KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Februari 17, 2011

Kalau ada ruang demokrasi di Malaysia, tak perlu buat seperti Mesir - Mohamad Sabu




Pimpinan Pakatan Rakyat dan beberapa Badan Bukan Kerajaan atau NGO hari ini menghadiri Solidariti Bersama Kebangkitan Rakyat Mesir menyerahkan nota ucapan tahniah kepada pihak kedutaan Mesir di Malaysia ekoran tumbangnya pemerintahan kuku besi Hosni Mubarak selama 30 tahun.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu berkata Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak tidak perlu mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak menggunakan demonstrasi jalanan sebaliknya memastikan demokrasi di negara ini tidak tercemar.

"Saya harap apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia menjadi pengajaran kepada semua negara diktator. Perdana Menteri memberi amaran jangan buat seperti di Mesir, sebenarnya amaran itu tak perlu buat kerana kalau ada demokrasi tak berlaku seperti di Mesir. Beri  kebebasan kepada rakyat berhimpun, berceramah, berorganisasi dan polis pengawal keamanan bukan penjaga rejim seperti yang berlaku di Mesir," tegasnya.

Tambah Mohamad Sabu, pemerintah diktator tidak akan kekal lama sebaliknya akan digulingkan jika rakyat benar-benar bangkit.

"Selepas 30 tahun sudah tumbang dan semalam dilaporkan polis pula buat tunjuk perasaan minta kenaikan gaji. Ini jadi pengajaran sebab tak ada negara lagi melainkan India yang tukar rejim melalui pilihanraya. Thailand, Indonesia, Filipina, Iran, Tunisia dan sekarang Mesir pula menggunakan  perarakan rakyat untuk menjatuhakn kerajaan," katanya.

Mohamad Sabu menegaskan perkara ini sewaktu menyertai Solidariti Bersama Kebangkitan Rakyat Mesir menyerahkan nota ucapan tahniah kepada rakyat Mesir kepada pihak kedutaan negara itu. Solidariti itu menuntut Majlis Tertinggi Tentera Mesir agar terus memberikan ruang demokrasi kepada rakyatnya.

Setiausaha Parti Sosialis Malaysia, Arutchelvan sewaktu membacakan kenyataan bersama solidariti itu berkata, Majlis Tentera juga harus segera mengembalikan kuasa kepada rakyat negara itu.

"Reformasi ini harus bermula sekarang seperti yang ditunjukkan oleh jutaan rakyat Mesir ini," kata beliau selepas penyerahan nota itu kepada wakil kedutaan berkenaan. Solidariti juga menuntut tindakan setimpal dikenakan kepada pihak yang melakukan kekerasan dengan menggunakan peluru hidup dan gas pemedih mata sewaktu menyuraikan penunjuk perasaan.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi pula berkata, solidariti berkenaan bangga dengan keberanian rakyat Mesir menyatakan bantahan dan tidak berganjak dengan pendirian mereka sehingga Mubarak berundur.

"Hari ini kita hantar nota ucapan tahniah kepada rakyat Mesir sebagai tanda sokongan kita kepada kebangkitan mereka. Setelah 18 hari tidak berganjak daripada bantahan itu akhirnya rejim Hosni Mubarak terpaksa berundur," kata beliau selepas penyerahan tersebut.