KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 30, 2009

Skandal PKFZ: Ahli Parlimen Klang mahu bekukan akaun mereka!

KUALA LUMPUR: Laporan audit PricewaterhouseCoopers (PwC) mengenai Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) telah menguatkan lagi dakwaan selama ini - tetapi diketepikan oleh kerajaan - bahawa projek yang dibiayai dengan wang rakyat itu, dilanda kelemahan dan kecacatan sejak dari mula ia dilaksanakan lagi, dakwa CHARLES SANTIAGO adalah ahli Parlimen (DAP) Klang.

Katanya, antara fakta yang disahkan oleh PwC ialah PKFZ berdepan dengan peningkatan kos, kelemahan dalam urustadbir dan pengurusan projek dan berlaku konflik kepentingan oleh PKFZ dan pegawai-pegawai yang lain.

Di samping itu, jelas beliau, cara laporan itu didedahkan oleh Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) juga harus dipersoalkan.

"Mengapa laporan itu hanya boleh diakses sehingga 10 Jun sahaja? Mengapa hanya 15 salinan laporan itu yang disediakan?"

Kata Charles lagi, ia juga sukar dipercayai yang PwC bukan sahaja meyatakan ia tiada perlu menjawab sebarang persoalan, dan tidak bertanggungjawab kepada mana-mana pihak, kecuali PKA, tetapi turut menekankan bahawa pembaca tidak boleh mengguna atau bergantung kepada laporan itu untuk membuat sebarang kesimpulan.

"Jika PwC begitu takut untuk dikaitkan dengan kesimpulan umum berasaskan kepada laporannya sendiri, maka adakah firma antarabangsa itu akan mempertahankan juruauditnya sendiri?"

"Mengapa tidak ada pihak yang bersedia untuk mempertahankan integriti dokumen tersebut?" tanya beliau.

Namun begitu, beliau menegaskan, keputusan untuk menyerahkan laporan setebal 45 halaman itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus dialu-alukan.

Tiada ulasan: