KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Februari 14, 2011

Telaga minyak kian cemas: Dunia Arab berdentam-dentum dengan laungan revolusi rakyat!




Namanya Leila Trabelsi. Sikapnya ada banyak persamaan dengan Rosmah Mansur; yang mengangkat diri sebagai "wanita pertama" Malaysia. Beliau yang dilahirkan pada 20 Julai 1957, adalah isteri kepada Ben Ali; bekas Presiden Republik Tunisia. Dengan ini, rasmilah beliau adalah "wanita pertama" Tunisia. 

Leila adalah Presiden Arab Women Organization (Awo) dan menjadi Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Basma Association. Pada Julai tahun lalu, Leila menubuhkan Saida bertujuan membantu pesakit kanser di Tunisia. Tapi, rakyat tetap menolak Ben Ali, 'kebaikan' Leila ini untuk umat Tunisia ini.

Akibatnya, mencurah protes ke serata wilayah Tunisia dan gara-gara kelakuan Leila. Beliau kerap juga memberikan ucapan termasuk menghadiri keraian rasmi sekali gus membacakan ucapan suaminya.

Leila juga kerap melakukan lawatan rasmi bersama Presiden di negara-negara luar, sama seperti halnya "wanita pertama" Malaysia.

Dalam suatu temu bual bersama majalah Trends, Leila berbicara mengenai betapa mustahaknya wanita Arab berperanan dalam pembangunan sekali gus mendakwa, bahawa adalah menjadi tugasnya sebagai Presiden Awo untuk menjadikan citra wanita Arab tampak lebih baik di bawah kepemimpinannya.

Seperti Rosmah yang baru-baru ini mendapat anugerah Dato' Amar daripada Taib Mahmud di Sarawak, Leila juga tersenarai sebagai 'World Family Personality' pada 2000.

Pada 2003 beliau diangkat sebagai 'Person of the Year' dalam majalah Russia, The World of the Woman berikutan kegiatannya yang menaja kegiatan kebajikan masyarakat dan hak asasi wanita. 

Terakhir, Leila tersenarai sebagai 50 orang Arab yang berpengaruh dalam majalah Timur Tengah, iaitu sebuah penerbitan yang berpusat di London.

Tetapi, siapalah yang dapat menjangka bahawa semua ini cuma tinggal kenangan buat Leila. Anugerah, pangkat dan gelaran itu tidak bermakna apa-apa buat umat Tunisia. Amalan 'kebajikan' yang dilakukan itu tidak menghalang rakyat menolaknya dan termasuk suaminya sendiri.

Ketika bantahan rakyat Tunisia bergelora antara musim 2010 sehingga 2011, kebanyakan perusuh telah meninjau rumah-rumah yang dipercayai milik kaum kerabat Leila Trabelsi. 

Akhirnya, warna belang sikapnya terdedah. Dilaporkan bahawa Leila membawa 1.5 tan jongkong emas dari Tunisian Central Bank (jumlah itu bersamaan suku daripada peruntukan emas milik rakyat Tunisia) sebelum meninggalkan negaranya menjelang revolusi.

Walaupun hal itu dinafikan pihak bank, namun daripada sudut lain kerajaan Swiss telah mengumumkan bahawa wujudnya jutaan dollar yang telah dibekukan dalam akaun bank milik keluarganya.

Sebuah buku dalam bahasa Perancis, 'La regente de Carthage' turut merincikan perihal kegiatan korupsi Leila, keluarganya termasuk keluarga mertuanya. 

Manakala akhbar Perancis; Le Monde Diplomatique, melaporkan bahawa, Leila adalah lambang sikap tamak keluarga Presiden itu sendiri. Begitulah akhbar melaporkan gambaran buruk Leila setelah beliau bertindak keluar dari negaranya sendiri.

Rupa-rupanya, dendam warga Arab itu bukan cuma di Tunisia. Malah, turut melibatkan Mesir, Jordan, Yaman dan beberapa buah negara yang lain. Bahang percikan api revolusi turut terlampias di Malaysia.

Contohnya, Malaysia mengirim siswa-siswanya di Universiti Al-Azhar, Mesir setiap tahun. Khuatirkan revolusi ini bakal menjatuhkan Hosni Mubarak, maka Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak turut mengambil langkah memindahkan ribuan pelajar Mesir ke tanahair.

Tindakan ini turut direstui Arab Saudi yang bersetuju membuka ruang untuk mengembalikan siswa dari Mesir itu. Pun begitu pada 6 Februari lalu Kementerian Luar mengeluarkan kenyataan bahawa ada juga pelajar Malaysia di Mesir yang tidak pulang ke tanah air memandangkan keadaan bertambah baik.

Bagaimanapun, Wisma Putra berkata Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah tetap sedia memindahkan pelajar yang berhasrat pulang.

Media melaporkan bahawa tunjuk perasaan di bandar utama Mesir seperti Iskandariah dan Suez sudah berkurangan, tetapi ketegangan di Kaherah lebih masih berlaku di Medan Tahrir melibatkan penyokong pro Presiden Hosni Mubarak dan antikerajaan yang masih berterusan.

Ada perkembangan menarik di sebalik sikap Hosni Mubarak yang tidak meletakkan jawatan ini. Sikap ini jelas membuktikan bahawa Hosni Mubarak hanya mengikut kata Amerika dan bukanlah meletakkan jawatan selepas ditekan oleh revolusi rakyat Mesir itu sendiri.

"Sebab itu dengan tiba-tiba muncul nama Mohamed El-Baradei yang entah dari mana datangnya ketika revolusi ini," kata Pengerusi Future Global Network (FGN) Haji Ahmad Azam Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian dalam wacana analisis perkembangan Timur Tengah anjuran Abim baru-baru ini. Menurut beliau, El-Baradei mungkin antara insan harapan Amerika untuk menggantikan Hosni.

Tambahnya, El-Baradei, mungkin setaraf Hamid Karzai di Afghanistan yang tak dikenali, lalu diangkat sebagai pemimpin boneka Amerika.

Bagaimanapun, merujuk El-Baradei sebagai pembangkang, beliau tidak menolak kerjasama Amerika dengan mana-mana pihak berhaluan kiri yang mereka fikir masih boleh memihak kepentingan Barat.

Kenyataan El-Baradei yang cepat disiarkan media luar juga menimbulkan syak. CNN misalnya pernah memberikan ruang wawancara kepadanya. Lalu, dalam nada 'pembangkangnya' beliau menjelaskan kedudukannya yang enggan menjadi wakil pengganti Hosni.

Manakala Prof Dr Mohammad Redzuan Othman daripada Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya pula menyifatkan tuntutan utama Mesir adalah pilihan raya bebas dan adil.

"Walaupun mereka diberi peluang mengundi, hakikatnya pilihan raya itu tidak berjalan baik. Ia seperti pilihan raya kampus. Ada borang yang perlu ditandatangani dekan, tetapi ketika pelajar datang mencari dekan, dekan bersembunyi, rupa-rupanya mereka contohi sikap pemimpin Mesir," kata beliau lagi dalam wacana itu.

Oleh sebab pilihan raya yang tidak adil, katanya, rakyat Mesir mudah memberontak. Kata beliau, untuk mencari khalayak ramai tidak sukar kerana jumlah mereka di sesebuah bandar memang sangat tinggi.

"Bayangkan jika Ben Ali boleh terusir dari Tunisia dengan desakan 300,000 ribu orang berdemonstrasi. Apatah lagi dengan jumlah sejuta orang yang keluar berhimpun di bandar Mesir untuk mengusir Hosni. Ini perkara mudah sahaja bagi rakyat di negara itu," kata Dr Redzuan Othman lagi.

Kedua-dua panelis bersepakat bahawa Mesir adalah tempat di mana revolusi dikatakan akan mencapai kemuncaknya kerana Mesir adalah ibu kepada gerakan Islam di seluruh dunia. Semua ini berlaku gara-gara kebencian rakyat Tunisia ke atas Leila yang sikapnya mirip "wanita pertama" di Malaysia.

Tiada ulasan: