Tapi kalau menyanyi adalah, saya suka karaoke. Saya suka dengan muzik R&B.
Cikgu Mala: Saya tidak pernah belajar bermain apa-apa alat muzik tetapi saya suka dengar muzik nasyid kerana melodi dan liriknya memberi ketenangan kepada saya. Kumpulan nasyid yang saya gemari ialah, In Team dan Hijjaz.
Ulasan: Tok Ai kaki karaoke R&B sedangkan Cikgu Mala minat lagu ketuhanan
Pemenang: Cikgu Mala
mStar: Adakah anda suka menonton wayang?
Tok Ai: Kadang-kadang, saya suka menonton filem aksi terutamanya Die Hard 3, End of Days dan 2012.
Cikgu Mala: Saya bukan kaki tengok wayang dan saya tak ada filem yang betul-betul saya minati. Ini disebabkan tugas saya sebagai seorang ibu dan sibuk dengan aktiviti parti menyebabkan saya tidak mempunyai masa untuk menonton wayang.
Ulasan: Haha Tok Ai kaki wayang sedangkan Cikgu Mala lebih memperuntukkan masa kaki wayang untuk mendidik anak-anak
Pemenang: Cikgu Mala
mStar: Anda suka membaca? Buku apa yang anda gemari?
Tok Ai: Majalah Asia Week, Civil War dan buku berkaitan politik seperti Kronologi Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Obama.
Cikgu Mala: Saya suka baca buku agama dan perjuangan nasionalisme kerana di sini saya mendapat inspirasi untuk amalan kehidupan seharian.
Pemenang: Seri
mStar: Makanan kesukaan anda?
Tok Ai: Ikan baung masak lemak cili api.
Cikgu Mala: Saya suka makan nasi goreng kampung dan ikan siakap masak stim.
Pemenang: Seri
mStar: Apakah yang anda gemar lakukan pada waktu lapang?
Tok Ai: Saya suka melancong dengan keluarga pada masa lapang. Antara tempat yang pernah saya lawati, Sydney, England, Ireland, Russia, Dhaka, Scotland dan Beijing.
Cikgu Mala: Saya suka membaca buku pada waktu lapang dan saya suka pergi sauna selepas melalui aktviti yang meletihkan. Namun disebabkan oleh jadual yang padat, saya hanya dapat tidur tiga jam sehari dan yang mengejutkan ini tidak langsung memenatkan saya kerana saya sentiasa teruja untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Ulasan : Tok Ai kaki melancong dan bangga tempat-tempat luar negara yang dilawati. Banyak tempat dilawati (duit ambik mana ni), tapi sayang Makkah tiada dalam senarai. Cikgu Mala lebih guna masa terluang untuk aktiviti bermanfaat dan khidmat pada masyarakat
Pemenang: Cikgu Mala
mStar: Sukan apa yang anda gemari?
Tok Ai: Saya suka main golf dengan kawan-kawan sekurang-kurangnya seminggu sekali.
Cikgu Mala: Saya suka bermain bola jaring dan aktif di sekolah. Saya juga suka menyaksikan pelajar saya bermain bola jaring ketika saya menjadi guru.
Ulasan: Golf permainan untuk orang malas dan buncit perut, bukan sukan untuk masyarakat. Tok Ai suka bersama kawan-kawan kaya, Cikgu Mala lebih bersama masyarakat
Pemenang: Cikgu Mala
mStar: Bahasa yang anda kuasai?
Tok Ai: Bahasa Melayu dan Inggeris.
Cikgu Mala: Selain Bahasa Malaysia. Saya boleh berbahasa Inggeris dan cakap bahasa Jawa. Selalunya saya lebih banyak bercakap dalam Bahasa Malaysia.
Ulasan: Jelas Cikgu Mala kuasai 3 bahasa
Pemenang : Cikgu Mala
mStar: Adakah anda mempunyai nama samaran atau timbangan?
Tok Ai: Arwah ayah saya dulu Ketua Kampung. Ketika saya darjah lima, kawan-kawan dan orang kampung mula panggil saya, ‘Tok Ai’. Gelaran itu dipanggil kerana gabungan nama ayah sebagai ketua kampung, ‘Tok’ dan ‘Ai’ itu merujuk kepada saya sebagai anaknya. Sampai sekarang gelaran itu lekat pada saya.
Cikgu Mala: Teman rapat dan ahli keluarga memanggil saya Nor tetapi sejak saya menjadi cikgu mereka panggil saya Cikgu Mala dan gelaran itu kekal hingga hari ini.
Ulasan: Tok 'dot dot' adalah gelaran kuno untuk golongan atasan, sedangkan cikgu adalah gelaran mulia orang berilmu.
Pemenang: Seri
mStar: Binatang peliharaan yang anda sukai?
Tok Ai: Saya tak suka bela haiwan, tapi sejak anak saya suka bela sepasang kura-kura, ‘Lulu dan Lala’ saya jadi suka kepadanya.
Cikgu Mala: Saya suka haiwan dan saya ada bela kucing namanya ‘Mickey’.
Ulasan: Kucing adalah haiwan yang Rasulullah SAW minta kita sayangi. Juga mencontohi sifat sahabat nabi, Abu Hurayrah. Kura-kura? Heheh, haiwan yang suka mencari kelemahan orang untuk tonjolkan kepadanya!
Pemenang: Cikgu Mala
mStar: Siapakah idola anda?
Tok Ai: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya meminati gaya kepimpinan dan kebolehan beliau mentadbir negara selama lebih 21 tahun.
Cikgu Mala: Idola saya, Nabi Muhammad SAW. Baginda sumber insipirasi kepada saya dan kegigihan, ketabahan serta kepayahan yang dihadapinya merupakan contoh kepada orang Islam.
Ulasan: Allahu Akhbar! Jawapan ini menghurai segala-galanya untuk insan bernama manusia
Pemenang: Cikgu Mala (2 kali menang untuk soalan ni)
mStar: Pelakon yang anda sukai?
Tok Ai: Kalau artis saya minat pelakon aksi, Steven Seagal.
Cikgu Mala: Saya suka P. Ramlee. Dia seorang legenda dan salah seorang artis tempatan yang paling berbakat kita pernah miliki.
Ulasan: Jelas siapa yang mengagungkan mat saleh kera di hutan dan siapa yang bangga dengan produk tempatan.
Pemenang: Cikgu Mala
mStar: Perkara yang anda sukai tentang Malaysia?
Tok Ai: Saya suka tempat-tempat pelancongan menarik yang ada di Malaysia terutamanya taman negara, air terjun, pulau-pulau cantik seperti Pulau Langkawi.
Cikgu Mala: Kepelbagaian budaya, agama serta adat resam yang kita miliki. Kepelbagaian budaya dan masyarakat menjadikan Malaysia sebuah negara yang istimewa dan unik untuk dikunjungi.
Ulasan: Jawapan Cikgu Mala sekali lagi menonjolkan ciri-ciri pemimpin kepada mayarakat.
Khamis, Januari 27, 2011
Adun BN "gabra" kemukakan hujah: Satim Diman berjaya tunjuk lagak sarkas dalam dewan
Di awal perbahasan, Satim terus mempersoalkan tindakan Speaker, Dato' Teng Chang Kim yang memanggil sidang Dun tanpa notis 14 hari, bagaimana pun Teng terus membidas beliau supaya mengingatkan peraturan tetap dewan sebelum membangkitkan sebarang perkara.
"Sebab itu, peraturan mesyuarat kena hafal atau baca khususnya kepada ketua pembangkang," bidas Teng yang diikuti ketawa besar Adun Pakatan Rakyat. Satim turut membangkitkan isu Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching masuk surau dan bersenam tanpa menutup aurat telah menimbulkan kekecohan di dalam dewan.
Ekoran itu, Ng Swee Lim (DAP-Sekinchan) bangun mempersoalkan apa perbezaan bukan Islam tidak tutup aurat dengan orang Islam tidak tutup aurat yang ditujukan kepada isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. "Minta laluan, apa beza orang Islam tidak tutup aurat dengan orang bukan Islam tidak tutup aurat. Macam Rosmah pun tidak tutup aurat?" bidas Ng Swee Lim.
Satim terus berdolak-dalik dan mengecam tindakan wakil rakyat Serdang, dan seolah-olah mempertahankan tindakan Rosmah. Diikuti pula asakan dari Azmin Ali (KeADILan-Bukit Antarabangsa) yang menegaskan menutup aurat adalah hukumnya wajib dan tidak boleh dipertikaikan lagi.
Ekoran hujah yang dangkal, Satim seolah-olah mahu mengelak dan tidak membalas penegasan Azmin dan beralih kepada isu yang lain. Selesai berbahas, Satim kelihatan keluar dewan dan kembali semula selepas waktu rehat jam 2.30 petang.
Dalam pada itu, Subahan Kamal (BN-Taman Templer) yang tiba-tiba membantah dan menuduh Azmin berniat jahat apabila menyebut 'Mamak Bendahara'. Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) menyokong Subahan, dan mendakwa Azmin menggunakan perkataan itu dengan cuba merujuk kepada Subahan dan meminta ia ditarik balik. Bagaimanapun, mereka terdiam setelah dijawab Azmin.Terdahulu, Azmin dalam ucapannya berkata, Umno sudah lama menikmati kekebalan di bawah pentadbiran 'Mamak Bendahara' dan pihak eksekutif. Bagaimanapun, Azmin pantas membidas kefahaman 'cetek' pembangkang negeri berhubung penggunaan prosa Melayu klasik di mana gelaran 'Mamak Bendahara' dirujuk kepada pembantu utama sultan.
Dr Shafie Abu Bakar (PAS-Bangi) yang dikenali Speaker sebagai pakar bahasa, bangun menjelaskan penggunaan 'Mamak Bendahara' adalah satu pengiktirafan pada zaman Kesultanan Melaka. "Ia satu perkara baik, buat apa nak tarik balik. Bukit Antarabangsa tidak perlu tarik balik, ia bukan penghinaan tetapi adalah satu pengiktirafan," kata Speaker Teng.
Sidang Dun 24 Januari: Temberang, gelembong, hipokrit Umno sokong Istana terdedah!
Kegagalan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 khususnya kepada Perkara 52(1) membuktikan Umno sebenarnya tidak menghormati Istana dan parti itu terus menghalang Raja-raja Melayu daripada memainkan peranan yang sepatutnya dalam institusi Raja Berperlembagaan. Menteri Besar, Tan Sri Khalid berkata, tuduhan Umno Pakatan Rakyat membelakangi Sultan dalam pindaan perlembagaan 24 Januari lalu, tidak masuk akal dan tidak munasabah sama sekali.
"Memandangkan kedaulatan Raja-raja turut diperkatakan dan tohmahan derhaka begitu kerap dilemparkan terhadap Pakatan Rakyat, maka menjadi tanggungjawab saya untuk menyatakan dulu perkara yang sebenar. Bagi maksud tersebut izinkan saya mengimbas kembali secara ringkas konflik antara Umno dengan Raja-raja Melayu sejak awal 1980-an lagi," dedahnya.
Secara ringkas, tegas beliau, "Krisis Perlembagaan 1983" berlaku akibat tindakan pemimpin negara ketika itu, melakukan beberapa tindakan di luar adab dan peruntukan Perlembagaan itu sendiri, dalam perkataan lain, mereka begitu tega membelakangi Raja-Raja.
Katanya, Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan berbunyi, "tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja boleh diluluskan dengan ketiadaan persetujuan Majlis Raja-raja.
Bagaimanapun, para pemimpin utama (Umno) ketika itu melakukan beberapa tindakan secara rahsia dengan membawa pindaan itu ke Kabinet dan kemudiannya ke Parlimen tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-raja, bongkar Khalid. Sikap hipokrit pihak Umno kini jelas dilihat dalam rekod mereka yang secara konsisten menafikan kuasa Raja-raja Melayu, terutamanya pada 1983, 1993 dan kini, 2011.
Adun Ijok itu juga menjelaskan, sidang Dun 24 Januari lalu, membuktikan pemimpin Umno sebenarnya tidak layak untuk menyentuh soal kedaulatan Raja-raja kerana belang mereka telah terbongkar. Beliau berkata, walaupun Pakatan Rakyat tidak berjaya untuk membuat pindaan, majoriti ahli Dun telah menyokong. Usul itu mendapat sokongan 34 anggota dari Pakatan Rakyat manakala 20 wakil rakyat BN mengambil pendirian tidak menyokong.
"Walaupun pihak Persekutuan nampaknya terus mengenepikan suara rakyat Selangor dan enggan menghormati semangat federalisme atau bertemu setengah jalan, kerajaan negeri akan berusaha memastikan pentadbiran negeri akan terus dijalankan dengan baik dan selancar mungkin demi kebajikan rakyat Selangor," katanya lagi.
Lima wakil rakyat penyokong kerajaan membahaskan rang undang-undang itu iaitu Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali; Adun Hulu Kelang, Saari Sungib; Adun Sri Muda Shuhaimi Shafiei; Adun Sekinchan Ng Suee Lim dan Adun Kota Alam Shah, M Manoharan. Pihak pembangkang pula, diwakili Adun Sri Serdang, Dato' Satim Diman; Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak; Adun Sungai Burong; Dato' Shamsudin Lias dan Adun Kuang, Abdul Shukor Idrus.
Umno lawan usaha kembalikan kuasa Sultan tercatat di dalam 'handsard'
Walaupun sudah dijangka Dun Selangor gagal meluluskan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri, bagaimana pun sidang tergempar itu berjaya melakar sejarah bahawa Umno-BN menolak usaha kerajaan Pakatan Rakyat mengembalikan kuasa Sultan.
"Kepincangan yang berlaku pada hari ini di mana saudara-saudara yang menolak usul ini akan dikenang dalam sejarah negara. Semua yang berlaku pada hari ini tercatat di dalam 'handsard'. Keterlaluankah kami apabila kami mahu kembalikan hak Sultan dan negeri. Adakah derhakanya kami jika kami mahu kembalikan kedaulatan negeri. Derhakakah mereka (barisan pembangkang) jika menolak pindaan ini?" tanya Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mengakhiri ucapannya diikuti tepukan daripada Adun-adun Pakatan Rakyat.
Beliau berkata, undang-undang yang ada dalam enakmen negeri Selangor amat jelas menunjukkan kuasa Raja-raja Melayu ditarik balik pada tahun 1993. "Perkara inilah yang cuba diusahakan oleh kerajaan negeri Selangor untuk mengembalikan semula kuasa Sultan yang sudah lama dikuburkan oleh Umno-BN, yang sekali-kalinya tidak akan mengubahnya," tegasnya.
Berucap dalam sesi penggulungan Sidang Dun tergempar 24 Januari baru-baru ini, Khalid berkata, walaupun barisan pembangkang (BN) menolak usul itu beliau akan berusaha untuk mengembalikan kuasa Sultan melalui kehakiman. Khalid menegaskan, mereka masih berpendapat Sultan Selangor dan Menteri Besar berhak untuk memainkan peranan dalam pemilihan tiga Ex-Officio demi memastikan dasar-dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Di awal sesi perbahasan oleh Ketua Pembangkang, Dato' Satim Diman mengambil pendirian tegas tidak menyokong usul tersebut yang dibawa oleh Abdul Khalid. Antara alasan yang dikemukakan, BN terdahulu tidak pernah mengenepi dan membelakangkan DYMM Sultan Selangor sejak pindaan dibuat tahun 1993. Pada sidang tersebut, dewan memerlukan dua pertiga, iaitu 38 sokongan dari 56 Adun sedangkan Pakatan Rakyat hanya mempunyai 35 kerusi sahaja dan BN, 21 kerusi.
Khalid Ibrahim bidas dan dedahkan tembelang Tun Mahathir sebagai penentang Raja-raja Melayu
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika berucap membentangkan usul bertanya, "adakah Umno meminta perkenan Sultan sebelum meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor pada Mac 1993? Bukankah ia dilakukan secara senyap-senyap?"
Beliau berkata, sangat lucu dan tidak masuk akal apabila mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mendakwa perkenan Sultan adalah perlu untuk kelulusan Rang Undang-undang sedangkan beliau sendiri yang meminda peruntukan berkenaan dan memadam kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja. Khalid juga memetik kenyataan Dr Mahathir ketika pembentangan usul pindaan pada 18 Januari 1993 yang selepas itu, menurutnya telah memungkiri janji.
"Tun Mahathir ketika itu menyatakan, kelulusan (pindaan Perlembagaan 1993) secara ini terhad kepada perkara- perkara yang tidak menyentuh hak-hak dan keistimewaan Raja-raja. Untuk meminda peruntukan Perlembagaan yang menyentuh Raja-raja, Majlis Raja-raja perlu memberi persetujuan.
Kata beliau lagi, dedah Khalid, "di peringkat negeri, tidak ada pindaan dibuat kepada Perlembagaan negeri. Dengan itu tidak ada undang-undang yang boleh diluluskan tanpa ditandatangani oleh Raja". "Ini bermakna kuasa Raja-raja di negeri-negeri mengatasi kuasa Dewan Undangan Negeri yang mewakili rakyat’," kata Khalid.
Beliau mendakwa, pada 1994 Dr Mahathir memungkiri janji dan formula menyelesaikan "Krisis 1983" dipinda di luar pengetahuan Raja-raja. Menurut pindaan itu, katanya, kuasa memulangkan rang undang-undang oleh Yang di-Pertuan Agong dimansuhkan dan peruntukan yang mencetuskan "Krisis 1983" itu dimasukkan kembali.
"Dengan yang demikian, peruntukan yang ada sekarang, iaitu Perkara 66(4) dan (4A) adalah sebuah rang Undang-undang yang menjadi Undang-undang secara automatik selepas 30 hari meskipun baginda tidak memberi perkenan," katanya. Kedudukan Raja-Raja di negeri-negeri juga sama sebagaimana yang tertera pada Seksyen 11(2A) dan (2C), Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.
Tegas Khalid, pindaan ini menimbulkan banyak persoalan politik dan Undang-undang, ia termasuklah pelanggaran syarat yang dikenakan oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan iaitu ia dengan jelas menyatakan bahawa "tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-raja".
Perkara 38(4) itulah yang menjadi batu penghalang kepada hasrat Dr Mahathir pada 1983 dan 1993, ujarnya lagi. Khalid berkata, mungkin kerana itulah beliau tidak peduli dan tidak membawa pindaan 1994 itu kepada Raja-raja Melayu. Meskipun pindaan 1994 belum dibawa ke mahkamah, namun ada kalangan sarjana undang-undang yang berpendapat pindaan yang dibuat pada 1994 itu tidak sah kerana melanggar Perlembagaan, khususnya Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Besar Selangor itu bangga kerana, sidang Dun Selangor telah mencipta sejarah apabila semua wakil rakyat Pakatan Rakyat bersatu menyokong cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan tiga pegawai Ex-Officio yang telah dimansuhkan selepas pindaan Perlembagaan 1993.
Pakatan Rakyat nak kembalikan sistem Raja Berperlembagaan, tapi Umno kata tidak!
Kerajaan Negeri Selangor melakar sejarah apabila membuat pembentangan pindaan terhadap Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 khususnya kepada Perkara 52(1) berkaitan dengan pelantikan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.
Ketika membahaskan Rang Undang-undang ini, 24 Januari lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali menjelaskan pemerintahan di negara ini berpaksikan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berpelembagaan.
Katanya, pindaan dibuat bertujuan untuk mengembalikan kuasa kepada Menteri Besar berkenaan pelantikan di dalam "Perkara 52 di dalam bab 3" untuk menjamin wujudnya timbang tara dan kemurniaan peranan di antara institusi raja dan ketua kerajaan negeri yang dipilih rakyat.
Selain itu jelas Azmin lagi, pindaan bertujuan untuk menyuntik kekuatan baru kepada sistem Persekutuan disamping menjamin keberkesanan perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri yang dipilih oleh rakyat. Beliau berpendapat, usaha Pakatan Rakyat untuk mengembalikan prosiding pelantikan sepertimana di bawah perlembagaan negeri yang sebelum ini telah dimansuhkan pada 1993 oleh Umno, cukup murni.
Baginya, usaha ini amat sukar kerana pelbagai pihak yang menjadi alat dan perkakas Umno cuba memberikan penafsiran undang-undang mengikut selera dan nafsu serakah pemimpin Umno di Putrajaya. "Lihat sahaja kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Dato' Noh Omar berhubung dengan usaha Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kembali ke sidang dewan bagi memperbetulkan kerosakan sistem ketika di tangan Umno.
"Antara lain Noh mendakwa Pakatan sanggup melakukan apa sahaja yang bercanggah dengan undang-undang. Persoalanya apakah Umno faham dan menghormati undang-undang?" soalnya. Azmin mendakwa Noh membuat tuduhan jahat dengan menyatakan pindaan itu bertujuan memberi kuasa kepada Menteri Besar dan bukan kepada Tuanku Sultan.
Risiko bayar gantirugi 1.5 juta isu lelong tanah: Teruknya calon BN masa jadi ADO
Kerajaan negeri Johor terdedah dengan risiko tinggi terpaksa membayar gantirugi sebanyak RM1.5 juta akibat penyalahgunaan kuasa oleh calon BN, Azahar Ibrahim ketika menjadi Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat kerana melelong tanah tanpa pengetahuan tuan tanah.
Ekoran penyalahgunaan kuasa itu, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub menyarankan beliau menarik diri dalam Pilihan Raya Kecil Dun Tenang kerana mempunyai rekod buruk menyalahgunakan kuasa ketika menjadi Penolong Pendaftar Tanah Daerah Segamat. Katanya, Azahar dikenali sebagai 'Tok Ai' telah melelong tanah Mansor Mohamad secara tidak sah pada 1 Disember 2003 dengan harga RM RM 70,000 dengan ukuran tanah seluas lapan ekar.
Beliau berkata, bagaimana Azahar menyatakan isu tersebut telah selesai sedangkan disebabkan kecuaian, kelalaian dan penyalahgunaan kuasa mengendalikan hartanah Mansor, pembeli tanah tersebut telah mengambil tindakan undang-undang.
Menurut beliau, pembeli tanah yang dilelong, Norhana Mohd Ali telah menyaman Azahar; Pentadbir Tanah Daerah Segamat, Pejabat Tanah Daerah Segamat dan kerajaan Johor sebagai defendan bagi menuntut gantirugi berjumlah lebih kurang 1.5 juta.
Beliau berkata, calon BN itu telah dijadikan defendan pertama dan kes tersebut telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi Muar iaitu Guaman Sivil No : 23-14-2009. Katanya, Mahkamah Tinggi Muar telah menetapkan tarikh pendengaran kes tuntutan Norhana terhadap Azahar dan tiga yang lain pada 7 Februari 2011.
Dalam kes tuntutan Norhana tambah beliau Azahar diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dan itu jelas menunjukkan sekali lagi beliau tidak bersikap telus bukan sahaja kepada rakyat Dun Tenang tetapi kepada Umno-BN. Fakta itu juga tambah beliau menunjukkan bukan sahaja kes kecuaian, kelalaian dan penyalahgunaan kuasa Azahar sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat belum selesai, malah kes penyalahgunaan kuasa itu masih berterusan di Mahkamah.
Beliau mempersoalkan mengapa Azahar masih enggan bersikap telus serta berterus terang kepada para pengundi Dun Tenang dan mengakui isu kecuaian dan kelalaian melelong hartanah rakyat masih belum selesai di Mahkamah. Katanya, bagaimana calon yang terpalit dengan isu penyalahgunaan kuasa sebagai penjawat awam dan kini berdepan dengan isu tuntutan RM 1.5 juta daripada Norhana masih mempunyai kredibiliti untuk mewakili rakyat Dun Tenang .
Beliau menegaskan, penyalahgunaan kuasa itu menyebabkan kerajaan negeri Johor terdedah dengan risiko tinggi iaitu kemungkinan akan diperintahkan oleh Mahkamah untuk membayar gantirigi berjumlah RM 1.5 juta. "Jika ini yang berlaku bukankah wang rakyat negeri Johor terpaksa digunakan sekali lagi untuk membayar gantirugi 1.5 juta tersebut," tegasnya.
Calon BN lelong tanah: Muka selamba macam tak buat salah, punah kalau jadi wakil rakyat!
Umno-BN terbukti tidak mementingkan isu integriti kerana menampilkan calon PRK Dun Tenang seorang yang cuai dalam menjalankan tugas dan pernah disaman kerana melelong tanah tanpa pengetahuan tuan tanah. Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub mendedahkan calon BN, Mohd Azahar Ibrahim didapati cuai dan lalai ketika memegang jawatan Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat sehingga disaman pada tahun 2004 oleh tuan tanah, Mansor Mohamad.
Katanya, Azahar yang dikenali dengan panggilan 'Tok Ai' telah disaman di Mahkamah Tinggi Muar melalu Saman Pemula No: 24 (L) - 674-2004 berkaitan kes siasatan hartanah HS (M) 535, Lot 2091, Mukim Jabi, Daerah Segamat.
Menurut beliau, disebabkan kecuaian dan kelalaian Azahar yang ketika itu sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat telah mengakibatkan satu Perintah Jualan ke atas hartanah Mansor Mohamad pada 18 September 2009.
"Kenana kecuaian Tok Ai tanah tersebut secara tidak sah telah dilelong pada 1 Disember 2003 dengan harga RM70,000," ujarnya. Beliau kesal dengan kecuaian 'Tok Ai' yang menyebabkan tuan tanah, Mansor menjadi mangsa kezaliman kerana hartanahnya dilelong kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan beliau.
Justeru kata beliau, disebabkan kecuaian dan kelalaian itu telah mengakibatkan nama baik dan intergriti Pejabat Pentadbir Tanah Segamat terjejas teruk sekaligus menghakis keyakinan rakyat pada ketelusan Pejabat Tanah Daerah Segamat.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Muar, Yang Arif Hakim Dato' Asmadi Asnawi telah membenarkan tuntutan Mansor ke atas Pentadbir Tanah Daerah Segamat pada 29 Januari 2008 dengan kos akibat kecuaian Tok Ai mengendalikan isu tersebut. Salahudin yang juga Pengarah Pilihan Raya Dun Tenang mempersoalkan mengapa calon yang telah dibuktikan oleh Mahkamah cuai dan lalai dalam melaksanakan tugas awam masih dicalonkan untuk PRK Dun Tenang.
"Tidakkah tindakan Umno ini membuktikan Umno tidak menghiraukan isu integriti dan kompetensi seorang calon bagi mewakili rakyat atau pengundi Dun Tenang," tegasnya.
Beliau yakin dengan pendedahan itu membuktikan bahawa Umno memang sengaja menyembunyikan fakta-fakta tersebut kerana bimbang pengundi Dun Tenang akan menolak calon Umno-BN. Merujuk rekod buruk 'Tok Ai', Azahar Ibrahim, PAS yakin dan percaya rakyat Dun Tenang tidak akan tertipu dengan janji-janji manis beliau untuk menyelesikan maalah tanah di Labis.
Ini kerana katanya, fakta dan keterangan tersebut jelas menunjukkan tanah rakyat dengan mudah telah dilelong dengan secara tidak sah. "Kami menyeru pengundi Dun Tenang jangan gadaikan maruah dan masa depan anak bangsa dengan memilih calon Umno yang terbukti didapati bersalah oleh Mahkamah kerana menganiayai rakyat," tegasnya. Salahudin menegaskan pendedahan itu bukan merupakan serangan peribadi calon tetapi ia menyentuh isu integriti dan kelayakan Azahar (Tok Ai) untuk menjadi calon di Dun Tenang.
Main isu perkauman, BN masih cetek politik: Tahniah dan kekalkan supaya Pakatan mudajh ratah
DAP berharap pimpinan BN tidak memainkan isu perkauman dan agama serta membuat serangan peribadi terhadap calon PAS kerana ia menandakan tahap politik yang tidak sihat. Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, pimpinan BN terutama Presiden MCA, Chua Soi Lek perlu melihat latar belakang calon PAS, Cikgu Normala Sudirman berdasarkan kemampuan bukan kerana beliau tidak mahu bersalam dengan lelaki.
Katanya, mengapa Cikgu Normala tidak bersalam dijadikan isu besar sedangkan yang penting beliau layak menjadi wakil rakyat untuk membela rakyat.
"Jangan buat tuduhan dan serangan peribadi, kita minta rakyat Labis buat keputusan dengan baik berdasarkan prinsip perjuangan Pakatan Rakyat iaitu mesra rakyat, memartabatkan rakyat dan itulah pilihan yang tepat," katanya dalam sidang media selepas menemui peniaga di Pekan Labis.
Katanya, pimpinan Pakatan Rakyat tidak mahu rakyat dipecahbelahkan dengan isu perkauman, agama sebaliknya pimpinan perlu membawa rakyat bersatu padu. Selain itu beliau menyelar tindakan pimpinan BN yang memfitnah jika rakyat memilih kerajaan Pakatan Rakyat mana negara akan bangkrap.
Beliau berkata, tuduhan itu tidak benar sama sekali kerana empat negeri yang diperintah kerajaan Pakatan Rakyat iaitu DAP, KeADILan dan PAS tidak bangkrap sebaliknya ditadbir dengan lebih baik berbanding negeri yang diperintah BN. Katanya, contoh pentadbiran di Malaysia yang berada di tangga pertama adalah Pulau Pinang diikuti Selangor dan 53 peratus ekonomi datang daripada empat negeri Pakatan Rakyat.
Langgan:
Ulasan (Atom)




































