KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mei 14, 2009

Bubar Dun Perak bukan sahaja memihak kepada rakyat tapi ia jalan keluar yang tepat! - Dato' Mahfuz Omar


KETUA Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar mahu Perdana Menteri dan Menteri Besar haram Perak memohon maaf kepada rakyat negeri ini atas kecamukan yang disengajakan mereka. Tiga bulan politik Perak sakit dan tenat. Dengan keputusan terbaru Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mahfuz berharap Tuanku Sultan Perak dapat memperkenankan pembubaran Dun bagi mengembalikan semula kestabilan politik yang dirobek-robek olrh BN selama ini. Ikuti temubual wartawan ANIS NAZRI bersama Ahli Parlimen Pokok Sena ini.

Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Apakah justifikasinya kepada politik Perak?

DATO' MAHFUZ OMAR: Bagi saya keputusan ini menunjukkan satu keputusan yang bersifat pro-demokrasi iaitu ingin mengembalikan keunggulan prinsip demokrasi, selain mengangkat Undang-undang Tubuh Negeri Perak di tempat yang dihormati dan berada di kedudukan yang betul, sekaligusnya ianya menuntut semua pihak bukan sekadar menghormati keputusan mahkamah tapi, kesedian untuk berlapang dada bagi menerima keputusan ini dengan mengembalikan mandat kepada rakyat.
Walaupun Nizar dan anggota exconya dapat kembali ke pejabat kerajaan, dari sudut politiknya ia tetap tidak stabil kerana ia adalah kerajaan minoriti. Jika Barisan Nasional (BN) membuat rayuan, dan sekiranya keputusan akan memihak kepada BN, ia tetap tidak dapat menstabilkan keadaan politik di Perak. Keadaan ini disebabkan kekusutan atas tindakan Perdana Menteri, Najib Tun Razak.
Saya juga menuntut supaya Najib dan Dr Zambry Abdul Kadir memohon maaf kepada rakyat Perak ekoran tindakan mereka yang cukup mengusutkan keadaan rakyat, selain memohon maaf kepada Nizar dan Pakatan Rakyat dengan pelbagai tuduhan sebelum ini. Dalam masa sama, kerajaan BN dan polis juga diharap memberi kerjasama kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

Difahamkan, langkah pertama Nizar selepas diisytihar sebagai Menteri Besar yang sah ialah menggantung Penasihat Undang-undang Negeri Perak. Pada pandangan Dato', adakah langkah Nizar itu wajar untuk kepentingan politik di Perak?

Tindakan ini memang wajar dilakukan kerana kegagalan penasihat itu memberikan nasihat yang baik sepanjang konflik ini bermula Februari lalu. Beliau gagal memberikan nasihat yang betul kepada semua pihak, khususnya raja.
Sekiranya beliau memberikan nasihat yang betul dan berpegang dengan prinsip demokrasi dengan menghormati Undang-undang Tubuh Negeri Perak, sudah tentu keadaan kekecohan ini tidak akan berlaku dan tidak berlanjutan sehingga hari ini.

Bagaimana pula dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Abdul Rahman Hashim yang didakwa sebagai 'dalang' di sebalik segala kekecohan di Perak. Apakah Nizar boleh menyingkirkan beliau?

Ya, saya fikir memang wajar jika Nizar berbuat demikian kerana beliaulah 'tukang karut' di sebalik kekecohan ini. Jika beliau tidak membantu kerja-kerja BN sebelum ini, sudah tentu konflik ini tidak berlaku.
Bagaimanapun, bagi saya beban kepada semua krisis yang berlaku ini perlu diletakkan di atas bahu Najib kerana beliau merupakan punca utama di sebalik semua kejadian di Perak ini.

Sejurus keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah, Zambry akur dengan keputusan tersebut dan bersedia mengosongkan Pejabat Menteri Besar. Apa yang boleh Dato' perkatakan tentang 'pengunduran' Zambry itu?

Tidak timbul soal undur diri kerana beliau sebenarnya bukanlah Menteri Besar yang sah. Sepanjang rampasan kuasa itu, segalanya tidak sah. Menteri Besar yang tidak sah, angkat sumpah yang tidak sah, sidang Dun yang tidak sah.
Jadi tidak timbul sama ada wajar atau tidak, tindakan 'pengunduran' kerana dia memang perlu keluar dari pejabat tersebut, selain undur sebagai Menteri Besar.

Tidakkah tindakan itu dilihat sebagai usaha Zambry dan BN Perak untuk mengangkat imej mereka, kononnya mereka lebih rasional dan tidak membantah seperti yang ditunjukkan oleh Pakatan Rakyat?

Saya tidak lihat keadaannya begitu. Ini kerana, apa yang kita dan penyokong Pakatan Rakyat lakukan kerana mempertahankan hak kita yang dicabuli BN. Dan keputusan mahkamah 11 Mei lalu membuktikan bahawa tindakan kita (protes) itu betul dalam usaha mempertahankan hak.

Zambry dikatakan akan memfailkan rayuan dalam kes ini. Bagaimana kedudukan Nizar pada ketika itu?

Zambry sememangnya berhak membuat rayuan dalam kes ini. Tetapi keadaan tersebut tetap tidak akan menjadikan politik Perak stabil. Atas sebab itu, bagi saya apa yang paling baik ialah membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang boleh dibuat oleh Tuanku Sultan.
Sekiranya diperkenankan permohonan membubarkan Dun ini, sultan akan dilihat betul-betul melampaui politik. Jika tidak, imej istana akan tercemar. Sebelum ini BN telah melakukan pelbagi perbuatan yang memaksa raja melakukan tindakan yang salah dengan melantik Zambry, memanggil sidang Dun dengan meminta Pemangku Sultan memrasmikan Sidang Dun Perak 7 Mei, sedangkan sidang itu tidak sah.
Situasi ini sebenarnya mengaibkan raja. Jadi bagi saya, pembubaran Dun adalah langkah terbaik yang perlu dilaksanakan seperti yang kita (Pakatan Rakyat) tekankan sebelum ini.

Bagaimana jika Tuanku Sultan tidak memperkenankan permohonan untuk membubarkan Dun?

Saya percaya Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sudah tentu dapat melihat situasi politik Perak yang tidak stabil sejak rampasan kuasa dibuat BN, Februari lalu. Malah, Pemangku Sultan Perak, Raja Muda Dr Nazrin Shah sendiri melihat apa yang berlaku dalam Sidang Dun Perak 7 Mei lalu.
Walaupun kuasa mutlak terletak pada tangan Raja, sama ada baginda boleh mendengar atau tidak mahu mendengar permohonan Nizar, saya percaya baginda tidak akan bertindak demikian (enggan bubar Dun) sekiranya baginda ingin menterjemahkan apa yang dikatakan bahawa kuasa raja melampaui kuasa politik.
Dalam masa sama, pembubaran Dun itu tidak dilihat sebagai memihak kepada mana-mana pihak, tetapi lebih memihak kepada rakyat.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terrific post but I was wondering if you could
write a litte more on this topic? I'd be very grateful if you could elaborate a little bit more. Many thanks!

Also visit my website; Marvel Comics