BICARA SAFAR JUMAAT
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Ahmad Maslan dalam Umno dianggap sebagai "sudah cuba terbang tinggi" sejak dilantik memegang jawatan itu dan dalam masa yang sama, dilantik menjadi Ketua Penerangan Umno.
Dia bukan seorang yang terkenal di dalam Umno, bagi memegang jawatan Ketua Penerangan, seperti penjawat jawatan itu sebelum ini. Jadi, apabila dia dilantik ke jawatan itu, dia terperasan bahawa dia seorang yang popular menyebabkan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak memberikannya jawatan tersebut.
Itu sebabnya, dia pernah mengeluarkan kenyataan beribu ketua penerangan Umno cawangan di seluruh negara, tidur. Kata-katanya itu melukakan ramai orang tetapi, disebabkan dia pernah dipilih berlakon menoreh getah di kampung-kampung bila ada pilihan raya kecil, maka takut pula tiada Timbalan Menteri lain yang sanggup mengambil tempat untuk berlakon menoreh.
Kenapa ya, bila tidak ada pilihan raya kecil, Ahmad Maslan tidak pula berada di mana-mana kebun getah untuk menoreh? Apakah tidak ada kebun getah yang sesuai untuk Ahmad Maslan turun menoreh ketika tidak ada pilihan raya kecil?
Tiba-tiba, baru-baru ini, dia membakul sampahkan Buku Jingga. Kononnya, beberapa hal dalam buku itu tidak tepat. Yang tidak tepatnya sikit, tetapi dia menyebut yang tidak tepat sebagai alasan untuk mencampakkan Buku Jingga ke tong sampah. Bijakkah tindakannya itu atau, ia kebudak-budakkan?
Hari ini, selain dari Perdana Menteri (PM) Mohd Najib menguasai Felda, Ahmad juga merupakan timbalan menteri yang diberikan tugas membantu Najib mentadbirkan Felda yang sudah semakin menimbulkan kontroversi.
Banyak isu yang dipersoalkan oleh ANAK yang diketuai Mazlan Aliman tidak dapat dijelaskan dengan baik oleh Mohd Najib dan Ahmad. Yang mereka boleh ialah mengumumkan kononnya peneroka Felda akan mendapat durian runtuh, lebih dari apa yang mereka terima melalui BR1M baru-baru ini.
PM Najib mungkin tidak mempunyai kemampuan yang lebih baik untuk memberi keyakinan kepada peneroka, selain menjanjikan bonus dan durian runtuh, hakikatnya Felda sedang sampai di persimpangan. Setiap kali PM Najib turun ke Felda, perkara yang akan dilaungkan ialah durian runtuh dan bukan gula-gula. Ia pastinya lebih baik dari duit raya dan bonus tahunan.
Janji-janji ini sentiasa di bibir PM Najib kerana ia seperti suatu syarat PM Najib jika ingin berjumpa dengan peneroka dan ahli keluarga peneroka. Penyenaraian FGVH yang dijangka pada Mei ini, masih mahu diteruskan walaupun pelbagai isu berbangkit termasuk ada orang besar yang diberikan cuti untuk sambung pelajar dan khabarnya ada lagi beberapa orang besar Felda yang akan “dihantar untuk menyambung belajar” selepas ini, kerana PM Najib sudah membuat keputusan, walaupun dengan apa cara sekali, ia akan disenaraikan.
Hari ini, peneroka Felda didatangi Perdana Menteri, Ahmad Maslan dan pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad atas alasan untuk memberi penerangan mengenai isu penyenaraian FGVH nanti.
Apakah ada perkara yang tidak kena dengan perkembangan ini? Kenapa berhempas pulas mereka masuk ke Felda dan menjemput pemimpin-pemimpin JKKR ke Kuala Lumpur untuk diberi jamuan makan dan kemudiannya dipaksa mendengar ucapan-ucapan yang meminta sokongan harus diberikan kepada Umno dan BN.
Felda ini sebenarnya sudah lama tertutup. Banyak perkara yang dirahsiakan daripada pengetahuan umum. Tetapi, sejak kebelakangan ini, khabarnya banyak maklumat yang disimpan dalam peti besi sudah terlepas keluar hingga menyebabkan PM Najib, Ahmad dan Mohd Isa menjadi kelam-kabut mengepungnya daripada terus mengalir.
Era langit terbuka dan dunia tanpa sempadan tidak menyebabkan Felda boleh terus menyembunyikan maklumat dalam peti besi dan dalam ladang kelapa sawit lagi. Banyak maklumat sudah keluar bersama-sama mengalirnya peluh peneroka di ladang getah dan ladang kelapa sawit.
Mohd Najib sebenarnya betul-betul terganggu dengan pelbagai pendedahan yang dibuat oleh ANAK tetapi beliau tidak boleh berbuat apa-apa kerana anak-anak peneroka yang berada di universiti pun sudah memahami betapa bahayanya penyeneraian ini jika tidak ditentang.
Andaikata cubaan ANAK untuk membantah usaha penyenaraian ini gagal, ia tidak menjadi hal kerana semakin ramai peneroka sudah mengetahui perkembangan sebenar penyenaraian yang bakal menghimpit peneroka di masa akan datang.
Sebenarnya Felda sudah ok, jika apa yang telah dilalui sebelum ini dipertahankan. Tetapi kegairahan PM Najib, Ahmad Maslan dan Mohd Isa untuk menyakinkan peneroka seolah-olah ada benda yang hendak mereka rebut dengan menjadikan peneroka sebagai “barang gadaian”.
Ramai yang bertanya, kenapa PM sebelum Najib tidak mengambil kisah tentang Felda tetapi dalam era Najib, beliau sendiri hendak “menguasai” Felda. Seperti ada sesuatu yang hendak dikejarnya secara terselindung. Apakah PM Najib tidak mempunyai orang kepercayaan di dalam Felda yang menyebabkan beliau enggan melepaskan pegangan dan cengkaman terhadap Felda hingga menimbulkan banyak persoalan, ketika banyak lagi tugas dan jawatan yang dibolotnya.
PM Najib adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, mewarisi jawatan itu dari PM sebelumnya termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tetapi, Dr Mahathir dan Abdullah tidak melibatkan diri secara langsung dengan Felda, berbanding dengan Najib.
Najib nampaknya mengharapkan Ahmad Maslan dapat mempengaruhi minda generasi kedua Felda yang tidak mempunyai hala tuju dan benar-benar dipersimpangan. Mereka seperti terbiar dan tidak ada satu jaminan dari kerajaan untuk memberi harapan kepada mereka untuk terus berada di kawasan Felda.
Dengan 112,635 peneroka berdaftar dengan Felda dan 1.6 juta ahli keluarga Felda, saban hari mereka dijanjikan dengan durian runtuh. Janji-janji ini adalah untuk menutup mulut peneroka dan keluarganya daripada bertanya kepada PM Najib dan Ahmad Maslan, mengapa penyenaraian perlu dibuat tergesa-gesa.
Ada juga yang bertanya, benarkan KPF akan menguasai 51 peratus FGVH kerana ada juga yang mendakwanya KPF hanya akan menguasai 37 peratus sahaja, selepas penyenaraian. Kerisauan yang menghambat PM Najib, Ahmad dan Mohd Isa ialah Pakatan Rakyat menjanjikan generasi kedua dan ketiga dijanjikan tanah perladangan jika menang pilihan raya.
Ini memeningkan ketiga-tiga orang politik Umno yang banyak betul bercakap sekarang ini. Hari ini, ramai yang menanti apakah jawapan Mohd Isa terhadap dakwaan menggunakan wang Felda untuk mengadakan jamuan Hari Raya di rumahnya dekat Port Dickson dan rumah mertuanya di Bukit Fatimah, Kuala Pilah.
Biasanya jamuan Hari Raya diadakan di Ibu Pejabat Felda Kuala Lumpur tetapi kali ini dibuat di rumah pengerusinya di luar Kuala Lumpur.
4 ulasan:
abg sayang nie terdesak sgt dah ker provok smpi mcm nie..xpayahlah buat keja mcm nie kitaoragm=ng tahulah nak buat pilihan
kalo tak nak, pulangkan balik, takkan sbb 10 org taknak 40 ribu lagi tak dapat.
coba pikir logik skett...
benda yg baik tapi di uruskan org yg banyak skandal,boleh menafikan integritinya....maka peneroka dlm kedudukan amat bahaya
just stopping by to say hello
Catat Ulasan