Hasrat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperluas Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP) ke atas laman facebook, youtube, twitter dan blog bukan sahaja memberi impak yang besar kepada perjalanan media online tetapi dalam tempoh yang singkat media baru ini akan terkubur senasib dengan media cetak konvensional.
Menyuaraskan kebimbangan ini, Ketua Pengarang Malaysiakini.Com, Fathi Aris Omar menganggap tindakan kerajaan itu bertujuan untuk menekan penerbit, editor dan wartawan untuk memberi liputan yang tidak serasi dengan kehendak kerajaan dan parti memerintah.
Katanya lagi sewaktu dihubungi, sekiranya akta tersebut dilaksanakan ia juga tidak adil kepada pengguna internet kerana terdapat seksyen dalam AMCP ini menunjukkan keputusan yang dibuat oleh KDN atau menteri terbabit tidak boleh dicabar di mahkamah.
"Walaupun dikatakan masih di peringkat perbincangan tetapi ada dalam pemikiran menteri untuk menekan media baru. Langkah ini juga mundur ke belakang kerana kerajaan tidak melihat perkembangan tekonologi komunikasi untuk memudahkan komunikasi serta perkembangan ekonomi.
"Fungsi sebenar internet untuk memudahkan maklumat serta menyiarkan berita terkini melalui media online. Orang ramai inginkan berita segera contohnya 'breaking news'. Radio dan televisyen tidak memberi liputan segera dan jika ada pun bersifat berat sebelah yang berpihak kepada satu-satu pihak," katanya lagi.
Tambahnya, kerajaan seharusnya memahami media baru bersandarkan sifatnya yang terbuka dan bebas memberi liputan yang sewajarnya pada sesuatu isu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan