Keinginan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk membuktikan Umno-BN kuat di Johor gagal. Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Tenang dijadikan kayu ukur untuk membuktikan hasratnya itu, dengan mengembalikan majoriti undi lebih 5,000.
Umno-BN menang di Dun Tenang. Mereka upaya mempertahakan kerusi itu dari dirampas oleh PAS. Namun, ia tidak menepati kehendak Muhyiddin.
Calon Umno-BN, Mohd.Azahar Ibrahim mendapat sebanyak 6,699 undi, menewaskan calon PAS, Normala Sudirman yang hanya memperolehi 2,992 undi. Majoriti 3,707 undi ini tidak menjangkau matlamat 5,000 undi yang digariskan Muhyiddin sebelum ini.
Ramai pengundi Dun Tenang disekat hak mengundinya, akibat banjir yang melanda kawasan tersebut. Ini telah menurunkan kadar pengundiannya kepada 71.75 peratus (atau 10,588 orang), berbanding 73.5 peratus dalam PRU ke-12 pada tahun 2008. Tetapi maklumat selepas itu, diperbetulkan SPR jumlah keluar mengundi hanya sebanyak 66.7 peratus sahaja.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membatalkan mahupun memanjangkan tempoh pengundian, lantas menutup pintu pengundian tepat pada jam 5 petang.
Populasi pengundi Dun Tenang mencatat 14,753 orang, dengan nisbah populasi mengikut kaum seperti berikut; 7,014 orang Melayu (47.54 peratus); 5,766 orang Cina (39.08 peratus); dan 1,780 orang India (12.07 peratus); lain-lain 171 orang kaum asli (1.16 peratus); 6 orang Bumiputera Sabah (0.04 peratus); dan 5 orang Bumiputera Sarawak (0.03 peratus).
Pada PRU ke-12, Allahyarham Sulaiman Taha memperolehi 6,367 undi, menewaskan calon PAS Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi. Undi majoriti ini berkurang kira-kira 3,000 undi, jika dibandingkan dengan undi majoriti yang diperolehi Umno-BN pada PRU tahun 2004, iaitu 5,517 undi.
Kadar pengundian di Bandar Labis Tengah yang terdiri daripada 95.7 peratus pengundi Cina, telah menurun dari 69 peratus kepada 51.82 peratus akibat banjir.
Situasi ini dianggap menghakis undi PAS. Bagaimana pun PAS meraih 70 peratus sokongan pengundi Cina. PAS memperolehi 857 undi di Bandar Labis Tengah, berbanding BN dengan 365 undi. PAS berjaya melonjakkan sokongan pengundi Cina terhadap dirinya sebanyak 3.21 peratus.
Banyak pihak yakin, jika Labis dan Tenang tidak dilanda hujan lebat dan banjir, keupayaan PAS menang cukup besar.
Muhyiddin Yassin tidak boleh berbangga kononnya BN "menang dua daripada tiga peti undi majoriti Cina". Pernyataan itu sebenarnya gagal menutup realiti bahawa Chua Soi Lek telah mendapat kad merah dalam mengembalikan sokongan pengundi Cina di kubunya sendiri.
Dalam PRU PAS berjaya menewaskan BN di tiga peti undi majoriti Cina, iaitu Labis (421 lawan 411 undi); Labis Timur (740 lawan 669 undi); dan Labis Tengah (1013 lawan 504 undi) pada tahun 2008.
Tetapi keputusan terkini 30 Januari lalu, BN menang tipis di peti undi Labis (majoriti 64 undi) dan Labis Timur (37 undi), tetapi tewas dengan majoriti 486 undi di Labis Tengah.
Perlu diingatkan bahawa nisbah pengundi Cina di Labis dan Labis Timur adalah sekitar 60 peratus, namun Labis Tengah mencatat 95.7 peratus pengundi Cina. Oleh itu banyak pihak mengambil keputusan di UPU Labis Tengah sebagai kayu ukur untuk menyukat sokongan pengundi Cina di Dun Tenang.
Sekalipun BN dinobatkan oleh pengundi Melayu, tetapi sokongan orang Cina sebenarnya masih tegar untuk Pakatan Rakyat. Ini amat menggusarkan BN kerana parti itu sebenarnya gagal memikat undi kaum Cina di Tenang.
Keputusan Dun Tenang memang tidak menenangkan Muhyiddin dan Soi Lek di Johor. Ungkapan "kubu kuat" BN gagal dijulang semula. Tenang telah membuktikan BN sudah goyah di Johor, dan kerusi-kerusi yang terdapat pengundi Cina akan terus tidak selamat untuk PRU-13 akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan