KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Februari 03, 2011

Dahulukan rakyat tapi lembab: PAS desak kerajaan selamatkan segera warga Malaysia di Mesir




PAS mendesak Kerajaan Malaysia segera membawa rakyat Malaysia di Mesir pulang ke tanahair ekoran protes kebangkitan rakyat sudah menjadi tidak terkawal dan berlaku beberapa insiden pertumpahan darah.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa menegaskan Kementerian Luar Negeri sepatutnya menyediakan kapal terbang dan segera mengambil semua rakyat Malaysia yang kini sudah tidak selamat di Mesir. Katanya kepada Harakah, tindakan 'evacuation' ini  telah dilakukan oleh banyak negara yang prihatin terhadap nasib rakyat mereka di Mesir seperti Turki, Kanada, Greece, China, Iran dan Arab Saudi.

Ustaz Nasharuddin juga berpendapat tindakan kerajaan mahu menghantar pelajar-pelajar Malaysia yang berada di sana ke negara jiran seperti Jordan, Libya dan Arab Saudi kurang tepat kerana protes kebangkitan rakyat telah menjalar ke beberapa buah lagi negara di Timur Tengah termasuk Jordan.

"Daripada laporan yang diterima, kawasan di Alexandria, ramai rakyat Malaysia berada dalam keadaan tertekan memandangkan perintah berkurung yang dikenakan dan kemudahan untuk mendapatkan makanan terlalu sukar. Selain itu, kawasan Tir’ah pula berada dalam keadaan yang tidak selamat. Kawasan Mansurah pula telah dilabelkan kod jingga sebagai tanda amaran akan berlakunya rusuhan secara besar-besaran," katanya.

Tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok, kerajaan perlu mengambil tindakan segera kerana beberapa faktor ketakutan antaranya sejumlah besar banduan telah berjaya meloloskan diri dari penjara dan dikhuatiri akan berlaku kes jenayah. Tambahan pula katanya, kesulitan mendapatkan akses komunikasi dan makanan juga antara faktor yang sangat membimbangkan di negara tersebut.     

Sementara itu, pelajar-pelajar  Malaysia yang berada di Mesir merayu kerajaan menyegerakan proses pemindahan mereka ke negara berhampiran seperti Jordan dan Turki kerana situasi yang bertambah runcing di negara tersebut.

Zulfadli Zulkifli, 25, yang berada di Kaherah, Mesir sewaktu dihubungi Harakah, 1 Februari lalu, mengharapkan kerajaan tidak mengambil sikap pilih kasih dengan mengambil tindakan segera itu hanya kepada pelajar-pelajar di bawah tajaan kerajaan dan kursus tertentu.

"Kami difahamkan proses pemindahan tersebut diutamakan kepada pelajar perubatan kerana didesak ibu bapa mereka sedangkan kami pelajar jurusan pengajian agak terpinggir sedangkan situasi yang kami alami juga sama dengan mereka," katanya yang merupakan pelajar tahun akhir pengajian syariah, University Al-Azhar, Dumyat.

Jelasnya lagi, walaupun keadaan agak terkawal, para pelajar hanya dibenarkan keluar untuk membeli makanan dari jam 8 pagi sehingga 3 petang dan waktu yang dibenarkan itu akan diumumkan dari masa ke semasa.

"Kami hanya mendapat maklumat daripada siaran TV Aljazeera. Kemudahan komunikasi lain seperti internet disekat dan kami hanya boleh membuat serta menerima panggilan talefon sahaja. Khidmat SMS antara kawasan tempatan juga disekat.

"Apa yang kami takut, keadaan betul-betul tidak selamat apabila kami keluar membeli makanan kerana pencuri dan perompak berlegar di kawasan sekitar.  Balai polis juga dibakar. Polis dan askar juga dilihat tidak sepakat dalam mengawal keselamatan. Saya hendak pulang ke Dumyat pun tidak boleh kerana keadaan yang berlaku tidak mengizinkan kami bergerak jauh," ceritanya lagi.

Ibubapa pelajar juga melahirkan kegusaran di atas sikap kerajaan yang lambat bertindak kerana keselamatan anak-anak mereka dalam bahaya. Nik Aman Nik Mahmud berkata kerajaan tidak seharusnya memberi tumpuan kepada pelajar-pelajar yang berada di Kaherah kerana pelajar yang berada di tempat lain seperti Tanta seolah-olah tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Katanya, beliau ada  menerima panggilan dari anaknya yang belajar di Universiti Al Azhar, memberitahu walaupun keadaan terkawal, mereka tidak dibenarkan keluar membeli makanan dan dibimbangi akan kehabisan bekalan makanan. Beliau juga cuba menghubungi kedutaan Malaysia di Mesir kerana anaknya tidak mendapat sebarang maklumat akibat terputus komunikasi, bagaimana pun panggilan tidak dijawab.

Masalah yang sama turut dialami Mohd Shah Sapei dari Shah Alam yang tidak mendapat sebarang maklum balas selepas menghubungi Wisma Putra dan Pejabat Menteri Luar Negeri. Melalui maklumat yang diterima, anaknya yang berada di Alexandra, memberitahu keadaan agak menakutkan sewaktu mereka hendak membeli makanan kerana terdapat banduan yang berkeliaran. 

"Sudah beberapa hari anak saya makan mee segera kerana tiada bekalan makanan. Justeru saya merayu kerajaan kerajaan segera bertindak memindahkan mereka atau membawa pulang. Kami risau jika lewat bertindak, keadaan akan bertambah buruk," katanya 

Sementara itu Pejabat Operasi Wisma Putra ketika dihubungi Harakah, 1 Februari lalu memberitahu pihaknya masih menunggu maklumat daripada pasukan peninjau yang baru tiba di Mesir pada hari tersebut.

Tiada ulasan: