KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 20, 2009

Kronologi kematian Pegawai Khas Ecxo Selangor, Teoh Beng Hock 16 Julai lalu


SHAH ALAM: Kronologi kematian Pegawai Khas Ecxo Selangor, Teoh Beng Hock, 30. Sebelum beliau ditemui mati di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Plaza Masalam pada Khamis jam 1.30 tengah hari, 16 Julai 2009.

5 hingga 6 petang: Teoh Beng Hock dan tiga lagi pegawai yang bertugas di pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah dilaporkan berada di tingkat 15 SPRM bagi membantu siasatan kes salah guna peruntukan kerajaan negeri. Mereka dibawa ke Pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan Plaza Masalam.

8 hingga 12 malam: Tiga pegawai yang ditahan bersama Beng Hock dibenarkan pulang sebaik selesai dirakam percakapan mereka tetapi Beng Hock masih ditahan kerana percakapan beliau masih belum selesai dirakam.

3.45 pagi (Khamis): Beng Hock didakwa dibenarkan pulang selepas kenyataannya diambil tetapi beliau meminta agar dibenarkan berehat dan tidur seketika diruang tamu pejabat SPRM.

6 pagi: Beng Hock dilihat masih tidur di ruang tamu pejabat SPRM dan inilah kali terakhir beliau dilihat.

1.30 petang: Mayat Beng Hock ditemui di koridor di luar bangunan tingkat lima Plaza Masalam.

9 malam: Mayat Beng Hock telah dibawa keluar dari Plaza Masalam dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Mengapa SPRM pejam mata apabila 27 Adun BN habiskan RM27?

SHAH ALAM: Exco Kerajaan Selangor, Iskandar Abdul Samad menyifatkan tindakan SPRM menyiasat exco-exco dan Adun-adun DAP Selangor sebagai usaha BN untuk mengucar kacirkan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Beliau mempersoalkan jika SPRM benar-benar hendak membanteras penyelewengan, mengapa SPRM tidak menyiasat Adun-Adun BN yang telah membelanjakan hampir kesemua peruntukkan RM500,000 setiap Adun dalam masa satu bulan setengah sebelum pilihan raya 8 Mac 2008.

"Saya tidak mendengar sebarang aduan daripada Adun BN disoal siasat atau pejabat mereka digeledah oleh SPRM," tegasnya.

Dalam kes siasatan itu beliau berkata, SPRM dengan jelas telah mengamalkan polisi "double-standard."

Sejumlah RM500,000 peruntukkan pembangunan kecil setiap seorang Adun BN untuk digunakan di kawasan masing-masing bagi tujuan kerja-kerja penyelenggaraan dan projek-projek kecil sepanjang tahun 2008.

Ketika itu BN mempunyai 54 orang ADUN, bermakna kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM27 juta bagi tujuan itu. Bagaimanapun, kerajaan Pakatan Rakyat mendapati dalam tempoh 50 hari, RM500,000 bagi setiap Adun ataupun keseluruhan RM27 juta itu telah habis digunakan oleh Adun BN.

Beliau menegaskan, nyata sekali setelah Perak dirampas oleh BN, pimpinan mereka berhasrat untuk menggulingkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Setelah kematian seorang Setiausaha Politik Exco Selangor, Teo Beng Hock, 30, BN nampaknya akan melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat mereka.

"Jentera dan agensi kerajaan seperti SPRM pula akan disalahguna untuk matlamat mereka tercapai," tegasnya.

Sementara itu, Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus curiga dengan ketelusan SPRM yang tidak membuat siasatan terlebih dahulu kepada Adun BN yang telah menghabiskan peruntukkan Adun sebanyak RM500,000 dua bulan sebelum pilihan raya 8 Mac 2008.

Menurut beliau, sepatutnya SPRM telah menyiasat perkara itu terlebih dahulu bagaimana peruntukkan itu dibelanjakan tetapi sehingga kini tiada apa-apa maklumat. Tiba-tiba katanya, tiada pertuduhan tujuh Adun DAP telah disoal siasat tentang penggunaan wang peruntukkan Adun.

"Mengapa Teo masih berada di Pejabat SPRM sepatutnya dalam siasatan berada dalam keadaan selamat sebab ia dibawah tanggungjawab SPRM," tegasnya.

Beliau mendesak supaya pihak polis perlu membuat siasatan lebih terperinci supaya tiada perkara yang berat sebelah berlaku.

Kematian Teoh mengejutkan banyak pihak, pelbagai spekulasi membiak!

SHAH ALAM: Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock, 30, ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai selepas disoal siasat oleh SPRM berhubung isu penyalahgunaan peruntukan oleh beberapa ADUN Pakatan Rakyat di negeri berkenaan.

Laporan awal menyatakan Beng Hock dipanggil oleh SPRM sejak 5 petang dan disoal siasat sehingga jam 3.45 pagi, kemudian beliau dikatakan meminta untuk berehat dan tidur seketika di pejabat berkenaan.

Beliau dikatakan terbunuh selepas dipercayai jatuh dari tingkat 14 dari pejabat SPRM. Mayat beliau ditemui kira-kira 1.30 tengah hari sehingga enam petang mayatnya masih disitu.

Sewaktu ditemui, mendiang berbaju biru bersama kot hitam dan seluar putih. Beng Hock sepatutnya mendaftar perkahwinannya pada 17 Julai, oleh itu majikannya Ean Yong Hian Wah menolak sama sekali mendiang membunuh diri.

"Saya sama sekali tidak percaya kejadian itu berlaku atas kehendak dia kerana mangsa merancang untuk mendaftar perkahwinan esok, jadi tidak mungkin dia akan bertindak sedemikian," kata Ean.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut menolak kematian Beng Hock ada kaitan dengan bunuh diri. Kes kematian mengejut dan menimbulkan tanda tanya itu, para pemimpin Pakatan Rakyat bergegas ke bangunan tersebut.

Pemimpin DAP lain yang berada di Pejabat SPRM termasuk Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liu; Speaker DUN Teng Chang Khim dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Tony Pua.

Ekoran kematian Beng Hock secara mengejut itu, kira-kira 500 orang ramai berkumpul di perkarangan Bangunan Plaza Masalam sehingga malam sambil 16 Julai sambil menyalakan lilin dan memegang bunga sebagai tanda berkabung.

Mereka turut membawa sepanduk menyatakan tidak puas hati terhadap SPRM yang didakwa gagal menjaga keselamatan Beng Hock.

Perhimpunan itu, diteruskan lagi keesokkannya yang dihadiri kira-kira 1000 penyokong Pakatan Rakyat, ekoran itu beberapa pimpinan Pakatan Rakyat ditangkap kerana dikatakan enggan mendengar arahan polis supaya bersurai.

Antara mereka yang ditangkap, termasuk Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dan Exco Kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar serta Elizabeth Wong yang diheret polis sejauh kira-kira 30 meter apabila enggan beredar dan bertindak duduk di situ.

Pakatan Rakyat bimbang siasatan berpilih dan ancaman-ancaman SPRM


KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat 17 Julai lalu bimbang dengan perkembangan terkini, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah secara berterusan menjalankan siasatan dan membuat ancaman ke atas pemimpin Pakatan Rakyat.

Menurut kenyataan yang ditandatangani bersama, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang yang diedar pada sidang media selepas mesyuarat majlis tersebut di Pejabat Agung PAS, mempersoalkan ke manakah perginya laporan demi palortan mengenai penyalahgunaan kuasa pemimpin BN tidak diendahkan SPRM.

"Ini adalah bukti kukuh bahawa suruhanjaya yang baru beroperasi selama enam bulan itu hanyalah dijadika alat oleh BN dan Umno untuk melemahkan Pakatan Rakyat. Rakyat menuntut jawapan yang lebih tegas dari SPRM dan Perdana Menteri yang menjadikan SPRM sebagai kuda tunggangan Umno, dalam tindakan untuk merampas kerajaan negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat."

Ketiga-tiga pemimpin itu mahu badan seperti SPRM bertindak profesional dan menyelamatkan integriti mereka dengan mnegambil tindakan ke atas laporan terhadap para pemimpin BN yang telah diketahui umum terlibat dalam penyelahgunaan kuasa dan rasuah.

"SPRM seharusnya juga memberhentikan teknik mendera dalam soal siasat mereka dan mahu badan itu mengenalpasti pegawai yang terlibat dalam kes kematian Teoh dan seterusnya membawa mereka ke muka pengadilan."

Sehubungan itu, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat mendesak dan bertegas agar satu Suruhajaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat kematian mendiang Teoh dan meneliti teknik dan kaedah siasatan SPRM selama ini.

Terdahulu, dalam kenyataan yang sama, Majlis Pimpinan melahirkan rasa dukacita yang amat mendalam di atas kematian mendiang Teoh. Mereka yang mewakili seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Kata kenyataan itu lagi, sebelum ini telah banyak kematian yang berlaku dalam tahanan pihak berkuasa seperti Allahyarham Rumie Azan Mahlie dan mendiang Ananthan Kugan. Kematian mendiang Teoh merupakan kemuncak kepada penyalahgunaan kuasa pihak berwajib dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat.

PAS ucap takziah pada keluarga Beng Hock

KUALA LUMPUR: PAS Pusat merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock diatas tragedi yang menimpa beliau selepas di soal siasat selama 11 jam oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 16 Julai lalu.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, banyak pihak yang mempersoalkan sebab kematian Teoh yang sepatutnya mendaftarkan perkahwinan beliau pada 17 Julai, sehari selepas kematiannya.

"Oleh itu PAS mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat kematian beliau secara terperinci sama ada beliau benar-benar terjatuh secara sengaja atau tidak, atau pun ada pihak lain yang menyebabkan kematian beliau.

"PAS memandang serius kes ini dan berharap agar semua pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan ke atas beliau digantung tugas dan direman untuk soal siasat. Begitu juga saksi-saksi lain yang menjadi orang terakhir melihat beliau," kata beliau dalam satu kenyataannya.

PAS tegasnya mahu SPRM bekerjasama membersihkan nama badan itu jika benar tiada pegawai yang terlibat terhadap kematian beliau. PAS tidak mahu isu ini menjadi satu ketakutan buat rakyat terhadap kredibiliti institusi penguatkuasaan negara.

Ustaz Idris juga meminta siasatan dibuat dengan telus dan satu Suruhanjaya Penyiasat Bebas perlu diwujudkan kerana ia melibatkan kematian yang ada hubung kait dengan organisasi Awam.

Nazri labelkan Tun M, Hanif, Abu Talib sebagai 'crooks'

KUALA LUMPUR: Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli menempelak pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang cuba menghalang mana-mana individu untuk mengkritik kerajaan dan melabelkan mereka seperti pengkhianat.

Tegas Hatta, sebagai lambang kesetiaan kepada negara, mana-mana individu atau tokoh seharusnya berani mengkritik negara dan pemimpin tanpa harus disekat atau diugut.

Tindakan mengkritik pemimpin dan dasar kerajaan tegas beliau, lahir dari hati yang memberontak akibat dari tindakan-tindakan pemimpin atau dasar-dasar yang merugikan negara dan rakyat.

"Tuduhan Dato' Seri Nazri Aziz terhadap Tun Mahathir, Tun Hanif Omar dan Tan Sri Abu Talib Othman tidak wajar hanya kerana mereka tidak sehaluan dengan suara pemimpin Umno-BN.

"Ketiga-tiga tokoh ini mewakili BN yang menyuarakan pandangan mereka terhadap sesuatu isu yang dirasakan tidak kena dan ianya tidak semestinya mesti selari dengan apa juga tindakan kerajaan atau pemimpin BN.

"Mereka juga pernah bekerja dengan kerajaan jadi seharusnya juga mereka mengkritik kerana mereka tahu apa yang berlaku," tegas beliau.

Hatta juga menegaskan, tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengambarkan pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak tidak menghormati demokrasi dan kebebasan bersuara bila mengutuk mana-mana tokoh yang mengkritik kepimpinannya.

Tambah beliau lagi, sesebuah negara itu perlu mempunyai tokoh yang berani mengkritik atau pembangkang bagi memastikan terdapat semak dan imbang dalam apa juga dasar yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan.

Kerana itu, ahli parlimen Kuala Krai itu menegaskan, amat tidak wajar jika sesebuah negara hanya mempunyai satu parti tanpa mempunyai pembangkang kerana ia boleh menyebabkan pemerintah melakukan apa saja tanpa ada bantahan mana-mana pihak dan akhirnya rakyat yang akan menjadi mangsa.

Pada 14 Julai lalu, akhbar New Straits Times menyiarkan kenyataan Dato' Seri Nazri Aziz yang melabelkan Tun Dr Mahathir Muhamad, Tun Hanif Omar dan Tan Sri Abu Talib Othman sebagai 'crooks' kerana mengkritik kerajaan.

Sebenarnya rakyat sudah muak dengan ISA kata GMI


MUQADIMMAH: Selesainya Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tidak berlengah untuk meneruskan kempen dan menyemarakkan 'mood' rakyat menjelang Himpunan MANSUH, 1 Ogos depan. Bertepatan dengan tarikh 1 Ogos akta zalim itu digubal, 49 tahun lalu, GMI melalui Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh giat menjalankan 'kerja-kerja akhir' bagi memastikan himpunan tersebut berjaya. Wartawan ANIS NAZRI ada butirannya.

Debaran 1 Ogos semakin hampir, yang sebelum ini 'mood'nya dilihat tidak begitu marak ekoran kempen Pilihan Raya Kecil Manek Urai, isu PPSMI dan isu-isu lain. Justeru, dalam tempoh yang singkat ini, apakah pelan akhir GMI bagi menarik sokongan rakyat untuk turun 1 Ogos nanti?

SYED IBRAHIM: Kita akan teruskan dengan ceramah-ceramah kempen, yang sebelum ini sudah kita jalankan di seluruh negara. Cuma, kebelakangan ini agak perlahan kerana faktor yang disebutkan tadi.
Selepas selesai pilihan raya Manek Urai, kita teruskan dengan edaran risalah dan poster di tempat-tempat awam seperti di pasar malam, stesyen LRT, masjid-masjid dan di mana sahaja yang merupakan tumpuan umum. Selain itu, edaran poster dan risalah juga sedang giat dilakukan di negeri-negeri bagi memaklumkan program tersebut selain meminta mereka turun menyokong perhimpunan tersebut.
GMI juga kini dalam pertemuan dengan wakil-wakil mahasiswa, NGO, persatuan Cina dan India bagi menggerakkan ahli-ahli di bawah organisasi mereka untuk turut menyertai perhimpunan anti-ISA itu. Begitu juga pertemuan dengan Majlis Peguam.
Melalui media alternatif pula, kempen-kempen sudah digerakkan di blog-blog tertentu, selain di Harakah dan Malaysiakini, serta beberapa media baru yang lain yang dilihat dapat membantu ke arah mendapatkan seramai mungkin penyokong pada hari tersebut.

Bagi pandangan tuan, apa bezanya himpunan ini dengan himpunan-himpunan anti-ISA yang lain, serta mengapa rakyat Malaysia perlu hadir menyatakan sokongan kepada himpunan MANSUH ini?

Himpunan ini merupakan himpunan kemuncak kepada hak rakyat untuk menyatakan pendirian mereka mengenai akta ini. Himpunan sebelum ini mungkin hanya ceramah, kutipan dana dan lebih berbentuk dalaman, tetapi kali ini ialah hasrat dan suara rakyat untuk menyampaikan 'Deklarasi Rakyat' kepada pihak istana.
Rakyat perlu sedar, selagi ISA ini wujud di negara ini, rakyat Malaysia sebenarnya masih dalam ancaman kerana akta ini tidak mengira sesiapapun. Mereka yang ditahan sama sekali tidak berpeluang menghubungi peguam, selain hak untuk membela diri yang wajar mereka terima.
Rakyat juga diingatkan supaya tidak terpedaya dengan pembebasan 'segelintir' tahanan ISA dan juga cadangan untuk mengkaji semula akta itu seperti yang disuarakan Perdana Menteri, Najib Tun Razak. Apa ertinya membebaskan hanya beberapa orang, tapi dalam masa sama menahan yang lain?
Begitu juga dengan cadangan untuk mengkaji semula akta itu yang dilihat tidak dibuat secara menyeluruh. Perkara atau terma penting seperti 'penahanan tanpa bicara' tidak pernah mahu dikaji semula. Jadi, bagi GMI selagi ada ISA, maka rakyat Malaysia masih hidup dalam ancaman.

Sekiranya himpunan ini berjaya mencapai sasaran pendokong untuk turun 1 Ogos nanti, bagi pandangan tuan adakah ia memberi impak kepada kerajaan untuk memansuhkan akta ini?

Ya, bagi saya ia sudah tentu akan memberi impak kepada kerajaan untuk memansuhkan akta itu, setidak-tidaknya ia memberi mesej kepada kerajaan bahawa rakyat memang tidak mahukan akta ini lagi. Sedangkan sekarang, boleh dilihat bahawa akta itu semakin ditentang pelaksanaannya, hatta parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri, iaitu Parti Gerakan melalui sayap pemudanya memberikan komitmen dan sokongan kepada GMI.
Kita tahu, kerajaan tidak akan memansuhkannya serta-merta. Apa yang jelasnya, kita mahukan kerajaan mendapat signal dan mesej jelas dari rakyat yang bangkit menyatakan bantahan berhubung akta itu.
Saya mengharapkan perubahan sebenar yang dikatakan Najib di awal ketika memegang jawatan PM dulu. Beliau berkata mahu memberi ruang kepada rakyat untuk bersuara. Secara asasnya, kita bukan tidak berusaha dengan cara lain seperti rundingan, memorandum dan sebagainya, tetapi tidak pernah dilayan sebaik mungkin. Jadi, inilah (himpunan) kemuncaknya kita dan rakyat menyatakan suara kita.

Seperti perhimpunan Bersih dan PPSMI sebelum ini mencatatkan sejarah apabila rakyat dan tokoh-tokoh penting negara dihadiahkan dengan semburan air kimia. Sehubungan itu, apa harapan tuan supaya perkara ini tidak berulang pada 1 Ogos nanti?

Seperti yang saya katakan tadi, saya harapkan perubahan yang dikatakan Najib. Beliau turut memperkenalkan slogan 'Rakyat diutamakan, pencapaian didahulukan'. Justeru, amat sesuailah slogan itu digunapakai sekarang. Saya mengharapkan kerjasama pihak kerajaan dan juga pihak berkuasa, khususnya pihak polis supaya memberi kerjasama sebaiknya kepada program itu.
Jika kerajaan atau pihak berkuasa bekerjasama dengan mengawal lalu-lintas serta membenarkan 'Deklarasi Rakyat' itu sampai ke Istana Negara, tidak akan ada masalah yang berlaku sebenarnya.
Perhimpunan ini adalah perhimpunan aman, di mana ia adalah ruang untuk rakyat berhimpun dan menyatakan pandangan mereka terhadap sesuatu isu. Di mana-mana negara sekalipun, demonstrasi atau himpunan yang mendapat kerjasama pihak berkuasa, tidak pernah berlaku kekacauan. Itu yang penting. Jadi, kami mengharapkan kerajaan sedar hakikat tersebut serta kerjasama pihak berkuasa amat diperlukan bagi memastikan segalanya bergerak dengan baik.

Setakat ini, siapa di antara pemimpin Pakatan Rakyat yang telah menyatakan persetujuan untuk turut serta dalam perhimpunan ini?

Alhamdulillah, setakat ini Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah menyatakan komitmen mereka untuk turut serta dalam himpunan tersebut. GMI kini sedang menanti jawapan daripada KeADILan dan juga DAP.
Selain itu, Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim juga telah bersetuju untuk menghadirkan diri. Selain itu, wakil-wakil NGO di bawah GMI juga sudah ada yang menyatakan persetujuan untuk hadir.

Sebagai Pengerusi GMI, apa seruan tuan kepada rakyat Malaysia supaya turut bersama-sama menyertai himpunan ini bagi menyatakan bantahan mereka terhadap akta zalim itu?

Sememangnya kami dari GMI mengharapkan seramai mungkin rakyat Malaysia akan turun 1 Ogos nanti. Bukan sahaja kepada mereka yang merupakan penyokong tegar GMI, tetapi juga kepada sesiapa sahaja yang bersimpati dengan keluarga tahanan ISA ini dan juga mereka yang membantah akta ini.
Jika selama ini mereka membantah ISA secara senyap-senyap, inilah masanya untuk turun menyatakan pendirian yang sememangnya hak mereka. Saya turut menyeru kepada bekas-bekas tahanan ISA, juga keluarga mereka untuk sama-sama bersatu hati bagi menyertai perhimpunan ini kerana perjuangan ini juga adalah sebahagian daripada mereka. Jelasnya, perhimpunan ini bagi memastikan keadilan dan hak rakyat Malaysia terpelihara seperti yang dijamin Perlembagaan Malaysia.

Memang pengundi muda jadi penentu di Manek Urai



PILIHAN Raya Kecil (PrK) N.41 Manek Urai adalah yang ketujuh selepas 45 hari berlakunya PrK N.12 Penanti, Pulau Pinang (31 Mei 2009). Sebelum ini, PAS bersama Pakatan Rakyat telah turut bertanding Kuala Terengganu dan Bukit Gantang. Maka, PrK N.41 Manek Urai adalah yang ketiga bagi PAS bertanding.

Rasionalnya keputusan PrK N.41 Manek Urai adalah tali pengukur bagi Pakatan Rakyat/BN dari segi sejauh mana sokongan rakyat kepada parti dan kerajaan negeri pimpinan PAS. Namun, keputusan PrK ini telah menunjukan kemenangan tipis PAS berbanding di Kuala Terengganu dan Bukit Gantang.

Oleh itu, PrK ini adalah suatu trend perubahan sikap dan komitmen rakyat yang berubah kepada Barisan Nasional (BN). Realiti keputusan PrK ini adalah masih berpihak kepada PAS, meskipun jumlah undinya merosot..

Tempoh pengundian

Bermula daripada kematian ahki dewan undangan negeri N.41 Manek Urai pada 22 Mei 2009, penamaan calon, 6 Julai 2009 dan hari mengundi 14 Julai 2009 – melibatkan tempoh terpanjang sejak kematian selama 52 hari. Lebih panjang daripada Kuala Terengganu (51 hari). Tetapi tempoh berkempen paling singkat (7 hari sahaja).

Keputusan pengundian

Proses pengundian umumnya berjalan lancar, kecuali ada dua kes yang melibatkan pergaduhan di Sungai Perial (melibatkan petugas BN menceroboh masuk di kawasan larangan kempen) dan di Chuchoh Puteri. Namun, tidaklah menjejaskan perjalanan pengundian. Keputusan pengundian adalah seperti mana Rajah di sebelah. Keputusan terperinci, lihat data keputusan pilihan raya yang dilampirkan (Lampiran 1).

Pengundi luar

Berdasarkan jumlah keluar mengundi 87%, adalah mengatasi daripada ramalan PAS dan SPR, iaitu 85%. Sebanyak 10,748 (87%) daripada 12,293 telah keluar mengundi. Puncanya boleh dikaitkan dengan sejumlah pengundi yang tinggal di luar Manek Urai telah balik mengundi.

Ia berkait dengan keberkesanan pendekatan pasukan kerja pengundi luar PAS yang diketuai YB Wan Hassan Wan Ibrahim, ADUN Semerak. Ia sesuai dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Strategik melihat tiga faktor kritikal kemenangan PAS: pengundi luar, kempen calon menguasai pengundi muda dan keupayaan mengatasi kempen BN.

Berdasarkan culaan dan scanning melalui Persatuan Anak-anak Kelantan di Perantauan (PERAKAN), kesemuanya terdapat 1,794 orang pengundi luar. Namun, tiga hari menjelang hari mengundi, hasil scanning pihak jentera peti undi jumlah tersebut telah bertambah kepada 2,213 orang.

Seramai 1,617 orang telah balik mengundi sebagaimana direkodkan oleh jentera peti undi, tetapi bukan semuanya adalah penyokong PAS. Jika dibandingkan dengan pilihan raya umum 2008, pengundi luar yang dikesan mengundi PAS hanya berjumlah 1,481 orang. Ini bermakna kira-kira 136 orang adalah pengundi BN.

Pengundi terayun (atas pagar)

Dalam konteks DUN Manek Urai terdapat kira-kira 1,350 adalah pengundi atas pagar yang sikapnya sentiasa ‘terayun’ dengan faktor isu, calon dan senario semasa. Angka ini dikira berpandukan trend keluar mengundi dan perubahan undi dalam empat pilihan raya umum: 1995, 1999, 2004 dan 2008.

Undi yang paling rendah dicapai BN ialah 38% (ketika BN paling bermasalah) dan tertinggi bagi PAS 62% pada tahun 1995. Beza antaranya adalah 24%. Jika 24% ini sebagai ukuran peratus pengundi atas pagar, bermakna pada tahun 1995, BN tidak mendapat sokongan langsung pengundi atas pagar (kerana bermasalah); maknanya kesemua pengundi atas pagar menyebelahi PAS.

Oleh itu, analisis pengundi atas pagar adalah mengikut trend terayun. Pada PrK yang lepas, ternyata PAS masih mendapat simpati tinggi daripada pengundi atas pagar (13.04%) berbanding BN (11.18%). Maka, logiknya PAS mencapai kemenangan tipis.

Pengundi muda

Satu penemuan penting bagi setiap pilihan raya ialah jumlah pengundi muda yang agak besar di DUN Manek Urai. Ia menjadi penentu penting yang menyumbang kemenangan tipis PAS. Berdasarkan rekod senarai pemilih bagi PrK ini, terdapat 47.8% atau 5,876 orang pengndi muda.
Faktor calon dan strategi kempen serta survival PAS setempat adalah hubungan yang dapat merapatkan upaya memenangi undi kalangan pengundi muda. Oleh itu, jentera kempen PAS sudah lebih awal meletakkan kekuatan undi muda dalam strategi kempen, lantaran calon PAS bukan kalangan orang muda berbanding calon Umno.

Dalam keadaan sedemikian, PAS masih berupaya meraih sokongan marginal pengundi muda. Berdasarkan undi daripada saluran terakhir/kira-kira 47% daripada saluran bercampur (muda dan dewasa), kedudukan undi PAS berbanding BN adalah seperti Jadual 2 berikut:

Jadual 2: Trend sokongan undi muda
Jumlah Undi Muda Tidak Mengundi PAS BN Majoriti PAS
5,876 110 2,902 (50.33%) 2,864 (49.67%) 38

Namun, PAS didapati telah lima peti undi bagi saluran pengundi muda: Temalir, Manek Urai Lama, Manek Urai Baru, Manjor dan Laloh.

Pengundi dewasa/tua

Umumnya PAS menang di lima peti undi bagi saluran pengundi dewasa/tua. Peti undi itu ialah Temalir, Sungai Sok, Chuchoh Puteri, Lata Rek dan Laloh. Sementara empat peti undi lagi PAS telah kalah tipis iaitu di peti undi Sungai Perial, Manek Urai Lama, Manek Urai Baru dan Manjor. Peti undi yang kalah ini adalah dianggap kubu BN (Manjor) atau peti undi yang marginal bagi PAS (Manek Urai Lama, Manek Urai Baru dan Laloh.

Trend undi PAS vs undi BN

Berdasarkan trend undi diperolehi PAS dan BN, didapati PAS telah kalah di lima daripada sembilan peti undi. Peti undi yang kalah ialah Temalir, Manek Urai Lama, Manek Urai Baru, Manjor dan Laloh.

Namun, kekalahan itu dapat diimbangi dengan kemenangan di empat peti undi Sungai Perial, Sungai Sok, Chuchoh Puteri dan Lata Rek. Kesannya, PAS berjaya mencapai majoriti tipis.

Sementara BN pula mencapai kemenangan selesa di kubu asalnya Manjor dan berjaya memenangi di kubu PAS, iaitu Laloh. Di samping BN turut mencapai kemenangan di peti undi ‘marginal’ PAS iaitu Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru. Prestasi ini ada kaitannya dengan kekuatan teras PAS di peti pndi berkenaan dan masalah dalaman PAS serta asakan kempen BN di peti undi ‘marginal.’

Ia juga ada kaitan dengan penumpuan kempen jentera BN pada tiga hari terakhir menjelang pengundian apabila pihak kempen BN banyak menghamburkan janji-janji (jambatan di Manek Urai Lama dan pusat pembangunan ‘agropolitan’). Turut dilaporkan, sogokan wang secara mewah turut diterima oleh pengundi atas pagar. Antara yang terkesan teruk ialah di peti undi Temalir, tempat Umno Perlis bertugas (penurunan undi PAS tertinggi 11%).

Penutup

Secara keseluruhannya, kemenangan tipis PAS pada PrK Manek Urai ini adalah suatu pengajaran penting bagi parti dan kerajaan negeri yang diterajui PAS. Realiti adalah pengundi sedia mempertimbangkan hak dan kuasa dengan tawaran harga tertentu atas nilai suara rakyat demi kepentingan dan masa depan mereka.

Maka, di sana memerlukan suatu usaha pembetulan dan peningkatan prestasi parti mahupun kerajaan negeri untuk melihat rakyat Manek Urai secara spesifik dan semua warga negeri Kelantan secara amnya. Komitmen amanah dan tanggungjawab hendaklah diutamakan demi kesinambungan perjuangan sebuah pemerintahan berkonsepkan Pakatan Rakyat.

Ditulis Oleh WAN NIK YUSOF NGAH
Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat

Asakan "gila babi" BN sukar ditepis di Manek Urai



SETIAUSAHA Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Wan Nik Yusof Ngah menyifatkan apa pun reaksi yang dilempar terhadap majoriti mudah yang dicapai PAS pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai, 14 Julai lalu tetap membuktikan PAS menguasai Dun tersebut.

Malah katanya, kemenangan tipis 65 undi adalah suatu realiti yang membuktikan PAS diasak kuat oleh BN dan agensi Kerajaan Pusat serta kapasiti Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hadir mengetuai jentera kempen bukan atas sifat Timbalan Presiden Umno.

Ini ditambah lagi, senario pilihan raya kecil berlaku dalam suasana perubahan kepimpinan Umno dan ia berlaku pula di Manek Urai yang merupakan kawasan Melayu.

"Suasananya pula terlalu luar bandar di mana orang Melayu hidup dengan kepayahan dan di sudut teorinya banyak bergantung kepada pihak berkuasa," katanya mengulas kemenangan PAS di Manek Urai.

Di situ pula katanya PAS mendapati Umno banyak menawarkan janji-janji yang menjadi satu harapan baru kepada rakyat. Dengan itu ada benarnya juga, janji pembangunan itu sebagai satu daripada tarikan kerana mereka meletakkan satu harapan untuk untuk masa depan mereka agar janji-janji itu ditunaikan.

Janji itu katanya memikat terutamanya mereka yang berada di atas pagar. Mereka ini pula katanya setiasa berayun ke mana saja mengikut cita rasa semasa.

Dalam kajian yang dibuat katanya keputusan pilihan raya yang berlaku itu membuktikan 80 peratus berayun kepada BN. Itu bermakna hampir 900 pengundi beralih arah biarpun dalam pilihan raya umum 2008 mereka mengundi PAS.

Ini katanya, asas mereka mengundi PAS dalam pilihan raya umum dahulu kerana sentimen pertahan kerajaan negeri dipimpin PAS terlalu tinggi. Ditambah pula di Manek Urai isu yang dibawa oleh Umno ialah sekiranya PAS kalah dalam pilihan raya kecil ini, kerajaan negeri pimpinan PAS tidak akan tergugat.

Isu BN tawarkan satu-satu projek atau janji pembangunan membuatkan mereka berfikir inilah peluang untuk mereka mencuba di Manek Urai.

"Jadi apa salahnya mereka cuba memberi peluang kepada BN menang untuk pilihan raya kecil kali ini dengan harapan BN akan menunaikan segala janji," katanya

Bagaimanapun, tembok besar PAS menguasai Manek Urai disebabkan undi teras PAS agak kukuh melebihi daripada 46 peratus. Pengundi teras ini tidak berganjak, jadi apabila undi teras dicampur dengan baki lebih kurang empat peratus menyebabkan undi PAS menang tipis.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat janji segera yang dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin sedikit sebanyak mempengaruhi undi tipis PAS. Lebih-lebih lagi katanya, janji pembinaan jambatan di Manek Urai Baru ke Manek Urai Lama.

Bahkan katanya, di peti undi Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama Umno mencapai kemenangan. Sekaligus beliau menepis faktor sebelas janji yang dibuat oleh Perdana Menteri Dato' Seri Najib turut mengelabui pengundi.

Di situ katanya, keperluan jambatan mempengaruhi pengundi dan pilihan raya kali ini dilihat banyak penggunaan duit bagi membeli undi, rasuah politik mempengaruhi pada saat-saat akhir.

"Sebabnya apabila BN menguasai media dan dia menggunakan alasan kalau BN menang di Manek Urai yang pimpinan masih kekal di bawah Tok Guru Nik Aziz ini boleh pengaruhi pengundi-pengundi," katanya.

Namun tegas Ustaz Tuan Ibrahim, PAS akan membuat post-morterm tentang kemerosotan pengundi dan secara khususnya Manek Urai mungkin boleh dijadikan satu indikator untuk PAS menyusun strategi bagi pilihan raya umum ke 13.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan ketika dihubungi berpendapat faktor pengundi muda yang dikatakan lari kepada Umno adalah senario politik di Kelantan yang dilihat agak unik berbanding pilihan raya kecil di tempat lain.

"Kita tidak boleh tergesa-gesa membuat kenyataan bahawa pengundi muda tidak memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. Sebabnya pertama kita berhadapan dengan satu trend kempen yang ekstrim daripada BN yang kononnya menawarkan puluhan juta ringgit untuk bangunkan Manek Urai.

"Kemudian janji untuk membina jambatan dan menjadi Manek Urai anak angkat atau anak emas semua benda ini memberi perubahan sementara kepada pengundi yang saya kira mungkin memberi peluang kepada Umno dan BN untuk melaksanakan janjinya," katanya.

Tetapi, Ustaz Nasruddin menegaskan janji tersebut terserlah dengan kepalsuannya apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin menjawab kepada pemberita dia tidak akan melaksanakan janji yang dibuat sebab janji tersebut hanyalah jika Umno menang sekalipun PAS menang tipis.

Dengan itu ujarnya, secara terang menunjukkan Umno sedang permainkan rakyat. Sekurang-kurangnya Umno kena ingat mereka menang di peti undi Manek Urai Lama dan Baru iaitu tempat mereka menjanjikan untuk membina jambatan tersebut.

Sebab ulas Nasruddin lagi, kalau dilihat perbezaan undi dengan 65 undi majoriti dimenangi oleh PAS, Umno hanya perlu 33 undi lagi dalam pilihan raya baru-baru ini.

"Ertinya sedikit sangat perbezaan undi di sebaliknya perbezaan undi menolak Umno. Ini menampakkan mereka memberi peluang kepada Umno untuk menunaikan janji saya kira pengundi tertipu Timbalan Perdana Menteri terang-terang sebut tidak akan menunaikan janji tersebut," katanya

Kerana itu, pilihan raya umum akan datang pasti senario pengundi muda akan berubah kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Pengundi muda akan melihat parti yang betul-betul memberi kebajikan atau betul-betul berkhidmat untuk rakyat.

Sementara itu Exco Pembangunan Wanita, Keluarga & Kesihatan Kelantan,
Wan Ubaidah Wan Omar mengulas tentang politik wang di Dun Manek Urai dengan mendakwa, tindakan menyogok wang berlaku sejak Allahyarham Ismail Yaakob sakit lagi.

Menurutnya usaha-usaha membeli undi yang dilakukan Umno berjalan di Manek Urai. Namun katanya jentera pilihan raya PAS tempatan lambat bertindak. Dengan itu katanya, menjadi fenomeno rakyat Selatan Kelantan yang berada dalam keadaan ekonomi tertekan.

"Apabila ada orang bawa, bukan hanya seratus dua ratus ringgit tetapi sehingga RM2000 hingga RM5000 pula yang kita dengar mereka dapat," dakwanya. Tentunya ini menjadi perkara yang membalut mereka untuk mengundi BN.

Beliau yang secara jujur tidak menolak kelemahan parti sendiri menasihati pimpinan PAS kena sentiasa bersiap sedia untuk apa-apa jua kemungkinan dan mesti peka dalam apa saja strategi yang diatur parti lawan.

Selain itu faktor pembuangan undi yang dilakukan pada hari bekerja itu hari Selasa bagi Manek Urai menjadi penyebab undi PAS merosot. Untuk mengulas perkara tersebut, Harakah menghubungi Presiden Kesatuan Sekerja Kebangsaan Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud.

Ujarnya, walaupun tidak ada undang-undang yang melarang para pekerja membuang undi pada hari bekerja, ia akan memberi kesan kepada pengundi yang bekerja. Beliau berkata biarpun di Kelantan menteri besarnya memberi cuti pada 14 Julai lalu, ia menimbul masalah kepada pengundi yang berada di luar negeri tersebut.

Katanya, isu politik wang bukan kali pertama berlaku kerana ia pernah dibuat semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh tidak lama dulu.

"Apa yang saya nak sebutkan di segi prosesnya Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) patut mengambil kira pengundi-pengudi yang berada di luar daerah atau di luar kawasan parlimen atau di luar kawasan Dewan Undangan Negeri di mana pilihan raya kecil diadakan.

"Maknanya secara ringkas patut mengambil kira hak pengundi-pengundi atau hak pemilih-pemilih yang bekerja dan berada di luar kawasan di mana pilihan raya itu diadakan," katanya.

Menurutnya walaupun sejauh mana kesannya akan dialami dalam sesebuah pilihan raya ia mendatangkan kesusahan kepada pengundi untuk balik atau jalankan tugasnya untuk mengundi. Kerana itu katanya beliau berpandangan sebaik-baiknya hari pengundi dibuat pada hari Sabtu atau Ahad.

"Jadi saya mengesa SPR supaya menghormati hak pemilih yang berada di luar daripada kawasan pilihan raya sama ada pilihan raya kecil atau umum agar mereka boleh menunaikan tanggungjawab tanpa menjejaskan cuti dan sebagainya," tegasnya.

Lawan PAS bukan BN, bukan Umno tetapi gergasi Kerajaan Persekutuan - Dato' Wan Rahim


MUQADIMMAH: Kemenangan tipis PAS dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai 14 Julai lalu dengan majoriti 65 undi menimbulkan pelbagai spekulasi punca kemerosotan undi. NYZA AYOB mendapatkan penjelasan dari Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Dato' Wan Rahim Wan Abdullah mengenai faktor-faktor kemerosoatan undi terhadap PAS dalam pilihan raya kecil itu.

PAS mencapai kemenangan tipis dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai. Apakah punca kemerosotan mendadak undi PAS?

DATO' WAN ABDUL RAHIM: Pertamanya, pilihan raya kecil seperti yang pernah berlaku, kita pernah menghadapi serangan daripada Barisan Nasional(BN) secara bertubi-tubi. Dalam pilihan raya kecil kadang-kadang BN boleh menang dalam sesuatu kawasan dan dalam Pilihan Raya Umum PAS boleh memenangi kembali kawasan tersebut.
Sebagai contoh pada 2005, kita kalah 134 undi kepada BN dalam Pilihan Raya Kecil Pengkalan Pasir. Tetapi dalam Pilihan Raya Umum 2008, PAS menang kembali walaupun yang bertanding, sama ada PAS atau BN, adalah calon yang sama. Jadi serangan jentera BN secara tertumpu dan secara insentif yang mana amat sukar kita hadapi.

Dalam sejarah pilihan raya kecil di Kelantan sebelum ini juga berlaku kemerosotan undi PAS. Boleh Dato' ceritakan secara lebih lanjut?

PAS mempunyai pengalaman melalui beberapa pilihan raya kecil di Kelantan. Antaranya Pilihan Raya Kecil Tendong 1978, Pilihan Raya Kecil Kemumin, Pilihan Raya Kecil Selising 1983 dan Pilihan Raya Kecil Lundang 1994, Pilihan Raya Kecil Pulau Condong, Pilihan Raya Kecil Semerak 1997 serta Pilihan Raya Kecil Limbongan dan Sungai Pinang pada 1993.
Kita pernah menang tipis di Pulau Chondong dengan 118 undi. Kita juga pernah kalah tipis di Bukit Tuku dengan 118 undi. Begitu juga kita pernah mengalami kekalahan tipis di Pengkalan Pasir dengan 138 undi. Jadi, Pilihan raya kecil di Kelantan tidak menggambarkan situasi sebenar rakyat Kelantan. PAS lebih terkesan lebih teruk dari Pilihan Raya Umum. Sifat 'kecairan' orang Kelantan ini lebih daripada Pilihan Raya Umum.

Apakah PAS akan mengadakan satu post mortem bagi mengetahui punca kemerosotan undi itu?
PAS akan mengadakan post morterm bagi mengetahui punca sebenar kemenangan tipis yang kita perolehi itu. Semua faktor tersebut kita akan ketahui melalui siasatan atau penyelidikan yang lebih terperinci yang akan kita lakukan.

Trend kempen BN masih menggunakan jentera kerajaan. Apakah tindakan PAS Kelantan dalam menghadapi isu ini?

Dalam pilihan raya kecil ini, BN bukan hanya bertanding dengan PAS atau dengan Pakatan Rakyat kerana ia membawa segala jentera dan agensi kerajaan termasuk peralatan serta kewangan kerajaan. Ia seolah-olah dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai ini PAS berlawan dengan jentera kerajaan.

Apakah kemerosotan undi yang dihadapi itu juga disebabkan politik wang yang menjadi kempen utama BN?

Ya, BN masih lagi 'membudayakan' budaya membeli undi serta memberi wang kepada pengundi-pengundi. Hinggakan ada yang mendapat RM1000. Itu merupakan cara sogokan dan rasuah. Ini merupakan budaya pilihan raya yang PAS dan Pakatan Rakyat tidak amalkan.
Bagi mereka yang menerima sogokan ini, mereka diminta bersumpah untuk mengundi BN. Disamping sogokan dan rasuah untuk membangunkan Manek Urai, budaya ugut juga turut dilihat dalam pilihan raya kecil ini. Mereka memberi sogokan dengan janji-janji seperti menyediakan jambatan antara Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama serta ingin menjadikan Manek Urai sebagai kawasan agropolitan.

Adakah dengan ugutan serta sogokan itu menyebabkan pengundi jadi tertekan?

Keadaan tersebut akan membuat pengundi tertekan. Apa yang digunakan BN ialah TPU iaitu Tipu, Pitih, Ugutan. Tiga senjata ini yang membuatkan kita sukar untuk membalasnya kerana PAS tidak percaya dengan taktik sedemikian yang mana di luar budaya kerja pilihan raya kita.

Manek Urai merupakan kawasan luar bandar. Apakah media juga merupakan salah satu punca yang menyebabkan pengundi terpengaruh dengan agenda BN?

Dalam pilihan raya kecil ini, pengundi-pengundi dikepung dengan media seperti radio dan televisyen. Sebagai contoh Radio Kelantan FM juga telah memindahkan studionya ke Kuala Krai. Bukan hanya buat siaran lansung tetapi telah dibuka cawangan studio di Kuala Krai.
Walaupun masyarakat Manek Urai tidak membaca surat khabar, tetapi radio dan televisyen boleh mempengaruhi mereka. Laporan RTM dan TV3 juga berat sebelah. SPR juga seolah-olah memekakkan telinga dengan penyelewengan media yang dilihat tidak telus dalam pilihan raya ini.

Benarkah dakwaan undi orang muda dalam pilihan raya kecil ini telah beralih kepada BN?

Saya ingin menafikan satu fahaman umum sekarang bahawa Pilihan Raya Kecil Manek Urai ini telah mengubah sikap pengundi-pengundi muda. Dalam Dun Manek Urai mempunyai sembilan peti undi.
Di peti undi Sungai Periang PAS menang di saluran warga emas iaitu saluran satu dengan 49 undi dan PAS kalah di saluran dua dengan 78 undi. Di saluran tiga pula kita menang dengan 37 undi. Tetapi di saluran empat iaitu saluran orang muda, kita menang 76 undi.
Ini bermakna antara ke empat-empat saluran ini, kita kalah di saluran dua tetapi menang di saluran empat. Di Sungai Periang menunjukkan ramai golongan muda menyokong PAS. Begitu juga di peti undi Manek Urai Lama, PAS kalah di saluran satu, dua dan tiga yang mana kita kalah di saluran dua 96 undi, kalah di saluran tiga 40 undi tetapi kita hanya kalah di saluran empat 30 undi.
Ini bermakna, walaupun PAS kalah di peti undi tersebut, kekalahan di saluran dua dan tiga lebih teruk lagi daripada saluran empat. Dan yang lebih mengejutkan di Manek Urai Baru yang mana PAS kalah di saluran satu hanya satu undi, saluran dua 48 undi dan di saluran tiga PAS menang 15 undi.
Jadi di peti undi Manek Urai Baru ini menceritakan suasana sebenar yang mana kita menang 15 undi. Ini bermakna PAS menang di saluran anak muda. Begitu juga di peti undi Chucuh Puteri yang mana PAS menang di peti undi tersebut. Tetapi kita hanya menang di saluran satu hanya 19 undi, menang di saluran dua hanya 20 undi tetapi kita menang di saluran tiga dengan 57 undi. Begitu juga di peti undi Laloh yang mana PAS menang di saluran satu dengan 51 undi tetapi kalah di saluran dua dengan 69 undi dan di saluran tiga kita kalah 48 undi. Jadi, perbandingan antara saluran dua dan tiga, walaupun PAS kalah, kekalahan di saluran tiga lebih kecil.

Ini bermakna daripada lima peti undi yang Dato' sebutkan tadi, sokongan pengundi muda masih kepada PAS?

Berdasarkan keputusan peti undi yang disebutkan tadi yang mewakili lebih daripada separuh pengundi membuktikan bahawa tidak betul anggapan orang muda telah berpindah kepada BN. Saya menafikan pandangan umum itu.

Adakah pilihan raya kecil di Kelantan ini menggambarkan trend nasional? Atau hanya unik di Kelantan sahaja?

Kita terpaksa mengakui perubahan-perubahan yang cuba dibawa oleh Perdana Menteri baru ini. Kita tidak nafikan terdapat sokongan kepada Perdana Menteri baru ini. Tetapi sokongan ini tidaklah begitu meyakinkan pihak BN.
Sebab saya pasti, jika BN yakin rakyat sudah mula memberi sokongan kepada mereka, mereka akan segera mengadakan Pilihan Raya Umum ke 13. Mungkin boleh jadi rakyat menunjukkan mahu memberi peluang kepada Dato' Seri Najib tetapi masih belum meyakinkan.
Ini kerana dalam semua siri pilihan raya kecil yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum 2008, BN kalah. Tidak ada satu pun pilihan raya kecil dalam tempoh setahun lebih ini BN menang kecuali Pilihan Raya Kecil Batang Air di Sarawak.
Saya melihat BN masih lagi 'pesimistic' dengan peluang mereka untuk menghadapi rakyat dalam pilihan raya. Dan pastinya meraka perlu sedikit masa lagi sebelum menghadapi pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak. Ini bermakna walaupun BN boleh 'spin' suasana yang ada dengan menggunakan media serta kekuatan yang ada, mereka masih belum dapat meyakinkan diri sendiri.

Mungkinkah isu dalaman parti seperti isu Kerajaan Perpaduan sebelum ini turut mempengaruhi pengundi yang menyebabkan penurunan majoriti?

Seperti dinyatakan oleh pimpinan Pakatan Rakyat, isu-isu tersebut tidak boleh tidak serba sedikit menjejaskan prestasi PAS terutama menyentuh mengenai Kerajaan Perpaduan yang dibawa oleh pimpinan PAS. Isu tersebut tidak memberikan keselesaan kepada rakyat akar umbi, lebih-lebih lagi di Kelantan.
Kita mempunyai cukup pengalaman serta peristiwa-peristiwa hitam yang sukar dilupa rakyat yang masih lagi dapat diimbas oleh rakyat tentang kezaliman yang dilakukan BN. Selain itu pertelingkahan di antara parti-parti Pakatan Rakyat di Kedah dan Pulau Pinang serta isu-isu yang timbul di Selangor memang sedikit sebanyak mempengaruhi sikap pengundi di Manek Urai.

Berbalik pada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pemimpin PAS tidak berhak meminta Kerajaan Pusat meneruskan projek pembangunan jika BN kalah. Apakah kenyataan ini bertentangan dengan konsep federalisma?

Sebagai pemimpin kanan kerajaan, beliau tidak boleh mengamalkan diskriminasi. Peristiwa yang berlaku di Sabah sewaktu pimpinan Dato' Haris Salleh, berlaku diskriminasi terhadap kawasan Tambunan iaitu kawasan orang Kadazan yang mana beliau menutup Pejabat Tanah dan Jajahan juga pejabat daerah. Beliau juga memindahkan pegawai kerajaan.
Akhirnya, tindakannya itu 'dijawab' oleh rakyat dalam pilihan raya yang mana beliau ditewaskan dalam Pilihan Raya Sabah. Jadi, polisi mendiskriminasi rakyat ini akan 'menikam balik' kepada Muhyiddin. Dia tidak boleh bermegah dan mendabik dada denga kuasa yang ada.
Masalah di Kelantan, apabila BN kalah di Kelantan pada 1990, itulah amalan dan polisi yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada waktu itu dan Tan Sri Anuar Musa sewaktu beliau menjadi menteri serta Timbalan Pengerusi Umno Kelantan.
Dan dengan itu juga ditubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan. Dan dari situ kita lihat banyak diskriminasi yang dilakukan terhadap Kelantan. Jika sekiranya Muhyiddin cuba menghidupkan semula amalan yang agak berkurangan ini, terlalu amat malang bagi rakyat Kelantan. Dan ini memang cukup bahaya.
Justeru saya mohon kepada Perdana Menteri agar mengawal Timbalannya supaya tidak mencetuskan budaya lama yang memporak peranda masyarakat. Jadi, dia mesti ada 'sporting spirit' dan mesti berjiwa besar yang mana apabila partinya kalah, dia ingin mengangkat 'tukul lekar' dan tinggalkan pada pihak yang menang. Dia tidak boleh bertindak sedemikian sebagai Kerajaan Persekutuan.

Manek Urai: PAS menang tipis walau diasak hebat



KEMENANGAN akhirnya berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Umno yang mewakili Barisan Nasional terpaksa mengiktiraf kuasa rakyat Manek Urai.

Keputusan awal pada 6.30 petang 14 Julai lepas, memberi jawapan penuh kebenaran bagi rakyat Manek Urai sama ada jelas menerima atau menolak janji-janji BN atau menerima hakikat tindakan kerajaan BN yang menggelapkan wang royalti minyak untuk Kelantan.

Maknanya, rakyat Manek Urai masih menaruh harapan kepada PAS untuk menunaikan hak dan kepentingan mereka. Isu royalti minyak adalah terlalu singkat ia dibangkitkan. Banyak rakyat yang masih tidak memahaminya. Ada yang menganggapkan sebagai mainan PAS kerana kononnya terdesak.

Walaupun begitu, kemenangan tipis 65 undi adalah suatu realiti yang membuktikan PAS diasak kuat oleh BN dan agensi kerajaan Pusat serta kapasiti Timbalan Perdana Menteri yang hadir mengetuai jentera kempen bukan atas sifat Timbalan Presiden Umno.

Kesungguhan pemimpin BN untuk menang sanggup menyalahgunakan kuasa dan ruang demokrasi sehingga tawaran jambatan dan pembangunan Manek Urai sebagai pusat agropolitan adalah isu bernilai tinggi dapat memukau perggantungan pengundi atas pagar kepada BN.

Ia suatu cetusan masa depan yang bunyinya retorik tetapi itulah impian pengundi yang berstatus atas pagar. Cetusan itu tidak dapat diimbangi oleh PAS, meskipun PAS adalah mewakili kerajaan Pakatan Rakyat di sebuah negeri yang terpinggir sejak sekian lama.

Begitu juga sedikit sebanyak permasalahan semasa rakyat Manek Urai nampaknya belum selesai dan agak rumit diselesaikan. Permasalahan hidup itu ada kaitannya dengan kepayahan hidup mereka sekian lama.

Ia berkaitan dengan isu tanah, air, jalan, input pertanian dan jaminan mengatasi beban kemiskinan. Kesemuanya hanya dilihat secara spesifik setelah berlaku pilihan raya kecil. Mana mungkin ia dapat diselesaikan kesemuanya.

Apa yang ketara, kesemua permasalahan kepayahan rakyat Manek Urai telah dijadikan modal bagi kempen BN untuk merendah-rendah jasa dan bakti PAS yang telah memerintah Kelantan hampir 20 tahun. Jelingan isu-isu tersebut telah memukau pemikiran logik mereka yang sedia berdepan dengan permasalahan tersebut.

Selain itu, ia turut menyentuh jiwa dan pengharapan masa depan golongan pengundi muda.
Justeru itu, sebahagian pengundi muda telah beralih sikap kepada BN. Ia mungkin disokong dengan keyakinan terhadap calon PAS berbanding calon BN yang mewakili kumpulan muda atas faktor jawatannya sebagai ketua pemuda bahagian. Meskipun, asas nilai 'kepemudaan' boleh dianggap jurang antara dua calon, jentera PAS dilihat lebih memahami.

Oleh kerana itu, didapati banyak aktiviti kempen PAS banyak terkhusus kepada golongan muda. Tetapi ia belum memadai untuk menampilkan imej calon PAS sebagai tokoh sebenar mewakili golongan muda. Sedangkan pengundi muda di Manek Urai agak besar iaitu melebih 47 peratus.
Atas kekuatan itu, pengundi muda agak rapat dengan kempen BN.

Walau apapun, kemenangan tipis PAS turut disempurnakan oleh kesediaan pengundi PAS yang berada di luar Manek Urai sanggup balik mengundi, meskipun berdepan dengan masalah cuti dan beban kewangan ketika ekonomi mendesak sekarang. Sumbangan pengundi dari luar cukup besar, jika tidak PAS pastinya kalah besar.

Menyedari hakikat inilah, taktik PAS pada saat akhir adalah bermain taktik psikologi dengan meyebar luas peluang kemenangan besar berpihak kepada PAS. Menyebabkan jentera BN kalut dan kucar-kacir.

Tambahan pula tersebar cepat berita kepulangan awal (pada jam 3.30 petang) Muhyidin Yasin ke Kuala Lumpur. Turut menyakinkan sebahagian pengundi betapa BN sudah kalah besar, kerana pemimpin besar telah mundur lebih awal.

Inilah nilai kemenangan tipis PAS yang nostalgik kepada PAS dan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku peneraju rakyat Kelantan sekarang.

Semuga Tuhan Yang Esa, memberi kemenangan tipis ini bakal membuahkan nilai-nilai koreksi ikhlas semua peringkat parti dan kerajaan negeri di dalam mengolah tanggungjawab dan amanah kepada rakyat Kelantan, khususnya di Manek Urai. Amin.

Ditulis Oleh WAN NIK YUSOF NGAH
Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat

Desak Jamil Khir, JAWI menyerahkan urusan melantik AJK Masjid seluruh Wilayah Persekutuan kepada anak kariah









KUALA LUMPUR: Umno sebagai punca utama menyebabkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan mandom akibat pemilihan ahli jawatan kuasa (ajk) masjid ditentukan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang terlebih dahulu disahkan oleh pihak Umno bahagian masing-masing.

Ekoran itu, Muzakarah Imarah Masjid Surau Wilayah Persekutuan yang diadakan malam Sabtu lalu anjuran Jawatan Kuasa Bertindak Imarah Masjid Surau Wilayah Persekutuan (Imarah) memutuskan resolusi antaranya mendesak pihak kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri dan JAWI agar menyerahkan kembali soal perlantikan ajk masjid kepada anak-anak kariah masing-masing.

Pada sidang media sejurus usai muzakarah tersebut yang diadakan di Madrasah At-Tarbiyah Bandar Dalam, Kuala Lumpur, Pengerusi Imarah, Haji Ishak Surin memberitahu pihaknya akan menyerahkan memorandum desakan tersebut secepat mungkin kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato Jamil Khir dan Pengarah JAWI.

Katanya, selain itu, muzakarah juga memutuskan akan bertindak memanggil mesyuarat anak-anak kariah bagi memilih ajk masjid di kariah masing-masing tanpa mempedulikan ahli-ahli jawatan kuasa masjid lantikan JAWI yang tidak menepati kehendak anak kariah.

Bagaimanapun, tegasnya, mana-mana mesyuarat anak kariah yang diadakan akan memanggil wakil JAWI untuk memantau.

Katanya lagi, jika pemilihan yang dibuat oleh anak kariah ditolak oleh JAWI, maka pihaknya akan mencabarnya di mahkamah kerana kaedah yang dilakukan selama ini juga adalah senarai ajk yang dicadangkan oleh pihak masjid kepada JAWI.

"Yang berbeza, senarai itu akan disahkan terlebih dahulu oleh Umno. Tak kiralah Umno cawangan atau bahagian. Ini menyebabkan semua pemegang tampuk kepimpinan masjid dikuasai oleh Umno dan tidak dibantah oleh JAWI," tegas beliau.

Ishak menegaskan, muzakarah tersebut banyak mendedahkan soal penglibatan pemimpin Umno dalam menentukan ajk masjid dan ia direstui oleh JAWI tanpa rasa prajudis semata-mata tunduk dan akur dengan kehendak Umno.

"Inilah punca institusi masjid menjadi goyah. Bukan sahaja mereka ini suka menghalang majlis ilmu malah mengambil kesempatan untuk menggunakan duit masjid dengan mencadangkan pelbagai projek yang akhirnya di monopoli oleh mereka yang ada syarikat kontraktor kelas F dan sebagainya."

Beliau yang menggerakkan Imarah akan melancarkan kempen bagi menyedarkan umat Islam di Wilayah Persekutuan tentang peranan besar Umno di sebalik mimbar-mimbar masjid hingga masjid kelihatan tidak berfungsi sebagai penyatu ummah sebaliknya menjadi punca perpecahan di kalangan orang-orang Islam dan ahli kariah.

Terdahulu, beberapa perwakilan dari kariah masing-masing mengemukakan permasalah dan mendedahkan apa yang dilakukan oleh Umno dalam mengekalkan kuasa mereka di masjid-masjid dalam Wilayah Persekutuan.

Wakil kariah Masjid Alam Shah menyifatkan ahli jawatan kuasa masjid tersebut tidak mesra jamaah dan berulang kali bertindak menyekat tenaga pengajar tertentu dari menyampaikan kuliah mereka di masjid itu.

Ini berbeza dengan Surau An-Nur Taman Koperasi Polis. Menurut wakil kariah itu, terdapat dua senarai nama ajk masjid yang dihantar kepada JAWI. Satu dari pegawai masjid dan satu lagi dari campur tangan Umno.

Malah beliau hairan, pihak ajk yang ada menyempitkan definisi kariah dengan hanya mengiktiraf mereka yang menjadi ahli khairat kematian sahaja. Wakil itu turut mendedahkan, peruntukan JAWI sebanyak RM100 ribu setahun kepada surau berkenaan hanya dibolot oleh kontraktor Umno.

Sementara itu, wakil kariah Majis Al-Hidayah, Sentul kesal dengan perlakuan pengerusi masjid yang ada, mengambil kesempatan mencipta projek-projek kecil di masjid tersebut yang boleh dianggap tidak memberikan faedah kepada jamaah seperti membina kolam ikan hiasan yang menelan kos RM18 ribu.

"Dahlah tak pernah ada mesyuarat agung tahunan. Penyata kewangan pun tak pernah ada. Cipta projek, luluskan... dia sendiri jadi kontraktor. Baru ini difahamnya, JAWI tak senaraikan dia jadi pengerusi lagi. Tapi, kerana dia orang kuat Umno Batu, akhirnya terpilih juga," ulas beliau kecewa.

Malah jelas beliau, tempat letak kereta dalam masjid itupun disewakan kepada penduduk sekitar semata-mata untuk mendapatkan wang, selain wang sedekah setiap hari Jumaat. Tetapi dakwanya, inilah satu-satunya masjid yang melarang pasangan diijabkabulkan di dalam masjid.

Bagi wakil kariah Masjid Syaidina Ali Kg Padang Balang, menyifatkan perlantikan setiausaha dan bendahari dari kalangan pegawai masjid yang dibayar gaji oleh JAWI tidak relevan kerana jawatan itu sepatutnya di pegang oleh ajk yang dilantik oleh kariah.

Beliau mengakui terdapat senarai nama ajk yang perlu disahkan oleh Umno Bahagian Batu terlebih dahulu sebelum ianya dihantar kepada JAWI.

Ishak berkata, Imarah akan menggerakkan kempen ini secara bersepadu dengan seluruh anak kariah di Wilayah Persekutuan. Lebih 100 wakil hadir pada muzakarah ini. Muzakarah dipengerusikan oleh Ustaz Marzuki Zakaria iaitu Timbalan Pengerusi badan bertindak. Sementara resolusi disedia dan dibaca oleh Tarmizi Mohd Jam, salah seorang Exco badan bertindak berkenaan.

Benarkah Umno memperjuangkan Islam di negara ini tanya Dato Harun Taib


MASALAH PAS dan Umno bukan masalah berapa bilangan masjid yang dibina, bukan berapa bilangan sekolah agama yang dibina, bukan masalah institusi kewangan Islam, bukan masalah berapa buah pusat pengajian tinggi Islam yang dibina, bukan berapa jumlah wang yang dibelanjakan untuk membina lapangan terbang, lebuh raya dan lain-lain, bukan berapa jumlah wang yang dibelanjakan untuk pendidikan tinggi dan rendah yang dibelanjakan oleh Umno atau PAS.

Masalah antara Umno dan PAS ialah dasar dan matlamat pejuangan yang jauh berbeza. PAS memperjuangkan agar Islam menjadi aqidah negara Malaysia, samada dari sudut pentadbirannya atau kehakimannya dan lain-lain. Pendek kata, apa yang terkandung didalam dua kalimah syahadah iaitu tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad S.A.W pesuruh Allah itu hendaklah terlaksana dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara.

Adapun pun Umno sering mencabar tuntutan dua kalimah syahadah itu. Umno kelihatan melakukan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan puasa bulan ramadhan, mengerjakan haji, menjalankan aktiviti nikah kahwin mengikut Islam. Tetapi pentadbiran dan pemeritahan negara mencabar Quran dan Sunnah. Sebab itu, dengan rasa senang hatinya, Umno yang menjadi teras kepimpinan negara, terang-terang menolak hukum Allah dalam pentadbiran, kehakiman, perundangan, pendidikan dan lain-lain.

Oleh kerana itu, Malaysia yang sejak merdeka, yang dipimpin oleh Umno dan BN menghadapi masalah yang tidak terhitung banyaknya. Masalah keselamatan, janayah, rasuah, penyalahgunaan kuasa, rompakan kecil atau besar, rompakan institusi kewangan, rompakan kaum wanita, warga emas dan kecurian disetiap detik berlaku di negara ini.

Setelah lebih 50 tahun Umno memerintah, Islam dan kekuatan orang Melayu terhakis. Umno menghapus “kuasa imuniti Raja-Raja” yang menjadi salah satu kekuatan institusi Islam di Malaysia. Umno membenarkan “Riddah” atau murtad berleluasa. Umno juga mengamalkan budaya “hendonisme” budaya “akhlak bobrok” melalui agensi-agensi penyiarannya.

Isu penyalahgunaan dadah, isu mat rempit, isu pendatang tanpa izin, isu ISA, ini semua berlaku selepas Malaysia dipimpin oleh Umno. Puncanya ialah tidak menhayati kandungan ‘LA ILAHA ILLA ALLAH’. Oleh itu, jika pemimpin Umno masih mengaku mempertuhankan Allah, menabikan Muhammad S.A.W, kenapa Umno boleh sembahyang mengikut ajaran Islam, mengapa tidak boleh mengikut Islam dalam memerintah negara? Adakah Umno mengambil konsep beriman separuh kitab dan menolak separuh yang lain.

Kalau hanya bercakap membina masjid, di United Kingdom ada masjid, di Amerika Syarikat ada masjid, di Cina ada masjid, di Singapura ada masjid, di German pun ada masjid. Namun, pentadbiran negara mereka juga tidak mengikut ajaran Islam. Oleh kerana itu, status kedudukan pemimpin di negara barat dan timur yang sekular, sama dengan kedudukan pemimpin Umno di Malaysia ini.

Oleh kerena itu, saya rasa amat bertanggungjawab untuk menasihat kepada umat Islam di Malaysia ini, supaya jangan terjebak dengan kenyataan yang dilakukan oleh pemimpin Umno khususnya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika berkempen di Manek Urai baru-baru ini (rujuk salah satu akhbar harian Malaysia) tentang Umno membela Islam dan menegakkan syiar Islam.

Secara peribadi pula, sewaktu Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor, beliau telah mengubah cuti am pada hari Jumaat kepada hari Ahad, sekaligus menjadikan amalan cuti itu seperti amalan orang-orang Nasrani. Apakah ini satu pembelaan terhadap Islam?

Saya ingin membuat contoh yang kecil tentang Umno mencabar Al-Quran. Antaranya, Al-Quran dengan jelas dan terang mengarahkan supaya orang Islam menjauhkan diri daripada arak, judi, berhala, tenung nasib, tetapi Umno yang memimpin Malaysia mengeluarkan lesen arak, memberi lesen judi. Apakah ini satu pembelaan kepada Islam? Untuk satu contoh lain, umpamanya Allah memerintah supaya negara ditadbir dengan ajaran Allah, namun Umno menolaknya.

Oleh kerana itu, jika sekiranya masih wujud benih-benih iman di dalam hati para pemimpin Umno, maka saya merayu kepada mereka dan kepada orang yang seiringan dengan mereka supaya bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Sekiranya mereka mempunyai masalah didalam usaha kembali kepada jalan Allah itu, maka Dewan Ulamak PAS Pusat menawar diri untuk memberi khidmat bakti kepada mereka.

Ditulis Oleh DATO HARUN TAIB
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat

Manek Urai: Kajian mendalam mengapa undi tidak memihak kepada PAS


KUALA LUMPUR: PAS perlu melakukan post mortem serta membuat kajian mendalam mengenai aliran pengundi yang tidak memihak kepada PAS pada Pilihan Raya Kecil Manek Urai pada 14 Julai lalu.

Mengulas mengenai kemenangan tipis PAS dengan majoriti 65 undi, Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya, Dato' Wan Rahim Wan Abdullah menolak faktor golongan muda yang tidak keluar mengundi yang menyebabkan kemerosotan majoriti berbanding Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.

Jelasnya, berdasarkan keputusan yang di perolehi di beberapa peti undi seperti Manek Urai Baru, PAS menang dalam semua empat saluran kecuali saluran dua. Katanya PAS perlu membuat semakan faktor yang menyebabkan golongan berusia menolak PAS.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan kemenangan tipis tersebut disebabkan kelemahan PAS di Kuala Krai yang baru sahaja selesai membuat perubahan kepimipinan di peringkat kawasan.

Beliau juga menyifatkan faktor calon sebelum ini, Ismail Yaakub meninggalkan suatu 'kekosongan' kepada rakyat Manek Urai.

"Pak Su Wil merupakan satu 'lagenda' yang cukup sinonim dengan rakyat Manek Urai. Walaupun pengganti beliau, Abe Uji merupakan pilihan yang terbaik beliau masih perlukan pendedahan dan saya yakin Abe Uji akan dapat meneruskan usaha serta kesinambungan yang diteruskan oleh Paksu Wil dengan jalinan kemesraan dengan rakyat akar umbi," katanya.

Wan Abdul Rahim merakamkan terima kasih kepada seluruh pimpinan Pakatan Rakyat yang turut berganding bahu dalam memastikan kemenangan PAS.

Beliau menegaskan, kemenangan tersebut membantu PAS dan meneruskan kesinambungan kekuatan parti di kubu kuat PAS itu.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Barisan Nasional(BN) kerana dapat mengekalkan suasana yang 'lunak' dan 'persaudaraan' dalam tempoh berkempen tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Jelasnya dengan kemenangan tersebut, BN telah mengalami nasib ditolak oleh rakyat di semua pelusuk negara dalam siri-siri pilihan raya kecil oleh masyarakat pelbagai kaum.

"Walaupun di Manek Urai 99.9 peratus terdiri daripada kaum Melayu, nampaknya BN terus ditolak voleh rakyat. Ini memberikan peluang serta potensi yang cukup baik kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk mencuba mencapai kemenangan yang lebih baik dalam Pilihan Raya Umum ke 13," katanya.

Kenyataan Muhyiddin amat membahayakan, nafikan konsep federalisme


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan tidak memahami konsep Kerajaan Persekutuan yang mempunyai tiga peringkat iaitu Kerajaan Tempatan (PBT), Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, kata Pengarah Operasi Jentera Pilihan Raya PAS Manek Urai, Dato' Wan Rahim Abdullah.

Tegasnya, TPM perlu sedar dalam situasi politik sekarang, pemimpin Umno tidak lagi boleh menggoreng rakyat seperti dulu.

Justeru itu ujarnya, Muhyiddin sewajarnya tidak terlalu angkuh dengan mengatakan pemimpin PAS tidak berhak meminta Kerajaan Pusat meneruskan projek pembangunan yang dijanjikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai jika Barisan Nasional (BN) tewas.

Ini katanya, Umno perlu menerima hakikat sebahagian daripada penduduk negara ini termasuk Manek Urai tidak setuju dengan dasar dan polisi yang dijalankan kerajaan.

"Oleh kerana itu takkan kerana rakyat tidak setuju dengan apa yang kita buat kita nak boikot rakyat dan diskriminasi mereka," katanya semasa dihubungi.

Beliau yang kecewa dengan reaksi Muhyiddin semasa berkempen di Manek Urai baru-baru ini menegaskan tanggungjawab untuk mengurus di peringkat masing-masing tidak boleh mengamalkan dasar diskriminasi dan membeza-beza antara negeri atau daerah.

Bahkan katanya, kerajaan Kelantan tidak mengamal sikap pilih kasih misalnya terhadap pegawai daerah, ketua-ketua jajahan dalam sesuatu jajahan.

Menurut Wan Rahim biarpun berlaku perbezaan pandangan umpamanya di Kelantan, Terengganu, ataupun Pulau Pinang tetapi tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana sesebuah negeri diboikot dan tidak dipikul tanggungjawab oleh Kerajaan Persekutuan kerana rakyat mengundi pihak lain.

Baru-baru ini Muhyiddin dipetik sebuah akhbar harian sebagai berkata, pemimpin PAS tidak berhak meminta Kerajaan Pusat meneruskan projek pembangunan yang dijanjikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai jika Barisan Nasional (BN) tewas.

Beliau menegaskan, perkara itu adalah hak eksklusif para pengundi dan sekiranya mereka berkehendakkan perubahan besar di kawasan yang masih memerlukan banyak perhatian ini, mereka sendiri menentukannya melalui peti undi.

Ujar Muhyiddin, kalau BN kalah ia menunjukkan pengundi tidak mahu apa yang ditawarkan, dan kerana itu katanya mereka tidak mengundi BN.

Sementara itu Wan Rahim berkata, itu satu kenyataan yang cukup bahaya. Ini katanya, sebagi contoh jika Sabah dikuasai Pakatan Rakyat, sikap diskriminasi itu akan menghancur Sabah.

"Ia bukan mendukacitakan tetapi cukup bahaya. Ini menghasut dan ugutan. Kita tidak boleh membiarkan Muhyiddin membuat kenyataan seperti itu," katanya.

Beliau berkata, kenyataan tersebut tambah bahaya dalam masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan ia jelas bercanggah dengan konsep 1Malaysia tajaan Perdana Menteri.

Dakwanya, kalau itu yang ditunjukkan oleh pemimpin Umno bagaimana rakyat daripada pelbagai kaum hendak menghormati beliau malah katanya ia menampakkan sikap tembelang dan temberangnya.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Dalam Negeri membuat kajian dan siasatan ke atas kenyataan-kenyataan Muhyiddin di Manek Urai, antaranya berjanji akan membina jambatan baru kepada penduduk di Dun berkenaan jika memberi undi kepada BN.

Umno akhirnya kecundang biarpun letak calon terbaik kononnya!


KUALA LUMPUR: Biarpun meletakkan calon terbaik di Manek Urai, rakyat tetap menolak Umno dan Barisan Nasional (BN), tegas Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.

Tegas beliau, PAS menang tipis dengan hanya majoriti 65 undi, tetapi ia tidak bermakna parti itu ditolak sebaliknya faktor hari mengundi yang dibuat pada hari bekerja menyebabkan ramai pengundi-pengundi PAS yang bekerja di luar Kelantan tidak dapat pulang untuk membuang undi.

Kemenangan mojoriti tipis itu kata beliau disebabkan oleh propaganda Umno-BN yang menjanji pelbagai projek, taburan wang dan 11 janji yang dibuat oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak telah berjaya mempengaruhi pengundi tempatan.

"Umno mendakwa calon mereka terbaik berbanding calon PAS darisegi kelayakan akademik dan lain-lain tetapi pengundi Manek Urai tetap menolak calon mereka.

"Biarpun kita (PAS) menang tipis tetapi ia tidak bermakna rakyat menolak sebaliknya propaganda BN dengan janji projek, taburan wang dan 11 janji Najib telah mempengaruhi pengundi," tegas Mahfuz.

Beliau juga tidak menolak faktor 'beri peluang sekali kepada Umno, kerajaan tidak akan hilang' menyebabkan pengundi di Manek Urai terutama pengundi muda tempatan memberikan undi kepada calon Umno-BN.

Mahfuz yakin PAS mampu membuat lonjakan dalam pilihan raya umum akan datang biarpun menang dengan mojoriti tipis.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Calon PAS Mohd Fauzi Abdullah yang memperolehi kemenangan, Mahfuz juga mendesak agar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak lagi menetapkan hari mengundi pada hari bekerja kerana ia bukan hanya memberi kesan kepada Pakatan Rakyat tetapi ia turut terkena kepada BN.

Mahfuz juga mengucapkan terima kasih kepada jentera pilihanraya negeri yang telah berusaha gigih dan juga petugas-petugas parti dari seluruh negara serta kepada pengundi yang masih memberi kepercayaan kepada PAS.

Dalam Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai pada 14 Julai lalu, calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah memperolehi kemenangan dengan mendapat 5,347 undi, manakala calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat pula mendapat 5,283 undi.

Muhyiddin dan BN langgar prinsip pilihan raya di Manek Urai



KUALA LUMPUR: National Institute for Electoral Integrity (NIEI) mengutuk keras tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang berjanji akan membina jambatan jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai.

Pengarah Esekutif NIEI, Amin Iskandar menegaskan tindakan Timbalan Perdana Menteri tersebut boleh dianggap sebagai rasuah pilihan raya.

Beliau juga menegaskan, janji untuk memberikan jambatan kepada penduduk Manek Urai jika mengundi BN telah melanggar prinsip "pilihanraya yang adil" oleh kerana Kerajaan Pusat telah menyalahgunakan kuasa dengan memberikan janji pembangunan dalam tempoh berkempen bagi Pilihan raya Kecil Manek Urai sedangkan lawan mereka tidak mempunyai kuasa untuk melakukan perkara yang sama.

"Diatas dasar ini, pengumuman yang dibuat oleh TPM itu telah mencemarkan perjalanan pilihanraya kecil di Manek Urai yang seharusnya berjalan dengan adil, bebas dan telus.

"Apa yang dilakukan oleh Muhyiddin ini juga boleh dilihat sebagai “politik ugut” oleh kerana penduduk Manek Urai tidak akan diberikan jambatan jika mereka mengundi PAS," tegas Amin.

Bagi menggelakkan perkara sebegini berulang pada masa akan datang, NIEI mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan kepada Parlimen Malaysia agar Undang-undang Anti Rasuah Pilihan Raya seperti yang dilaksanakan di negara-negara Asia yang lain seperti di Taiwan diwujudkan agar rasuah pilihan raya tidak terus menerus dipraktikkan di Malaysia.

Ini bertujuan untuk memelihara kualiti pilihan raya di Malaysia sejajar dengan standard pilihanraya yang diktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Dalam Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai pada 14 Julai lalu, calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah memperolehi kemenangan dengan mendapat 5,347 undi, manakala calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat pula mendapat 5,283 undi.

Muhyiddin penipu, mana penjelasan dari Petronas di Manek Urai?

KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno meneruskan tradisi mereka yang hanya pandai menabur janji tapi tidak tahu menunaikannya dalam kempen Pilihan Raya Kecil Manek Urai.

Antara janji yang dibuat dalam kempen mereka termasuk Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Petronas menjelaskan kepada rakyat Kelantan khususnya pengundi Manek Urai kenapa negeri yang ditadbir oleh PAS sejak 19 tahun lalu tidak layak untuk menerima royalti Petroleum seperti yang didedahkan oleh pemimpin-pemimpin PAS.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob menegaskan, sehingga hari mengundi (14 Julai) tidak ada mana-mana pegawai atau wakil Petronas yang datang ke Manek Urai untuk menjelaskan tentang isu royalti Petroleum kepada Kelantan.

Tegas beliau, pengundi-pengundi di Manek Urai dan rakyat Kelantan menunggu kehadiran wakil atau pegawai Petronas seperti dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri untuk menjelaskan tentang isu royalti Petroleum yang dituntut oleh pentadbiran Kelantan.

"Hingga hari mengundi tidak ada mana-mana pegawai atau wakil Petronas yang datang menjelaskan kepada pengundi di Manek Urai kenapa Kelantan tidak layak untuk memperolehi royalti petroleum.

"Sebelum ini, Muhyiddin berjanji akan memastikan wakil atau pegawai Petronas akan datang menjelaskan dengan terperinci apa sebab Kelantan tidak layak menerima royalti petroleum.

"Tapi bila tidak datang ia menunjukkan sikap pemimpin-pemimpin tertinggi Umno yang telah menipu rakyat Kelantan," tegas Salahuddin.

Tegas beliau lagi, kegagalan untuk menjelaskan kenapa Kelantan tidak layak untuk menerima royalti Petroleum membuktikan kerajaan sebenarnya menafikan hak rakyat Kelantan untuk menikmati royalti seperti mana rakyat negeri lain.

Menafikan hak Kelantan itu, tegas Salahuddin bermakna kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno menganaktirikan rakyat Kelantan tidak seperti mana yang mereka janjikan.

Isu royalti petroleum hangat ketika kempen pilihanraya kecil Dun Manek Urai bila Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Dato' Husam Musa mendedahkan kegagalan kerajaan BN menyerahkan royalti petroleum berjumlah RM1 bilon kepada Kelantan sejak tahun 2004.

Bagi mengelakkan dari membayar royalti tersebut, kerajaan BN berusaha menafikan hak rakyat Kelantan dengan berjanji akan mengarahkan Petronas untuk menjelaskan kenapa Kelantan tidak layak untuk menerima royalti yang dituntut oleh pentadbiran PAS.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri minggu lepas berjanji akan mengarahkan Petronas memberikan penjelaskan kepada rakyat Kelantan sebelum hari pengundian di Manek Urai.

Kegagalan membawa mana-mana wakil atau pegawai Petronas menjelaskan mengenai isu royalti Petroleum itu membuktikan pemimpin-pemimpin Umno termasuk Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Mustafa Mohamad telah menipu rakyat Kelantan.

SPRM jelas pilih bulu, pejam dua mata siasat rumah agam Khir Toyo


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar mengecam tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat tujuh wakil rakyat Pakatan Rakyat Selangor kononnya menggunakan dana kerajaan negeri dalam kawasan pilihan raya masing-masing secara pilih bulu.

Beliau menegaskan tindakan SPRM itu membuktikan suruhanjaya tersebut berat sebelah kerana tidak membuat apa-apa tindakan terhadap pemimpin Umno yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Khir Toyo yang didakwa memiliki rumah agam ala Bali bernilai RM24 juta.

SPRM, sepatutnya tidak melakukan siasatan terhadap tujuh wakil rakyat Pakatan Rakyat tersebut kerana mereka menggunakan peruntukan kerajaan negeri bagi tujuan melaksanakan projek kemasyarakatan, kebajikan, infrastruktur dan perkara-perkara lain.

"Tindakan SPRM itu membuktikan suruhanjaya itu berat sebelah dan akan hanya bertindak pantas jika ia melibatkan wakil rakyat Pakatan Rakyat. Sebaliknya jika terdapat dakwaan terhadap mana-mana pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) biarpun mempunyai bukti kukuh, SPRM akan lambat mengambil tindakan seperti menyiasat atau mendakwa.

"Kes Khir Toyo yang didakwa memiliki mahligai bernilai RM24 juta sepatutnya terlebih dahulu disiasat kerana timbul keraguan dari mana beliau memperolehi wang untuk memiliki kediaman semewah itu," tegas Mahfuz.

Tegas beliau lagi, ini bukan kali pertama SPRM meminggirkan kes melibatkan pemimpin Umno dan BN kerana sebelum ini Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam yang telah dibuktikan melakukan rasuah oleh Lembaga Displin Umno tetapi tiada sebarang tindakan atau siasatan dilakukan oleh suruhanjaya tersebut.

13 Julai lalu, Exco kanan kerajaan negeri, Teresa Kok mendedahkan SPRM sedang menyiasat tujuh wakil rakyat Pakatan Rakyat Selangor berhubung penggunaan dana kerajaan negeri dalam kawasan pilihanraya masing-masing.

Ketujuh mereka ialah Teresa (Kinrara), Hannah Yeoh (Subang), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Ean Yong Hian Wah (Sri Kembangan), Dr Cheah Wing Yin (Damansara Utama), Edward Lee (Bukit Gasing) dan Lau Weng San (Kampung Tunku).

Kesemua wakil rakyat berkenaan diperuntukkan RM500,000 setiap tahun, yang boleh digunakan untuk melaksanakan projek kemasyarakatan, kebajikan, infrastruktur dan perkara-perkara lain.

Apakah yang boleh dibangunkan dengan RM254j itu?

RM254 BILION BOLEH DIGUNAKAN UNTUK:

1) RM254 bilion boleh bina 254 buah hospital. Sebuah hospital kos RM1 bilion.

2) RM254 bilion boleh beli semua konsesei lebuhraya dengan kos RM20 bilion dan rakyat tidak perlu lagi bayar tol

3) RM254 bilion boleh bina 254 buah universiti baru. Sebuah universiti kos RM1 bilion

Enam kontrak runding terus yang dipercayai menyebabkan lesapnya RM254j duit Petronas?

KONTRAK RUNDING TERUS 2004-2009

1) MRSM Baling RM71 juta

2) MRSM Johor Bahru RM81 juta

3) Universiti Pendidikan Sultan Idris RM450 juta

4) Istana Negara RM600 juta

5) Landasan berkembar antara Ipoh ke Padang Besar RM12 bilion dan dianggar kos yang sama untuk projek antara Seremban ke Johor Bahru.

6) Pembelian pesawat peribadi A320L untuk Perdana Menteri yang kononnya dibeli oleh Syarikat Penerbangan Malaysia berjumlah USD50 juta.