KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Februari 14, 2011

Yakin Cikgu Mala Sudirman boleh menang PRU-13 jika PAS beri peluang sekali lagi!



Rasa tidak sempurna pula menulis dan mengulas perkembangan politik Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Tenang, 30 Januari 2011 yang lalu jika tidak menyentuh secara fokus peranan Normala Sudirman sebagai calon PAS tempohari.

Walaupun sudah banyak tulisan yang menyentuhnya tetapi rata-rata tidak memberikan kata-kata semangat buatnya dan pengundi 2,992 yang memberikan undi mereka kepada PAS dan Cikgu Mala. Ini tidak termasuk mereka yang bekerja untuk menyakinkan pengundi bahawa mengundi PAS akan membawa pembaharuan kepada politik Negeri Johor yang selama ini dilihat terlalu kebal semangat Umnonya.

Satu perkara yang Cikgu Mala perlu tahu, dalam politik Johor memang sukar sesiapa pun untuk menang jika tidak istiqomah dan mudah ada rasa jemu menyantuni rakyat dan pengundi yang rata-rata sudah begitu lama dengan Barisan Nasional (BN).

Tahukah Cikgu Mala, dalam BN, kerisauan tetap menebal sebaik sahaja nama Cikgu Mala diumumkan pucuk pimpinan PAS sebagai calon kerana Umno masih teraba-raba mencari seorang calon yang dikatakan tidak mampu untuk diserang.

Jika Cikgu Mala melihat bagaimana dua Adun PAS Johor yang mewakili Dun Sungai Abong dan Maharani, betapa mereka bukan sekali mencuba untuk menawan kawasan tersebut, akhirnya membuahkan hasil dalam PRU 12, Mac 2008 yang lalu.

Dr. Mohammad Taslim lebih banyak kalah dari menang. Tetapi beliau tidak pernah kenal erti putus asa. Begitu juga dengan Dr. Ibrahim Sheikh Salleh. Namun, kesabaran dan istiqomahnya menyebabkan hari ini, PAS mempunyai dua kerusi di Dun Johor yang selama ini dikatakan kebal.

Di Tenang, keputusan yang diambil oleh Cikgu Mala untuk meletakkan jawatan sebagai guru dan bersedia menerima amanah parti untuk bertanding memang boleh diibaratkan sebagai sebatang lilin yang rela membakar diri untuk menerangi orang lain.

Percayalah, jika Cikgu Mala tidak bertanding dan PAS tidak meletakkan calon, tiada siapa yang akan membela nasib mesyarakat di Tenang. Apakah Tenang baru sekali ini banjir? Jika sudah pernah dilanda banjir, cuba bertanya masyarakat di sini, bagaimana dengan layanan kerajaan kali ini jika dibandingkan dengan banjir yang menimpa sebelum ini?

Tentulah jawapannya ada perbezaan. Perbezaan itu berlaku kerana Cikgu Mala bertanding dan Cikgu Mala dapat mengutip undi 2,992 ketika semua jentera kerajaan diturunkan untuk membeli undi. Berkotak-kotak beras, minyak masak dan gula diagihkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedangkan jika Tenang tidak ada PRK, mustahil kotak-kotak bertulis AZAM ini akan sampai ke pintu rumah peneroka.

Bila kita ke Kampung Lembah Damai, siapakah yang memberikan kanopi kepada ketua kampung yang juga Ketua Umno Cawangan itu jika bukan kerana pilihan raya kecil? Ini hanya sedekit yang hendak disebutkan tetapi, Kerajaan Negeri Johor sendiri dikatakan memberi aku janji mahu menyediakan penempatan kepada generasi kedua dan ketiga Peneroka Felda di Felda Tenang, Cempelak dan Cempelak Barat kerana adanya pilihan raya.

Jumlah semua ini melebihi tujuh juta ringgit dan ini tidak termasuk bantuan yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur, termasuk yang diumumkan Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Jadi, Cikgu Mala sebenarnya bukan berlawan dengan Mohd Azahar Mohd Ibrahim seorang. Cikgu Mala sebenarnya berlawan dengan Perdana Menteri, dengan Timbalan Perdana Menteri, dengan Menteri Besar Johor dan semua menteri, termasuk Menteri-Menteri Besar Umno dari negeri Perak, Perlis, Terengganu, Ketua Menteri Melaka dan Sabah.

Jadi, apabila Cikgu Mala kalah dengan majoriti 3,707 ia merupakan kekalahan yang sudah diduga atau dalam bahasa lain, kalah yang tidak kalah. Lainlah kalau Cikgu Mala berlawan secara bersih dengan Mohd Azahar dan tidak ada turun segala bentuk pengumuman dan janji projek selain kotak-kotak beras dan minyak masak, maka kekalahan ini bolehlah dianggap sebagai kekalahan sebenar.

Umno Johor Bahru yang diketuai Dato' Seri Shahrir Abd Samad diberikan tugas menjaga kawasan di mana dalam PRU 12 yang lalu BN kalah. Peningkatan kemenangan dan undi di kawasan kalah termasuk di Pekan Labis membuktikan bahawa pengaruh Presiden MCA memang tidak berkesan langsung jika dibandingkan dengan gerak-kerja yang Shahrir lakukan.

Cikgu Mala mestilah meneruskan khidmatnya di Tenang. Cikgu Mala, walaupun mengundi di Sekijang (kerana sebelum ini Sekijang terletak di bawah Parlimen Labis), sebenarnya diperlukan di Tenang. Jika bukan sehari dua ini, tetapi mungkin setahun dua lagi.

Memang begitulah politik Johor. Mereka bukan tidak ada kemahuan membuat perubahan tetapi mereka ditakut-takutkan. Kalau pengundi Dun Tenang dapat melihat apa yang berlaku di Dun  Sungai Abong dan Dun Maharani, tidak ada apa-apa masalah timbul sejak PAS mewakili kedua-dua kawasan ini.

Cikgu Mala tidak perlu malu untuk bertemu dan menyatuni pengundi di Tenang. Ucapkan terima kasih kepada mereka kerana mereka bukan menolak Cikgu Mala tetapi mereka dikepung daripada menerima kebenaran yang dibawa. Mereka dimainkan dengan lagu lama, tahu mengenang budi. Kononnya apa yang peneroka terima itu adalah budi yang perlu dibalas dengan mengundi BN setiap kali pilihan raya.

Ia bukan begitu. Tidak ada perjanjian sedemikian sebenarnya kecuali sengaja diulang-ulang supaya pengundi takut jika mereka mengundi lain dari BN akan menyebabkan kehidupan mereka menjadi sukar. Pengundi PAS yang seramai 2,992 orang itu, jika mereka gigih menambah seorang pengundi setiap orang, maka 2,992 boleh didarabkan dengan dua. Bila didarabkan dengan dua, tentulah jumlahnya menjadi 5,984. 

Jika PAS boleh mendapat 5,894, tentulah undi BN yang selama ini sekitar enam hingga tujuh ribu akan berkurangan dan kemenangan pastinya akan berpihak kepada PAS. Masa masih ada. Jika Cikgu Mala mempunyai semangat yang kental dan disokong pula oleh mereka yang mengundinya ini, tidak ada masalah langsung untuk PAS memenangi kerusi Dun Tenang dalam PRU 13 akan datang.

Lagipun, Umno Bahagian Tenang sendiri tidak mempunyai pemimpin yang  layak untuk di ketengahkan sebagai calon BN dalam PRU 13 akan datang hingga terpaksa meminta seorang ADO meletakkan jawatan untuk dipilih menjadi calon.

Sumber >> Safar Jumaat yang rapat dengan serambi Pejabat Umno

Tiada ulasan: