KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 30, 2009

PAS mahu Masjid Syaidina Ali buang slot Ucapan Ketua Umno Batu sempena Sambutan Jubli Perak masjid itu, Ahad ini!

KUALA LUMPUR: Ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat di kawasan Batu diminta tidak memberikan kerjasama kepada Penganjur Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Masjid Syadina Ali, Kg. Padang Balang selagi Ketua Umno Bahagian Batu, Dato' Yahya Mat Ghani masih diizinkan mengambil bahagian berucap pada hari perasmian sambutan.

Sepucuk nota bantahan telah diserahkan kepada pengerusi masjid berkenaan, Haji Zainal Abidin Maas selepas solat Maghrib, 28 Mei lalu oleh Setiausaha PAS Kawasan Batu, Haji Ismail Yahya.

Menurut beliau ketika ditemui, PAS memandang serius ucapan Ketua Umno Bahagian Batu pada acara perasmian Jubli Perak, 7 Jun depan sebelum perasmian dilakukan oleh YB Dato’ Raja Nong Chik Raja Zainal, Menteri Wilayah Persekutuan.

Tegasnya, PAS menyifatkan slot tersebut sengaja diwujudkan dengan niat Umno mahu mengambil keuntungan politik mencari publisiti murahan dan mempolitikkan masjid pada program tersebut.

"Ada cadangan nak pakai baju Umno. Nak kerah kaum ibu Umno. Tetapi yang jelas, ucapan Ketua Umno Bahagian Batu itu sudah dicetak pada tentatif. Kenapa dia nak berucap? Ini program masjid," tegas beliau.

Secara objektifnya, ujar Ismail, masjid mesti bebas dari sebarang acara politik kepartian dan ini sudah diterima oleh seluruh ahli kariyah dan PAS akur dengan pernyataan itu dan tidak mahu ada kumpulan parti politik mengambil kesempatan atas apa jua alasan untuk berbuat demikian.

Pada nota bantahan itu, PAS memohon budi bicara pihak penganjur untuk membuang slot Ucapan Ketua Umno Bahagian Batu itu pada acara tersebut. Ini kerana ucapan itu semata-mata mewakili Umno Bahagian Batu dan bukan atas sebarang kapasiti lain yang mewakili rakyat teramai.

Bagaimanapun, tegasnya, PAS boleh menerima perasmian dilakukan oleh menteri sekalipun beliau adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan kerana kehadirannya atas kapasiti menteri kabinet, sama seperti ucapan Ahli Parlimen Batu, YB Tian Chua yang bukan bertindak sebagai Ketua KeADILan Bahagian tetapi atas kapasiti sebagai wakil rakyat Parlimen Batu.

"Mengapa Ucapan Ketua Umno Bahagian itu diselitkan di tengah-tengah acara yang tiada kaitan langsung dengan politik kepartaian Umno apatah program ini merayakan Jubli Perak 25 Tahun Masjid Syaidna Ali K.W yang sepatutnya penganjur prihatin dengan sensitiviti ahli kariyah," katanya.

PAS katanya, cukup faham dengan permainan licik pemimpin Umno itu.

Justeru, kiranya pihak penganjur gagal membatalkan slot Ucapan Ketua Umno Bahagian Batu itu, maka PAS Kawasan secara automatik mengarahkan seluruh ahli dan penyokong PAS yang menjadi AJK Masjid, petugas dan ahli kariyah agar tidak memberikan komitmen kepada majlis tersebut sebagai protes terbuka terhadap pembabitan Ketua Umno Bahagian Batu yang secara jelas menjadikan masjid sebagai gelanggang politik.

Yang Dipertuanya, Haji Ishak Surin ketika dihubungi menjelaskan, PAS tidak menentang program tersebut tetapi mahu pembabitan Ketua Umno Bahagian Batu itu ditiadakan. Malah, ujarnya, PAS menyokong penuh usaha yang dijalan oleh pihak masjid berkenaan dan akan mengerahkan seluruh ahlinya merayakan sambutan itu.

Bagi Naib Yang Dipertuanya pula, Tarmizi Mohd Jam, pihak pengajur sepatutnya bertegas dengan taktik pemimpin Umno untuk menyerap masuk ke institusi masyarakat setelah parti itu ditolak oleh rakyat. Mereka cuba mencari publisiti semula.

Katanya, mereka akan mencari jalan untuk menjadi "hero" dalam isu-isu rakyat. Sebab itu, slot ucapan yang hanya 10 minit disediakan itu, cukup bermakna kepada Dato' Yahya Mat Ghani kerana kemunculannya akan meletakkan Umno seolah-olah pejuang kepada nasib rakyat.

Walaupun sambutan Jubli Perak masjid itu hanya diumpamakan sebagai kulit pisang dan isinya ialah bantahan Draf KL 2020 tetapi, pengajur seharusnya faham bahawa dalang kepada Draf KL 2020 itu ialah Umno yang mahu mengambil kesempatan dari ursuniaga tanah-tanah rezab Melayu di sekitar Sentul termasuk Kg. Padang Balang untuk membukitkan kekayaan mereka.

"PAS Batu tidak menentang usaha murni Jubli Perak dan bantahan Draf KL 2020. Cuma yang kita minta, jangan babitkan Umno secara kepartian. Tapi kalau Dato Yahya itu bercakap atas nama mana-mana Pengerusi NGO, kita tidak bantah. Tapi kalau berucap atas nama Ketua Umno Bahagian Batu, itu salah bagi kami dan ia mesti disanggah," tegasnya ketika dihubungi.

Amalan BN sekarang sama dengan PKM dulu - Tok Guru Nik Aziz

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

PULAU PINANG: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Parti Komunis Malaya (PKM) tidak jauh bezanya dengan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan nasionalisma. Menurut beliau lagi, tindakan yang dilakukan oleh BN selama ini adalah mirip kepada apa yang dilakukan oleh PKM.

"Jika pada zaman PKM ramai mereka yang tidak bersalah dan berdosa dibunuh dan dizalimi.Apa bezanya pada zaman ini dimana mereka yang tidak bersalah mudah dizalimi oleh pemerintahan BN. Oleh kerana itu ada persamaan antara PKM yang dahulu dan BN yang wujud sekarang. Kedua-duanya sama saja.

"Oleh kerana itu siapa sahaja yang mengamalkan fahaman nasionalisma maka ia juga adalah serupa dengan PKM yang melakukan kezaliman, pembunuhan, kerosakan dan bermacam-macam lagi ancaman pada zaman darurat dahulu sehingga ramai yang sengsara.

"Kesan yang ditinggalkan oleh PKM pada ketika itu dapat dirasai sehingga sekarang. Begitu juga dengan kerajaan BN yang mengamalkan ISA sebagai satu akta yang menzalimi rakyat yang tidak bersalah. Bukankah ini juga semacam dengan mereka."

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah di Kampung Guar Jering, Penanti, Bukit Mertajam. Dalam ceramah itu beliau juga menyentuh mengenai kedudukan BN yang semakin terancam dengan perpecahan yang begitu ketara berlaku semasa pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita lihat apa yang berlaku dalam parti PPP. Mereka mulai berpecah kepada dua presiden. Begitu juga di Terengganu yang berpecah dalam kumpulan Umno yang memerintah negeri disana.

"Di Perak juga berlaku kemelut yang sehingga ini rakyat tidak dapat menerima apa yang telah diputuskan walaupun hak rakyat untuk meimilih harus diserahkan kepada rakyat membuat pilihan terbaik," katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PKR, Azmin Ali, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Harun Taib yang "comeback" ketuai Dewan Ulama bertekad gembeling tenaga ulama

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Harun Taib yang menang tanpa bertanding pada pemilihan dewan itu bagi sesi 2009/2011 baru-baru ini, bertekad akan menggembelingkan tenaga ulama untuk menjayakan cita-cita dan matlamat perjuangan PAS.

Bahkan katanya, dengan adanya kombinasi barisan kepimpinan ulama dan profesional selama ini, ia benar-benar menjadi rahsia kekuatan PAS yang sukar digugat.

"Gabung jalin yang mantap antara ulama dan profesional menjadi rahsia kekuatan parti," ujarnya ketika dihubungi. Kata Harun lagi, misi perjuangan dan matlamat PAS melalui ulama akan terus diperkukuhkan.

Harun yang pernah menerajui Dewan Ulama PAS Pusat pada sesi sebelum ini dipilih semula menjadi ketua setelah tiada pencabar dan menang tanpa bertanding bersama timbalannya, Dato' Ahmad Yaakob yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Seorang lagi, Dato' Mahfozd Muahmad juga menang tanpa beratnding untuk kerusi Naib Ketua Dewan Ulama itu.

Penemuan Senjata: PAS desak Hishamuddin, Zahid beri penjelasan segera kenapa dikaitkan dengan politik!

KUALA LUMPUR: PAS mendesak Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin Hussein dan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi penjelasan bagaimana senjata boleh diseludup masuk ke negara ini, lapor Irwan Muhd Zain.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob dalam satu sidang media di Pejabat Agong PAS menegaskan, kedua-dua menteri tidak boleh bersikap lepas tangan dalam soal yang melibatkan keselamatan negara ini.

Beliau juga mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) membentangkan kertas putih di parlimen yang akan mula bersidang pada 15 Jun nanti berhubung perkara tersebut.

"Kalau senjata yang ditemui itu diseludup dari negara jiran, apa yang Hishamuddin dan Zahid buat sedangkan kementerian mereka terlibat menjaga soal sempadan negara?

"Selain itu juga saya mendesak agar KDN membentangkan kertas putih di parlimen mengenai isu yang sama bila dewan rakyat mula bersidang pada 15 Jun nanti," tegas beliau lagi.

Salahuddin juga menyatakan rasa kesal bila pihak polis cuba mengaitkan penemuan senjata api dan peluru di kawasan semak berhampiran kilang Tasek Cement dengan parti politik.

Beliau menegaskan, polis pada mulanya menjelaskan penemuan senjata itu masih diperingkat awal siasatan dan meminta wartawan bersabar tetapi esok harinya membuat kenyataan penemuan senjata itu ada kaitan dengan politik.

Justeru itu, beliau menuntut agar pihak polis mengadakan siasatan terbuka sebelum mengaitkan penemuan senjata ini dengan mana-mana pihak.

Akhbar New Straits Times (NST) pada 26 Mei lepas melaporkan Ketua Polis Perak, Dato' Zulkifli Abdullah mendedahkan penemuan lapan senjata api dan 100 peluru dalam sebuah semak berhampiran kilang Tasek Cement.

Dalam laporan itu juga Zulkifli dipetik sebagai berkata terlalu banyak persoalan yang belum terjawab mengenai senjata itu dan meminta wartawan supaya bersabar. Namun pada 27 Mei, akhbar yang sama melaporkan sumber polis berkata bahawa senjata yang mereka jumpa dalam semak dekat Tasek Cement tu ada kaitan politik.

Kumpulan pro-Murugiah dakwa Kayveas hilang kelayakan ketuai PPP sejak 2005

Presiden PPP, Datuk M Kayveas (kiri) dipakaikan selendang oleh Pengerusi Perhubungan PPP Negeri Datuk Nik Sapeia Nik Yusof pada majlis perasmian Konvensyen PPP Peringkat Negeri Kelantan hari ini -- foto Bernama

PUTRAJAYA:
Krisis kepimpinan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) terus meruncing dengan kumpulan pro-T. Murugiah hari ini melontarkan dakwaan terbaru - Datuk M. Kayveas tidak layak memegang jawatan Presiden parti atas alasan pernah didenda RM5,000 oleh Majlis Peguam lima tahun lalu, lapor G Manimaran untuk mSTAR.Online.

Justeru, kumpulan itu mendakwa Kayveas telah hilang kelayakan untuk memegang sebarang jawatan dalam PPP termasuk sebagai Presiden sejak 2005. Jurucakap kumpulan itu, Dr. N.A. Shanmuganathan berkata, pihaknya telah membuat aduan mengenainya di pejabat Pendaftar Pertubuhan di sini pagi ini.

Selepas aduan itu kumpulan tersebut bercadang membuat laporan polis. Petang ini mereka dijadual mengadakan pertemuan dengan Pendaftar Pertubuhan Wilayah Persekutuan berhubung siasatan tentang kewujudan dua Presiden PPP sekarang.

Kayveas telah mengekalkan jawatan Presiden PPP pada Oktober 2005 tanpa dicabar. Beliau merupakan Presiden PPP sejak 1993. Kumpulan penyokong Murugiah mengeluarkan kenyataan terbaru ini ketika tinggal sehari lagi bagi Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengemukakan rayuan berhubung pemecatannya daripada PPP.

Ekoran pemecatannya, kumpulan itu telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Tergempar (EGM) Ahad lalu, sekali gus memilih Murugiah sebagai Presiden PPP yang baru. Kayveas mempertahankan bahawa beliau masih Presiden PPP yang sah dan menyelar tindakan Murugiah mengadakan EGM tanpa mendapatkan kelulusan Majlis Tertinggi parti. Isnin lalu Murugiah menyerahkan keputusan EGM kepada Pendaftar Pertubuhan.

Pada 26 Mei lalu, Lembaga Disiplin PPP memecat tujuh anggota parti itu termasuk Murugiah atas tuduhan melanggar perlembagaan parti.

Menurut kumpulan itu, Kayveas didenda RM5,000 oleh Majlis Peguam di bawah Seksyen 103D Akta Profesyen Guaman 1976. Mereka tidak menjelaskan jenis kesalahan yang membawa kepada denda oleh Majlis Peguam, sebaliknya ada mengedarkan makluman mengenainya.

"Satu laporan telah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan hari ini oleh ahli-ahli PPP bahawa Kayveas telah hilang kelayakan untuk memegang apa-apa jawatan dalam PPP sejak tahun 2005. Ini adalah kerana Kayveas telah didenda RM5,000 oleh Majlis Peguam pada 17 Mac 2005 dan perkara ini tertera dalam majalah rasmi Majlis Peguam bulan Mac/April," kata beliau pada sidang media di sini.

Katanya, mengikut Akta Pertubuhan 1966, seseorang yang pernah disabitkan kesalahan dan didenda tidak kurang daripada RM2,000 atau hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun di bawah mana-mana akta atau undang-undang di Malaysia, maka orang itu tidak layak memegang apa-apa jawatan dalam sesuatu pertubuhan berdaftar.

Ketika ditanya mengapa baru hari ini perkara tersebut didedahkan, Shanmuganathan yang mewakili ahli-ahli yang membuat aduan memberitahu, pihaknya hanya menyedari baru-baru ini.

"Selepas menyedari perkara itu, semalam kami sudah mengesahkan dengan Majlis Peguam dan telah memperoleh pengesahan dan oleh itu, aduan dibuat hari ini," katanya.

PAS sedang mengkaji naikkan taraf Kelab Penyokong PAS sebagai Dewan formal

Kelab Penyokong PAS mengadakan konvensyen kebangsaan 2009 di Klang hari ini. Ia dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

KLANG: PAS sedang mengkaji untuk menaik taraf Kelab Penyokong PAS sebagai dewan atau sayap formal bagi mengiktiraf keanggotaan masyarakat bukan Islam dalam parti itu, lapor G Manimaran untuk mSTAR.Online.

PAS sudah membentuk jawatankuasa teknikal bagi mengkaji perkara tersebut secara mendalam. Ia diumumkan oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusuf Rawa.

"Saya yakin harapan ini akan menjadi realiti selepas Muktamar PAS bulan depan," katanya pada Konvensyen Kelab Penyokong PAS Nasional 2009 hari ini.

Konvensyen itu dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Nik Aziz ketika ditemui pula berkata, beliau mengalu-alukan syor tersebut sambil berkata, tindakan tersebut sepatutnya telah dilakukan dari dulu lagi.

"Sudah lewat, sepatutnya sudah lama dilakukan," kata beliau yang juga Menteri Besar Kelantan. Menurut Mujahid, Kelab Penyokong PAS terdiri daripada lebih 20,000 ahli daripada kaum India, Cina, Siam dan Iban. Ia ditubuhkan pada tahun 2004.

Mujahid percaya kajian mengenai pindaan perlembagaan bagi tujuan itu akan siap dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan. Bagaimanapun katanya, isu tersebut tidak akan dibawa ke Muktamar Tahunan PAS minggu depan.

"Kemungkinan perkara ini akan disentuh dalam ucapan dasar Presiden PAS dan kemudian dibincangkan oleh perwakilan," katanya.

Bercelaru: PPP: Kayveas kekal Presiden, Murugiah pengerusikan mesyuarat MT

KUALA LUMPUR: Di sebalik krisis kepimpinan, Datuk M. Kayveas mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) hari ini. Kayveas menyandang jawatan itu sejak 1993.

PPP pimpinan Kayveas mengadakan proses penamaan calon pemilihan pusat hari ini, selama tiga jam bermula 9 pagi tadi. Ia diadakan di Ibu Pejabat PPP di Jalan Kg. Attap di sini.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T. Murugiah yang dipilih oleh kumpulannya sebagai Presiden PPP mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti tersebut di Sentul.

Skandal PKFZ: Ahli Parlimen Klang mahu bekukan akaun mereka!

KUALA LUMPUR: Laporan audit PricewaterhouseCoopers (PwC) mengenai Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) telah menguatkan lagi dakwaan selama ini - tetapi diketepikan oleh kerajaan - bahawa projek yang dibiayai dengan wang rakyat itu, dilanda kelemahan dan kecacatan sejak dari mula ia dilaksanakan lagi, dakwa CHARLES SANTIAGO adalah ahli Parlimen (DAP) Klang.

Katanya, antara fakta yang disahkan oleh PwC ialah PKFZ berdepan dengan peningkatan kos, kelemahan dalam urustadbir dan pengurusan projek dan berlaku konflik kepentingan oleh PKFZ dan pegawai-pegawai yang lain.

Di samping itu, jelas beliau, cara laporan itu didedahkan oleh Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) juga harus dipersoalkan.

"Mengapa laporan itu hanya boleh diakses sehingga 10 Jun sahaja? Mengapa hanya 15 salinan laporan itu yang disediakan?"

Kata Charles lagi, ia juga sukar dipercayai yang PwC bukan sahaja meyatakan ia tiada perlu menjawab sebarang persoalan, dan tidak bertanggungjawab kepada mana-mana pihak, kecuali PKA, tetapi turut menekankan bahawa pembaca tidak boleh mengguna atau bergantung kepada laporan itu untuk membuat sebarang kesimpulan.

"Jika PwC begitu takut untuk dikaitkan dengan kesimpulan umum berasaskan kepada laporannya sendiri, maka adakah firma antarabangsa itu akan mempertahankan juruauditnya sendiri?"

"Mengapa tidak ada pihak yang bersedia untuk mempertahankan integriti dokumen tersebut?" tanya beliau.

Namun begitu, beliau menegaskan, keputusan untuk menyerahkan laporan setebal 45 halaman itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus dialu-alukan.

Pemuda PAS akan bahas usul pemilihan calon wakil rakyat elak melompat parti!


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat akan membahaskan usul memantapkan mekanisme pemilihan calon parti itu dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum nanti agar tidak berlaku lagi wakil rakyat yang berpaling tadah seperti di Perak, lapor Malaysiakini.

"Kita tidak mahu kejadian di Perak berulang. Lompat parti, menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan di Perak," kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Suhaizan Kaiat. Usul itu dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Perak, katanya.

Suhaizan berkata, jawatankuasa usul dewan itu akan membuat saringan peringkat akhir pada 3 Jun ini, sehari sebelum muktamar sayap itu berlangsung di Markaz Tarbiah PAS di Gombak.

Pengerusi jawatankuasa usul muktamar PAS ke-55, Datuk Mahfuz Omar mengesahkan kemelut politik di negeri itu, yang berlarutan sejak awal Februari lalu, akan menjadi usul penting.

Dasar kontroversi Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang mendapat bantahan popular dan isu liberalisasi ekonomi yang diumumkan perdana menteri sebulan lalu akan turut dibahaskan.

Mengulas usul-usul daripada tiga sayap utama parti, Mahfuz yang juga ketua penerangan PAS berkata:

"Memang ada pelbagai usul daripada dewan-dewan (sayap parti), tetapi kita belum pasti ia akan diterima atau ditolak (dalam muktamar dewan masing-masing)." PAS kini sedang menyaring dan usul-usul itu dijangka dapat dimuktamadkan sehari sebelum muktamar parti itu bermula 5 Jun ini.

Sementara beberapa isu dalaman parti seperti cadangan pindaan perlembagaan untuk menggalakkan penyertaan bukan Islam dalam Kelab Penyokong PAS (KPP) akan disentuh sewaktu membahaskan usul dasar presiden, tambah Mahfuz.

Dalam mesyuaratnya Sabtu lalu, Dewan Muslimat pula menerima tujuh usul termasuk satu yang akan dibahaskan di perhimpunannya di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Ketua jawatankuasa usulnya Wan Ubaidah Wan Omar berkata, usul menggesa kerajaan melanjutkan cuti bersalin kepada kakitangan kerajaan kepada 90 hari, tidak dihadkan jumlah kelahiran.

Tambahnya, juga ADUN Kijang, cadangan tersebut mengikut dasar yang telah dilaksanakan oleh Kelantan. Usul-usul yang diterima tanpa bahas termasuklah menggesa kerajaan menghadkan tayangan filem berunsur ganas di televisyen.

Mampukah Tok Pa ketuai jentera pilihan raya BN menggodam PAS di Manek Urai?

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyelia persiapan Umno bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Manek Urai, Kelantan yang akan diadakan Julai ini.

Selain itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dilantik sebagai Pengarah pilihan raya kecil Dun itu, kata Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini, beliau berkata, Mustapa, yang juga Naib Presiden Umnodan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan bertanggungjawab mengenai operasi serta keputusan seharian pilihan raya kecil Dun Manek Urai.

Mengenai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding bagi kerusi itu yangkosong berikutan penyandangnya Ismail Yaacob, 60, daripada parti PAS meninggaldunia akibat serangan jantung pada 22 Mei lepas, Perdana Menteri berkata: "Sayamenunggu syor daripada Badan Perhubungan Umno Kelantan."

"Bila sampai masanya, kita akan umum. Ada masa lagi," katanya kepada Bernama.

Ditanya mengenai kriteria calon yang dikehendaki, Najib berkata: "Kita taktetap apa-apa kriteria, kita nak calon yang terbaik."

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Julai sebagai hari penamaan calon danjika ada pertandingan, pengundian akan diadakan pada 14 Julai ini.

Mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang meminta penyokong Umno tidak mengundi pada pilihan raya kecil DUN Penanti pada Ahad ini, Najib berkata: "Ini bermakna apa jua tindakan yang akan dilakukan, ia adalah tindakan di peringkat individu."

"Pendirian kita ialah kita tak terlibat sama sekali," katanya. Umno sebelum ini memutuskan untuk tidak terlibat sama sekali dalam pilihan raya itu.

Berderai dua: Pulau Pinang kini ada 2 Pengerusi PPP

PULAU PINANG: Kemelut politik dalam Parti Progesif Penduduk (PPP) terus bergolak apabila bekas naib pengerusi negeri V. Nanda Kumar mendakwa dirinya sebagai Pengerusi PPP Pulau Pinang yang baru, lapor Bernama.

Katanya, pelantikannya dibuat oleh Senator Datuk T. Murugiah, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Putrajaya Ahad lalu. Datuk Dr Loga Bala Mohan merupakan penyandang jawatan pengerusi PPP negeri.

“Saya menerima sokongan kira-kira 60 peratus ahli di negeri ini untuk memimpin PPP negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Bagaimanapun, Dr Loga, dalam reaksi spontan, berkata semua dakwaan Nanda itu tidak sah kerana dia tidak menerima sebarang surat pelantikan dari kepimpinan parti pusat.

“Apa yang saya faham, saya tidak menerima sebarang arahan dari pucuk pemimpin parti pusat untuk melepaskan jawatan saya sebagai pengerusi negeri,” katanya.

Katanya Pendaftar Pertubuhan (ROS) juga mengumumkan bahawa PPP adalah sebuah parti yang sah di bawah kepimpinan Datuk M. Kayveas.

“Saya ingin menasihatkannya (Nanda) supaya mematuhi peraturan dan menghentikan permainan menyalahkan orang lain,” katanya.

Katanya Nanda dan ketua Bahagian Balik Pulau S.V. Manimaran tidak menghadiri konvensyen negeri yang dirasmikan oleh Presiden PPP Rabu lalu kerana kedua-dua pemimpin itu gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan bahagian masing-masing.

Katanya terpulang kepada kepimpinan parti pusat dan Majlis Tertinggi untuk mengambil tindakan terhadap Nanda dan Manimaran.

Pada 24 Mei lalu, Murugiah, yang disingkirkan daripada PPP pertengahan bulan lalu, telah dipilih sebagai ’Presiden’ menggantikan Kayveas melalui mesyuarat di Putrajaya itu.

Muktamar Agung PAS dan jalan ke hadapan. Mujahid mahu bantu kukuhkan parti!

CALON Naib Presiden PAS, DR MUJAHID YUSUF RAWA menulis pada portal Malaysia Insider 29 Mei lalu:

SEBAIK sahaja kembali dari tanahair pada 26 Mei, segala tumpuan saya adalah kepada politik Malaysia. Saya menyertai rombongan Speaker Parlimen ke Uzbekistan dan Kyrgystan pada 19 Mei yang lalu untuk mengukuhkan hubungan di antara Parlimen. Sebagai ahli Parlimen yang termasuk dalam kumpulan persahabatan antara parlimen bagi Negara Islam dan Timur Tengah saya bersama dengan empat ahli Parlimen yang lain telah dipilih dalam rombongan ini untuk menjayakan misi negara.

Ianya satu penghormatan untuk menggalas tanggungjawab mempromosikan Parlimen Malaysia di mata dunia. Sepanjang lawatan resmi, ketika waktu rehat sambil bersantai, kami mengambil masa keemasan untuk berbincang tentang politik Malaysia kerana agak sukar suasana bersantai ini untuk ahli Parlimen PR dan BN dapat duduk sekali dalam misi negara.

Walaupun kami bukanlah pembuat keputusan tetapi bertukar maklumat dan pandangan tentang masa depan politik Malaysia sekurang-kurangnya dapat menjadi satu “intellectual discourse” bagi menajamkan lagi kefahaman kami terhadap senario politik Malaysia dan masa depannya yang mencabar.

Tepat jam 8.30 pagi penerbangan Uzbekistan Airways mendarat di KLIA setelah perjalanan 7 jam dari Tashkent. Saya mengambil peluang untuk tidur sepanjang perjalanan namun sempat berbual dengan seorang tokoh muda Umno dari Parlimen Pulai tentang politik Malaysia serta permasalahan kepartian yang dihadapi oleh parti masing-masing.

Agak menarik kerana kami mewakili golongan muda parti masing-masing, aspirasi kami seolah sama untuk melihat politik Malaysia dan parti masing-masing maju kehadapan. Jam di Tashkent semasa waktu bertolak pukul 10 malam, saya dan YB Pulai hanya sempat bertahan sejam sahaja perbualan dan selebihnya masing-masing melayan mimpi untuk balik kepangkuan keluarga dan tanahair.

Telefon bimbit saya tak berhenti berdering selepasa sahaja diaktifkan tanda pesanan bertubi-tubi kerana sepanjang di luar negeri saya mematikan telefon bimbit. Antara pesanan baru yang diterima ialah dari SMS harakah yang diajukan dari kawan-kawan memaklumkan senarai terakhir calon-calon untuk pemilihan parti PAS dan antaranya ialah senarai terakhir lima calon untuk jawatan Naib Presiden termasuklah nama saya.

Saya tidak terkejut kerana sehari sebelum saya berangkat iaitu pada 18 Mei saya telahpun mengirimkan faks ke Pejabat Agung PAS memaklumkan pengesahan saya akan bertanding. Sememangnya keputusan untuk menerima dan mengesahkan untuk bertanding bukanlah mudah.

Beberapa kali saya teragak-agak untuk menarik diri kerana merasa terlalu kerdil berbanding dengan nama-nama besar lain yang turut dicalonkan, tetapi berbekalkan keinginan untuk berkhidmat kepada parti dan nasihat ikhlas dari saudara dan kawan-kawan saya gagahkan diri untuk menerima pencalonan jawatan ketiga tertinggi dalam PAS.

Saya telah berada dalam Jawatankuasa PAS pusat selama dua penggal, sebelum itu saya dalam Dewan Pemuda dua penggal juga. Di peringkat negeri semasa di Melaka pernah menjawat Timbalan Pesuruhjaya dan Ketua Penerangan selama beberapa penggal.

Saya juga merasai kepimpinan akar umbi apabila pernah menjadi YDP Kawasan Jasin dan Pengerusi Majlis Tindakan DUN Serkam, kini saya masih YDP tetapi di Bayan Baru Pulau Pinang dan Timbalan Pesuruhjaya Pulau Pinang setelah berpindah balik negeri asal pada tahun 2004.

Pengalaman dua kali kalah dalam PRU turut mewarnai pahit maung permainan demokrasi yang saya pilih untuk sertai dan bermain dengannya semenjak 1999. Saya berasa kerdil apatah lagi dua tokoh besar seperti YB Salehudin dan Dato’ Mahfuz Omar pernah menjadi bos saya semasa dalam Pemuda dulu.

Dato’ Tuan Ibrahim pula seorang tokoh agama yang disegani manakala Dato’ Nik Ammar memang berpengalaman dalam pentadbiran Kerajaan Kelantan selama beberapa penggal. Sudah tentulah saya gentar semasa menerima pencalonan Naib Presiden, namun saya melihat bahawa PAS hari ini sudah jadi “mainstream politics”.

Semalam setelah berkempen di Penanti kawan baik saya menyebut satu perkataan yang besar tentang Pas, katanya “la ni masa untuk PAS, buatlah sesuatu supaya ia berada di hadapan!” walaupun dia mengucapkannya sambil menikmati roti nan di Restoren Subaidah Seberang Jaya, ungkapannya mempunyai implikasi yang besar dalam masa depan politik Malaysia seluruh negara.

Atas alasan melihat masa depan politik Malaysia supaya dapat membuat anjakan dari kepompong yang ada, saya beranikan diri untuk jawatan ini bagi saya membentuk lakarannya melalui landasan PAS yang mempunyai potensi besar untuk mengubah lanskap politik tanahair.

Namun matlamat besar ini bukan mudah dan bukan retorik, ia memerlukan pandangan menyeluruh kepada masa depan politik dan bagaimana PAS dapat menyesuaikan diri dalam perubahan ini, adakah PAS mahu menjadi saksi kepada perubahan? atau mangsa kepada perubahan? ataukah PAS memilih untuk menjadi peneraju kepada perubahan.

Pemikiran perubahan politik ini ada disiplinnya, ia bukan hafalan dalam buku-buku “management”, ia satu panduan bagi pengamal-pengamal membuat ramalan-ramalan tentang apakah implikasi jika tidak mengikut garispanduannya, oleh itu terpulanglah kepada kita untuk memilih apakah konsekuensinya.

Untuk memastikan keputusan yang terbaik PAS perlu bersifat artikulatif kepada dasar yang diperjuangkan di mana asas pendekatannya mestilah inklusif dan retrospektif kepada suasana kelilingnya. Semua ini memerlukan kepimpinan PAS yang menjiwai aspirasi nasional yang disandarkan oleh orang ramai kepadanya, ia bukan lagi parti eksklusif untuk golongan tertentu pada masa-masa tertentu.

Alasan saya dengan premis pemikiran sebegini bukan sahaja justifikasi untuk bertanding tetapi bebanan kepimpinan yang perlu menjadi agenda kepimpinan yang bakal akan ditentukan oleh perwakilan PAS seluruh negara.

Saya heran mengapa isu yang diperbincangkan di ambang pra muktamar ini ialah samada mahu ulamak atau tidak sebagai pemimpin atau polemic peribadi yang hanya pandai melabelkan orang ini “Erdogan” orang ini geng “muqabalah” atau orang ini “PAS tulen”. Apakah semua isu ini akan memberi kesan kepada sifat artikulatif, inklusif dan retrospektif yang terpaksa dihuraikan oleh kepimpinan baru nanti dalam agenda nasionalnya?

Lebih penting daripada itu bersediakah kepimpinan baru nanti mendidik ahlinya menjadi parti yang akan “lead the way forward?” Itulah yang bermain di benak saya sepanjang jalan dari KLIA ke Pariti Buntar dan sesekali dikejutkan oleh anak bongsu saya yang minat bertanya tentang perjalanan saya ke Asia Tengah sambil membelek gambar dalam kamera digital saya.

Hanya dengan memikirkan apakah masa depan politik Malaysia dan perkembangan global, sesebuah parti politik itu boleh maju ke hadapan. Parti politik memainkan peranan yang penting membentuk lanskap politik dan untuk dia melakukan demikian parti itu perlu menjelmakan dalam dirinya aspirasi yang akan membawa negara ini ke arah itu.

Isu perkauman, isu patriotism, isu keutuhan diri dan isu identity bangsa Malaysia, kesan isu global semua perlu diperincikan dalam kerangka struktur pemikiran parti terhadap permasalahan di atas dan kemudian kemampuan parti untuk merungkaikan kerumitan dalam bahasa yang mudah difahami oleh ahli dan orang awam!

Siapa kata menjadi pemimpin sebuah parti politik begitu mudah dan simplistik? Sebab itu, saya kurang faham mengapa dalam pemilihan parti yang besar ertinya kepada masa depan politik tanahair kita masih berbincang lagi persoalan ulamak atau professional, Erdogan atau muqabalah sedangkan masa depan negara terbentang luas di hadapan mereka.

Perwakilan hanya perlu memilih siapakah bakal kepimpinan mereka yang boleh membawa aspirasi nasional untuk membawa negara ini satu langkah kehadapan, persoalannya apakah perwakilan dapat mendalami dan menjiwai peranan mereka yang penting dalam muktamar nanti?

Saya menaruh harapan dan keyakinan, itulah sahaja bekalan yang ada pada saya. Sambil isteri saya yang setia di sebelah bertanya apakah saya yakin untuk meneruskan hasrat bertanding, saya menjawab “harap-harap keputusan ini sesuatu yang tepat pada waktunya dan tepat pada tempatnya, hanya orang yang tepat itu saya serahkan kepada perwakilan nanti”

Khamis, Mei 28, 2009

Kekuatan tiga tungku yang tidak boleh dipisahkan dalam Kepimpinan Ulama - Nasruddin Tantawi


USTAZ Nasruddin Hassan Tontawi menulis begini tentang Kepimpinan Ulama seperti posting pada blognya:

Ulamak, profesional dan aktivis adalah tiga tungku PAS yang mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri dalam usaha menegakkan wadah perjuangan Islam terbesar tanahair ini. Tanpa satu daripadanya, PAS tidak akan mampu gah berdiri pada tahap yang ada pada hari ini.

Sesuai dengan istilah tungku yang saya gunakan, ianya membawa maksud setiap satu dari tungku tersebut diperlukan bagi mengimbang kekuatan parti mendepani cabaran, melengkapkan keperluan parti dan memenuhi tuntutan massa (ummah).

Tidak mungkin salah satu daripadanya (3 tungku) terpinggir atau dipinggir dan terabai atau diabaikan justeru ia akan melemahkan parti. Sebaliknya setiap satu dengan yang lainnya saling kuat menguat dan kukuh memperkukuhkan antara satu sama lain.

Menyedari kekuatan inilah, musuh kelihatan sangat cemburu dan gigih berusaha untuk melumpuhkannya. Media digunakan sepenuhnya untuk merungkai keserasian tiga tungku utama PAS ini dengan menimbulkan konflik dan mencetuskan pergeseran. Sedang PAS telah selesa sejak awal ia diasaskan, bergerak dan memacu perjuangan dengan kombinasi jitu tiga tungkunya iaitu ulamak, profesional dan aktivis.

Semangat yang diambil dari seminar khas sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Kepimpinan Ulamak baru-baru ini jelas memperakui peranan tiga tungku utama parti yang menjadi tonggak mendokong Kepimpinan Ulamak. Kepimpinan ulamak tidak seharusnya dibaca semua pemimpin parti mestilah ulamak sebagaimana tidak juga wajar dibaca kepimpinan ulamak sebagai dominasi ulamak disemua peringkat kepimpinan parti.

Kepimpinan ulamak ialah satu konsep kepimpinan parti yang dasar dan arah tujunya dipandu dan dipimpin oleh ulamak al a'milin al mujahidin .

Tahun 1982 menyaksikan Konsep Kepimpinan Ulamak ini diperkenal dan diamalkan dalam kepimpinan parti dan akhirnya membawa kepada penubuhan majlis Syura Ulamak yang kemudiannya didokumenkan dalam daftar perlembagaan parti. Penubuhan Majlis Syura Ulamak menjadi penafsiran bertulis bagi melaksanakan konsep Kepimpinan Ulamak yang telah dipersetujui dan didokong bersama.

Semangat dari konsep Kepimpinan Ulamak ini pula, biarpun tidak tertulis di dalam perlembagaan, parti melalui perwakilannya ke muktamar telah meletakkan Presiden dan Timbalan Presidennya dikalangan ulamak untuk memimpin sebuah jawatan kuasa yang besar diperingkat eksekutif parti.

Ianya berlaku sejak konsep Kepimpinan Ulamak ini digagaskan. Di zaman al marhum Yusuf Rawa sebagai Yang Di Pertua PAS Pusat, Al Marhum Ustaz Fadzil Noor sebagai timbalannya. Sementara zaman al Marhum Ustaz Fadzil Noor sebagai Presiden PAS, Tuan Guru Hj Abd Hadi sebagai timbalannya, demikian di zaman Tuan Guru Hj. Abd Hadi sebagai Presiden PAS, al fadhil Ustaz Hassan Shukri sebagai timbalan dan kemudiannya diganti oleh Al Fadhil ustaz Nasharudin Mat Isa sebagai timbalannya.

Sejak Kepimpinan Ulamak (1982) diamal dan dilaksanakan konsep kepimpinannya, ulamak terus diberi kepercayaan untuk memimpin parti bersama dengan gandingan mantap dari kalangan profesional dan aktivis. Justeru PAS tetap melaksanakan kaedah kepimpinan kolektif dengan prinsip amal jamaei (kerja berpasukan) yang utuh.

Tungku Aktivis PAS

Tungku ini sangat besar pengorbanan mereka kepada perjuangan Islam yang didokong oleh PAS. Mereka barangkali tiada STAM atau tiada STU, jauh sekali untuk dapat Ir dan Dr pada pangkal nama mereka. Rata-rata mereka adalah ahli biasa parti dan hanya menjadi pemimpin peringkat bawah seperti cawangan dan MTD (Majlis Tindakan DUN).

Namun mereka tidak teragak-agak mewaqafkan tanah mereka untuk didirikan markaz, menjual keperluan asas mereka bagi membiayai perjuangan yang didokong malah menggadai barang kemas mereka demi menampung keperluan jamaah. Mereka mungkin juga tidak dikenali di bumi namun keikhlasan mereka sangat dikenali di langit dan pastinya doa mereka didengari (diterima) oleh Allah swt.

Mereka sangat sayang kepada perjuangan Islam yang didokong dan mereka jua sangat komited mendokong para ulamak yang memimpin dan membimbing mereka. Mereka faham Islam dan tergerak dihati penuh insaf dan sedar untuk berjuang, bermula dari ilmu dan bimbingan para ulamak.

Saya melihat latar belakang kategori ini, tidak mungkin mereka menolak kepimpinan ulamak dan siapa yang kata mereka tolak kepimpinan ulamak? Golongan aktivis parti tetap akan mendokong cita-cita perjuangan dan bersama kepimpinan ulamak seperti yang telah ditunjukkan oleh al marhum Tuan Guru Yusuf Rawa, al Marhum Tuan Guru Hj Fadzil Noor, Tuan Guru al Mursyidul Am, Dato' Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Dato' Seri Hj Abdul Hadi.

Tungku Profesional PAS

Kategori ini juga wujud di dalam PAS sejak hari jadi PAS yang pertama lagi seperti Prof Dr. Burhanudin al Helmi, Dr. Abbas, Prof Dr. Ahmad Ibrahim dan ramai lagi tenaga-tenaga pakar dalam bidang-bidang tertentu yang membantu pemimpin PAS dari belakang tabir.

Sangat membanggakan di era kepimpinan ulamak, melalui didikan dan bimbingan ilmu serta sentuhan spiritual perjuangan Islam oleh para ulamak, golongan profesional mula berhijrah beramai-ramai secara terang-terangan menyertai PAS malah mengambil posisi besar dan tinggi dalam PAS untuk membantu kepimpinan ulamak mengangkat parti menjadi gah dan hebat.

Pengorbanan mereka juga sangat besar. Sebahagian mereka sanggup meninggalkan gaji lumayan justeru menyedari bahawa Islam dan perjuangannya adalah lebih bernilai dari segala material yang ada. Mereka menginsafi bahawa akhirat adalah taruhan sebenar sementara dunia adalah tempat mereka mencurah bakti kepada perjuangan Islam. Kesedaran mereka dibina dan bentuk oleh para ulamak dan akhirnya mereka terpaut kepada perjuangan suci ini.

Sejurus mereka menyertai PAS, segala kepakaran dan kemahiran dicurahkan untuk membangunkan PAS dan memperkasanya. Organisasi dimantapkan, pengurusan dikemaskinikan, perancangan dan strategi disistematikkan. PAS kini berdiri sama tinggi bahkan lebih tinggi berbanding parti-parti politik yang lain.

Saya melihat, golongan profesional juga sangat menghormati ulamak justeru mereka memahami Islam dan perjuangannya ini melalui sentuhan ilmu dan didikan para ulamak. Tidak ada orang yang faham Islam dengan sendiri begitu sahaja tanpa melalui ilmu sedang ilmu itu dari dada para ulamak yang membimbing mereka . Berasaskan realiti ini juga, saya yakin profesional juga mendokong kepimpinan ulamak. Sekali-kali mereka tidak akan meminggirkan ulamak dan siapa yang kata mereka akan pinggirkan ulamak?

Tungku Ulamak PAS

Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa perjuangan Islam ini diasaskan oleh Nabi SAW dan kemudiannya disambung oleh para sahabat rhm sehinggalah akhirnya diteruskan oleh para pewaris baginda saw iaitu ulamak.

Bukan sahaja menubuhkan PAS malah yang mula menggerakkan kebangkitan ummah menentang penjajah bagi membebaskan negara dari penjajahan dan perhambaan sesama hamba ialah ulamak. Tidak sahaja di negara kita bahkan di seluruh dunia. Pahlawan dan para pendekar yang bangkit menentang kuffar yang menjajah tanahair dan merampas hasil bumi mereka ialah terdiri dari kalangan ulamak atau tok-tok alim dari pondok-pondok dan juga madrasah-madrasah0.

Pengorbanan mereka tidak terhenti setakat tenaga, wang ringgit dan masa tetapi darah dan nyawa. Berbekal kekuatan ilmu dan kefahaman mereka yang mendalam mengenai Islam, mereka berjuang memburu syahid dan berdakwah tanpa memperduli sebarang implikasi.

Mereka turun meredah sempadan dari satu daerah ke satu daerah, dari satu negeri ke satu negeri untuk menyampaikan ilmu Islam kepada masyarakat. Sebahagiannya dicemuh dan dimaki malah ada yang diseret ke mahkamah seperti al marhum Tuan Guru Hj Mustafa Pondok pasir Tumboh dan ramai lagi.

Ulamak tidak sahaja penuh ilmu di dada tetapi juga terhias peribadi mereka dengan taqwa dan amal yang soleh, menjadikan diri mereka tawadhu' dan zuhud. Mereka memimpin parti dan ahlinya dengan keikhlasan dan ketaqwaan disaat orang belum mengenali strategi planning, analisis swot dan sebagainya. Pun begitu mereka berjaya membangunkan insan dan jiwa berjuang bangkit menentang boneka penjajah yang memerintah negara.

Kehadhiran aktivis PAS dibawah kepimpinan mereka mengukuhkan akar umbi parti dan kemunculan golongan profesional menambah nilai dan meningkat upaya kepimpinan ulamak dengan membesarkan lagi skala kemampuan parti mendepani segala cabaran moden yang dihadapi pada hari ini.

Fenomena ini (kehadhiran aktivis dan kemunculan profesional) adalah sangat membanggakan malah mengembirakan semua pihak termasuk para ulamak justeru mereka menjadikan PAS lebih lengkap dan semakin sempurna berbanding sebelumnya.

Saya melihat realiti ini tidak memungkin ulamak meminggirkan golongan aktivis dan profesional lantaran mereka sangat diperlukan oleh ulamak untuk terus membangunkan satu-satu wadah besar perjuangan Islam yang mampu bersaing dengan kuasa toghut dalam negara ini. Saya tidak nampak para ulamak mengabaikan dua tenaga penting (aktivis dan profesional) dalam kepimpinan ulamak, atau siapa yang kata ulamak tolak aktivis dan profesional?

Musuh Dalam Selimut

Saya melihat musuh Islam sangat cemburu dengan tiga kombinasi tungku PAS ini. Mereka akan lakukan apa sahaja untuk mengalih salah satu dari tungku ini dari posisinya agar PAS tumbang atau paling tidak senget dan tidak seimbang.

Siapa mereka ini agak sukar kita kesan. Zahirnya Umno dan BN memang telah menjadi musuh tradisi kepada PAS. Tidak mustahil dan ini telah berlaku sejak zaman nabi saw sehingga hari ini dan ianya juga berlaku kepada semua gerakan Islam di seluruh dunia termasuk Ikhwan Muslimin, di mana musuh dihantar masuk ke dalam parti untuk merosakkannya dari dalam.

Mungkin inilah yang kita sebut sebagai musuh dalam selimut. Sama ada musuh yang dihantar masuk dalam parti atau anggota parti yang khianat lalu menjual diri dan maklumat parti kepada musuh, ini juga musuh dalam selimut.

Perkara ini perlu hazar (waspada) oleh seluruh saff pimpinan dan anggota parti. Islam sememangnya mengajar kita demikian. Ambillah (tumpukan) kewaspadaan kamu terhadap perkara-perkara seperti ini.

Insyaallah selama mana tiga tungku ini tidak dipisahkan sebalik terus berada diposisi asalnya, saya percaya PAS akan terus utuh dan tidak mungkin mudah rosak dan binasa kerana angkara anai-anai ini. Kalau anai-anai ini hanya seekor dua, tidak mengapalah, tapi kalau banyak dan berjujut masuk dalam bangunan PAS ini terpaksalah PAS menghubungi pest control!

PAS berjaya seperti hari ini kerana usaha semua pihak - Nuridah Salleh


MUQADDIMAH: Selama 25 tahun kepimpinan ulama diasaskan, ia dilihat sudah mencapai kejayaan besar terutama bila PAS berjaya menguasai kembali Kelantan selama 19 tahun bermula dari tahun 1990. Penerimaan masyarakat majmuk atau masyarakat bukan Islam terhadap PAS juga merupakan petanda kejayaan kepimpinan ulama yang menjadi antara agenda perjuangan PAS. Namun benarkah hanya ulama memainkan peranan dalam memberikan kejayaan terhadap PAS? Bagaimana dengan sumbangan golongan profesional dan aktivis parti dalam mempersadakan PAS hingga ke peringkat hari ini. IRWAN MUHAMMAD ZAIN mendapatkan pandangan Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh. Ikuti temubual ringkas yang diadakan pada 25 Mei lalu.

Setelah 25 tahun kepimpinan ulama diasaskan, bagaimana ustazah melihat kepimpinan ulama ini dari sudut pandangan muslimat?

USTAZAH NURIDAH: Pada pandangan saya setelah 25 tahun kepimpinan ulama ini, ia perlu mempertingkatkan lagi daripada usaha-usaha yang telah dilakukan 25 tahun yang lalu. Kita tak nafikan sumbangan dan jasa-jasa yang diberikan oleh ulama dalam tempoh 25 tahun yang telah melakarkan sejarah PAS dalam persada politik Malaysia. Tetapi untuk mencapai matlamat penubuhan PAS itu sendiri agar seluruh negara mendaulatkan perintah Allah SWT banyak lagi peranan yang perlu diambil ulama.

Apakah yang dilakukan oleh Muslimat dalam usaha untuk terus memperkasakan kepimpinan ulama?

Terus memberikan kefahaman kepada perjuangan Islam itu sendiri. Memberi kefahaman kepada masyarakat tentang perjuangan PAS yang berlandaskan Islam. Matlamat perjuangan parti yang termaktub dalam al-Quran dan sunnah Rasullah SAW.
Dan untuk mencapai matlamat perjuangan ini pada saya ulama harus memainkan peranan yang lebih besar kerana hanya ulama yang memahami isi kandungan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Bila kita membincangkan tentang ulama atau kepimpinan ulama, tidak dapat tidak ia akan terarah kepada satu golonga sahaja iaitu golongan veteran. Ada pihak yang mengatakan ulama menerusi Dewan Ulama gagal melakukan proses peremajaan sedangkan untuk menarik golongan muda, bukan hanya Dewan Pemuda sahaja yang perlu aktif sebaliknya Dewan Ulama juga perlu memainkan perana mereka.

Dalam soal ini apa pandangan ustazah tentang kepimpinan ulama yang setakat ini masih dikuasai oleh golongan veteran dan tidak muncul ulama muda sebagai pemimpin dalam Dewan Ulama?

Saya rasa ini juga satu cabaran kepada ulama-ulama muda kerana dalam PAS ramai ulama-ulama muda. Mereka sebenarnya perlu berganding bahu dengan ulama-ulama veteran. Kita tidak boleh meninggalkan terus ulama-ulama veteran sebaliknya kita perlu berganding bahu kerana ulama-ulama veteran boleh membimbing ulama-ulama muda untuk menjadi seorang pemimpin dan ulama yang disegani bukan hanya dalam PAs tetapi juga masyarakat diluar PAS.
Ulama-ulama veteran mampu memberi semangat kepada golongan ulama muda untuk tampil ke depan dan seterusnya menjadi pengganti kepada mereka di masa akan datang.

Setelah 25 tahun kepimpinan ulama, bagaimana penerimaan masyarakat majmuk terhadap kepimpinan ulama?

Pada pandangan saya sangat positif. Penerimaan masyarakat majmuk atau masyarakat bukan Islam terhadap PAS itu merupakan satu petunjuk yang jelas penerimaan konsep kepimpinan ulama yang selama ini kita perjuangkan.
Dengan berkat kepimpinan dan bimbingan ulama itu sendiri tentang Islam dan kosep pemerintahan Islam menyebabkan masyarakat majmuk dapat menerima kepimpinan ulama atau menerima kehadiran golongan ulama sebagai pemimpin dalam masyarakat.
Dewasa ini timbulnya isu golongan ulama dan golongan profesional terutama dalam media-media arus perdana. Bila isu ini dimainkan ia seolah-olah satu usaha untuk meminggirkan golongan yang bukan ulama atau profesional atau kita panggil golongan aktivis parti.

Apakah perkara ini menyebabkan golongan bukan ulama dan golongan bukan profesional akan terpinggir bila tumpuan lebih diberikan kepada ulama dan profesional?

Saya rasa isu ini tidak perlu ditimbulkan. Pemimpin-pemimpin parti juga sepatutnya tidak menggunakan isu ini untuk diperbesarkan kerana realitinya dalam PAS semua pihak memainkan peranan. Kejayaan yang diperolehi oleh PAS hari ini bukan kerana usaha satu pihak sahaja sebaliknya melibatkan semua sekali baik ulama, profesional atau aktivis.
Dan sumbangan golongan yang bukan ulama atau profesional ini bukan kecil. Sejak dari awal PAS ditubuhkan, ramai golongan-golongan aktivis yang bersusah payah berusaha untuk menaikkan PAS.
Jadi pada saya kalau isu ini kita perbesarkan ia tidak akan menguntungkan parti sebaliknya merugikan kerana apa yang kita perolehi sekarang kerana usaha semua pihak jadi tidak wajar jika kita cuba menafikan sumbangan pihak-pihak lain dalam parti dan hanya memberikan fokus kepada satu pihak sahaja.

Kepimpinan Ulama muncul setelah ulama dipinggirkan di bawah Asri - Subky Latif

SEBAGAI orang yang terbabit dengan penubuhan Kepimpinan Ulama pada tahun 1982, SALMIYAH HARUN mendapatkan pandangan dan imbasan Haji Ahmad Subky Abdul Latiff tentang beberapa peristiwa dalam perjuangan awal Kepimpinan Ulama sebelum apa yang dinkmati pada hari ini. Ikuti butiran lanjutnya.

Mengapa idea Kepimpinan Ulama itu timbul? Kenapa tidak sahaja memilih kepimpinan Islam atau apa-apa yang lain waktu itu?

SUBKY ABDUL LATIF: Atas kebenaran mahu mendaulatkan institusi ulama, malah kepimpinan yang dibenarkan dalam Islam adalah kepimpinan ulama. Jadi ekoran inilah kepimpinan ulama terbentuk pada tahun 1982.
Daripada tinjuan saya di kalangan orang-orang PAS ada dakwaan krisis dalam PAS pada masa itu disebabkan PAS tidak diletakkan di bawah kepimpinan ulama jadi kecenderungan semua pihak mahu kepada kepimpinan ulama.

Pada waktu itu apa yang dimaksudkan dengan Kepimpinan Ulama?

Ulama mesti memimpin. Kepimpinan itu mesti ulama, jadi PAS wajar melaksanakan supaya kepimpinan ulama itu wujud. Pemuda PAS waktu itu tidak ada apa-apa 'recommendation' bentuk dan konsep kepimpinan itu, tetapi pokoknya yang kita mahu PAS kembali kepada kepimpinan ulama yang juga tepat bagi gerakan Islam.

Apakah perbezaan kepimpinan Dato' Asri waktu itu dengan kepimpinan ulama yang digagaskan selepas itu?

Sebenarnya krisis itu berpunca daripada kepimpinan tidak ulama. Dato Asri bukan kepimpinan ulama dia mempunyai semangat Islam yang tinggi. Tetapi dalam pentadbiran 10 tahun lebih itu, berlaku macam-macam menyebabkan ulama terpinggir. Di sinilah punca krisis. Ekoran itu timbul pandangan-pandangan di kalangan PAS seperti kena tulah sebab kepimpinan gerakan Islam tidak dibawah ulama.

Banyak juga rintangan kepimpinan ulama di peringkat awal misalnya isu kafir mengkafir. Bagaimana kepimpinan ulama berdepan dengan isu-isu panas ini?

Rintangan itu bukan PAS yang timbulkan. Ini Umno sendiri yang ada-adakan cerita. Malangnya PAS terperangkap oleh mainan politik Umno pada waktu itu. Ini bukan PAS punya kerja.
Jadi PAS tidak dapat tangani isu ini, kerana ulama tidak ada roh. Yang penting ketika itu, ulama terpinggir. Oleh itu ulama tidak berperanan dalam masalah itu.

Dalam Peristiwa Memali, 1986, ulama dijadaikan sasaran hingga terbunuh syahid. Apa yang saudara boleh katakan.

Saya tidak nafikan peranan ulama itu ada, tetapi mereka tidak terpenting untuk menjadi pemimpin, mereka hanya menjadi penyokong pimpinan. Pimpinan PAS mengiktiraf kematian Ibrahim Libya dan orang-orangnya sebagai syahid. Kematian mereka digelar dan diiktiraf sebagai syuhada.

Pilihan raya umum 1986 PAS kalah teruk. Waktu itu PAS bekerjasama dengan CCC dan ini sejarah pertama PAS berpakat dengan bukan Melayu. Mengapa gagal?

Itu adalah peringkat awal pelaksanaan PAS untuk mendekati masyarakat bukan Islam. Tetapi kegagalan PAS pada masa itu kerana disebabkan politik Umno juga. Sebelum pilihan raya sokongan masyarakat Cina kepada PAS begitu besar, jadi ini menakutkan BN dan umno.
Oleh kerana itu, Tun Mahathir dengan Anwar Ibrahim menganjurkan pertemuan dengan pimpinan PAS secara sulit, atas alasan untuk meredakan ketegangan. Jadi perkara ini orang lain tidak tahu pertemuan sulit itu.
Tetapi kurang 24 jam selepas pertemuan itu Umno bocorkan bahawa mereka berjumpa dengan pemimpin PAS. Jadi ini menyebabkan semua Cina merasakan PAS mengkianati mereka. Akhirnya mereka tidak memberi sokongan kepada PAS. Ini adalah politik Umnolah mengalihkan perhatian Cina daripada PAS.

Menyelami sejarah penubuhan Kepimpinan Ulama PAS - Ustaz Idris Ahmad



USTAZ Idris Ahmad menulis begini: GOLONGAN Ulama’ merupakan golongan yang lebih memahami Islam dan semangat menentang penjajah. Mereka jugalah yang banyak memegang peranan memimpin dan mengembangkan PAS di seluruh tanah air. Kekentalan PAS dengan doktrin agama dan politik yang tidak boleh dipisahkan telah mempengaruhi dan meresapi kuat ke dalam pemikiran parti Islam melalui wadah politik. - (Zulkifli Muhammad, 1954: 13).

Oleh kerana Pas adalah sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasar maka ia telah mendapat sokongan dari orang ramai terutama di kalangan tuan guru dan ustaz. Mereka ini adalah kelompok yang mempunyai penyokong di peringkat akar umbi. Ini dapat dilihat Presiden PAS yang pertama (dulunya Yang Dipertua Agung Pas) dipimpin oleh ulama atau sekurang-kurangnya golongan agama kecuali di zaman Dr. Haji Abas Alias. Tanpa diminta para pendukung dan ahli-ahli PAS telah meletakkan mereka sebagai pemimpin meskipun di dalam perlembagaan PAS yang awal tidak menyebutkan tentang kepimpinan ulama.

Walaupun sebuah Dewan ulama sudah wujud pada peringkat awal, hampir sama dengan penubuhan PAS (Alias Muhamed, 1992: 94) tetapi agak kurang dalam menentukan dasar dan pembawaan parti. Kedudukan Dewan ulama hanya setanding dengan dewan-dewan lain yang tidak mempunyai autoriti yang besar. Ketuanya berada di dalam Dewan Harian bersama-sama dengan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Waktu ini kedudukan ulama dalam hiraki parti tidak dipandang sebagai kata pemutus. Sehinggalah terdapat desakan di kalangan ahli bahawa perlunya ulama’ ditempatkan dan diinstitusikan dalam parti PAS.- (Harun Taib 2000: 4)

Beberapa fenomena telah berlaku dalam parti dan luar parti telah menuntut PAS melakukan perubahan kepimpinan yang lebih dinamik dan sesuai dengan tuntutan zaman. Ini telah menggerakkan Pas untuk mewujudkan kepimpinan ulama bagi mengembalikan fungsi kewujudan PAS sebagai parti politik dan gerakan Islam. PAS melihat dekad-dekad kebelakangan ini semacam ada usaha untuk memencilkan peranan ulama di mana peranan ulama diletakkan di bidang ibadah sahaja. PAS berusaha untuk meletakkan Ulama di tempat yang sepatutnya seperti pada zaman kegemilangan awal dahulu.

Faktor-faktor kesedaran terhadap Islam sejak tahun 1970an telah menggalakkan munculnya pertubuhan-pertubuhan yang bergerak atas nama Islam dalam menjalankan aktiviti daKwah di seluruh negara. Badan dakwah yang lahir seperti ABIM, (Angkatan Belia Islam Malaysia) dianggotai oleh pelajar dalam negeri dan luar negeri untuk merealisasikan cita-cita perjuangan Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah selain daripada itu terdapat pergerakan seperti Tabligh dan al-Arqam. (Chandra Muzaffar, 1978: 53-55)

Penglibatan tokoh-tokoh ABIM ke dalam PAS jelas selepas kekalahan PAS di Kelantan pada Mac 1978 ekoran surat Pak Muhammad Natsir (Ketua Umum Masyumi) kepada Datuk Mohd Asri haji Muda supaya ABIM menyelamatkan PAS - (Subki Latif, 2003: 3)

Hubungan intim ini boleh dilihat ketika pilihanraya umum 1978, dimana beberapa tokoh besar ABIM. seperti Ustaz Fadhil Nor (waktu itu Timbalan Presiden ABIM) dan Ustaz Nakhaei Haji Ahmad Naib Presiden ABIM, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman (Bendahari ABIM), Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Yang Dipertua ABIM Negeri Terengganu) dan Ustaz Yahya Othman (Ahli Syura ABIM) telah bertanding atas tiket Pas. Dengan pembabitan mereka secara langsung dalam PAS telah membawa satu pembaharuan dalam jentera dan fikrah perjuangan untuk merealisasikan PAS sebagai sebuah gerakan Islam.- (Muhammad Abu Bakar, 1987: 147).

Mereka mula membawa pendekatan dan mengenepikan sentimen nasionalisme Melayu kepada pendekatan Islam yang syumul dan bergerak sebagai sebuah gerakan Islam dan pembentukan sebuah Negara Islam yang tulin. (Esposito, John L., John O. Voll, 1996: 134, Abdul Ghani Ismail, 1987: 19) Pembabitan mereka dalam PAS menyebabkan pengaruh Dato’ Asri semakin merosot, terutama selepas jatuh Kelantan ke tangan Barisan Nasional pada tahun 1978.

Bibit-bibit perpecahan dalam PAS di bawah kepimpinan Dato’ Asri mula muncul berkaitan dengan keputusan beliau membawa PAS menyertai Kerajaan Campuran 1972,3 dan kemudian Kerajaan Barisan Nasional pada tahun 1974.

Tindakan ini menyebabkan Pas terbahagi kepada dua puak, pro dan kontra. Asri mendapat mandat untuk masuk BN dalam tahun 1974 melalui muktamar PAS, daripada 352 yang hadir, 143 sokong, 19 bekercuali dan 190 menentang (Alias Mohamed, 1978: 170. Mauzy, 1983: 75-84). Banyak dari kalangan orang penting telah meninggalkan parti seperti Ustaz Abu Bakar Hamzah (Setiausaha Agung), Amaludin Darus, Ahmad Fakhruddin (bekas Ketua Pemuda Pas Kelantan). Ada di kalangan mereka yang mengundi calon PSRM (Parti Sosialis Rakyat Malaya) atau calon bebas bagi menentang calan BN(Hussin Mutalib,1990: 109, D.K. Mauzy, 1983: 75-84, John Funston, 1980: 294) Kemenangan revolusi Iran turut juga mempengaruhi ahli PAS untuk menolak kepimpinan Dato’ Asri sebagai Yang Dipertua Agung dalam muktamar Tahunan ke 28.(Kamarudin Jaafar 2000: 5, Alias Muhamed, 1994: 178-179, Zambry Abd. Kadir, 1995: 310). Ahli-ahli Pas mengharapkan Yang Dipertua PAS Dato’ Mohd Asri dapat menunjulkan imej Islam yang jelas dalam menghadapi dasar penerapan nilai-nilai Islam Umno (Alias Muhamad,1984: 85-86).

Ditambah pula suasana berpuak,5 memilih kawan dan kaum kerabat beliau dalam apa-apa jawatan atau calon pilihanraya telah menimbulkan rasa kurang puas hati atas kepimpinan beliau.- (Kamarudin Jaafar 2000: 5).

Faktor-faktor inilah telah melonjak untuk melihat bahawa kepimpinan beliau tidak relevan dengan semasa dan beliau perlu berundur dan diganti dengan pemimpin yang lebih dinamis.

Menurut Ustaz Hassan Shukri, sebenarnya semangat kesedaran Islam yang dibina melalui Gerakan Insaf, Gerakan Syuhada’, Gerakan Seksi Pembinaan Mental (SPEM) antara 1968 hingga 1975 telah memulakan idealisme kepimpinan Ulama’ dalam parti. Begitu juga pada pertengahan 1970 an, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Ustaz Abu Bakar Hamzah yang berkrisis dengan Dato’ Mohd Asri Muda telah membangkitkan soal "pemimpin buta al-Quran" yang merupakan gagasan awal terhadap perlunya kepimpinan Ulama memimpin PAS (Abu Bakar Hamzah, 1989: 142). Menurut Ustaz Yahya Othman apabila peningkatan dan penyusunan tarbiyyah telah meningkatkan kesedaran terhadap keperluan PAS untuk dipimpin oleh Ulama.

Bibit-bibit awal kearah kepimpinan ulama sudah nampak kelihatan apabila pada tahun 1978 Dewan Pemuda PAS telah meluluskan satu usul supaya pemilihan kepimpinan parti dilakukan secara syura dan Ulama diberikan kedudukan yang lebih penting. (Minit Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia 1978: 27-32, Kertas Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke 25: 39:40) Usul ini dilihat seperti menyindir Datuk Mohd. Asri yang mengamalkan demokrasi terpimpin kerana dalam kepimpinannya Ulama duduk dikelas dua. - (Husin Mutalib 1990: 111)

Usul ini telah dikemukakan oleh Ustaz Nakhaei Haji Ahmad dan diluluskan oleh Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat. Maka Dewan Pemuda PAS Pusat telah membentuk Jawatankuasa Penapis yang dianggotai oleh Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Ustaz Fadhil Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan cikgu Mustafa Ali selaku lembaga penapis kelayakan calon. Mereka yang akan bertanding dalam Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat mestilah memenuhi kriteria keperibadian Islam, adil dan boleh berijtihad - (Penyata Tahunan Dewan Pemuda PAS 1978-1979: 27-32).

Golongan muda dalam PAS telah mengatakan bahawa PAS diasaskan oleh para Ulama dan seharusnya para Ulama yang berkemampuan mewarnai gerakan dan haluan PAS dalam meneliti liku-liku politik negara( Nasarudin 2001: 36). Mereka melihat Dato’ Asri yang memimpin PAS gagal menunjukkan kemampuan untuk bergerak sebagai sebuah parti Islam malah ia tidak banyak beza dengan UMNO dari segi cita-cita Melayunya dan terdapat lagi beberapa orang pemimpinnya tidak memaparkan watak Islam. Kepada golongan fundamentalis pada ketika itu PAS tidak menepati kehendak atau idea sebuah pergerakan Islam (Rahman Shaari, 1983: 49).

Selepas daripada itu maka beberapa muhasabah awal diadakan terhadap punca kekalahan PAS di Kelantan sehingga beberapa pemimpin PAS Kelantan telah meletakkan jawatan kerana mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan tersebut.10 Beberapa usaha telah dibuat untuk meletakkan PAS di atas landasan perjuangan Islam yang sebenar dengan menterjemahkan kitab seperti Ma’alim Fi Attariq karangan Syed Qutb, beberapa karangan al-Maududi dan karangan Mohd Nasir Indonesia, beberapa terjemahan Hadis, Quran mengenai ayat jihad dan politik.

Perkara ini dibincang di dalam usrah, maka muncul kuliah-kuliah Jumaat, kuliah haraki dan beberapa kegiatan tarbiyyah dan sebagainya. Namun begitu terdapat segelintir di kalangan pemimpin PAS memandang sepi usaha pembaharuan yang hendak meletakkan PAS di atas landasan yang betul.

Oleh itu mereka berada di takuk lama sedangkan pengikut di bawah menghala ke arah harakah Islam yang syumul. Akibat daripada itu timbulah satu perselisihan di antara kedua-dua belah pihak. Sehingga mewujudkan satu gelombang yang besar dalam parti untuk menuntut perubahan.

Terdapat juga faktor krisis dalaman yang mempercepatkan proses kepimpinan Ulama’. Ini berlaku apabila pertandingan merebut jawatan Timbalan Yang Di Pertua Agung PAS Pusat antara Ustaz Haji Yusuf Rawa dan Ustaz Abu Bakar Umar. Di dalam pertandingan tersebut Ustaz Abu Bakar Umar telah tewas, walau bagaimana pun Dato’ Asri Haji Muda telah melantik Ustaz Abu Bakar Umar sebagai Setiausaha Agung untuk mengganti ustaz Nakhaei Haji Ahmad dan melantik Bendahari pula ialah Haji Hassan Muhammad seorang yang pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Kerja Umno Malaysia.

Tambahan pula Umno di bawah kepimpinan Dr. Mahathir Mohammad telah dikejutkan dengan satu dasar penerapan nilai-nilai Islam dengan melaksanakan projek Bank Islam, Takaful, Universiti Islam dan banyak lagi projek-projek atas nama Islam. Dasar ini belum pernah dikemukakan untuk tatapan rakyat oleh pemimpin sebelumnya.

Tetapi zamannya telah memberi satu gelombang baru pada pencinta-pencinta Islam untuk merealisasikan Islam sebagai satu cara hidup. (Vidhu Verma, 2002: 95) Banyak orang yang telah tertarik dengan stail kepimpinan yang akan dibawa oleh beliau sebagai contohnya saudara Anwar Ibrahim16 yang begitu lantang mengkritik dasar-dasar kerajaan yang dianggap tidak Islamik semasa memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). - (Ozay Mehmet, 1990: 49, Kamarudin Jaafar, 1986: 181, John Gullick And Bruce Gale, 1986: 272, Rahman Shaari, 1983: 10, Aziz Zariza Ahmad, 1988: 188, Chong Kek Yoong, 1987: 17, Hassan Haji Hamzah, 1990: 54-58).

Dalam pada itu hubungan Dewan Pemuda PAS dengan kepimpinan induk agak dingin terutama dengan Yang Dipertua PAS sehingga timbul dakwaan Dewan Pemuda menjadi parti dalam parti - (Penyata Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat 1981-1982: 3).

Akibatnya beberapa rundingan diadakan untuk meredakan keadaan melalui setiausahanya Haji Ahmad Subki Abdul Latif dengan Dato’ Mohd Asri Muda tetapi gagal. Haji Mustafa Ali yang menjadi ketua pada masa itu merasakan bahawa Dato’ Asri sudah tidak berkemampuan lagi untuk memimpin PAS (Abdul Halim Mahmood, 1983: 21). Malahan beberapa lajnah (biro) dalam parti tidak memberi kerjasama yang baik kepada beliau seperti Setiausaha Agung, Ketua Pemuda dan Ketua Dewan Ulama .(Mastika Jan 1983: 8-12)

Kemuncak di dalam tindakan untuk mengenepikan kepimpinan Asri secara drastik maka Dewan Pemuda PAS telah mengadakan Muktamar tahunan Ke 23 secara berasingan dengan Muktamar PAS Pusat, Perkara ini adalah satu tindakan yang luar biasa.

Menurut Dato’ Mustafa Ali muktamar ini dibuat secara berasingan kerana sebagai satu isyarat untuk memprotes kepimpinan Dato’ Asri . Dengan ini Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat tidak dirasmikan oleh Dato’ Asri, sebaliknya dirasmikan oleh Ustaz Fadhil Mohd. Noor pada ketika itu menjawat sebagai Naib Presiden PAS. Sehingga hari ini peraturan itu diguna pakai, iaitu Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat diadakan secara berasingan dengan diawalkan sehari daripada Muktamar PAS Pusat.

Tetapi mengikut yang tercatat kenapa Muktamar ini dibuat dahulu daripada Muktamar PAS Pusat ialah untuk membolehkan diadakan pameran selama dua hari untuk memeriahkan muktamar. - (Minit mesyuarat Dewan Pemuda PAS Pusat 12 Jun 1982: 4)

Tindakan yang dibuat oleh DPP telah menimbulkan kemarahan kepada kepimpinan lama tetapi mendapat sanjungan daripada order baru (golongan yang menyokong perubahan). Di dalam muktamar ini gagasan kepimpinan ulama’ dikemukakan.

Menurut Sabki Abdul Latif usul ini dikemukakan apabila muktamar pemuda di Bukit Mertajam tidak ada usul, maka beliau selaku Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, pada waktu itu telah berbincang dengan Mustafa Ali, Wan Mutalib Embong di Rumah almarhum Hasan Salahudin Haji Khalil (AJK DPP Pusat) di Bukit Mertajam, apabila tidak ada usul maka beliau mencadangkan supaya usul mengenai kepimpinan Ulamadikemukakan dalam muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat dan diluluskan.

Cheah Ka Peng dan Peter Lim nafi tawar ganjaran pada Aminah

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Cheah Ka Peng, 43, dan Pegawai Khas kepada Exco PKR Pulau Pinang, Peter Lim Eng Nam, 32, mengaku mereka adalah dua individu yang terdapat dalam rakaman suara yang didedahkan oleh Aminah 25 Mei lalu.

DUA pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan mereka telah menawarkan ganjaran dalam bentuk ganti rugi kepada calon Bebas, Aminah Abdullah jika sanggup tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Kedua-dua pemimpin berkenaan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Cheah Ka Peng, 43, dan Pegawai Khas kepada Exco PKR Pulau Pinang, Peter Lim Eng Nam, 32, mengaku mereka adalah dua individu yang terdapat dalam rakaman suara yang didedahkan oleh Aminah 25 Mei lalu.

"Kami tidak menawarkan apa-apa kepadanya... hanya berbincang perkara-perkara biasa," kata Cheah pada sidang media khas bagi menjelaskan mengenai isu tersebut di sini, 25 Mei lalu.

Selain itu mereka juga menafikan dakwaan Aminah bahawa kedua-dua mereka datang menemuinya. Sebaliknya mereka menjelaskan pertemuan pada 13 Mei itu telah diatur oleh Aminah sendiri.

"Kak Minah (Aminah) sebelum ini selalu jemput saya datang ke rumahnya... jadi pada 12 Mei saya hubungi beliau untuk aturkan makan tengah hari keesokkan harinya dan Kak Minah minta saya ajak (Cheah) Ka Peng bersama.

"Kemudian pada pagi 13 Mei, Kak Minah hubungi saya semula untuk pastikan mengenai temu janji pada tengah hari itu. Beliau kata akan masak untuk kami, saya tak jangka kawan baik seperti kami telah digunakan dan dipermainkan oleh beliau.

"Beliau bukan hanya sediakan makanan, tapi juga sediakan perakam suara untuk kami... saya sangat sedih dan kecewa," kata Peter dalam sidang media tersebut.

Peter adalah Timbalan Ketua PKR Bahagian Batu kawan yang juga Pembantu Khas kepada Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Law Choo Kiang. Beliau juga pernah bertanding di DUN Batu Maung pada pilihan raya umum 2004.

Pada 25 Mei lalu, Aminah mendedahkan bukti berbentuk rakaman audio perbualan antara beliau bersama dua wakil PKR yang cuba menawarkan ganjaran kepadanya termasuk wang sebanyak RM80,000 dan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Bagaimanapun mereka enggan mengulas apabila ditanya mengenai kandungan rakaman tersebut yang menyentuh mengenai tawaran-tawaran tersebut.

"Itu (tawaran) apa yang awak fikir, apa yang awak tafsirkan. Mengapa anda tidak tanya beliau sendiri memandangkan beliau yang bangkitkan mengenai perkara ini," kata Cheah yang juga seorang peguam.

Katanya lagi perkara tersebut diserahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut.

"Kami sudah berbincang dengan peguam, dan mereka akn selesaikan perkara ini," kata Chah.

Dalam sidang media itu juga Cheah menegaskan bahawa kehadiran beliau bersama Peter bukan mewakili KeADILan, sebaliknya atas kapasiti sebagai kenalan lama.

"Kami hadir dengan kehendak sendiri, bukan atas dorongan sesiapa dari parti," katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai pertemuan tersebut, Cheah berkata Aminah menunjukkan hasrat untuk kembali menyertai KeADILan.

"Beliau juga nyatakan mungkin tidak akan teruskan untuk bertanding sebagai calon, dia tanya sama ada perlu atau tidak untuk teruskan. Dia jemput kita untuk beri pandangan, kita kongsi pandangan kita sahaja... kami bercerita sebagai kawan dalam keadaan bergurau," katanya yang mengakui mengenali Aminah dan keluarga sejak tahun 1999.

Ditanya sama ada beliau akan terus menjalinkan persahabatan bersama Aminah dan keluarganya selepas isu ini dibangkitkan, beliau berkata "Kami masih kawan, tapi perasaan saya kini bercampur."

Ketua Wanita Umno Kuala Krai lobi diri mahu lawan PAS di Manek Urai

WANITA Umno Bahagian Kuala Krai akan meletakkan calon dari kalnagan wanita pada Pilihan Raya Kecil Manek Urai tidak lama lagi. Demikian ditegaskan oleh ketuanya, Rohani Abdul Majid.

Tiba masanya Umno meletakkan calon wanita pada pilihan raya kecil Manek Urai nanti walaupun tidak pernah berbuat demikian sebelumnya, katanya lagi.

Rohani yang menawarkan diri untuk bertanding atas tiket BN bagi mencabar PAS di kubu kuat parti Islam itu berkata, jika sukar untuk memilih calon, mungkin dengan pemilihan diri beliau boleh menyelesaikan masalah tersebut.

"Dalam sejarah Manek Urai sendiri, Umno tidak pernah memberi peluang kepada wanita menjadi calon."

Lapor sebuah portal berita, Ahli Jawatankuasa Wanita Umno Kelantan itu berkata pemilihannya sebagai seorang anak tempatan lebih disenangi pengundi di kawasan tersebut. Tambahnya, setelah berpuluh-puluh tahun menyertai Umno, beliau mendapat dukungan daripada ramai ahli keluarganya, ahli dan penyokong parti itu.

Beberapa pemimpin Umno bahagian dikatakan berminat bertanding pada pilihanraya kecil tersebut - tarikhnya dijangka diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Khamis ini. Selain Rohani, Ketua Bahagian Umno, Dato' Ramzi Abdul Rahman, Naib Ketua Bahagian Che Jalal Muda dan Ketua Pemuda, Tuan Aziz Tuan Mat disebut-sebut menawarkan diri.

Sementara bekas calon BN yang berjaya memenangi kerusi tersebut Zulkifli Omar juga menawarkan diri ingin bertanding jika Umno memilihnya sekali lagi.

"Saya serah kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan perkara tersebut. Jika tidak dipilih, saya tetap bekerja kuat untuk parti dan menyokong calon pilihan parti," katanya. Zulkifli mengalahkan calon PAS, Mohd Zamzuri Mat Lazim dengan majoriti 53 undi dalam pilihanraya umum 2004.

Ahmad Subky Latif syor 4 cara perkemas Kepimpinan Ulama dari dicabar!

Dato' Daud Iraqi menandatangani autograf pada buku "25 Tahun Kempimpinan Ulama" yang dilancarkan sambil diperhati Dato' Dr Haron Din.

EMPAT syor diusulkan bagi menyelesaikan perbezaan pandangan yang timbul antara sesetengah ulama dan tenaga profesional mengenai jawatan-jawatan tertinggi dalam PAS.

Syor tersebut dikemukakan antara pengasas Kepimpinan Ulama, Ahmad Subky Latif ketika membentangkan kertas kerja 'Pengkisahan Sejarah 25 tahun Kepimpinan Ulama' pada sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar, Gombak 23 Mei lalu.

"Oleh kerana terdapat perbezaan pandangan antara sesetengah daripada kedua-dua golongan ini tentang jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan sekurang-kurangnya seorang Naib Presiden mesti di kalangan Ulama dan satu pihak lagi mahu jawatan itu terbuka kepada semua, maka ada syor agar perkara tersebut diperincikan di dalam perlembagaan," katanya.

Subky menyarankan agar parti secara konvensyen membuat keputusan memberi kuasa kepada Majlis Syura Ulama kuasa merundingkan beberapa jawatan penting yang sepatutnya diperuntukkan kepada ulama dinamakan oleh Majlis Syura Ulama untuk dicalonkan oleh perwakilan.

"Perkara kedua, sekiranya berlaku kekosongan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, Majlis Syura Ulama boleh menamakan seorang ulama dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk memangku jawatan Presiden dan Timbalan Presiden," katanya.

Perkara ketiga pula beliau menyarankan agar Presiden dan Timbalan Presiden, apabila tamat tempoh jawatan jangan menganggap dirinya akan dicalonkan semula bagi memberi kebebasan kepada Majlis Syura Ulama untuk menilai prestasi kepimpinannya, sama ada mencalonkannya semula atau menamakan calon lain.

Dalam perkara keempat, beliau mencadangkan agar golongan non-ulamak hendaklah kembali kepada semangat Dewan Pemuda 1982 berdiri teguh di belakang kepimpinan ulama bagi mendaulatkan dan menjadikan kepimpinan ulama lebih berwibawa dan berkesan.

Sementara itu, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hasan Syukri pula menjelaskan bahawa Kepimpinan Ulama yang diasaskan pada 1982 adalah suatu aplikasi bagi memandu gerakan Islam ke arah mencapai keredhaan Allah.

Menurutnya, antara sumbangan dan pengorbanan ulama pasca 1982 ialah memperkemaskan sistem tarbiyah PAS, memperkukuh perjuangan negara Islam, mengadakan pakatan politik, menganjurkan dakwah non-muslim, memasyarakatkan PAS, mengantarabangsakan PAS, mengetenagahkan ide kerajaan Islam, mempelopori model kepimpinan ulama dalam pentadbiran kerajaan serta mengamalkan keterbukaan serta perlaksanaan syura.

Umno gerun dengan 'Islam" dan "Ulama' yang ada pada PAS


TERDAPAT dua perkataan dan ciri yang amat digeruni oleh Umno terhadap PAS iaitu 'Islam' dan 'Ulama'. Demikian ditegaskan oleh Dato' Abdul Halim Abdul Rahman ketika membentangkan kertas kerja beliau bertajuk 'Ulamak Tonggak Perjuangan PAS' pada Sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama, di Markaz PAS Pusat, Taman Melewar pada 23 Mei lalu.

"Pada tahun 1982, hasil inisiatif Pemuda PAS dalam muktamarnya di Bukit Mertajam, kepimpinan ulamak telah meningkatkan identiti PAS yang membezakan dengan parti lain seperti Umno.

"Yang menariknya, ahli-ahli biasa Umno menggesa agar PAS mengekalkan identiti Islam dan ulama yang dianggap sebagai perkara yang digeruni mereka," ujarnya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai perkembangan pengaruh ulama PAS, beliau menyatakan pengaruh PAS telah tersebar daripada kawasan tradisi di luar bandar ke kota metropolitan.

"Malah dengan imej kepimpinan ulama, PAS mendapat sokongan daripada golongan menengah Melayu, orang bukan Melayu dalam bentuk Kelab Penyokong kerana tarikan bukan Melayu kepada PAS disebabkan faktor ulama yang memimpin.

"Mereka melihat ulama sebagai 'orang suci' yang tidak mungkin melakukan perkara-perkara buruk seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa," tegasnya lagi.

Ujar Ustaz Halim lagi, ulama kini menjadi harapan rakyat Malaysia agar dapat memberi pimpinan alternatif.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa menjangkakan ulama akan berperanan besar pada pilihan raya umum ke-13 akan datang dalam usaha untuk menawan lebih banyak negeri lagi.

"Oleh yang demikian bagi merealisasikan hasrat menawan lebih banyak negeri pada PRU 13, ulama perlu diperkasakan yakni membekalkan kemahiran tambahan seperti pengurusan dan ICT," katanya mengakhiri pembentangan.

Pedih ketika ditendang perikatan masih terasa - Tok Guru Nik Aziz


MURSYIDUL Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan ahli-ahli PAS agar meneliti semula sejarah ketika Umno menyingkirkan parti itu daripada Perikatan, lapor Intan Abdullah.

"Mungkin saudara-saudara tidak ada pada masa Peristiwa 13 Mei dan sewaktu Umno menendang kami (PAS) keluar daripada parti Perikatan, masih terasa sakitnya, pedih dan parutnya masih lagi ada," ujarnya kepada lebih 500 peserta yang hadir di Sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, dekat sini pada 23 Mei lalu.

Menurut beliau, Umno kini bukan lagi sebuah parti politik melainkan sekadar sebuah gerombolan yang berbentuk pemikiran.

Menteri besar Kelantan itu turut menegaskan PAS tidak akan mengadakan kerjasama dengan Umno kecuali parti itu menukar dasar perjuangan atau menerima Islam yang ingin dibawa oleh PAS.

"Kita bersedia untuk mengadakan muqabalah dengan sesiapa sahaja tetapi mesti bersama-sama Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa peranan ulama PAS tidak terhad untuk menguruskan masalah dan urusan di Malaysia semata-mata sebaliknya dunia secara keseluruhannya.

"Jika tiada Dewan Ulama PAS, maka Islam akan lenyap di Malaysia," demikian kesimpulan dibuat Tok Guru Nik Aziz setelah mengimbas saat penubuhan PAS serta peranan yang dimainkan dalam membantu menyuarakan pandangan berhubung isu-isu yang membabitkan agama di negara.

Beliau mendoakan agar ulama PAS terus gagah dan unggul untuk memimpin Malaysia pada masa akan datang.

Tok Guru Nik Aziz juga turut menyuarakan cadangan agar ulama mengadakan pertemuan secara kecil-kecilan dengan Kelab Penyokong PAS dalam memberikan kefahaman mengenai agama Islam kepada mereka.

"Saya mencadangkan agar dibuat pertemuan kecil-kecilan dengan Kelab Penyokong PAS untuk memberikan kefahaman tentang Islam tetapi jangan memburuk-burukkan agama mereka. Sampaikan dengan cara hikmah sebagaimana yang diajar Rasulullah kepada kita," ujarnya lagi.

Roslan SMS teruja dengan penghujahan Ustaz Hashim Jasin tentang Kepimpinan Ulama!

SETIAPKALI saya berpeluang mengikuti kuliah atau ceramah Ustaz Hashim Jasin (ADUN Sanglang/ ahli majlis syura ulamak), saya akan beri sepenuh perhatian kerana saya dapati isi penyampaian beliau yang acapkali disampaikan dengan gaya bersahaja selalunya padat dan penuh pengajaran, posting terbaru Roslan SMS pada blognya.

Baru-baru ini semasa mengulas kertas kerja Ustaz Dato’ Harun Taib dalam himpunan memperingati Jubli Perak Kepimpinan Ulamak di Taman Melewar, sekali lagi penyampaian Ustaz hashim yang walaupun sekadar 10 minit sungguh memberi kesan sekurang-kurangnya pada saya dan saya percaya begitu juga pada mereka yang hadir.

Pada hari itu beliau mahu menggambarkan kesan langsung kepimpinan ulamak terhadap PAS. Beliau ambil contoh dua peristiwa yang berlaku di zaman Saidina Omar al Khatab r.a yang saya yakin kita semua telah tahu akan kisahnya.

Pertama tentang kisah anak gadis yang menegur ibunya dalam kes mahu menokok air ke dalam hasil susu. Ringkas cerita si ibu mengatakan Omar tidak nampak, lalu kata ana gadisnya Tuhan Omar nampak.

Kedua tentang kisah gembala kambing di tengah padang pasir yang mahu diuji Omar. Omar pinta agar sigembala menjual seekor kambing kepadanya sedang sigembala tidak mahu kerana tidak diketahui tuannya. Kata Omar jika ditanya tuannya kataka sahaja kambing itu dimakan serigala. Si gembala memberitahu yang beliau takut Tuhan akan tahu.

Apa hubungannya dengan kepimpinan ulamak? Inilah generasi yang dibentuk secara langsung oleh Rasulullah saw dan diikuti oleh Abu Bakar dan Omar yang masing-masing ulamak tersohor belaka.

Kata Ustaz Hashim beliau melihat dua peristiwa besar turut berlaku sejak PAS mendakapi konsep kepimpinan ulamak. Apabila ulamak menjadi teraju dan usaha tarbiyah dipertingkat serta diperluaskan.

Petama sejak 1983 sehingga kini, lebih 25 tahun, tidak lagi berlaku dalam sejarah PAS mana-mana ADUN atau ahli parlimen melompat, berpaling tadah, meninggalkan perjuangan dan menyertai musuh. Baik semasa PAS menang besar atau sekadar bertahan dengan beberapa kerat kerusi. Sebelum 1983 khasnya di tahun 60an memang ada, tetapi pasca kepimpinan ulamak, memang tiada.

Kedua selepas PRK Pengkalan Pasir, apabila kerajaan PAS Kelantan sekadar bertahan dengan majoriti 1 kerusi, berbagai cabaran dan dugaan dilalui oleh PAS ketika itu, namun PAS berjaya kekal bertahan memerintah Kelantan sehingga tamat penggal, setiap ADUN yang ada istiqomah bersama PAS!

Sebagaimana kisah Saidina Omar tadi bagi Ustaz Hashim peristiwa ketahanan dalaman PAS ini adalah hasil suntikan dan gerka-kerja ulamak yang dicerana dari konsep Kepimpinan Ulamak yang dilahirkan. Ia tiada didapati dalam mana-mana parti lain dalam negara. Mungkin akan ada yang mempertikaikan pandangan Ustaz Hashim tetapi bagi saya, ia sesuatu yang benar dan cuma dapat dirasai oleh mereka yang tulus dan ikhlas dalam melayari perjuangan ini.

Teringat saya Tuan Guru Presiden pernah memberitahu bahawa seorang ulamak besar di Iran (yang walaupun bermazhab Syiah) menyatakan kekagumannya terhadap PAS, sebab apa, sebab dapat terus mengekalkan kepimpinan ulamak dalam keadaan kebanyakkan gerakan Islam dunia tiada lagi dipimpin oleh ulamak.

Semoga kepimpinan ulamak terus menjadi teraju dan tonggak PAS sampai bila-bila.