KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Februari 21, 2011

Buktikan negara lain beli alat pertahanan lebih murah dari Malaysia - Brg. Jen. (B) Abdul Ghani Mahludin



Apakah benar kos peralatan pertahanan negara melambung tinggi sehingga mencecah  RM 6 bilion untuk enam kapal peronda pesisir pantai OPVs? Wartawan Harakah, NYZA AYOB cuba mengcungkil isu ini dari kaca mata Brig. Jen (B) Abdul Ghani Mahludin yang berpengalaman luas dalam bidang ketenteraan selama 31 tahun. Pada awal 1980-an beliau memegang jawatan Pengarah Perancang Pertahanan di Bahagian Staf Perkhidmatan Bersama, Kementerian Pertahanan sebelum bersara pada 1984 - Bahagian Akhir.

BRIG. JEN (B) ABDUL GHANI: Mungkinkah terdapat salah guna kuasa dalam isu pembelian peralatan pertahanan?

Daripada segi harga yang disebut sebagaimana yang didedahkan dalam Harakah iaitu enam kapal peronda pesisir pantai OPVs yang didakwa 870 peratus lebih mahal daripada bayaran yang dibuat negara lain untuk kapal yang sama, kemungkinan memang ada. Jika tidak, kenapa sampai 870 peratus lebih mahal. Ia memang terlampau tinggi dan hampir 1000 peratus. Pada pendapat saya memang terdapat manipulasi daripada orang tengah. Itu saya berani cakap kerana berdasarkan pengalaman saya sendiri. Ia memang lebih mahal daripada negara lain yang membelinya. 

Kerajaan mengatakan pembelian kereta perisai tersebut tinggi kerana pemindahan teknologi...

Pemindahan teknologi itu merupakan satu keperluan kita. Begitu juga dengan negara lain. Seperti New Zealand, negara tersebut tidak mempunyai teknologi untuk membuat kapal. Negara itu juga perlukan teknologi. Tetapi kenapa negara tersebut dapat beli peralatan dengan harga lebih murah. Pendek kata pemindahan teknologi itu standard. Jadi kita memang kena latih orang kita untuk perbaiki segala kerosakan. Adakah kapal peronda yang dibeli ini yang baru atau yang lama? Kenapa perlu harga tinggi sangat? Kegunaan peralatan ini, hanya pihak tentera atau gerak gempur saja yang tahu. Orang awam biasanya memang tidak tahu. Itu alasan yang biasa mereka bagi. Pada saya alasan tersebut, alasan sedia ada. Bila alasan teknikal, orang bukan teknikal memang tidak boleh jawab.

Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam pertahanan negara, apakah harapan tuan agar isu seperti ini dapat diselesaikan?

Kita memang akui peralatan pertahanan memang mahal. Dan apabila kita membelinya, kita bukan menggunakannya seperti menggunakan kereta untuk tempoh kegunaan sepuluh tahun. Ia untuk kegunaan 20 tahun dan jika kita boleh perbaiki sendiri kegunaannya sehingga 30 tahun sehingga tidak boleh diperbaiki lagi. Itu bermaksud kita membeli sebahagian daripada teknologi tersebut. Apabila kita gunakan untuk berperang, mesti kita guna dengan 'lasak' dan bukan boleh digunakan secara 'jimat cermat'.  Orang tembak kita, kita tembak orang balik. Jadi, kenapa  kita membeli dengan harga lebih mahal? Memang terbukti negara lain beli lebih murah daripada Malaysia? 

Adakah kita kena tipu? 

Jika kita kena tipu, orang yang bertanggung jawab membeli barangan di Kementerian Pertahanan kena buat semakan semula. Memang jelas kita negara yang beli dengan harga termahal. Kecualilah Kementerian Pertahanan boleh tunjukkan negara mana yang beli peralatan pertahanan ini lebih mahal daripada negara kita. 
Jika memang betul ada negara yang beli lebih mahal dari Malaysia, itu bermaksud Malaysia membeli senjata paling murah. Sepatutnya kita tidak boleh kena tipu. Dan saya berharap sangat kerajaan mesti memberi butiran secara jelas dan tidak memadai dengan alasan pemindahan teknologi. Itu tidak memadai. Sebagai seorang bekas  tentera saya memang menyokong pendedahan yang dibuat Harakah baru-baru ini - tamat

Tiada ulasan: