KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 06, 2009

Berwacana mencari kebenaran bukan berbincang untuk buka kerjasama dengan Umno! - Ustaz Nasruddin


MUQQADDIMAH: Pertemuan pada sidang media Dewan Pemuda PAS dengan Pemuda Umno di lobi Parlimen, 1 Julai lalu mula mendapat pelbagai reaksi. Ketuanya, Ustaz Nasruddin Hassan memanjangkah langkah untuk mengajak Pemuda Umno berbincang dalam wacana ilmiah secara terbuka berkisar tajuk "Apakah perjuangan Umno tidak bertentangan dengan syariat Islam".
Pro dan kontra muncul sebaik berita ini dilaporkan oleh media. Ada yang melihat Wanaca Ilmiah ini sebagi kunci baru untuk membuka semula pintu Kerajaan Perpaduan yang sudah ditutup oleh Pakatan Rakyat.
Bagi meredakan persepsi salah itu, Wartawan ROY RASUL mendapat penjelasan segara dari Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan yang mengetuai deligasi Pemuda PAS menyampaikan hasrat murni itu kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Dato' Razali Ibrahim.


Pertemuan dengan pemuda Umno di Parlimen, 1 Julai lalu telah dilihat memberi signal yang salah kerana ia dianggap satu percubaan untuk meneruskan agenda Kerajaan Perpaduan yang ditolak oleh Majlis Pakatan Rakyat pada 22 Jun lalu. Boleh Ustaz jelaskan?

USTAZ NASRUDDIN: Itu adalah tanggapan yang salah dan tidak benar. Apa yang Pemuda PAS lakukan itu, satu langkah yang diambil oleh Dewan Pemuda PAS Pusat untuk menyediakan satu pentas hujah di atas tajuk yang kita berikan "Apakah perjuangan Umno tidak bertentangan dengan syariat Islam".
Apa yang Pemuda PAS mahu ialah bagi menunjukkan perjuangan Umno masih ditolak oleh masyarakat. Ini adalah satu daripada rentetan cabaran debat Mursyidul Am Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Dan kemudiannya Pergerakan Pemuda Umno Kelantan mencabar Tuan Guru Nik Aziz berdebat.
Bagi kami, level debat bagi Tok Guru Nik Aziz ialah Presiden Umno ataupun Perdana Menteri ataupun Pemuda Umno berdepanlah dengan Pemuda PAS. Oleh kerana itu, Pemuda PAS menghantar surat Wacana Ilmiah untuk berbincang ataupun berbahas dalam isu "Apakah perjuangan Umno tidak bertentangan dengan Islam".

Mengapa timbulnya kisah wacana ilmiah ini dan kenapa memilih ia sebagai wadah bertemu Pemuda Umno?

Sebelum daripada ini, kami mencabar tiga kali Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin untuk berdebat. Pertama, dalam isu apakah Malaysia negara Islam. Kedua, benarkah Umno memperjuangkan kemerdekaan dan ketiga siapakah sebenarnya penderhaka kepada sultan.
Ketika cabaran itu, saya masih menjadi Timbalan Ketua Pemuda PAS dan ditolak mentah-mentah oleh Khairy Jamaluddin. Maka kini, saya mengambil pendekatan untuk menukar perkataan debat kepada wacana ilmiah bagi memungkinkan Khairy menerima cabaran ini bagi membolehkan kami berhujah untuk menjelaskan topik yang kita tetapkan itu, iaitu benarkan Umno bertentangan dengan syariah Islam.

Dalam kekalutan yang ada pada hari ini, mengapa Pemuda PAS mencadangkan wacana ilmiah ini?

Ini adalah tradisi Dewan Pemuda PAS Pusat. Sebelum daripada ini YB Salahuddin Ayub dan juga YB Dato' Mahfuz Omar pernah menghantar surat ataupun cabaran debat yang sama ataupun membuka forum debat yang sama dengan Pergerakan Pemuda Umno.
Kalau kita masih ingat sesi lalu, YB Salahuddin pernah menghantar surat mencabar Hisyamuddin Tun Hussein Onn sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno dalam isu PPSMI. Tetapi Hisyamuddin tidak hadir sebaliknya dia hantar Khairy Jamaluddin.
Serahan surat yang pertama juga dilakukan di Parlimen. Selepas itu mereka mengadakan satu sidang media bersama bagi menjelaskan hasrat Dewan Pemuda PAS Pusat mengajak Pergerakan Pemuda Umno berdebat dalam isu PPSMI.
Malangnya, sehingga hari ini sebagaimana biasa mereka tetap menolak cabaran itu. Jadi saya hanya meneruskan tradisi lama dan saya kira baik untuk mewujudkan forum-forum debat ilmiah bagi menegakkan kebenaran setiap hujah dan perbahasan perdebatan dengan menggunakan hujah.

Maksud Ustaz, wacana ilmiah ini untuk tujuan mencari kebenaran melalui hujah?

Niat saya menegakkan kebenaran melalui hujah dan perbahasan. Wacana ini mesti bersifat terbuka. Kami tetapkan, ia mesti bersifat terbuka dan kita tidak menerima sebarang pertemuan dan juga forum yang tertutup.
Inilah tujuan Dewan Pemuda PAS Pusat menghantar pelawaan untuk mengadakan wacana ilmiah dengan Pemuda Umno. Untuk berbincang atau berdebat berkait dengan isu tuduhan perjuangan Umno yang sesat.

Bagaimana fokus Pemuda PAS di Manek Urai?

Kita memberikan tumpuan dalam pilihan raya kecil di Manek Urai mengalahkan Umno dan Barisan Nasional. Dalam pilihan raya ini kita mengerah Dewan Pemuda PAS bertugas di Manek Urai.

Kalau begitu, bila wacana ilmiah ini akan diadakan?

Wacana ini akan diadakan selepas daripada pilihan raya kecil Manek Urai, setelah dapat menyaksikan kekalahan Umno dan Barisan Nasional. Kemudian wacana ini sekali-kali tidak akan menjurus kepada Kerajaan Perpaduan sebagaimana dilaporkan oleh sesetengah media yang saya kira ditolak keras oleh kami (Pemuda PAS).
Ada soalan daripada seorang wartawan bertanya kepada saya, bagaimana dalam wacana itu nanti ditimbulkan isu Kerajaan Perpaduan. Apa yang nak saya katakan, kami tetap fokos wacana ini tidak akan membincang soal Kerajaan Perpaduan atau menuju kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional.
Ini kerana Pakatan Rakyat telah buat keputusan dan kita pegang keputusan Pakatan Rakyat itu. Jadi yang kita buat ini,wacana ilmiah hanyalah untuk meneruskan tradisi berbincang Pemuda PAS dengan semua pihak dalam apa jua isu berdasarkan kepada kepentingan negara dan rakyat.

Berdasarkan tajuk wacana, agak khusus dan menggodam Umno. Boleh Ustaz jelaskan apa yang akan dibincang nanti?

Yang kita hendak bincangkan, apakah perjuangan Umno tidak bertentangan dengan syariat Islam? Ini kerana Tok Guru Nik Aziz berkata, Umno sesat, macam ayah Pin, macam komunis.
Tiba-tiba Pemuda Umno buat laporan polis. Ertinya dia tidak setuju mengatakan Umno itu sesat. Kalau Umno tidak setuju mengatakan mereka sesat sedangkan Tok Guru Nik Aziz kata sesat, ayuh! Kita berhujah secara ilmiah benarkah perjuangan Umno tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Mengapa isu dasar perjuangan Umno di utamakan, tidak isu-isu lain?

Selesaikan soal perjuangan dasar Umno dahulu, kemudian baru kita tetapkan soal isu-isu lain. Ini kerana sekiranya perjuangan Umno salah dan bertentangan dengan syariat, apa ertinya hendak bercakap soal rasuah, integriti, ketelusan apabila dasar Umno didapati sesat dan tidak mempedulikan sama ada syurga neraka, hak dan batil. Itulah yang kami ingin buktikan nanti.

Kenapa dalam hal ini Dewan Pemuda PAS yang pergi jumpa Umno untuk berwacana, tidakkah ini boleh menimbul fitnah?

Kita bukan pergi kepada Umno. Kita mencabar Umno untuk datang berdebat dalam gelanggang kita. Sama ada kita buat atau tidak, kita bersedia untuk berhujah bila-bila masa. Kita bukan pergi kepada Umno tetapi menjemput dengan Umno datang dalam gelanggang yang kita buka untuk berhujah dan kita berpegang kepada kebenaran dengan hujah-hujah berlandaskan Islam.
Kita tidak mahu menjadi macam raja-raja yang zalim seperti dulu-dulu. Apabila mereka kalah berhujah, mereka menggunakan kekerasan. Kita mesti menang dalam berhujah.
Oleh kerana Dewan Pemuda PAS Pusat sangat yakin bahawa perjuangan Islam itu adalah benar maka kita berani untuk berhujah dan kita yakin hujah kebenaran itu berpihak kepada PAS.
Jadi tidak timbul isu, Pemuda PAS pergi kepada Umno. Kita hanya pergi untuk menyerah surat tawaran wacana ilmiah sebagai forum berhujah. Itu sahaja.
Dan ingin saya perbetulkan, persepsi inilah yang menyebabkan ajakan Pemuda PAS disalahertikan oleh banyak pihak. Kita bukan ajak Umno bincang benda lain, tapi PAS pelawa wacana ilmiah atas tajuk yang kita berikan. Itu sahaja.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sudahpun mengalu-alukan dan menyifatkan cadangan daripada Pemuda PAS itu sebagai sesuatu yang positif. Bagaimana ustaz melihat respons tersebut?

Kalau beliau mengalu-alukan ia sesuatu yang positif, Khairy kena turun untuk berwacana. Sebab apa yang disebut oleh Khairy inilah juga yang disebut sewaktu menerima tawaran debat kami dulu. Sewaktu dia menerima tawaran debat kami dulu, dia kata, "kami menerima usaha yang baik dan kami menerima baik tawaran berhujah daripada PAS secara intelektual dalam isu PPSMI."
Tetapi ke mana beliau sekarang. Sehingga hari ini beliau tidak turun ke pentas debat. Jadi saya harap jangan cakap saja, Khairy mesti turun bersekemuka dengan Dewan Pemuda PAS Pusat. Saya tidak mahu ini hanya satu retorik. Kalau tidak saya akan chop Khairy sebagai pengecut.

Tidakkah pelawaan berwacana ini boleh 'mengganggu' kempen pilihan raya di Manek Urai sekarang ini. Umno pastinya akan memanipulasikan isu ini, seperti putar-belit media sekarang...

Pada saya ini adalah satu usaha untuk membantu. Sebab saya sambung cadangan debat Tuan Guru Nik Aziz. Dengan harapan dan menunjukkan kita bersedia untuk berhujah. Jadi sekiranya Umno sanggup untuk menerima ataupun mereka berani berwacana dengan Pemuda PAS maka di sana nanti rakyat menilai hujah kedua-dua pihak.
Saya tidak fikir, apa yang kita lakukan ini boleh mengganggu kempen Manek Urai kerana tekanan dan hujah kita tetap seperti biasa iaitu berjalan ke atas Umno dan Barisan Nasional.
Kita tetap mendokong cita-cita perjuangan dan tetap mendedahkan penyelewengan yang dilakukan oleh Umno. Kita tetap teruskan. Bukan bermakna dengan wacana yang kita cadangkan ini maka kita menghenti segala tindakan terhadap Umno dan Barisan Nasional.

Laporan akhbar hari ini (2 Julai) nampaknya sudah mula memanipulasikan pelawaan wacana Pemuda PAS sebagai ada kaitan dengan agenda Kerajaan Pusat. Bagaimana ustaz menepis dakyah jahat ini?

Tidak ada kena-mengena langsung dan sepanjang dalam surat jemputan wacana tidak disebut sabagai UG (Kerajaan Perpaduan). Dalam kenyataan media kami pun tidak disebut tentang UG dan wacana ilmiah itu ke arah kita berbahas dan berhujah. Di mana pula timbulnya perkataan UG itu?
Maka saya menyangkal sekaras-kerasnya dakwaan yang cuba mengaitkan wacana dengan UG. Saya tidak tahu dari mana datangnya kalimah itu. Apakah ini suatu percubaan pihak tertentu untuk mengeruh keadaan dan menimbul polemik berpanjangan?
Dewan Pemuda PAS tetap konsisten dengan keputusan Pakatan Rakyat, iaitu pertahankan dan perkukuhkan Pakatan Rakyat. Dalam masa yang sama kita bersedia untuk berbincang, berdebat, berdialog, berwacana dengan semua pihak berasaskan hujah bagi menegak kebenaran dan menumpas kebatilan.

Mampukah Pakatan Rakyat mempergunakan kegagalan demi kegagalan BN untuk menguasai Putrajaya?


KEGAGALAN demi kegagalan ditonjolkan kerajaan Barisan Nasional (BN), khususnya selepas keputusan pilihan raya umum ke-12, Mac lalu yang jelas menafikan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen serta pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat di beberapa buah negeri.

Secara umumnya, penolakan rakyat terhadap BN dikatakan berpunca dari hilangnya keyakinan mereka terhadap komponen itu dalam usaha menghapuskan gejala rasuah yang berakar umbi di dalam BN sendiri, khususnya Umno.

Malah, faktor penolakan rakyat itu turut diakui bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew ketika pertemuan beliau dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, bulan lalu.

Biarpun, setiap Perdana Menteri, ataupun Presiden Umno mengisytiharkan hasrat untuk memerangi rasuah setiap kali mengambil alih kepimpinan negara, namun sehingga ke hari ini usaha-usaha ke arah itu tidak membuahkan sebarang hasil.

Rakyat sudah tentu tidak lupa saat Tun Abdullah Ahmad Badawi mula-mula memegang tampuk pemerintahan apabila beliau dengan nada tegas mengumumkan akan membanteras penyakit rasuah di segenap peringkat.

Sayangnya, slogan tersebut tidak berubah ke mana, biarpun ia diiringi dengan pengenalan konsep 'Islam Hadhari' - satu konsep yang jika secara betulnya boleh membimbing ke arah menghapuskan elemen-elemen rasuah.

Penubuhan SPRM gagal turunkan indeks rasuah

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman yang turut terpanggil membicarakan isu rasuah ini secara jelas menyatakan indeks rasuah negara semakin meningkat biarpun berlaku perubahan seperti penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Secara asasnya, penubuhan SPRM itu dikatakan bagi menambahbaikan pengawalan, penguatkuasaan dan pencegahan rasuah, namun dengan penambahan anggota risikan SPRM, kos penggajian anggota SPRM, 'pelaburan' itu dilihat hanya satu pembaziran wang rakyat.

"Penubuhan SPRM yang kononnya untuk penambahbaikan hanya diperguna dan diperalatkan BN untuk memberi tekanan kepada kes-kes yang melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat," kata beliau yang pernah membuat aduan di SPRM mengenai puluhan salahlaku rasuah yang dilakukan bekas PM, Tun Mahathir Mohamad.



18 kes berprofil tinggi

Mengimbau kembali kenyataan salah seorang ahli kabinet BN yang menyatakan terdapat 18 kes berprofil tinggi membabitkan anggota BN dalam beberapa kes rasuah, Mazlan sememangnya tidak menaruh harapan yang tinggi kepada BN untuk membanteras penyakit yang membarah dalam BN ini.

Secara dasarnya, Mazlan berpandangan ada ketikanya SPRM bertindak mendahului siasatan apabila terdapat dakwaan rasuah melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat, sedangkan rakyat sudah jelek mendengar tuduhan rasuah yang disabitkan ke atas pimpinan BN.

Menyentuh soal sama, Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Muslimat PAS, Aiman Athirah menegaskan kegagalan BN dalam membanteras gejala rasuah ini berpunca dari wujudnya gejala itu sendiri di kalangan pemimpin dan penguatkuasaan itu sendiri.

"Manakan mungkin gejala rasuah ini dapat dibanteras sebaik mungkin, jika penguatkuasanya, para pimpinannya sendiri mengamalkan rasuah," dakwa beliau jelas kesal dengan beberapa siri pendedahan rasuah berprofil tinggi yang senyap begitu sahaja.

Sambil mengharapkan rakyat membuat satu perubahan yang jelas dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang, Athirah turut terpanggil untuk mengingatkan para pemimpin di negara ini untuk mengingati kembali peranan yang diberikan Allah kepada mereka sebagai amanah dalam menjaga kepentingan rakyat.

Menyedari gejala yang satu ini bagaikan sudah berakar umbi di dalam BN, maka Athirah lantas tidak menaruh sebarang keyakinan bahawa BN akan bersungguh-sungguh memastikan masalah rasuah ini dapat diselesaikan dengan jayanya.



Sumber Petroleum gagal di tangan BN

Biarpun menyedari masalah rasuah tidak pernah sembuh di kalangan BN, parti Melayu terbesar itu masih tidak menginsafi segala 'pengajaran' yang diberikan rakyat kepada mereka pada pilihan raya umum, Mac lalu.

Terbaru, soal kekayaan petroleum dan pengagihan royaltinya menjadi isu, khususnya
bagi rakyat Kelantan yang dinafikan hak untuk menikmatinya. Jika sebelum ini, rakyat Terengganu sering berkeluh-kesah apabila royalti minyak dari perut bumi negeri mereka ditarik di zaman PAS memerintah negeri itu, kini rakyat Kelantan dinafikan pula hak.

Melambangkan amalan politik dendam kesumat, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berpendapat ia merupakan satu manifestasi kegagalan berterusan yang dilanjutkan PM, Najib Tun Razak yang membuktikan slogan 'One Malaysia' hanya omongan kosong, gimik politik yang hanya untuk menyedapkan telinga dan menutup segala keaiban BN.

"Dengan tindakan BN menafikan hak untuk mengagihkan royalti minyak kepada rakyat Kelantan, jelas membuktikan apa yang didakwa Pakatan Rakyat selama ini bahawa memang wujud unsur-unsur korupsi, kronisme, yang masih menebal yang tidak dapat diselesaikan dengan baik oleh BN," tegas beliau sambil mengecam konsep 'Satu Malaysia' yang kononnya mengutamakan rakyat.



Satu Malaysia yang kabur

Menyentuh episod kegagalan BN, turut terpalit adalah konsep Satu Malaysia yang dicanangkan kepada rakyat setiap hari di media massa anutan pimpinan BN. Dengan pengumuman Najib apabila mengganti Abdullah, ia dilihat hanyalah slogan dan retorik yang dilagukan mana-mana PM yang mengambil alih kepimpinan.

Jika Tun Mahathir dengan 'Bersih, Cekap dan Amanah', Abdullah dengan 'Islam Hadhari', Najib pula muncul dengan 'Satu Malaysia' - satu amalan dan tradisi yang dilakukan BN bagi membuat perubahan kononnya.

"Kononnya dengan Bersih, Cekap, Amanah, gejala rasuah boleh dihapuskan, hakikatnya indeks semakin meningkat. Begitu juga dengan Islam Hadhari yang menyaksikan kes jenayah terus berkembang, sedangkan Islam itu sendiri bertujuan menyelamatkan rakyat. Namun, slogan itu hanya retorik yang tidak diusahakan secara tuntas oleh PM BN," sangkal Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh.



ISA - Adakah mengutamakan rakyat?

Secara jelasnya, Nuridah mengupas isu ISA yang disifatkan tidak relevan di mata rakyat muktahir ini dengan konsep Satu Malaysia yang digagaskan Najib - satu konsep yang kononnya mengutamakan rakyat.

Beliau berpendapat, jika benar Najib mengutamakan rakyat, tentu akta rimba tidak berkemanusiaan itu dihapuskan bagi memastikan kehendak rakyat yang cintakan keadilan dipenuhi.

Dengan pembebasan hanya 26 tahanan ISA, bukanlah menjadi satu petunjuk bahawa rakyat diutamakan, sedangkan di sebalik jaring Kamunting masih ada yang merengkok, malah lebih dari tujuh tahun tanpa dibuktikan kesalahan mereka.

Malah, Nuridah menyelar konsep Satu Malaysia yang dilihatnya sebagai kabur apabila dalam masa yang sama, BN yang bangga menguar-uarkan mereka adalah pejuang Melayu, turut bercita-cita besar mengamalkan konsep Satu Malaysia yang merangkumi pelbagai kaum.

"Jelasnya, BN sendiri sudah keliru dan berkecamuk dengan reaksi penolakan rakyat terhadap parti itu hinggakan gopoh menggagaskan berbagai konsep dalam satu masa bagi memenangi hati rakyat," kata beliau.

Apapun, rakyat kini kian celik politik. Tidak semudah dulu, Umno dan BN boleh meloloskan diri dari segala macam penyelewengan dan sekatan terhadap rakyat. Kesedaran mereka begitu tinggi sekali sejak era reformasi hingga menyatukan parti-parti seteru dulunya, seperti PAS, DAP dan KeADILan.

Malah, gabungan badan-badan bukan kerajaan juga dan individu yang tersohor juga telah meletakkan BN di kandang orang salah. Lihat dalam isu penghapusan PPSMI dan ISA. Tokoh seperti Sasterawan Negara, Dato' A Samad said, Dato' Hassan Ahmad dan ramai lagi, duduk semeja memberikan asakan dalam membela rakyat.

Apakah Umno mampu bertahan pada pilihan raya umum ke 13 nanti? Jika Teori RAHMAN digunakan, sudah tentulah Najib bakan menjadi PM terakhir dari BN selepas ini. Dan sudah tentu juga, Pakatan Rakyat yang kini menjadi "kerajaan menanti" akan diberi peluang oleh rakyat Malaysia untuk menguasai Putrajaya, membela nasib mereka.

Ditulis Oleh TARMIZI MOHD JAM
dan ANIS NAZRI

Surat pelawaan Tok Guru Nik Aziz ajak Najib Tun Razak berdebat

MUQQADDIMAH: MURSYIDUL Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz sudahpun mengirim sepucuk surat bertarikh 9 Rejab 1430/2 Julai 2009 kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak. Bagi beliau, pegangan Umno yang menolak jalan yang lurus inilah diertikan sebagai boleh membawa kepada perpecahan dan kesesatan.
Lantaran itu, undangan debat kepada Najib sangat-sangat diperlukan bagi merungkai segala kekusutan ini.
"Sekali lagi saya dengan ikhlas mengangkat cadangan ini agar sudilah apa kiranya YAB. Dato Seri menerima pelawaan ini mengikut kesesuaian tarikh Dato' Seri demi kebaikan bersama. Semoga diizinkan Allah."
Ikutilah di bawah ini, teks penuh surat cadangan mengadakan Debat Ilmiah Isu Umno Parti Menolak Islam, untuk tatapan pembaca sekalian.


DENGAN segala hormatnya, di maklumkan bahawa saya ada menerima khabar tentang laporan polis yang dibuat oleh anak buah di Kelantan Dato’ Seri berhubung dengan perkara di atas. Pada dasarnya, saya lebih banyak berlapang dada.

Mengikut laporan, kononnya saya telah menghasut dengan mengatakan bahawa Umno sebuah parti yang sesat.

Di sini, izinkan saya tegaskan sekali lagi bahawa “mana-mana faham yang menolak Islam (termasuk Umno) – sememangnya kita panggil ajaran sesat”. (lihat Utusan Malaysia muka surat 6, 27 Jun 2009).

Sebagai penjelasan, mari kita mulakan begini. Pertama, dunia ini bukan dibuat oleh manusia atau terjadi sendiri. Ia ada penciptanya dan tuannya yakni Allah. Oleh sebab itulah kita tidak boleh buat pandai-pandai, melebihi dari apa yang menjadi kehendak “Tuan Punya” yang menjadi tuan rumah kepada seluruh alam ini.

Kedua, al-Quran menetapkan bahawa manusia, tanpa mengira bangsa , bahasa dan keturunan adalah menjadi khalifah-Nya. Kepada manusia pertama iaitu Adam ‘alaihissalam, Allah SWT telah menetapkan bahawa sebarang perbalahan yang berlaku di antara anak buah kamu (lihat sebahagian surah al-Baqarah Ayat 36) akan menjadi reda dan tenang (lihat pula sebahagian Surah al-Baqarah Ayat 38) sekiranya kamu menuruti hidayah-Ku. Atau, maksud kedua-dua perkara ini ada dirangkumkan dengan penuh didalam surah Thoha yang bermaksud, “Allah berfirman:turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Maka, jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, lalu barangsiapa yang mengikuti petunjuk dari-Ku, ia tidak akan sesat dan celaka.” (Lihat surah Thoha Ayat 123). Ini adalah benda yang menjadi tugas utama yang amat penting para Nabi sejak daripada zaman berzaman termasuk Nabi Muhammad SAW.

Nabi SAW mewajibkan kita membaca Fatihah dalam sembahyang. Di dalam Fatihah, telah ditetapkan tiga perkara pokok. Satu laluan yang betul dan dua yang salah. Ayat “si ro thollazi na an ‘am ta ‘alai him” yang menuntut jalan yang lurus adalah betul manakala ayat “ghoiril maghdhu bi ‘alaihim waladdhol liin” adalah yang salah seperti yang di maksudkan. Aneh, bahkan silapnya Umno ialah Umno tolak yang betul iaitu “siro thollazi na an ‘am ta” yang menjadi jalan Nabi-Nabi iaitu menolak Islam dan mengambil sistem sekular barat yang tidak pasal-pasal menimbulkan pecah-belah teruk di kalangan seluruh orang Melayu dan orang Islam bukan Melayu di Malaysia. Ini termasuk jugalah perpecahan antara orang Islam dan Non–Islam di negara kita.

Lebih buruk apabila semuanya ini menjadikan orang-orang yang belum Islam terkapai-kapai; yang mana yang sebenar samaada Islam atau sekular. Hasil daripada inilah saya rasa sudah sampai masanya untuk mengajak Presiden Umno yang menjadi Perdana Menteri sekarang ini bersemuka dengan saya di atas dasar “waja dil hum billati hiya ahsan” yang bermaksud, “serulah manusia pada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan nasihat yang baik“ Sebahagian dari maksud surah an-Nahl Ayat 125).

Persoalan yang ada di hadapan kita sekarang ialah kenapa Umno tolak Islam sedangkan Islam adalah jalan yang bersifat “siro thol mustaqiim”? Bahkan, sikap Umno melawan PAS sedangkan PAS yang ditubuhkan sejak 1951 meletakkan Islam sebagai dasar adalah sebuah kekeliruan yang cukup dahsyat. Pegangan Umno yang menolak jalan yang lurus inilah yang saya ertikan sebagai boleh membawa kepada perpecahan dan kesesatan.

Menyamakan atau membandingkan ajaran Ayah Pin atau komunis dengan Umno yang menolak Islam adalah sekadar mematuhi kaedah al-balaaghah. Ini penggunaan perumpamaan atau kiasan semata-mata. Jauh dari segi maudhu’, ia bertujuan untuk menjelaskan bagaimana aliran asal sekularisme yang menolak agama khususnya Islam dari pemerintahan. Ini punca sebenar atau ibu kepada segala kesesatan. Apabila sekularisme itu adalah faham yang sesat, maka tidakkah faham kebangsaan yang merupakan cabang dari ajaran sekular bawaan Parti Kebangsaaan Melayu Bersatu (Umno) itu juga turut sesat?

Seperti yang kita sedia maklum, perdebatan diterima oleh Islam dan diterima oleh demokrasi. Ia perkara fitrah dan perkara sedunia. Contoh terdekat ialah perdebatan antara Obama dengan saingan beliau dari parti Republikan. Begitu juga dengan debat antara calun-calun Presiden Indonesia terkini yang sedang berlangsung di Jakarta yakni antara regu Susilo Bambang Yudhono/Boediono, Megawati Soekarnoputri/Prabowo Subianto dan Jusuf Kalla/Wiranto.

Jika di Eropah dan negara negara demokrasi yang lain, debat lebih ditumpukan kepada perkara-perkara cabang yang bersifat keduniaan semata-mata maka apa salahnya jika kali ini kita perbahaskan perkara pokok yang menyentuh aqidah? Masalah yang saya bawa ini adalah perkara aqidah yakni persoalan tunjang yang menyentuh kedua-dua kepentingan secara bersekali, dunia dan akhirat.Jika tidak betul aqidah, sembahyangpun tidak diterima. Dunia demokrasi yang sekular; mana ada pedulikan masalah aqidah dan persoalan “sesat tak sesat”? Soal sesat atau tidak, ini istilah ugama. Ini bukan isu perlembagaan dan undang-undang.

Sesat seperti yang terdapat di hujung surah al-Fatihah (adho- Lliin) bererti dholalah yakni tidak bertemu atau berjumpa jalan.Kita perlu sama-sama sedar bahawa jalan yang boleh diharap hanyalah jalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Ini persoalan “huda llil muttaqiin” yakni jalan yang menjadi petunjuk bagi mereka yang bertaqwa (lihat sebahagian maksud al-Baqarah Ayat 2). Tak turut jalan inilah apa yang dipanggil sesat.
Tidak timbul sama sekali soal menghasut atau mencetuskan keresahan. Ini isu ugama sepenuhnya. Ini persoalan teguran dan dakwah.

Demi mencari kejernihan dan menghentikan polemik, saya mohon mencadangkan sebuah debat ilmiyyah dianjurkan dalam tempoh terdekat kearah menjelas dan merungkai segala kemusykilan dari kedua-dua perspektif parti bertajuk “kerana apa Umno tolak Islam dan kerana apa Umno lawan PAS”; tidak lebih daripada itu. Insya Allah, saya bersedia untuk bersama Dato’ Seri Perdana Menteri dalam majlis berkenaan tanpa meletakkan sebarang syarat.

Lantiklah mana-mana mufti atau salah seorang sarjana yang faqih lagi amanah, baik dari dalam mahupun luar Negara untuk menjadi pemudah cara yang adil bagi tujuan ini. Tempat yang sesuai boleh ditetapkan oleh pihak Dato’ Seri, baik di Kuala Lumpur atau di mana-mana. Hari dan masa juga adalah mengikut kelapangan dan keselesaan YAB. Saya boleh mematuhi kepada apa jua ketetapan asalkan Dato’ Seri bersedia untuk bersama dalam sebuah rapat ilmiyyah untuk dibuat siaran langsung demi manfaat Negara.

Seluruh rakyat akan menjadi hakim di atas pelbagai sandaran yang saya maksudkan ketika mengatakan apa yang telah saya sebut mengenai fenomena Umno dengan persoalan kesesatan ini.

Jadi, sekali lagi saya dengan ikhlas mengangkat cadangan ini agar sudilah apa kiranya YAB. Dato Seri menerima pelawaan ini mengikut kesesuaian tarikh Dato' Seri demi kebaikan bersama. Semoga diizinkan Allah.

Terima kasih, Wasalam.

Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Jumaat, Julai 03, 2009

Terdayakah Khairi Jamaluddin memulas tangan Nasruddin di sebalik wacana ilmiah?


UMNO sangat berminat dengan Kerajaan Perpaduan. Walau pun idea itu telah dinoktahkan oleh PAS, Umno tetap menyelinap mencari ruang untuk menghidupkannya semula. Ketua Penerangan Umno berkata, masih ada pemimpin PAS yang menyetujui idea itu.

Kalau benar ada pemimpin PAS yang menyetujuinya pun, itu tidak berbangkit lagi sebab idea itu telah dimuktamadkan untuk dinoktahkan. Ini keputusan rasmi parti.

Apabila Najib menolak pelawaan Mursyidul Am PAS untuk berdebat, Pemuda PAS mengambil inisiatif menyambung idea debat itu dengan mempelawa Pemuda Umno pula. Menariknya, Pemuda Umno menyambut pelawaan itu.

Sambut Pemuda Umno dengan tolak Najib adalah sama sahaja dari segi taktikalnya. Najib menolak kerana pada pandangannya itu menguntungkan Umno. Pemuda Umno menyambut pun kerana pada pandangan mereka itu menguntungkan Umno.

Debat antara Najib dengan Nik Abdul Aziz bukan hanya soal siapa menang dan kalah dalam hujah, tetapi kehadiran Nik Abdul Aziz sahaja pun rasanya menyinarkan Najib. Mungkin itu antara perkiraan Najib. Kalau Najib ingin menghantar ulama’ juga, siapa ulama itu? Adakah Nik Aziz pula bersedia untuk sepentas dengan orang selain Najib?

Jadi, debat Najib dengan Nik Abdul Aziz, bagi Najib lebih baik tak jadi daripada jadi.

Pemuda Umno pula menerima pelawaan itu dengan tujuan mengilas tangan Pemuda PAS. Sama ada Pemuda Umno mampu mengilasnya atau tidak, itu soal lain. Tapi apa yang kelihatan usaha mengilas tangan itu ada.

Bagaimana? Kenyataan Khairi Jamaludin bahawa pelawaan Pemuda PAS itu sebagai ‘menepati pandangan Pemuda Umno yang menginginkan kerjasama antara kedua-dua parti terjalin’ ada bau-bau idea Kerajaan Perpaduan.

Maksudnya, Pemuda Umno ingin terus mengaitkan debat ini dengan idea itu. Khairi mengukuhkan kenyataan Ketua Penerangan Umno bahawa memang benar ada pemimpin PAS yang bersetuju dengan idea Kerajaan Perpaduan itu dan pemimpin itu ialah Ketua Pemuda PAS Pusat.

Nampaknya, Khairi sudah menyiapkan otot lengannya untuk memulas tangan Nasruddin. Pemuda PAS sendiri mengaku bahawa media salah lapor mengenai cadangan Pemuda PAS itu. Ya, media arus perdana milik Umno, Khairi orang Umno dan tentulah laporan media itu menguntungkan Umno. Bukankah itu langkah Khairi memulas tangan Nasruddin?

Pelawaan Nik Abdul Aziz dengan pelawaan Nasruddin tidak sama dari segi nilai dan kekuatannya. Nik Abdul Aziz mempelawa dalam keadaan semua orang tahu dia sangat menentang idea kerajaan perpaduan.

Nasruddin pula mempelawa Pemuda Umno dalam keadaan dia dilihat sebagai penyokong idea itu. Sebab itu Najib menolak pelawaan Nik Abdul Aziz dan Khairi menerima pelawaan Pemuda PAS.

Bagi saya, Khairi telah mula memulas tangan Nasrudin. Ketua Pemuda ini perlu ada kekuatan untuk menahan pulasan itu dan memulasnya kembali. Kalau tidak, Nasruddin tentu memulakan era sebagai ketua pemuda dengan kerutan muka sebab terpulas tangan.

Harap-harap tidak.

Ditulis Oleh ZOLKHARNAIN ABIDIN
Exco Dewan Ulama PAS Pusat / mantan Adun Santan Perlis

Perginya tokoh Islam tersohor Dr. Fathy Yakan, yang tidak disorot oleh sesiapapun

PADA 13 Jun lalu, bukan hanya dunia Islam malah seluruh dunia sebenarnya kehilangan sebutir bintang. Bintang yang sinarnya selama ini tidak sahaja sebagai penghias malam yang kelam malah memberikan banyak panduan terutama dalam menjayakan gerakan dakwah Islamiah dan perpaduan umat Islam.

Bintang tersebut merupakan tokoh besar, Dr. Sheikh Fathy Yakan yang meninggal dunia pada usia 76 tahun di sebuah hospital di Beirut, ibu negara Lebanon atas masalah kesihatan pada pagi Sabtu yang hening itu.

Seorang tokoh besar Islam yang tidak asing lagi, terutama hasil karya besarnya bertajuk Apa Ertinya Saya Menganut Agama Islam? Buku itu adalah salah satu daripada 35 penulisan besar Allahyarham yang menjadi rujukan penting kepada kepada dunia.

Dilahirkan di Tripoli, Libya pada tahun 1933, Allahyarham banyak memberikan corak baru perjuangan gerakan-gerakan dakwah dan politik Islam yang dapat diterima oleh pelbagai pihak di samping seorang ahli cendekiawan atau ahli akademik muslim yang ternama.

Sejak tahun 1959 lagi beliau mengasaskan gerakan politik di Lebanon sehingga beliau mendapat gelaran Bapa Gerakan Islam Lebanon. Malah, sehingga ke akhir hayatnya, beliau masih menganggotai parlimen di negara asalnya itu.

Dr. Fathy banyak menghasilkan penulisan mengenai aliran politik dari yang moden sehinggalah yang berbentuk ekstremis. Judul yang mendapat sambutan dunia sehingga diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa adalah Priorities of Islamic Movements after September 11.

Allahyarhamlah yang paling kerap terpanggil ke serata pelosok tempat untuk menjawab segala tuduhan terhadap Islam sebagai agama keganasan akibat tragedi yang menimpa Pusat Dagangan Dunia New York (WTC) pada tahun 2001 itu.

Dr. Fathy merupakan tokoh yang bertanggungjawab dalam menubuhkan Gamaah (Jemaah) Islamiah pada tahun 1960-an dan komitednya beliau dalam pertubuhan itu sehingga pada tahun 1992, beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung.

Selepas bersara, beliau menumpukan tugas sebagai Anggota Parlimen berikutan kemenangan dalam pilihan raya.

Pemergian beliau benar-benar satu kehilangan besar kerana jarang kedapatan mana-mana tokoh yang sanggup menghabiskan seluruh hidupnya, fizikal, jiwa dan rohani dengan tertumpu kepada perjuangan Islam.

Allahyarham terkenal kerana menggesa kepada satu gerakan Islam yang moden dengan pemikiran dan aliran yang toleransi terutama kepada golongan yang muda.

Walau dalam keadaan yang uzur, beliau sering berasa bimbang dengan golongan muda yang baginya mudah terpengaruh kepada pelbagai unsur. Adalah penting baginya untuk membentuk golongan ini kepada yang lebih positif namun mencapai kejayaan dalam gerakan yang mereka sertai.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tinal dan dikebumikan di pusara milik keluarganya di Bab Al Raml. Upacara pengkebumian tokoh Islam ini dihadiri oleh beribu-ribu umat Islam dari seluruh pelosok tempat sejurus berita kematiannya tersebar. Sehingga kini ucapan takziah masih mencurah-curah diterima oleh keluarga arwah.

Penulisan terkenal arwah yang menambahkan lagi kekayaan khazanah dan gedung-gedung ilmu, antaranya:

*The Problems of Da'wah and Du'ah,

*How to Call for Islam?

*Towards a Unified International Call for Islam

*What Does My Commitment to Islam Mean?

*Movements and Doctrines in the Balance of Islam

*Comprehension in the Life of Da'wah and Du'ah

*Towards an Islamic Awakening of the Era

*Methods of Islamic Adaptation in the 20th Century

*Islam -Ideology, Movement and Rebellion

*Youth and Change

*Those Left behind on the Path of Da'wah

*The Preliminaries of the Activist Concept in Islamic Work

*Critical Issues in the Islamic Experience.

Mujur kepada umat Islam hari ini kita masih boleh menghayati dan mengambil manfaat hasil-hasil karya besar Dr. Fathy ini walaupun selepas pemergian Allahyarham.

Antara yang sempat diambil dengan kenyataan beliau semasa menjawab soalan para pengunjung laman web terkenal, Islam Online:

"Walau bagaimanapun, kesan dari tragedi serangan 9 September 2001, Islam menjadi tumpuan dan minat kalangan masyarakat Barat untuk mengenali agama itu dengan lebih dekat lagi.

"Statistik terkini menunjukkan minat terhadap Islam telah berkembang berlipat kali ganda dengan berjuta-juta naskhah al-Quran terpaksa dicetak dan begitu juga buku-buku mengenai Islam terjual dengan begitu laris di pasaran.

"Apa yang lebih menakjubkan dari peristiwa yang mengejutkan itu dan dari kempen-kempen anti Islam, lebih 10,000 penduduk United Kingdom memeluk Islam dan begitu juga 3,000 orang dari penduduk Mexico memeluk Islam dan beratus-ratus lagi dari kalangan Hindu dan Buddha juga meninggalkan agama mereka untuk memeluk Islam. Semua ini berlaku selepas kejadian 9/11, Subhanallah," kata Allahyarham.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke arah roh Allahyarham. - AL FATIHAH!

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Tidak puas hati isu babi, DAP Kedah bertindak keluar Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: DAP Kedah memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat hari ini ekoran tindakan kerajaan negeri itu yang didakwa tidak menyelesaikan siri isu yang wujud sejak selepas pilihan raya umum 2008, lapor G Manimaran.

Keputusan untuk keluar Pakatan Rakyat Kedah diputuskan oleh DAP sebentar tadi, kata Pengerusi DAP Kedah dan Perlis, Thomas Su ketika dihubungi mStar Online.

"Keluar, kami sudah buat keputusan... ini keputusan mutkamad kami (DAP Kedah)," kata beliau sambil menambah, atas prinsip dan pendirian parti, pihaknya memutuskan tindakan sedemikian.

Kata beliau, keputusan itu telah diambil selepas Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merobohkan rumah sembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar petang 1 Julai. Sepasukan anggota penguat kuasa MBAS merobohkan rumah sembelihan babi itu pada pukul 3.30 petang tadi.

Mengikut laporan media sebelum ini, premis itu sepatutnya dirobohkan penghujung Mei lalu, tetapi ditangguhkan selama sebulan sehingga semalam. Ia merupakan antara beberapa isu yang menjadi punca retaknya kerjasama DAP dalam Pakatan Rakyat Kedah. Satu lagi isu ialah kontroversi mengenai kuota perumahan 50 peratus bagi bumiputera.

Oktober lalu, kerajaan Pakatan Rakyat Kedah meningkatkan kuota tersebut daripada 30 peratus kepada 50 peratus bagi projek perumahan baru di negeri itu. DAP mempunyai hanya seorang wakil rakyat di Kedah iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Darulaman, Lee Guan Aik.

Su berkata, ia merupakan antara beberapa isu yang tidak menemui penyelesaian walaupun dibangkitkan dan dibawa kepada perhatian kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat.

Kata beliau, pihaknya akan memanjangkan keputusan itu kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam waktu terdekat untuk pengesahan.

"Keputusan ini perlu mendapat pengesahan CEC," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Jawatankuasa Penganjur Pusat DAP, Teresa Kok ketika ditemui di lobi Parlimen memberitahu, beliau menyedari tentang keputusan tersebut sebentar tadi.

"Mereka mengambil keputusan untuk keluar Pakatan Rakyat selepas tidak berpuas hati dengan pendirian kerajaan negeri tidak menyelesaikan masalah-masalah yang timbul... DAP Kedah mendapati banyak masalah masyarakat bukan Melayu tidak diselesaikan," katanya.

Ketika ditanya sama ada DAP akan membincangkan isu itu dalam waktu terdekat, Teresa memberitahu, perkembangan itu akan dibincangkan pada mesyuarat pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat di sini 2 Julai.

Siswa UM akan bertindak jika rakan mereka dipecat kerana bantah Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR: Kumpulan mahasiswa bersedia melancarkan bantahan besar jika Universiti Malaya mengambil tindakan tatatertib terhadap dua pelajarnya yang diseret ke mahkamah 1 Julai lalu.

Sehubungan itu, Persatuan Mahasiswa Islam UM juga berharap pentadbiran kampus tidak mengambil tindakan pecat seperti yang pernah dialami oleh tujuh mahasiswa institusi pengajian tinggi awam yang dituduh terbabit dalam satu perhimpunan haram pada 2001.

"Di pihak universiti pula, penulis ingin memberi peringatan supaya jangan sesekali mengambil tindakan dengan menghukum mereka sebelum mereka dibuktikan bersalah," kata presidennya Shazni Munir Mohd Ithnin di blognya hari ini.

"Jika seandainya hal yang pernah berlaku pada mangsa-mangsa ISA 7 berulang, penulis dan seluruh mahasiswa yang di dadanya kejap dengan perjuangan kemahasiswaan, tidak akan teragak-agak untuk membuat bantahan di segenap sudut."

Kes tujuh pelajar itu - yang dikenali "ISA 7" kerana membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri - berlarutan hingga 18 Jun lalu apabila lima daripada mereka bersalah dan didenda RM3,900 tiap seorang.

Seorang daripada mereka - yang menyertai perhimpuan di Masjid Negara pada 8 Jun 2001 - dilepaskan, sementara seorang lagi tidak menghadiri perbicaraan.

Shazni Munir, kini sedang dicari polis bagi membantu siasatan berhubung kes menconteng dan cubaan membakar dewan Akademi Pengajian Islam, juga berharap proses mahkamah berjalan dengan adil.

"Penulis dengan pengharapan yang menggunung, masih lagi mengharapkan proses perbicaraan berlangsung tanpa 'tangan-tangan ghaib' yang mengganggu, dan hakim mengadilinya dengan penuh adil serta saksama," katanya lagi.

Semalam, dua pelajar UM dituduh di mahkamah atas dakwaan menconteng dan cubaan membakar dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Rosmah Mansor, 24 Jun lalu.

Mereka juga dituduh menyimbah petrol di permaidani beberapa jam sebelum dilalui oleh isteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyertai kempen derma 'Power of 10 Sen: Gaza Dibela' bagi anak-anak Palestin di dewan utama Akademi Pengajian Islam.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dibebaskan hari ini selepas dijamin RM5,500 tiap seorang.

Satu sumber polis memberitahu Malaysiakini semalam, kesalahan tersebut dipercayai dilakukan oleh lima orang, termasuk dua menconteng, dua mengawasi kawasan sekeliling sewaktu kejadian dan seorang lagi dianggap dalang perbuatan itu, .

Selain Shazni Munir, polis juga sedang menjejaki Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani - kedua-duanya dipercayai pelajar akademi Islam - bagi membantu siasatan.

Menurut tulisannya itu, Shazni Munir juga menyatakan kerisauan berhubung perjalanan perbicaraan terhadap dua rakannya itu.

"Masakan tidak, siapakah yang dapat memberikan jaminan kepada penulis yang mereka berdua akan dibicarakan dengan seadil-adilnya?" katanya.

"Bukanlah ingin menimbulkan kesangsian secara membuta-tuli, akan tetapi perbicaraan-perbicaraan sebelum ini yang melibatkan orang penting negara, pastinya berakhir dengan keputusan yang mengecewakan sekelian banyak pencinta kebenaran".

Dalam tulisannya semalam, Shazni pula berkata, PMIUM memutuskan untuk memberikan bantuan guaman kepada kedua-duanya.

Khamis, Julai 02, 2009

Berikut tulisan "panas" Dr Dzulkifli yang lesap, tiba-tiba muncul di Malaysia Insider tentang ulasan terkini Kerajaan Perpaduan


Tajuk asal: "Gagasan pemikiran kerajaan perpaduan: Mana silapnya?" Tulisan ini dipetik dari blog Dr. Dzulkifli Ahmad dan ianya juga tersiar pada website Malaysian Insider, 30 Jun 2009.

JUN 30: Penulis akan mengakhiri penguatkuasaan ’gag order’ yang dikenakannya sendiri. Mentelahan banyak pihak yang menggesa supaya penulis jangan terus membisu.

Penulisan ini akan mengutarakan penghujahan mengapa gagasan pemikiran Kerajan Perpaduan (KP) ditanggapinya sebagai ’ menentang arus’ dan berlawanan dengan momentum kebangunan tata orde Politik Baru yang sedang dalam proses pendewasaannya dan sangat-sangat dihajatkan oleh pengundi, sekaligus membela kepentingan rakyat dan kemaslahatan negara.

Penulisan ini terpaksa mengambil pendekatan separa ilmiah dan separa popular. Ringan bagi yang lebih mengetahui, berat bagi yang kurang menekuni. Yang pentingnya hujah ilmiah mesti diutarakan sebelum isu ini dapat ditamatkan secara muktamad.

Sesungguhnya, analisis secara tepat terhadap gagasan ini sukar untuk dilakukan secara lebih objektif kerana sehingga kini tidak pernah dibentangkan secara pendekatan akademik (terbuka atau tertutup) melalui satu kertas konsep yang menghuraikan falsafah, maksud dan pengoperasiannya. Tanpa itu, penilaian terperinci sememangnya sulit. Namun yang dihujjahkan di sini bukanlah aspek detail atau mikronya, tetapi secara makro atau gambaran besarnya. Sebelum itu beberapa ‘caveat’ atau peringatan awal.

Pertama, kerana yang dilontarkan Presiden parti adalah bersifat pandangan atau ‘ijtihad politik’ dan tidak bersangkutan secara langsung dengan persoalan hukum, maka penulis amat jelas bahawa ia bukan persoalan halal-haram, atau salah-betul. Penulisan tertumpu kepada aspek menilai gagasan pemikiran ini di segi ketepatan atau sebaliknya ‘ijtihad’ politik ini serta kesannya kepada politik negara amnya dan kemaslahatan perjuangan PAS (dan Pakatan) khususnya.

Keduanya, penulis sedar tidak timbul isu tidak wala’ atau kurang hormat kepada Presiden andainya penulis menolak gagasan pemikiran ini. Sebabnya? Jelas dalam hal ’pandangan politik’ seperti menurunkan strategi atau pendekatan taktik perjuangan, pandangan RasulAllah (saw) sendiri pun pernah beberapa kali ditolak oleh para sahabat. Khubab bin Munzir, contohnya pernah memperbetulkan strategi perang yang dibuat oleh RasulAllah (saw) dalam peperangan Badar ketika jelas bahawa perkara itu adalah dari ’pandangan’ Baginda yang menempatkan tentara muslimin di tempat yang tidak strategik dengan kata-kata tegasnya “fainna haza laisa bimanzilin” – ”Ini bukan kedudukan yang paling strategik”.

Begitu juga contoh perbezaan pandangan di peperangan Khandak ketika RasulAllah (saw) berhajatkan untuk berperang di luar Madinah sementara sahabat-sahabat mahu bertahan dalam kota Madinah. Tidak pula mereka dituduh tidak wala’ dan tidak mentaati Rasul Allah (saw). Sayugia bagi semua mengambil faham.

Cuma alangkah baiknya kalau kesemua lontaran ide ini ditangani dengan lebih cermat melalui saluran pemutusan sesuatu ide dalam parti. Namun penulis, selaku optimis tegar, bersedia menerima bahawa disebaliknya kegawatan dan ribut ini, mungkin ada kebaikan yang tidak semua dapat membaca dan mencerapnya. Mungkin juga kita perlu belajar dari kesilapan.

Juga, amatlah diyakini bahawa Presiden PAS sebagai seorang pemimpin negara, telah menggerakkan agenda KP ini untuk semata-mata bertujuan membawa negara keluar dari pelbagai krisis yang tidak berkesudahan dan kemelut yang berpanjangan termasuk impak kemelesetan ekonomi, kereputan institusi-institusi kritikal negara seperti Kehakiman, PDRM, SPRM, SPK dsbnya, sementara mengambil pelbagai kemaslahatan memperbaiki demokrasi dalam pendekatan KP ini.

Pokoknya dan tegasnya, konsep Kerajaan Perpaduan adalah satu pemerintahan yang akan menggembleng seluruh parti-parti politik dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat untuk menangani krisis yang dihadapi negara sehingga diharapkan dapat ditangani bahaya-bencana kebrentakan kemelut ini.

Oleh itu kerap dikatakan Presiden PAS bahawa dalam KP tidak ada ‘pembangkang’, kerana kesemuanya ’memerintah’ dan amat menasabah juga bahawa pengagihan kedudukan kementerian adalah berdasarkan dan berkadar dengan kekuatan kedudukan kerusi setiap parti komponen BN atau Pakatan di Parlimen dalam pentadbiran KP.

Cukup menarik dan berpotensi untuk diperkembangkan secara pengoperasiannya. Pelbagai cadangan juga boleh dimuatkan dalam konsep yang sememangnya idealistik dan mungkin ada yang menelahnya sebagai ‘utopian’ atau di luar kemampuan untuk direalisasikan dalam satu realiti politik sistem pelbagai parti ala-Westminster seperti di negara ini.

Pun begitu, ini bukan sebabnya gagasan KP ini patut ditolak kerana sukar untuk dilaksanakan. Ia juga tidak wajar ditolak atas sebab tidak kesemua parti-parti komponen BN dan Pakatan bersetuju untuk menyertai gabungan Kerajaan Perpaduan ini. Sememangnya ada komponen BN atau Pakatan yang menolak gagasan ini atas apa pun sebab perhitungan politik mereka masing-masing.

Sebaliknya, berikut adalah sebab-sebab utama mengapa Kerajaan Perpaduan wajar ditolak rakyat demi kepentingan negara.

Pertama:

Dalam kebangunan landskap politik negara yang semakin menampakkan kecenderungan ke arah mematangkan amalan demokrasi ala-Westminster ini ke arah ‘Sistem 2 –Parti’ yakni Barisan lawan Pakatan, apa jua tindakan yang merencat dan menghalang pendewasaan trend politik tesebut adalah satu yang ditanggapi ’pundit politik’ sebagai satu ’Retrogression’ atau ” Songsang” dan ’Berpatah-Balik’. Kerajaan Perpaduan, dalam apa jua bentuknya, di segi ini adalah bertentangan dan berlawanan dengan penyongsongan kebangunan politik baru tanah air atau ”political trajectory of a new Malaysia”.

‘Sistem 2-Parti’ sebagai yang membuka satu lambaran landskap baru memberi peluang untuk kita contohi amalan politik negara-negara maju di Barat. Mungkin ada yang menyanggah, buat apa ikut Amerika atau United Kingdom? Betul, tapi nampaknya sehingga kini tidak ada lagi contoh negara umat Islam yang layak diteladani di segi kematangan amalan demokrasi dalam abad 21 Masehi atau 15 Hijrah ini. Sistem semak-imbang urus-tadbir yang mantap meninggalkan kesan yang baik bagi negara dan ini juga adalah anjuran Al-Quran dalam 2 ayat (Al-Baqarah, Al-Hajj).

Maka ini langkah pertama, bagi mempersiapkan negara yang bakal menyaksikan perubahan kepimpinan politik di peringkat Pusat dalam PRU ke-13. Pertandingan BN lawan Pakatan diramal menjadi lebih sengit dan tajam sekali ke depan ini. Ingat PRU ke-12 bukanlah pertandingan sistem 2-Parti. Pakatan ditubuhkan atas kepentingan parti-parti pembangkang untuk menjadi pemerintah selepas pilihanraya di 5 buah negeri dan tidak sebelumnya.

Maka pembentukan sistem 2-Parti di negara ini serentak menginstitusikan amalan ‘semak-imbang’ demokrasi yang mengiktiraf dua parti besar yang sentiasa bertarung bagi merebut kerpercayaan rakyat dan kuasa pemerintahan, sekaligus mengingatkan Barisan Nasional bahawa di sana ada sebuah lagi kerajaan yang bakal mengambil alih negara ini andainya pemulihan keyakinan rakyat gagal dicapai oleh BN dalam pemerintahan parlimen ke-12 ini.

Segala petanda sehingga kini mengisyaratkan BN akan gagal memulihkan keyakinan rakyat untuk kembali menyokong mereka. Dengan kata lain, sistem 2-parti mempersiapkan psikologi rakyat, persiapan birokrasi dan kesediaan negara bahawa pertukaran kerajaan bukanlah satu kiamat kecil bagi BN. Akan silih berganti peralihan kuasa dan pemerintahan seperti yang disebutkan juga di dalam Al-Quran (Ali-Imran: 140). Nah, itu lebih cantik penghujjahannya.

Kedua:

Penulis beralih menghujjahkan ketidaktepatan gagasan KP di segi disiplin ilmu Usul Fiqh. Benar, Presiden PAS bertindak bagi mengambil pelbagai kemaslahatan untuk mengatasi kedudukan kemelut dan krisis yang mendepani negara dan bermatlamatkan kepentingan rakyat. Kesemua itu adalah perkara-perkara yang boleh disebutkan dalam istilah ‘maslahah’ yang hendak dicapai, walaupun belum pasti mampu dicapai dengan pendekatan KP ini.

Dalam usaha untuk mendapatkan pelbagai kemaslahatan ini, penulis mengingatkan parti bahawa perhitungan ‘mafsadah’ atau ‘kemudaratan’ perlu diambil kira. Tidak ada yang lebih besar dari perhitungan kemudaratan kepada perjuangan parti. Tegasnya, sebagai sebuah Gerakan Islam yang mengambil pentas dan memilih garis demokrasi sebagai jalan dan wasilah untuk merealisasikan perjuangan Parti Islam SeMalaysia, PAS ini, maka persoalan mendapat dan mengekalkan Sokongan dan Mandat Rakyat adalah perkiraan paling awla (utama) dalam perjaungan parti.

Justeru itu, PAS perlu menegaskan kepada kesemua peringkat pimpinan dan aktivis parti bahawa sementara PAS wajar mengekalkan sokongan tegar kaum Melayu-Islam, buat julung-julung kalinya juga PAS telah memecahkan tembok prajudis kaum Bukan-Melayu-Bukan Islam, lantas diberikan kepercayaan dan mandat sokongan oleh golongan kaum tersebut. Kesemua ini adalah hasil usaha PAS secara berterusan dengan pelbagai pendekatan yang Inklusif dan Telus, untuk membuktikan bahawa perjuangan ’PAS Untuk Semua’ itu adalah satu komitmen parti Islam ini dan bukannya satu retorik kosong.

Bergantung kepada demografi negeri dan kawasan plihan raya, sokongan kelompok pengundi Melayu-Cina-India adalah sangat-sangat memberangsangkan kepada PAS (dan Pakatan) mutakhir ini. Keseluruhan sokongan ini perlu diurus dengan baik bagi terus meningkatkan sokongan kepada parti Islam ini. Di sesetengah kawasan kerusi campuran, sokongan kaum Cina boleh sahaja mencecah 60-70 peratus bahkan lebih, sementara kaum India sehingga 55-60 peratus Sokongan kaum Melayu kepada PAS masih berlegar disekitar 40-50 peratus di negeri-negeri Pantai Barat dan sedikit melebihi itu di Kelantan dan Kedah.

Adalah amat wajar pimpinan parti diperingatkan bahawa dalam apa jua gagasan politik yang mahu dilontarkan bahawa kesan secara jangka pendek, sederhana dan jangka jauh perlu diperhatikan secara cermat dan strategik. Betul kita mahu mengambil kemaslahatan, tetapi perhitungan kemudaratan juga perlu dibuat dengan teliti.

Bahkan dalam hal menggunakan hujah Usul Fiqh sekalipun, kita akan berdepan dengan satu tuntutan prinsip yang menegaskan bahawa:

“Dar al-Mafaasid muqaddamun ala jalbi al-Masoleh” atau maksudnya “Menolak Kemudaratan adalah lebih penting dari mengambil Kemaslahatan”.

Berpandukan tuntutan kaedah Fiqh ini, maka meskipun ada kemaslahatn yang hendak dicapai dalam tindakan menubuhkan sebuah Kerajaan Perpaduan (yang belum tentunya dapat dicapai pun), maka menolak kemudaratan yakni kehilangan sokongan rakyat dalam perjuangan sebuah parti Islam, adalah jelasnya lebih awal dan penting di segi perhitungan Syarak.

Bersandarkan kepada hujjah tersebut, adalah juga penting bagi pimpinan tertinggi parti untuk mencermati segala lontaran gagasan pemikiran supaya tidak menjejaskan Mandat atau Sokongan Rakyat (Al-Masdaqiyyah Al-Ijtima’iyyah).

Lebih-lebih lagi kalau tindakan kita itu menghakis kepercayaan kepada pimpinan parti akibat perbuatan kita sendiri yang dilihat mengkhianati kepercayaan rakyat atau dipersepsi membelakangi prinsip-prinsip Keadilan dan sekaligus boleh membawa kebrentakan dan konflik dalaman dalam Pakatan. Bayangkan bagaimana RasulAllah (saw) mendapat dan mengekalkan sokongan kaum Bukan –Islam dari ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani dan juga Musyrikin) di Kota Madinah yang jelasnya ketika hijrah Baginda adalah golongan minoriti dan bukan majoriti.

Ketiga:

Hujah ketiga yang bersandarkan ’Tajribah’ atau pengalaman parti ini dengan Umno/BN, maka tidak wajar penulis menurun segala pengalaman pahit samada ’bersama’ dengan Umno/BN, tambah-tambah kalau ’bersaing’ dengan Umno/BN. Cukup setiap seorang kita menghitung pengalaman masing-masing.

Jelasnya Umno mengeletek kesukaan mendapat tawaran PAS untuk menyelesaikan kemelut negara natijah buruk segala perilaku kebobrokan kepimpinan parti terbesar Melayu itu, seumpama orang mengantuk disorong bantal, pucuk dicita ulam mendatang.

Atau dengan kata lain memang Umno/BN sangat-sangat berhajat untuk meneruskan dialog dan muzakarah Kerajaan Perpaduan ini dengan PAS, bukan untuk menyanggupinya tetapi sudah cukup besar menafaat yang mereka kecapi kalau ‘muzakarah’ tersebut boleh dimulakan bagi menyaksikan kebrentakan di pihak PAS dan Pakatan dan runtuhnya sokongan Bukan Melayu-Bukan-Islam kepada PAS.

KP adalah seumpama suntikan ’booster’ untuk Umno/BN untuk terus mendapat talian hayatnya, sementara suntikan Racun kepada PAS/Pakatan. Dengan izin Allah Azza Wajalla jualah segala-galanya berakhir dengan Kebijaksanaan Politik berpihak kepada PAS/Pakatan tatkala tertolak gagasan Kerajaan Perpaduan.

Semoga Perjuangan ini di pelihara Allah Azza Wajalla. Amin Ya Rabb!

Ditulis Oleh DR DZULKIFLI AHMAD,
AJK PAS PUSAT & AHLI PARLIMEN KUALA SELANGOR

Apa akan jadi kalau Tok Guru Nik Aziz yang bawa idea Kerajaan Perpaduan?


KUALA LUMPUR: Pengaruh Musyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sangat besar dalam PAS menjadi faktor PAS membatalkan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan dengan Umno, kata seorang ahli akademik hari ini.

"Walau apapun pandangan orang terhadap Nik Abdul Aziz, hakikatnya beliau mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam PAS," kata pensyarah dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Asri Salleh.

Malah, katanya, ada pihak yang beritahu beliau yang "orang boleh kata apa saja tentang PAS tapi jangan sentuh Nik Aziz", lapor Bernama.

Beliau tidak menolak pendapat jika cadangan itu datang daripada menteri besar Kelantan sendiri, perbincangan PAS dengan Umno akan tetap berlangsung sekalipun dibantah DAP dan PKR.

Hakikatnya, kata beliau, apa juga motif PAS dalam perbincangan dengan Umno, hanya diketahui oleh mereka yang berkenaan. Namun, katanya, yang pasti isu tersebut "meninggalkan parut" dalam pakatan pembangkang.

Cadangan mengadakan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan dengan Umno dicetuskan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut disokong oleh timbalannya Nasharuddin Mat Isa.

PAS pegang kunci

Bagaimanapun, cadangan itu ditentang oleh Nik Aziz serta anggota Pakatan yang lain - PKR dan DAP. Malah beliau pernah menggesa Nasharuddin supaya keluar dari PAS dan meletak jawatan ahli parlimen Bachok, sekiranya beliau masih menyokong kerajaan perpaduan dengan Umno.

Ekoran itu, mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat baru-baru ini menolak cadangan tersebut. Sementara itu, Asri juga berpendapat, isu kerajaan perpaduan dengan Umno itu timbul mungkin kerana PAS mahu menguji kedudukannya dalam Pakatan Rakyat.

"Saya beranggapan ini strategi politik mereka. PAS melalui Abdul Hadi secara tidak langsung memberitahu Pakatan Rakyat bahawa PAS adalah parti dominan dalam pakatan, sebab pakatan itu bergantung kepada PAS.

"PAS tidak mempunyai masalah besar untuk berbincang dengan Umno, tapi bolehkah DAP atau PKR berbuat perkara yang sama? Jawapannya tidak, dan harus diingat di kebanyakan negeri Umno menang kerusi paling banyak berbanding komponen lain dalam BN," katanya.

Menurutnya lagi, PAS mungkin mempunyai kerusi parlimen paling sedikit iaitu 23 berbanding dua rakannya (DAP 28 kerusi, PKR 30), tetapi dari segi kedudukan di beberapa negeri, PAS yang memegang kunci.

"Di Selangor, tanpa PAS kerajaan pakatan akan bubar, dulu di Perak macam itu juga. Malah sekarang pun, kalau PAS kembali berbincang dengan Umno, pembangkang terpaksa gugurkan hasrat mereka untuk kembali berkuasa di Perak," katanya.

Sokongan bukan Islam

Asri juga berpandangan PAS menghantar mesej kepada DAP bahawa mereka tidak memerlukan parti itu untuk mendapat sokongan bukan Islam.

"Sokongan bukan Islam terhadap PAS semakin kuat menerusi kelab penyokong parti itu. Malah mereka merancang untuk jadikan kelab itu sebagai salah satu sayap dan kalau ini yang berlaku sokongan bukan Islam terhadap PAS semakin utuh.

"Itu sebabnya saya katakan PAS tidak perlukan DAP. Malah jika diperhatikan selepas ucapan Hadi di muktamar, DAP yang paling gusar, sehingga cepat-cepat mengeluarkan kenyataan membantah dan mahu pakatan duduk berbincang. Ini menunjukkan DAP yang perlukan mereka bukan sebaliknya," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Abdul Hadi ikhlas ketika mengadakan perbincangan mengenai perpaduan dengan Umno yang berlaku sejurus selepas pilihanraya umum lalu.

"Mungkin pada masa itu mereka melihat ada keperluan untuk orang Islam, dan apabila sebut Islam ini pastinya merujuk kepada Melayu bersatu, tetapi entah macam mana ia menjadi isu yang sudah di luar kawalan," katanya.

Sementara seorang lagi pemerhati politik, Prof Madya Dr Ghazali Mahyuddin berpandangan PAS hanya menurut suara majoriti dalam pakatan pembangkang, yang jelas tidak senang dengan gagasan kerajaan perpaduan itu.

"Bila ada pakatan kenalah ikut suara ramai, tak boleh sendiri-sendiri. Malah dari segi persahabatan, tindakan PAS juga tidak kena kerana tidak membincangkan terlebih dahulu dengan rakan sekutu," kata pensyarah sains politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Tulisan Dr Dzulkifli ulas Kerajaan Perpaduan lesap dari Harakahdaily, pelbagai khabar angin meletus semula


KUALA LUMPUR: Isu kerajaan perpaduan rupa-rupanya belum reda dalam PAS dan mudah mencetuskan pergeseran kembali di kalangan kumpulan yang menyokong dan membantahnya, tulis Jimadie Shah Othman di dada Malaysiakini.

Mangsa terbaru melibatkan artikel ahli jawatankuasa pusatnya Dr Dzulkefly Ahmad di akhbar web rasmi PAS Harakahdaily yang tiba-tiba lesap tidak boleh dibaca lagi hari ini.

Artikel tertajuk "Gagasan Pemikiran Kerajaan Perpaduan, Mana Silapnya?" dimuatkan tengah hari semalam tetapi ditarik balik susulan bantahan seorang pemimpin kanan parti yang turut menguasai sidang pengarang Harakah.

Masa dan tarikh ia dibuang daripada edisi internet itu tidak dapat dipastikan tetapi ia menjadi buah mulut di kalangan ahli dan penyokong PAS sendiri, termasuk di internet.

Artikel yang sama dihantar untuk edisi terbaru akhbar rasmi PAS tetapi difahamkan nasibnya sama dengan edisi dalam talian di laman web tersebut - ditarik balik walaupun telah dicetak, sebahagiannya.

Saranan mengadakan perbincangan kerajaan perpaduan PAS-Umno bermula Februari lalu lagi tetapi menonjol lebih jelas di muktamar ke-55 kira-kira sebulan lalu sehingga diredakan 22 Jun apabila ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat menolaknya.

Dr Dzulkefly, dalam artikel itu mengulas, penolakan terhadap kerajaan perpaduan bukan kerana ia sukar dilaksanakan atau kerana ditolak parti lain yang bergabung dalam Pakatan dan BN.

Sebaliknya, bekas pengarah Pusat Penyelidikan PAS berkata, penolakan terhadap idea itu berasaskan tiga sebab:

(1) Kerajaan perpaduan, dalam apa jua bentuknya berlawanan pembangunan politik baru Malaysia, yang cenderung ke arah sistem dua parti – BN lawan Pakatan.

(2) Bersandarkan kaedah usul fekah, PAS sebagai gerakan Islam harus menolak mudarat (pengaruh parti merosot sejak pilihanraya Mac 2008) berbanding mengejar kemaslahatan (mengatasi krisis dalam negara).

(3) Berdasarkan pengalaman pahit PAS bersama Umno selama ini, perbincangan kerajaan perpaduan hanya akan memberi manfaat yang cukup besar kepada Umno tetapi masa yang sama merugikan PAS dan Pakatan.

Dr Dzulkefly memulakan hujahnya dengan menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan walaupun disuarakan Abdul Hadi, tetapi menentangnya tidak bermakna tidak wala (setia) atau kurang hormat kepada presiden parti.

"(Idea Abdul Hadi) cukup menarik dan berpotensi untuk diperkembangkan secara pengoperasiannya. Pelbagai cadangan juga boleh dimuatkan dalam konsep yang sememangnya idealistik dan mungkin ada yang menelahnya sebagai 'utopian' atau di luar kemampuan untuk direalisasikan dalam satu realiti politik ... seperti di negara ini," coretnya.

Walaupun berhujah dengan lembut di permulaan tulisannya, pakar toksikologi itu mengemukakan kritikan pedas di penghujungnya.

"Kerajaan perpaduan seumpama suntikan 'booster' (pendorong) untuk Umno dan BN terus mendapat talian hayatnya. Sementara (ia menjadi) suntikan racun kepada PAS dan Pakatan," katanya lagi dalam tulisan tersebut yang juga boleh dibaca di blognya.

Pada 18 Jun, Dr Dzulkefly antara sepuluh wakil rakyat PAS yang mengeluarkan kenyataan bersama menolak idea kerajaan perpaduan di lobi Parlimen.

Kemunculan singkat "Gagasan Pemikiran Kerajaan Perpaduan, Mana Silapnya?" mengundang ulasan di Internet.

"Sepatutnya perkara ini ditutup dan semua pihak berlapang dada. Kalau dibangkit semula (seperti artikel Dr Dzulkefly) untuk berhujah, akan ada kumpulan yang menyokong kerajaan perpaduan mengemukan hujahnya.

"Sampai bila isu ini akan selesai?” soal blog Polis Pencen, yang disebar lebih meluas di Tranungkite.net dan Utaraonline.net. Kenapa Dr Dzulkefly memilih untuk mengapi-apikan semula isu ini. Apakah sebenarnya motif penulis dalam hal ini?"

Malaysiakini difahamkan tulisan pedas itu sepatutnya dimuatkan dalam sisipan Fikrah Harakah edisi Jumaat yang akan menemui pembaca esok. Sumber-sumber memberitahu, percetakan sebahagian naskhah sisipan itu terpaksa dihentikan supaya artikel ahli parlimen Kuala Selangor itu dapat dibuang.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan ulasan penulis dan sidang pengarang Harakah berhubung perkara itu.

Kenapa Dr Dzulkefly Ahmad memilih jalan biadap dalam Jamaah? - polispencen

"PERTAMA saya minta maaf sekiranya tulisan saya juga ‘semacam’ biadap dengan AJK PAS Pusat.

Saya membaca satu artikel daripada Harakahdaily bertajuk Gagasan pemikiran Kerajaan Perpaduan, mana silapnya? Yang ditulis oleh Dr Dzulkefly Ahmad yang diterbitkan pada hari ini Jun 30, 2009 jam 12:08 tgh.

Saya juga merujuk kepada laman beliau http://drdzul.wordpress.com dan mendapati artikel ini juga dipost semalam.

Terfikir saya, apakah Dr Dzulkefly Ahmad mempunyai password admin untuk membuat posting dalam Harakahdaily? Jika tidak, memang pun tidak kenapa artikel ini semacam cepat aje diposting di blognya dan juga Harakahdaily?

Saya cuba meneka mungkin ada “orang-orangnya” yang begitu rapat dengan beliau dan pasti akan menolong memastikan artikel ini akan terbit dengan segera, sedang beberapa hari lalu saya menulis mengenai Harakahdaily yang lembab dan pernah tidak mengemas kini lamannya selama 2 hari.

Artikel saya mengenai perkara ini boleh dibaca di http://polispencen.blogspot.com/2009/06/harakahdaily-masih-lembab-dan-belum.html

Sepatutnya isu Kerajaan Perpaduan telahpun ditutup kemas dan rapi dengan semuanya pimpinan berlapang dada tentang khilaf ini. Sama juga dengan isu pertemuan dengan UMNO beberapa hari selepas keputusan pilihan raya yang ke-12. Tapi malangnya masih ada yang mengapikan-apikan perkara sehingga berlarutan sampai sekarang.

Saya mengambil petikan pertama dalam artikel Dr Dzulkefly: Penulis akan mengakhiri penguatkuasaan 'gag order' yang dikenakannya sendiri. Mentelahan banyak pihak yang menggesa supaya penulis jangan terus membisu."

Ayat pertama dalam artikel ini menunjukan ada “banyak pihak” yang mendesak penulis untuk tidak membisu.

Saya ingin bertanya kepada Dr Dzulkefly, banyak pihak itu siapa? Tuan Guru Mursyidul Am ke? Atau ada orang luar selain daripada TGNA?

Di mana Dr Dzulkefly dengan Jamaah PAS? Siapa pimpinan Dzulkefly dalam PAS. TGHA atau TGNA? Atau ada yang lain? TGNA telah berlapang dada dalam hal ini, kenapa tidak sukakah TGNA berlapang dada? Banyak persoalan bermain dalam kepala saya hanya penulis yang boleh menjawab.

Dr Dzukefly juga ada menulis: "Keduanya, penulis sedar tidak timbul isu tidak wala atau kurang hormat kepada Presiden andainya penulis menolak gagasan pemikiran ini."

Gagasan Kerajaan Pepaduan sebenarnya ditimbulkan oleh TGHA semasa pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi. TGHA sudah menyebut sudah tidak releven dengan Najib. Penegasan berlaku dalam banyak ucapan dan kenyataan rasmi, kenapa ada yang membuatkan seolah-olah mereka ini mahu masuk UMNO?

Ini bukan soal wala’ atau tidak wala` sepatutnya perkara ini ditutup dan semua pihak berlapang dada. Kalau dibangkit semula untuk berhujah akan ada kupulan yang menyokong UG akan mengemukan hujahnya, sampai bila isu ini akan selesai?

Kenapa Dr Zulkefly memilih untuk mengapi-apikan semula isu ini. Apakah sebenarnya motif penulis dalam hal ini?

Saya ambil satu lagi petikan tulisan penulis: "Pertama, kerana yang dilontarkan Presiden parti adalah bersifat pandangan atau 'ijtihad politik' dan tidak bersangkutan secara langsung dengan persoalan hukum, maka penulis amat jelas bahawa ia bukan persoalan halal-haram, atau salah-betul."

Penulis nampak macam mantang dalam membuat penilaian situasi. Tapi malang bodoh dan emosi dalam menegakkan pandangan tanpa mengira situasi. Penulis boleh menyebut “ini bukan persoalan halal-haram, atau betul-salah” tapi penulis menjadi kurang mengerti mengenai “pendamaian” dalam masalah Kerajaan Perpaduan antara TGNA, TGHA dan Ustaz Nasharuddin dan seterusnya mematikan isu ini.

Kalau penulis bukan bodoh bermakna penulis berniat sesuatu yang tidak baik untuk mengungkit perkara ini bagi mendapatkan satu natijah daripada pertelingkahan kepimpinan dalam PAS.

Sebelum ini saya juga menulis mengenai penglibatan penulis yang mengambil jalan yang mengeruhkan suasana dengan membuat kenyataan di Sidang Parlimen dengan 10 MP yang lain. Tulisan saya boleh dirujuk di 10 MP PAS, kenapa memilih jalan untuk mengeruhkan?

Saya berpendapat penulis sengaja memperbodohkan pendapat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dengan hujah-hujah akal dan agama seolah-olah TGHA tidak tahu mengenai 'ijtihad politik', strategi dan disiplin ilmu Usul Fiqh. Penulis mengambil jalan terbuka untuk menyerang mereka yang tidak sehaluan dengan mengelirukan fakta dan maklumat serta memainkan sentimen pengundi dan masyarakat yang sedang mencari kebenaran. Penulis menolak dan mengenepikan jalan musyawurah. Kenapa?

Saya tidak berniat untuk memanjang lagi perkara ini dengan petikan-petikan lain, sekadar saya nak maklumkan artikel ini telah dikeluarkan oleh Harakahdaily sekitar jam 5.30 petang tadi.

URL ini sudah tak boleh diakses http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=21483&Itemid=1

Walau bagaimanapun saya terlintas semasa membacanya untuk membuat salinan. Rupa-rupanya artikel ini ada sesuatu yang tidak baik di sebalik penerbitannya. Ya kita akan melihat sejauh mana perjalanannnya. Jangan kita biadap dalam berjamaah..

Ditulis Oleh POLISPENCEN dipetik dari blognya
http://polispencen.blogspot.com/

Setelah reda isu Kerajaan Perpaduan, Pemuda PAS-Umno pula berbincang

KUALA LUMPUR: Sementara pemimpin kanan PAS menolak perbincangan kerajaan perpaduan dengan Umno, dewan Pemudanya pula hari ini mengambil langkah baru dengan mengadakan perbincangan ilmiah dengan pergerakan Pemuda Umno, LAPOR Muda Mohd Noor & S Pathmawathy.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan mengumumkan perkara itu dalam satu sidang akhbar bersama dengan Timbalan Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, di lobi Parlimen hari ini.

Nasrudin berkata, beliau menghantar surat jempatan kepada Razali untuk mengadakan wacana ilmiah berhubung isu 'benarkah perjuangan Umno tidak bercanggah dengan Syariat Islam'.

Katanya, ia ekoran kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu pada 21 Jun lalu, yang menyamakan Umno dengan ajaran sesat dan juga komunis.

Berikutan itu, Pemuda Umno Kelantan telah membuat laporan polis terhadap Nik Aziz pada 25 Jun. Langkah pertama ke arah itu, katanya, sekretariat Pemuda PAS akan menemui Pemuda Umno untuk membincangkan tarikh, masa, tempat dan format wacana tersebut.

“Pemuda PAS memberi tempoh seminggu kepada Pemuda Umno untuk menjawab jemputan tersebut. Datuk Razali berkata, Pemuda Umno akan meneliti jemputan tersebut sebelum memberi jawaban,” katanya.


Reaksi Pemuda K'tan

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Annuar Saffian berkata, pihaknya sedia menyahut cabaran wacana itu jika diarahkan oleh Pemuda Umno Pusat.

Ketika dihubungi hari ini, beliau berkata, Pemuda Umno negeri juga ingin tahu apa yang menyebabkan Nik Aziz yang menyamakan Umno dengan ajaran sesat dan juga komunis.

“Tetapi Pemuda Umno belum memaklumkan perkara itu kepada kami tetapi biasanya jika Pemuda PAS pusat membuat jemputan, ia adalah tanggungjawab Pemuda Umno Pusat. Kita boleh menerima wacana kerana debat hanya membuang masa,” katanya.

Annuar juga berkata, Pemuda Umno negeri berharap wacana itu bukannya untuk mencari siapa menang, siapa kalah. Sebaliknya, kata beliau, ia adalah untuk mencari titik permulaan ke arah penyatuan orang Melayu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyambut baik inisiatif Dewan Pemuda PAS untuk mengadakan perbincangan tersebut.

Sidang media Pemuda PAS dan Umno sudah hantar isyarat salah kepada rakyat


KUALA LUMPUR: Sidang media Ketua Pemuda PAS dan Timbalan Ketua Pemuda Umno di lobi Parlimen hari ini telah menghantar signal salah kepada media, lapor Malaysian Insider.

Media menganggap kedua-dua mereka mahu meneruskan perbincangan PAS-Umno yang telah ditolak oleh Pakatan Rakyat baru-baru ini.

Untuk menguruskannya, media melaporkan, satu sekretariat bersama antara Pemuda PAS dan Umno akan ditubuhkan.

Malaysiakini versi Bahasa Inggeris membuat laporan seolah-olah langkah Pemuda PAS ini bertentangan dengan abang-abang mereka telah menolak sebarang kerjasama dengan Umno.

Media itu turut melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan memberikan sebarang ulasan mengenai dan menyerahkan kepada pemimpin PAS untuk menguruskannya.

Namun laporan dari versi Bahasa Melayu nya agak lebih jelas iaitu ‘wacana ilmiah’ semata-mata manakala sekretariat bersama yang ditubuhkan pula untuk membincangkan tarikh, masa, tempat dan format wacana tersebut.

Apa yang berlaku sebenarnya adalah Pemuda PAS melalui ketuanya, Nasrudin Hassan telah menghantar satu surat jempatan kepada Pemuda Umno untuk mengadakan wacana ilmiah berhubung isu ‘benarkah perjuangan Umno tidak bercanggah dengan Syariat Islam’.

Ia ekoran kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kota Bharu pada 21 Jun lalu, yang menyamakan Umno dengan ajaran sesat dan juga komunis.

Berikutan itu, Pemuda Umno Kelantan telah membuat laporan polis terhadap Nik Aziz pada 25 Jun.

Dalam sidang media bersama di lobi Parlimen hari ini, Nasrudin dan Timbalan Ketua Pemuda Umno, Razali Ibrahim bersetuju untuk mengadakan ‘diskusi ilmiah’ itu.

Sehubungan itu, sekretariat ditubuhkan untuk membincangkan perkara teknikal wacana itu termasuk soal tempat, tarikh dan formatnya sebelum ianya diadakan.

“Wacana ini akan dibuat secara terbuka,” kata salah seorang Exco Pemuda PAS, Abdullah Karim ketika dihubungi.

“Ini tidak ada kaitan dengan isu kerajaan perpaduan. Ia berkait dengan cabaran debat Tok Guru Nik Aziz. Pemuda PAS pula menulis surat kepada Pemuda Umno untuk membuat disukusi itu. Razali pula bersetuju untuk menyambutnya,” tambah beliau lagi.

Naib Presiden PAS imamkan solat jenazah ayahnya


PONTIAN: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mengimamkan solat jenazah ayahndanya, Allahyarham Haji Ayub Omar, 75, yang telah kembali ke rahmatullah pada 25 Jun lalu di Hospital Pontian.

Allahyarham telah menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan Hospital Pontian, sejak lebih tiga bulan lalu setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di hadapan rumahnya di Kampung Tanjung Piai Serkat, di sini.

Allahyarham yang juga pesara Guru Sekolah Agama Kerajaan Johor, meninggalkan seorang balu, Aminah Abdullah, 60 serta tiga anak.

Selain Salahuddin, dua lagi anak allahyarham Ghazaly (Timbalan YDP PAS Tanjung Piai) dan Aminuddin (Ahli Jawatankuasa PAS negeri/mantan Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri).

Salahuddin ketika ditemui merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh pimpinan PAS negeri, saudara mara serta sahabat handai yang tidak putus-putus menziarahi allahyarham arwah bapanya sama ada semasa sakit atau setelahmeninggal dunia, semoga Allah swt mencucuri rahmat ke atas rohnya, Al-Fatihah.

Tersepit: Rosmah patut saman dakwaan watak dalam 3 klip video


KUALA LUMPUR: Sebagai wanita pertama negara, Datin Seri Rosmah Mansor yang menjadi liabiliti kepada perjuangan Umno dan suaminya Najib Tun Razak wajar mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba memburukkan beliau.

Pengerusi Lujnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS, Aiman Athirah Aljundi menegaskan sebagai 'first lady' yang sentiasa menjadi tumpuan ramai tidak boleh kekal mendiamkan diri.

"Jika tidak mempertahankan, ia seolah-olah ada benarnya juga," kata Athirah merujuk laporan dalam satu portal berita baru-baru ini.

Hampir dua minggu tiga klip video berupa dokumentari pendek yang menyiarkan beberapa orang yang dikatakan saudara terdekat Rosmah Mansor memberi gambaran negatif terhadap beliau.

Katanya, hayat Umno kini bergantung kepada Najib jika beliau sendiri tidak selamat maka Umno sendiri pun tidak akan terselamat. Apa yang jelas, pada hari ini bagi Athirah belenggu 'hitam' yang membayangi wanita pertama itu akan terus menghantui perjalanan politik negara.

"Isu-isu 'C4' misalnya dikaitkan langsung dengan beliau. Malah rakyat juga percaya Najib duduk dibawah telunjuk Rosmah dan ternyata ia sangat sukar untuk dinafikan," katanya.

Beliau juga menolak penyebaran klip video itu bukan semata-mata satu konspirasi untuk menjatuhkan Najib.

Bagaimanapun apa yang menimbulkan tanda tanya, kata Athirah tidak pernah berlaku dalam sejarah negara 'first lady' menjadi tumpuan pemimpin besar negara luar malangnya sehingga kini masih tidak terjawab oleh beliau.

"Najib sebagai Perdana Menteri tetapi Rosmah yang lebih berperanan dalam sidang tertentu, Najib pula tidak menonjol," katanya.

Justeru, tegas Athirah, Rosmah harus membersihkan nama baiknya dan membuat penafian terhadap klip video tersebar itu sepertimana beliau pernah membuat kenyataan tidak mengenali wanita Mongolia.

Tiga klip video yang tersebar itu memaparkan beberapa individu yang dikatakan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Rosmah. Video yang disebarkan dalam 'you tube' itu semakin mendapat perhatian pengunjung internet.

Video berupa dokumentari itu, menyiarkan beberapa interview yang membongkar kisah perjalanan hidup Rosmah Mansur dari awal kemuculannya hinggalah beliau menjadi isteri Najib Tun Razak.

Ekoran kemunculan klip video itu, dilaporkan dua pelajar Universiti Malaya Izuddin Hilmi Mohamad Zaini dan Mohd Sharuddin Ahmad Rosli meringkuk di balai polis sejak minggu lalu.

Mereka didakwa menconteng perkataan-perkataan "C4", "puaka" dan "Altantuya" di dinding dewan sebelum kedatangan isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Badrul Hisham Shaharin mendakwa dihubungi dua anggota polis Cawangan Khas berhubung video yang memburuk-burukkan isteri perdana menteri.

Badrul Hisham dilaporkan tidak mengetahui tentang penerbitan video itu.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan sangsi 'integriti' 6 Hakim Mahkamah Persekutuan


KUALA LUMPUR: Seramai enam daripada 11 Hakim Mahkamah Persekutuan didakwa membelakangkan peruntukan perundangan dan Perlembagaan dalam membuat keputusan pada beberapa perbicaraan termasuk yang membabitkan kemelut politik Perak.

Demikian kata bekas Hakim Mahkamah Rayuan, NH Chan dalam satu pendedahannya di sebuah akhbar internet pada 30 Jun lalu.

Menurutnya, enam hakim berkenaan masih berkhidmat walaupun mereka telah mencabuli Kod Etika Hakim 1994 dan boleh dipecat kerana gagal melaksanakan tanggungjawab secara berwibawa dan amanah.

Chan enggan menamakan hakim-hakim berkenaan secara terbuka tetapi mendedahkan sikap berat sebelah 'kumpulan enam' itu terserlah setelah tercetusnya krisis perlembagaan di Perak.

Kes-kes bersabit kemelut di Perak menonjolkan kecenderungan enam Hakim Mahkamah Persekutuan itu untuk mengambil keputusan yang berpihak kepada BN walaupun penghakiman mereka jelas bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

"Sejak berlakunya krisis politik Perak terdapat beberapa keputusan mahkamah yang tidak adil. Sekiranya krisis ini tidak berlaku kita tidak mungkin dapat membezakan 'permata dengan batu' di kalangan hakim-hakim kita," kata Chan.

Setakat ini beliau telah mengenalpasti enam hakim Mahkamah Persekutuan yang tidak melaksanakan tanggungjawab mereka berpandukan undang-undang.

"Saya boleh tambah jumlah ini dengan kalangan hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi," kata Chan.

Artikel 125(3A) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kod etika hendaklah dipatuhi oleh setiap hakim sama ada daripada Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi. Seksyen 2(2) Kod Etika Hakim menyatakan hakim yang melanggari mana-mana peruntukan dalam kod tersebut boleh dipecat daripada jawatannya.

Menurut Chan lagi, antara keputusan Mahkamah Persekutuan yang bercanggah dengan Perlembagaan Negara ialah penghakiman April lalu bahawa Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk menggantung Zambry Abdul Kadir dan enam Exco BN daripada menghadiri sidang Dun.

Keputusan kontrovesial itu diambil oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff.

Beliau bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Dato' Arifin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nik Hashim Nik Ab Rahman, Dato' Seri S. Augustine Paul serta Dato' Zulkefli Ahmad Makinuddin.

Hakim Augustine Paul, dalam penghakiman bertulis, mendakwa kononnya Perlembagaan Perak tidak memperuntukan hukuman penggantungan dari Dun untuk kesalahan menghina dewan.

Chan berkata kelima-lima hakim dalam perbicaraan itu telah membelakangkan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas bahawa, 'keabsahan sebarang prosiding Dewan Undangan mana-mana Negeri tidak boleh dipersoalkan dalam mana-man mahkamah'.

'Hakim-hakim ini membuat undang-undang sendiri dan tidak memperdulikan Perlembagaan Negara yang bahasanya sangat jelas, terang dan rata-rata difahami oleh rakyat Malaysia,' tambah Chan.

Pemuda PAS Kedah juga sokong muzakarah dengan Pemuda Umno

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah menyokong penuh kesediaan Pemuda PAS Pusat menganjurkan muzakarah terbuka dengan Pemuda Umno berhubung dakwaan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan Umno seperti ajaran sesat Ayah Pin, pengganas komunis dan Chin Peng.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Yahya berkata, inilah peluang Pemuda Umno untuk bertemu dengan PAS dan menerangkan perjuangan Umno yang sebenarnya.

Malah beliau berharap pertemuan itu tidak hanya diadakan di peringkat kepimpinan pusat tetapi diperluaskan juga di peringkat negeri-negeri.

"Kami Pemuda PAS Kedah bersedia bermuzakarah dengan Pemuda Umno Kedah dan kami yakin rakan-rakan kami di negeri-negeri lain juga sedia untuk membincangkan perkara yang sama.

"Jika laporan polis oleh Pemuda Umno itu bertujuan untuk membuktikan ToK Guru Nik Abdul Aziz salah, maka Pemuda Umno juga perlu bersedia bertemu mata bermuzakarah secara terbuka sebagai menyangkal ToK Guru Nik Aziz.

PAS tegasnya, sekadar menawarkan dan ini peluang untuk Pemuda Umno bertemu. Selagi tidak bertemu, Pemuda Umno tidak akan memahami maksud Tok Guru dan menjadi tanggungjawab PAS untuk menerangkannya.

"Oleh itu kami berharap agar Pemuda Umno segera menyatakan kesediaan untuk mengadakan muzakarah dalam hal ini," ujar beliau. Cadangan muzakarah tersebut telah diutarakan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan baru-baru ini.

Dewan Ulama Kedah mahu mufti sambut pelawaan Dewan Ulama PAS Pusat duduk semeja

ALOR SETAR: Dewan Ulama PAS Negeri Kedah menyeru para mufti di negara ini agar menerima ajakan Dewan Ulama PAS Pusat untuk duduk semeja membincangkan isu-isu politik Islam dan kenegaraan secara ilmiah dan objektif, lapor Izuan Abdul Halim.

Ketuanya, Syeikh Mohamad Abdullah berkata, realitinya ulama di negara ini terpecah kepada dua iaitu berada di dalam PAS dan Umno. Malah kedua-duanya juga mengeluarkan pandangan berasingan yang menunjukkan dua aliran ini tidak pernah bersama.

Sedangkan katanya, umat menghadapi dilema kerana ulama yang diterima sebagai rujukan mempunyai haluan berbeza bila mana mufti sebagai ulama kerajaan tidak boleh duduk bersama dengan ulama di dalam PAS.

"Maka, ini jalan permulaan ke arah 'kebolehbersamaan' di antara ulama dari dua aliran yang ada ini. Ini kerana kebenaran itu satu dan kita (ulama) dituntut mencari kebenaran dengan ikhlas, kebenaran itu akan dijumpai.

"Dengan duduk bersama kita boleh mencari titik pertemuan, lihat kebenaran di pihak mana, PAS atau Umno? Macam isu yang timbul, PAS dituduh sebagai punca perpecahan. Sedangkan PAS perjuangkan Islam, Nabi juga pejuangkan Islam. Jadi adakah patut kita kata Nabi punca pecah belah?" soal beliau ketika dihubungi Harakah.

Katanya, PAS bukan punca perpecahan dei negara ini tetapi menjadi parti yang serius menyeru umat bersatu. Oleh itu, Syeikh Mohamad menyeru para mufti di negara ini menerima pelawaan PAS untuk duduk semeja berbincang dalam apa jua isu Islam di negara ini.

Rakyat patut nilai dolak-dalik Umno tolak debat, takut kerana salah!


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menegaskan cabaran yang dibuat oleh Tuan Guru Nik Aziz berdebat dengan Perdana Menteri merupakan suatu yang wajar kerana selama ini pemimpin Umno-BN sering membuat tuduhan yang berbagai-bagai terhadap Menteri Besar Kelantan itu dan juga PAS.

Beliau menegaskan perdebatan itu wajar dilakukan bagi merungkai masalah yang bermain dalam fikiran rakyat bukan hanya di Manek Urai tetapi juga seluruh Malaysia. Perdebatan kedua pemimpin itu membolehkan rakyat menilai pemikiran kedua-dua pemimpin tersebut.

"Jika perdebatan ini diadakan, rakyat boleh menilai pemikiran kedua-dua pemimpin tersebut," tegasnya.

Mahfuz turut membidas kenyataan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang menganggap debat terbuka tidak boleh diadakan kerana ia tidak sama dengan debat yang dilansungkan di Amerika.

"Kenapa Mahathir terlalu negatif? Kita boleh adakan debat yang lebih baik daripada Amerika dan ini sudah dibuktikan ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim berdebat dengan Dato' Shabery Cheek dalam isu minyak tahun lalu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Sehubungan dengan itu, Mahfuz mengajak seluruh rakyat Malaysia menilai dengan baik sikap berdolak dalik pemimpin Umno-BN dan menolak mereka dalam pilihan raya akan datang dan khususnya menolak BN di Manek Urai.

Mengulas perkara yang sama, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Hatta Ramli turut menempelak tindak-tanduk pemimpin Umno yang sering menolak cabaran debat yang dikemukan oleh pemimpin PAS.

"Kita lihat pemimpin Umno lebih gemar untuk mengadakan rundingan secara sulit berbanding berdebat biarpun debat lebih memberi kesan yang baik kepada rakyat. Dalam isu antarabangsa, pemimpin Umno boleh menyokong kita tetapi dalam isu yang berkaitan agama, mereka sering berdolak-dalik," tegas beliau.

Hatta juga menegaskan pemimpin Umno dan juga pemimpin Pemuda Umno Kelantan sewajarnya membalas kenyataan terbuka Tok Guru Nik Aziz dengan mengeluarkan satu kenyataan balas namun mereka lebih yakin untuk membuat laporan polis.

Ahli Parlimen Kuala Krai itu menyerahkan kepada rakyat di Manek Urai dan seluruh Malaysia menilai sendiri sikap pemimpin Umno yang sering memberikan pelbagai alasan bila dicabar mengadakan debat secara terbuka.

Tok Guru Nik Aziz ulangi dakwaan "Umno tolak Islam" sama ciri macam komunis!

KUALA KRAI: "Hendak sebut apa lagi kerana Umno benar-benar memisahkan agama dan politik. Umno buat kerja tidak serupa dengan kehendak Nabi Muhammad s.a.w."

"Tidakkah komunis juga tidak percaya kepada agama. Begitu juga dengan Umno yang menolak agama. Tidakkah perumpamaan itu hampir serupa. Serupa satu pun sudah cukup," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAS mengulas tindakan Pergerakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis terhadapnya berhubung kenyataannya yang menyamakan Umno seperti ajaran sesat Ayah Pin dan komunis.

Laporan tersebut dibuat Ketua Pemuda Umno negeri, Anuar Safian di Balai Polis Kota Bharu beberapa hari lepas.

Tok Guru Nik Abdul Aziz berkata, sekiranya salah satu daripada ciri-ciri yang ada pada komunis iaitu tidak mempercayai agama sudah ada pada Umno, maka tidak salah menyamakan mereka dengan komunis.

Sementara itu, Presiden PAS, Dato' seri Abdul Hadi Awang yakin rakyat Kelantan lebih pintar dalam membuat keputusan pilihan raya sebagaimana dibuktikan pada pilihan raya sebelum ini.

Lebih-lebih lagi katanya calon yang ditampilkan bagi mempertahankan Dun Manek Urai, Haji Mohd Fauzi Abdullah seorang yang dikenali ramai di Manek Urai dan berkeyakinan boleh bekerja untuk rakyat.

"Saya berkeyakinan beliau boleh bekerja untuk rakyat Manek Urai bagi meneruskan usaha yang dilakukan Allahyarham Paksu Wil," katanya.

Beliau yang juga anggota parlimen Marang melahirkan rasa malu apabila Terengganu kaya dengan hasil minyak membuat stadium yang tidak mampu bertahan lama sehingga boleh runtuh dalam masa setahun.

Menurutnya sebagai rakyat Terengganu beliau merasakan malu dengan apa yang berlaku ke atas Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau juga berkata, Umno telah merompak royalti minyak ketika negeri itu diperintah PAS pada 1999 sehingga menafikan hak sebagaimana termaktub dalam perjanjian sebelum ini.

Sedangkan kata beliau setiap menteri-menteri besar telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan Persekutuan di mana apabila terdapat pertemuan minyak dan gas di perairan setiap negeri, mereka akan dibayar royalti sebanyak lima peratus.

Beliau juga memberitahu pernah melihat pelantar minyak di perairan Kelantan ketika melalui kawasan berkenaan sebelum ini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula berkata, rakyat di Manek Urai sudah membuktikan mereka mampu mempertahankan PAS ketika parti itu tinggal dua kerusi pada pilihan raya umum 1978.

Katanya, pengundi di Dun terbabit mencatat satu sejarah apabila berjaya menyambung hayat perjuangan PAS ketika parti itu tinggal dua kerusi sahaja di Kelantan pada pilihan raya tersebut.

Pada pilihan raya terbabit PAS hanya mampu bertahan di Dun Manek Urai dan Sering di Pengkalan Chepa. Umno berjaya merampas Kelantan pada pilihan raya tersebut selepas berlaku Mageran.

Kit Siang yang juga anggota parlimen Ipoh Timur berkata, pilihan raya pasca Mac 2008 memperlihatkan undi tidak percaya rakyat negara ini terhadap Umno dan BN. Menurutnya lima pilihan raya kecil sebelum ini memperlihatkan berlaku penolakan rakyat terhadap Umno dan BN secara berterusan.

Malah katanya, Dato' Seri Najib Razak melengkapkan teori RAHMAN yang menggambarkan kehadirannya sebagai perdana menteri terakhir semasa di bawah kerajaan BN.

"Pakatan Rakyat telah bersiap sedia untuk mengambil alih kedudukan kerajaan pusat yang ada sekarang," katanya pada majlis pengisytiharan calon PAS, malam Sabtu lalu.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Husam Musa berkata, di perairan Kelantan sekarang terdapat enam pelantar minyak yang sudah dicarigali sejak 2004.

Menurutnya, berdasarkan kepada pengeluaran tersebut negeri ini sepatutnya dibayar royalti hampir RM1 bilion.