KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Februari 14, 2011

Demontrasi jalanan: Hanya dengan Revolusi Rakyat 'ajar' kerajaan diktator Timur Tengah - Prof Dr Redzuan Othman




Kebangkitan rakyat Tunisia, 14 Januari lalu tidak diramalkan oleh sesiapapun. Rakan sekutu, Perancis dan Amerika terkejut dan terkedu. Kemaraan "ledakan perubahan" ini meletus di Mesir. Hosni Mubarak juga tidak menghidu revolusi rakyat sedang mengganyang kerajaannya. Teori Domino makin membuktikan. Selepas Tunisia, beberapa negara sekitar digugah hebat. Yemen, Jordan, Saudi kini terancam. Israel adalah negara paling 'gentar' dengan kebangkitan rakyat ini. Ikuti interbiu panjang wartawan Harakah INTAN ABDULLAH bersama Profesor Dr. Mohammad Redzuan Othman, Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah Universiti Malaysa memperihalkan perkembangan muktahir di negara-negara bergolak Timur Tengah.

Sekarang meledaknya kebangkitan rakyat bermula di Tunisia, berjangkit ke negara sekitar. Apa pandangan Profesor mengenai perkembangan terbaru ini?

PROF DR MOHAMMAD REDZUAN: Secara perbandingannya, Tunisia merupakan negara yang boleh dianggap mempunyai kemungkinan yang paling kurang untuk berlakunya revolusi. Sebabnya, kerana Tunisia merupakan sebuah negara yang penduduknya tidak begitu ramai, sekitar 10 juta orang dan dari segi negaranya pula agak maju dan moden. Dari segi taraf kehidupan pula masyarakatnya terdiri daripada kelas pertengahan yang agak selesa. Oleh itu, kalau dibandingkan dengan negara-negara Arab yang lain seperti Mesir, Algeria, Tunisia dianggap paling kurang kemungkinan untuk berlaku. Begitulah revolusi. Dibandingkan dengan Mesir taraf hidup masyarakat Tunisia jauh lebih baik walaupun tidak dikategorikan sebagai masyarakat mewah. Oleh itu, apabila berlakunya revolusi pada 14 Januari yang lalu sehingga menyebabkan Zine el-Abidine Ben Ali meninggalkan Tunisia, peristiwa ini sudah tentu mengejutkan Amerika, Perancis dan juga negara Barat yang lain kerana  mereka tidak menjangkakannya ini boleh berlaku. Ini adalah kerana demonstrasi kecil-kecilan itu sudah menjadi kebiasaan dan tidak membimbangkan. Tetapi apabila demontrasi ini berakhir dengan runtuhnya pemerintahan Zine al-Abidine Ben Ali, ini dianggap sebagai luar biasa. 

Tetapi mengapa itu boleh berlaku?

Ini berlaku kerana apabila pemimpin ataupun pemerintah sudah hilang rasa dan terpisah daripada apa yang berlaku dalam masyarakat serta masih lagi berfikir cara 10 atau 20 tahun yang lalu. Generasi kini ialah generasi baru yang  berbeza dari segi pemikirannya.  Dengan sebab itulah kita mendapati revolusi di Tunisia ini banyak disumbangkan oleh peranan yang dimainkan oleh laman-laman sosial seperti facebook, twitter, sms dan sebagainya. Pada hari ini, di Tunisia separuh daripada penduduknya merupakan mereka berusia di bawah 25 tahun. Oleh itu bagi generasi baru ini mereka ini tidak sama berfikir seperti generasi terdahulu. Cara pemikiran dan kehendak mereka menjangkau luas di luar lingkungan tradisi sebelum ini. Akibatnya mereka mahukan kehidupan yang lebih baik. maksudnya, kebebasan yang lebih baik. Mereka membuat perbandingan dengan kehidupan orang lain. Mereka menyoal mengapa Eropah lebih baik? Mengapa orang lain lebih maju sedangkan mereka ketinggalan di belakang?

Maksudnya ini jadi punca utama kebangkitan rakyat itu?

Akhirnya mereka melihat kesemuanya itu sebagai punca daripada pemerintahan yang tidak demokratik yang diperintah oleh diktator. Keadaan diperburukkan lagi dengan tekanan hidup, pengangguran, kenaikan harga barang dan kesengsaraan hidup yang lain yang menjadi api dalam sekam. Masyarakat secara umumnya merasakan mereka tidak mempunyai harapan dan masa depan. "Revolusi Melati" yang berlaku di Tunisia adalah manifestasi daripada kekecewaan ini. Apabila seorang penjual buah, yang bernama Mohamad Bouzizi membakar diri sebagai protes kekecewaan ini, simpati terhadap peristiwa tersebut mencetuskan revolusi sehingga memaksa Ben Ali melarikan diri meninggalkan Tunisia. Baik di Tunisia mahupun Mesir dan juga semua negara Arab pasukan polis digunakan bagi menakut-nakutkan rakyat.

Polis digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat?

Ya, di Tunisia, pasukan keselamatan yang berjumlah 600 ribu orang yang terdiri daripada polis, mata-mata, cawangan khas, polis rahsia dan sebagainya digunakan bagi mengekalkan regim diktator dan mengekang kebangkitan rakyat.  Ini bermakna masyarakat selama ini tidak bangkit kerana ditakut-takutkan. Oleh itu apa yang berlaku di Tunisia dan mutakhir ini di Mesir adalah akibat daripada rakyat hilang rasa takut dan menuntut pemerintah diktator berundur. 

Ini juga terjadi di Mesir?

Di Mesir pun begitu.  Jika sebelum ini, rakyat ditakut-takutkan, tetapi kini polis sudah tidak lagi digeruni. Apabila sudah ada rakyat yang mati rasa takut sudah hilang dan ini menandakan regim diktator sebenarnya sedang menghitung hari sebelum jatuh.  Kalau kita dapati di Suez, Kaherah, Iskandariah - balai polis dibakar. Ini kerana balai polis itulah lambang penindasan dan tekanan.  Justeru apabila masyarakat sudah tidak takut kepada tekanan polis, itulah perubahannya. 

Kenapa akhirnya masyarakat sudah tidak takut kepada polis? 

Mungkin pada peringkat awalnya, masyarakat keluar dalam jumlah 2,000 atau 3,000 orang polis masih berani (menangani mereka). Tetapi apabila 300,000 keluar ke atas jalan raya akhirnya polis cabut lari dan tidak berani untuk tunggu lebih lama lagi. Itu yang berlaku.

Siapa yang menggerakkan revolusi ini Prof?

Secara jelasnya, ianya digerakkan oleh rakyat daripada semua golongan tetapi kita kena lihat daripada segi sejarahnya. Tunisia merupakan negara yang digerakkan oleh perjuangan (begitu juga dengan semua negara Islam yang lain) oleh elemen-elemen yang menanamkan semangat jihad. Itu yang membawa kesedaran kepada perjuangan membebaskan daripada penjajah, itu berlaku di Tunisia. Tetapi apabila Tunisia merdeka pada tahun 1996, negara tersebut diperintah oleh Habib Bourgiba - seorang yang mendapat pendidikan di Perancis yang bagi orang Perancis mereka pernah Charles De Gaulle (bekas Presiden Perancis) mengatakan Perancis tidak pernah mempunyai seorang sahabat yang lebih Perancis daripada Perancis seperti Habib Bourgiba. Bermakna, apabila beliau menjadi Presiden, beliau menjadikan seolah-olah Tunisia itu sebagai sebahagian daripada Perancis, cuma bezanya kalau dahulu ia negara yang menjajah Tunisia tetapi sekarang ini orang Tunisia berfikir secara Perancis. Kedudukannya merupakan dua negara yang berjiran antara satu sama lain.

Apa dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Habib Bourgiba di Tunisia?

Apa yang berlaku apabila Habib Bourgiba menggunakan pendekatan yang sekular, beliau ini merupakan pengkagum Ataturk. Beliau cuba untuk mensekularkan masyarakat Tunisia termasuklah merampas tanah wakaf, tidak membenarkan wanita memakai tudung, malah beliau juga memperkenalkan dan menggalakkan kepada rakyat secara terang-terangan agar mereka tidak berpuasa pada bulan Ramadan kerana beliau menyatakan bahawa puasa itu menyebabkan produktiviti merosot. Oleh itu rakyat digalakkan supaya tidak berpuasa di bulan Ramadan. Beliau juga telah bertindak menjadikan el-Zaituna, sebuah universiti yang dikatakan lebih tua daripada universiti Al-Azhar.Antara yang pernah menjadi penuntut termasuklah Ibnu Khaldun, ramai lagi cendekiawan daripada Asia Utara merupakan lulusan daripada el-Zaituna. Tetapi ianya kemudian dijadikan universiti biasa dan tiada lagi signifikannya sebagai sebuah pusat yang menjadi sumber kepada keIslaman khususnya Islam.

Masa dijajah Perancis dahulu, macam mana layanan terhadap Universiti el-Zaituna ini?

Pada zaman Perancis menjajah negara tersebut, ia tidak berjaya menutup el-Zaituna, kerana di situlah markaz penentangan kepada penjajah Perancis. Tetapi ia berjaya dikurangkan peranannnya atau berjaya ditiada peranannya di bawah Habib Bourgiba yang bertindak sebagai Presiden Tunisia iaitu seorang sekularis dan amat pro Perancis. Tetapi Habib telah dilanda penyakit nyanyuk dan akhirnya digulingkan oleh Zine el-Abidin Ben Ali pada tahun 1987 yang kemudiannya menjadi pemerintah. 

Bukankah dalam pilihan raya baru-baru ini Zine el-Abidin Ben Ali mendapat sokongan padu dari rakyatnya?

Pada pilihan raya pada tahun 1989 beliau mendapat sokongan sebanyak 99 peratus undi. Pada 2009 baru-baru ini beliau mendapat 89 peratus undi, tetapi apabila rakyat berdemonstrasi tidak sampai sebulan dia terpaksa melarikan diri. Ini bermakna selama ini undi tinggi yang dimenanginya itu adalah suatu penipuan. Itu yang berlaku di Timur Tengah dan negara Islam yang lain. Bukan menang sebab kuat tetapi menipu. 

Pada pendapat Prof, sekarang ini siapa yang akan muncul sebagai kumpulan yang akan menggerakkan Tunisia baru?

Tentera masih berperanan di Tunisia dan mereka bersikap neutral, tidak memihak kepada mana-mana. Dengan sebab itulah apabila tentera campurtangan kita dapati polis (memang pro-kerajaan) tetapi tentera agak neutral dalam hal ini. Kalau kita lihat dalam konteks apa yang berlaku di Tunisia sebenarnya antara kumpulan yang dianggap paling mendapat sokongan sebelum ini ialah Kumpulan Hizbul an-Nahdhah yang dipimpin oleh Rashid Ghanouchi yang sekarang ini tinggal dalam buangan di England. Beliau ini pernah bertanding dalam pilihan raya 1987, dan partinya pernah menang sampai 30 peratus. Tetapi diharamkan dan pemimpinnya lebih kurang 3 ribu orang ditangkap. Hampir kesemuanya ditangkap. 

Kalau diadakan pilihan raya sekarang, maknanya kumpulan Islam akan menang?

Saya berkeyakinan bahawa kalau pilihan raya diadakan secara bebas, kumpulan Islamis akan mendapat kemenangan. Ini kerana kumpulan Islamis ini daripada segi kerja lebih tersusun dan lebih banyak mendapat sokongan rakyat. Di Tunisia juga tiada civil society. Persatuan tiada, yang ada hanyalah kesatuan sekerja. Ini adalah kerana semuanya telah habis dihancurkan oleh Zine el-Abidin Ben Ali. Itu sebabnya kalau untuk membuat dalam tempoh 60 hari pilihan raya - ia adalah amat sukar sekali. Jika diadakan pilihan raya ini saya berkeyakinan bahawa kumpulan Islamis akan mencapai kemenangan. 

Mengapa Prof yakin kumpulan Islam akan menang...

Ini terbukti di Palestin, kalau pilihan raya diadakan secara bebas. Saya ingin merujuk apa yang disebutkan oleh Zaki Yamani dalam satu interbiu selepas dia tidak menjadi Menteri Minyak apabila disoal mengenai demokrasi di Timur Tengah.  Beliau menyebutkan bahawa kalau pilihan raya diadakan secara bebas di negara Arab pada hari ini yang diperintah oleh diktator (Mesir, Algeria, Tunisia, Maghribi dan banyak lagi), beliau yakin kesemuanya akan tumbang. Keadaan ini berlaku di Lubnan dalam satu pilihan raya bebas, parti Hezbollah telah menang. Di Jordan, parti Islam pernah menang tetapi masalahnya, parti Islam kalau mereka menang maish kekalkan pemerintahnya seperti diktator lebih baik kalah daripada menang. Sebab kalau mereka menangpun, mereka bukannya diberikan hak sebagai orang yang menang bahkan mereka ini dipenjarakan, dibunuh dan sebagainya sepertimana yang terjadi di Algeria. 

Apa yang terjadi di Algeria waktu itu?

Saya pernah menemubual pemimpin FIS, Abbasi Madani yang memenangi pilihan raya Algeria pusingan pertama dan dijangkakan beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk memenangi pilihan raya pusingan kedua.  Tetapi pusingan kedua tidak dijalankan kerana tentera merampas kuasa atas sokongan Perancis dan beliau dipenjarakan selama 12 tahun. Pada hari ini, jumlah mereka yang terbunuh di Algeria sebanyak 200,000 orang disebabkan kemenangan parti Islam. Mereka dibunuh dengan sewenang-wenangnya oleh pemerintah sekular. Kalau dalam konteks Tunisia pula, saya yakin bahawa kalau diberi peluang dan kesempatan parti Islam akan mencapai kemenangan besar. Mungkin mereka tidak boleh memerintah secara individu. Kalau itupun apabila saya bertanya Rashid Ghanouchi dalam satu temubual, beliau mempunyai pendekatan yang cukup terbuka. Bagi beliau dalam sistem demokrasi pemerintahan harus dikongsi. 

Maknanya di mana-mana negara pun satu parti tidak boleh memerintah sendiri?

Ya, itu keyakinan beliau. Oleh itu kalau terlibat dengan demokrasi mesti ada kesediaan untuk berkongsi dengan orang lain. Kalau tidak jangan terlibat dengan demokrasi. Sebenarnya itulah demokrasi pun. Rashid Ghanouchi berkeyakinan kumpulan Islamis mereka (pro-Barat) mengatakan kita Islam jahiliyah. Tapi ternyata itu bukannya satu realiti, dalam demokrasi mesti ada kesediaan itu. Dan dia terus terang menyatakan bahawa kalau dia berkuasa pun dan diberi mandat, dia akan berkongsi dengan orang lain. Awal-awal lagi doktrinnya adalah perkongsian kuasa. Itulah doktrin yang menjadi asas perjuangan beliau. 

Doktrin Rashid Ghanouchi  telah menghilangkan rasa takut rakyat?

Tidak timbul isu ketakutan bahawa kumpulan Islamis akan mendominasikan, melaksanakan sewenang-wenangnya - tidak timbul semuanya itu. Dalam konteks ini sebenarnya terdapat ketakutan. Sudah tentu apabila beliau berkuasa, ada perbezaan kalau sebelum ini pro Amerika, Perancis - sudah tentulah kali ini tidak lagi begitu. 

Apa yang dapat Prof perkatakan tentang kebangkitan rakyat di Tunisia ini?

Saya melihat bahawa apa yang berlaku di Tunisia ini memberi kesan yang besar kepada Timur Tengah, Afrika Utara khususnya pada waktu ini. Dan apa yang berlaku di Mesir sekarang ini merupakan suatu perkara yang kalau dilihat bukan suatu yang mustahil. Kalau diteliti antara Tunisia dan Mesir, revolusi ini sepatutnya tercetus di Mesir terlebih dahulu. Tetapi di Mesir apabila ketakutan rakyat itu hilang, sekuriti aparatus ataupun apabila jentera polis hancur. Kalau selama ini mereka yang memainkan peranan menakut-nakutkan kini sudah tidak berjaya menakutkan rakyat, mereka yang tidak berani keluar bermakna berakhirlah penguasaan dominasi Hosni Mobarak. 

Adakah Hosni Mubarak dapat bertahan...

Apabila saya ditanya apa yang berlaku, saya tidak nampak Hosni Mubarak akan dapat bertahan, menunggu masa untuk tumbang. Dia telah melantik Omar Sulayman - itu menambahkan lagi kemarahan rakyat kerana Omar merupakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang merupakan rakan karib kepada Mubarak dan dilantik bekas Ketua Angkatan Tentera sebagai Perdana Menteri - orang dia (kroni) dia juga. Ini membuatkan rakyat merasakan beliau cuba untuk mempertahankan kuasanya. Dengan angka kematian lebih 100 orang dengan sebahagian besar berlaku kebangkitan di Tanta, Mansoura, Kaherah, Suez, Iskandariah, Luxor - saya tidak nampak kerajaan (Mubarak) boleh bertahan. Tunggu masa akan jatuh. Oleh itu, apa yang berlaku di Mesir ini, bukan sama ada jatuh atau tidak. Bagi saya, jatuh itu hampir pasti cuma bila hendak jatuhnya. Kalau umpama dia tindas atau dia bunuh rakyat, dia tidak boleh bertahan lama juga.

Setakat ini kita lihat Amerika Syarikat masih lagi berusaha untuk membantu Mesir...

Memang Amerika membantu Mesir sebanyak USD 1.3 bilion setahun, tetapi wang ini kebanyakannya digunakan untuk pertahanan dan untuk menindas rakyat Mesir dan bukan membantu rakyat.Mesir merupakan penerima kedua terbesar bantuan Amerika selepas Israel. Tetapi bantuan itu bukan untuk membantu rakyat. Betullah bantuan memberikan subsidi gandum dan sebagainya, tetapi lebih banyak digunakan untuk membantu mengekalkan rejim Hosni Mubarak. Ini menambahkan kebencian rakyat. Tetapi dalam keadaan sekarang seperti yang saya nyatakan tadi, dengan Hosni Mubarak memerintah sebagaimana dia memerintah 20 tahun yang lalu. Rakyat dikekang, dengan sebab itulah TV Nile atau stesen TV kerajaan seperti RTM di Malaysia, tidak melaporkan apa-apa yang berlaku sepanjang demonstrasi besar-besar sekarang ini. 

Maknanya semua media termasuk tv menggelapkan berita kebangkitan rakyat Mesir?

Iya. Sebab itu ada yang menggelarkannya 'TV Denial' bukan TV Nile. Peristiwa yang sebesar ini tidak dilaporkan - menafikan apa yang sebenarnya berlaku. Oleh itu kita lihat dalam konteks apa yang berlaku pada hari ini, ternyata sekali pemerintah cuba mengekalkan status quo. Sedangkan rakyat mahu berubah, rakyat sengsara. 

Adakah rakyat merasakan kehidupan mereka ditahap lama, sedangkan pemimpin kaya raya selama ini?

Selepas 50 tahun, setelah mereka merampas kuasa pada tahun 1952 (hampir 60 tahun mereka berkuasa) dan terus berkuasa secara berterusan. Tetapi tidak memberikan hak kepada rakyat sedangkan mereka terus kaya dan mendapat keuntungan. Rakyat tidak merasai sebarang perbezaan antara dahulu dan sekarang. Cuma kekhuatiran saya, kalau kita lihat pada Revolusi 1952, yang menggulingkan Raja Farouq oleh Jamal Abdel Nasir (yang merupakan satu kumpulan dengan Hosni Mubarak) kita dapati ianya dinamakan sebagai "Black Friday". Iaitu satu peristiwa kebangkitan rakyat tetapi apa yang berlaku ialah tentera mengambil kuasa. Rakyat yang bermati-matian, tentera pula yang mendominasi kuasa. Tetapi itu dahulu, saya tidak fikir sekarang ia boleh berlaku (seperti itu). Dulu mungkin rakyat tidak terdedah kepada maklumat. Sekarang rakyat lebih terdedah kepada maklumat dan mereka tidak boleh berbuat begitu.

Bagaimana pula dengan kesan sekatan akses internet yang diarahkan oleh kerajaan Mubarak?

Berapa lama mereka boleh buat sekatan internet kerana dengan tindakan itu boleh menghancurkan ekonomi negara. Ia juga menyekat proses perbankan, semua urusan tidak boleh dilakukan. Dalam keadaan sekarang ini kalau tiada internet bagaimana hendak teruskan kehidupan? Mungkin untuk sementara waktu,  yakni tempoh yang singkat, ianya boleh dilakukan tetapi untuk jangka panjang mungkin hanya dalam tempoh satu atau dua hari iaitu Jumaat, Sabtu bolehlah - ekonomi boleh hancur.

Jika dilihat antara Mesir dan Tunisia, kumpulan Islamis dilihat mempunyai pengaruh yang kuat. Ada yang mendakwa di sebaliknya adalah kumpulan Ikhwanul Muslimin?

Di Mesir, Ikhwanul Muslimin dianggap sebagai pertubuhan yang paling tersusun. Mereka adalah kumpulan yang diharamkan. Mereka tidak dibenarkan. Walaupun begitu, mereka masih bergerak. Dan itulah yang menjadi ketakutan bahawa kalau mereka berkuasa mereka akan menjadikan syariah dasar negara. Saya pernah menemubual Mehdi Akiff, iaitu mantan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin pada tahun 2006, mengenai pendirian Ikhwan. Beliau menyebut, isunya bukan kami tidak mahu bekerjasama dengan pemerintah, tetapi Hosni Mubarak yang tidak mahu bekerjasama. Bukan kami tidak mahu berkongsi kuasa, mereka yang tidak mahu berkongsi kuasa. Oleh itu, ketakutan terhadap Ikhwan atau "ikhwanoobia" ini sengaja dibesar-besarkan oleh Barat dan juga golongan sekular yang ingin mempertahankan status quo mereka. 

Jadi, propaganda jahat ini telah menakutkan rakyat untuk mengangkat Ikhwan sebagai pemerintah?

Realitinya umat Islam ini bukannya semua begitu. Maka ramailah yang khuatir kalau Ikhwan menang ia akan menyebabkan wujudnya pemerintahan kuku besi. Sedangkan ia merupakan satu andaian yang bersifat prasangka bukan berdasarkan kepada realiti. Dengan sebab itu kita melihat apa yang berlaku sekarang ini walaupun kebangkitan itu digerakkan oleh rakyat tetapi sentimen Islam itu kuat. Bagi mereka, mereka melihat perubahan harus berlaku. Kalau tidak, 50 tahun lagi Mesir akan menjadi seperti ini. 

Apa pandangan Prof apabila Ikhwan diminta tampil untuk menjadi front bagi menyatukan rakyat?

Sebelum ini, dalam pilihan raya yang pernah diadakan Ikhwanul Muslimin adalah parti yang paling besar mendapat kerusi. Mereka bertanding atas tiket bebas tetapi menang sebanyak 88 kerusi daripada 550 kerusi yang dipertandingkan. Walaupun mencapai kemenangan tetapi kemenangan ini tidak bererti apa-apa kerana pemerintah tidak mengiktiraf peranan pembangkang. Sebenarnya Ikhwan lah yang menggerakkan di peringkat awal. Mereka telah bergerak sejak tahun 1928, bukan baru sekarang dalam perjuangan menentang musuh.  Sejak perjuangan menentang penjajahan British, Perancis dan sebagainya. Tetapi mereka dinafikan hak untuk memerintah. Dalam keadaan sekarang masyarakat melihat bahawa bukan isu Ikhwan yang menjadi perkara utama sebaliknya isu kebebasan, demokrasi yang ternyata sekali sudah tiada dan tidak diamalkan langsung. Itu masalahnya yang berlaku di Mesir. 

Melihat kepada masa depan Islam yang dikatakan terletak pada Ikhwan, ditambah dengan pengaruh Ikhwan yang kuat terhadap negara-negara Islam yang lain, adakah Prof melihat revolusi yang berlaku di Mesir ini juga akan dipimpin oleh Ikhwan untuk membentuk kerajaan yang baru?

Saya melihat apa yang berlaku di Mesir akan merebak ke tempat-tempat lain. Yang terakhir apabila kita melihat pendedahan bagaimana pemimpin-pemimpin PLO menggadai negara mereka kepada Israel. Kesanggupan mereka menyerahkan negara mereka kepada Israel. Maknanya, mereka menggadai negara tetapi tidak cukup dengan itu. Ia merupakan pengkhianatan yang luar biasa. Ini menunjukkan bahawa bagi kumpulan nasionalis ini untuk kepentingan diri mereka, apa sahaja sanggup dilakukan. Termasuk membunuh sesama saudara mereka. Itu yang berlaku di Tebing Barat terutamanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Wow, that's what I was looking for, what a data! existing here at this blog, thanks admin of this web site.

My web blog :: payday loans