KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Februari 15, 2011

MEF tetap tolak gaji minimum, dakwa tidak praktikal: Kerajaan BN tunduk atau teruskan?



Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) masih kekal dengan pendiriannya menolak gaji minimum dan berharap kerajaan tidak akan mengambil langkah terburu-buru dalam melaksanakan dasar itu. Kerajaan dijangka mengumumkan dasar gaji minimum muktamad pertengahan tahun ini.

Meskipun persekutuan itu turut sertai sesi makmal anjuran Kementerian Sumber Manusia bagi mendapatkan input terbaru, yang berakhir semalam, pihaknya telah menekankan semula pendirian tidak menyokong dasar gaji minimum sama sekali.

“Pendirian kami tetap sama, tidak berubah. Kami masih berharap kerajaan tidak akan melaksanakan dasar gaji minimum,” kata Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan kepada The Malaysian Insider hari ini.

Sebaliknya menurut Shamsuddin yang sendiri menghadiri sesi itu, MEF tidak menolak inisiatif kerajaan yang mahu menaikkan pendapatan rakyat negara ini sebagaimana digariskan oleh perdana menteri, tetapi “gaji minimum bukan caranya.”

“Kami merasakan bahawa kerajaan boleh menaikkan pendapatan pekerja dengan meningkatkan produktiviti mereka dan kemahiran seseorang pekerja. Gaji dinaikkan mengikut peningkatan kemahiran pekerja, tetapi bukan dengan menetapkan satu gaji minimum,” kata beliau.

Semalam, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata, pekerja asing akan menikmati kadar gaji minimum seperti pekerja tempatan sekiranya dasar gaji minimum untuk pekerja sektor swasta di negara ini dilaksanakan kelak. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahukan gaji minimum nasional RM900 sebulan manakala Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) perlu setuju dengan kadar RM700 sebulan.

Pada 28 Disember lalu, Subramaniam berkata Kabinet telah memberi kelulusan kepada Kementerian Sumber Manusia melaksanakan polisi gaji minimum menerusi Majlis Konsultasi Gaji Negara. Sehubungan itu, beliau berkata kementerian akan menggubal akta baru untuk membolehkan majlis tersebut ditubuhkan bagi penetapan kadar dan mekanisme gaji minimum.

Dalam kenyataannya semalam, Subramaniam juga berkata setakat ini kerajaan menetapkan bahawa pembayaran gaji adalah berdasarkan kuasa pasaran sehinggalah keputusan muktamad mengenai pelaksanaan gaji minimum itu diputuskan kerajaan.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penutupan Makmal Gaji Minimum, Subramaniam menambah sebarang permintaan untuk melaksanakan pemberian gaji minimum kepada pekerja asing pada masa ini tidak boleh dipenuhi kerana Malaysia tidak mempunyai struktur gaji minimum untuk pekerja tempatan.

Menteri itu berkata pihaknya akan mengambil kira kesemua idea yang diberikan sepanjang seminggu makmal itu diadakan, antaranya wakil pekerja yang berpendapat penetapan kadar gaji minimum sangat ditunggu-tunggu mereka sejak sekian lama.

Wakil majikan pula memberitahu penetapan kadar gaji minimum itu tidak boleh dilaksanakan sekiranya tidak diselaraskan dengan produktiviti pekerja. Makmal berkenaan memperincikan peranan dan skop Majlis Konsultasi Gaji Kebangsaan selaras dengan aspirasi kerajaan meningkatkan gaji minimum pekerja mengikut arus perkembangan negara.

Sebelum ini, Subramaniam berkata kementerian akan membentangkan Rang Undang-undang Majlis Konsultasi Gaji Kebangsaan pada sesi Parlimen akan datang untuk menyelaraskan dan menetapkan gaji minimum pekerja sektor swasta di negara ini.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider September lalu, Shamsuddin juga menegaskan bahawa MEF tetap dengan pendirian tidak akan menerima dasar gaji minimum sama sekali, yang buat pertama kali kelihatan menerima “lampu hijau” daripada kerajaan dalam usaha menaikkan pendapatan pekerja sektor swasta.

Sehubungan itu, MEF juga meminta kerajaan tidak campur tangan dalam menentukan paras gaji sektor swasta negara ini. Mengulas lanjut pendirian MEF, Shamsuddin berkata pihaknya berpendapat bahawa gaji minimum boleh membawa kesan negatif, antara kadar pengangguran yang tinggi.

“Di negara-negara yang mengamalkan dasar gaji minimum, kadar pengangguran masih tinggi. Di Australia dan New Zealand misalnya. Malah di negara-negara jiran Indonesia dan Filipina. Indonesia dan Filipina ada gaji minimum, tetapi mereka juga mempunyai kadar pengangguran yang tinggi. Adanya gaji pokok mereka di sini Malaysia lebih tinggi daripada gaji minimum di negara mereka,” katanya.

Oleh itu kata beliau, jika ada pekerja yang gaji mereka sangat rendah, yang disaksikan di beberapa negeri, kerajaan boleh berunding agar ia dinaikkan ke tahap nasional.

“Tetapi untuk melaksanakan gaji minimum nasional, MEF merasakan tidak wajar dan tidak praktikal,” katanya sambil menambah, kerajaan juga tidak harus terburu-buru dalam memansuhkan sistem subsidi. Kami juga berharap kerajaan juga jangan terburu-buru menghapuskan subdisi, subsidi perlu diteruskan sehingga kita betul-betul bersedia... ini cara kerajaan membantu pekerja (mengadakan pendapatan sebenar),” katanya lagi.

Sejak akhir tahun lalu, kerajaan memperkenalkan sistem pelarasan subsidi dengan menarik balik subsidi bagi petrol RON97 manakala bagi petrol RON95 pula ia dikurangkan secara berperingkat-peringkat, yang membawa kepada kenaikan harga dari semasa ke semasa.

Tiada ulasan: