UMNO perlu melihat kejatuhan Hosni Mubarak di Mesir dari dua sudut. Pertama, kerana terlalu lama dan kedua, kerana terlalu angkuh. Hari ini, apabila Hosni Mubarak meninggalkan Mesir selepas 18 hari diasak penunjuk perasaan, apakah yang ditinggalkan Mubarak di Mesir? Yang pasti, ada 300 nyawa terkorban selama tunjuk perasaan ini berlaku dan ribuan yang lain cedera.
Seperti yang dilaporkan, tentera yang mengambil alih kuasa sekarang ini, kelihatan merestui tunjuk perasaan ini dan akhirnya, pengumuman rasmi dibuat, mengesahkan Mubarak yang pada peringkat awalnya tidak mahu mengalah, akhirnya terpaksa melepaskan jawatannya.
Kalau boleh, Mubarak mahu menunggu sampai September, kononnya penggal pemerintahannya berkahir, tetapi rakyat tidak tertanggung lagi dengan perangai dan sikap angkuh Mubarak. Apa yang pasti, rakyat Algeria juga seperti mendapat suntikan semangat dari apa yang dicapai oleh rakyat Mesir.
Apakah Presiden Algeria, Abdelaziz Bouteflika sudah bersedia untuk berundur? Atau, mahu terus berdegil hingga kejadian lebih buruk berlaku? Begitu juga dengan Yaman, khabarnya keadaan sudah mula bergegar dengan ura-ura tunjuk perasaan.
Panglima Angkatan Tentera Mesir, Fil Marsyal Mohammed Hussein Tantawi berkata, beliau akan menghormati semua perjanjian yang dimeterai Mesir, satu berita yang cukup melegakan negara Yahudi dan Amerika Syarikat.
Antara perjanjian itu ialah perjanjian damai dengan Israel 1979. Selain kebongkakkan Hosni Mubarak, hakikat sebenarnya apa yang berlaku di Mesir ini ialah disebabkan terlalu khayal dengan mabuk kuasa. Keresahan dan kesusahan rakyat tidak dapat dihidu sejak awal. Hingga, apabila Dataran Tahrir dipenuhi dengan penunjuk perasaan dan semua jalan raya sudah tidak boleh dilalui disebabkan dipenuhi dengan penujuk perasaan, mulalah ekonomi Mesir lumpuh.
Hanya beberapa bulan lagi pilihan raya akan diadakan. Tidak pula diketahui apakah boleh dipercepatkan pilihan raya tetapi, belum ada jaminan suasana aman selepas peralihan kuasa berlaku. Satu perkara yang perlu dijadikan ingatan pihak yang sedang berkuasa sekarang ialah penggunaan laman sosial faebook dan internet menjadi komponen penting dalam revolusi rakyat Mesir.
Jika ada ura-ura Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu menyekat Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) seperti yang dinyatakan Ketua Setiausaha (KSU) KDN, Mahmud Adam baru-baru ini, ia sebenarnya sudah terlewat.
Rakyat sudah ke hadapan di dalam penggunaan media baru ini dan sekatan demi sekatan yang dibuat sebenarnya satu usaha memenjarakan kecerdikan berfikir rakyat. Ada penulis yang mempertahankan Malaysia kononnya, apa yang berlaku di Mesir tidak akan berlaku di Malaysia kerana rakyat Malaysia cukup makan dan tidak seperti di Mesir.
Kerisauan rakyat Malaysia yang sentiasa dikelilingi pendatang asing hingga keselamatan keluarga mereka terancam, tidak diambil kira sebagai keresahan dan kesusahan rakyat. Ternyata, kerajaan telah gagal menyelesaikan masalah pendatang asing ini walaupun pelbagai formula diketengahkan termasuk usaha menubuhkan makmal pendatang asing.
Ternyata, ia hanya cakap-cakap yang mahu menghalalkan sejumlah peruntukan besar diluluskan kerajaan untuk menubuhkan makmal tersebut. Namun, tidak seorang pun pendatang asing yang dapat dikurangkan dari bumi Malaysia, melainkan bertambah dari hari ke hari.
Jika desakan dibuat, Menteri Dalam Negeri akan muncul dengan amaran terbaru termasuklah akan mencari hingga ke lubang cacing tetapi, yang pasti pendatang asing makin bertambah. Bukan kecil jumlah rakyat Malaysia yang terperangkap dengan isu keldai dadah tetapi setakat hari ini, pihak berkuasa masih tetap memberi nasihat kepada mereka supaya berhati-hati dengan perangkap tersebut.
Apakah keresahan rakyat ini, selain kenaikan cukai, kenaikan harga barang-barang keperluan dan kesukaran mendapatkan pekerjaan bukan keresahan dan kesusahan yang membolehkan rakyat Malaysia bangkit seperti bangkitnya rakyat Mesir di Dataran Merdeka (Tahrir) mereka?
Bukankah kerana lamanya itulah yang menyebabkan rakyat menolaknya. Berbeza, kata mereka yang menjadi pengampu Umno, dengan BN. Yang lama adalah parti tetapi individu yang memimpin parti belum pernah mencapai usia 30 tahun pemerintahannya, kecuali sekali Tun Dr. Mahathir Mohamad mencipta rekod 22 tahun.
Kemenangan besar Tun Abdullah Ahmad Badawi, kata penulis-penulis yang pro Umno dalam tahun 2004, kerana Abdullah baru dan jika diadakan Pilihan Raya Umum ke 13 kelak, Perdana Menteri, Najib Tun Razak akan mengulangi kejayaan BN seperti yang pernah berlaku dalam PRU 11, 2004 yang lalu.
Bukan senang mahu menyedarkan mereka yang sudah terlalu lama di tampuk kuasa. Malahan, jika mereka dikatakan lama, mereka akan berkata, parti mereka yang lama, tetapi pemimpin-pemimpinnya sering bertukar ganti.
Mereka lupa, 2008 apabila Abdullah nyaris-nyaris tumbang bersama-sama BN bukan kerana dia sudah lama tetapi kerana parti yang diwakilinya sudah terlalu lama berkuasa di Malaysia. Begitulah juga apa yang berlaku kepada Gerakan, MCA dan MIC kerana terlalu lama, parti mereka (calon-calon) ditolak.
Hari ini, walaupun MCA berhempas-pulas mahu memberitahu rakyat dan pengundi bahawa mereka mempunyai pemimpin yang baru, dari Ong Tee Kiat kepada Chua Soi Lek, namun, rata-rata pengundi menolak mereka.
Pengundi-pengundi sudah jemu dengan parti yang terlalu lama berkuasa, hingga lupa diri dan angkuh. Pengundi dan rakyat melihat bahawa apa yang berlaku kepada Hosni Mubarak pelru juga dilakukan kepada Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno sejak sekian lama. Mereka yang berada di puncak kuasa, tidak menghiraukan kemahuan dan keresahan rakyat selain mencipta slogan dengan logo baru, sekadar mahu menggula-gulakan rakyat. Cukuplah! Dah lama sangat dah!
1 ulasan:
Perkara ini tidak akan berlaku di Malaysia...rakyat malaysia tidak seperti rakyat negara lain...kalau ada pun yg berani buat demo..takan tahan lama..bila dah kena balun..kena sembur oleh pihak berkuasa..lain laa kalau ratus ribu rakyat berdemo...tp rakyat negara ini lambat lagi akan turun berdemo. Bg mereka, selagi periuk nasik mereka tk terjejas, buat apa nak cari penyakit.
Hari tu pun rakyat turun berdemo kerana nak menyokong rakyat mesir pun bukan main kena balun...
jauh api dari panggang...
Catat Ulasan